Manakan dapat sagu kalau tidak dipecahkan ruyungnya?
Manakan dapat mutiara yang berkerlipan jika takut menyelam ke lautan dalam.
Dalam diri setiap manusia, ada seketul daging.
Jika baik ia, maka baiklah seluruh jiwa manusia itu.
Jika buruk ia, buruklah juga manusia itu...
Seketul daging itu adalah hati,
mari kita lapangkan dada dan belajar mengIKHLASkan hati.
Perjalanan seribu batu bermula dengan satu langkah.
Marilah meneroka dunia pemikiran hamba.
Silakan

Video klip yang tertera boleh dianggap sebagai pembukaan kepada dunia pemikiran dan kesukaan hamba...







-------------------------


-------------------------



Segala yang dipaparkan menggambarkan pemikiran penulis yang turut terserap di dalam setiap penulisan buku dan artikel. Lihat Cara-cara mendapatkan buku tulisan Merah Silu @ Radzi Sapiee. Di atas adalah satu klip video selama hampir setengah jam yang merupakan demo pilot episode yang mahu digunakan untuk mencadangkan satu siri pengembaraan menyusuri sejarah Melayu Islam sekeliling Nusantara untuk siaran televisyen. Entah mengapa ia menemui masalah. Kemudian penulis diberitahu konsepnya diciplak sebuah stesyen televisyen. Lihat Kembara Sejarah Islam Nusantara : The original material...



Ini adalah klip video ulasan buku ketujuh saya "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" berserta temuramah yang dibuat siaran langsung di Selamat Pagi Malaysia, RTM1. Lihat Siaran langsung ulasan buku "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" dan temu ramah di Selamat Pagi Malaysia.



Penulis juga pernah diminta membuat pembentangan mengenai siri buku "Berpetualang ke Aceh" di Masjid Sultan Salahuddin iaitu masjid negeri Selangor di Shah Alam. Lihat Buku "Berpetualang" dan himpunan ulamak Nusantara yang diketuai ulamak Aceh


-------------------------



Siri novel "Berpetualang ke Aceh" boleh didapati dalam bentuk e-book. Masuk http://www.e-sentral.com/, klik kategori novel am dan taip perkataan "Aceh" pada kotak carian. Atau terus klik Buku 1,Buku 2 dan Buku 3.





Gambar ketika menghadiri satu majlis ilmu, diambil oleh sebuah akhbar harian. Lihat Menghiasi Kosmo Alam Melayu...



Penerbitan trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" juga membawa penulis untuk terlibat dengan banyak majlis ilmu. Rujuk kumpulan links artikel di bawah tajuk "Siri Refleksi Sejarah", pada bahagian paling bawah kiri blogspot, . Penulis juga agak aktif dalam aktiviti-aktiviti kedaulatan Melayu dan Islam, dapat menganjurkan majlis-majlis sendiri di merata Semenanjung Malaysia membawa ke luar negara di Aceh. Lihat blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


Ketika menulis perenggan ini 4 Mei 2015 penulis sedang berusaha untuk mengembangkan isi 3 buku dalam siri "Berpetualang ke Aceh" menjadi 6 buku yang akan membentuk siri baru dipanggil "Siri Pengembaraan Merah Silu". Sebuah syarikat penerbitan telah bersetuju untuk menerbitkan siri lama itu kembali dalam bentuk yang lebih segar - Setiap buku asal dipecah menjadi 2 buku baru yang ditambah maklumat, gambar dan peta berwarna-warni.Pertengahan September 2015 buku pertama siri baru pun selamat diterbitkan. Seminggu lebih kemudian penulis berpeluang bercakap tentangnya secara siaran langsung dalam televisyen lalu membawa wakil penerbit bersama. Lihat video di bawah :-





Awal tahun 2015 turut menyaksikan penulis diambil menjadi penyelidik dan hos satu siri dokumentari yang dipanggil "Daulah Melayu". Projek 13 episod sepanjang sejam setiap satu ini mahu mengenengahkan formula untuk mengembalikan kekuatan bangsa Melayu. Insyaallah projek iakan membawa penulis untuk mengembara ke merata di Malaysia dan Indonesia juga ke beberapa negara dan tempat di Eropah termasuk ke kota London, tempat penulis mengambil ijazah matematik 1991-1995. Siri dokumentari ini dijangka siap untuk tayangan televisyen dalam tempoh 2 tahun.


Pada 13 Mei 2023 buku ke 13 + 1 penulis (pertama setelah yang ke-13 terbit tahun 2019 lalu mula memberikan tumpuan pada pengajian pascasiswazah di ISTAC iaitu Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam di Bukit Tunku, Kuala Lumpur), Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin & Orang Kaya Arsyad telah dilancarkan oleh sejarawan ulung negara, Profesor Emeritus Datuk Dr Abdullah Zakaria Ghazali di rumah penulis. Lihat Majlis pelancaran buku dan rumah terbuka raya 2023 - Melestarikan semangat perjuangan. Beliau yang bertanggungjawab memberikan kata-kata aluan dalam buku turut menjadi pembicara dalam diskusi yang diadakan di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2023 (berlangsung 26 Mei hingga 4 Jun). Lihat Bicara buku Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin di PBAKL 2023. Diskusi ini terakam dalam video atas diikuti video bawah...



Jumaat, April 13, 2012

Forum Identiti Melayu di Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya

Meneruskan gerak penceritaan mengikut kronologi atau turutan masa dan peristiwa. Bersambung dari artikel Luahan rasa malam Jumaat dan makam lama di Pasir Penambang.


Pagi Selasa 10 April saya berkejar ke Universiti Malaya atau UM.


Terus mencari bangunan Akademi Pengajian Melayu yang saya tak pernah sampai sebelum ini.


Ada acara menarik yang dipanggil Forum Identiti Melayu.



Saya pernah menghadiri beberapa acara perkongsian sejarah di fakulti lain UM, baru kali ini terpanggil untuk ke forum tentang identiti Melayu. Saya merasa teruja apabila diberitahu empat orang profesor ternama di persada tanah air akan membentang kertas pada acara ini.


Ketika saya sampai pengenalan acara dan latar belakang para pembentang sedang dibuat.


Setelah beberapa lama barulah forum bermula...



Sesi pembentangan dibuka oleh Profesor Dato' Dr Nik Hassan Suhaimi dari Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA) di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), seorang perintis tempatan, orang lama dalam bidang arkeologi iaitu kajian melibatkan barang-barang atau tinggalan purba. Mengambil pendekatan antropologi iaitu kajian saintifik asal usul manusia beliau menyebut tentang manusia awal yang dikatakan muncul di Alam Melayu sekitar 40,000 tahun lalu. Kajian dikaitkan dengan terma-terma saintifik seperti zaman Pleistosen mengingatkan bagaimana ketika berumur 7 hingga 12 tahun saya sangat meminati hal-hal berkaitan haiwan-haiwan gergasi purba seperti reptilia yang dipanggil dinosaur. Saya sanggup mencari berpuluh-puluh buku tebal di rumah saudara mara dan kawan-kawan untuk memahaminya, buat rujukan silang sehingga membuka 10 jilid ensaiklopedia sekali gus akibat minat yang mendalam.



Ketika itu, 30 tahun lalu saya hafal nama-nama dan rupa berpuluh jenis dinosaur yang disebut saintis sehingga boleh melukis setiap daripadanya berdasarkan ingatan sahaja. Paling saya minat namanya Brontosaurus, seekor binatang setinggi bangunan 4-5 tingkat berkaki empat berleher dan berekor panjang dari satu kelas dinosaur yang dipanggil sauropod. Saya ingat nama-nama dan klasifikasi zaman purba berjuta hingga beratus tahun yang tertera dalam ilmu khusus yang dipanggil paleontologi, antaranya zaman Jurassic (kalau tak salah ingatan dikatakan 60-70 juta tahun lalu) dan Triassic (sebelum Jurassic rasanya) juga Mesozoic (dah lupa bilakah tempoh masanya). Saya juga ingat nama-nama saintifik merujuk kepada jenis-jenis manusia awal atau makhluk seperti manusia, nama-nama seperti Australopitecus (mungkin silap ejaan kerana saya menulis terus tanpa rujukan), Neanderthal Man, Homo Erectus, Homo Sapiens lalu tiada masalah untuk mengekori apa yang dibincangkan Nik Hassan.

Oh... kena bersiap untuk solat Jumaat. Petang sikit nanti sambung ya... :] ------------- OK. Dah solat dan dah makan baru sambung cerita...

Nik Hassan berkata perjuangan mencari Melayu baginya bermula tahun 70an. Padanya takrifan apa itu Melayu bersifat etno-linguistik iaitu gabungan bangsa dalam ruang lingkup darah keturunan sama bercampur takrifan yang melibatkan penggunaan bahasa. Dalam konteks ini Melayu adalah pengguna kelompok bahasa-bahasa Austranesia yang termasuk kaum-kaum asli yang dipanggil proto-Melayu, bertebaran dari Madagaskar di pantai timur selatan Afrika menyeberangi Lautan Hindi hingga ke Asia Tenggara terus ke Taiwan dan pulau-pulau di Lautan Pasifik. Beliau menyebut klasifikasi yang sudah sedia terpakai sekian lama, klasifikasi yang membahagikan manusia secara umumnya kepada 4 ras besar bangsa :- Caucasoid (meliputi bangsa berkulit putih Barat), Negroid (bangsa berkulit hitam Afrika), Mongoloid (meliputi bangsa berkulit sawo matang seperti orang Melayu secara umumnya juga bangsa berkulit cerah tetapi berlainan ciri dengan Barat seperti orang Cina dan Jepun) serta bangsa Austroloid (termasuk orang Aborigine atau asli Australia).

Secara rata profesor ini nampaknya menyokong teori umum dari Barat yang sudah dipakai sekurang-kurangnya beberapa dekad, teori yang setahu saya berpasak daripada teori perubahan haiwan dari satu bentuk ke satu bentuk yang dipelopori Charles Darwin. Namun dia menegaskan ada bahagian teori umum yang tidak diterimanya, misalnya tentang bangsa awal Melayu kononnya berhijrah daripada Yunnan di selatan Cina ke Asia Tenggara. Nik Hassan menambah, sebagai orang Islam dia juga percaya semua manusia berasal daripada Adam dan Hawa, satu prinsip teras yang berlawanan dengan teori umum yang dipegang kuat oleh saintis ateis iaitu tidak beragama. Tetapi latar belakang pelajarannya nampaknya menyebabkan dia tetap harus cuba merungkai segalanya daripada segi ilmu Barat. Kalau begitu kenyataannya bahawa manusia di Alam Melayu sudah wujud seawal 40,000 tahun kelihatan bercanggah dengan kira-kira berdasarkan ilmu kitab bahawa Nabi Adam diturunkan ke muka bumi 6,000 tahun lalu. Atau paling awal pun 8,000 tahun lalu...

Nik Hassan menyarankan agar kajian lanjutan asal-usul Melayu dibuat dengan mengambil kira 4 faktor utama - perubahan paras laut, etno-linguistik, DNA dan budaya material. Setelah bercakap panjang lebar beliau menyimpulkan orang Melayu sebagai penduduk Alam Melayu yang disebut meliputi kawasan dari Madagaskar ke Lautan Pasifik itu TANPA MENGIRA AGAMA. Lalu menyatakan definisi Melayu menurut perlembagaan Malaysia yang menyebut orang Melayu sebagai pengguna lazim bahasa Melayu, BERAGAMA ISLAM dan mengamalkan adat istiadat Melayu sebagai sempit...





Pembentang kedua Profesor Dr Mohd Hazim Shah daripada UM pula cuba mengenali identiti Melayu dengan mengenengahkan apa yang dilihatnya sebagai konstruksi atau binaan-binaan konsep yang berlaku akibat beberapa perkara yang mewarnai zaman. Hazim mengklasifikasikan ini kepada 4 peringkat konstruksi. Satu, identiti Melayu melalui penggunaan bahasa Melayu, wujud dalam ruang lingkup kerajaan-kerajaan Melayu dan maklumat yang diperolehi daripada sumber sastera Melayu. Tentunya dalam hal ini seorang Melayu adalah pengguna lazim bahasa Melayu. Dari segi kerajaan dan sastera, kitab-kitab lama ada menyebut tentang kerajaan-kerajaan yang digolongkan sebagai kerajaan Melayu sementara sumber-sumber dari luar seperti catatan para pedagang ada menyebut tentang orang Melayu, malah tercatat memang pernah wujud kerajaan yang namanya Melayu atau Malayu, juga disebut Molayu di Sumatera.

Klasifikasi atau konstruksi kedua pula katanya adalah identiti Melayu yang ditentukan oleh pihak kolonial atau penjajah. Antaranya adalah apa yang dimaksudkan sebagai orang Melayu oleh sarjana (merangkap pentadbir yang menjalankan kerja penjajahan sebenarnya) seperti Stamford Raffles dan Richard Winstedt. Kata Hazim ada sebahagian daripada mereka merasa simpati terhadap tamadun Melayu lalu melihat bangsa dan ketamadunan kita dari sudut yang boleh disebut sebagai romantik, satu warisan yang harus dibela. Namun ada yang melihat dari sudut misi ketamadunan atau civilising mission (konon). Menganggap diri sebagai bangsa lebih bertamadun atau superior, mereka menonjolkan orang Melayu sebagai peribadi lebih rendah, harus diajar apakah itu peradaban menurut kaca mata Barat.

Konstruksi ketiga adalah perspektif tempatan yang nampaknya dibuat pada era selepas penjajah datang. Contohnya Melayu yang disebut ciri-cirinya dalam karya Munsyi Abdullah abad ke 19 Masihi. Ini diikuti karya pemikir lebih moden seperti Rahim Kajai dan Zainal Abidin Ahmad (Za'aba) yang berusaha untuk menimbulkan apa yang dipanggil sebagai 'kesedaran Melayu'. Kemudian ada pula karya golongan agama dalam melihat apakah itu orang Melayu....

Konstruksi keempat adalah penginstitusan identiti Melayu melalui arena politik, ekonomi dan pendidikan. Di sini apa itu Melayu diberi takrifan bertulis misalnya ketika menggubal Malay Reservation Enacment 1913 atau undang-undang tanah simpanan Melayu yang dibuat untuk mengekalkan pemilikan tanah di kalangan orang Melayu. Identiti bangsa Melayu juga dinyatakan apabila pihak pentadbiran British mahu membuat bancian penduduk. Sistem pendidikan memberi definisi melalui kewujudan sekolah kebangsaan Melayu dan semua ini kemudian membentuk isi perlembagaan tentang apa itu Melayu.



Ah. Saya dah bercakap panjang lebar pula. Jadi penat hendak bercerita lagi. Biar saya mula bercerita lebih ringkas ya. Maka sesi pembentangan awal pun tamat tengah hari, masuk sesi soal jawab, juga perkongsian ilmu dan pendapat.



Sebelum orang dalam gambar ini (rasanya seorang profesor juga) membuka kata saya telah terlebih dahulu melontarkan soalan dengan bertanya kepada Nik Hassan beberapa perkara... utamanya bagaimana dia mahu menyelarikan atau reconcile kepercayaan tentang manusia sudah wujud di Alam Melayu seawal 40,000 tahun sedangkan dia juga percaya manusia bermula daripada Adam di mana pengkaji keagamaan pula menyebut Nabi Allah ini turun ke bumi pun paling awal 8,000 tahun lalu menurut kiraan dalam kitab. Apabila jawaban beliau terasa kurang meyakinkan baru saya berkongsi perspektif sendiri yang dapat dikorek daripada kitab-kitab Tasawuf dan pernyataan orang-orang tua tertentu yang pernah ditemui dalam pengembaraan...

Dua point (maaf, saya tidak dapat mencari perkataan bahasa Melayu yang sesuai secara spontan) utama saya ketengahkan. Satu, perbezaan kira-kira mungkin berlaku kerana hari semakin pendek semakin kita menghampiri akhir zaman. Masa dahulu jauh lebih panjang. Misalnya dalam kitab tercatat Nabi Nuh hidup selama 1,000 tahun. Tetapi 1,000 tahun semasa zamannya mungkin sama panjang dengan 30,000 tahun menurut ukuran sekarang. Kedua adalah tentang kewujudan 124,000 Adam seperti disebut ahli Tasawuf terkenal dahulukala, Ibnu Arabi. Telah ada generasi awal manusia diturunkan Allah ke muka bumi kemudian musnah digantikan generasi baru dan Adamnya sendiri.

Apabila sampai giliran Adam terakhir, disebut sebagai Adam Safiullah dalam sesetengah kitab 'menaiki' pentas lakonan besar yang dipanggil dunia ini (ingat kata-kata Shakespear, the world is just a stage and we are all actors) barulah manusia diangkat sebagai khalifah. Sebelum itu kedudukan jin lebih dominan sehingga Iblis yang asalnya berbangsa jin boleh diangkat menjadi ketua malaikat bernama Azazil. Cerita ini ada tersirat dalam Surah Al-Baqarah, apabila para malaikat mempersoalkan kenapa manusia yang kata mereka adalah makhluk yang merosakkan mahu diangkat sebagai khalifah? Bagaimana malaikat boleh tahu manusia itu suka merosakkan jika Adam yang dikatakan manusia pertama itupun belum diturunkan lagi ke muka bumi?



Ah. Penerangan saya tadi dah jadi panjang lebar lagi. Ishh. Dipendekkan cerita kami makan tengah hari sebelum sesi petang dibuka oleh pembentang ketiga, Profesor Dato' Dr Yaacob Harun, juga dari UM. Yaacob mengatur isinya secara teoritis dengan mengambil pendekatan dekonstruksi (memecahkan binaan konsep awal) dan rekonstruksi (mendirikan balik konsep ke arah yang lebih baik). Seperti Hazim, beliau juga membahagikan identiti Melayu kepada empat peringkat. Satu dipanggil primordial phenomenon (pembentukan konsep melalui ciri-ciri awal), misalnya orang Minangkabau itu adalah dari keturunan tertentu, kedua epiphenomenon (fenomena yang tercetus dari hal lain, misalnya proses divide and rule atau pecah dan perintah). Contoh natijah proses ini adalah apabila Barat menggunakan kuasa memperkecilkan peranan orang Melayu menjadi golongan yang rata-ratanya petani sahaja. Sedangkan kita asalnya para pengembara laut yang sangat berani lagi pandai berdagang.

Seterusnya adalah situational phenomenon di mana berlaku situasi tertentu yang mendorong terjadinya sesuatu. Kata Yaacob, berdasarkan teori rational choice (membuat pilihan atas dorongan rasional kira-kira akal) identiti Melayu boleh juga terbentuk melalui ini. Misalnya apabila ada orang India Muslim berusaha mendaftarkan diri sebagai orang Melayu agar mendapat kelebihan tertentu yang cuma diberikan kepada orang Melayu. Klasifikasi keempat dalam pendekatan identiti Melayu melalui proses dekonstruksi dan rekonstruksi Yaacob adalah subjective phenomenon, etnisiti atau kebangsaan, kesukukauman sebagai realiti sosio-saikologi. Ini lebih merupakan persepsi satu golongan terhadap golongan yang lain. Misalnya apabila satu kelompok berbangsa Cina melihat satu kelompok bangsa Melayu, tentunya sudah ada dalam fikiran mereka apakah yang membezakan dua kelompok itu.



Akhir sekali adalah pembentangan Profesor Dr Zakaria Mohd Ali daripada Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI). Bidang beliau lebih pada seni dan sejarah seni lalu cendekiawan yang sangat dihormati dalam dunianya itu menggunakan sejumlah paparan gambar dan lukisan termasuk dari artis (seniman pelukis, bukan artis macam dalam program Melodi TV3 ya... :]) sebagai rujukan demi mendapatkan perspektif untuk menilai apakah identiti Melayu. Jika Nik Hassan mengatakan definisi Melayu dalam perlembagaan negara Malaysia adalah sempit, Zakaria menyatakan sebaliknya apabila menyebut ia cukup inklusif atau mengandungi segala yang perlu.

Pada saya sebagai pemerhati yang sesekali sahaja berkongsi pendapat di medan awam, pada saya yang tidak beberapa terpelajar seperti profesor-profesor ini, forum ini sedikit mengecewakan. Saya datang dengan harapan dapat menimba satu definisi atau identiti tuntas yang boleh diwar-warkan kepada semua pihak tentang apa itu Melayu, terutama dalam keadaan realiti akhir zaman di mana kaum kita diasak terus dari segenap arah. Tetapi saya melihat cendekiawan berbangsa Melayu pun masih tidak sepakat apakah itu Melayu dan masih tercari-cari jawaban yang lebih besar. Maka cukuplah perkongsian saya dalam artikel ini ya... :]

Luahan rasa malam Jumaat dan makam lama di Pasir Penambang

Allah! Saya begitu penat tetapi hingga kini, dah lepas jam 3 pagi masih tak dapat tidur lagi. Walhal kami anak beranak baru kembali dari satu perjalanan kecil tetapi memakan jarak 400-500 km gitu (terlupa hendak perhatikan meter betul-betul), baru sampai rumah sekitar jam 9 malam tadi. Perjalanan asalnya dibuat tengah hari Rabu setakat untuk menghadiri kenduri doa selamat di rumah adik saya di Melaka. Tengok-tengok boleh pula terjumpa makam tua dengan megalith atau batu hidup di Taboh Naning. Petang selepas kenduri pula pusing-pusing bandar raya Melaka, terasa harus menziarahi makam Sheikh Shamsuddin Sumatrani di Kampung Ketek sebelum bergerak ke Alor Gajah untuk bermalam di rumah anak saudara isteri.

Pagi Khamis pula ingatkan sekadar hendak singgah di Seremban sebelum balik terus ke rumah. Tanpa dirancang, timbul rasa untuk menziarahi makam Dol Said di Taboh Naning lalu terjumpa sekumpulan makam berdekatan berbatu nesan Aceh yang tidak pernah saya sedari kewujudannya sebelum ini. Gerak perjalanan seterusnya membawa kami ke Kota sebelum masuk ke Astana Raja, lalu ke makam Raja Melewar diikuti replika istananya. Terjadi pula pertemuan yang membuat kami anak beranak berjalan ke Sungai Timun sebelum masuk ke pekan Linggi lalu melawat makam lama yang banyak batu hidupnya di Pengkalan Kempas. Kemudian baru ke Seremban melalui Rantau untuk ke muzium negeri. Sempat singgah di satu lagi makam yang baru saya tahu kewujudannya... ada pula kaitan dengan sejarah lama Sungai Ujong katanya...

Apa yang berlaku Rabu dan Khamis boleh dijadikan satu atau dua artikel baru di blogspot ini. Namun saya ada 'selonggok' lagi gambar yang harus ditambah penerangan untuk turut menjadi cerita, iaitu tentang perjalanan 10 hari 9 malam yang baru selesai cuma seminggu lalu. Rujuk artikel Pengembaraan Johan ke separuh Semenanjung - si cilik membuka langkahnya... yang dibuat 4 April. Sambil itu ada cerita lain yang harus dikongsi tentang Forum Identiti Melayu yang dihadiri di Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya 10 April. Kepenatan perjalanan 10 hari 9 malam yang meliputi tempat-tempat di negeri Pahang, Terengganu, Kelantan, Perak dan Selangor pun belum habis lagi sedangkan saya ada kerja penulisan yang harus disiapkan sebelum Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2012 bermula 27 April. Tetapi ia dah lebih 2 minggu tersangkut...

Untuk pagi jam 11 Ahad 15 April iaitu hujung minggu ini saya diminta agar membentangkan isi untuk diskusi buku, tentang siri trilogi novel saya "Berpetualang ke Aceh", selama setengah jam di satu acara besar di masjid negeri, Shah Alam. Lihat blogspot sini (klik situ le... :]). Tiga hari selepas itu saya harus menghadiri kursus di Tanjung Tuan selama 3 hari, kemungkinan besar selepas itu perlu berkejar kembali ke rumah terlebih dahulu mengambil anak dan isteri sebelum pergi ke Jelai berdekatan Gemas untuk menghadiri satu acara. Sebelum tamat bulan, kami anak beranak harus bersiap untuk satu perjalanan jauh dan mencabar, mungkin lebih mencabar daripada perjalanan "Jejak 'Berpetualang ke Aceh'" yang dibuat 2-13 November (lihat Koleksi "Jejak 'Berpetualang ke Aceh'"). Apabila mengatur kembali artikel-artikel berkaitan dari blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART) untuk dimasukkan ke bawah kumpulan tempat-tempat yang dilawati di Aceh, baru saya tersedar tidak pernah membuat apa-apa artikel tentang makam Sultan Iskandar Thani (memerintah 1636-1641 Masihi), menantu dan pengganti Sultan Iskandar Muda.

Semak punya semak rupa-rupanya saya tidak memiliki pun gambar makam kecuali satu yang dilihat dari atas sebuah bangunan permainan lama yang dipanggil Gunongan. Lihat artikel Gunongan.... Baru teringat saya ada merakamkan video dalam kawasan makam untuk dijadikan bahan pilot episode atau episod pengenalan sebuah cadangan dokumentari 13 episod TV yang konsepnya kemudian diambil sebuah stesyen televisyen tanpa pengetahuan saya (bukan stesyen kereta api atau Victoria Station ya... :]). Saya cuma tahu apabila orang yang mengenali hasil kerja saya memberitahu. Tetapi isi rakamannya dan sejumlah rakaman lain 'hangus' apabila berlaku masalah perakam video. Lihat Kembara Sejarah Islam Nusantara : The original material....

