Manakan dapat sagu kalau tidak dipecahkan ruyungnya?
Manakan dapat mutiara yang berkerlipan jika takut menyelam ke lautan dalam.
Dalam diri setiap manusia, ada seketul daging.
Jika baik ia, maka baiklah seluruh jiwa manusia itu.
Jika buruk ia, buruklah juga manusia itu...
Seketul daging itu adalah hati,
mari kita lapangkan dada dan belajar mengIKHLASkan hati.
Perjalanan seribu batu bermula dengan satu langkah.
Marilah meneroka dunia pemikiran hamba.
Silakan

Video klip yang tertera boleh dianggap sebagai pembukaan kepada dunia pemikiran dan kesukaan hamba...







-------------------------


-------------------------



Segala yang dipaparkan menggambarkan pemikiran penulis yang turut terserap di dalam setiap penulisan buku dan artikel. Lihat Cara-cara mendapatkan buku tulisan Merah Silu @ Radzi Sapiee. Di atas adalah satu klip video selama hampir setengah jam yang merupakan demo pilot episode yang mahu digunakan untuk mencadangkan satu siri pengembaraan menyusuri sejarah Melayu Islam sekeliling Nusantara untuk siaran televisyen. Entah mengapa ia menemui masalah. Kemudian penulis diberitahu konsepnya diciplak sebuah stesyen televisyen. Lihat Kembara Sejarah Islam Nusantara : The original material...



Ini adalah klip video ulasan buku ketujuh saya "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" berserta temuramah yang dibuat siaran langsung di Selamat Pagi Malaysia, RTM1. Lihat Siaran langsung ulasan buku "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" dan temu ramah di Selamat Pagi Malaysia.



Penulis juga pernah diminta membuat pembentangan mengenai siri buku "Berpetualang ke Aceh" di Masjid Sultan Salahuddin iaitu masjid negeri Selangor di Shah Alam. Lihat Buku "Berpetualang" dan himpunan ulamak Nusantara yang diketuai ulamak Aceh


-------------------------



Siri novel "Berpetualang ke Aceh" boleh didapati dalam bentuk e-book. Masuk http://www.e-sentral.com/, klik kategori novel am dan taip perkataan "Aceh" pada kotak carian. Atau terus klik Buku 1,Buku 2 dan Buku 3.





Gambar ketika menghadiri satu majlis ilmu, diambil oleh sebuah akhbar harian. Lihat Menghiasi Kosmo Alam Melayu...



Penerbitan trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" juga membawa penulis untuk terlibat dengan banyak majlis ilmu. Rujuk kumpulan links artikel di bawah tajuk "Siri Refleksi Sejarah", pada bahagian paling bawah kiri blogspot, . Penulis juga agak aktif dalam aktiviti-aktiviti kedaulatan Melayu dan Islam, dapat menganjurkan majlis-majlis sendiri di merata Semenanjung Malaysia membawa ke luar negara di Aceh. Lihat blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


Ketika menulis perenggan ini 4 Mei 2015 penulis sedang berusaha untuk mengembangkan isi 3 buku dalam siri "Berpetualang ke Aceh" menjadi 6 buku yang akan membentuk siri baru dipanggil "Siri Pengembaraan Merah Silu". Sebuah syarikat penerbitan telah bersetuju untuk menerbitkan siri lama itu kembali dalam bentuk yang lebih segar - Setiap buku asal dipecah menjadi 2 buku baru yang ditambah maklumat, gambar dan peta berwarna-warni.Pertengahan September 2015 buku pertama siri baru pun selamat diterbitkan. Seminggu lebih kemudian penulis berpeluang bercakap tentangnya secara siaran langsung dalam televisyen lalu membawa wakil penerbit bersama. Lihat video di bawah :-





Awal tahun 2015 turut menyaksikan penulis diambil menjadi penyelidik dan hos satu siri dokumentari yang dipanggil "Daulah Melayu". Projek 13 episod sepanjang sejam setiap satu ini mahu mengenengahkan formula untuk mengembalikan kekuatan bangsa Melayu. Insyaallah projek iakan membawa penulis untuk mengembara ke merata di Malaysia dan Indonesia juga ke beberapa negara dan tempat di Eropah termasuk ke kota London, tempat penulis mengambil ijazah matematik 1991-1995. Siri dokumentari ini dijangka siap untuk tayangan televisyen dalam tempoh 2 tahun.


Pada 13 Mei 2023 buku ke 13 + 1 penulis (pertama setelah yang ke-13 terbit tahun 2019 lalu mula memberikan tumpuan pada pengajian pascasiswazah di ISTAC iaitu Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam di Bukit Tunku, Kuala Lumpur), Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin & Orang Kaya Arsyad telah dilancarkan oleh sejarawan ulung negara, Profesor Emeritus Datuk Dr Abdullah Zakaria Ghazali di rumah penulis. Lihat Majlis pelancaran buku dan rumah terbuka raya 2023 - Melestarikan semangat perjuangan. Beliau yang bertanggungjawab memberikan kata-kata aluan dalam buku turut menjadi pembicara dalam diskusi yang diadakan di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2023 (berlangsung 26 Mei hingga 4 Jun). Lihat Bicara buku Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin di PBAKL 2023. Diskusi ini terakam dalam video atas diikuti video bawah...



Khamis, Ogos 14, 2008

Bab 12, perebutan takhta dan harta di Perak yang membawa kepada keadaan negara hari ini...

OK... Kita sambung bahagian akhir dari Bab 12 buku "Berpetualang ke Aceh: Sirih Pulang ke Gagang?" yang berkaitan sekitar Perjanjian Pangkor 1874 serta perjalanan ke Perak yang akan dibuat hujung minggu ini. Mari! :]


Gambar hiasan, peristiwa dakwaan di mahkamah terhadap pahlawan-pahlawan Melayu yang menentang Inggeris di Perak. Daripada artikel The main players of the Perak-British war as depicted at the fort of Ngah Ibrahim... di blogspot BERPETUALANG KE ACEH yang dibuat setengah tahun lalu


Sejarah mencatatkan, Ngah Ibrahim pernah menubuhkan satu pasukan polis sekitar 40 orang Melayu untuk mengawal keamanan Larut tapi gagal. Lalu beliau mengupah (atas cadangan siapakah agaknya ya?) seorang pegawai British, Kapten Speedy untuk membentuk pasukan lebih mantap. Pada 1873 pegawai itu kembali dari India membawa 110 orang Punjabi dan Pathan bersenjata berperanan sebagai polis. Pasukan inilah yang akan berkembang menjadi Polis Tanah Melayu mengandungi segerombolan pengkhianat yang akan bertanggungjawab memburu dan membunuh ramai pejuang Melayu nanti.

Sementara itu, perebutan takhta Perak menyebabkan Raja Abdullah menulis surat kepada Gabenor Negeri-negeri Selat iaitu Andrew Clarke 31 Disember 1873 dan 9 Januari 1874 memohon bantuan. Maka strategi serampang dua mata Inggeris yang bermula sekitar 1853 apabila Raja Jaafar mencabar Sultan Abdullah Muhammad I pun mula mengena. Ramai tak sedar suku-suku Cina yang dibawa masuk ke Perak diketahui Inggeris telah lama bersengketa di tanah-air mereka sendiri lalu senang diapi-apikan untuk menghuru-harakan negeri. Sepertimana mereka juga telah mengkaji sifat dan sejarah berbagai sukubangsa Melayu seperti Bugis, Rawa, Batubara, Jawa dan Aceh supaya boleh diporak-porandakan secukup rasa, boleh dilaga-lagakan apabila perlu.

Pada 20 Januari 1874, Raja Abdullah menandatangani Perjanjian Pangkor di hadapan Andrew Clarke, wakil Inggeris juga pembesar Perak seperti Bendahara, Temenggung, Syahbandar, Datuk Sagor, Ngah Ibrahim dan bapa mertuanya Laksamana Muhammad Amin. Pada hari yang sama, kapal perang Inggeris HMS Pluto yang menjadi medan perjanjian di perairan Pangkor turut menyaksikan wakil kumpulan-kumpulan kongsi gelap yang terlibat dalam Perang Larut terutama Ghee Hin dan Hai San ‘berteguh janji’ lalu berdamai antara mereka!

Maka itu dengan ‘kebijaksanaan’ pihak Inggeris yang ‘berjaya’ membawa semua pihak ke meja perundingan, ‘tamatlah’ segala persengketaan dan Perak pun ‘aman’. Lalu sejarah mencatatkan Larut yang mengambil sempena nama gajah milik Long Jaafar yang secara tak sengaja telah membawa penemuan simpanan bijih timah terkaya di dunia zaman itu, nama bahasa Melayu (larut dalam air, bahan larut dan sebagainya…) telah ditukar menjadi Taiping... Dari perkataan Cina yang bermaksud “keamanan yang berkekalan”.

Ya. Memang aman, cukup aman bagi pihak-pihak berkepentingan… Di kala Sultan ‘dipaksa secara lembut’ untuk menerima seorang Residen yang akan menyelenggarakan segala hasil maksyul bumi Perak dan urusan politiknya sehingga kuasa raja dihadkan pada hal-ehwal agama Islam dan adat-istiadat Melayu sahaja, di kala para pembesar termasuk Ngah Ibrahim kehilangan kuasa untuk memungut cukai di wilayah pentadbiran sendiri, para kepala gangster, ketua kongsi gelap pula diangkat menjadi Kapitan atau ketua masyarakat orang Cina.

Juga menarik selepas perjanjian, Kapten Speedy yang pernah diupah Menteri Larut menjadi setiausaha peribadi beliau dan pernah ditugaskan untuk menubuhkan satu pasukan polis peribadi mengawal keamanan wilayah pentadbirannya diangkat menjadi penolong Residen British. Malah tugasan pertamanya adalah menubuhkan sebuah pasukan polis yang lebih kuat dan mantap untuk mencengkam Perak!

Untuk makluman, selain di Negeri-negeri Selat seperti Pulau Pinang, Melaka dan Singapura yang telah lebih dulu dikuasai Inggeris, Taiping adalah bandar pertama rantau ini menyaksikan mereka melakukan projek social engineering untuk mengubah struktur masyarakat Tanah Melayu buat selamanya.... Satu tapak yang akan menyaksikan lebih ramai orang Cina, kemudian India dimasukkan untuk menghakis ketuanan malah takrif bangsa Melayu itu sendiri! Kesan social engineering ini masih terasa hingga kini. Orang Melayu masih merangkak untuk mendapatkan 30 peratus bahagian ekonomi di tanah bertuah ini sedangkan ramai anak bangsa keliru makna sebenar Melayu...

Sekarang, fikirkan... Siapa memainkan siapa? Berapa ramaikah dalang terlibat sehingga berlakunya Perjanjian Pangkor yang menjajah bangsa Melayu? Siapakah yang duduk paling atas bermain catur memperbodohkan pihak-pihak berkepentingan yang bertelagah?

Wahai bangsa Melayu! Bangkitlah dari tidurmu! Bukan untuk menyemarakkan rasa perkauman tapi menyedarkan tentang permainan pihak tertentu yang berkepentingan. Fikirkanlah wahai anak bangsaku… Bangkit dari khayal pelbagai rancangan hiburan di kaca TV yang membius minda... Sedarlah... Penjajahan Barat tak pernah terhenti. Yang bertukar cuma kaedah sehingga ramai tidak menyedari!



