Manakan dapat sagu kalau tidak dipecahkan ruyungnya?
Manakan dapat mutiara yang berkerlipan jika takut menyelam ke lautan dalam.
Dalam diri setiap manusia, ada seketul daging.
Jika baik ia, maka baiklah seluruh jiwa manusia itu.
Jika buruk ia, buruklah juga manusia itu...
Seketul daging itu adalah hati,
mari kita lapangkan dada dan belajar mengIKHLASkan hati.
Perjalanan seribu batu bermula dengan satu langkah.
Marilah meneroka dunia pemikiran hamba.
Silakan

Video klip yang tertera boleh dianggap sebagai pembukaan kepada dunia pemikiran dan kesukaan hamba...







-------------------------


-------------------------



Segala yang dipaparkan menggambarkan pemikiran penulis yang turut terserap di dalam setiap penulisan buku dan artikel. Lihat Cara-cara mendapatkan buku tulisan Merah Silu @ Radzi Sapiee. Di atas adalah satu klip video selama hampir setengah jam yang merupakan demo pilot episode yang mahu digunakan untuk mencadangkan satu siri pengembaraan menyusuri sejarah Melayu Islam sekeliling Nusantara untuk siaran televisyen. Entah mengapa ia menemui masalah. Kemudian penulis diberitahu konsepnya diciplak sebuah stesyen televisyen. Lihat Kembara Sejarah Islam Nusantara : The original material...



Ini adalah klip video ulasan buku ketujuh saya "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" berserta temuramah yang dibuat siaran langsung di Selamat Pagi Malaysia, RTM1. Lihat Siaran langsung ulasan buku "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" dan temu ramah di Selamat Pagi Malaysia.



Penulis juga pernah diminta membuat pembentangan mengenai siri buku "Berpetualang ke Aceh" di Masjid Sultan Salahuddin iaitu masjid negeri Selangor di Shah Alam. Lihat Buku "Berpetualang" dan himpunan ulamak Nusantara yang diketuai ulamak Aceh


-------------------------



Siri novel "Berpetualang ke Aceh" boleh didapati dalam bentuk e-book. Masuk http://www.e-sentral.com/, klik kategori novel am dan taip perkataan "Aceh" pada kotak carian. Atau terus klik Buku 1,Buku 2 dan Buku 3.





Gambar ketika menghadiri satu majlis ilmu, diambil oleh sebuah akhbar harian. Lihat Menghiasi Kosmo Alam Melayu...



Penerbitan trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" juga membawa penulis untuk terlibat dengan banyak majlis ilmu. Rujuk kumpulan links artikel di bawah tajuk "Siri Refleksi Sejarah", pada bahagian paling bawah kiri blogspot, . Penulis juga agak aktif dalam aktiviti-aktiviti kedaulatan Melayu dan Islam, dapat menganjurkan majlis-majlis sendiri di merata Semenanjung Malaysia membawa ke luar negara di Aceh. Lihat blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


Ketika menulis perenggan ini 4 Mei 2015 penulis sedang berusaha untuk mengembangkan isi 3 buku dalam siri "Berpetualang ke Aceh" menjadi 6 buku yang akan membentuk siri baru dipanggil "Siri Pengembaraan Merah Silu". Sebuah syarikat penerbitan telah bersetuju untuk menerbitkan siri lama itu kembali dalam bentuk yang lebih segar - Setiap buku asal dipecah menjadi 2 buku baru yang ditambah maklumat, gambar dan peta berwarna-warni.Pertengahan September 2015 buku pertama siri baru pun selamat diterbitkan. Seminggu lebih kemudian penulis berpeluang bercakap tentangnya secara siaran langsung dalam televisyen lalu membawa wakil penerbit bersama. Lihat video di bawah :-





Awal tahun 2015 turut menyaksikan penulis diambil menjadi penyelidik dan hos satu siri dokumentari yang dipanggil "Daulah Melayu". Projek 13 episod sepanjang sejam setiap satu ini mahu mengenengahkan formula untuk mengembalikan kekuatan bangsa Melayu. Insyaallah projek iakan membawa penulis untuk mengembara ke merata di Malaysia dan Indonesia juga ke beberapa negara dan tempat di Eropah termasuk ke kota London, tempat penulis mengambil ijazah matematik 1991-1995. Siri dokumentari ini dijangka siap untuk tayangan televisyen dalam tempoh 2 tahun.


