Alhamdulillah, perjalanan ke Pantai Timur yang dibuat petang Khamis itu berjalan lancar... singgah di Raub, Pahang sebentar dan sungguh gembiranya saya apabila dapat membeli masakan ikan keli gulai asam rong di bazar Ramadhan setelah lama mengidamkannya. Maklumlah bekalan asam rong katanya telah terputus selama hampir 3 bulan akibat tiada musim sedangkan masakan istimewa ini cuba boleh ditemui di sekitar Raub sahaja.
Dipendekkan cerita kami sampai ke Kelantan lewat malam dan bermalam di Masjid Kampung Laut sebelum mengambil anak-anak di Perol lalu terus membawa mereka bercuti ke Terengganu. Tanpa dirancang, kami pergi ke Tasik Kenyir kemudian baru ke Kuala Berang yang memang ada di dalam rancangan saya.
Banyak tempat yang kami pergi termasuk hampir kesemua makam-makam utama. Setelah 2 malam di Kuala Terengganu, kami bermalam pula di Kuala Besut di mana kami menyambut masuknya 31 Ogos Hari Merdeka. Esoknya kami ke Tok Bali dan Pasir Puteh sebelum menghantar anak-anak kembali ke rumah bapa saudara mereka kemudian mengambil jalan ke Jeli melalui Pasir Mas dan Tanah Merah. Lalu setelah lebih 10 tahun tidak melaluinya, saya mengambil lagi jalan Jeli ke Dabong untuk melihat air terjun di Gunung Stong, sebelum mengambil jalan terus ke Gua Musang, jalan yang 10 tahun lalu masih rosak teruk seperti jalan 4xD yang cuma berani dilalui kenderaan lasak sahaja. Teringat betapa dahulu perjalanan 50 km yang saya sangkakan akan mengambil masa singkat menjadi begitu teruk... perjalanan dengan motosikal bermula jam 3 petang berakhir dengan saya sampai ke Gua Musang dalam keadaan basah kuyup penuh lumpur jam 9 malam.
Kali ini jalan agak cantik tetapi memandangkan kami meninggalkan Perol pun hampir jam 4 petang jadi terpaksalah berbuka puasa di Gua Musang. Hajat saya untuk melihat suasana siang pergunungan melalui lebuhraya Gua Musang ke Simpang Pulai, Ipoh tidak kesampaian. Itulah kali pertama saya mengambilnya setelah mendapat tahu pembinaan lebuhraya ini bermula sekitar 10 tahun lalu, baru 2-3 tahun ini siap katanya. Tetapi ada juga hikmahnya saya melalui waktu malam. Kalau asalnya saya bercadang mahu terus ke Ipoh sebelum kembali ke rumah, keadaan ini menyebabkan saya dan isteri terasa ingin bermalam di Cameron Highlands pula. Kali terakhir saya pergi ke kawasan pergunungan inipun sekitar 10 tahun lalu kalau tak salah ingatan. Maka elok juga saya ke sana terutama bersama isteri, dengan harapan dapat melihat suasana gunung tersergam tinggi indah dan megah keesokan harinya.
Semalam hari Selasa, setelah berjalan-jalan di Cameron, timbul rasa untuk turn melalui Tapah, Perak lalu ke Chenderiang dan melihat Lata Kinjang, air terjun tinggi yang boleh kelihatan terang dari Lebuhraya PLUS sekitar itu. Itulah kali pertama saya ke sana setelah beberapa kali lalu berdekatan. Alhamdulillah, dalam tempoh beberapa hari berjalan ini, saya masih sempat menunaikan solat Tarawih walaupun setakat 8 rakaat, sempat juga menghabiskan beberapa juzuk Al-Quran dalam tekad pertama saya seumur hidup untuk cuba menghabiskan mengaji seisi kitab suci itu bulan Ramadhan. Malam tadi saya dapat menamatkan Surah Hud di Masjid Jamek Tanjung Malim. Kemudian saya menamatkan Surah Yusuf di Masjid Sheikh Ismail di Ulu Bernam lalu masuk ke Juz 13.
Lewat malam baru kembali ke rumah, baru dapat betul-betul berehat. Tadi pula saya cuba membaca dan membalas mana yang patut e-mail tertunggak yang melebih 170 buah selain membaca isi-isi blog dan berita mengenai perkembangan negara dalam beberapa hari saya dan isteri pergi berjalan ini.
OK. Nanti bila dah betul-betul hilang penat, esok lusa akan saya cuba sambung kembali cerita-cerita Aceh ya. Hmm... kalau saya nak betul-betul bercerita segala pengalaman perjalanan dan apa yang berlaku kebelakangan ini memang betul-betul banyak. Selesai cerita Aceh, ada perjalanan kembali ke Muar melalui Linggi seterusnya ke Masjid Kampung Hulu, Melaka hampir 2 minggu lepas yang ada ceritanya yang tersendiri selain perjalanan terbaru ke Pantai Timur ini. Dalam tempoh masa saya cuba melepaskan cerita-cerita yang tertunda, entah apa lagi perjalanan yang mungkin akan dibuat nanti. Saya ikut sahaja le arah angin qada' dan qadar saya ini ya.
Oh. Lupa pula. Di atas ini adalah gambar perbandingan bangunan-bangunan tinggi di Kuala Lumpur yang saya jumpa tadi di Internet apabila cuba mencari cerita dan gambar tentang Alain Roberts si Spiderman Peranchis yang berjaya memanjat Menara Berkembar Petronas baru-baru ini. Saya memang suka melihat bangunan-bangunan tinggi dan amat teruja apabila membanding-bandingkan ketinggian dan saiz serta bentuk struktur. Jadi biar gambar itu diabadikan di sini ya. Selamat maju jaya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan