Manakan dapat sagu kalau tidak dipecahkan ruyungnya?
Manakan dapat mutiara yang berkerlipan jika takut menyelam ke lautan dalam.
Dalam diri setiap manusia, ada seketul daging.
Jika baik ia, maka baiklah seluruh jiwa manusia itu.
Jika buruk ia, buruklah juga manusia itu...
Seketul daging itu adalah hati,
mari kita lapangkan dada dan belajar mengIKHLASkan hati.
Perjalanan seribu batu bermula dengan satu langkah.
Marilah meneroka dunia pemikiran hamba.
Silakan

Video klip yang tertera boleh dianggap sebagai pembukaan kepada dunia pemikiran dan kesukaan hamba...







-------------------------


-------------------------



Segala yang dipaparkan menggambarkan pemikiran penulis yang turut terserap di dalam setiap penulisan buku dan artikel. Lihat Cara-cara mendapatkan buku tulisan Merah Silu @ Radzi Sapiee. Di atas adalah satu klip video selama hampir setengah jam yang merupakan demo pilot episode yang mahu digunakan untuk mencadangkan satu siri pengembaraan menyusuri sejarah Melayu Islam sekeliling Nusantara untuk siaran televisyen. Entah mengapa ia menemui masalah. Kemudian penulis diberitahu konsepnya diciplak sebuah stesyen televisyen. Lihat Kembara Sejarah Islam Nusantara : The original material...



Ini adalah klip video ulasan buku ketujuh saya "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" berserta temuramah yang dibuat siaran langsung di Selamat Pagi Malaysia, RTM1. Lihat Siaran langsung ulasan buku "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" dan temu ramah di Selamat Pagi Malaysia.



Penulis juga pernah diminta membuat pembentangan mengenai siri buku "Berpetualang ke Aceh" di Masjid Sultan Salahuddin iaitu masjid negeri Selangor di Shah Alam. Lihat Buku "Berpetualang" dan himpunan ulamak Nusantara yang diketuai ulamak Aceh


-------------------------



Siri novel "Berpetualang ke Aceh" boleh didapati dalam bentuk e-book. Masuk http://www.e-sentral.com/, klik kategori novel am dan taip perkataan "Aceh" pada kotak carian. Atau terus klik Buku 1,Buku 2 dan Buku 3.





Gambar ketika menghadiri satu majlis ilmu, diambil oleh sebuah akhbar harian. Lihat Menghiasi Kosmo Alam Melayu...



Penerbitan trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" juga membawa penulis untuk terlibat dengan banyak majlis ilmu. Rujuk kumpulan links artikel di bawah tajuk "Siri Refleksi Sejarah", pada bahagian paling bawah kiri blogspot, . Penulis juga agak aktif dalam aktiviti-aktiviti kedaulatan Melayu dan Islam, dapat menganjurkan majlis-majlis sendiri di merata Semenanjung Malaysia membawa ke luar negara di Aceh. Lihat blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


Ketika menulis perenggan ini 4 Mei 2015 penulis sedang berusaha untuk mengembangkan isi 3 buku dalam siri "Berpetualang ke Aceh" menjadi 6 buku yang akan membentuk siri baru dipanggil "Siri Pengembaraan Merah Silu". Sebuah syarikat penerbitan telah bersetuju untuk menerbitkan siri lama itu kembali dalam bentuk yang lebih segar - Setiap buku asal dipecah menjadi 2 buku baru yang ditambah maklumat, gambar dan peta berwarna-warni.Pertengahan September 2015 buku pertama siri baru pun selamat diterbitkan. Seminggu lebih kemudian penulis berpeluang bercakap tentangnya secara siaran langsung dalam televisyen lalu membawa wakil penerbit bersama. Lihat video di bawah :-





Awal tahun 2015 turut menyaksikan penulis diambil menjadi penyelidik dan hos satu siri dokumentari yang dipanggil "Daulah Melayu". Projek 13 episod sepanjang sejam setiap satu ini mahu mengenengahkan formula untuk mengembalikan kekuatan bangsa Melayu. Insyaallah projek iakan membawa penulis untuk mengembara ke merata di Malaysia dan Indonesia juga ke beberapa negara dan tempat di Eropah termasuk ke kota London, tempat penulis mengambil ijazah matematik 1991-1995. Siri dokumentari ini dijangka siap untuk tayangan televisyen dalam tempoh 2 tahun.


Pada 13 Mei 2023 buku ke 13 + 1 penulis (pertama setelah yang ke-13 terbit tahun 2019 lalu mula memberikan tumpuan pada pengajian pascasiswazah di ISTAC iaitu Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam di Bukit Tunku, Kuala Lumpur), Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin & Orang Kaya Arsyad telah dilancarkan oleh sejarawan ulung negara, Profesor Emeritus Datuk Dr Abdullah Zakaria Ghazali di rumah penulis. Lihat Majlis pelancaran buku dan rumah terbuka raya 2023 - Melestarikan semangat perjuangan. Beliau yang bertanggungjawab memberikan kata-kata aluan dalam buku turut menjadi pembicara dalam diskusi yang diadakan di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2023 (berlangsung 26 Mei hingga 4 Jun). Lihat Bicara buku Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin di PBAKL 2023. Diskusi ini terakam dalam video atas diikuti video bawah...



Isnin, Januari 25, 2021

Mengingat kembali perjalanan pertama bermotosikal besar solo keliling Semenanjung - Johor Bahru sebagai pusat penerokaan ke sudut paling selatan dan barat Semenanjung serta pelbagai ceruk rantau

Salam. Sampai masanya untuk bercerita lagi tentang perjalanan 23 tahun lalu. Bersambung daripada artikel Mengingat kembali perjalanan pertama bermotosikal besar solo keliling Semenanjung - Sekitar Pengerang membawa ke Kota Tinggi dan seterusnya.


Pada penghujung artikel terdahulu ada disebut dari Kota Tinggi saya bergerak masuk ke bandar (kini bandar raya) Johor Bahru. Ini diperkirakan berlaku pada hari Sabtu 10 Januari 1998. Jarak keseluruhan perjalanan pun mencapai 2,665 km.


Seingat saya sampai sahaja ke tengah bandar terus singgah ke bangunan KOMTAR atau Kompleks Tun Abdul Razak. Ini kerana buat berapa lama (dan rasanya masih terpakai pada tahun 1998) ia adalah bangunan tertinggi di JB selain merupakan satu bangunan ikonik sana. Adapun gambar atas yang diambil daripada artikel Nostalgia di tengah bandaraya Johor Bahru (tahun 2008) menunjukkan keadaan bangunan sedang kosong akibat kerja-kerja pengubahsuaian. Dalam perjalanan tahun 1998 ia masih lagi meriah kerana di situlah terletak kompleks membeli belah utama di seluruh JB malah seluruh negeri Johor.



Dari pusat bandar saya mengambil jalan menyusuri pantai dan Selat Tebrau menghala ke Bandar Baru UDA di Tampoi. Ada disebut dalam artikel terdahulu bahawa selat ini memisahkan Semenanjung dengan Pulau Singapura (kelihatan di seberang perairan dalam gambar). Gambar daripada artikel Pengembaraan Al-Rasyid ke selatan : Pusara si Bongkok, Tanjung Puteri... tahun 2010 ini menunjukkan sebahagian daripada laluan berkenaan tetapi daripada arah yang berlawanan. Laluan ini pergi dan balik segar dalam ingatan kerana semasa zaman membesar di Muar tahun 1970 hingga 1982 boleh kata saya dan keluarga pergi ke Johor Bahru untuk menziarahi saudara mara sekurang-kurangnya sekali setiap tahun. Dan setiap kali itu mesti ada mengambil laluan.




Saya ke Bandar Baru UDA kerana terdapat rumah datuk saudara dan keluarganya. Dahulu mereka menetap di kuarters Hospital Sultanah Aminah, lebih dekat ke pusat bandar. Sekitar tahun 1985 kalau tak salah baru berpindah ke Bandar Baru UDA. Gambar yang diambil daripada artikel Perjalanan di selatan penghujung 2020 - Antara Al-Attas dan Al-Jilani ini menunjukkan bahagian hadapan rumah dalam lawatan terbaru kurang 5 minggu lalu. Dahulu ia cuma rumah teres ringkas yang tidak seberapa. Sekarang sudah begitu cantik, ada binaan kayu berukir di hadapan. 



Walaupun rumah tidak seberapa, walau terdapat saudara lain di JB dengan rumah lebih besar dan mewah rumah datuk saudara tetap menjadi pilihan disebabkan selalu menziarahi beliau sejak kecil. Lalu ia menjadi tempat penginapan dan rehat saya buat 3 malam seterusnya juga pusat penerokaan untuk ke tempat-tempat lain. Dari sana saya ke Tanjung Piai yang merupakan kawasan paling hujung selatan di Semenanjung. Terletak sekitar 65 km dari JB ia juga merupakan kawasan paling hujung selatan di seluruh tanah besar Benua Asia. Ini harus berlaku pada hari Ahad 11 Januari.

Dalam konteks 'mengejar' empat sudut di Semenanjung ia adalah sudut paling selatan dan barat serta sudut terakhir dicapai dalam perjalanan. Sekadar mengingatkan - sudut ketiga sudah dicapai dua hari sebelum sampai ke JB (lihat Mengingat kembali perjalanan pertama bermotosikal besar solo keliling Semenanjung - Ke Mersing diikuti sudut paling hujung selatan barat Semenanjung.) sementara sudut kedua dan pertama dicapai hampir 2 minggu lebih awal (lihat Mengingat kembali perjalanan pertama bermotosikal besar solo keliling Semenanjung - Sudut paling utara dan barat Semenanjung membawa ke sudut paling utara timur). Gambar daripada artikel Pengembaraan Al-Rasyid ke selatan : Pontian di siang hari...(tahun 2010) ini menunjukkan binaan batu besar yang menandakan keistimewaan Tanjung Piai. Rasanya ketika lawatan tahun 1998 belum ada lagi binaan.


Kalau tak salah pada hari itu juga saya mengambil Second Link atau Laluan Kedua masuk ke Pulau Singapura iaitu jambatan menyeberangi Selat Tebrau melalui Tuas. Yang pasti memang ada pergi. Ia dipanggil Laluan Kedua kerana sebelum dibuka sekitar tahun 1997 cuma terdapat satu sahaja laluan kenderaan darat ke pulau iaitu melalui Tambak Johor dekat pusat bandar Johor Bahru. Gambar daripada artikel Kembara Johor-Riau : Muar, Singapura, Parit Betak tahun 2011 ini menunjukkan saya dan keluarga sedang menunggu giliran untuk masuk ke sempadan. 

Dalam perjalanan tahun 1998 saya tidak perlu menunggu lama kerana satu, sedang menaiki motosikal besar lalu tidak perlu beratur sangat seperti halnya naik kereta. Kedua, belum ramai lagi orang menggunakan laluan Tuas kerana ia masih baru dibuka. Ketiga, saya masuk sekadar sampai ke hadapan pusat imigresyen yang sudah terletak di dalam negara Singapura. Namun kemudian berpatah balik kerana tidak membawa paspot antarabangsa. Cukuplah dapat menaiki Laluan Kedua ke seberang sambil melihat pemandangan. Itupun sudah memuaskan asalkan sampai.

Lagipun bukan niat saya dalam perjalanan ini untuk menyeberang ke mana-mana negara luar. Kalau tidak tentu lebih awal saya sudah masuk ke Thailand kerana sudah sampai ke sempadan dari sekurang-kurangnya tiga tempat - satu di Perlis, dua di Kelantan. Niat saya dalam perjalanan adalah untuk pusing seluruh Semenanjung menurut arah jam sambil mencapai empat sudut paling jauh iaitu sudut paling utara ke barat Semenanjung, sudut paling utara ke timur, sudut paling selatan ke timur dan sudut paling selatan ke barat. Lawatan ke Tanjung Piai telah melengkapkan empat sudut. Yang belum selesai adalah perjalanan pusing Semenanjung.



Turut dilawati adalah lebuh raya dan jambatan panjang menyeberangi Sungai Johor dekat Kampung Kong Kong lebih 40 km ke barat rumah datuk saudara. Ini harus berlaku pada hari Isnin 12 Januari. Walau ketika itu lebuh raya masih dalam pembinaan, walau ia baru bukaan tanah merah dan tiang jambatan pun belum ada lagi saya begitu teruja untuk melihat kawasan. Ini disebabkan keluasan Sungai Johor lebih 4 km di sekitar itu sedangkan berita tentang pembinaan ada dibaca di surat khabar sebulan dua lebih awal.

Gambar daripada artikel lama Trip anak-beranak ke Desaru - "Diserang' Angry Bird di Johor Bahru dan 313 di tempat rehat ini menunjukkan keadaan ketika saya pertama kali melalui jambatan penghujung tahun 2014. Pada tahun 2009 saya ada mengambil lebuh raya berkenaan tapi jambatan belum siap. Lihat Pengembaraan Al-Rasyid ke selatan : Menyusuri kembali jalan ke Teluk Ramunia dan Tanjung Pengelih. Dalam tempoh beberapa hari itu entah berapa kali saya juga ada keluar masuk pusat bandar Johor Bahru. Sedikit butiran yang dapat diingat inipun cukup untuk menunjukkan jarak perjalanan di sekitar melepasi 200 km malah lebih jauh.



Lakaran ringkas perjalanan di sekitar Johor Bahru menunjukkan jarak mencapai 274 km. Campur pusing sana sini di tengah bandar JB diikuti beberapa tempat seperti Gelang Patah (dalam perjalanan ke Tuas), Pekan Nenas (dalam perjalanan ke Tanjung Piai) dan sebagainya harus mencapai 290 km. Sebetulnya saya ada pergi meninjau kawasan pembinaan jambatan menyeberangi Sungai Johor sebanyak dua kali kerana merasa tidak puas hati dengan pemerhatian pertama. Jarak pergi balik dari rumah datuk saudara  pun sudah 90 km. Maka jarak sebenar perjalanan harus mencapai 380 km. 

Campur jumlah perjalanan terdahulu iaitu 2,665 km (rujuk kembali Mengingat kembali perjalanan pertama bermotosikal besar solo keliling Semenanjung - Sekitar Pengerang membawa ke Kota Tinggi dan seterusnya) ini menjadi 3,045 km, sudah melepasi 3,000 km. Sedangkan sebelum memulakan siri jangkaan saya adalah jarak keseluruhan perjalanan hingga selesai kembali ke Lembah Klang baru 2,700 km. Tu dia.