——————————


Rasyid ingat sebahagian isi Perjanjian Pangkor yang terpampang di Istana Hinggap keSultanan Perak di Bukit Chandan, Kuala Kangsar yang sudah menjadi sebuah muzium... Bunyinya lebih kurang begini:

“Pihak Inggeris bersetuju mengangkat Sultan Abdullah menjadi Sultan Perak sementara Sultan ketika itu, Sultan Ismail Mu’abuddin diturunkan dan diberi pencen, dengan syarat Perak mesti menerima seorang Residen Inggeris sebagai Penasihat dalam semua hal bersangkutan negeri Perak, kecuali hal-ehwal Islam dan adat istiadat Melayu. Sultan MESTI MENERIMA nasihat Residen. Segala hasil bumi Perak pula mesti digunakan pertama-tamanya untuk menanggung kos dan sara hidup Residen dan orangnya kemudian (maknanya baki atau sisa-sisalah itu) baru untuk menyara Sultan dan negeri...”

Paling menyakitkan hati, tercatat syarat-syarat ini berjalan “selagi ada bulan dan bintang.” Apakah Sultan Abdullah tak berfikir panjang ketika menandatangani perjanjian atau baginda rasa boleh menipu Inggeris dengan tidak mematuhinya setelah mendapat kuasa?

Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya apalagi terlajak menandatangi kontrak Syaitan… Sultan Abdullah terpaksa menerima J.W.W. Birch sebagai Residen lalu disuruh menurut segala katanya. Orang Putih ini ternyata tidak sensitif terhadap hati perasan orang Melayu malah amat kurang ajar pula, selalu melanggar adat-istiadat tempatan sehingga berani mengkritik Sultan di hadapan umum. Keadaan ini menyebabkan orang Melayu merasa amat tertipu. Lalu buat pertama kali dalam tempoh 20 tahun, semua waris takhta dan pembesar berpakat sama untuk menghapuskan ancaman ini!

Pada 1875, Birch diserang dan ditikam hingga mati ketika mandi di tebing Sungai Perak di Pasir Salak, mukim Kampung Gajah. Tahun 1877 pula menyaksikan Sultan Abdullah dan beberapa pembesar disahkan terlibat dalam pakatan sulit yang menyebabkan Orang Putih itu dibunuh. Datuk Maharalela, Datuk Sagor serta beberapa pengikut dihukum gantung sampai mati di Taiping 20 Jun 1877. Sultan Abdullah, Ngah Ibrahim, Laksamana Muhammad Amin dan Shahbandar pula dibuang negeri ke Pulau Seychelles, jauh di perairan Afrika (kata almarhum Nenek Pulau Sisek), Raja Ismail ke Singapura. Mereka yang hidup terpaksa menghabiskan hari-hari tua dalam kehinaan sementara ketuanan Melayu semakin teruk ditekan...

Raja Yusuf yang patut naik takhta selepas Sultan Ali mangkat 1871 (jika gilirannya tak ‘dikacau’ Sultan Jaafar) diangkat menjadi pemerintah baru Perak dengan bidang-kuasa terhad. Baginda bergelar Raja Muda saja, 10 tahun kemudian, 11 Mei 1887 baru dapat jadi Sultan!

Ramai pihak memandang serong peranan baginda dalam perbicaraan pembunuhan Birch. Sebenarnya Raja Yusuf juga jadi mangsa apabila ‘dilantik’ Inggeris jadi hakim yang bakal menimbulkan kemarahan orang Melayu... Jika tak baginda, tetap akan ada waris takhta lain ‘diangkat’ untuk mendengar perbicaraan lalu disuruh membuat keputusan yang memihak pada penjajah. Dalam keadaan mana pun, akan ada kerabat diraja Perak dikambing-hitamkan kerana inilah taktik mereka untuk menunjukkan ‘keadilan’ sambil memecah-belahkan masyarakat.

Raja Yusuf sempat jadi Sultan selama dua bulan. Baginda mangkat 26 Julai 1887. Lalu dalam tempoh 10 tahun sebelum itu, siapakah sebenarnya memerintah? Bukankah Inggeris laknat yang memaksa Raja Muda jadi boneka? Maka jadilah Perak negeri berdaulat warisan keSultanan Melaka yang memiliki titisan darah diraja Samudera Pasai, Aceh, juga keSultanan Perlak tak beraja buat beberapa waktu. Hal ehwalnya jatuh bulat-bulat bawah telunjuk Mat Saleh kurang ajar.

Fuh... tersirap darah Rasyid memikirkan…. Ah! Sabar, sabar…. Mungkin dalam tempoh itu, Sultan Abdullah dan semua yang terlibat insaf atas apa yang berlaku. Baginda akhirnya mangkat di Singapura 1922 lalu dimakamkan di Bukit Chandan, Kuala Kangsar. Al Fatihah untuk baginda… Semoga Raja-raja Melayu juga para pemimpin Melayu sekarang mengambil iktibar lalu tidak mengulangi kesilapan serupa.

Apapun, peristiwa ini menyaksikan cengkaman Inggeris semakin kukuh. Pembunuhan J.W.W. Birch telah menghalalkan campurtangan lebih keras dalam hal-ehwal orang Melayu. Dengan menggunakan taktik serupa, negeri-negeri Melayu lain di Semenanjung turut dipaksa menerima sistem Residen yang membuat para Sultan jadi patung! Sebab itu kata Mak Uda, plet nombor kereta Perak bermula dengan huruf A... Kerana ia negeri Melayu pertama memakai Residen British...

“Kemudian baru Selangor di mana plet kereta yang didaftarkan di sana bermula dengan huruf B diikuti Pahang dengan huruf C!”

----------- (Cerita melompat ke lawatan ke Batubara, Sumatera sebelum bersambung balik ke Perak) -------------


Menurut satu catatan, Raja Yusuf yang sempat menjadi Sultan Perak selama dua bulan telah lama menderita penyakit barah otak. Mengikut satu cerita pula ini berlaku kerana baginda disihir seseorang bernama Megat Pandia. Mungkin kerana dia merasakan Raja Yusuf adalah ‘pengkhianat’ Melayu yang bertanggungjawab membawa Datuk Maharajalela dan Datuk Sagor ke tali gantung sementara Sultan Abdullah, bekas Sultan Raja Ismail, Ngah Ibrahim, Laksamana Muhammad Amin dan Shahbandar pula dibuang negeri?

Apapun, baginda digantikan menantunya, Sultan Idris Murshidul Azam Shah ibni Almarhum Raja Bendahara Alang Iskandar. Sultan yang memerintah Perak 1887-1916 ini membuat pelbagai pembaharuan sehingga diiktiraf Inggeris sebagai Raja Melayu paling berpandangan jauh kerana berjaya memodenkan Perak mengikut model Barat. Sultan inilah yang namanya diabadikan pada maktab perguruan moden pertama di Tanah Melayu, Maktab Perguruan Sultan Idris (MPSI), kini sudah dinaik-taraf menjadi Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI). Pada zamannya juga terdiri Kolej Melayu Kuala Kangsar atau Malay College (MCKK), kolej menengah paling elit Tanah Melayu yang ‘memBaratkan’ ramai anak raja serta bijak-pandai Melayu yang akan menerajui negara... Suatu yang amat dialu-alukan Inggeris tapi ditentang orang Melayu tradisional yang sayangkan agama dan bangsa...

Sultan Idris juga memecah tradisi lama keSultanan Perak apabila menjadi Sultan Perak pertama bersemayam di mudik kiri Sungai Perak. Menurut perjanjian asal keSultanan antara Sultan Muzaffar Shah dengan pembesar yang dikenali sebagai Tok Temong, wilayah ini berada di bawah kekuasaan anak cucu Tok Temong. Maka, semua Sultan Perak bersemayam di mudik kanan sungai... Sultan Yusuf sendiri mendirikan pusat kerajaan di Sayong sedangkan Sultan Idris pula membina istana di Bukit Chandan yang letaknya setentang lalu menjadi tempat Sultan-sultan Perak seterusnya bersemayam...