Allah! Terasa agak kelam kabut apabila begitu banyak perkara perlu dibuat dalam masa terhad sedangkan bila masuk bab menulis ni bukan semua boleh dibuat begitu sahaja. Hampir setiap masa setiap penulisan, sekurang-kurangnya bagi saya le cuma dapat dibuat apabila timbul rasa atau mood yang sesuai atau setimpal. Maka itu bila rasa kepala tersangkut tadi, seperti biasa salah satu cara terbaik bagi saya adalah meluahkan rasa, atau/dan membuat artikel-artikel kecil aktiviti berdasarkan urutan kronologi atau aturan masa. Kerana artikel agak besar seperti aktiviti hari pertama perjalanan 10 hari 9 malam yang tamat minggu lepas misalnya memerlukan saya membuat sejumlah artikel sokongan di blogspot BERPETUALANG KE ACEH dan SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART). Baru boleh diikuti huraian yang boleh jadi panjang lebar di blogspot ini.

Maka itu saya cuba membuka kekusutan dengan melihat fail gambar bulan ini lalu membuat artikel A cousin's wedding at old town Bangi seterusnya Masjid (Mosque of) Al-Hasanah, Bandar Baru Bangi tadi. Ini diikuti luahan di atas yang memakan beberapa perenggan! Sekarang baru boleh dimulakan satu cerita. Itupun sebagai pembuka agar tengah hari atau petang Jumaat nanti kepala terasa cukup lapang untuk berkongsi tentang apa yang berlaku di UM... sebelum dapat mengatur bagaimana dan bila mahu melepaskan hal tentang aktiviti Rabu dan Khamis, di mana dan bila pula mahu diletak cerita tentang perjalanan 10 hari dan 9 malam serta aktivi baru yang bakal menjelang hujung minggu ini...



Isnin 9 April kami anak beranak pergi ke Pasir Penambang di Kuala Selangor lalu terlihat kawasan tanah di hadapan ini.



Ia adalah sebuah tanah perkuburan lama Melayu Islam yang diapit kawasan perniagaan dan pendudukan orang Cina.


Sudah 2 tahun saya melihat ia diliputi belukar dan semak samun, baru kali ini ia menjadi terang dan bersih kembali. Tanah perkuburan ini mula menjadi hutan apabila sebuah pokok paling besar tumbang akibat ribut, pokok yang mungkin berumur tidak kurang 300 tahun. Lihat artikel lama Pembongkaran yang bakal menggegarkan dua keSultanan?.



Nampak batu-bata pecah ini? Ia sebenarnya adalah kepungan bagi satu atau dua makam. Yang pasti pernah ada dua buah batu nesan Aceh di pangkal pokok tetapi nampaknya ia sudah diambil orang. Anda boleh lihat bagaimana keadaannya dahulu di Pembongkaran yang bakal menggegarkan dua keSultanan?.


Adapun Pasir Penambang ini terletak menyeberang Sungai Selangor berhadapan pekan lama Kuala Selangor di mana terdapat Bukit Melawati yang merupakan pusat pemerintahan awal negeri.



Seperti biasa apabila dah ke Kuala Selangor tu rasa tak sah kalau tak naik Bukit Melawati bermain-main dengan populasi monyet hitamnya.



Oh. Inilah kali pertama saya dan isteri membawa anak baru kami Muhammad Alauddin Johan yang ketika itu berumur sekitar 51 hari. Terlupa pula nak ambil gambarnya di sini. Sekarang baru saya boleh berehat tidur... :]



Isnin, April 09, 2012

Koleksi "Jejak 'Berpetualang ke Aceh'"



Ini pula adalah koleksi links untuk artikel-artikel di bawah siri "Jejak 'Berpetualang ke Aceh'". Siri yang memakan masa lebih 4 bulan untuk dipersembahkan (15 Nov 2011- 25 Mac 2012) ini dibuat berdasarkan perjalanan kami anak beranak 2-13 November 2011 menyusuri balik tempat-tempat yang pernah saya jejaki seorang diri ketika kali pertama berjalan ke Aceh Januari 2004. Pengalaman lama itu telah dijadikan latar belakang cerita trilogi novel saya "Berpetualang ke Aceh" (terbit 2006-2007). Perjalanan penghujung 2011 pula meliputi lebih banyak tempat apabila dari Medan kami ke Berastagi, masuk ke Pulau Samosir di Danau Toba sebelum kembali ke Medan melalui jalan lain.

Selepas itu baru kami menyusur kembali tempat-tempat yang pernah saya lawati 2004. Selain itu kami juga pergi ke tempat-tempat yang tidak sempat saya singgahi dalam perjalanan lama itu. Pengembaraan diteruskan melalui jalan darat sehingga ke Banda Aceh di penghujung barat laut Pulau Sumatera. Kami juga singgah ke beberapa tempat tidak pernah kami jejaki dalam perjalanan-perjalanan ke Aceh pertengahan 2009 juga Januari diikuti Februari 2010.



1. Akan datang - Jejak "Berpetualang ke Aceh"

2. Jejak "Berpetualang ke Aceh" : Dari Medan ke Berastagi



















Ahad, April 08, 2012

Koleksi Kembara Johor-Riau

Pada 14 Mac 2012 satu siri yang diberi tajuk "Kembara Johor-Riau" telah berjaya disiapkan seluruhnya setelah berlangsung hampir 3 bulan. Siri itu dibuat berdasarkan perjalanan ke selatan iaitu ke Johor dan Singapura yang turut membawa saya, isteri dan anak masuk ke Pulau Bentan di Indonesia. Perjalanan yang berlangsung 10-18 November 2011 itu turut membawa kami ke Pahang melalui pantai timur Johor. Inilah koleksi artikel-artikelnya...



