Salam petang Khamis 5 Ramadhan 1443 Hijriah. Sampai masanya untuk menutup cerita perjalanan ke Teluk Intan hampir penghujung minggu lalu. Bersambung daripada artikel Dari 'keemasan' ke 'keperakan' - 1 April 2022. Jumaat yang sejahtera walau rasa dikhianati.
Awal pagi Sabtu 2 April 2022. Saya pergi lagi ke jeti tepi Sungai Perak berdekatan rumah ibu saudara di Batak Rabit. Sepatutnya saya telah meninggalkan rumah tersebut dan persekitaran Teluk Intan petang Jumaat. Tetapi disebabkan bersama dengan saudara mara sehingga hampir senja lebih baik menginap lagi satu malam di rumah ibu saudara. Lihat artikel Early morning views from a jetty a Batak Rabit di blogspot BERPETUALANG KE ACEH.
Sekembali sahaja ke rumah bapa saudara mengajak bersarapan di kedai mamak. Ketika bergerak keluar ternampak kawasan belukar seberang jalan yang pernah menempatkan rumah besar keluarga lalu teringat mahu meneroka ke dalam. Sekembali dari sarapan saya pun pergi ke belukar. Cerita berkenaan telah dipersembahkan pada penghujung artikel Dari 'keemasan' ke 'keperakan' - 1 April 2022. Jumaat yang sejahtera walau rasa dikhianati.
Alhamdulillah, tidak seperti pada petang Jumaat yang mana air pasang besar menyebabkan kawasan rata-rata tenggelam kali ini saya tidak masalah untuk masuk meneroka ke dalam. Cuma memang sangat bersemak, belukarnya tebalnya. Namun tetap dihabiskan masa untuk mendapat rasa selain bertafakur mengenangkan perjalanan hidup nenek moyang. Lihat Exploring the grounds that used to have the big house of Batak Rabit.
Puas meneroka saya bergerak menghala kembali ke rumah ibu saudara. Sampai ke jambatan kecil di hadapan, jambatan yang menyeberang Sungai Batak Rabit, sungai yang pada zaman dahulu boleh dimudiki sampan dan kapal kecil sehingga ke kota lama yang pernah meliputi rumah besar keluarga terlihat sesuatu yang menarik perhatian.
Nampak seperti biawak besar sama yang dilihat dalam belukar tadi. Terasa seperti ada perkara tersirat hendak diberitahu tentang ini.
Gambar ini menunjukkan Sekolah Kebangsaan Dato' Laksamana Raja Mahkota. Ia diambil pada jam 9.11 pagi, tidak lama selepas meninggalkan rumah ibu saudara untuk mengorak langkah kembali ke negeri Selangor. Ada pun sebelum meninggalkan rumah saya ada memberitahu bapa dan ibu saudara hendak ke Gunung Besout lagi. Tetapi ke bahagian lain berdekatan gunung, bukan kawasan yang dimasuki ketika menuju ke Teluk Intan petang Khamis. Rujuk kembali artikel .
Dari 'keemasan' ke 'keperakan' - Antara Gunung Besout dan Teluk Intan. Bapa saudara berseloroh lalu menyebutnya sebagai : "
Best out". Kata beliau orang sana sering menyebutnya begitu.
Ah. Mungkin saya sahaja yang perasan diri sebagai calon terbaik untuk menjadi Toh Muda kalau tidak pun Laksamana. Orang lain nampak lain, kita nampak lain. Tapi saya tetap yakin begitulah keadaannya. Ini kerana tahu kekuatan diri, pengalaman dan latar belakang berbanding calon-calon lain bagi gelaran tersebut selain nasab keturunan yang sangat kanan dalam susur galur Laksamana. Namun sejak sekian lama saya juga sedar akan sifat diri yang ada "kepala sendiri", tidak senang-senang angguk-angguk ikut cakap orang lalu boleh menyebabkan saya tidak dikehendaki.
Ya. Aku tahu itu. Aku tahu susur galur keturunan dan kekuatan diri yang boleh menyebabkan pihak-pihak berkepentingan takut kalau aku dapat naik lalu mempengaruhi istana. Aku tahu dan yakin. Aku bukan perasan. Aku tahu sudah berlaku politik lobi melobi di balik tabir yang menyebabkan aku tersisih. Aku juga yakin ada pihak telah memburuk-burukkan aku.
Selain suka berambut panjang dan berbusana penuh tradisional Melayu berkeris bertanjak bagai malah ada kalanya berpedang sekali aku jelas tanpa bersorok suka melibatkan diri dengan majlis-majlis Maulud yang mana aku tidak pernah merasa segan silu menggerakkan seluruh tubuh badan seperti halnya ahli tariqat yang tenggelam dalam kerinduan dan kecintaan terhadap baginda Rasulullah SAW. Aku punya sejarah latar belakang yang kontroversi namun aku juga jujur hendak memperjuangkan Melayu dan Islam, tidak bermuka-muka. Namun hal-hal sebeginilah yang boleh dijadikan modal bagi menyisihkan aku, bukan hendak diambil tahu sangat kekuatan dan kelebihan diri.
Oh. Gambar atas menunjukkan satu barangan tembaga yang dihadiahkan oleh ibu saudara sebelum keluar meninggalkannya. Kata beliau ia adalah barangan nenek moyang yang dihadiahkan oleh... hmm... lupa pula, seorang datuk atau nenek saudara saya kepada beliau. Saya tak minta, tiba-tiba beliau tanya jika sukakan barangan tembaga. Ini berlaku selepas memberitahu bahawa ketika dalam belukar saya cuba untuk mencari jika ada kepingan-kepingan kayu daripada rumah lama boleh diambil untuk dibawa balik. Saya pernah melibat gambar-gambar menunjukkan ada saudara mara mengambil kayu-kayu berukir cantik daripada tinggalan rumah. Saya memang minat ukiran-ukiran begitu.
Tanpa dipinta, ibu saudara mengeluarkan barangan tembaga itu daripada almari hiasannya. Katanya ia sebuah pelita lama. Terasa seperti kiasan pula. Pelita sebagai penunjuk arah, warisan daripada nenek moyang. Mungkin daripada rumah lama besar yang pernah wujud dalam belukar tadi, rumah yang mungkin pernah menjadi istana bagi Sultan ke-26, Sultan Abdullah ketika bersemayam di Batak Rabit tahun 1874-1877. Rumah yang kayu kayannya dicabut, dipotong dan sebagainya lalu diagih-agihkan untuk kegunaan saudara mara mendirikan rumah-rumah mereka pula.
Perjalanan diteruskan menuju ke Gunung Besout.
Sampai ke satu simpang baru teringat saya dan isteri pernah lalu kerana mengikut orang untuk ditunjukkan beberapa perkara.
Dekat-dekat sini dikatakan pernah wujud sebuah tasik besar yang kelihatan seperti laut kira-kira seabad lalu. Pernah berlaku beberapa peristiwa yang nampaknya melibatkan saudara mara saya daripada cabang lain keluarga besar Laksamana juga kemunculan seekor naga. Lihat artikel
Menyelesaikan bab Perak : Cerita sebenar Puteri Buih dan Tiang Bertarah di Sungkai berserta Kota Laksamana yang ditulis hampir 12 tahun lalu. Apabila melihat kembali artikel tersebut serta tempat di mana naga tersebut dikatakan muncul terasa memang ada kena mengena dengan Gunung Besout.
Jam 10.37 sampailah ke Felda Gunung Besout.
Di situ saya mengambil satu jalan berbatu menuju ke kawasan bukit bukau dan gunung untuk ke satu air terjun kecil. Menariknya didapati batu-batu di sekitar air terjun tersebut rata-rata adalah daripada jenis batu pasir yang digunakan untuk membuat batu nesan Aceh. Lihat
To the small waterfall of Gunung Besout.
Seterusnya singgah di satu bahagian yang memberikan pemandangan cantik ke sekeliling...
Perjalanan diteruskan dengan menuju ke Felda Suharto. Sempat melihat aliran Sungai Bernam yang merupakan sempadan semulajadi antara negeri Perak dengan Selangor dari atas dua buah jambatan yang belum pernah dilalui sebelum ini. Lihat artikel
The bridge near Kuala Slim diikuti
The bridge at Seri Keladang.
Dipendekkan cerita sampai kembali ke rumah sekitar jam 3.30. Didapati secara keseluruhan perjalanan telah memakan jarak 337 km.
1 ulasan:
Hutannya dah disakau kerajaan penyamun utk bagi makan sekolah aliran ultra kiasu. Pemilikan tanah UTK korporat, mmg dasar keparat
Catat Ulasan