Mengikut ceritanya, sebelum naik takhta, baginda terjumpa seorang tua ketika memburu di kaki Gunung Bubu. Orang tua itu memberitahu baginda bakal menjadi Sultan lalu menyuruhnya bersemayam di Bukit Chandan. Sultan Idris pun mendirikan sebuah istana (kemudian digantikan dengan Istana Iskandariah di tempat sama). Tak lama kemudian Kuala Kangsar diisytiharkan sebagai bandar diraja.

Sultan Idris juga dikatakan telah memperolehi Keris Taming Sari yang pernah dimiliki pahlawan Melayu tersohor, Laksamana Hang Tuah yang hidup pada zaman kegemilangan Melaka abad ke 15 Masihi. Menurut kitab Hikayat Hang Tuah, keris itu hilang disambar buaya.Cerita lain pula menyebut pahlawan ini telah membuangnya ke laut.

Kitab Sejarah Melayu menyatakan keris sakti itu diberikan kepada Tun Mamat untuk dipersembahkan kepada Sultan Melaka setelah Hang Tuah gagal meminang Puteri Gunung Ledang. Sejak itu, ia hilang dari lipatan sejarah… Entah bagaimana pula boleh timbul di Perak?
Apapun, keris kerajaan Perak yang dikatakan Taming Sari ini ternyata amat ‘berbisa’. Mengikut satu cerita, pengasas dan mahaguru persatuan seni Silat Gayung, Meor Abdul Rahman yang berdarah keturunan Daeng atau Raja Bugis dari pihak bapa dan keturunan Sayyid dari pihak ibu pernah terkena bisa keris itu lalu menanggung beban.

Mahaguru ini pernah diakui sebagai orang paling kuat dan pahlawan terhandal di Tanah Melayu semasa zaman kegemilangannya 1920an... Tetapi apabila Sultan Perak ketika itu, Sultan Alang Iskandar anakanda Sultan Idris menyentuh bahunya dengan keris ini, Meor Abdul Rahman jatuh demam bisa-bisa badan sehingga berhari-hari!

Di sini, terdapat sedikit kemusykilan... Menurut sistem giliran waris takhta yang telah diamalkan sekurang-kurangnya sejak abad ke 18, jarang terdapat putera raja terus menggantikan ayahandanya sebagai Sultan. Mesti ada waris dari keluarga lain sempat menaiki takhta sebelum tiba giliran seorang anak raja menggantikan bapanya. Tetapi selepas Sultan Idris, seorang puteranya naik takhta lalu diikuti seorang putera lain pula! Kenapa ini boleh berlaku?










Kajian peribadi Rasyid menunjukkan sistem penggiliran takhta Perak diwujudkan sekitar 300 tahun lalu untuk memuaskan semua kerabat diraja terdekat. Sebelum itu, sistemnya sama seperti di negeri-negeri Melayu lain - seorang Sultan digantikan anak lelaki sulung... Jika anak ini kurang layak kerana tak cukup akal atau kurang sempurna sifat, baru takhta diberikan kepada anak lelaki muda. Kalau anak inipun tak layak, baru diberi kepada anak lelaki seterusnya. Jika tiada juga waris lelaki sesuai daripada adik-beradiknya, baru takhta diserahkan kepada adinda Sultan. Jika ini pun tiada, teraju pemerintahan boleh diberi kepada sepupu atau mana-mana kerabat terdekat.

Masalahnya, ada masa seorang Sultan mangkat awal meninggalkan anak lelaki yang layak menaiki takhta tapi belum cukup umur. Maka takhta diberikan kepada adinda Sultan sebagai pemangku... Hakikatnya, takhta itu tetap hak anak Sultan yang mangkat. Tapi sering terjadi bapa saudara tamakkan kuasa lalu mengekalkan cengkaman atau anaknya iaitu sepupu kepada waris sebenar pula teringin menjadi Sultan atas alasan berhak ke atas takhta kerana bapanya pernah jadi ‘Sultan’.

Pada mulanya, mungkin terdapat dua cabang keluarga saja yang bersengketa tapi makin lama terdapat semakin banyak pecahan susur-galur dengan ‘wakil’ masing-masing merasa layak menjadi pemerintah. Seorang Sultan mungkin mempunyai tiga orang anak daripada tiga orang isteri dan tiap seorang anak mungkin mempunyai beberapa orang anak lagi. Jika Sultan ini mempunyai sembilan orang cucu lelaki, adakah ini bermakna kesemua sembilan berhak ke atas takhta?

Sistem penggiliran unik di Perak diwujudkan untuk menangani masalah ini. Jika dipatuhi sepenuhnya seorang Sultan akan dibantu Raja Muda dari cabang keluarga kedua, kemudian Raja Hilir dari keluarga ketiga. Anak Sultan pula diletakkan sebagai Raja Kechil Besar. Apabila Sultan mangkat, Raja Muda menjadi Sultan dan Raja di Hilir menjadi Raja Muda. Anak Sultan yang mangkat tadi boleh menjadi Raja di Hilir yang baru pula. Maka di bawah sistem ini, anak seseorang Sultan cuma akan dapat menaiki takhta apabila dua orang waris dari keluarga lain sudah berpeluang menjadi Sultan. Keadaan cuma berubah jika waris-waris ini meninggal dunia lebih awal. Itu sahaja...



————————

Ada sesuatu yang tidak kena bila Sultan Idris mangkat 1916 digantikan anak sulungnya, Sultan Abdul Jalil. Apabila Sultan ini mangkat 1918, adindanya Sultan Alang Iskandar Shah (1918-1938) pula menaiki takhta. Lebih pelik, Sultan Iskandar adalah anak lelaki ketujuh Sultan Idris... Antaranya dengan Sultan Abdul Jalil, terdapat lima anak lelaki lebih kanan iaitu Raja Harun Al-Rasyid, Raja Abdul Hamid, Raja Abdul Rasyid, Raja Shuaib dan Raja Shaharuddin. Kenapa sistem penggiliran Perak dilanggar sampai begitu sekali?

Mungkin Sultan Abdul Jalil boleh dikira istimewa kerana bondanya, Raja Nuteh Aishah adalah puteri Sultan Yusuf yang menjadi permaisuri pertama Sultan Idris. Maka baginda boleh dianggap sebagai penyatu dua buah keluarga pemerintah. Tapi apakah menyebabkan Alang Iskandar yang beribukan seorang wanita bernama Ngah Manah lebih layak menaiki takhta berbanding empat orang abang yang beribukan Che Uteh Maria yang sempat menjadi permaisuri selepas Raja Nuteh mangkat? Apakah tiada waris keluarga lain layak menaiki takhta?

Ada orang memberitahu, sepatutnya seorang waris dari Teluk Intan menaiki takhta 1918 tapi mati dibunuh! Apapun, Rasyid percaya, masih terdapat cabang lain keSultanan Perak yang lebih layak menerajui kerajaan tetapi telah lama meninggalkan istana. Sultan kedua Perak, Sultan Mansur Shah yang dikatakan ghaib di Masjid Kota Lama Kanan 1577 mempunyai seorang anak sulung tapi dirajakan di Aceh selepas beberapa waris kerajaan negeri berebut takhta sehingga sanggup berbunuh-bunuhan sesama sendiri. Baginda adalah seorang alim lagi warak dan disukai ramai lalu ditabal 1580 menjadi Sultan Aceh yang dikenali sebagai Sultan Alauddin Mansur Shah Perak. Adindanya pula menjadi Sultan Perak ketiga, Sultan Ahmad Tajuddin...

Sultan Alauddin inilah yang dikenali sejarah bumi Serambi Mekah sebagai raja yang sangat memberatkan Syariat dan Sunnah Nabi... Baginda menyuruh semua pembesar dan hulubalang memakai jubah dan menyimpan janggut. Malangnya, ada juga pihak tak senang lalu baginda dibunuh di Banda Aceh 1585, mengikut satu cerita, oleh seorang panglimanya! Yang menarik, ini berlaku ketika baginda sedang bersiap-sedia memimpin sebuah angkatan perang menyerang Portugis di Melaka… Kenapa ini berlaku? Apakah ada tangan cemar Barat terlibat sama membantutkan rancangan Aceh menyerang Portugis?

Salasilah kerabat diraja Aceh hasil kajian Barat yang perolehi Rasyid menyatakan Sultan Alauddin Perak memiliki dua isteri, Permaisuri Al Khana yang dikenali sebagai Raja Perempuan Aceh dan Putri Ratnawangsa, anak Sultan Alauddin Riayat Shah Alam Sayyid Al-Mukammil. Baginda juga meninggalkan dua puteri, seorang bernama Puteri Hijau berkahwin dengan Sultan Johor, Sultan Abdul Jalil.

Seorang lagi puteri (tak diketahui nama) menjadi isteri Sultan Munawar Shah ibnu Almarhum Sultan Ahmad Shah, Raja Muda Indrapura, satu jajahan takluk Aceh. Dari perkahwinan ini, terbit Raja Mahkota Bujang yang sempat menggantikan nendanya di atas takhta Aceh memakai nama Sultan Alauddin Riayat Shah... Tapi sejarah rasmi mencatatkan Sultan yang masih muda ini seorang pemarah lagi zalim sedangkan kerajaan pula tidak aman kerana ramai pihak mengidamkan takhta. Baginda dibunuh selepas empat tahun memerintah... Lalu moyangnya yang merupakan bapa mertua Sultan Alauddin Perak iaitu Sayyid a-Mukammil yang usianya telah melangkaui 80 tahun pula diangkat para pembesar dan hulubalang untuk menerajui Aceh!
Hasil kajian lain pula menyatakan Sultan Alauddin Perak juga mempunyai seorang lagi puteri yang tak diketahui nama, dikatakan bernikah dengan Sayyid Abdullah Al-Aidrus dari Kampung Pasir, Aceh. Perkahwinan ini menerbitkan Sayyid Zainal Abidin yang beristerikan puteri kepada penulis kitab Sulalatus Salatin, Bendahara Johor yang dibawa ke Aceh, Tun Sri Lanang. Sayyid Zainal Abidin adalah nenda kepada Bendahara Johor Tun Habib Abdul Majid, moyang Sultan-sultan Johor, Terengganu, Pahang dan Lingga hingga kini.

Melihat kajian yang menunjukkan zuriat Sultan Alauddin Perak masih ramai melata malah memegang takhta beberapa buah negeri, Rasyid tertanya apakah mungkin Sultan ini juga mempunyai seorang waris lelaki yang mempunyai hak ke atas takhta Perak jika bukan Aceh? Walaupun sejarah rasmi mencatatkan baginda cuma meninggalkan beberapa orang puteri, mungkin ada putera terpaksa lari menghilangkan diri apabila ayahandanya dibunuh lalu ceritanya digelapkan? Mungkin waris inilah yang menerbitkan keturunan berdarah raja yang bertapak di Batubara, 400km di selatan sempadan bumi Serambi Mekah?

2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Untuk perak History ..see

http://www.royalark.net/Malaysia/perak2.htm

Rgds

Ha ha ha r

Fida Anggun berkata...

salam....

ntah mcm ner leh sampai artikel nih.Pergi google Makam Habib Nuh, terbaca artikel ini plak.