1. Diperkenalkan : Kembara Johor-Riau

2. Kembara Johor-Riau : Muar, Singapura, Parit Betak

3. Boat trip to Riau from Johor


5. The Pompong ride from Tanjung Pinang to Pulau Penyengat

6. Kembara Johor-Riau - Dari Tanjung Pinang ke Pulau Penyengat

7. The scenic rivers at Hulu Riau

8. Kembara Johor-Riau - Makam-makam di Hulu Riau dan alamat salasilah ibu

9. Kembara Johor-Riau - 333 tahun Hulu Riau menjadi pusat empayar

10. Johor river from Kota Tinggi jetty

11. Kembara Johor-Riau - Mencari kesinambungan pemerintahan di Kota Tinggi, Johor

12. Johor river from Kota Tinggi town bridge

13. Sedili river just before Tanjung Sedili

14. Sedili river at Tanjung Sedili

Jumaat, April 06, 2012

Siri refleksi sejarah...

Setelah beberapa lama baru saya terfikir untuk mengumpulkan links artikel yang melibatkan forum-forum dan seminar sejarah yang pernah dihadiri, sejak saya mula terbetik untuk terlibat dengan acara sebegitu tahun 2009. Walaupun acara yang dihadiri tidak sebanyak mana ilmu yang dapat ditimba tidak terhingga. Di samping itu biar dikumpulkan links untuk artikel-artikel berkenaan sejarah yang boleh dikira terkait juga...



7. Peta bentuk mukabumi lama yang mengandungi kisah-kisah yang digelapkan




11. Istana lama Terengganu dan batu nesan Aceh di Muzium Negara
13. Mengingati 500 tahun kejatuhan Kota Melaka ke tangan penjajah Barat









Rabu, April 04, 2012

Pengembaraan Johan ke separuh Semenanjung - si cilik membuka langkahnya...

Di jeti ke hutan simpan Belum, Tasik Banding, Perak petang Ahad...



Empat hari lalu saya telah membuat artikel bertajuk Sneak peek pengembaraan sedang berlangsung melibatkan Johan lalu memberitahu saya dan keluarga berjalan jauh lagi dengan anak, kali ini membawa sekali anak terbaru kami Muhammad Alauddin Johan yang lahir 17 Februari 2012. Turut diberitahu bahawa kami singgah di beberapa tempat di Pahang dan Terengganu sebelum masuk ke Kelantan lalu berhenti di Kota Bharu di mana artikel tersebut dipersembahkan. Sekarang biar ditambah... selepas itu kami masuk ke Perak melalui jalan Jeli ke Grik, singgah berehat di Kuala Kangsar sebelum ke Lumut. Malam tadi kami berehat di Kuala Kubu Baru, petang tadi baru kembali ke rumah di Bandar Tasik Puteri, Rawang, Selangor.

Alhamdulillah seperti biasa kami sekeluarga dapat kembali dalam keadaan sihat walafiat berkat perlindungan daripada Allah Subhanahu Wata'ala dan iringan yang dihantarNya. Johan pula dapat mengekori langkah abangnya Muhammad Al-Aminul Rasyid yang pernah keluar mengembara ke hampir seluruh Johor dan Singapura sebaik sahaja tamat tempoh pantang (lihat Koleksi artikel "Pengembaraan Al-Rasyid ke selatan... yang dibuat lebih 2 tahun lalu). Sukacita dimaklumkan perjalanan kali ini mengatasi satu rekod peribadi apabila meter kereta menunjukkan saya telah memandu sejauh 2374.9 km, jauh sedikit sahaja daripada perjalanan ke Pantai Timur setahun lalu yang mukadimahnya diceritakan pada artikel Perjalanan 2367 km dan 4743 gambar. Perjalanan terbaru yang dimulakan Isnin minggu lepas ini memakan masa 10 hari 9 bulan di mana kami berehat 1 malam di negeri Pahang, 2 di Terengganu, 3 di Kelantan, 2 di Perak dan 1 di Selangor. Perhatikan corak 1-2-3-2-1...



Di makam Tok Kenali, Kubang Kerian, Kelantan petang Khamis



Selain mahu membawa anak terbaru berjalan-jalan seperti resmi dan kebiasaan kami anak beranak kami mahu membawanya berjumpa dua orang anak lebih tua yang menetap di Kelantan. Anak tersebut yang menetap bersama seorang bapa saudara mereka akhir sekali kami temui hampir setengah tahun lalu. Selepas mendapat berita telah memiliki adik baru, tentunya mereka ingin melihatnya. Cuma buat masa ini anak-anak tersebut belum ada kesempatan bercuti lama untuk kembali ke Bandar Tasik Puteri, apa lagi anak yang tua sedang membuat persediaan untuk menghadapi peperiksaan UPSR tahun ini. Apa salahnya kami ke sana sementara isteri masih lagi dalam tempoh cuti bersalin 60 hari?