Pada 13 Mei 2023 buku ke 13 + 1 penulis (pertama setelah yang ke-13 terbit tahun 2019 lalu mula memberikan tumpuan pada pengajian pascasiswazah di ISTAC iaitu Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam di Bukit Tunku, Kuala Lumpur), Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin & Orang Kaya Arsyad telah dilancarkan oleh sejarawan ulung negara, Profesor Emeritus Datuk Dr Abdullah Zakaria Ghazali di rumah penulis. Lihat Majlis pelancaran buku dan rumah terbuka raya 2023 - Melestarikan semangat perjuangan. Beliau yang bertanggungjawab memberikan kata-kata aluan dalam buku turut menjadi pembicara dalam diskusi yang diadakan di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2023 (berlangsung 26 Mei hingga 4 Jun). Lihat Bicara buku Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin di PBAKL 2023. Diskusi ini terakam dalam video atas diikuti video bawah...



Selasa, Ogos 12, 2008

Bab 12 dan 3 fasa utama KeSultanan Perak yang melibatkan keluarga (seterusnya membawa kepada penjajahan Inggeris!)...


Gambar makam Sultan Abdullah Muhammad Shah I atau Marhum Durian Sebatang di Teluk Intan. Diambil daripada artikel Pilihanraya Malaysia yang ke 12 dan makam-makam lama... Bahagian 3... yang dibuat setengah tahun lalu.

Alhamdulillah, tadi saya berjaya menyiapkan 2 buah artikel baru di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART) diikuti 2 di BERPETUALANG KE ACEH . Tajuk-tajuknya ialah:-

Makam Raja Melewar di siang hari (The tomb of Raja Melewar during the day)

Replika istana (The palace replica of Raja Melewar)

The unexpected Negeri Sembilan trip: From Rembau to Seri Menanti...

An artfully creative wooden house in Seri Menanti!

Sekarang bolehlah saya membuat 2 pula di sini. Bermula dengan artikel sambungan menggunakan sedutan daripada Bab 12 buku ketiga saya, "Berpetualang ke Aceh: Sirih Pulang ke Gagang?" yang ingin dipaparkan di sini sebagai persediaan untuk perjalanan ke Perak hujung minggu seperti disebut dalam artikel Program berjalan sambil buat video cerita Perak sekitar Perjanjian Pangkor 1874 dan pembunuhan Birch, apa sebenarnya berlaku... Jemputan untuk semua! . Sila! :]

-----------------------

Setahun kemudian, beberapa bulan setelah Nenek meninggal dunia, baru Rasyid faham kenapa dia boleh sampai ke makam Sultan Mansur Shah di Kota Lama Kanan, makam Sultan Muzaffar Shah II di Lambor Kanan juga makam Sultan Abdullah Muhammad Shah di Teluk Intan... Kerana tiga Sultan ini menandakan tiga pecahan zaman atau fasa keSultanan Perak yang berkaitan dengan keluarganya!

Dari sumber-sumber tertentu, pemuda ini dapat tahu suatu masa dulu pernah wujud satu komplot ahli keluarga Sultan Mansur Shah (ada yang kata anak isteri sendiri!) untuk meracuni baginda. Maka ‘penculikannya’ oleh tentera Aceh berlaku kerana baginda ingin memencilkan diri akibat kecewa keluarga sendiri sanggup berpakat untuk membunuh baginda demi merebut takhta. Menurut cerita ini lagi, sebab itu juga Aceh melanggar Perak selepas baginda ‘ghaib’ 1577. Lalu seluruh ahli keluarganya ditawan dan diangkut ke sana. Tak lama kemudian, baru mereka dihantar kembali ke Perak dan seorang anakanda baginda (bukan anak sulung) diangkat menjadi Sultan Perak ketiga memakai nama Sultan Ahmad Tajuddin Shah.

