Seumur hidup isteri tidak pernah pergi ke Bukit Fraser. Saya pula kali terakhir naik ke sana sekitar pertengahan 2007. Maka untuk hujung minggu lalu saya merancang untuk membawa isteri bermalam di sana. Sebaliknya saya mendapat panggilan dari kawan saya Shamsul Yunos untuk menghabiskan sedikit perjalanan untuk projek buku masjid.
Seperti disebut dalam artikel Satu Jumaat dan projek buku masjid yang dibuat 2 minggu lepas, fasa perjalanan projek ini boleh dikira tamat dengan selesainya perjalanan ke utara yang dibuat Disember 2008, diikuti proses penulisan semua yang telah disiapkan dalam seminggu dua kebelakangan. Ini kerana yang tinggal adalah masjid-masjid di sekitar Lembah Kelang yang sudah pun saya tahu keadaannya sedangkan Shamsul sebagai jurukamera boleh pergi ke sana bila-bila masa sahaja tanpa kehadiran saya. Cuma ada seperti masjid Sungai Cincin di Gombak yang dia tak tahu kedudukannya. Dan ada masjid di Ulu Dong, Raub dan Kuala Lipis yang perlu ditunjukkan kembali kerana dahulu ketika menamatkan perjalanan ke Pantai Timur, kami sampai waktu malam, tak sempat mengambil gambar-gambar yang elok.
Jadi bagaimana ini? Isteri telah berharap mahu bermalam di Bukit Fraser. Saya pun ingin membawanya ke sana tetapi apa guna berehat jika masih ada kerja yang tertunda? Saya pun memilih untuk menyelesaikan kerja walaupun kalau ikutkan tak perlu lagi ke tempat-tempat ini kerana bahagian saya telah selesai. Lagipun saya memang mahu Shamsul menikmati satu masakan kegemaran saya iaitu gulai asam rong di Raub.
Sampai hari Sabtu di mana kami sepatutnya bergegas ke Raub seterusnya Kuala Lipis, Shamsul pula ada hal. Sepatutnya kami berjumpa di Masjid Wilayah tetapi setelah menunggu 2 jam di rumah baru mendapat khabar. Nasib baik dia memberitahu ketika saya baru keluar dari Bandar Tasik Puteri. Saya pun membuat keputusan untuk naik ke Bukit Fraser melalui Kuala Kubu Bahru, itu yang lalu di empangan Hulu Selangor. Lihat artikel A look at the Sungai Selangor dam and catchment yang dibuat di blogspot BERPETUALANG KE ACEH semalam.
Shamsul meminta maaf atas pertukaran rancangan yang tidak diberitahu lebih awal. Katanya, kalau saya sanggup, biar ia dialih ke hari Ahad. Hmm... pada saya elok juga. Saya boleh bawa isteri pergi ke Bukit Fraser sebelum bermalam di Janda Baik. Kemudian kami semua boleh berjumpa di Genting Sempah sebelum bergegas ke Raub dan Kuala Lipis.
Sampai di kaki Bukit Fraser pula kelihatan banyak kereta menunggu. Rupa-rupanya kerana mengikut jadual turun-naik akibat jalan naik atas yang sempit. Ah... ingatkan masalah ini dah selesai apabila jalan baru di bahagian lain dibuka setahun dua lalu, jalan baru jadi jalan naik, jalan lama jadi jalan turun. Rupa-rupanya tak juga. Jalan baru selalu dilanda tanah runtuh. Sila lihat artikel At the foot of Fraser's Hill... di BERPETUALANG KE ACEH.
Kami sempat berjalan hampir ke seluruh pelusuk bukit itu yang boleh dilalui dengan kereta. Masuk jam 6 baru turun melalui jalan menghala ke Raub. Ternyata ada bahagian jalan yang rosak teruk. Sila lihat Down from Fraser's Hill towards Raub...
Kami sampai ke Janda Baik malam hari. Setelah bermalam di surau, kami pergi ke satu bahagian sungai yang agak tersorok... sambil mandi dapat mencari sedikit batu-batu yang boleh dijadikan hiasan.
Kemudian timbul gerak untuk melihat satu bahagian sungai lain yang juga sedikit terpencil, satu bahagian yang sudah lebih setahun malah mungkin hampir 4 tahun saya tak masuk. Ternyata ia tidak begitu terpencil lagi kerana di satu sisi sudah dibuat sebuah rumah baru dengan jambatan kecil batu menyeberangi.
Kelihatan dalam gambar adalah pokok kelapa gading di bahagian itu yang ada cerita tersendiri... salah satunya kisah melibatkan seorang gadis dipanggil An-Nur yang dikenali sekitar Februari atau Mac 2005... baru kenal dalam tempoh seminggu tetapi hampir-hampir menjadi isteri saya dengan persetujuan malah galakan ibu-bapanya sendiri!
Ceritanya panjang... dari satu perkenalan biasa bercerita sedikit tentang puisi sampai An-Nur yang agak ranggi orangnya tiba-tiba muncul memakai tudung membawa bertemu keluarga. Ternyata dia rupa-rupanya saudara dekat dengan Nur yang sudah saya kenali lebih lama. Cerita jadi lebih kalut apabila An-Nur mengalami gangguan jiwa yang mungkin melibatkan mahkluk halus lalu saya harus meminta pertolongan Nur agar mengamankan sedikit keadaan. An-Nur ada masalah keluarga... hampir-hampir sahaja ibunya sendiri menghantarnya ke rumah sakit jiwa jika tidak kerana pujukan Nur.
Ah... memang rumit ceritanya. Pokok kelapa gading di atas pernah saya jolok untuk mengambil 2 biji buah untuk dijadikan bahan mandian buat mengubat An-Nur, atas nasihat seorang kawan dan dengan pertolongan Nur juga. Tetapi tak sampai sebulan kemudian, hubungan kami putus, tak tahu entah kenapa. Yang saya tahu, An-Nur dan keluarganya telah menuduh saya membuat ilmu guna-guna terhadapnya. Masyaallah!
Di kawasan sekitar pokok kelapa gading ini juga pernah terdapat sebuah air terjun kecil yang menjadi satu tempat mandi kegemaran saya dan kawan yang pernah tolong mengubat An-Nur. Cukuplah kalau saya kata, kalau disebut nama kawan itu, mungkin ramai pengamal ilmu kebatinan kenal lebih-lebih lagi kalau dikaitkan dengan golongan yang dipanggil highlander.
Kini air terjun kecil sudah tiada. Tak pasti, apakah kerana batu-batu besar yang membentuknya telah dipecahkan atau terurai sendiri menjadi jeram yang kelihatan di atas. Apapun, setelah singgah di sini dan timbul nostalgia cerita lama yang saya sampaikan kepada isteri, kami pun bergegas keluar ke Genting Sempah.
Dipendekkan cerita, Shamsul muncul dengan sebuah kereta Proton Pesona yang sedang dipandu-ujinya. Dengan kereta itu, kami bertiga pun pergi ke Raub, sempat makan gulai asam rong di Simpang Kallang sebelum ke Hulu Dong untuk mengambil gambar sebuah masjid yang unik. Kemudian kami ke Kuala Lipis untuk melihat masjid lama di atas ini, masjid yang dibina tahun 1888 dan pernah menjadi masjid negeri dahulu. Sila lihat artikel di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART) .
Dari Kuala Lipis, kami kembali ke Genting Sempah. Saya dan isteri menaiki kereta sendiri diikuti Shamsul sehingga ke masjid lama di Kampung Sungai Cincin, Gombak. Kemudian baru kami berpecah. Tamatlah cerita perjalanan hujung minggu lalu yang diharapkan jadi perjalanan jauh terakhir saya (dan isteri juga) buat masa ini. Sekian! :]
5 ulasan:
as'kum bro MS,
biler nak sambung pasai kekalutan politik di Perak..
golongan highlander?cam dalam citer omputeh tu ker?
banyakkan le gambo2 kuala lipis..ha3
highlander dalam forum cari tu ke bang?
Hehe. Highlander ni ikut ceritanya satu golongan manusia yang mati hidup balik mati hidup balik gitu. Sebelum kecoh kat forum Cari, kat CVT dah sebut bab ni dulu. Samada betul atau tidak mereka tu mati hidup balik, Allah sahaja lebih mengetahui. Yang pasti, memang ada golongan yang sekurang-kurangnya mengaku mereka tu mati hidup balik mati dan hidup balik dan pengikut mereka ramai beribu-ribu kalaupun tak berjuta (menurut pengakuan seorang ketua mereka yang telah meninggal dunia le)... :]
Mati sekali je, kalau hidup balikpun sekejap je mcm mukjizat nabi Musa itu.
Orang bertaraf wali dan ke atas mereka hidup di dalam alam roh tetapi bukan hidup di alam nyata dunia.
Kalau ada yang fikir, manusia boleh mati dan hidup balik menjadi manusia, itu sudah ambil kepercayaan hindu.
wallahualam.
Catat Ulasan