Lihat gambar ini. Sebuah topi keledar buruk di atas kotak bersalut kain kuning, sebuah jaket kulit lama diletakkan di atas t-shirt merah berserta seluar jeans dengan hujung kaki dimasukkan ke dalam kasut but kulit tinggi yang sebenarnya kasut menunggang kuda lalu segalanya dibentuk seperti orang-orang di bawah tangga. Untuk makluman semua ini adalah antara pakaian-pakaian lama milik saya yang baru ditemui kembali 2-3 minggu kebelakangan ini.
Selama ini, saya ingatkan saya keluar dari rumah Pak Habib tahun 2005. Memang pun saya mula jarang menginap di rumahnya sejak tahun itu, akibat sebab-sebab tertentu. Tetapi tahun 2006 baru saya secara rasminya keluar dari rumah itu dengan membawa keluar segala barangan saya... bukan segala sebenarnya kerana ada beberapa buku kegemaran saya tertinggal di pejabat Pak Habib di Gombak lalu hilang entah ke mana dan saya pun sudah malas hendak bertanya.
Sekitar 2 minggu lepas iaitu setelah naik ke Bukit Fraser, saya telah bermalam di Janda Baik lalu mengambil barangan saya yang tertinggal di sana. Sukacita saya kerana menemui beberapa barangan lama yang disangkakan sudah lama hilang... lebih penting lagi kerana kenangan serta cerita yang terkait dengan barangan tertentu.
Misalnya jubah ini... dalam beberapa helai jubah yang saya beli di Madinah kemudian Mekah (ada beberapa belas, mungkin 20 helai, saya hadiahkan kepada orang kecuali 4 untuk pakaian sendiri), inilah jubah yang saya pertama kali pakai, pada hari Khamis kalau tak salah ingatan, 2-3 hari lagi sebelum kembali ke tanah-air.
Kalau nak cerita segalanya agak panjang. Insyaalaah akan saya luahkan di blogspot ini apabila sampai masanya bercerita tentang umrah 2005 itu. Cukuplah diberitahu, dengan jubah ini, saya telah bersolat Asar di hadapan Ka'abah di Masjidil Haram kemudian keluar menaiki van lebih 5 batu untuk ke kaki bukit Jabal Nur sebelum mendaki berjalan kaki ke puncak yang tingginya melebihi 1,600 kaki.
Alhamdulillah, saya dapat mengekalkan air wudhuk hingga ke atas. Selepas duduk di dalam Gua Hira' seorang diri, tempat Rasulullah SAW mendapat wahyu pertama lebih 1,400 tahun lalu, saya naik dan duduk di atas batu yang menjadi bumbung gua. Apabila hendak bangun, bahagian sisi kanan bawah jubah terkoyak kerana tersangkut di bahagian peha. Koyak itu masih ada hingga kini...
Ini pula koleksi topi yang dibawa kembali dari Janda Baik. Suatu masa dahulu, saya ada lebih 30 topi sebegini, mungkin hampir 50 semuanya hadiah dari syarikat-syarikat besar semasa saya masih bertugas sebagai wartawan di akhbar The New Straits Times, ada yang berharga RM300-RM400 sebuah! Semasa itu, saya memang suka memakai topi terbalik apabila keluar berjalan-jalan mahupun membuat kerja. Lalu ada masanya saya tercicir atau tertinggal topi entah di mana-mana... kemudian ada pula yang dihadiahkan kepada orang lain. Maka apa yang tinggal kini cuma 15 buah topi. Sebahagiannya saya letak di dinding ini sebagai hiasan.
Setelah mengambil barangan di Janda Baik, sampailah masanya untuk mengambil baki barangan yang ditinggalkan di rumah ibu saudara di Ampang tempat saya menumpang 2-3 tahun kebelakangan pula. Antara yang diambil adalah 2 biji gitar dengan amplifier yang kelihatan. Lalu saya atur begini agar ia dapat turut dijadikan hiasan...
Untuk pengetahuan, jaket kulit buruk yang kelihatan ini dibeli di England pada tahun 1992 dengan harapan satu hari nanti saya akan mampu membeli motosikal besar sendiri lalu dapatlah dipadankan sama. Pada pertengahan tahun 1996, setelah 9 bulan gitu bekerja di The New Straits Times, barulah saya dapat membeli motosikal Yamaha Virago 535cc ini.
Sayangnya jaket kulit itu kini sudah rosak sedangkan saya sudah ada jaket kulit baru yang lebih elok. Maka itu saya tergerak untuk menggantungnya menjadi hiasan sebagai kenang-kenangan. Kebetulan saya ada t-shirt merah yang sebenarnya masih elok tetapi belakangnya sedikit sudah dimakan tikus. Bersama sehelai jeans yang turut diambil dari Janda Baik, jeans yang kini kurang muat di bahagian perut dan punggung (hehe!) saya rasa dapatlah ia dijadikan orang-orang hiasan dengan diletakkan bersama but kulit sekali.
Untuk makluman, but ini pun sebenarnya sedikit sempit. Ia adalah hadiah dari pihak polis berkuda Putrajaya ketika bandar Putrajaya masih diliputi hutan kelapa sawit dan sedikit bahagian terbuka, pasukan polis awal yang baru ditubuhkan untuk meronda bandar itu apabila siap nanti. But ini ada disebut dalam buku ketiga saya "Berpetualang ke Aceh: Sirih Pulang ke Gagang?", tentang bagaimana ketika melawat Masjid Kota Lama Kanan di Perak stokin saya terasa basah sedangkan but itu kalis air lalu ini membawa saya untuk membuka but dan masuk ke dalam masjid sehingga terjumpa sebatang batu nesan yang menandakan tempat hilangnya sultan kedua Perak, Sultan Mansur Shah ketika bersolat Jumaat 450 tahun lalu. Cuma apabila diambil balik dari Janda Baik, saya mendapati buckle sebanyak 4 di kiri 4 di kanan sudah hilang. Tak apa le, cukuplah ia menjadi hiasan dan kenangan.
Oh, lupa pula. Gitar eletrik berwarna merah berjenama Washburn yang kelihatan dalam gambar turut dibeli di England 1992. Ia adalah hadiah dari buah hati saya ketika itu. Hmm...
Berbalik ke barangan dari Janda Baik. Turut dibawa balik adalah sebahagian tasbih dibuat dari batang kurma yang dibeli semasa umrah 2005 dan kitab himpunan doa dan hizib Imam Abul Hassan as-Shadzili yang dibeli di sekitar Masjid India tahun 2003, sejurus sebelum saya pertama kali menziarahi makam wali Allah Tok Pulau Manis yang hidup di Terengganu lebih 300 tahun lalu. Saya ada membeli sejumlah tasbih untuk dihadiahkan kepada orang tetapi cuma dua utas disimpan untuk diri sendiri sedangkan satu utas tasbih kayu koka saya terima sebagai hadiah orang di Mekah.
Tasbih kayu koka itu telah saya hadiahkan kepada orang apabila talinya terputus di hadapan makam Sheikh Ismail di Pulau Besar, Melaka 2 - 3 tahun lalu. Tasbih yang disimpan pula adalah dari batang kurma, tasbih pertama yang saya beli di Tanah Arab, ketika pertama kali sampai ke Masjid Quba', masjid pertama didirikan Rasulullah SAW sekitar 5 batu di luar Madinah. Kemudian saya ada membeli sejumlah lagi tasbih batang kurma di sebuah bukit kecil di Jabal Uhud, bukit di mana para pemanah Islam pernah membuat kesilapan besar apabila keluar dari barisan dalam Perang Uhud. Seutas sahaja saya simpan dari koleksi yang dibeli dari seorang perempuan tua yang merupakan satu-satunya orang yang berniaga betul-betul di atas puncak bukit. Saya pun tak pasti, baki tasbih yang masih ada (buahnya sudah terlucut) itu apakah dari Masjid Quba atau Jabal Uhud... atau kedua-duanya sekali.
Hmm... di sini elok juga disebut, topi keledar yang kelihatan adalah pakaian saya dahulu mengembara menaiki motosikal seluruh Semenanjung seorang diri. Kain kuning itu pula adalah sebahagian dari kain sepanjang 6 atau 8 meter, saya sudah lupa... mungkin 9 meter yang dibeli tahun 2002 atas nasihat seseorang untuk dijadikan cadar katil kerana menurutnya dengan itu dapatlah saya mencari salasilah keluarga dan memahami apa-apa yang musykil.
Saya masih ingat kali pertama tidur di atas katil kuning (sebenarnya cuma tilam disalut kain kuning yang katanya warna kuning diraja Perak, kuning Selangor lain...) . Pada malam itu terbau bermacam-macam bau wangi lalu seluruh badan saya terasa diurut-urut. Keesokannya timbul semacam seri yang luar biasa dari seluruh tubuh saya. Tetapi seketika itu juga terdetik di hati mengatakan, ini bukan jalan yang sepatutnya saya ambil jika mahu betul-betul mengikut tauladan perjalanan Tasawuf para leluhur.
Alang-alang sudah menyebut tentang kayu roller cable, sukacita diyatakan saya dapat mengambil 3 biji dan satu dapat diletakkan di luar rumah untuk melengkapi koleksi kayu (dan batu) entah apa-apa entah yang turut diambil dari Janda Baik dan Tanjung Sepat. Sila lihat artikel Mencari kayu di sekitar Tanjung Sepat... yang ditulis Khamis lalu. Dengan ini tamatlah luahan cerita tentang perkara barangan lama. Sekian! :]
p/s: Sebenarnya saya semakin terasa malas hendak menulis tentang apa yang berlaku di Perak kerana terasa jijik dengan perkembangan seterusnya yang berlaku. Tetapi oleh kerana saya sudah berjanji akan menulis tentangnya, insyaallah tetap akan saya buat nanti dalam waktu terdekat walaupun ringkas. Selamat...
6 ulasan:
aku ada stu topi yg kau bagi, red bull petronas. ada lagi kot. hehehe time lepak kat janda baik dulu..
Hehe, aku pun dah lupa bila plak aku bagi engkau. Pakai le terus. Aku pun masih ada songkok Aceh yang kau beli kat sana pas tu bagi aku...
Salam abang MS...Alya ni...
Baik-baik ye dengan kenangan lama...abang yang bagi nasihat kat Alya..Alya bagi balik ya.. he he he
Dan lagi kan... barang-barang yang diambil tu kan... tenaga kat mana abang abang then bawak balik rumah tu kan..ermm... rasa susah jugak nak cakap ni...cuma cam nilah.. kalau macam kita nak masuk rumah, kita beri salam selain untuk mengucapkan sejahtera, pernah tak kita dengar supaya tenaga lain tak ikut sama masuk ke dalam rumah kita....susah lah nak cerita...tapi harapannya abang faham kot apa Alya nak cakapkan...
Orkid tu kan walau mak Alya sendiri pun ada banyak tanam.. cuma Alya pernah baca mengenai sifatnya yang akarnya di luar (sedangkan sifat pokok akar di dalam tanah)... nak pendek kan ... kalau kita marah urat kita nampak semacam tegang kan kat leher... Ya Allah susahnya nak susun ayat ni...
Allah jugalah Maha Mengetahui...
sorry ye bang... ;)
Wassalam. Tima kasih. Kenangan lama elok dilupakan kalau menambah duka dan mengganggu perjalanan masa hadapan. Sebaliknya ia jadi berguna kalau kita dapat mengendalikan keadaan kerana segala kenangan lama itu juga membentuk diri kita sekarang.
Abang faham maksud Alya. Terima kasih dik, Abang ada cara mengendalikannya sendiri... :]
uhuks..
mekasih MS.. aku pun ada affected dgn kenangan lama gak ni.. mekasih nasihat tuh..
apa la ko simpan sampah kat rumah tu....kasi semak ajer.
memang minat ko nie lain macam.
:-?
Catat Ulasan