Manakan dapat sagu kalau tidak dipecahkan ruyungnya?
Manakan dapat mutiara yang berkerlipan jika takut menyelam ke lautan dalam.
Dalam diri setiap manusia, ada seketul daging.
Jika baik ia, maka baiklah seluruh jiwa manusia itu.
Jika buruk ia, buruklah juga manusia itu...
Seketul daging itu adalah hati,
mari kita lapangkan dada dan belajar mengIKHLASkan hati.
Perjalanan seribu batu bermula dengan satu langkah.
Marilah meneroka dunia pemikiran hamba.
Silakan

Video klip yang tertera boleh dianggap sebagai pembukaan kepada dunia pemikiran dan kesukaan hamba...







-------------------------


-------------------------



Segala yang dipaparkan menggambarkan pemikiran penulis yang turut terserap di dalam setiap penulisan buku dan artikel. Lihat Cara-cara mendapatkan buku tulisan Merah Silu @ Radzi Sapiee. Di atas adalah satu klip video selama hampir setengah jam yang merupakan demo pilot episode yang mahu digunakan untuk mencadangkan satu siri pengembaraan menyusuri sejarah Melayu Islam sekeliling Nusantara untuk siaran televisyen. Entah mengapa ia menemui masalah. Kemudian penulis diberitahu konsepnya diciplak sebuah stesyen televisyen. Lihat Kembara Sejarah Islam Nusantara : The original material...



Ini adalah klip video ulasan buku ketujuh saya "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" berserta temuramah yang dibuat siaran langsung di Selamat Pagi Malaysia, RTM1. Lihat Siaran langsung ulasan buku "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" dan temu ramah di Selamat Pagi Malaysia.



Penulis juga pernah diminta membuat pembentangan mengenai siri buku "Berpetualang ke Aceh" di Masjid Sultan Salahuddin iaitu masjid negeri Selangor di Shah Alam. Lihat Buku "Berpetualang" dan himpunan ulamak Nusantara yang diketuai ulamak Aceh


-------------------------



Siri novel "Berpetualang ke Aceh" boleh didapati dalam bentuk e-book. Masuk http://www.e-sentral.com/, klik kategori novel am dan taip perkataan "Aceh" pada kotak carian. Atau terus klik Buku 1,Buku 2 dan Buku 3.





Gambar ketika menghadiri satu majlis ilmu, diambil oleh sebuah akhbar harian. Lihat Menghiasi Kosmo Alam Melayu...



Penerbitan trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" juga membawa penulis untuk terlibat dengan banyak majlis ilmu. Rujuk kumpulan links artikel di bawah tajuk "Siri Refleksi Sejarah", pada bahagian paling bawah kiri blogspot, . Penulis juga agak aktif dalam aktiviti-aktiviti kedaulatan Melayu dan Islam, dapat menganjurkan majlis-majlis sendiri di merata Semenanjung Malaysia membawa ke luar negara di Aceh. Lihat blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


Ketika menulis perenggan ini 4 Mei 2015 penulis sedang berusaha untuk mengembangkan isi 3 buku dalam siri "Berpetualang ke Aceh" menjadi 6 buku yang akan membentuk siri baru dipanggil "Siri Pengembaraan Merah Silu". Sebuah syarikat penerbitan telah bersetuju untuk menerbitkan siri lama itu kembali dalam bentuk yang lebih segar - Setiap buku asal dipecah menjadi 2 buku baru yang ditambah maklumat, gambar dan peta berwarna-warni.Pertengahan September 2015 buku pertama siri baru pun selamat diterbitkan. Seminggu lebih kemudian penulis berpeluang bercakap tentangnya secara siaran langsung dalam televisyen lalu membawa wakil penerbit bersama. Lihat video di bawah :-





Awal tahun 2015 turut menyaksikan penulis diambil menjadi penyelidik dan hos satu siri dokumentari yang dipanggil "Daulah Melayu". Projek 13 episod sepanjang sejam setiap satu ini mahu mengenengahkan formula untuk mengembalikan kekuatan bangsa Melayu. Insyaallah projek iakan membawa penulis untuk mengembara ke merata di Malaysia dan Indonesia juga ke beberapa negara dan tempat di Eropah termasuk ke kota London, tempat penulis mengambil ijazah matematik 1991-1995. Siri dokumentari ini dijangka siap untuk tayangan televisyen dalam tempoh 2 tahun.


Pada 13 Mei 2023 buku ke 13 + 1 penulis (pertama setelah yang ke-13 terbit tahun 2019 lalu mula memberikan tumpuan pada pengajian pascasiswazah di ISTAC iaitu Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam di Bukit Tunku, Kuala Lumpur), Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin & Orang Kaya Arsyad telah dilancarkan oleh sejarawan ulung negara, Profesor Emeritus Datuk Dr Abdullah Zakaria Ghazali di rumah penulis. Lihat Majlis pelancaran buku dan rumah terbuka raya 2023 - Melestarikan semangat perjuangan. Beliau yang bertanggungjawab memberikan kata-kata aluan dalam buku turut menjadi pembicara dalam diskusi yang diadakan di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2023 (berlangsung 26 Mei hingga 4 Jun). Lihat Bicara buku Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin di PBAKL 2023. Diskusi ini terakam dalam video atas diikuti video bawah...



Menunjukkan catatan yang diisih mengikut kaitan pertanyaan 131. Isih mengikut tarikh Tunjukkan semua catatan
Menunjukkan catatan yang diisih mengikut kaitan pertanyaan 131. Isih mengikut tarikh Tunjukkan semua catatan

Selasa, November 13, 2007

13 haribulan 11 dan 131... Sesuatu yang istimewa...

Assalamualaikum sekalian! Rasanya ramai yang mengenali tahu betapa saya ini ada sedikit gila-gila nombor. Pada 11 November baru-baru ini atau 11 haribulan 11 yang kebetulan bersamaan dengan 1 Zulkaedah 2007, saya telah tergerak untuk membuat sebuah posting bertajuk Liliputian midget in Pulau Besar, Melaka! di blogspot BERPETUALANG KE ACEH . Ini diikuti posting-posting bertajuk Orang kenit di Pulau Besar, Melaka? dan Susah senang 'mencari' diri... di blogspot ini. Posting-posting ini menyebabkan jumlah keseluruhan postings di BERPETUALANG KE ACEH bercambah menjadi 130 sementara jumlah di blogspot ini ialah 201.
Kebetulan ketika itu, jumlah posting di blogspot saya yang lagi satu iaitu SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART) adalah 74, 3 sahaja lagi untuk mencapai nombor 77 yang ada kecantikannya yang tersendiri. Selain itu, saya cuma perlu menambah 1 sahaja lagi posting untuk blogspot BERPETUALANG KE ACEH untuk menjadikan jumlahnya kepada 131, satu nombor yang sangat bermakna untuk saya dan boleh menambah 1 posting juga untuk blogspot ini untuk mencukupkan jadi 202, satu lagi nombor yang simetrikal (kiri dan kanan sama). Cuma tak pasti bilakah masa yang sesuai...
Di sini, biar saya bercerita sedikit tentang nombor 131.
Adapun dahulu semasa mula-mula berkahwin 7 tahun lepas, saya pernah membuat tempahan sebuah rumah semi-D dan kebetulan kedudukan cantik yang masih ada adalah di lot 131. Rumah itu sepatutnya siap tahun 2002 tetapi sebaliknya projek itu terbengkalai sementara tahun itu menyaksikan beberapa ahli keluarga rapat kembali menyambut panggilan Ilahi. Saya pula sedang sibuk mengembara merata tempat demi mencari jawaban kepada beberapa persoalan yang mengganggu fikiran sehingga hubungan keluarga terabai dan akhirnya bercerai. Apapun sejak itu nombor 131 menjadi begitu bermakna, satu nombor yang saya kaitkan dengan idaman diri sendiri untuk mendapatkan home sweet home atau rumahku syurga pada suatu hari nanti.
Adapun pagi tadi, setelah sekian lama tergendala, baki buku 3 saya, "Berpetualang ke Aceh: Sirih Pulang ke Gagang?" telah selamat dihantar daripada kilang ke tempat simpanan milik seorang kawan. Buku yang lain-lain pula telah dihantar ke kedai-kedai dan pengedar, bermakna pada pagi ini selesailah segala urusan berkaitan penerbitan buku... Sekarang saya cuma perlu memantau penjualan dan mewar-warkan isinya ke seantero jagat raya sahaja.
Semasa mengambil bill yang menyatakan penerimaan buku-buku tadi, baru saya perasan tarikh hari ini 13 November yang tertulis pada bill itu terdapat nombor 131 iaitu dalam bentuk 13/11. Terus timbul rasa, hari inilah hari yang sesuai untuk saya membuat posting ke 131 untuk blogspot BERPETUALANG KE ACEH... Maka biar dibuat sekali beberapa posting untuk blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART) supaya cukup jumlah jadi 77 dan kemudian bercerita di blogspot ini supaya jadilah ia posting ke 202.
Hari ini juga ternyata amat istimewa kerana saya dapat berjumpa satu-satunya anak yang saya ada setelah lebih sebulan tidak dapat berjumpa disebabkan keadaan. Tak payahlah saya sebut apakah keadaan itu ya... Cukuplah saya meluahkan hari ini, tarikh ini dan kaitannya dengan 131 sebagai sesuatu yang begitu istimewa.
Oh... Satu lagi perkara yang istimewa tentang tarikh hari ini, 13 Nov... Adapun siri buku "Berpetualang ke Aceh" mengandungi jumlah 13 bab bernombor, bab-bab yang diberi tajuk seperti "Bab 1", "Bab 8" dan sebagainya. Kebetulan, saya dalam proses membaca kembali semua siri buku ini dan telah selesai buku 1 dan buku 2... Sekarang sudah sampai pada buku 3 dan kebetulan pula berada pada pengakhiran Bab 13! Setelah selesai urusan penghantaran buku tadi, baru saya sedar, saya sudah sampai pada mukasurat terakhir Bab 13. Lalu menghabiskannya ketika menaiki keretapi komuter untuk sampai ke tempat di mana Alhamdulillah, saya dapat berjumpa anak...
Lagi satu, tarikh hari ini bersamaan 3 Zulkaedah 1428 Tahun Hijrah... Kebetulan urusan penerbitan buku 3 selesai dengan tersimpannya baki buku di tempat sepatutnya. Allah! Adakah ini bermakna akan selesai juga satu fasa besar dalam hidup saya lalu sudah sampai masanya untuk menggapai rasa home sweet home yang tersirat dalam nombor 131, satu rasa ketenangan apabila berada dalam rumah bersama keluarga yang sudah lama hilang... Sejak kecil lagi, ketika meninggalkan rumah untuk memasuki sekolah asrama 25 tahun dahulu?
Apapun, itu cuma harapan seorang pemuda 'gila' seperti saya, harapan yang entah betul-betul akan kunjung tiba, mungkin juga tidak... Di bawah ini biar disertakan beberapa gambar serta link-link postings yang baru dibuat sehingga tercapailah jumlah-jumlah yang tersebut itu. Maka dengan ini, saya mungkin tidak akan menambah apa-apa cerita baru buat satu jangka masa. Sekian! Terima kasih kerana selalu mengikuti tulisan-tulisan saya. Wassalam! :]


Makam (tomb of) Baginda Ali



Sedikit citarasa Itali di Pulau Besar? (A bit of Italian taste in Pulau Besar?)


Batu Belah (split stone) of Pulau Besar, Melaka


Cerita (the story of) Tun Teja...

p/s: Baru teringat. Adapun blogspot BERPETUALANG KE ACEH adalah blogspot pertama tempat saya menulis di Internet. Beberapa bulan kemudian barulah terbit blogspot ini dan sebulan dua seterusnya blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART) . Maka dengan itu, jumlah postings 131 untuk BERPETUALANG KE ACEH jadi lebih lagi bermakna. Alhamdulillah!

Khamis, Julai 30, 2009

Jalan hujung minggu Negeri Sembilan - mencari hulu Sungai Muar dan makna di sebaliknya... nombor 131 lagi!



Perjalanan diteruskan untuk memasuki kawasan kampung lebih dalam...


Kelihatan sawah padi terbentang agak luas walaupun kering-kontang...

Dahulu ketika masih bertugas di akhbar The New Straits Times terutama sebagai wartawan sukan, saya selalu juga berjalan-jalan di sekitar ini kerana meliputi hal-hal berkaitan sukan berkuda lasak atau endurance racing yang ada satu pengkalan di Terachi...




Lama kemudian iaitu baru sebulan kebelakangan, baru saya tahu bahawa kawasan ini memiliki makna tertentu yang lain dan lagi bermakna buat saya...



Oh... di sini saya turun kereta untuk melihat lebih dekat sebuah rumah kayu lama. Sangka saya, seperti sebuah rumah di tepian jalan menghampiri Tanjung Ipoh (lihat artikel Jalan hujung minggu Negeri Sembilan - singgah di makam Tuan Tulis ) ia juga memiliki ukiran seperti lidah tergantung pada hujung bumbung. Rupa-rupanya yang saya nampak itu sekadar sebahagian ukiran yang patah...



Apapun, keingin kuat dalam diri untuk mencari kaitan antara beberapa perkara yang saya kenali dan baru ketahui dalam beberapa tahun kebelakangan inilah yang turut membawa saya lagi ke sini. Lalu saya keluar sebentar dari jalan tadi semata-mata untuk memastikan apakah jambatan yang saya lihat ini menyeberangi sebuah sungai yang mempunyai banyak makna dalam hidup saya iaitu Sungai Muar...




Yang pasti, baru sebulan ini saya menyedari bahawa Sungai Muar yang kualanya terletak di bandar Muar, Johor, tempat saya dilahirkan dan dibesarkan hingga remaja turut mengalir di sebelah ini. Saya tak pasti berapa panjangnya Sungai Muar jadi tadi saya cuba buat ukuran sendiri dengan menggunakan alatan ruler ataupun pembaris di Google Earth lalu membuat anggaran... dapatlah jumlah sekitar 285 km gitu.


Hmm. Kalau tak salah ingatan, begitulah juga panjang Sungai Muar yang pernah saya baca kat buku semasa kecil-kecil dahulu. Aduh... susah sungguh nak cari maklumat seperti ini sekarang. Dahulu senang je... peta buku sekolah pun cukup lengkap dengan kontor yang menunjukkan dengan jelas bentuk muka-bumi serta ketinggian bukit-bukau dan gunung-ganang selain laluan sungai.



Ini adalah Masjid Kampung Talang. Rasanya dahulu saya pernah singgah sekali dua untuk bersolat. Ketika kami lalu kelihatan 2-3 orang berpakaian jubah berserban sedang masuk ke dalam masjid... rasanya orang-orang Tabligh.



Dari Kampung Talang, masih ada 4 km lagi untuk ke tempat tujuan kami iaitu, Talang Dam ataupun Empangan Talang.




Akhirnya sampai juga ke pintu empangan. Melalui apa yang terpampang, maka confirm le di sini terletaknya hulu Sungai Muar yang telah diempang. Masalahnya kami tidak dibenarkan masuk. Hmm... dulu-dulu sekitar tahun 1999 atau 2000 gitu saya pernah masuk ke dalam dengan menaiki motosikal. Sekarang tak boleh masuk pulak. Nasib baik pengawal empangan memberitahu kami boleh masuk melalui jalan lain iaitu laluan kampung...



Kami pun masuk ke dalam kampung bersebelahan atau lebih tepat, di bawah empangan...



Di sini saya berhenti dan turun kereta lagi untuk mengambil gambar...



Bukan apa... saja seronok tengok Sungai Muar di sebelah sini. Maklumlah, Sungai Muar yang saya kenali sejak kecil iaitu di bandar Muar yang berhampiran kuala serta sekitar jauh lebih lebar... 400 meter lebar atau lebih gitu. Kalau dah 100km meliuk-lintuk ke pendalaman pula, kalau masih dalam daerah Muar ia mengecil lagi tapi masih sekitar 70 meter lebar dan cukup besar. Tiba di sini pula ia sekadar sebesar parit sahaja... tersenyum saya memikirkan ini. Itu belum lagi jumpa punca sebenar sungai yang selalunya sekadar mata-air di pergunungan...

Oh. Nampak tak bangunan di latar-belakang atas gambar? Itulah binaan yang mengempang Sungai Muar untuk membentuk Empangan Talang. Kami perlu mencari jalan kampung untuk naik dan masuk ke sana. Isshhh... boleh tahan jauh tu!




Rupa-rupanya jalan kampung masuk tak sampai 200 meter pun dari jambatan tadi. Yang tinggal cuma sebuah rumah kampung sebagai tanda, lupa pulak nak ambil gambar. Ertinya seseorang itu perlu berjalan kaki jauh untuk masuk ke empangan. Larat ke? Isteri saya yang sedang sarat mengandung tetap mahu ikut sekali. Kuat betul semangatnya, eh ke pembawakan budak?

Semasa meletakkan kereta untuk memulakan perjalanan kaki, baru kami tersedar meter bawah pada dashboard kereta menunjukkan nombor 131. Adapun meter ini mula dikosongkan di hadapan balai polis Dang Wangi petang Jumaat sejurus sebelum kami ke Kajang untuk bermalam dan kemudian menyambung perjalanan ke Negeri Sembilan, dengan niat utama untuk ke tempat ini di mana terdapatnya hulu Sungai Muar.

Sekali lagi biar diberitahu betapa nombor 131 membawa makna tertentu buat saya. Di sini biar diletakkan link-link artikel yang ada melibatkan nombor ini...


Malah perjalanan saya dan isteri ke Aceh bulan lepas pun turut dipengaruhi unsur 131. Sila lihat artikel Sampai ke Aceh setelah 5 tahun 5 bulan menunggu! Rupa-rupanya ada faktor 131 di sini... . Apakah ada sesuatu di hulu Sungai Muar yang mengaitkan segala ini? Bersambung...


Selasa, Jun 30, 2009

Sampai ke Aceh setelah 5 tahun 5 bulan menunggu! Rupa-rupanya ada faktor 131 di sini...

Dalam artikel Tanda keruntuhan kesultanan Perak? saya ada menyebut...

Sebenarnya buat tempoh sebulan dua ini, saya bercadang tidak mahu menulis apa-apapun tentang hal lain kecuali berkenaan perjalanan ke Aceh yang baru selesai Isnin lalu. Tetapi disebabkan kerja menyiapkan penterjemahan beberapa mukasurat terakhir buku Ahlul Bait dan kesultanan Melayu (lihat artikel Buku Ahlul Bait yang membuat saya pening, rindukan anak dan hal-hal lain... ) belum lagi dimulakan akibat mood saya masih belum ke situ maka hingga kini saya belum membuat apa-apa cerita tentang Aceh di sini kecuali pengumuman dalam artikel Ole-ole dari Aceh... coming! yang dibuat Khamis lalu.

Kini sudah lebih seminggu saya kembali dari Aceh tetapi masih lagi belum mendapat mood untuk menyambung penterjemahan buku Ahlul Bait. Maka daripada saya terus termangu begitu tanpa hasil baik dimulakan proses penceritaan pengembaraan terbaru ke Aceh. Ini dia...

Ini adalah gambar isteri saya berserta hos kami di Aceh, Kak Ann semasa menunggu untuk menaiki pesawat Air Asia ke Aceh dari LCCT di Sepang. Untuk pengetahuan, Kak Ann selalu berulang-alik dari Malaysia ke Aceh atas beberapa urusan...

Tidak lama kemudian, lebih kurang satu setengah jam gitu kami pun menghampiri Banda Aceh, ibu negeri Aceh. Turut kelihatan dalam gambar iaitu pada kiri bawah adalah kompleks makam Syiah Kuala. Nanti saya akan ceritakan lebih lanjut dalam artikel lain.

Sementara itu anda boleh melihat gambar-gambar lain dari atas kapalterbang. Sila lihat artikel The flight to Aceh... di blogspot BERPETUALANG KE ACEH .


Kemudian touchdown di lapangan terbang Sultan Iskandar Muda yang bangunan barunya ini rupa-rupanya baru disiapkan dan dibuka 2 minggu sahaja sebelum kami sampai.

Rasanya macam tak percaya pula saya sudah sampai ke Aceh. Malah semasa turun dari pesawat lalu masuk ke ruang utama lapangan terbang di mana sekumpulan penari tradisional mula membuat persembahan rapa'i apa entah (maaf, saya sudah lupa) yang lagunya kedengaran seperti sebuah lagu tradisional Melayu, saya terasa sebak yang amat sangat!


Pembaca yang sudah mengikuti ketiga-tiga buku dalam siri trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" tentu tahu bagaimana perjalanan saya ke Aceh yang dibuat Januari 2004 tersekat setakat di Langsa, bandar besar Aceh yang paling dekat dengan sempadan masuk ke propinsi atau wilayah Sumatera Utara yang mengandungi bandaraya Medan. Saya setakat sempat duduk 3 malam di Langsa dan pagi Isnin ketika hendak berlepas ke Perlak, saya dihalau keluar dari Aceh pula oleh pihak immigresen Indonesia kerana kesalahan memasuki wilayah itu ketika ia sedang darurat akibat perang. Maka bayangkan perasaan saya masuk kembali ke Aceh lebih kurang 5 tahun 5 bulan kemudian! Pada hari Isnin juga...

Saya sempat masuk ke tandas untuk melepaskan tangisan rasa terharu kemudian masuk ke musolah untuk membuat solat sunat syukur. Kelihatan pula sejadah "masjid mata" ini. Lihat artikel-artikel lama ini...

Salam daripada Raub... Dan pengembaraan terbaru hampir tamat!,

Masjid Mata... Ia melihat segalanya!

Dulu ada masjid mata, sekarang ada mahkamah mata pula!


Masjid mata lawan mahkamah mata... Siapa lagi power?



Dari lapangan terbang, 2 buah kereta MPV milik Kak Ann sudah sedia menunggu. Kami pun berlepas ke Banda Aceh sekitar 20 minit perjalanan. Kelihatan di kiri kanan jalan banyak sawah padi tetapi saya lupa pula nak ambil gambar. Sebaliknya pada ketika itu saya lebih tertarik dengan pemandangan sungai berlatar-belakangkan gunung-ganang.

Sampai di pinggir bandar 2 kereta itu berpecah. Kereta yang membawa saya dan isteri terus pergi ke sebuah hotel mewah. Allah! Selama ini saya menyangkakan kami akan menginap di sekitar kawasan rumah anak yatim yang didirikan Kak Ann di pantai barat Aceh. Ternyata dia sudi meletakkan kami di satu-satunya hotel 4 bintang di seluruh Aceh, hotel paling canggih di Banda Aceh yang baru beroperasi sekitar setahun dua ini.



Kemudian kami bertemu kembali Kak Ann di sebuah restoran untuk makan tengah-hari. Selesai makan baru kami pergi ke pejabat Kak Ann. Rupa-rupanya dia juga memiliki sebuah syarikat travel and tours di tengah kota. Kami difahamkan Kak Ann bertanggungjawab membawa masuk penerbangan terus AirAsia dari KLIA ke Banda Aceh juga penerbangan Firefly Pulang Pinang ke Banda Aceh. Kebetulan ada nombor 131 pada alamat pejabat ini. Ait? Macam ada makna ni.

Awal tadi semasa di LCCT di Sepang, ternyata 2 beg yang kami check-in untuk dimasukkan ke dalam kapalterbang (kami turut membawa sebuah hand-luggage) mempunyai jumlah berat 13.1 kg. Pembaca setia blogspot ini mesti tahu betapa saya sering mengaitkan nombor 131 dengan home sweet home. Baca artikel-artikel lama ini...

13 haribulan 11 dan 131... Sesuatu yang istimewa...

Apa ada kat P131 Rembau?

Satu majlis buku, nombor 1310 dan Adiputra si kanak-kanak 'genius'...

Nombor 131 dan segala "adik-beradiknya"...

Nombor 131 dan gerak penceritaan seterusnya...

"Sirih pulang ke gagang", nombor 131 dan DVD "Sekitar Perjanjian Pangkor 1874"...

Nombor 131 dan makna satu pernikahan...





Kemudian sampailah masa untuk kami berjalan-jalan melihat apa yang ada di Banda Aceh. Kereta MPV yang dinaiki dari lapangan terbang tadi berserta pemandu diserahkan oleh Kak Ann untuk kegunaan kami. Destinasi pertama kami, Masjid Baiturrahman yang cukup terkenal itu. Nanti sambung cerita ya!

Selasa, Oktober 13, 2009

Lahirnya anakku Muhammad Al-Aminul Rasyid dan 131...

Nampaknya keadaan menentukan saya cuma dapat menyambung apa-apa cerita perjalanan selepas tamat bulan Syawal. Kita ikut aje le ya mood penceritaan terbaru ya...


Pemandangan kolam wuduk masjid jamek Muar dari belakang...


Gambar baby 1...

Gambar baby 2...


Gambar baby 3...



Beberapa rakan pembaca setia blogspot ini bersama saya dan isteri Ahad baru ini...


Assalamualaikum semua. Jadi apa cerita kali ini? Apakah maksud gambar-gambar di atas diatur sebegini rupa? Rasanya bab gambar baby tu dah cukup terang. Oleh itu sukacita dimaklumkan bahawa anak terbaru saya yang namanya sudah ditetapkan sebagai Muhammad Al-Aminul Rasyid telah selamat dilahirkan awal pagi tadi, Selasa 13/10/2009 pada jam 3.26 pagi. Jadi apa kena-mengena pula dengan gambar masjid dan gambar pembaca blogspot yang ada?

Lihat aturan yang tercetus. 1 gambar masjid diikuti 3 gambar bayi seterusnya 1 gambar pembaca yang diambil ketika menerima lawatan mereka ke rumah saya. Bukankah ada aturan 1-3-1 di sini? Saya rasa pembaca setia blogspot ini sudah sedia maklum betapa nombor 131 membawa makna tertentu buat saya. Siapa sangka anak yang isteri mahu panggil sebagai Al-Rasyid ini lahir pada satu tarikh yang juga ada 131 (13/10/2009)!

OK. Sebenarnya 2 gambar yang mengapit gambar-gambar bayi sangat relevan dalam penceritaan kali ini. Biar dimulakan dengan apa yang berlaku bulan Ramadhan lalu.

Pada pertengahan bulan itu, ketika isteri saya sudah sarat mengandung hampir 8 bulan gitu, saya dan isteri sempat membuat perjalanan jauh ke Kelantan untuk melihat anak-anak isteri (anak tiri saya le) di sana sebelum membawa mereka berjalan-jalan ke beberapa tempat di Terengganu. Kemudian saya dan isteri pergi ke Cameron Highlands melalui Gua Musang sebelum ke Chenderiang. Perak untuk melihat Lata Kinjang. Lihat penerangan yang dibuat dalam artikel Kata-kata santai setelah berjalan jauh lagi ke Pantai Timur... lebih sebulan lalu. Insyaallah satu siri cerita tentang perjalanan ini akan dibuat nanti.

Masuk minggu terakhir bulan Ramadhan, isteri saya mula terasa sakit-sakit di bahagian perut dan anggota badan berkaitan. Timbul rasa risau, apakah isteri saya akan beranak awal seperti mana pernah berlaku pada saya hampir 40 tahun lalu? Untuk makluman, menurut telahan doktor, saya sepatutnya lahir pada 22 Disember 1970. Sebaliknya saya lahir sebulan lebih awal iaitu pada malam 26 November yang menurut ibu saya adalah Malam Tujuh Likur @ 27 Ramadhan tahun itu! Anak saya pula dijangkakan lahir 8 Oktober. Kalau dia lahir sekitar Malam Tujuh Likur tahun ini, maka dia akan jadi lebih kurang macam kes saya agaknya...

Saya risau anak dalam perut lahir tak cukup bulan. Saya tak mahu apa-apa kesakitan yang pernah ditanggung saya mahupun segala macam kecelaruan hidup yang pernah dilalui turut dialami anak ini. Percaya atau tidak, saya memujuk anak di dalam perut. Kata saya: "Cukuplah Abah tak cukup bulan. Biarlah Al-Rasyid duduk dalam perut sampai cukup matang..."

Hari Raya tahun ini agak lain dari yang lain buat seluruh keluarga besar saya dari sebelah ibu apabila seorang sepupu perempuan melangsungkan perkahwinan di Kuala Lumpur pada hari raya ketiga. Ini menyebabkan 4 generasi keluarga kami dari seluruh pelusuk Semenanjung, juga Singapura berkumpul di KL selama beberapa hari itu, tidak seperti tahun-tahun lepas di mana kami mesti bersua di Muar sekitar hari raya kedua atau ketiga. Apapun, saya merancang untuk kembali ke kampung ibu pada hujung minggu pertama raya. Sebaliknya Rabu malam Khamis iaitu malam raya ke-empat, selepas menghadiri satu acara keluarga di Ampang isteri saya mula mengalami contractions.

Maaf ya, saya tidak tahu perkataan Melayu untuk menerangkan keadaan ini. Nak sebut sakit-sakit rasa kurang tepat pula. Apabila contractions terus berlaku sehingga esok harinya, saya pun memasukkan isteri ke dalam wad. Maka pada malam Jumaat isteri saya berada di hospital. Tergendalalah rancangan kami untuk kembali ke Muar hujung minggu.

Ketika itu terbetik juga harapan agar anak saya lahir pada hari Jumaat iaitu penghulu segala hari. Kalau tak dapat malam Jumaat seperti saya, dapat pagi atau petang Jumaat pun jadilah. Sebaliknya setelah menunggu lama sehingga hampir waktu Asar, tak juga jadi apa-apa. Lalu saya terpaksa membawa isteri keluar dari hospital dan hari-hari seterusnya saya jadi 'dungu' apabila perjalanan jadi tersekat akibat harus menunggu sekitar Lembah Kelang untuk kelahiran anak yang entah tak tahu bila.

Pagi Khamis minggu kedua Syawal, isteri saya mendapat surat MC 2 hari dari klinik kerajaan setelah membuat pemeriksaan pagi hari. Saya pula dah tak tahan asyik menunggu di rumah ataupun di KL lalu terus mengajak isteri pergi ke Kampung Janda Baik di Bentong, Pahang. Logik saya begini. Jarak antara rumah kami di Bandar Tasik Puteri ke Hospital Selayang tempat isteri berharap dapat melahirkan anak adalah sekitar 40 km. Begitu juga jarak hospital dari Janda Baik. Jadi elok juga ke sana menikmati angin segar pergunungan. Kalau berlaku apa-apa, tidak begitu jauh untuk berkejar ke hospital. Kami pun ke sana dengan cukup persiapan untuk bermalam 2-3 hari. Sebaliknya setelah berehat 2-3 jam, timbul rasa yang kuat untuk menyambung perjalanan ke Muar.

Saya bertanya isteri dan dia menurut sahaja. Kami pun nekad pergi ke sana dan sampai malam Jumaat. Mungkin anak kami mahu dilahirkan di daerah kelahiran saya itu? Apapun, dapatlah saya bersolat Jumaat di masjid tempat saya sering bermain dan bersolat ketika membesar. Tu yang diletakkan gambar tempat berwuduk di atas.

Di Muar kami dapat melawat beberapa tempat sebelum pergi ke bandaraya Melaka, Masjid Tanah, Kuala Linggi, Linggi, Rembau dan Kajang lalu kembali ke rumah di Bandar Tasik Puteri. Ternyata tidak ada apa-apa tanda baru bayi bakal lahir malah pada Rabu minggu ketiga Syawal, kami sempat ke Shah Alam untuk menghadiri majlis pengkebumian seorang nenek saudara, begitu juga tahlil pada malam esoknya iaitu malam Jumaat. Ketika itu terfikir juga apakah anak kami akan lahir Jumaat kali itu? Apapun, hati kami sedikit terhibur dengan kehadiran beberapa orang ahli keluarga yang merupakan para doktor, 3 daripadanya memang pakar sakit puan.

Jumaat ketiga Syawal berlalu tanpa apa-apa tanda. Padahal ia bersamaan 8 haribulan Oktober iaitu due date atau tarikh lahir bayi dijangkakan! Kami pun terus nekad menghadiri apa-apa acara hari raya juga berjalan ke sana ke mari. Tiada gunanya duduk termangu di rumah sekadar menunggu bayi keluar.

Kemuncaknya adalah apabila kami bergegas 80 km dari Bandar Tasik Puteri ke Bangi untuk menghadiri satu acara reunion kolej (lihat artikel Reunion A Level malam tadi di Bangi... ) Sabtu malam Ahad. Esoknya selepas Zuhur kami menerima kehadiran beberapa orang rakan pembaca setia blogspot di rumah kami sedangkan ketika itu isteri sudah masuk 3 hari overdue atau terlebih jangkaan tarikh kelahiran! Itu sebab diletakkan gambar terakhir di atas...

Saya mula menerima kenyataan bahawa bayi ini tidak semestinya lahir hari Jumaat. Janji selamat dan cukup sifat jadilah... hari apa pun boleh. Dalam pada itu tergerak pula untuk membuat perbandingan dengan situasi saya sendiri hampir 40 tahun lalu. Apakah anak ini lahir lambat untuk memenuhi 'kekurangan' saya dahulu? Apakah ia akan keluar hari Isnin kerana saya bercadang mahu memulakan puasa enam pada hari itu, puasa yang mahu dibuat 6 hari berturut-turut tetapi selama ini tergendala kerana mahu menemani isteri menikmati segala macam majlis sempena hari raya dan hal-hal lain berkaitan...

Saya pun menyemak Internet untuk melihat due date saya dahulu iaitu 22 Disember 1970, apakah tarikhnya jika menurut kiraan Hijrah. Jawaban yang diberikan oleh sebuah Gregorian-Hijriah converter (program menukar kalendar) ialah 23 Syawal dengan menyebut kemungkinan lari satu hari sedangkan sebuah lagi program menyebut 24. Mungkin juga muncul kiraan berbeza disebabkan dahulu, tarikh bermula puasa juga hari raya seringkali tidak sama dari satu negara ke satu negara akibat ada tempat yang melihat anak bulan lebih awal sedangkan ada yang terus menurut kiraan falak. Rasanya dalam tempoh sedekad ini baru diselaraskan agar semua pihak menurut kiraan falak lalu mendapat tarikh umum yang selari untuk seluruh dunia.

Ya, 22 Disember 1970 mungkin bersamaan 23 Syawal, mungkin juga 24. Yang pasti ia adalah hari Selasa kerana kiraan hari tak pernah lari, tetap 7 hari seminggu menurut turutan yang sepatutnya tak kira menurut kalendar apa. Ah, apakah anak ini bakal lahir hari Selasa? Tetapi jam 4:30 pagi Isnin ketika saya bangun untuk bersahur, ternyata isteri sudah mendapat satu tanda utama apabila pendarahan bawah bermula... apakah ia akan keluar hari Isnin pula?

Sebaik sahaja selesai rush hour atau waktu orang berkejar pegi kerja, saya terus menghantar isteri yang semakin rancak mengalami contractions masuk ke Hospital Selayang. Hampir jam 3 petang baru dia mendapat katil akibat ramai orang. Tetapi dipendekkan cerita, masuk tengah malam baru isteri saya mengalami cukup pembukaan yang bermakna untuk menandakan bayi akan keluar dalam waktu terdekat. Cuma timbul masalah yang memerlukan pembedahan. Akhirnya bayi selamat dilahirkan pada pagi Selasa 13/10/2009, jam 3.26 iaitu 5 hari selepas due date 8 Oktober. Nampaknya berat yang menjangkau 4.3 kg memerlukan ia keluar begitu...

Yang nyata anak yang dinamakan Muhammad Al-Aminul Rasyid ini lahir 24 Syawal 1430 Hijrah. Ini seolah 'memperbetulkan' keadaan saya yang lahir tidak cukup bulan hampir 40 tahun lalu... atau cukup 40 tahun malah boleh kata tepat 40 tahun menurut kalender Islam kerana saya lahir 1390 Hijrah! Bukankah due date saya dahulu iaitu 22 Disember 1970 bersamaan 23 atau 24 Syawal? Campurkan dengan kemunculan angka 131 yang selalu saya sabitkan dengan home sweet home atau konsep rumahku syurgaku melalui kelahiran pada 13/10/2009, dengan keadaan bayi dkeluar 5 hari melepasi due date... sedangkan isteri saya mendapat katil nombor 5 di Wad 5B yang terletak di tingkat 5 hospital, apakah ini semua sekadar kebetulan?

Sesungguhnya saya menaruh harapan yang tinggi dengan kelahiran bayi ini. Nama Muhammad Al-Aminul Rasyid yang timbul satu petang ketika menyeberangi Sungai Perak di sekitar pekan Parit, setelah pertama kali menziarahi makam beberapa orang kerabat diraja lama Perak telah disimpan sejak penghujung 2001, baru kini saya mendapat seorang anak lelaki yang layak menerima nama itu. Selama ini, ia cuma dapat dipakai untuk watak utama siri novel "Berpetualang ke Aceh" yang dibuat berdasarkan pengalaman sebenar kehidupan dan pengembaraan saya. Semoga anak ini menjadi orang yang lebih baik dari saya, semoga ia mendapat manfaat dari segala salah-silap perkiraan hidup saya yang membuahkan segala macam ilham dan ilmu tanpa dia sendiri perlu melalui segala susah-payahnya!

Oh. Untuk sesiapa yang tidak tahu betapa bermaknanya nombor 131 untuk saya, bolehlah baca artikel-artikel lama ini.

13 haribulan 11 dan 131... Sesuatu yang istimewa...

Apa ada kat P131 Rembau?

Satu majlis buku, nombor 1310 dan Adiputra si kanak-kanak 'genius'...

Nombor 131 dan segala "adik-beradiknya"...

Nombor 131 dan gerak penceritaan seterusnya...

"Sirih pulang ke gagang", nombor 131 dan DVD "Sekitar Perjanjian Pangkor 1874"...

Nombor 131 dan makna satu pernikahan...

Sampai ke Aceh setelah 5 tahun 5 bulan menunggu! Rupa-rupanya ada faktor 131 di sini...

Sekian wassalam. Sekali lagi, selamat hari raya.


Jumaat, Januari 22, 2010

Buku Inggeris Ahlul Bait Raja-raja Melayu dan faktor 131 juga 313





Maha suci Allah yang mengatur segala-galanya dengan penuh hikmah. Baru pagi tadi saya tersedar senaskah buku Inggeris bertajuk "Ahlul Bait (Family) of Rasulullah SAW & Malay Sultanates) hasil kerja penterjemahan saya telah sampai ke rumah, rasanya sejak hari Rabu. Seperti disebut dalam artikel Pengembaraan Al-Rasyid ke selatan : Kerajaan Johor Lama, waris Empayar Melaka? yang baru disiapkan lebih awal tadi beberapa hari kebelakangan ini saya tiada di rumah kerana bapa mertua baru meninggal dunia. Jadi baru Khamis siang tadi saya mula kembali kepada aturcara harian biasa...

Adapun buku yang baru terbit ini ialah hasil penat lelah saya tahun lepas menterjemahkan teks asal daripada buku "Ahlul Bait (keluarga) Rasulullah SAW dan Raja-raja Melayu" karangan Tun Suzana Othman dan suaminya Hj Muzaffar Mohamad dalam tempoh enam bulan. Selebihnya ia diproses kembali oleh pihak mereka. Kecuali sedikit penambahan beberapa mukasurat termasuk kata-kata aluan dan gambarajah serta gambar-gambar, isinya rata-rata sama dengan apa yang saya buat. Jadi tidak keterlaluan untuk mengatakan ini juga adalah buku saya...

Bayangkan menterjemahkan lebih 400 mukasurat buku dengan 150,000 perkataan berkenaan perkara begitu serius seperti peranan Ahlul Bait dan Raja-raja Melayu dalam menangani keadaan dunia yang sedang dicatur kuasa Yahudi Zionis. Maka itu ada masanya saya terasa begitu penat dan gelisah sehingga terkeluar kata-kata kurang enak dalam artikel Buku Ahlul Bait yang membuat saya pening, rindukan anak dan hal-hal lain... yang dibuat Mei 2009.

Kini apa yang diusahakan sudah pun menjadi buku yang boleh dilihat dan ditelaah orang, rasanya akan masuk ke kedai-kedai buku dalam masa terdekat jika tidak pun sudah berada di rak-rak. Yang menarik saya menerima senaskah buku pada ketika siri cerita "Pengembaraan Al-Rasyid ke selatan" hendak masuk ke bab berkenaan kerajaan Johor Lama. Ini kerana sebahagian besar Raja-raja Melayu yang dikaitkan dengan Ahlul Bait dalam buku ini adalah keturunan Tun Habib, Bendahara kerajaan Johor Lama ketika ia berpusat di Kota Tinggi 300 tahun lalu.

Lagi satu yang menyentak fikiran adalah jumlah mukasurat bernombor iaitu 444. Pada mukasurat 444 itu pula terdapat biodata ringkas diri saya sebagai penterjemah buku. Rasanya mereka yang selalu mengikuti penulisan di blogspot ini tentu tahu betapa nombor 131 memiliki makna tertentu buat diri ini. Nombor 313 pula diketahui umum sebagai angka jumlah tentera Badar, jumlah tentera Thalut melawat Jalut juga jumlah para Rasul. Pada saya, nombor 131 melambangkan "home sweet home", rumahku syurgaku iaitu hasrat peribadi untuk merasai kehidupan bahagia berkeluarga sedangkan 313 ialah nombor yang melambangkan perjuangan membela yang hak untuk satu golongan terpilih.

Adapun 131 dicampur 313 adalah 444. Gabungan hasrat peribadi dengan perjuangan ini menjadi cukup kerana 444 juga membawa kepada 4+4+4 bersamaan 12 iaitu jumlah bulan dalam satu tahun. Kebetulan pada mukasurat 131 buku yang boleh dikira buku terbaru saya ini terdapat carta salasilah ringkas keturunan Wali Songo yang bersambung dengan Rasulullah SAW melalui satu watak Ahlul Bait bernama Sayid Hussein Jamadil Kubra. Pada mukasurat ke 313 pula terdapat gambar Yang di Pertuan Agung sekarang iaitu Sultan Mizan Zainal Abidin.

Tahukan anda bahawa baginda adalah Yang di Pertuan Agung Malaysia yang 13? Perhatikan, nombor 13 terdapat dalam kedua-duanya 131 dan 313 sedangkan 13 juga boleh membentuk 1+3 iaitu 4. Apakah ada maksud yang tersirat?

Apapun saya telah membuat sebuah artikel baru bertajuk My 5th book is out! Ahlul Bait (Family) of Rasulullah SAW and the Malay Sultanates... di blogspot BERPETUALANG KE ACEH . Pada artikel itu terdapat sinopsis dalam bahasa Inggeris seperti yang terdapat pada kulit belakang buku. Sekian, selamat malam! :]

Selasa, Disember 16, 2008

Nombor 131 dan makna satu pernikahan...

Gambar diambil dari http://abangman.fotopages.com/

Assalamualaikum semua. Setelah menyiapkan beberapa buah artikel untuk blogspots saya, baru saya boleh menulis satu artikel tentang peristiwa besar terbaru dalam hidup saya... iaitu pernikahan dengan Nur kedua @ Anggun yang baru berlangsung minggu lepas.

Sebelum itu, biar kita bercerita sedikit tentang tarikh pernikahan. Seperti ramai pembaca setia blogspot ini tahu, saya sukakan nombor 131. Ini kerana pada saya ia melambangkan home sweet home atau "rumahku syurgaku" yang sudah amat lama saya dambakan.

Nombor 131 ini muncul dalam hidup saya sejurus selepas perkahwinan dengan bekas isteri penghujung 1999. Ia sebenarnya adalah nombor sebuah rumah semi-D di Hulu Langat yang dibeli, sudah dibayar wang pendahuluan juga duit peguam untuk pinjaman rumah... rumah yang sepatutnya siap tahun 2002 tetapi sebaliknya tahun itu menyaksikan beberapa ahli keluarga terdekat meninggal dunia, rumahtangga saya pula porak-poranda apabila ketidak-sefahaman kami menjadi semakin ketara setelah saya hilang pekerjaan tetap sebagai wartawan di akhbar The New Straits Times penghujung tahun 2001.

Keadaan saya amat kelam-kabut ketika itu. Di celah-celah panggilan kebatinan untuk memahami susur-galur keturunan dan peranan, di sebalik celaan bekas isteri yang tidak memahami, kami mendapat anak ketika duit simpanan saya hampir tiada. Keesokannya pula adik lelaki bongsu saya meninggal dunia akibat kemalangan jalan-raya, selepas beberapa bulan Nenek, ibu kepada bapa saya juga meninggal dunia, satu-satunya insan yang sebenarnya faham keadaan saya yang seperti gila isim ketika itu.

Kematian adik membuat saya terasa begitu lemah walaupun kami tidaklah begitu rapat. Ia berlaku ketika saya amat mendambakan kami sekeluarga dapat hidup bersama dalam satu rumah sendiri, dapat sehari pun jadilah...

Selama ini kami cuma duduk di rumah Mak, ibu kepada ibu saya yang banyak membesarkan kami adik-beradik sedangkan ayah yang berkerja di Kuala Lumpur duduk di Kajang, hujung minggu baru pulang ke Muar. Fikirkan... walaupun keluarga saya memiliki 5 (atau lebih? lupa pula) buah rumah, selama itu kami belum pernah betul-betul tinggal satu keluarga dalam rumah milik sendiri. Jadi selama 2-3 tahun sebelum itu terutama setelah mendirikan rumahtangga dengan bekas isteri, saya sebenarnya berusaha agar kami sekeluarga dapat duduk dalam rumah sendiri bersama. Kehilangan adik menghilangkan langsung harapan ini.

Apabila harapan itu sudah hancur-berkecai, maka yang tinggal adalah harapan untuk membina home sweet home bersama isteri sendiri. Sebaliknya perhubungan kami semakin renggang akibat keadaan sedangkan sebulan selepas adik saya meninggal dunia, seminggu selepas Hari Raya Aidil Fitri, Mak pula kembali ke Rahmatullah.

Ah! Cukuplah luahan yang ini. Segalanya telah pun saya ceritakan di dalam siri buku "Berpetualang ke Aceh" melalui pengalaman watak yang diberi nama Muhammad Al-Aminul Rasyid.

Apa yang tidak diceritakan, pada tahun yang sama iaitu 2002, rumah yang dibeli sepatutnya siap sebaliknya projek perumahan itu langsung terbengkalai. Dalam keadaan segala-galanya haru-biru, saya langsung melupakan duit lebih RM7,000 yang telah dibayar untuk rumah itu!

Yang tinggal cuma nombor rumah dalam ingatan iaitu 131 sebagai lambang saya ingin merasai kebahagian berumahtangga sebenar. Sejak itu, ayah dan ibu saya sudah duduk di rumah sendiri, sebuah bungalow baru yang dibeli secara tunai 3 tahun lalu sedangkan saya terus terkapai-kapai mencari arah.

Saya cuma mendapat sedikit kerehatan setelah berjaya menyajikan ketiga-tiga buku dalam siri trilogi "Berpetualang ke Aceh" iaitu buku satu dengan sub-title "Mencari Diri dan Erti" (terbit Jun 2006), buku dua "Membela Syiar yang Asal" (Mei 2007) dan buku tiga "Sirih Pulang ke Gagang?" (Nov 2007).

Oh! Adapun awal tahun lalu saya telah berniat akan menamatkan zaman duda sebelum masuk tahun Hijriah terbaru ini. Ini kerana pada tahun 1430 Hijrah ini umur saya akan masuk 40 tahun (menurut kiraan Islam). Bukankah ada pepatah menyebut "life begins at 40" ("kehidupan bermula pada umur 40 tahun")? Bukankah umur pemuda di syurga dikatakan ibarat orang berumur 40 tahun di bumi (cukup matang tetapi tidak terlalu tua)? Bukankah Nabi Muhammad SAW diangkat menjadi rasul pada umur 40? Bukankah juga disebut bahawa jika seseorang itu tidak mengubah perangainya menjadi baik sebelum umur 40 maka ia akan semakin teruk dan tidak akan baik-baik selepas itu?

Keadaan yang berlaku kebelakangan ini menyebabkan saya lebih rapat kepada seseorang. Dan keadaan itu juga membenarkan kami cuma dapat bernikah sejak baru-baru ini. Oleh kerana nombor 131 melambangkan harapan tinggi saya untuk mendirikan kembali rumahtangga, dan ia harus berlangsung sebelum masuk tahun Hijriah baru ini maka saya cuba mendapatkan tarikh 13 Disember atau 13.12.2008 (perhatikan, ada nombor 131 di situ) untuk pernikahan itu. Sebaliknya pak imam pula ada hal lain lalu meminta saya samada memilih tarikh lebih awal atau terkemudian.

Ini memaksa saya bertafakur sebentar. Lalu baru saya mendapat ilham untuk memilih tarikh 11 Disember kerana kebetulan ia juga bersamaan 13 Zulhijjah atau 13.12.1429 Hijriah (kerana Zulhijjah adalah bulan ke 12), ada juga 131. Kemudian baru saya dapat tahu, rupa-rupanya tarikh itu juga adalah hari keputeraan Sultan Selangor. Malah apabila saya menalifon ibu memberitahu tentang rancangan pernikahan ini, ternyata ia juga adalah tarikh hari lahir ayahanda saya sendiri!

Maka itu jangan hairanlah jika maskahwin perkahwinan saya juga berjumlah RM131. Asalnya seperti dijanjikan kepada bapa mertua, saya cuma akan memberikan maskahwin dengan sebentuk cincin sahaja, maklumlah, saya bukan ada duit sangat... tetapi apabila kembali ke kampung pada Hari Raya Aidil Adha, ayah menyarankan agar saya menambah 3 jenis barang hantaran tanpa perlu dibalas.

Akhirnya saya menghantar 5 dulang barangan - 1 dulang berisi maskahwin diikuti 3 dulang tambahan mengandungi sepasang kasut, sebuah beg tangan dan sehelai kain pasang dengan diapit 1 dulang berisi cincin. Nah, ada 131 lagi di sini. Lebih menarik lagi, walaupun segala gubahan dibuat tangkap muat oleh beberapa orang termasuk ayah (kecuali maskahwin yang dibuat bentuk jambangan bunga oleh seorang kawan isteri), hasilnya adalah barangan yang cukup serasi kombinasi dan gubahannya.

Lagi satu... pada awalnya saya takut ibu bapa saya sendiri tidak dapat datang untuk majlis pernikahan ini. Ini kerana selain agak terperanjat dengan keputusan untuk melangsungkan pernikahan yang cuma dimaklumkan kepada mereka 2 minggu lepas iaitu pada 26 November yang kebetulan harijadi saya ke 38 menurut kalendar Masihi, mereka harus menjaga adik bongsu saya yang baru sahaja melahirkan anaknya yang ketiga. Keluarga isteri saya juga terperanjat dengan keputusan kami. Mereka masih lagi terpinga-pinga memikirkannya. Jadi saya sudah bersedia untuk datang bernikah seorang diri, mungkin di hadapan beberapa orang sahaja ahli keluarga isteri.

Tetapi alhamdulillah, majlis dapat berlangsung dengan saya ditemani sekitar 30 ahli keluarga termasuk ibu bapa sedangkan di pihak perempuan sendiri tidak kurang 60 orang saudara terdekat yang hadir. Alhamdulillah juga, walaupun saya tidak berduit, sebuah majlis kecil tetapi gemilang dapat diadakan oleh pihak laki-laki di kawasan mewah Bukit Damansara. Siapa sangka, seorang bapa saudara menawarkan untuk membuat majlis itu tanpa dipinta. Hasilnya lebih 100 orang saudara mara saya dapat datang sedangkan saudara mara isteri sekitar 30 orang yang bertandang, belum dicampur kawan-kawan saya dan kawan keluarga walaupun ia asalnya cuma sebuah majlis kecil untuk keluarga!

Sekarang kami sudah selamat melayari kehidupan sebagai suami-isteri. Maka di sini biar saya luahkan satu lagi perkara sebelum menutup cerita.

Adapun baru ini saya ternampak di Internet ada pihak mempersoalkan perkahwinan saya dengan Anggun yang juga saya panggil Nur kedua. Ini kerana pihak itu merasakan saya membuat pilihan dalam keadaan terburu-buru lalu mengenepikan kekasih sebelum itu iaitu Nur pertama sehingga dia terus menghilangkan diri. Katanya, akibat pergaduhan saya terus membuat keputusan untuk mengahwini Nur kedua, kononnya saya banyak termakan budi lalu mengabaikan cinta dengan Nur pertama.

Sebenarnya ini tidak benar. Nur kedua saya kenali awal tahun 2007, selepas setengah tahun menyajikan buku pertama saya "Berpetualang ke Aceh: Mencari Diri dan Erti". Dia muncul dalam keadaan saya sedang renggang dengan Nur pertama lalu dialah yang paling banyak menolong saya selepas itu sehingga siapnya buku kedua "Membela Syiar yang Asal" pertengahan tahun dan buku ketiga "Sirih Pulang ke Gagang?" penghujung tahun itu.

Baik Nur pertama yang saya kenali sejak tahun 1995 mahupun Nur kedua yang muncul 12 tahun kemudian, kedua-duanya banyak menolong saya. Malah apabila saya mengenalkan dan mempertemukan mereka berdua, mereka juga sering berbual berkongsi masalah dan menolong sesama mereka tanpa perlukan kehadiran saya. Tetapi takdir telah menentukan, di kala Nur pertama terus terjerat dengan keadaan yang melarang kami untuk betul-betul bersama Nur kedua pula berjaya membebaskan diri daripada masalah yang membelenggunya. Maka itu suratan takdir menentukan Nur kedua yang dapat bersama saya sedangkan Nur pertama merestuinya...

Seperti disebut awal tadi harapan saya adalah mendirikan kembali rumah tangga sebelum masuk umur 40 tahun menurut kiraan Islam. Maka tidak seperti telahan sesetengah orang yang Nur kedua kononnya cuma mahu menumpang apa yang ada pada saya, dia adalah pendorong besar dalam kehidupan saya sehingga saya kembali waras dan mampu berumahtangga.

Tuhan telah menentukan dia menjadi isteri saya. Dan sememangnya saya mencintainya kerana sudi berkongsi susah dan senang saya selama ini. Di kala ramai orang masih mempersoalkan segala perjuangan saya sebagai sesuatu yang sia-sia, dia berusaha untuk membawa mereka memahaminya. Nur kedua juga menjadi sebab saya kembali rapat dengan keluarga. Itu sahaja luahan. Sekian selamat malam! :]

p/s: Sila lihat juga artikel-artikel A family outing to Morib... dan 11th December 2008, the day I got hitched (again!) di blogspot BERPETUALANG KE ACEH . Ada sedikit gambar keluarga...

Khamis, Julai 31, 2008

Nombor 131 dan gerak penceritaan seterusnya...

Aduh... Cerita nombor 131 lagi. Apa le si Merah Silu ni... Tak habis-habis dengan nombor 131, nombor home sweet home konon. Tak pa... Lepas aje le... Bukan kacau orang lain pun ya tak?



OK. Ini adalah gambar meter motosikal diambil beberapa hari lalu. Alamak, lupa pula hari apa... Samada Ahad atau Isnin kot... Hmm... Mungkin juga Selasa. Tak apa...

Apapun saya sebenarnya terasa nak berkongsi rasa apabila terlihat meter motosikal menunjukkan nombor 131, satu nombor yang ada makna tertentu buat saya... Ketika itu saya dalam perjalanan dari Ampang Utama mahu ke pusat bandaraya Kuala Lumpur... Hampir sampai ke simpang Jalan Jelatek, ternampak pula meter menunjukkan nombor ini! Terus saya ke tepi untuk mengambil gambar. Gila ke hapa? Duduk atas motosikal besar tepi jalan pakai helmet pakai goggle lepas tu ambik gambar meter motosikal sendiri. Apa daa....

Kebetulan pula sebelum keluar rumah hari itu, saya baru sahaja menyelesaikan proses editting buku ketiga saya "Berpetualang ke Aceh: Sirih Pulang ke Gagang?" sehingga tamat mukasurat 131 sebelum berhenti untuk keluar. Apakah ini kebetulan semata atau ada yang tersurat dan tersirat?

OK... Sekitar 2 bulan lalu kalau tak salah ingatan, saya ada menyebut bahawa saya tak akan keluar mengembara lagi buat satu tempoh yang lama, mungkin sehingga saya kembali selesa berumahtangga, insyaallah kalau diizinkan Allah sebelum masuk tahun Hijriah akan datang. Adapun ketika itu, saya baru juga selesai menutup proses pengembaraan post-BKA atau siri pengembaraan seluruh Semenanjung Malaysia yang dibuat selepas selesai menyajikan ketiga-tiga buku dalam trilogi siri novel "Berpetualang ke Aceh". Lihat cerita-ceritanya dengan memasuki link-link di sidebar kanan bawah...

Fikir saya, sebaik sahaja selesai menyajikan cerita-cerita tentang bahagian ketiga pengembaraan tersebut iaitu perkelanaan ke Pantai Timur, maka saya mahu menyajikan pula satu siri cerita lama tentang perjalanan tak disangka ke Singapura yang dibuat pada awal bulan Syawal pada penghujung tahun 2006 diikuti kisah perjalanan dan apa yang berlaku semasa membuat umrah ke Mekah dan ziarah ke Madinah pertengahan tahun 2005. Sedikit cerita bergambar tentang perjalanan ke Singapura itu pernah diletakkan di dalam sebuah forum kegemaran saya di Internet tetapi hilang kesemuanya apabila satu bentuk gangguan menyebabkan 11 mukasurat thread "Berpetualang ke Aceh" (boleh masuk melalui link ini Forum Rawatan Alternatif... Soal-jawab Berpetualang ke Aceh... ) lenyap kesemuanya!

Ketika itu awal 2007 begitu, thread tersebut sudah masuk sekitar 120 mukasurat. Kini ia telah mencecah 324 mukasurat. Apapun, saya rasa elok juga cerita tentang perjalanan ke Singapura itu dikongsi di blogspot ini pula kerana rasanya di sebalik perjalanan itu, ada sesuatu yang perlu dirungkai... Tentang nasab salasilah diraja Jawa bercampur Bugis, ada kena-mengena pula dengan ingatan terhadap kekasih lama Mas yang saya percaya kehilangannya dari hidup saya kini diganti oleh Nur kedua! Kemudian baru boleh dilepaskan cerita tentang umrah 2005 yang setakat ini belum pernah diabadikan dalam bentuk penulisan di mana-mana!

Tak disangka, dalam celah-celah hendak menyiapkan penceritaan bahagian Pantai Timur pengembaraan post-BKA, terjadi pula perjalanan ke Negeri Sembilan bersama saudara Zaidi @ PerpatihTulus yang menyaksikan buat pertama-kalinya muncul penceritaan di blogspot ini melalui klip-klip video pula! Perjalanan yang berlaku kurang lengkap kerana tidak sempat menziarahi beberapa lokasi yang terpantul dalam hati lalu perlu disambung dan telah pun dilakukan sebulan lalu diikuti satu perjalanan ke Pulau Besar pula. Oh, di celah-celah itu juga saya sempat pergi lagi ke Perak bersama sepupu saya Nizam dan kawannya Asri.

Siri-siri perjalanan yang muncul tiba-tiba ini menyebabkan ia juga harus diceritakan di sini sebelum gerak penceritaan lain dapat disambung. Kini, baik penceritaan perjalanan ke Negeri Sembilan mahupun sambungannya, juga perjalanan ke Perak dan Pulau Besar semuanya telah selesai diceritakan di sini. Selepas ini bolehlah dimulakan proses penceritaan perjalanan tak dirancang ke Singapura penghujung 2006 sebelum saya cuba mengingati apa yang berlaku di Mekah dan Madinah pertengahan 2005 ya! Selamat malam... :]

Jumaat, Mei 21, 2010

Projek buku keretapi : Stesyen-stesyen selatan hari Ahad. Apa ada di Bekok?

Kita sambung lagi cerita keretapi... hooraaayyyy!!! :]


Pagi Ahad, 7 Februari, sampai masanya untuk melihat stesyen keretapi Johor Bahru...


Nampaknya kedatangan kami tepat pada masanya. Adapun stesyen keretapi yang dibina sejak zaman British ini mungkin akan hilang fungsinya tidak lama lagi...



Seperti stesyen keretapi Kuala Lumpur yang kini sudah turun taraf menjadi stesyen keretapi komuter bertaraf hentian tempatan demi memberi laluan kepada KL Sentral sebagai stesyen baru utama, stesyen keretapi JB juga harus akur dengan ketentuan masa yang lebih menekankan pemodenan. Lihat artikel JB railway station old and new di blogspot BERPETUALANG KE ACEH.



Satu pemandangan bandaraya JB dari jejantas masuk ke bangunan stesyen baru yang belum dibuka penuh. Lihat juga The blooming skyline of Johor Bahru.




Ini adalah pemandangan Selat Tebrau dengan Singapura di latar-belakang.




Kami singgah sebentar di Masjid Abu Bakar...





Kemudian baru bergerak meninggalkan JB untuk ke Bekok. Rasa teruja pula apabila alat pemanduan GPS (betul ke panggilan tu?) menganggarkan kami akan sampai dalam tempoh 1 jam 31 minit... ada nombor 131, nombor yang sangat bermakna buat saya, nombor home sweet home...




Adapun kami ke Bekok kerana ia adalah antara sedikit stesyen keretapi yang belum kami lawati dalam perjalanan ini, stesyen keretapi yang terletak dalam laluan selatan hingga ke JB. Kebanyakan stesyen sudah kami lawati hari Sabtu. Lihat Projek buku keretapi : Stesyen-stesyen selatan hari Sabtu... satu permulaan. Namun ada yang kami 'simpan' untuk hari Ahad kerana perlu mengejar masa dan cahaya terang siang hari...




Satu setengah jam kemudian sampailah kami ke sini. Bagaimana saya tahu? Kerana pada gambar paparan GPS yang menunjukkan kami akan sampai ke Bekok dalam tempoh 1 jam 31 minit ada rekod menunjukkan gambar itu diambil pada jam 10.51 pagi.

Gambar di atas pula diambil pada jam 12:20 tengahari. Maka beza masanya memang sekitar satu setengah jam atau lebih tepat, 1 jam 29 minit. Tapi ini masih lagi di persimpangan masuk ke empangan Bekok. Rekod menunjukkan gambar seterusnya yang diambil sebaik sahaja sampai (ada papan tanda bertulis "Selamat datang ke empangan Bekok") diambil pada jam 12:22, tepat 1 jam 31 minit selepas gambar paparan GPS diambil. Lihat The Bekok dam .

Ketika memilih gambar untuk artikel ini pula baru saya tersedar gambar di atas memiliki filename P2070131.jpg. Ah... ada lagi satu 131. Nampaknya ada 3 kali 131 yang melibatkan tempat ini... 1:31 waktu jangkaan untuk sampai ke Bekok yang sebenarnya waktu jangkaan untuk sampai ke stesyen keretapi bukan ke empangan kerana itulah koordinat yang kami letak dalam GPS sewaktu meninggalkan JB. Ini diikuti 1:31 untuk waktu sebenar sampai ke empangan dan 131 dalam nama fail gambar menunjukkan jalan masuk ke empangan, jalan yang ditemui terlebih dahulu sebelum dapat sampai ke stesyen dari arah selatan. Untuk pengetahuan stesyen keretapi Bekok terletak lebih 30 km dari empangan Bekok!




Apakah ada sesuatu yang perlu dirungkai di Bekok, sesuatu yang ada kaitan peribadi buat diri ini? Yang pasti di sini saya terasa begitu nyaman dan tenang...


Baik stesyen mahupun pekan kecil Bekok terasa begitu menarik juga mengujakan. Tetapi saya tidak pasti sebab apa. Lihat Bekok's train station. Apakah kedudukannya berhampiran Taman Negara Endau-Rompin menjadi satu faktor? Lihat Something about Bekok....




Semasa meninggalkan Bekok menghala ke Segamat saya tertarik dengan gunung-ganang di latar-belakang. Apakah di tengah itu Gunung Bekok? Hati saya mengatakan memang kena sangatlah bentuknya dengan nama Bekok... mungkin sebab ia berlekok...

Dalam pada itu teringat zaman saya bersekolah asrama penuh di Sekolah Menengah Sains Johor , Kluang lebih 20 tahun lalu. Dari tingkat 3 asrama yang terletak di atas bukit saya sering memandang jauh ke ufuk utara di mana kelihatan gunung-gunung terbentang begitu cantik, indah. Peta menunjukkan yang paling tinggi sekitar itu (kalau tak salah ingatan) bernama Gunung Bekok. Siapa sangka, setelah begitu lama baru saya dapat sampai ke Bekok?











Sekitar 15 minit kemudian kami sampai ke Labis. Seperti di Bekok, baru hari ini kami tergerak untuk singgah ke stesyen keretapi Labis. Walhal tidak seperti Bekok yang terletak hampir 9 km dari jalan besar, bandar Labis dan stesyen keretapinya terletak cuma 200 meter gitu dari laluan utama Air Hitam-Yong Peng-Segamat.





Jam 2:25 kami sampai ke Segamat...







Perjalanan diteruskan ke Gemas. Kelihatan Gunung Ledang sepanjang perjalanan...








Dari Gemas kami memilih untuk masuk ke Bahau yang terletak kurang sedikit 40 km perjalanan. Walaupun stesyen keretapinya terletak pada laluan Pantai Timur, bukan laluan selatan elok juga diambil gambarnya sekali. Sekurang-kurangnya tak perlu lagi datang ke sini nanti. Lihat The unique station at Bahau.





Namun sebab utama saya mengajak Faiz ke Bahau adalah untuk menunjukkan laluan lama Jalan Penarikan yang penuh sejarah.






Laluan purba yang dimulakan dengan Sungai Muar bertemu Sungai Jempol ini pernah diceritakan panjang lebar dalam artikel lama Kembara terbaru ke Pantai Timur... Sesi dibuka dengan menyusuri Jalan Penarikan di Negeri Sembilan! diikuti Sambungan cerita "Menyusuri Jalan Penarikan di Negeri Sembilan!"... Menyusuri juga makna sebuah mimpi lebih 10 tahun lalu dan kehadiran hantu Siam?.





... dapat juga sekali lagi menziarahi makam Datuk Sempedang @ Shah Pedang yang pernah memimpin rombongan 9 orang keluarga berhijrah dari Pasai di Aceh melalui Sungai Muar lalu membuka Jempol, katanya sebelum berdiri keSultanan Melaka seperti diketahui sejarah!





Dari Bahau kami menuju ke Kuala Pilah melepasi Seri Menanti sebelum mengambil jalan melalui Dangi menyeberangi Banjaran Titiwangsa untuk ke Rembau...



Bukan apa... kan saya perlu mengambil anak isteri yang tidur di rumah ibu angkat? Dengan ini tamatlah cerita mengenai stesyen-stesyen di selatan. Insyaallah selepas ini akan diceritakan perjalanan menaiki keretapi hampir 1,000 km hujung minggu lalu untuk meliputi laluan ke Pantai Timur... selepas kembali dari tugasan sambungan yang bakal meliputi jarak lebih jauh hujung minggu ini. :]