Mempercepatkan lagi perkongsian cerita. Dipersembahkan artikel ke-2 hari ini tentang cerita perjalanan lama lebih 20 tahun lalu dengan harapan dapat menutup siri dengan satu lagi artikel malam ini. Bersambung daripada artikel Kenangan liputan sukan berkuda di Perancis tahun 2000 - Ladang kuda dekat sempadan Sepanyol.
Telah diperkirakan dalam artikel sebelum ini bahawa pada hari Selasa iaitu 2 hari selepas selesai pertandingan berkuda endurance di Montcuq Sabtu dan Ahad saya telah dibawa ke ladang kuda keluarga Just dekat sempadan negara Sepanyol. Sudah diperkirakan berdasarkan gambar-gambar yang diambil di ladang lalu masih berada dalam simpanan bahawa letaknya harus dekat suatu tempat bernama Montespan 187 km ke selatan Montcuq. Ingatan seterusnya menyatakan saya dibawa oleh penaja perjalanan ini Datuk Awang Kamaruddin berjalan ke berapa lagi ladang kuda di selatan Peranchis. Rasanya ada 2-3 ladang juga disinggahi, mungkin lebih...
Satu hari penuh harus diperuntukkan untuk itu dan ini harus berlaku pada hari Rabu iaitu selepas menginap satu malam di ladang Just. Berdasarkan apa yang telah diperkirakan dalam artikel Kenangan liputan sukan berkuda di Perancis tahun 2000 - Persediaan untuk pemeriksaan hari Jumaat tarikhnya harus pada 8 November 2000. Ia harus hari ke-7 berada di Perancis berdasarkan perkiraan sampai dengan penerbangan dari Kuala Lumpur pada pagi Khamis sebelum itu.
Sayangnya saya tidak memiliki apa-apa gambar untuk menunjukkan lawatan ke ladang-ladang selain milik keluarga Just. Nasib baik masih teringat nama beberapa tempat yang ada dilalui atau disinggahi apabila melihat peta selatan Perancis yang meliputi Montespan.
Antara nama-nama tempat yang terus bergetar dalam ingatan sebaik sahaja melihat peta berkenaan adalah Albi, Carcassonne, Narbonne dan Perpignan. Oleh kerana semua ini terletak jauh dari Montcuq maka lawatan ke ladang-ladang kuda berkenaan harus dimulakan dari arah ladang keluarga Just yang diperkirakan terletak di sekitar Montespan. Peliknya saya tidak ingat nama Toulouse sebagai antara tempat disinggahi di Perancis tahun 2000 sedangkan ia adalah kota terbesar dalam lingkungan 200 km dari Montcuq. Dan kalau ikut laluan terdekat ke Montespan dari Montcuq seperti ditunjukkan dalam peta paling atas memang harus lalu di Toulouse.
Dalam pada itu ada teringat makan cili merah besar di sebuah restoran Asia, kalau tak salah restoran makanan Vietnam, lupa di bandar apa. Ingat biasa aje macam cili merah kita di Malaysia. Oleh kerana sudah biasa makan cili padi main gigit sahaja sebagai penambah perisa saya terus menggigit setengah cili merah. Seketika itu juga terasa glup glup macam nak muntah kepala naik panas muka merah sendawa bagai angin nak keluar. Kalau tahu begini penangannya tentu akan gigit sedikit sedikit sahaja.
Saya pasti ini berlaku selepas selesai pertandingan di Montcuq. Saya juga merasakan ia adalah antara celah-celah melawat ladang-ladang kuda di selatan Perancis. Apakah ia di Toulouse? Boleh jadi. Rasanya kalau tahun 2000 cuma kota besar seperti itu sahaja memiliki restoran Vietnam. Seingat saya tidak ada lagi kota besar disinggahi di sekitar itu kecuali Marseille lebih 200 km keluar daripada lingkungan peta. Itupun sampai waktu malam sedangkan makan di restoran itu waktu siang.
Apapun biar dilakarkan perjalanan dari Montespan ke ladang-ladang kuda lain seperti ini. Walaupun hati mengatakan ada naik ke Albi jauh ke utara laluan yang dilakarkan biar ia diabaikan. Begitu juga perjalanan ke Perpignan. Tetapi yang itu lebih pada ada rasa ragu-ragu. Apakah betul Awang ada membawa ke Perpignan atau ingatan tentang nama timbul kerana ada melihat papan tanda ke arah sana?
Laluan dari Montespan ke Carcassone dan Narbone ini pun sudah meliputi jarak cukup jauh. Sedangkan seingat saya selepas itu ada pergi ke Marseille lebih 200 km lagi ke timur. Cukuplah lakaran ini sebagai rujukan. Walaupun ladang-ladang kuda yang disinggahi harus terkeluar boleh tahan jauh dari laluan yang dilakarkan kerana terletak di kawasan pendalaman yang cukup jauh daripada kesesakan jalan besar juga penempatan bersifat pekan dan bandar. Walaupun jarak sebenar yang diliputi dalam lingkungan peta bahkan boleh melepasi 300 km, cukuplah 231 km yang ditunjukkan dijadikan rujukan jarak perjalanan berkenaan.
Awang membawa ke beberapa ladang kuda untuk memberi saya faham tentang urus niaga kuda. Ia bukan sahaja tentang keuntungan jual beli berdasarkan baka kuda dan bagaimana ia dibentuk dan dilatih sejak lahir di ladang, ia adalah tentang usaha beliau sendiri untuk menjadi juara dunia sukan endurance. Antaranya dengan menyewa kuda dari ladang berdekatan suatu tempat kejohanan lalu tidak perlu mengeluarkan banyak belanja memiliki kuda-kuda sendiri yang harus sentiasa dijaga lalu dibawa ke sana ke mari. Beliau ada memberitahu sedang mengejar ranking dengan cara menyertai kejohanan-kejohanan tertentu yang boleh memberikan cukup mata. Nak menyertai semua kejohanan yang ada tentu tak dapat dan tidak sempat kerana faktor masa, tenaga dan wang ringgit juga jarak. Beliau memberitahu sudah mendapat formula paling ekonomi bagaimana untuk melakukannya.
Ketika itu anak kelahiran Pekan, Pahang yang mula menyertai sukan berkenaan sejak tahun 1998 ini sudah berjaya menempatkan diri dalam senarai 10 penunggang endurance teratas di dunia. Dan memang pun apabila masuk penghujung tahun 2001 beliau berjaya menjadi juara dunia. Berbalik pada hal perjalanan ke ladang-ladang kuda di selatan Perancis tahun 2000. Biar lakaran perjalanan dipanjangkan lebih jauh sehingga ke Marseille.
Nama Marseille ini sangat terkenal sehingga terasa tidak lengkap kalau tak singgah apabila timbul peluang seperti lalu berdekatan. Saya tak ingat kenapa ada lalu berdekatan, mungkin ada ladang kuda disinggahi tidak jauh dari situ. Menurut satu sumber maklumat yang ditemui di Internet ia adalah kota ketiga terbesar di Perancis berdasarkan jumlah penduduk. Ini adalah selepas Paris dan Lyon, dua kota yang pernah disinggahi lalu diterokai merata dengan cara berjalan kaki 5 tahun lebih awal. Rujuk artikel Kenangan perjalanan pusing Eropah secara solo hitchhiking tahun 1995. Selepas itu baru Toulouse yang harus disinggahi tahun 2000 tapi entah kenapa tak ingat langsung cerita.
Cukuplah ini sebagai perkongsian bagi aktiviti satu hari. Jarak perjalanan yang dilakarkan oleh Google Map adalah 488 km. Tetapi perjalanan sebenar yang ada masuk ke kawasan-kawasan pendalaman harus mencapai 500 km. Sekarang biar dicampurkan jarak-jarak perjalanan sebelum ini :-
1. Lapangan terbang Charles di Gaulle (Paris) ke Montcuq - 629 km tetapi boleh dibulatkan menjadi 630 km mengambil kira perjalanan dalam pekan Montcuq - Rujuk artikel Kenangan liputan sukan berkuda di Perancis tahun 2000 - Kali pertama ke sana setelah lebih 5 tahun....
2. Perjalanan dalam Montcuq - anggaran 10 km perjalanan dari rumah sewa ke tempat acara dan balik campur ada jalan-jalan sedikit meninjau keadaan sekeliling - Rujuk Kenangan liputan sukan berkuda di Perancis tahun 2000 - Persediaan untuk pemeriksaan hari Jumaat.
3. Perjalanan bagi menyokong penunggang dan kuda keliling litar pertandingan - Jarak terdekat menghubungkan pekan-pekan berkenaan adalah 54.6 km. Tetapi jarak sebenar dilalui harus tidak kurang 60 km. Darab 2 untuk 2 hari acara jadi 120 km. Rujuk Kenangan liputan sukan berkuda di Perancis tahun 2000 - Acara pun bermula hari Sabtu.
4. Montquc ke Montespan - 187 km tapi boleh dibulatkan menjadi 190 km apabila dimasukkan jalan-jalan dalam bandar, mencari ladang dan sebagainya. Rujuk Kenangan liputan sukan berkuda di Perancis tahun 2000 - Ladang kuda dekat sempadan Sepanyol.
Campurkan ini semua, 630 km + 10 km + 120 km + 190 km = 950 km dengan 500 km Montespan ke Marseilles seperti disebut tadi jadilah 1,450 km. Cukup buat masa ini. Masih ada jarak beratus kilometer perlu diliputi sebelum boleh mendapatkan penerbangan kembali ke Malaysia.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan