Manakan dapat sagu kalau tidak dipecahkan ruyungnya?
Manakan dapat mutiara yang berkerlipan jika takut menyelam ke lautan dalam.
Dalam diri setiap manusia, ada seketul daging.
Jika baik ia, maka baiklah seluruh jiwa manusia itu.
Jika buruk ia, buruklah juga manusia itu...
Seketul daging itu adalah hati,
mari kita lapangkan dada dan belajar mengIKHLASkan hati.
Perjalanan seribu batu bermula dengan satu langkah.
Marilah meneroka dunia pemikiran hamba.
Silakan

Video klip yang tertera boleh dianggap sebagai pembukaan kepada dunia pemikiran dan kesukaan hamba...







-------------------------


-------------------------



Segala yang dipaparkan menggambarkan pemikiran penulis yang turut terserap di dalam setiap penulisan buku dan artikel. Lihat Cara-cara mendapatkan buku tulisan Merah Silu @ Radzi Sapiee. Di atas adalah satu klip video selama hampir setengah jam yang merupakan demo pilot episode yang mahu digunakan untuk mencadangkan satu siri pengembaraan menyusuri sejarah Melayu Islam sekeliling Nusantara untuk siaran televisyen. Entah mengapa ia menemui masalah. Kemudian penulis diberitahu konsepnya diciplak sebuah stesyen televisyen. Lihat Kembara Sejarah Islam Nusantara : The original material...



Ini adalah klip video ulasan buku ketujuh saya "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" berserta temuramah yang dibuat siaran langsung di Selamat Pagi Malaysia, RTM1. Lihat Siaran langsung ulasan buku "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" dan temu ramah di Selamat Pagi Malaysia.



Penulis juga pernah diminta membuat pembentangan mengenai siri buku "Berpetualang ke Aceh" di Masjid Sultan Salahuddin iaitu masjid negeri Selangor di Shah Alam. Lihat Buku "Berpetualang" dan himpunan ulamak Nusantara yang diketuai ulamak Aceh


-------------------------



Siri novel "Berpetualang ke Aceh" boleh didapati dalam bentuk e-book. Masuk http://www.e-sentral.com/, klik kategori novel am dan taip perkataan "Aceh" pada kotak carian. Atau terus klik Buku 1,Buku 2 dan Buku 3.





Gambar ketika menghadiri satu majlis ilmu, diambil oleh sebuah akhbar harian. Lihat Menghiasi Kosmo Alam Melayu...



Penerbitan trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" juga membawa penulis untuk terlibat dengan banyak majlis ilmu. Rujuk kumpulan links artikel di bawah tajuk "Siri Refleksi Sejarah", pada bahagian paling bawah kiri blogspot, . Penulis juga agak aktif dalam aktiviti-aktiviti kedaulatan Melayu dan Islam, dapat menganjurkan majlis-majlis sendiri di merata Semenanjung Malaysia membawa ke luar negara di Aceh. Lihat blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


Ketika menulis perenggan ini 4 Mei 2015 penulis sedang berusaha untuk mengembangkan isi 3 buku dalam siri "Berpetualang ke Aceh" menjadi 6 buku yang akan membentuk siri baru dipanggil "Siri Pengembaraan Merah Silu". Sebuah syarikat penerbitan telah bersetuju untuk menerbitkan siri lama itu kembali dalam bentuk yang lebih segar - Setiap buku asal dipecah menjadi 2 buku baru yang ditambah maklumat, gambar dan peta berwarna-warni.Pertengahan September 2015 buku pertama siri baru pun selamat diterbitkan. Seminggu lebih kemudian penulis berpeluang bercakap tentangnya secara siaran langsung dalam televisyen lalu membawa wakil penerbit bersama. Lihat video di bawah :-






Awal tahun 2015 turut menyaksikan penulis diambil menjadi penyelidik dan hos satu siri dokumentari yang dipanggil "Daulah Melayu". Projek 13 episod sepanjang sejam setiap satu ini mahu mengenengahkan formula untuk mengembalikan kekuatan bangsa Melayu. Insyaallah projek iakan membawa penulis untuk mengembara ke merata di Malaysia dan Indonesia juga ke beberapa negara dan tempat di Eropah termasuk ke kota London, tempat penulis mengambil ijazah matematik 1991-1995. Siri dokumentari ini dijangka siap untuk tayangan televisyen dalam tempoh 2 tahun.


Saturday, June 16, 2012

Aku cuma zilal Mu ya Allah!

Sebuah lukisan yang ditemui setelah membuat Google image search menggunakan perkataan "Abdul Qadir Jilani"



Subhanallah walhamdulillahi walailahaillahu wallahukbar. Lagi beberapa jam lagi akan masuk waktu Maghrib dan dengan itu masuklah tarikh 27 Rejab 1433, malam Israq dan Mikhraj. Semalam, setelah membuat artikel   Demi masa, sesungguhnya manusia itu dalam kerugian yang mengandungi bahagian tengah bab bertajuk "Lagi catatan mengenai tarikh dan peristiwa yang bercanggah" daripada buku "Berpetualang ke Aceh : Sirih pulang ke gagang?" saya terasa harus berkongsi juga bahagian akhir bab yang sama. Ini mahu dibuat sebagai 'mukadimah' untuk satu artikel lain mahu dipersembahkan malam nanti, artikel memaparkan isi  yang lebih berkaitan peristiwa besar Nabi Muhammad SAW berjalan malam hingga naik ke langit. Saya memikirkan mahu membuat 'mukadimah' tersebut petang ini tetapi mendapati bahawa isi yang mahu dikongsi sudah diletakkan di blogspot ini 5 tahun lalu.

Dengan itu seluruh cerita bab tersebut boleh dibaca di sini. Masuk sahaja links mengikut tertib :-




Namun saya masih terasa wajib berkongsi sesuatu daripada buku ketiga saya itu untuk petang ini. Lalu setelah memikirkan konteks berkaitan saya terasa isi berikut daripada bab bertajuk "Impian seorang petualang : Melangkaui adat dan masa" sesuai untuk tatapan. Oh. Anggaplah cerita ini cuma khayalan saya sahaja ya. Ia cuma luahan perasaan yang pernah diletakkan ke dalam buku, itu sahaja. Ambil iktibar atau ilmu yang mungkin dipaparkan secara tidak sengaja, janganlah difikirkan terlalu mendalam... :]


---------------------


Rasyid dibawa dalam satu perjalanan merentasi udara. Kali ini, entah bila pula munculnya, ada permaidani terbang di bawahnya. Rasa sebak yang meliputi seluruh jiwanya tadi mula luput dihembus angin pantas yang membelah perjalanan ajaib seperti cerita Aladdin dalam 1001 Malam.

Pemuda itu meneliti permaidani yang membawa mereka ke destinasi dan zaman seterusnya. Eh… Rupanya saling tidak tumpah seperti tikar mengkuang buruk yang pernah digunakan Nenek untuk berbaring semasa sakit dahulu, tikar usang yang pernah diambilnya selepas Nenek mangkat lalu dibawa berkelana mengelilingi Perak. Teringat pula ketika pertama kali sampai ke Pulau Besar, Melaka dengan membawa tikar buruk Nenek... Entah kenapa, beberapa orang yang ditemuinya mendakwa, tikar itu boleh dijadikan permaidani terbang jika Rasyid tahu cara menggunakannya!

“Tumpukan perhatian pada perjalanan!” Nenek memotong lamunan.

Seketika itu juga, pengembara melangkaui ruang dan masa ini dapat melihat seorang lelaki lain berpakaian seperti seorang raja keluar memburu membawa berpuluh orang pengikut bersama seekor anjing... Anjing ini kemudian menyalak pada suatu tanah tinggi kerana terserempak seekor semut sebesar kucing! Peristiwa ini menandakan kemunculan sebuah kerajaan  yang akan membawa peranan besar menyebarkan syiar Islam...

Rasyid juga dapat meyaksikan sebuah lagi peristiwa di sebuah lokasi  pada zaman silam yang lain, sekali lagi di sebuah istana tetapi kali ini sedang dikepung dan diserang tentera. Tidak jauh dari situ kelihatan seorang lelaki berlari mempimpin seorang wanita yang sedang mengendong seorang bayi merentasi hutan untuk menyelamatkan diri. Sampai di suatu tempat yang kelihatan agak tersorok, lelaki itupun menyuruh isterinya melepaskan pelukan dan meletakkan bayi tersebut di atas tanah.

“Adinda jangan risau,” kedengaran suara sang lelaki memujuk lembut. “Percayalah, anak kita ini diTakdirkan akan membesar dengan selamat lalu membela kembali bumi ini seperti yang tersurat dalam Loh Mahfuz.”

Rasyid dapat menyaksikan bagaimana pasangan ini memanjatkan doa terhadap Ilahi lalu pasrah meninggalkan anak itu di dalam hutan. Kemudian pergilah mereka bersampan sehelai sepinggang memudiki sebuah sungai luas menghala ke hulu sebelum membelok masuk ke satu cabang anak sungai untuk mendarat di satu tempat. Sambil itu, muncul seekor gajah tunggal mengambil anak yang ditinggalkan. Di kala itu juga kelihatan segerombolan tentera meredah hutan seolah-olah sibuk mencari banduan.

Rasyid yang sudah kembali tenang dibawa lebih jauh merentasi ruang dan masa untuk melihat satu lagi pergolakan besar melibatkan takhta dan agama yang berlaku lebih awal di bumi Serambi Mekah... Seterusnya dia menyeberangi lautan luas untuk sampai ke sebuah kotaraya gergasi dengan bangunan-bangunan berkubah indah yang penuh gemilang, saling tidak tumpah seperti pernah dilihat dalam sebuah mimpi suatu masa dahulu.

“Baghdad!” tiba-tiba dia menjerit riang seperti budak-budak.

Sekonyong-konyong itu, anak muda ini mendapati dirinya berada di tengah sebuah majlis ilmu yang dihadiri beribu orang pendengar daripada berbagai lapisan rakyat. Nenek pun memimpinnya lalu membawa pemuda itu ke satu sudut. Nampaknya ada perbincangan hangat walaupun Rasyid kurang faham apa yang diperkatakan, rasanya dalam bahasa Arab.

Dia cuma faham beberapa perkataan, antaranya bila hadirin memanggil orang yang memberi syarahan di hadapan sebagai Sultanul Awliya… Eh Sultanul Awliya? Keluar pula nama Sheikh Abdul Qadir Al-Jilani!

Sekali lagi pemuda itu tersentak. Tiba-tiba sahaja dia berada di hadapan seorang lelaki berjubah berserban dengan penampilan yang sangat hebat, seolah-olah ada cahaya matahari terpancar keluar daripada tubuhnya. Apabila mata yang silau mula menyesuai dengan keadaan (atau cahaya tadi beransur hilang kekuatan?) barulah Rasyid dapat menentang wajahnya…

“Eh… Macam pernah lihat orang ini. Tetapi bila dan di mana ya?” hatinya bertanya. Adalah tu kat mana-mana... Tak pun mungkin dalam mimpi?

Nenek pula menegur: “Salam! Cium tangan atuk kamu ini.”

Pemuda yang masih terpinga-pinga itu menurut sahaja. Orang tua tadi memeluknya erat seperti seorang datuk yang sudah lama tidak berjumpa cucunya. Beribu orang yang mendengar syarahan tiba-tiba terpaku beku! Ada yang ternganga sehingga kelihatan anak tekak, ada yang mata terbeliak tidak bergerak-gerak... Malah Rasyid dapat melihat sekawan burung merpati yang sedang terbang melepasi tingkap kaku dengan kepak terbuka dan terkuak seperti patung-patung hidup yang tergantung di udara!

Nenek membisikkan sesuatu kepada orang itu kemudian menoleh ke arah cucunya. “Kamu ikut atuk kamu ini jalan ya…” dia memberitahu. “Biar dia bawa kamu ke tempat seterusnya. Nenek tunggu kamu di sini.”

Rasyid mengangguk-angguk tanpa bertanya apa-apa. Orang tua itu tersenyum lalu memberikan isyarat supaya mengekorinya.  Anak muda itu pasrah menerima segala kemungkinan, menurut sahaja apa yang disuruh.

Sekali lagi keadaan berubah, kali ini dengan lebih mendadak. Tiba-tiba Rasyid mendapati dirinya berada di luar sebuah teratak buruk tetapi kemas di sebuah kawasan yang agak asing, rasanya seperti di Tanah Arab.

Orang tua tadi memberikan salam, terus disambut daripada dalam. Pintu rumah terbuka lalu dia memimpin pemuda itu masuk. Kelihatanlah seorang lelaki tua yang jauh lebih hebat, gilang-gemilang penampilannya hingga tidak terkata! Terlalu terserlah melangkaui ibarat, boleh hilang akal jika cuba membicarakannya... Tetapi cahaya kuat yang terpancar daripada  orang ini tidak pula menyilau atau menyakitkan mata, terasa lembut pula seperti cahaya bulan purnama… Rasa sejuk nyaman pun ada!

Orang tua yang membawanya ke situ pula berubah wajah menjadi muda lalu mencium tangan tuan rumah. Anak muda kelahiran Muar, Johor itupun menurut sama mencium tangan lelaki hebat tadi lalu lelaki itu  memeluknya seraya mencium kedua-dua kening pemuda itu. Kemudian mereka diisyaratkan supaya pergi duduk di satu sudut di teratak kecil itu.

“Ali, Fatimah! Hassan, Hussein!” tiba-tiba lelaki itu memanggil.

Tidak lama kemudian muncul seorang lelaki yang tidak kurang hebat penampilannya memimpin seorang wanita yang sangat cantik. Wanita itu sedang mengendong dua orang anak laki-laki yang masih kecil tetapi nampaknya sudah mampu berjalan sendiri. Orang-orang ini menghampiri lelaki berwajah cemerlang tadi. Lelaki itu mengibarkan sehelai selimut sehingga menyebelubungi mereka sebelum turut masuk ke dalamnya.

Tiba-tiba Rasyid berada di dalam selimut. Penampilannya pula berubah menjadi seorang kanak-kanak! Lelaki hebat itu membacakan ayat....


Innama yuridullahu liyuzhiba‘ankumurrijsa ahlalbaiti wayuthohhirakum tat’hiiro.


 Ah… Pemuda ini kenal ayat itu kerana ia selalu disebut dalam buku-buku mengenai Ahlul Bait iaitu anak cucu keturunan Rasulullah SAW. Itulah penghujung Ayat 33 Surah Al-Ahzab yang bermakna: “Allah hanya menghendaki untuk menghilangkan kotoran (dosa) daripadamu wahai Ahlul Bait, mahu membersihkan kamu sebersih-bersihnya.”

Ayat ini sering disebut para pembela Ahlul Bait sebagai bukti betapa Allah SWT merahmati keluarga Nabi... Ia juga jaminan Tuhan yang mahukan anak cucu Nabi turut menjadi suci sesuai dengan martabat yang diberi...

Selimut pun dibuka… Seketika itu Rasyid terasa dirinya disentap kuat lalu dibawa laju merentasi alam cahaya yang berubah-ubah seperti warna pelangi...  Terlihatlah alam demi alam pelbagai ragam yang tidak terkira banyaknya, masing-masing dengan khazanah sendiri yang tidak tercerita... Akal terkedu memikirkan, mulut terkunci, lidah terkelu. Hilang segala bentuk kata-kata, tiada langsung kemampuan mengungkapkannya. Masa atas masa, masa luar masa, alam tanpa masa, malah hilang bentuk tubuh-badannya, wujud tanpa rupa. Terbetik daripada kalbunya kata-kata ini:


“Aku cuma zilal, bayang-bayangMu sahaja… Asyhadu al la ilaha il Allahu wahdahu la sharikala wa asyhadu anna Muhammadan abdahu wa Rasulu”


Alam demi alam bertukar menjadi satu medan fikiran tanpa gambaran… Pemuda itu masih mampu berfikir kerana sedar akan kewujudan fikirannya walau tanpa bentuk dan tubuh-badan. Keadaan berubah lagi. Ah… Kali ini, fikiran Rasyid terasa semakin lama semakin pudar. Sudah...  Fikirannya juga telah hilang, lesap segala kesan wujud... Lalu Siapakah yang sebenarnya merasai, Siapakah yang sebenarnya sedang mengalami semua ini?

MasyaAllah! Engkau sahaja yang mampu mengenali diriMu ya Allah!  Engkau Zat Wajibul Wujud sedangkan aku ini Adum, tiada… Tiada lagi ku dengar kidungmu. Ah… ke situ pula perginya…  Sempat juga mengarut...

Akhirnya semuanya kosong belaka, ghaib seghaib-ghaibnya. Kosong yang bagaimana? Tidak fikiran, tiada medan... Hilang di dalam kuntu kanzan iaitu perbendaharaan Ilmu. Lenyap segala bentuk wujud, lebur di dalam cahaya. Cahaya di atas cahaya, nurin ala nurin. Allahu nurusamawatiwal ard…


Ya Awwal ya Akhir, Ya Zahir Ya Bathin, Ya Hayyu Ya Qayum, Haq, Haq, Haq.


Segala-galanya Dia. Hu, Hu, Hu, lautan luas tidak bertepi… Dia yang hidup, Dia yang berilmu, Dia yang berkehendak, Dia yang berupaya atas segalanya.  Dia juga yang mendengar dalam ilmuNya serta melihat kesemuanya. Lalu Dia berkata-kata mengikut kesukaanNya dengan ilmuNya. Dia itulah yang  wujud tanya sesiapa atau apa-apa berserta dengannya. Tiada sesuatu pun yang ada kecuali Dia, Hu, Hu, Hu! Noktah.