Pada awal artikel Senarai perjalanan terjauh : 50 hingga 41 ada disebut begini :
... senarai 50 perjalanan terjauh saya setakat ini yang dapat diingati cukup butiran. Disebut cukup butiran kerana sebenarnya terdapat lagi perjalanan-perjalanan yang boleh membentuk senarai tetapi diabaikan kerana tidak cukup butiran. Bila cukup butiran baru boleh dibuat cerita-cerita yang cukup memuaskan. Jarak perjalanan pun dapat dikira lalu dibandingkan untuk membentuk senarai.
Sekarang biar diberitahu bahawa antara perjalanan yang boleh memasuki senarai 50 terjauh tetapi diabaikan adalah membuat liputan acara pertama lumba basikal Jelajah Mesra anjuran PDRM (Polis Diraja Malaysia) selama lebih kurang seminggu keliling Semenanjung. Ketika itu saya masih bertugas sebagai wartawan di akhbar The New Straits Times (1996-2001). Saya ikut sama sepanjang perjalanan bersama rombongan polis lalu mencapai jarak yang harus mendekati 2,000 km kalau tidak pun lebih. Pun begitu yang melekat dalam ingatan cuma aktiviti malam di Alor Setar juga mengikut seorang penyanyi baru (ke pelakon?) wanita yang baru mencipta nama lalu boleh tahan terkenal makan malam di Pulau Pinang.
Kedua-dua cerita tidak sesuai dikongsikan kepada umum. Bilakah acara berlaku pun tak ingat, cuma harus sekitar tahun 1998 hingga 1999. Cari kat Internet pun tak jumpa rujukan walaupun masih boleh terjumpa cerita dan berita acara atas nama Jelajah Mesra PDRM tetapi bagi edisi-edisi yang jauh lebih lewat beberapa tahun kemudian. Lagipun ketika teringat tentang acara saya sudah menyiapkan senarai 50 perjalanan terjauh. Cuma mahu mengambil masa untuk mengeluarkan butiran, sesetengahnya sambil menggali kembali ingatan, satu proses yang memakan masa dan agak memenatkan.
Memikirkan itu terasa lebih elok perjalanan tersebut diabaikan. Selain itu terdapat beberapa perjalanan lain yang setiap satu melepasi jarak 1,000 km tapi tidak ingat juga butiran. Rasa malas hendak cuba mengorek kembali ingatan kerana apa yang dapat disenaraikan pun sudah cukup banyak. Sebaliknya ada yang diingati segala macam butiran malah sudah dikongsikan cerita-ceritanya di blogspot tetapi jarak perjalanan tidak cukup untuk dimasukkan ke dalam senarai 50 terjauh Namun ia cukup bermakna lalu harus disebut dalam satu senarai tersendiri yang dipanggil "Sepuluh perjalanan istimewa"
Tiada ulasan:
Catat Ulasan