Artikel sebelum ini iaitu Kali pertama ke makam Tok Pulau Manis tahun 2003 - Ayah Weng dan tiga malam di surau hadapan ada menyebut tentang menerima satu risalah tentang wali Allah abad ke-17 Masihi itu di makam. Dalam risalah ada ditunjukan nama bapa, datuk dan moyang Tok Pulau Manis berserta gambar-gambar makam. Rujuk artikel Risalah kecil Tok Pulau Manis tahun 2014. Setelah menginap tiga malam di surau hadapan makam sampailah masa untuk menyambung perjalanan. Tempat utama mahu dituju adalah Kuala Berang di mana terdapat makam-makam kaum keluarga tersebut.
Gambar daripada artikel Menyahut panggilan haul Tok Pulau Manis - Langgar dan Tok Surat pada Nisfu Sya'aban. Apakah yang tersurat dan tersirat? tahun 2019 ini menunjukkan pemandangan apabila sampai ke bandar Kuala Berang menggunakan jalan kampung dari arah Kampung Pulau Manis. Kalau ikut jalan besar dari Kuala Terenggu lain rupanya. Dalam gambar ini ia adalah jalan ke kiri dari simpang di hujung hadapan sana. Jalan yang sama tapi ke arah kanan boleh membawa ke jambatan menyeberang Sungai Terengganu.
Beginilah laluan dari makam Tok Pulau Manis ke Kuala Berang. Dari surau di hadapan makam perlu berjalan kaki sedikit untuk masuk ke jalan sedikit besar yang ada bas KT ke KB ikut laluan kampung. Dari perhentian bas di simpang jalan kecil dari makam dengan jalan sedikit besar itulah juga saya selalu ke KT dan kembali sepanjang tiga malam menginap di surau. Tidaklah jauh sangat KB, cuma sekitar 25 km dari Pulau Manis. Tapi kalau dari KT lebih 40 kmlah juga kerana terletak di arah yang bertentangan.
Jarak 25 km menyebabkan saya memikirkan ada kemungkinan lawatan ke KB dibuat dalam tempoh tiga malam menginap di surau hadapan makam. Kemudian baru teringat saya ada menginap satu malam di penempatan bersebelahan salah satu makam di KB. Mustahil ini dilakukan dalam tempoh tiga malam di surau kerana sudah menjadi kebiasaan saya kalau tergerak untuk menginap tiga malam di suatu tempat maka ia akan dilakukan secara berturutan. Tidak boleh tidur di tempat lain dalam celah-celah itu.
Saya ke Kuala Berang kerana mahu menziarahi makam-makam kaum kerabat Tok Pulau Manis seperti ditunjukkan dalam risalah yang diterima daripada Ayah Weng. Rujuk cerita berkenaan dalam artikel Kali pertama ke makam Tok Pulau Manis tahun 2003 - Ayah Weng dan tiga malam di surau hadapan. Biar ditunjukkan gambar-gambar daripada risalah...
Saya kurang ingat setakat mana cuba menjejak tiga makam utama ini sekitar Kuala Berang. Nasib baik ada artikel Wasilah kekeluargaan Tok Pulau Manis, wali agung Terengganu abad ke 17.... tahun 2008 sebagai rujukan. Sekurang-kurangnya ia dapat memberi petunjuk yang mana ada diziarahi pada tahun 2003. Yang lain jelas ada diziarahi dalam lawatan ke Terengganu seterusnya pada 2004.
Di makam ini saya ada singgah lalu bermalam di surau bersebelahan. Ada satu penempatan telah dibina dalam hutan di sekitar makam. Tetapi tidaklah ingin saya bercerita sangat tentang makam kerana sudah tertulis jelas dalam artikel Wasilah kekeluargaan Tok Pulau Manis, wali agung Terengganu abad ke 17..... Sebaliknya saya hendak memberikan lebih tumpuan pada laluan dan jarak.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan