Manakan dapat sagu kalau tidak dipecahkan ruyungnya?
Manakan dapat mutiara yang berkerlipan jika takut menyelam ke lautan dalam.
Dalam diri setiap manusia, ada seketul daging.
Jika baik ia, maka baiklah seluruh jiwa manusia itu.
Jika buruk ia, buruklah juga manusia itu...
Seketul daging itu adalah hati,
mari kita lapangkan dada dan belajar mengIKHLASkan hati.
Perjalanan seribu batu bermula dengan satu langkah.
Marilah meneroka dunia pemikiran hamba.
Silakan

Video klip yang tertera boleh dianggap sebagai pembukaan kepada dunia pemikiran dan kesukaan hamba...







-------------------------


-------------------------



Segala yang dipaparkan menggambarkan pemikiran penulis yang turut terserap di dalam setiap penulisan buku dan artikel. Lihat Cara-cara mendapatkan buku tulisan Merah Silu @ Radzi Sapiee. Di atas adalah satu klip video selama hampir setengah jam yang merupakan demo pilot episode yang mahu digunakan untuk mencadangkan satu siri pengembaraan menyusuri sejarah Melayu Islam sekeliling Nusantara untuk siaran televisyen. Entah mengapa ia menemui masalah. Kemudian penulis diberitahu konsepnya diciplak sebuah stesyen televisyen. Lihat Kembara Sejarah Islam Nusantara : The original material...



Ini adalah klip video ulasan buku ketujuh saya "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" berserta temuramah yang dibuat siaran langsung di Selamat Pagi Malaysia, RTM1. Lihat Siaran langsung ulasan buku "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" dan temu ramah di Selamat Pagi Malaysia.



Penulis juga pernah diminta membuat pembentangan mengenai siri buku "Berpetualang ke Aceh" di Masjid Sultan Salahuddin iaitu masjid negeri Selangor di Shah Alam. Lihat Buku "Berpetualang" dan himpunan ulamak Nusantara yang diketuai ulamak Aceh


-------------------------



Siri novel "Berpetualang ke Aceh" boleh didapati dalam bentuk e-book. Masuk http://www.e-sentral.com/, klik kategori novel am dan taip perkataan "Aceh" pada kotak carian. Atau terus klik Buku 1,Buku 2 dan Buku 3.





Gambar ketika menghadiri satu majlis ilmu, diambil oleh sebuah akhbar harian. Lihat Menghiasi Kosmo Alam Melayu...



Penerbitan trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" juga membawa penulis untuk terlibat dengan banyak majlis ilmu. Rujuk kumpulan links artikel di bawah tajuk "Siri Refleksi Sejarah", pada bahagian paling bawah kiri blogspot, . Penulis juga agak aktif dalam aktiviti-aktiviti kedaulatan Melayu dan Islam, dapat menganjurkan majlis-majlis sendiri di merata Semenanjung Malaysia membawa ke luar negara di Aceh. Lihat blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


Ketika menulis perenggan ini 4 Mei 2015 penulis sedang berusaha untuk mengembangkan isi 3 buku dalam siri "Berpetualang ke Aceh" menjadi 6 buku yang akan membentuk siri baru dipanggil "Siri Pengembaraan Merah Silu". Sebuah syarikat penerbitan telah bersetuju untuk menerbitkan siri lama itu kembali dalam bentuk yang lebih segar - Setiap buku asal dipecah menjadi 2 buku baru yang ditambah maklumat, gambar dan peta berwarna-warni.Pertengahan September 2015 buku pertama siri baru pun selamat diterbitkan. Seminggu lebih kemudian penulis berpeluang bercakap tentangnya secara siaran langsung dalam televisyen lalu membawa wakil penerbit bersama. Lihat video di bawah :-






Awal tahun 2015 turut menyaksikan penulis diambil menjadi penyelidik dan hos satu siri dokumentari yang dipanggil "Daulah Melayu". Projek 13 episod sepanjang sejam setiap satu ini mahu mengenengahkan formula untuk mengembalikan kekuatan bangsa Melayu. Insyaallah projek iakan membawa penulis untuk mengembara ke merata di Malaysia dan Indonesia juga ke beberapa negara dan tempat di Eropah termasuk ke kota London, tempat penulis mengambil ijazah matematik 1991-1995. Siri dokumentari ini dijangka siap untuk tayangan televisyen dalam tempoh 2 tahun.


Friday, April 21, 2017

Menyerahkan HIKMAH kepada orang Aceh - Ke mana hala tuju selepas ini?

Ini ada artikel penting saya copy paste daripada di blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


------------------


Salam hari Jumaat, Jumaat terakhir bulan Rejab. Setelah beberapa lama iaitu setelah begitu banyak memendam rasa sekembalinya saya dan keluarga dari Aceh 23 Mac sampailah masa untuk menyatakan sesuatu yang berat. Walaupun begitu berat dan mungkin akan menyinggung perasaan ramai orang ia terpaksa dinyatakan juga. Ingat. Berat mata memandang berat lagi bahu memikul beban...



Gambar ini diambil pada petang Isnin 3 April di kediaman ahli akademik terkemuka tanah air (Profesor) Dato' Dr Othman Yatim. Beliau sebagai penaung HIKMAH diminta menjadi saksi penyerahan banner HIKMAH kepada Ustaz Mujibburizal dari Aceh. Kenapa ini berlaku? Sekarang biar diluahkan cerita...



Ini adalah gambar yang diambil orang ketika saya duduk makan di meja VIP pada satu majlis persilatan di ibu kota. Cerita berkenaan telah dikongsikan dalam artikel Festival Dunia Seni Silat Melayu ke-8 di Muzium Negara - Salam sayu dari pengasas HIKMAH, Majlis berlangsung pada hari Sabtu 8 April iaitu 5 hari selepas saya menyerahkan banner HIKMAH kepada kawan Aceh. Artikel tentang majlis, artikel ke-331 di blogspot ini ditulis tepat seminggu lalu iaitu hari Jumaat 14 April.

Keadaan jiwa saya yang sebenar ketika majlis disembunyikan demi meraikan kawan-kawan. Ketika artikel ditulis 6 hari selepas majlis baru diluahkan sedikit rasa dengan menyebut beberapa perkara di celah cerita perjalanan majlis. Biar diatur seperti berikut :-


Pada perenggan pengenalan ada disebut begini :-

Atas sebab-sebab tertentu yang akan diterangkan kemudian saya akan berhenti daripada menulis dan menambah artikel baru apabila jumlah mencapai 333. Hal ini sebenarnya sudah difikirkan sejak saya kembali dari Aceh 23 Mac. Ini akan berkuat kuasa buat suatu masa yang panjang. Kiranya saya cuma menghitung hari sahaja sebelum menyepikan diri.


Pada bahagian pertengahan pula disebut begini :-

Sesungguhnya sejak HIKMAH diasaskan pada 12 Oktober 2012 sehingga sudah mengadakan 20 acara di merata Semenanjung Malaysia membawa ke luar negara di Aceh banyak perkara sudah kami lakukan secara langsung atau tidak langsung yang membantu menaikkan kawan-kawan dan persatuan-persatuan silat, budaya dan aktivis busana tradisional Melayu. Tak perlulah disenaraikan bagaimana, yang nyata terlalu banyak. Cuma saya hendak menyatakan ini kerana sejak kebelakangan ada rasa terkilan akibat sikap setengah orang yang mendapat faedah daripada jaringan kawan-kawan HIKMAH tetapi tidak mengakui malah menafikan kehadiran apa lagi peranan kami.


Ke bawah sedikit iaitu pada perenggan selepas gambar yang diambil daripada atas pentas disebut begini :-

Sejak seawal tahun 2006 iaitu sejak keluarnya siri trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" yang dibuat berdasarkan pengalaman sebenar diri saya mengembara sendirian masuk ke zon perang saya telah memiliki kedudukan terhormat dalam kalangan mereka yang sayangkan Melayu dan Islam. Walaupun sering diberikan tempat saya tidak suka duduk sebagai VIP . Saya lebih selesa berjalan-jalan melihat keadaan sambil mengambil gambar. Kedudukan sebagai VIP cuma perlu untuk memastikan kelancaran suatu majlis seperti pada acara-acara HIKMAH. Tetapi untuk majlis DSSM ini saya merasa suka duduk di pentas dan suka dilihat begitu. Bukan untuk menunjuk-nunjuk tetapi terasa perlu. Ini kerana selama ini saya suka merendah diri bercampur orang tak kira latar belakang tetapi rupa-rupanya ada yang tak sedar diri dan naik tocang. Jadi bila dah duduk di pentas itu biarlah pihak-pihak yang naik tocang itu ingat sedikit, selama ini dengan siapa mereka berurusan...



Gambar ini menunjukkan salah satu aktiviti yang dilakukan di Aceh ketika berada di sana 16-23 Mac. Pembaca harus sudah sedia maklum satu acara HIKMAH turut diadakan di sana. Lihat Acara kedua puluh HIKMAH di Rumah Cut Nyak Dhien, Aceh 19 Mac 2017. Sebetulnya sepanjang perjalanan kami di sana ada perbuatan kawan-kawan dari Malaysia yang menyakitkan hati. Tak perlulah dinyatakan bagaimana. Cukuplah dikatakan ia membuat saya dan isteri terasa mereka tidak tahu diuntung. Mereka dapat peluang berkenalan dengan ramai orang lalu bergerak ke hadapan kerana terlibat dengan majlis-majlis HIKMAH. Mereka dilayan dengan baik oleh kawan-kawan di Aceh disebabkan mereka datang atas nama HIKMAH dan dikatakan kawan kepada saya Merah Silu dan isteri. Tetapi mereka nampaknya tidak sedar dan menafikan hal ini. Seolah-olah layanan istimewa yang didapati berlaku atas asbab 'karisma' diri sendiri.




Keadaan ini mengingatkan tentang adanya orang lupa atau tidak sedar diri bagaimana mereka boleh mendapat ruang terlibat dengan majlis terbesar anjuran Jabatan Muzium Malaysia untuk tahun 2016. Mereka lupa itu semua berlaku akibat persediaan untuk mengadakan satu acara HIKMAH di Muzium Negara. Lihat Acara kelapan belas HIKMAH di Muzium Negara, Kuala Lumpur 22 Oktober 2016. Punyalah lupa sampai ada seorang itu memburuk-burukkan isteri saya kepada kawan-kawan atas tuduhan isteri saya menipu memiliki sijil tinggi kecantikan. Rujuk cerita berkenaan dalam artikel Sijil berkaitan bidang milik Bona Fida di blogspot isteri saya, BONA FIDA.



Tuduhan menipu itu diteruskan secara kasar buat beberapa lama. Peliknya tidak seorang pun kawan yang mendengar tuduhan berusaha untuk membela isteri padahal beliaulah yang bertanggungjawab mengenalkan mereka antara satu sama lain. Akhirnya saya sendiri masuk membela dengan kasar. Sekali lagi tidak ada orang lain masuk membela sedangkan mereka-mereka ini sudah banyak mendapat ruang dalam dunia aktivis silat, kebudayaan dan busana Melayu disebabkan HIKMAH.



Antara mereka ini ada yang awalnya tidak dikenali langsung tetapi mula mengecap populariti dalam kalangan para aktivis apabila isteri saya yang peramah dan baik hati memperkenalkan mereka kepada kawan-kawan termasuk daripada golongan atasan. Jadi bayangkanlah perasaan saya sebagai suami apabila melihat mereka yang lupa diri boleh pula memulaukan isteri. Dahulu pun ada para aktivis yang seperti memandang lekeh isteri saya. Bila dapat tahu ini isteri kepada pengasas dan presiden HIKMAH baru nak tunjuk baik. Sesungguhnya banyak kemarahan saya akhir-akhir ini adalah apabila melihat isteri diperlakukan buruk oleh mereka yang pernah kami bantu. Saya sendiri sudah banyak memendam perasaan tentang perangai sesetengah orang yang terlibat dengan HIKMAH tetapi apabila isteri terkena kesabaran saya pun mula menipis.

Kami berusaha penat lelah menjayakan acara demi acara. Kami tak dapat keuntungan wang apa-apa malah seringkali perlu mengeluarkan duit sendiri untuk menjayakan acara. Kami sendiri selalu set-up dengan tenaga empat kerat menyediakan dan menyiapkan tempat. Apabila selesai acara kami juga sendiri sering membersihkan menyapu sampah mengutip puntung rokok bersepah dan sebagainya. Ini tak campur lagi segala macam kerja logistik bagi mendapatkan penceramah berwibawa tetapi sanggup datang jauh secara sukarela untuk berkongsi ilmu dan sebagainya.

Kami adakan malis demi majlis secara percuma. Kami berikan tapak perniagaan percuma untuk sesiapa sahaja masuk walau tak pernah bersua. Kami sediakan sarapan, makan tengah hari dan petang tanpa hadirin perlu membayar apa-apa. Kami juga berusaha untuk menyediakan penginapan percuma kepada semua.

Alhamdulillah ramai yang menghargai. Tetapi kami dapati ramai juga yang seperti menggunakan kami dan majlis. Daripada majlis kami mereka dapat peluang berkenalan dengan pelbagai orang termasuk yang asalnya berada di luar jangkauan sosial mereka kerana berasal daripada golongan atasan yang tidak mudah bergaul dengan golongan bawahan. Ada yang mengumpul ahli baru untuk persatuan mereka selain menaikkan nama persatuan juga perguruan.

Sebetulnya saya tiada masalah tentang itu. Pada saya biarlah win-win situation, mereka pun datang memeriahkan acara. Tapi ingat-ingatlah sedikit dan hargailah peranan kami. Ini tidak. Sampai cerita daripada orang lain, mereka-mereka ini ada yang mendakwa dapat ke hadapan semata-mata kerana kekuatan atau karisma diri sendiri...



Selain itu wujud tuduhan kononnya saya mendapat duit berjuta-juta Ringgit daripada pihak tertentu untuk mengadakan majlis demi majlis. Kononnya itu adalah dana dan laba agar saya mempengaruhi umat Melayu dan Islam untuk bergerak menuju ke arah ideologi tertentu yang kurang enak. Saya pun tak tahu bagaimana boleh wujud tuduhan ini. Apakah kerana ada mendengar cerita tentang saudara mara jauh di Perak sedang berusaha untuk mendapat wang pampasan tanah milik seorang moyang kami di tepian Masjidil Haram yang dibangunkan lalu katanya bernilai berbillion Ringgit? Yang pasti tuduhan memang wujud dan ada orang meminta penjelasan daripada saya.

Saya diberitahu tuduhan ini diiringi kempen sesetengah pihak mengajak orang memboikot dan tidak menghadiri apa-apa majlis HIKMAH. Lebih menyakitkan hati adalah tuduhan saya mengadakan majlis dan pergerakan untuk mengumpul pengaruh dan pengikut kerana mahu menuntut takhta. Ini bukan tuduhan main-main seperti disangkakan sesetengah kawan. Ia sebetulnya sudah berkumandang sejak acara pertama kami mendapat sambutan yang tidak disangka-sangka penghujung tahun 2012. Lihat Acara pertama HIKMAH di Yayasan Restu, Shah Alam 4 Nov 2012  Mungkin ia wujud kerana diketahui saya memang berasal daripada keturunan tertentu? Yang itu memang benar tetapi menuntut takhta? Saya tahu batas diri selain tidak mahu berulang kesilapan nenek moyang dahulukala boleh bergaduh sehingga berbunuh-bunuh atau dendam purba dipanjangkan.

Tuduhan sebegini menyebabkan timbul polemik tidak sihat selepas berlaku perarakan Maulud pada majlis ketiga HIKMAH di Lumut, Perak awal tahun 2013. Lihat Acara ketiga HIKMAH di Marina Hall, Lumut 27 Jan 2013. Walhal apa yang berlaku adalah terdapat orang lain yang memang diketahui berhajat untuk menuntut takhta di selatan sana. Selepas perarakan dia ada melakukan upacara tertentu yang mana ketika itu saya sudah bergerak ke tempat lain. Tapi tempias upacara berupa tabal keris terhadap orang lain yang mahu dijadikan penyokong menimbulkan fitnah yang jatuh pada saya sebagai ketua majlis. Maklumlah, saa sudah lama diwar-warkan sesetengah pihak kononnya berhasrat mahu menjadi raja...

Acara kami di Melaka penghujung tahun itu pula, acara kedua kami di negeri tersebut menyaksikan sedikit sahaja penyertaan daripada anak tempatan. Lihat Acara ketujuh HIKMAH di Hang Tuah Center, Kampung Duyong, Melaka 30 Nov 2013. Kemudian baru saya dapat tahu daripada kawan-kawan persilatan sana bahawa ada seruan untuk memboikot kerana saya kononnya mahu menunjukkan diri sebagai waris Sultan Melaka yang haq. Bila difikirkan kembali, saya melihat hal ini timbul kerana di luar sana memang ada orang berhajat hendak menjadi raja diikuti mereka-mereka yang ingin menjadi pembesar. Ada yang memang menonjolkan diri pada majlis-majlis orang melalui pakaian yang kadangkala terlebih gaya hendak menunjukkan diri sebagai bangsawan. Disebabkan wujudnya orang-orang sebegini maka fitnah boleh jatuh ke atas diri saya.

Sekembalinya dari Aceh 23 Mac isteri saya mendapat private message meminta saya berhenti daripada usaha menuntut takhta Aceh. Kalau tidak saya akan ditimpa musibah. Masyaallah. Bila difikirkan segala macam perkara yang berlaku tu yang saya membuat keputusan tidak mahu lagi menganjurkan apa-apa acara HIKMAH lagi. Buat apa penat-penat terus menganjurkan acara? Dahlah tak buat duit, kami dituduh macam-macam. Orang lain yang mendapat hasil dan kemajuan setelah menyertai acara kami pula buat dek aje tidak menghargai atau mengakui peranan kami apa lagi hendak membela?


Sebetulnya saya sudah dua kali mengumumkan mahu berhenti daipada mengadakan apa-apa acara HIKMAH. Pertama adalah selepas mengadakan majlis di Aceh 3 tahun lalu. Lihat Acara kesepuluh HIKMAH di Muzium Aceh, Banda Aceh, Aceh 29 Mac 2014. Ini ada dinyatakan dalam artikel HIKMAH berehat dan Faktor 131.

Tetapi saya kemudian dipujuk kawan-kawan untuk melaksanakan lagi acara sehingga berlangsunglah majlis seterusnya penghujung tahun itu. Lihat Acara kesebelas HIKMAH di masjid dan makam Sultan Alauddin Riayat Shah (Melaka), Pagoh, Muar 8 Nov 2014. Penghujung tahun 2015 iaitu selepas melaksanakan Acara kelima belas HIKMAH di dewan orang ramai Kampung Banjar, Beruas 8-9 Ogos 2015 sekali lagi saya menyatakan niat mahu bersara. Tetapi saya dipujuk lagi sehingga terlaksana Acara keenam belas HIKMAH di University of Life @ rumah S.H.Alattas, Janda Baik 30-31 Jan 2016 diikuti 3 lagi pada tahn 2016.

Hal ini menyebabkan saya memasuki tahun baru 2017 dengan rancangan untuk mengadakan 3 atau 4 acara sebelum tahun tamat. Ini ada dinyatakan dalam artikel ke-313 di blogspot ini iaitu Cadangan acara HIKMAH di Sarang Art Hub dan lain-lain tempat - Langkah untuk mengintegrasikan diri lama yang keBaratan?. Tak sangka boleh terbit keadaan yang menyebabkan saya tawar hati untuk melaksanakan lagi majlis sekembali dari Aceh. Kebetulan sehari sebelum kembali saya mendapat berita bahawa acara seterusnya yang pernah dirancang mahu diadakan di Istana Bandar, Jugra kemudian dialih ke Batu Laut, Banting pada 29 April dibatalkan. Lihat artikel Tentang rancangan mengadakan acara HIKMAH di Istana Bandar, Jugra - Dah dapat tarikh pasti diikuti Sedikit laporan selepas tamatnya acara ke-20 HIKMAH di Aceh 19 Mac 2017. Ini membantu membulatkan tekad untuk berhenti...



Sebetulnya acara tersebut bukanlah mahu dibatalkan terus. Ia cuma tidak dapat diadakan dalam masa terdekat lalu mungkin harus kembali pada satu rancangan yang disebut dalam artikel Tentang rancangan mengadakan acara HIKMAH di Istana Bandar, Jugra - Dah dapat tarikh iaitu mengadakan acara di tempat cadangan asal Istana Banda tapi pada tarikh yang berdekatan dengan hari ulang tahun kelahiran Sultan Selangor iaitu 11 Disember. Kalau ini diteruskan insyaallah Raja Muda Selangor dapat dipanggil merasmikan. Tetapi bila dah tawar hati saya rasa baik tak buat terus.

Buat apa saya dan isteri berpenat-lelah menganjurkan majlis secara sukarela sedangkan orang tidak menghargai, setakat datang mengambil kesempatan? Kalau Raja Muda sanggup mencemar duli (ini berada di dalam bidang kuasa pihak yang mencadangkan untuk menjadikan ia realiti) harus ramai akan memunculkan diri. Mungkin sehingga dapat mengatasi rekod kedatangan 700-800 orang pada acara ke-3 HIKMAH di Lumut. Tapi buat apa kalau yang ramai itu sekadar menghimpit mencari peluang untuk menonjolkan diri di hadapan Raja Muda, bukan betul-betul nak tadah ilmu? Sedangkan ia juga boleh memanjangkan fitnah yang kononnya saya sedang mengumpul pengaruh dan pengikut untuk menuntut takhta?




Beberapa hari setelah kembali dari Aceh saya sudah membulatkan tekad untuk tidak lagi menganjurkan acara HIKMAH. Cuma hati terasa berat kerana sayangkan badan tidak rasmi yang saya asaskan dengan penuh rasa amanah dan tanggungjawab lebih 4 tahun lalu ini. Apakah sanggup melihat ia hilang begitu sahaja sedangkan HIKMAH adalah lambang perjuangan saya untuk mendaulatkan Melayu dan Islam sejak terpanggil untuk mengenal kembali jati diri asli penghujung tahun 2001? Tentu tidak. Jadi apakah yang patut dilakukan? Jawabannya saya dapat pada hari Jumaat malam Sabtu 31 Mac lalu diumumkan di Facebook seperti berikut :-


------------


SERAHKAN HIKMAH PADA ORANG ACEH - PULANGKAN KEMBALI GERAK KEPADA NENDA AS-SULTAN AL-MALIKUS SALEH DI SAMUDERA PASAI...

Salam semua. Beberapa hari lalu saya ada meluahkan rasa tidak mahu lagi melaksanakan apa2 acara HIKMAH kerana sudah letih menganjurkan acara juga letih dengan pelbagai kerenah manusia. Namun dilema saya adalah sanggupkah membiarkan nama HIKMAH hilang begitu sahaja sedangkan ada orang2 jujur yang menaruh harapan tinggi terhadap perjuangannya? Alhamdulillah, baru sebentar tadi saya mendapat jawaban bagaimana menanganinya. Isteri saya telah mencadangkan ia diserahkan kepada kawan2 seperjuangan kami di Aceh.

Ini kerana apabila kami membuat keputusan tidak mahu menganjurkan apa2 lagi acara maka acara ke-20 kami di Aceh pada 19 Mac iaitu pada 12 hari lalu secara automatik menjadi acara HIKMAH terakhir anjuran kami. Apabila hal ini dibincangkan bersama isteri tadi timbul rasa bahawa HIKMAH telah kami tinggalkan di Aceh. Dalam keadaan ada yang tidak senang dengan HIKMAH atau mungkin lebih tepat tidak senang dengan saya ada baiknya perjuangan HIKMAH diserahkan kepada kawan2 di sana. Kami cukup kenal kegigihan mereka berjuang untuk memartabatkan agama, bangsa dan negara tanpa mengharapkan apa2 laba dunia.

Terpulanglah kepada mereka bagaimana hendak membawa HIKMAH nanti. Mungkin mereka boleh meneruskan mengadakan acara2 di Aceh dan sekitarnya atas nama HIKMAH jika sudi. Harapan saya suatu hari nanti mereka dapat menjayakan satu acara HIKMAH di persekitaran pusat kerajaan Samudera-Pasai yang terletak di Geudong, Lhokseumawe lebih 6 jam perjalan`an darat dari Banda Aceh (di mana acara ke-20, dan sebelum itu acara ke-10 HIKMAH pada 29 Mac 2014 diadakan). Sesungguhnya mulanya keterlibatan saya dengan Aceh adalah disebabkan ingin menyambung wasilah kerohanian dengan almarhum moyang saya sekitar 20 lapis keturunan dahulu iaitu as-Sultan al-Malikus Saleh, pengasas kerajaan Samudera dan Pasai 800 tahun yang lampau.

Daripada pertalian ini timbul pelbagai gerak sehingga boleh munculnya HIKMAH hampir 5 tahun lalu atas cadangan isteri saya. Kalau acara dapat diadakan di sana ia ibarat mengembalikan gerak ke satu tempat usul yang utama sekurang2nya buat saya. Sesuailah hal ini dengan tema acara ke-20 HIKMAH di Banda Aceh 19 Mac 2017 yang berbunyi " Kunci Kebangkitan Islam Akhir Zaman". Apa kata kawan2 Aceh? Harap sudi menyambut saranan saya ini..


-----------------


Alhamdlulillah kawan-kawan di Aceh memberikan maklum balas positif. Tidak lama kemudian iaitu pada 3 April, 18 hari terjadilah penyerahan banner atau sepanduk HIKMAH kepada orang Aceh seperti ditunjukkan dalam gambar paling atas  Untuk pengetahuan itulah sepanduk yang dibawa ke sana ke mari dalam melaksanakan 20 acara di merata Semenanjung juga luar negara di Aceh. Ini adalah simbolik penegasan saya tidak mahu mengadakan apa-apa lagi acara HIKMAH. Ia juga untuk menutup ruang daripada orang memfitnah mengatakan saya buat drama aje isytihar mahu berhenti tetapi sebenarnya mahu dipujuk (konon) untuk mengadakan acara lagi kerana ketagihkan perhatian.

Kalau ada orang lain sanggup menganjurkan HIKMAH silakan asal dapat mengikut prinsip-prinsip asal tidak meraih keuntungan dan sanggup berkorban. Tetapi saya sendiri tidak akan buat lagi. Selepas ini saya cuma mahu datang berlenggang ke majlis-majlis anjuran orang. Kalau ada mahu menganjurkan HIKMAH insyaallah saya akan menghulurkan bantuan. Cuma saya dan isteri tidak mahu berpenat-lelah seperti dahulu lagi. Biarlah kami datang sebagai tetamu sepertimana orang lain pernah mendapat manfaat daripada majlis-majlis kami tanpa perlu bersusah-payah...

Satu perkara penting yang saya pelajari selepas menganjurkan 20 acara HIKMAH adalah tidak ramai orang betul-betul dapat mencerna atau menghargai ilmu yang kami sampaikan. Ramai orang lebih seronok dengan persembahan silat, pameran dan perniagaan juga memakai busana berwarna-warni. Hal ini mengingatkan bahawa HIKMAH sebenarnya adalah satu gerakan intelektual. Budaya, persilatan, busana dan sebagainya cuma aspek-aspek sisi sahaja. Paling utama bagi kami adalah dunia falsafah dan pemikiran berlandaskan ajaran Tasawuf yang disokong pengetahuan dan kesedaran sejarah yang mantap. Sedangkan kelaziman dan realiti manusia menunjukkan tidak ramai yang memiliki kecenderungan ke arah itu.

Moral of the story : Selepas ini biarlah sedikitr yang mengikuti tetapi berkualiti. Buat apa ramai-ramai kalau setakat untuk menerbitkan fun fair suka-suki? Maaf. Kenyataan ini bukanlah untuk merendahkan orang awam yang tahap pemikiran mereka adalah biasa-biasa sahaja. Ini adalah realiti kehidupan yang harus diakuri supaya hidup lebih bermanfaat dan harmoni.

Tidak harmoni seorang yang semulajadi memliki kepandaian tinggi duduk dalam kalangan orang biasa-biasa di tepian jalan bersiul-siul mengurat perempuan. Orang pandai akan merasa sia-sia tidak senang sedangkan orang biasa akan merasakan orang pandai itu sombong meninggikan diri kerana tidak sama-sama bersiul mengacau perempuan. Pun begitu, saya bukan jenis orang yang lepas tangan . Saya tetap memiliki rasa amanah dan tanggungjawab dalam melestarikan perjuangan bagi mendaulatkan Melayu dan Islam.

Maka nak tak saya harus juga berhadapan dengan orang awam dan segala macam kerenah orang kebanyakan. Cuma perjuangan harus diteruskan dengan cara lain yang lebih ekslusif, melibatkan orang terpilih sahaja, Mungkin juga harus pergi underground, tersembunyi bawah tanah. Biar kumpulan kecil sahaja yang sering bertemu berkongsi ilmu merangka strategi. Kemudian kami keluar melaksanakan peranan masing-masing di medan awam. 



Merujuk pada artikel Cadangan acara HIKMAH di Sarang Art Hub dan lain-lain tempat - Langkah untuk mengintegrasikan diri lama yang keBaratan?. Sebetulnya saya merasa tidak selesa terpaksa membatalkan acara HIKMAH yang dirancang mahu diadakan di tempat pengarah filem terkenal Mamat Khalid di Tanjung Malim selepas raya. Itu yang membuat saya datang bertandang ke Sarang hujung minggu lepas untuk menerangkan perkara. Ini ada disentuh dalam artikel 'Tersesat' masuk lebuhraya ke nerakadi blogspot CATATAN SI MERAH SILU.


.
Dua hari kemudian baru timbul ilham bagaimana hendak menggantikan acara HIKMAH di Sarang yang dibatalkan. Isnin 17 April iaitu 4 hari lalu saya dan isteri telah bertandang ke pejabat sebuah syarikat Bumiputera yang rancak berniaga emas perak juga wang dinar dirham. Saya setakat menemani isteri ditunjukkan tempat oleh seorang kawan yang pakar ekonomi Islam tanpa riba'. Dah dekat nak sampai baru tersedar syarikat inilah yang dipilih untuk mencetak duit dirham HIKMAH seperti dinyatakan dalam artikel Dirham cenderahati HIKMAH tahun 2017  lebih 3 bulan lalu.

Kawan yang mencadangkan usaha lalu bersedia untuk membiayainya (bukan dalam gambar) pun dihubungi dalam perjalanan. Beliau memberitahu, selepas saya menyatakan mahu berhenti menganjurkan acara HIKMAH usaha tersebut jadi tergantung dengan draf akhir reka bentuk dirham dan sampul belum mendapat persetujuan dan pengesahan. Terpulanglah pada saya sama ada hendak membatalkan ata meneruskan. Saya pun jawab jalan aje le. Cetak atas nama apa pun nilainya tetap sama kerana begitulah sifat wang dinar dan dirham.

Yang berbeza cuma premium merangkap upah yang terbit akibat reka bentuk unik suatu dirham. Tentunya ada kos selain harga bahan mentah untuk mencetak wang. Dia pun kata kalau begitu semaklah draf akhir reka bentuk dirham dan sampul lalu berikan kata putus. Ini pun saya lakukan. Bolehlah kerja-kerja percetakan diteruskan dengan mula membuat mould atau acuan cetak.



Adapun cadangan asal adalah mahu meminta Raja Muda Selangor melancarkan dirham HIKMAH pada acara di Istana Bandar. Tetapi oleh kerana ia sudah dibatalkan maka biarlah dilancarkan di tempat lain. Maka teringatlah pada rancangan mahu mengadakan acara HIKMAH di Sarang Art Hub milik Mamat Khalid tapi dah tak jadi. Saya pun mencadangkan pada Mamat agar ia digantikan dengan acara open house atau rumah terbuka raya bertemakan busana tradisional Melayu. Persembahan silat seperti dibuat dengan para aktivis Tanjung Malim 2 bulan lalu (lihat Malam Anjung Tradisi di Sarang Art Hub - Satu langkah persediaan untuk menyambut HIKMAH di sana) boleh diadakan sekali, insyaallah melibatkan lebih ramai pesilat dan aktivis.

Selain itu boleh dibuat tayangan wayang sambil berbusana. Boleh juga dibuka gerai-gerai termasuk untuk aktivis dinar dirham membuat jualan dan pameran. Di situlah dirham HIKMAH boleh diperkenalkan bersama beberapa barangan berkaitan. Hal ini sudah dimaklumkan kepada kawan yang membiayai usaha juga pengarah syarikat yang mencetak dinar dirham dan mereka suka. Mamat pula bersetuju dan saya akan cuba membantu menjadikan ia acara bermanfaat walaupun bukan atas nama HIKMAH.




Adapun artikel yang ditulis panjang lebar untuk meluahkan perasaan sambil menyatakan hala tuju selepas saya tidak mengadakan lagi acara HIKMAH ini membentuk artikel ke-332 di blogspot HIKMAH. Sudah diberitahu bahawa apabila jumlah mencapai 333 saya tidak akan menulis lagi di sini buat beberapa lama. Kalau mahu saya boleh mencukupkan jumlah tersebut dengan memecahkan artikel kepada dua, Satu tentang keputusan untuk berhenti lalu menyerahkan HIKMAH kepada orang Aceh, satu lagi adalah tentang ke mana hala tuju.

Tetapi isteri saya meminta agar saya sabar dahulu. Biar cerita tentang satu acara yang akan diadakan Ahad hingga Isnin akan datang ini menjadi penutup penulisan di blogspot, Acara tersebut telah diperkenalkan melalui artikel Sedikit laporan selepas tamatnya acara ke-20 HIKMAH di Aceh 19 Mac 2017 dua hari selepas kembali dari Aceh. Isteri percaya ada kesinambungan yang perlu dituruti kerana ia diadakan di persekitaran Gunung Jerai di Kedah . Sedangkan perjalanan kami di Aceh 16-23 Mac itu turut membawa ke makam seorang raja perempuan yang pernah menguasai Pasai (dalam Aceh ) dan Kedah. Lihat Misi HIKMAH Aceh 2017 - Tafakur di Makam Sultan Sayyid Maulana, kemuncak di makam Ratu Nurul Aqla dan ketenangan di makam Sultan Malikussaleh

Sepuluh hari selepas itu saya menghubungi penganjur majlis untuk mengulangi pendirian akan datang selain memastikan peranan dalam majlis. Ia adalah terbuka lalu undangan boleh dipanjangkan kepada semua. Saya pun menerima atur cara penuh Ia mungkin boleh berubah mengikut keadaan tetapi secara rata aturan adalah seperti berikut :-


MAULID AGUNG BANI JAWI & MANAQIB SYEIKH ABDUL QADIR AL-JAILANI (23-24.4.2017 bersamaan 26-27 Rejab 1438H)

Ahad 23.04.2017

8:30am : Para muhibbin berkumpul di Teratak Ayahanda

8:45am : Ucapan ' Aku Melayu, Siapa Melayu...?' oleh Tuan Radzie @ Merah Silu

9:15am : Perarakan Agung Bani Jawi ke Titi Hayun ( Gendang Silat, Pencak Silat, Memanah dan Berkuda)

9:30 : Bacaan Ikrar Bani Jawi

9:45 : Ucaptama oleh Ybhg Ayahanda Dato' Hj Hashim Hj Ismail

10:30 : Tausiyah " Kesufian dan Sejarah Ummat Melayu " oleh As Syeikh Muhammad Zainul Asri

11:10 : Perarakkan pulang ke Teratak Ayahanda Bersama Selawat dan Qasidhah

11:35 : Tausiyah "Sejarah Syeikh Abdullah Al Qumairi dan Peranan Sufi" oleh Ym Al Fadhil Abuya Aswad Al Kubra

12:30 : Makan tengah hari & solat Zohor

1:50pm : Tausiyah "Akhlak Perjuangan Rasulullah dalam Membangunkan Ummah"' oleh Al Fadhil Tn Guru Syed Shuhaimi Syed Hassan Al Aydrus

2:45pm - Penyerahan Sandang Terhormat oleh Ybhg Ayahnda Dato' Hj Hashim kepada Para ulama dan pimpinan

3:15pm : Ceramah Perdana "Amal Makruf,Nahi Mungkar dan Isu Semasa Ummat Islam Di Malaysia" oleh :

1- Al Fadhil Ustaz Masridzi Bin Sat (PERKID)
2- Al Fadhil Dr Yusri Mohamad (YADIM)

5:00pm : Solat Asar / Riadah Berkuda / Memanah / Berenang

7:00pm : Bacaan Ratibul Haddad

7:30 : Solat Maghrib berjamaah dan bacaan Maulid Ad Diyaul Lami' serta Gurindam Marhaban Melayu Lama/solat Isya

9:00pm : Forum Perdana '"Ancaman Dajjal di Nusantara dan bagaimana para sufi menghadapinya" oleh :

1-Ybhg Ayahnda Dato Hj Hashim Ismail
2-Al Muhtaram Syeikh Sanusi Salleh
3-Al Mukarram Syeikh Zainul Asri
4- Al Fadhil Ustaz Jafri Mahmoodi

11:45pm : Bersurai

Isnin 24.4.2017

4:30 am : Solat Tahajjud & Subuh Berjemaaah serta Tausiyah Khas Semperna Isra Mikraj Sayyidina Rasulullah Saw oleh Al Muhtaram Syeikh Ibrahim Masran Al Banjari diiringi Qasidhah Isra Mikraj

8:30am : Sarapan pagi & Persiapan Diri

9:00 Bertolak ke kaki Gunung Jerai (Gurun) dan terus mendaki ke Masjid Syeikh Abdullah Al Qumairi@ Padang Tok Syeikh

10:15am : Himpunan Ulama dan Bani Melayu di Tanah Keramat Gunung Jerai / Qasidhah / Tausiyah / Tahlil dan Pengebaran Panji Melayu SeNusantara

12:15pm: Bergerak turun pulang ke Teratak Ayahnda

3:00pm : Ceramah Perdana "Dasyatnya Fitnah Dajjal" Oleh Ybhg Dr Izham Nayan (PPIM)

4.30pm : Solat Asar / Riadhah / Pameran senjata dan busana Melayu

7.00pm : Bacaan syahadat Tokku Paloh / Solat Maghrib / Bacaan Burdah Imam Busairi / Solat Isya'

9.00pm : Zikir Akbar Manaqib Sheikh Abdul Qadir Al- Jailani (dipimpin oleh Kiyai Dr Zainul 'Arifin,Sheikh Athoillah, dan Imam-Imam Manaqib

12:00am : Majlis Penutup,Doa selamat dan bersurai

Alamat lokasi : Lot 1111, Anjung Menjaro @ Teratak Ayahanda, Jalan Peranginan Titi Hayun 06900 Yan Kedah Darul Aman

No comments: