Manakan dapat sagu kalau tidak dipecahkan ruyungnya?
Manakan dapat mutiara yang berkerlipan jika takut menyelam ke lautan dalam.
Dalam diri setiap manusia, ada seketul daging.
Jika baik ia, maka baiklah seluruh jiwa manusia itu.
Jika buruk ia, buruklah juga manusia itu...
Seketul daging itu adalah hati,
mari kita lapangkan dada dan belajar mengIKHLASkan hati.
Perjalanan seribu batu bermula dengan satu langkah.
Marilah meneroka dunia pemikiran hamba.
Silakan

Video klip yang tertera boleh dianggap sebagai pembukaan kepada dunia pemikiran dan kesukaan hamba...







-------------------------


-------------------------



Segala yang dipaparkan menggambarkan pemikiran penulis yang turut terserap di dalam setiap penulisan buku dan artikel. Lihat Cara-cara mendapatkan buku tulisan Merah Silu @ Radzi Sapiee. Di atas adalah satu klip video selama hampir setengah jam yang merupakan demo pilot episode yang mahu digunakan untuk mencadangkan satu siri pengembaraan menyusuri sejarah Melayu Islam sekeliling Nusantara untuk siaran televisyen. Entah mengapa ia menemui masalah. Kemudian penulis diberitahu konsepnya diciplak sebuah stesyen televisyen. Lihat Kembara Sejarah Islam Nusantara : The original material...



Ini adalah klip video ulasan buku ketujuh saya "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" berserta temuramah yang dibuat siaran langsung di Selamat Pagi Malaysia, RTM1. Lihat Siaran langsung ulasan buku "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" dan temu ramah di Selamat Pagi Malaysia.



Penulis juga pernah diminta membuat pembentangan mengenai siri buku "Berpetualang ke Aceh" di Masjid Sultan Salahuddin iaitu masjid negeri Selangor di Shah Alam. Lihat Buku "Berpetualang" dan himpunan ulamak Nusantara yang diketuai ulamak Aceh


-------------------------



Siri novel "Berpetualang ke Aceh" boleh didapati dalam bentuk e-book. Masuk http://www.e-sentral.com/, klik kategori novel am dan taip perkataan "Aceh" pada kotak carian. Atau terus klik Buku 1,Buku 2 dan Buku 3.





Gambar ketika menghadiri satu majlis ilmu, diambil oleh sebuah akhbar harian. Lihat Menghiasi Kosmo Alam Melayu...



Penerbitan trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" juga membawa penulis untuk terlibat dengan banyak majlis ilmu. Rujuk kumpulan links artikel di bawah tajuk "Siri Refleksi Sejarah", pada bahagian paling bawah kiri blogspot, . Penulis juga agak aktif dalam aktiviti-aktiviti kedaulatan Melayu dan Islam, dapat menganjurkan majlis-majlis sendiri di merata Semenanjung Malaysia membawa ke luar negara di Aceh. Lihat blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


Ketika menulis perenggan ini 4 Mei 2015 penulis sedang berusaha untuk mengembangkan isi 3 buku dalam siri "Berpetualang ke Aceh" menjadi 6 buku yang akan membentuk siri baru dipanggil "Siri Pengembaraan Merah Silu". Sebuah syarikat penerbitan telah bersetuju untuk menerbitkan siri lama itu kembali dalam bentuk yang lebih segar - Setiap buku asal dipecah menjadi 2 buku baru yang ditambah maklumat, gambar dan peta berwarna-warni.Pertengahan September 2015 buku pertama siri baru pun selamat diterbitkan. Seminggu lebih kemudian penulis berpeluang bercakap tentangnya secara siaran langsung dalam televisyen lalu membawa wakil penerbit bersama. Lihat video di bawah :-






Awal tahun 2015 turut menyaksikan penulis diambil menjadi penyelidik dan hos satu siri dokumentari yang dipanggil "Daulah Melayu". Projek 13 episod sepanjang sejam setiap satu ini mahu mengenengahkan formula untuk mengembalikan kekuatan bangsa Melayu. Insyaallah projek iakan membawa penulis untuk mengembara ke merata di Malaysia dan Indonesia juga ke beberapa negara dan tempat di Eropah termasuk ke kota London, tempat penulis mengambil ijazah matematik 1991-1995. Siri dokumentari ini dijangka siap untuk tayangan televisyen dalam tempoh 2 tahun.