Sumber sejarah di tangan Rasyid menyatakan Sultan Ahmad Tajuddin mangkat 1584 lalu digantikan adindanya Sultan Tajul Ariffin. Ini berlaku kerana anakanda Sultan Ahmad Tajuddin iaitu Raja Inu, juga dikenali sebagai Raja Kechil Lasa mangkat lebih awal. Sebab itu juga anakanda Raja Inu iaitu Raja Ali menjadi Sultan kelima apabila Sultan Tajul Ariffin mangkat 1594. Raja Ali yang merupakan cucu saudara Sultan Tajul Ariffin pun ditabal menjadi Sultan Alauddin Shah.

Kemangkatan raja ini 1603 menyaksikan kenaikan Sultan Mukaddam Shah, anakanda seorang Raja Aceh (tak diketahui siapa) dengan puteri kepada Sultan Mansur Shah. Jika selama ini, keSultanan Perak berbangga sebagai penyambung zuriat keSultanan Melaka kerana Sultan pertamanya, Sultan Muzaffar Shah adalah anakanda Sultan Melaka terakhir, Sultan Mahmud Shah, kenaikan Sultan Mukaddam Shah sebagai Sultan Perak ke enam pula bermakna kesinambungan zuriat keSultanan Melaka dari sebelah pihak laki-laki mulai putus!

Perak dilanggar Aceh lagi 1607 dan kerabat diraja diangkut. Sultan Mukaddam diketahui mangkat di sana 1619. Kesinambungan darah Raja Melaka sebelah lelaki di Perak berdiri kembali apabila seorang lagi anak Raja Inu ditabal menjadi Sultan Mansur Shah II (1619-1627).

Sultan seterusnya, Sultan Mahmud Shah (1627-1630) adalah adinda kepada Sultan Mukaddam diikuti anakanda baginda Sultan Salehuddin Shah (1630-1635) yang menjadi Sultan Perak ke sembilan. Selepas itu bermulalah fasa kedua keSultanan Perak seperti yang tersirat dalam perjalanan pertama Rasyid menziarahi makam-makam Sultan.

Pada 1636, muncul Sultan Perak ke sepuluh, Sultan Muzaffar Shah II yang makamnya diziarahi pemuda itu di Kampung Air Mati, Lambor Kanan. Mengikut sejarah dan salasilah rasmi, baginda berasal daripada keSultanan Siak yang berpusat di tengah Sumatera. Dari Sultan ini terbitlah Sultan-sultan Perak seterusnya hingga kini... Nama asalnya ialah Raja Sulong bin Raja Mahmud bin Raja Kasab, anak Sultan Khoja Ahmad Shah, pememerintah kerajaan Siak penghujung abad ke 15.

Peliknya, kitab Misa Melayu karangan Raja Chulan (abad ke 18) mencatatkannya sebagai Sultan Perak pertama walaupun baginda naik takhta lebih 100 tahun selepas kemunculan Sultan Muzaffar Shah I yang diiktiraf sejarah rasmi sebagai pengasas keSultanan Perak! Kitab itu adalah satu-satunya karangan orang Melayu lama khusus tentang sejarah keSultanan itu. Mesti ada sebab pengarangnya meletakkan Sultan berketurunan Siak itu sebagai pengasas keSultanan Perak...

Apapun, Sultan Muzaffar Shah II sebenarnya dinaikkan ke atas takhta oleh kerajaan Aceh di bawah perintah Sultan Iskandar Thani (1636-1641), anak Raja Pahang yang menjadi anak angkat seterusnya menantu Sultan Iskandar Muda Mahkota Alam (memerintah Aceh 1607-1636). Sejarah rasmi menyebut Sultan Muzaffar II dan Sultan Iskandar Thani ditawan di Aceh semasa Sultan Iskandar Muda menjalankan kempen perluasan empayar Aceh ke atas hampir seluruh bumi Nusantara. Kempen itu menyaksikan ramai kerabat diraja negeri-negeri Melayu di Semenanjung termasuk Johor dan Pahang diangkut ke sana. Malah kedua Sultan ini adalah saudara sepupu, melalui ibu mereka yang berketurunan Bendahara Melaka.