Saturday, June 16, 2012

Tentang Israq dan Mikhraj dan alam di dalam besen



Allahuakbar! Malam ini sudah masuk 27 Rejab, malam Israq dan Mikhraj. Maka saya ingin berkongsi cerita berkaitan yang tertera pada bab terakhir buku ketiga saya "Berpetualang ke Aceh : Sirih pulang ke gagang?" yang terbit November 2007. Bab itu bertajuk "Penutup : Puas sudah berpetualang?". Dari segi mood bercerita dua tiga hari ini ia boleh dikatakan bersambung daripada artikel Aku cuma zilal Mu ya Allah! yang dibuat siang tadi.

Tajuk artikel ini mungkin pelik sedikit. Namun saya percaya anda akan nampak sebabnya setelah membaca tulisan di bawah sampai habis. Adapun apa yang dipaparkan ini adalah keseluruhan isi bab tersebut termasuk perkongsian rasa yang terbit akibat melihat keadaan dunia ketika itu. Walaupun ia ditulis 5 tahun lalu rasanya keadaan tersebut masih relevan dengan dunia hari ini. 

Kebetulan ini adalah artikel ke 999 di blogspot ini. Dengan kombinasi nombor berserta fakta bahawa bab itu bertajuk "Penutup : Puas sudah berpetualang?", dipaparkan pula pada malam Israq dan Mikhraj semoga ini dapat menutup satu fasa hidup lalu masuk ke fasa baru yang lebih bermakna dan diredhai Ilahi.


-------------------



Tersebutlah kisah, suatu masa dahulu di sebuah negeri di Timur Tengah, ada seorang raja kafir sudah tergerak mahu memeluk Islam kerana tertarik dengan ajaran-ajaran Rasulullah SAW. Baginda telah melihat akhlak baik para penganutnya dan telah bertanyakan para alim ulamak tentang hukum-hakam Islam dan segala maslahat berkaitan. Lalu sang raja berpendapat  agama ini memang sesuai dengan fitrah manusia malah amat baik untuk perkembangan rohani dan jasmani setiap insan.

Baginda cuma ada satu kemusykilan yang perlu dijawab sebelum bersedia mengucap dua kalimah syahadah...  Bagaimanakah Rasulullah SAW dapat naik Israq dan Mikhraj, pergi dari Mekah ke Baitul Muqaddis kemudian naik tujuh petala langit, dapat melihat segala isi syurga dan neraka, naik lebih tinggi ke Sidratul Muntaha kemudian melepasi Kursi dan Arash untuk sampai ke Hadirat Allah Subhanahuwata’ala sebelum kembali ke Mekah sedangkan semuanya berlaku dalam tempoh singkat yang diibaratkan daun yang bergetar dilanggar orang apabila Nabi memulakan perjalanan belum habis bergetar apabila baginda kembali ke rumah.

Masalahnya, tiada alim-ulamak dapat memberikan jawaban yang memuaskan raja. Seperti diketahui umum, perjalanan Mekah ke BaitulMuqaddis sendiri memakan masa berhari-hari, mungkin berbulan-bulan, baik menunggang kuda mahupun unta. Inikan lagi naik ke langit malah lebih atas untuk melihat segala isi kejadian Allah SWT dan kembali dalam masa beberapa detik sahaja! Di zaman moden inipun menaiki jet atau kapal terbang, perjalanan Mekah ke Baitul Muqaddis memakan masa tidak kurang dua jam.  Untuk naik ke langit pula, belum ada manusia yang mampu membuatnya. Alangkan menaiki roket sampai ke bulan pun memakan masa beberapa hari, bagaimana pula hendak ke langit? Lalu bagaimana Nabi boleh melakukan semua ini malah pergi lebih jauh dalam masa begitu singkat? 

Persoalan inilah yang sedang bermain-main di kepala raja kafir tersebut. Memang baginda mahu percaya kepada Islam tetapi raja ini telah berikrar hanya akan mengucap dua kalimah syahadah jika ada orang yang dapat menerangkan peristiwa ini sehingga baginda puas dan yakin seratus peratus dengan kebenaran yang dibawa Islam. Soalnya, siapa pula yang dapat menghuraikan dengan jelas? Bolehkah perkara luarbiasa sebegini diterangkan dengan kaedah yang dapat memuaskan pemahaman biasa?

Maka tersebarlah berita tentang raja sebuah negeri ingin memeluk Islam tetapi belum bersedia kerana tiada orang dapat menerangkan peristiwa Israq dan Mikhraj sehingga hilang kemusykilan baginda. Berita ini sampai kepada seorang wali Allah penuh karamah lalu beliau tergerak berjumpa dengan raja. Kedatangannya disambut dengan mulia...  Walaupun baginda bukan Islam, raja ini adalah seorang yang beradab dan amat menghormati para alim ulamak . Sang wali pun dijemput masuk menghadap.

Setelah berkenal-kenalan dan bertanyakan khabar seperti lazimnya orang baru bertemu, mereka duduk bersemuka di sebuah ruang persendirian. Tiada manusia lain di situ kecuali seorang khadam yang siap-siaga untuk memenuhi apa-apa permintaan baginda. Wali itupun bertanya: “Hamba dengar Tuanku amat berminat untuk memeluk agama Islam tetapi ada yang menghalang. Apakah masalahnya? Mungkin hamba boleh menolong?”

Sang raja  pun menjawab: “Memang benar berita yang kamu dengar itu. Beta sudah lama mahu memeluk Islam kerana pernah bertanya kepada ramai alim-ulamak  tentang agama ini. Memang beta dapati Islam itu elok. Cuma beta belum berpuas hati tentang kebenaran peristiwa Israq dan Mikhraj. Bagaimanakah Nabi Muhammad boleh melakukan perjalanan malam  tersebut sedangkan ada yang mengatakan semuanya berlaku dalam tempoh yang amat singkat? Sehingga dikatakan daun  yang bergetar dilanggar orang belum pun habis bergetar apabila  perjalanan itu tamat. Beta sudah bertanya alim ulamak negeri ini. Setakat ini belum ada orang yang dapat memberikan jawaban atau keterangan yang boleh memuaskan hati beta.”

Wali itu tersenyum mendengar pengakuan raja. Beliau pun bertanya: “Bagaimana jika ada orang yang dapat menerangkan masalah ini, adakah Tuanku akan mengucap dua kalimah syahadat dan masuk Islam?”

Baginda menjawab: “Ya, beta akan mengucap kalimah pengakuan itu kalau penerangan yang diberikan dapat memuaskan hati. Beta berjanji akan masuk Islam. Memang itulah yang beta nanti-natikan selama ini.”

“Kalau begitu biarlah hamba menerangkannya,” kata wali itu. “Sila Tuanku ambil sebuah besen penuh dengan air.” beliau meminta pula...

Raja itupun menyuruh kadam memenuhi permintaan tersebut. “Sekarang masukkan kepala Tuanku ke dalam besen,” kata sang wali.

Sang raja mula teragak-agak. Kenapa perlu memasukkan kepala ke dalam besen? Sang wali pun memberikan jaminan persoalan Israq dan Mikhraj akan terjawab jika baginda menurut sahaja. Raja itupun mengalah...

Mula-mula tiada apa-apa yang berlaku... Setakat kepala raja tenggelam dalam air, tiada yang pelik tentang itu. Tetapi apabila baginda mengangkat kepala ke atas, ternyata wali itu sudah hilang. Malah ruang tempat mereka berbual termasuk istana juga sudah tiada! Sekonyong-konyong itu baginda mendapati dirinya berada di dalam sebuah sungai yang deras dipukul arus ganas sehingga terkapai-kapai mencari nafas. Baginda  tidak pandai berenang, maka tenggelam-timbullah raja itu dihanyutkan arus deras...

Dicelah-celah tenggelam-timbul itu baginda menjerit-jerit meminta pertolongan dengan harapan ada yang mendengar. Kebetulan seorang pemuda gembala kambing sedang menjaga ternakan tidak jauh dari situ. Dia dapat mendengar jeritan sang raja lalu bergegas ke tebing sungai.

Pemuda itu meneliti permukaan sungai untuk mengenal-pasti punca jeritan yang didengar. Ternampaklah seorang manusia hanyut tenggelam-timbul dipukul arus di tengah-tengah. Tanpa berfikir panjang, sang gembala pun terjun ke dalam sungai. Setelah berhempas-pulas melawan arus ganas, dia berjaya menyelamatkan raja lalu membawanya ke tebing…

Si gembala memapah sang raja yang asyik terbatuk-batuk akibat  banyak tertelan air. Dalam keadaan separuh sedar, baginda terus terbaring keletihan sambil mengembalikan nafas. Dalam pada itu, raja ini dapat merasakan ada sesuatu yang berlainan tentang tubuh-badannya...  Baginda  pun meraba-raba untuk memastikannya. Eh... Kenapa terdapat bahagian membulat yang lembut-lembut ini? Eh... Mana pergi otot-otot tubuhnya yang sasa? Masyaallah! Memang tubuhnya terasa amat berlainan, bukan lagi tubuh seorang raja atau lelaki yang sasa malah tubuh seorang perempuan! Raja yang masih agak keletihan itu terkejut besar sehingga pengsan.

Sang gembala kambing mengangkat baginda balik ke rumah untuk dirawat. Setelah beberapa hari dijaga, diberi ubat dan disuapkan makanan, barulah kesihatan baginda pulih.  Masalahnya tubuh baginda masih lagi tubuh seorang perempuan. Lalu bagaimana raja itu mahu menjawab apabila pemuda itu bertanyakan asal-usulnya? Bagaimana boleh sampai ke kawasan itu dan dihanyutkan sungai sedangkan baginda pun tak pasti apa yang telah berlaku? Kalau dijawab pun rasanya tidak akan masuk akal biasa... Bagaimana seorang raja boleh hilang daripada istana lalu tiba-tiba hanyut di sungai dan bertubuhkan seorang perempuan? Akhirnya baginda menerima hakikat dirinya bukan lagi seorang raja. Malah sebagai seorang perempuan, baginda akhirnya berkahwin dengan pemuda gembala kambing pula!

Tujuh tahun kemudian, sang raja yang sudah lama melupakan asal-usul  sebenarnya  tergerak untuk pergi ke sungai tempatnya diselamatkan sang gembala kambing dahulu. Oh... Terlupa hendak memberitahu. Mereka telah dikurniakan dua orang anak (kalau tak salah ingatan) ataupun tiga? Apapun, yang penting, hidupnya betul-betul telah berubah. Daripada seorang raja perkasa yang menguasai sebuah kerajaan, baginda telah menjadi seorang isteri yang sempat melahirkan beberapa orang bayi.

Hendak dijadikan cerita, ketika sedang berjalan-jalan di tepian sungai, wanita itu tiba-tiba tergelincir jatuh ke dalam. Sekali lagi dia mendapati dirinya tenggelam-timbul dibawa arus deras. Tahu tidak apakah yang terjadi kemudian? Wanita itu mengeluarkan kepalanya untuk mencuri nafas tetapi apa yang didapati sekelilingnya  bukan lagi sebuah sungai yang deras tetapi sebuah ruang mewah, bagaikan dewan di dalam istana raja!

Wanita itu juga mendapati kepalanya baru sahaja dikeluarkan daripada sebuah besen berisi air, bukannya sebuah sungai.  Seketika itu juga hamba Allah ini mendapati tubuhnya sudah bertukar daripada tubuh seorang perempuan kepada  tubuh seorang laki-laki malah disaluti pula pakaian mewah persis seorang raja. Lalu siapakah dia sebenarnya? Seorang wanita isteri gembala kambing atau seorang raja pemerintah sebuah kerajaan?

Hamba Allah ini tercengang-cengang untuk memahami kejadian ini.  Di manakah dia sekarang? Di manakah dia sebenarnya berada sebelum itu? Siapakah dirinya ini? Apakah yang telah berlaku? Begitu banyak persoalan timbul sehingga dia termenung lama untuk merungkaikan permasalahan.

Di hadapannya pula duduk seorang manusia berjubah berserban tersenyum lebar melihatnya terpinga-pinga.  Ah! Baru dia tersedar... Baru teringat dirinya seorang raja yang sedang berada di dalam istana. Segala peristiwa yang berlaku daripada dirinya jatuh lemas lalu diselamatkan pemuda gembala kambing, bertukar menjadi seorang perempuan dan  berkahwin sehingga melahirkan anak, segala yang dirasakan berlaku dalam tempoh tujuh tahun itu sebenarnya terjadi dalam tempoh beberapa detik sahaja... Semuanya berlaku ketika memasukkan kepala ke dalam besen!

 Menyedari sang raja sudah mulai faham, orang berjubah berserban tadi  (sebenarnya seorang wali yang ditugaskan memberi penerangan supaya sang raja masuk Islam) itupun menegur: “Sekarang  Tuanku faham bagaimana Rasulullah SAW melakukan Israq dan Mikhraj dalam tempoh cuma beberapa detik? Dengan kuasa Allah, tiada perkara yang mustahil!”

Walau sudah faham apa yang berlaku, sang raja masih lagi kehairanan. Susah untuknya menerima kenyataan...  Terbetik pula di hati: “Mungkin aku telah dipermainkan... Barangkali aku disihir sehingga boleh percaya yang aku betul-betul telah menjadi seorang wanita? Boleh pula menghabiskan tujuh tahun hidup susah bersama seorang pengembala kambing?”

Wali Allah yang kasyaf itu tahu apa yang bermain di fikiran raja: “Tuanku masih tak percaya?”beliau bertanya. Atau kalau ikut kata  budak-budak sekarang: “Kenapa? Tak percaya ke?” mengajuk iklan televisyen...

Raja itu tidak menjawab. Mungkin hatinya belum puas lagi?

Wali itupun menyambung: “Tak mengapalah. Sebentar lagi akan datang beberapa orang tetamu yang akan menjawab persoalan Tuanku.”

Sang raja semakin bingung. Apakah yang dimaksudkan orang ini? Jika tadi, kepalanya dimasukkan ke dalam besen lalu berlaku keajaiban  sehingga  dia hilang entah di mana, kemudian boleh terasa seperti berada tujuh tahun di sana malah boleh pula bertukar menjadi seorang perempuan, sekarang ada tetamu boleh menyelesaikan masalahnya... Apakah makna semua ini?

Kebetulan  memang ada tetamu baru sampai ke istana untuk berjumpa dengan raja. Seorang pesuruh raja pun menghadap menyampaikan berita. Sang wali mengisyarat  raja  supaya menerima kedatangan tetamu itu. Sebaik sahaja tetamu masuk, wali itu sendiri bangun lalu menyambutnya...

“Tuanku kenal siapakah ini?” sang wali menunjuk kepada mereka...

Ternyata tetamu yang datang  adalah pemuda gembala kambing yang ditemui raja semasa memasukkan kepalanya ke dalam besen! Orang yang menyelamatkan nyawanya ketika dia bertukar menjadi seorang perempuan yang kelemasan dalam sungai malah sempat menjadi suaminya pula! Turut bersama adalah anak-anak comel hasil perkahwinan mereka. Sang  raja terus bersujud lalu mengakui kebesaran Ilahi. Tanpa perlu diajar lagi, baginda mengucapkan dua kalimat syahadat lalu masuk Islam. Tammat...



              Z


Sekarang, renungkan kembali cerita yang mengandungi rahsia  besar tentang kejadian Israq dan Mikraj ini. Di manakah semuanya berlaku, pada masa bila? Fikirkan... Dalam sedetik memasukkan kepala ke dalam besen, seorang raja boleh bertukar menjadi perempuan malah hidup tujuh tahun di suatu tempat sehingga melahirkan dua (atau tiga?) orang anak... Keluar kepala dari besen pula kembali menjadi raja tetapi boleh berjumpa anak-anak itu kembali. Maka apakah yang sebenarnya telah berlaku? Apakah  itu ruang dan masa? Adakah ia seperti yang kita fikirkan selama ini?

Berfikirlah. Dan berzikirlah sekali… Minta petunjuk Allah SWT agar diterangkan hakikat sebenar alam dan kehidupan. Apakah tujuan kita dijadikan dan diletakkan di atas muka bumi ini... Apakah makna sebenar Firman Allah: “Tidak aku jadikan manusia dan jin kecuali untuk beribadah kepada Ku.” Adakah ia setakat mengikut Syariat dan hukum-hukum  Fiqah seperti sering disebut orang atau ada makna lain yang lebih meluas?

 Apakah makna sebenar ibadah yang berasal daripada perkataan akar abdi, mengabdikan diri? Cuba tanya orang-orang  yang Arif, apakah hakikat sebenar ibadah, apa makna ubudiyah? Marilah kita belajar mengenali diri masing-masing dengan sebenar-benar perkenalan, tahu hakikat atau makna diri yang sejati, faham hubungan hamba yang sejati dengan Sang Pencipta... Kemudian carilah peranan sebenar masing-masing di bumi ini.

Kajilah diri kita sendiri dalam-dalam. Kenapa ada orang bernama Abu, bukannya Ramli? Kenapa ada yang berkulit sawo matang, bukan putih merah? Kenapa  suka warna hijau tetapi benci warna pink? Kenapa sukakan gajah, tetapi tidak suka melihat badak? Kenalilah kembali kecenderungan diri yang sejati, minat dan hobi yang wujud dalam hati sanubari secara semulajadi, bukannya minat yang dipaksakan keadaan atau terikut-ikutkan orang. Kenalilah diri kamu rata-rata sebelum mengenali Allah yang nyata. 

Sambil-sambil itu rajin-rajinlah bertanya dengan orang-orang tua tentang asal-usul keluarga. Cari salasilah dan wasilah diri, fahamilah sabda Rasulullah SAW... Setiap orang  dipertanggungjawabkan dengan nasabnya. Renungkan kenapa orang dahulukala amat memerhatikan asal-usul keturunan seseorang dan sangat prihatin dalam memelihara kemuliaan dan ketulinan nasab. Bukan kerana hendak menyombong diri tetapi untuk  beramanah dengan nama baik keluarga! Insyaalah, jika ini dapat dirungkai, setiap orang akan menemukan jawaban kepada beberapa persoalan yang akan mengungkapkan segala rahsia perjalanan hidup masing-masing.

Saudara saudari yang dihormati sekelian, perhatikan sekeliling anda...  Perhatikan segala macam kebathilan berleluasa sehingga menjadi budaya kelaziman hidup yang tidak mampu lagi dielakkan... Kita semua sudah lali dengan rasuah, tipu-daya, pecah amanah, riba’, pergaulan bebas laki-laki dan perempuan, hiburan tanpa batasan dan maksiat. Semua pihak sebenarnya terpalit dan terlibat kecuali mereka yang sanggup menongkah arus zaman untuk keluar seratus peratus daripada lingkungan budaya kehidupan sekarang. Fikirkan... Pihak manakah menyebabkan ini boleh  berlaku?

Sekarang luaskan pemandangan itu dengan mata-hati yang bercahaya menembusi segala kekaburan sehingga meliputi hal-ehwal dunia sejauh yang mungkin. Renungkan, kenapa Presiden Bush terus diberikan mandat untuk memimpinAmerika selama lima tahun lagi walaupun sudah dua kali menghadapi proses pemilihan presiden yang memakan masa  yang lama serta menelan belanja berbillion-billion Dolar. Kenapa Afghanistan masih lagi huru-hara walaupun sudah memiliki kerajaan baru yang ‘demokratik’. Kenapa Iraq yang sudah pun melutut terus ditekan dan dijahanamkan? Siapakah ‘kepala’ yang bertanggungjawab ke atas semua ini?

Lebih dekat ke tanah air, kenapa Aceh ‘dikeroyok’ tentera yang menurut arahan dari Jakarta? Mungkin keadaan sudah aman selepas Tsunami 26 Disember 2004 memaksa pihak yang bertelagah untuk berdamai. Tetapi betulkah nasib rakyat bumi Serambi Mekah yang sudah beratus tahun sengsara dilanda pelbagai musibah sudah terbela?  Bagaimana pula keadaan di selatan Thailand yang lebih dekat dengan sempadan kita? Jika Aceh sudah tamat tempoh darurat, bagaimana pula darurat baru yang diisytiharkan di Patani 2005? Wilayah itu juga pernah menjadi pusat dakwah Islam ke seluruh bumi Melayu. Bukankah ia juga sedang teruk ‘dikeroyok’ tentera?

Ingat lagi tidak bagaimana Australia pernah beriya-iya mahu menghalalkan operasi tentera ke atas Malaysia dan Indonesia atas alasan mahu mencari pengganas ? Amerika pula sibuk mahu menghantar armada lautnya yang hebat untuk meronda Selat Melaka dengan disokong Singapura. Nasib baik kita dapat menolak secara diplomatik. Kalau tidak mungkin kedaulatan perairan kita sudah lama tergadai... Fikirkan juga kenapa Perdana Menteri Singapura dahulu, Lee Kuan Yew berani mencabar jiran-jirannya negara-negara Melayu supaya menyerang  pulau itu. Apakah kerana mereka sudah memiliki sistem peluru berpandu canggih dengan kekuatan tentera yang disokong Amerika dan dilatih  Yahudi?

Apa pula sebenarnya sedang berlaku di Baitul Muqaddis yang tidak disiarkan kepada umum oleh media massa dunia yang dikuasa Zionis? Kenapa rejim Israel pernah membuat pengumuman menghadkan kemasukan umat Islam bersolat Tarawih di Masjidil Al Aqsa kerana takut lantainya roboh? Apa pula sebab mereka fikir ia boleh roboh ? Bukankah masjid itu telah berdiri kukuh sejak Saidina Umar memerdekakan Baitul Muqaddis daripada Empayar Kristian Byzantium 1,400 tahun lalu? 

Seteruskan kaitkan dengan ini.... Kenapa apabila menyebut tentang tanah suci ketiga Islam itu, kita terus disogok dengan gambar Qubah Al-Sakrah, Dome of the rock dengan kubah kuning keemasannya... Kenapa tidak gambar sebenar Masjidil Aqsa? Apakah yang ingin disembunyikan?

Saudara saudari sekalian. Tahukah apa itu Temple of Solomon atau Haikal Nabi Sulaiman AS? Kalau tidak, tanya mereka yang tahu. Tanyakan sekali apa itu Zionist, Temple of Zion, Protocols of the Elders of Zion, siapakah dia orang yang dikatakan Freemason dan Iluminati... Dan yang lebih penting, apa kena mengena mereka semua dengan Amerika, Britain dan Israel malah Arab Saudi, apalagi dengan badan-badan perisikan seperti CIA dan Mossad yang mempunyai rangkaian seluruh dunia dan apakah misi utama mereka…

Fikirkanlah. Apakah makhluk-makhluk perosak ini yang ingin memadamkan syiar Islam sejak zaman Rasulullah SAW lagi tidak pernah memainkan peranan di bumi Melayu? Apakah tidak ada ajen mereka bergerak di segenap lapisan masyarakat malah memegang kepimpinan tinggi sebagai proksi Yahudi tetapi mengaku memperjuangkan agama, bangsa dan negara? Berhati-hatilah akan makhluk perosak ala Machiavelli, musang bertopengkan kambing biri-biri yang sekarang ada di mana-mana...

Lihatlah segala peristiwa dunia yang berlaku kebelakangan ini dengan mata, kepala dan fikiran yang terbuka, fikiran yang berfikir dan berzikir… Percayalah, seperti yang sering disebut oleh Rasulullah SAW, kita ini umat akhir zaman. Sudahkah kita bersedia untuk menyambut kedatangannya?

Sekian sahaja tugas menyampaikan sedikit pengetahuan. Jika ada salah silap, terkasar bahasa dan sebagainya, saya sebagai insan yang lemah  menyusun sepuluh jari memohon ampun dan maaf. Wassalam. 


Radzi Sapiee
30 September 2007 bersamaan 18 Ramadhan 1428,
Kampung Janda Baik, Bentong, Pahang.





3 comments:

Anaknda Bertuah said...

MasyaAllah...

Anonymous said...

Maksud ayat last tu DAJJAL sang pedusta..dan tentera2 dajjal tgh gali bwh masjid Al-Aqsa..kdatangan dajjal smakin hampir..Allah selamatkan kami umat Nabi Muhammad S.A.W drp fitnah2 dajjal..amin!

Syeikh Kerutuk said...

Assalamuaikum Saudaraku Radzi,

Semoga Allah SWT terus memberikan hidayat kepada seluruh ummat manusia serta dapat mengambil segala pelajaran dan pengajaran daripada peristiwa Isra' dan Mikraj tersebut.

Manitis air mata hamba membaca ulasan di akhir-akhir perenggan artikel saudara kali ini. Sangat terkesan... Hamba cukup mengenal arti maksud tersurat dan tersirat penulisan itu. Semoga Aceh dan Patani kembali kepada sinar Islam dengan izin Allah, sebagai mana suatu masa dahulu. Inilah akhir zaman... suatu masa yang panjang bagi mereka yang tidak menggunakan akal iman, sebaliknya masa yang genting kepada golongan yang mengejar ganjaran akhirat.

Insya Allah, penulisan saudara akan membuka minda kepada khalayak pembaca....

Semoga Allah merahmati saudara sekeluarga serta seluruh ummat Nabi Muhammad SAW...