Semasa di Aceh, Sultan Muzaffar II atau Raja Sulong dikahwinkan dengan Puteri Fatimah binti Raja Abdullah ibni almarhum Sultan Abdul Ghafur Mohiuddin Shah, seorang Sultan Pahang. Puteri Fatimah pula adalah anak Raja Pahang itu dengan isterinya Puteri Perak yang merupakan cucu Sultan Perak kedua, Sultan Mansur Shah dan adinda kepada Sultan Mukaddam yang berbapakan seorang Raja Aceh!

Selepas kemangkatan baginda 1654, anakanda baginda Raja Mahmud pula menaiki takhta sebagai Sultan Mahmud Iskandar Shah... Tetapi Sultan yang memegang takhta selama 66 tahun ini tidak meninggalkan waris laki-laki. Maka anak kepada adindanya al Marhum Raja Mansur yang dikenali sebagai Yang di Pertuan Muda yang bersemayam di Pulau Tiga, Raja Radin pula memegang kuasa sebagai Sultan Alauddin Mughayat Shah. Sultan Alauddin Mughayat mangkat 1728 meninggalkan seorang saja waris lelaki, dikenali sebagai Raja Kechil Bongsu. Tak tahulah kenapa anak ini tidak menaiki takhta. Sebaliknya, adinda Sultan menggantikannya sebagai Sultan Muzaffar Shah III, Sultan ke 13, juga dikenali sebagai Marhum Hajiullah kerana dikatakan boleh pergi ke Mekah dalam sekelip mata!

Baginda yang mangkat 1754 juga tidak meninggalkan waris lelaki. Salasilah rasmi Perak meletakkan adinda Sultan Muzaffar III iaitu Sultan Muhammad Shah sebagai Sultan ke 14 tapi ada pihak mengatakan raja ini cuma menjadi Yang di Pertuan Muda atau Raja Muda sahaja... Pada zaman itu Sultan Muhammad pernah mengisytiharkan diri sebagai Sultan Perak walaupun cuma berkuasa atas satu bahagian. Peristiwa yang dinukilkan di dalam kitab Misa Melayu ini berakhir dengan Sultan Muhammad meminta ampun kepada kekandanya. Perak pun bersatu kembali di bawah pemerintahan Sultan Muzaffar Shah III. Apapun, Sultan Muhammad Shah yang mangkat 1750 meninggalkan empat orang anak yang akan bergilir-gilir menaiki takhta Perak, bermula dengan Sultan Iskandar Zulkarnain (memerintah 1754-1765), diikuti adindanya Sultan Mahmud Shah (1765-1773), Sultan Alauddin Mansur Shah (1773-1792) dan akhir sekali Sultan Ahmaduddin Shah (1792-1806).

Ketika itu, Perak yang telah memiliki 18 orang Sultan (termasuk Sultan Muhammad Shah) sudah mula menggunakan sistem giliran waris takhta di mana pemerintah tertinggi kerajaan adalah Sultan diikuti Raja Muda, Raja Bendahara dan Raja di Hilir. Pengganti takhta dipilih mengikut turutan kedudukan untuk memuaskan semua jurai keluarga diraja yang mempunyai hak ke atas takhta demi mengelakkan perebutan kuasa dan perang saudara seperti pernah berlaku beberapa kali dalam sejarah keSultanan Perak sejak ia bermula 1528...


———————————


Ada orang tua-tua memberitahu, sistem giliran keSultanan Perak yang dianggap unik ini dilaksanakan berdasarkan sistem pemerintahan di Aceh di mana kerabat diraja terdekat dijadikan Sultan-sultan di wilayah-wilayah terpilih seperti Samudera-Pasai, Pedir, Daya dan Haru. Bezanya, di sana salah seorang mereka boleh diangkat terus menjadi Sultan Aceh dengan persetujuan para pembesar dan hulubalang sedangkan di Perak, seorang kerabat diraja perlu mengikut giliran para pewaris takhta... Meningkat dari satu kedudukan ke kedudukan yang lebih tinggi (jika beliau masih hidup) sebelum dapat menjadi Sultan!

Menurut satu cerita, Sultan Ahmaduddin Shah yang mangkat 1806 sepatutnya digantikan Raja Bendahara Mahmud, cucu kepada Sultan Perak ke 16 iaitu Sultan Mahmud Shah. Sebaliknya takhta diserahkan kepada anakanda Sultan Ahmaduddin iaitu Sultan Abdul Malik Mansur Muazam Shah kerana Raja Mahmud tidak mahu ke Sayong untuk ditabalkan. Lalu baginda dianggap tak berminat menjadi Sultan sedangkan sumber tertentu memberitahu, Raja Mahmud tidak mahu ke sana kerana ada pihak menunggu untuk membuat serangan hendap.

Sejak itu, Perak terus dipegang anak cucu Sultan Ahmaduddin. Takhta digilirkan di kalangan zuriat tiga isteri, pertama Che Pusa Puteh (cucu Nakhoda Hitam), kedua Raja Tengah Bongsu binti Sultan Muzaffar Shah III dan ketiga Che Sofia binti Datuk Imam Malikul Amin yang berketurunan Sayyid. Baginda mempunyai dua lagi isteri... Isteri pertama mangkat awal lalu Sultan mengahwini adindanya pula tapi nampaknya cuma zuriat tiga isteri utama sahaja layak memerintah.

Sultan Abdullah Muhammad Shah I atau Marhum Durian Sebatang yang makamnya ditemui Rasyid ketika tersesat dan tersilap jalan di Teluk Intan adalah Sultan ke 22 (memerintah 1851-1857), cucu Sultan Ahmaduddin melalui Che Sofia. Cuma Sultan Ismail Mu’abuddin Riayat Shah yang memerintah 1871-1874 sahaja yang lain sedikit kerana baginda adalah anak Raja Sheikh ul-Amin dari Siak... Melalui perkahwinan raja itu dengan Raja Mandak, puteri Sultan Ahmaduddin. Maka kalau mengikut adat, Sultan ini tidak layak memewarisi takhta Perak kerana baginda bukan waris pihak laki-laki.Tetapi atas sebab-sebab tertentu, mungkin atas sokongan para pembesar yang mempunyai niat untuk menguasai Perak, baginda diangkat menaiki takhta sehingga menimbulkan rasa tak puas hati di kalangan waris lain.

Rasyid berhenti sejenak memikirkan apa yang berlaku... Mengikut petunjuk yang diperolehi, pemerintahan Marhum Durian Sebatang menandakan bermulanya fasa ketiga keSultanan. Teringat catatan di makam menyebut baginda terpaksa berlindung di rumah Laksamana kerana Raja Muda yang disokong ramai pembesar telah mendesaknya mengosongkan takhta atas alasan baginda tidak tahu memerintah!

Ketika itu, Raja Jaafar ibni Sultan Ahmad Shah Johan Berdaulat, cicit Sultan Ahmaduddin melalui Che Pusa Puteh adalah Raja Muda. Raja Ali ibni Sultan Shahabuddin (cicit Sultan Ahmaduddin melalui Raja Tengah Bongsu) pula Raja Bendahara diikuti Raja Yusuf ibni Sultan Abdullah sebagai Raja di Hilir. Aturan ini memang sesuai kerana masing-masing adalah cicit Sultan Perak ke 18 itu melalui isteri pertama, kedua dan ketiga... Teratur kerana Sultan ke 20, 21 dan 22 masing-masing cucu Sultan Ahmaduddin melalui isteri-isteri ini juga.

Malangnya, aturan ini mula tak selesa akibat tindakan Raja Muda. Sultan Abdullah tidak mengosongkan takhta tetapi dipinggirkan. Malah mengikut sejarah rasmi, baginda ‘dipecat’ 1853 oleh Raja Jaafar yang mengisytiharkan diri sebagai Sultan walaupun tidak diterima sesetengah pembesar. Maka secara efektifnya Raja Muda lah yang memerintah kerajaan sehingga Sultan mangkat 1857. Kemudian baru semua pembesar sepakat menerima lalu menabalkan Raja Jaafar sebagai Sultan Perak ke 23, Sultan Jaafar Safiuddin Muazam Shah.

Raja Ali dilantik menjadi Raja Muda tapi Raja Yusuf kekal sebagai Raja di Hilir. Raja Ismail, anak Raja Siak pula diangkat ‘melangkah bendul’ menjadi Raja Bendahara, satu perlantikan yang juga melanggar adat kerana baginda bukan waris sebelah laki-laki. Lebih pelik, apabila Sultan Jaafar mangkat 1865, Raja Ali yang menjadi Sultan Ali Al-Mukammil Inayat Shah mengangkat anakanda Sultan Jaafar iaitu Raja Abdullah menjadi Raja Muda melepasi dua tangga waris takhta! Keadaan semakin kalut apabila Sultan Ali mangkat di Sayong 1871.

Kalau mengikut giliran waris takhta sebelum ‘dikacau’ Sultan Jaafar, sudah sampai masa Raja Yusuf menaiki takhta... Kalau mengikut giliran yang ‘ditetapkan’ Sultan Ali, Raja Abdullah lah ‘sepatutnya’ ditabalkan. Sebaliknya Raja Ismail pula diangkat para pembesar menjadi Sultan. Maka bermulalah kekacauan besar perebutan takhta di Perak yang akan memberi ruang untuk Inggeris menjajah Tanah Melayu nanti...

Menurut catatan rasmi, penabalan Raja Bendahara Ismail sebagai Sultan Ismail Muabuddin Riayat Shah mendapat sokongan kuat Orang Kaya-kaya Menteri Perak Ngah Ibrahim yang menguasai daerah Larut. Ngah Ibrahim yang dikatakan bercita-cita besar telah menjadi orang Melayu terkaya zaman itu hasil bijih timah melimpah-ruah di kawasan ini! Maka ada yang berpendapat, beliau menyokong pertabalan itu supaya Raja Ismail mengangkatnya jadi Raja Bendahara, satu langkah yang boleh membenarkannya menjadi seorang Sultan Perak pula!

Ini tak mustahil memandangkan Raja Ismail yang berbapakan seorang Raja Siak dapat menjadi Sultan akibat perlantikannya sebagai Raja Bendahara oleh Sultan Jaafar. Seterusnya, sejarah mencatatkan Raja Ismail menaiki takhta kerana Raja Muda Abdullah yang bersemayam di Kampung Batak Rabit, Teluk Intan tidak hadir untuk pemakaman jenazah Sultan Ali di Sayong... Menurut adat, seorang Sultan perlu ditabalkan sebelum jenazah Sultan terdahulu dikebumikan. Maka setelah lebih sebulan menunggu kehadiran Raja Abdullah, para pembesar mengangkat Raja Bendahara Ismail jadi Sultan sedangkan menurut satu cerita, Raja Muda itu tidak hadir kerana takut diserang... Kononnya orang Raja Yusuf yang bersemayam di Senggang, dalam perjalanan ke Sayong siap menunggu membuat serangan hendap!

Apapun, pertabalan Raja Ismail mendapat tentangan Raja Abdullah, Raja Yusof dan para pembesar Hilir Perak. Keadaan ini memaksa Raja Abdullah mengisytiharkan diri sebagai Sultan lalu melantik Raja Yusuf sebagai Raja Muda untuk mendapatkan sokongan. Para pembesar yang menyokong Raja Ismail terus menolak atas alasan baginda tidak menghadiri majlis pengkebumian Sultan Ali dan seorang Sultan lain telah pun dinobatkan. Apakah mungkin mereka semua telah dihasut Ngah Ibrahim yang mempunyai wang untuk ‘membeli’ sokongan?

Sesetengah pengkaji menyebut Ngah Ibrahim memang tak suka Raja Abdullah menaiki takhta kerana takut kehilangan kuasa. Mungkin Ngah Ibrahim yang selalu berhubung dengan pihak asing atas urusniaga biji timah terutama melalui Pulau Pinang yang sudah dijajah Inggeris sejak 1786 telah diperalatkan satu pihak agar terbit kekacauan di Perak yang memberi peluang untuk mereka berlakon jadi jaguh nanti?

2 ulasan:

Mohd Shahrizal berkata...

Assalamualaikum
Bila dibaca sejarah kesultanan Perak, mahupun Kesultanan Kedah, Melaka, Selangor dll,pastinya terdapat banyak cerita berkenaan konflik perebutan takhta, peperangan antara raja-raja, penglibatan kuasa asing yg diperkenankan dll...

Diceritakan pulak mereka ini datangnya dari keturunan yg baik, kadang2 seakan xpercaya menda mcm nie boleh berlaku. Ianya berlaku, xsiapa yg boleh nafikan. Sedangkan dizaman sahabat pun berlaku peperangan sesama sendiri (Ali Vs Aishah). Yang penting buat kita sekarang ialah, apa kesan terhadap kehidupan kita masa kini... dan mcmana ianya akan memberi kesan kepada cucu-cicit kita nanti.
Sekian

Radzi Sapiee berkata...

Wassalam. Sesungguhnya keturunan baik2 le yang paling teruk diganggu balatentera syaitan. Orang biasa mungkin cuma diganggu syaitan peringkat koporal dan prebet tetapi orang berketurunan baik selalunya diganggu setan pangkat captain hingga ke general! Kenapa?
Sebabnya satu orang berketurunan baik-baik mampu mengangkat atau melingkupkan 1,000 orang biasa kerana sifat kepimpinan yang ada. Soalnya nak memimpin ke arah kebaikan atau keburukan. Maka dengan merosakkan satu orang keturunan baik, syaitan dapat secara automatik merosakkan 1,000 orang biasa yang mengikutnya!
Begitu juga syaitan tahu satu orang baik yang sedar akan peranan sebenarnya mampu memperbaiki 1,000 orang biasa. Maka sebelum itu berlaku, biar dirosakkan orang keturunan baik itu.
Satu lagi contoh... Ambik bab harta. Alangkan rakyat biasa yang mungkin cuma ada sebijik Proton Saga dengan rumah teres pun mungkin keluarganya boleh berpecah-belah bergaduh apabila ibu bapa meninggal dunia kerana anak-anak berebut harta, inikan lagi apabila harta yang terlibat bernilai berbillion Ringgit malah dalam kes raja-raja melibatkan sesuatu negara dan segala isinya! Tu yang boleh sampai berperang berbunuh-bunuh.
Beginilah, bila kita di tempat mereka baru kita faham. Sepertimana banyak orang komplen kenapa orang tertentu itu mengamalkan kronisma, nepotisma dan sebagainya. Tetapi banyak terjadi apabila orang yang suka komplen sendiri mendapat kuasa, ternyata mereka lebih teruk. Time tu le datang kawan2, ahli keluarga bertanya kenapa tak bagi projek kat mereka... Apa nak jawab?
Sebab itu kita mesti belajar cakap serupa bikin. Apabila kita ada peluang nak jadi kaya, berkuasa tetapi kita tolak kerana tak mahu terlibat dengan taik-taiknya, baru le kita ada autoriti untuk bercakap tentang ini. Kalau tak, kita ibarat seorang lelaki di kolej yang tidak dikenali ramai. Kita kutuk dan jealous tengok lelaki handsome dan popular ada ramai girlfriend, kita kata dia kaki perempuan. Tetapi cuba kalau berlonggok pompuan nak kita, bolehkah kita menolaknya? Lain le kalau orang tak laku... Memang katanya dia boleh menolak sebab dia tak dapat, belum betul2 diuji lagi!

Moral of the story... Dalam apa-apa ilmu pun kita amalkan dahulu. Dalam bab kepimpinan, walaupun pada peringkat rendah kita tanam sifat tidak boleh dibeli, dipujuk-rayu tidak memilih-kasih dan sebagai... Praktikal, bukan sekadar cakap2.
Sekian! :]