Kami juga mahu mengambil kesempatan untuk melawat beberapa tempat yang tidak sempat disinggahi dalam perjalanan ke Pantai Timur setahun lalu. Antaranya adalah masjid lama di Pulai Chondong, Kelantan dan makam Sultan Yahya Siak di Dungun, Terengganu. Laluan dipilih agar kami juga dapat melawat tempat-tempat yang baru kebelakangan ini timbul rasa untuk dijejaki, misalnya makam diraja lama Pahang di Lubuk Pelang, Jerantut dan Gunung Senyum yang terletak di antara Temerloh dan Jengka. Isteri saya juga tidak pernah sampai ke Gerik dan Tasik Banding di Perak lalu saya memilih untuk mengambil laluan situ apabila meninggalkan Kelantan untuk kembali ke rumah.





Di Bukit Chandan, Perak Ahad malam Isnin. Kelihatan tandu diraja yang digunakan untuk mengusung jenazah masih terletak di hadapan Masjid Ubudiyah, bersebelahan makam diraja Al-Ghufran





Dalam pada itu kami mendapat satu berita sedih apabila Raja Kecil Sulong Perak, Raja Ashman Shah ibni Sultan Azlan Shah, Perak meninggal dunia tengah malam Jumaat. Sebagai pemimpin tariqat Naqsyabandiah Haqqani di Asia Tenggara, kehilangan anak raja yang turut dikenali sebagai Sheikh Raja ini amat memeranjatkan. Di kala guru dan ketua beliau Sheikh Nazim di Cyprus yang berumur sekitar 90an gitu diketahui sedang uzur di Cyprus, benua Eropah, Raja Ashman yang berumur sekitar pertengahan 50an pula boleh kembali ke rahmatullah terlebih dahulu. Mengikut ceritanya beliau mangkat akibat serang penyakit lelah. Kehilangannya sangat dirasai oleh ramai pengikutnya dan oleh mereka yang mengenalinya secara peribadi. Takziah diucapkan kepada semua terutama ahli keluarga.

Terbetik di fikiran apakah ini alamat anak kecil saya Rasyid yang berumur hampir dua tahun setengah boleh kehilangan satu gigi hadapan sejurus sebelum pengembaraan terbaru ini dimulakan? Kata orang, kalau mimpi hilang gigi, itu bermakna orang yang rapat dengan kita akan meninggal dunia tetapi bagaimana pula kalau hilang secara nyata? Adapun Ahad malam Isnin, Rasyid yang sedang seronok bermain pusing-pusing di ruang tamu tiba-tiba tergelincir akibat terpijak majalah lalu jatuh tersembam muka dahulu ke lantai. Akibatnya, sebatang gigi kapaknya tercabut terus keluar dari gusi, lengkap dengan akarnya sekali!

Alhamdulillah walau menangis mengadu sakit dan keluar darah agak banyak beliau kembali ceria tidak lama selepas itu. Siangnya pengembaraan pun dimulakan dengan kami anak-beranak pergi ke Janda Baik sebelum bermalam di Raub. Awal pagi Jumaat, ketika bermalam di Kota Bharu saya mendapat SMS memberitahu Raja Ashman sudah kembali ke rahmatullah. Tergamam lama saya mendengar berita ini. Apakah gigi tercabut Rasyid itu satu petanda?

Ketika itu kami baru sahaja dapat meluangkan masa bersama anak-anak yang menetap di Kelantan. Setelah mengambil mereka Khamis selepas Zuhur di rumah bapa saudara mereka, kami menyewa hotel di tepi Sungai Kelantan di Kota Bharu lalu masuk berehat. Selepas 3 malam bersama baru mereka dipulangkan kerana pagi Ahad perlu kembali bersekolah. Tengahari itu juga kami menghala ke Perak. Apabila sampai ke Kuala Kangsar, terus menuju k Bukit Chandan. Selain mahu menziarahi makam-makam kaum kerabat dari belah hilir Perak, kami juga mahu ke makam Raja Ashman yang terletak di dalam lingkungan terdekat makam-makam keturunan Sultan Idris I (memerintah Perak 1887-1916).

Saya rasa cukuplah coretan buat masa ini ya. Selepas ini saya akan membuat 3 buah artikel baru untuk mengumpulkan links bagi artikel-artikel berkenaan seminar/forum sejarah, kumpulan artikel "Kembara Johor-Riau" dan kumpulan artikel "Jejak 'Berpetualang ke Aceh'". Kemudian baru boleh dimulakan siri baru yang akan dipanggil "Pengembaraan Johan ke separuh Semenanjung". Selamat malam! :]



Sabtu, Mac 31, 2012

Sneak peek pengembaraan sedang berlangsung melibatkan Johan

Dalam hutan di satu tempat sangat bermakna dalam sejarah lama negeri Cik Siti Wan Kembang cuba mencerna sejumlah maklumat sambil mengharapkan berkat yang boleh melancarkan fikiran dan menimbulkan ilham...



Subhanallah. Melihatkan tarikh hari ini 31 Mac atau 31/3 saya terasa harus membuat artikel baru. Kebetulan siang tadi sebelum sampai ke tempat yang tertera dalam gambar saya ada singgah di sebuah masjid berdekatan lalu mendapati meter kereta menunjukkan nombor 131. Malam apabila kembali ke hotel pula kelihatan nombor 310 pada meter, nombor yang sebenarnya ada faktor 131 juga (nanti diceritakan). Jadi sangatlah kena susun atur nombor yang tidak dirancang dengan tarikh hari ini, sangat sesuai untuk membuat artikel baru walau tak sepanjang mana.

Adapun pada artikel Dari Tok Bentayan ke Sultan Alauddin ke Tuanku Tambusai - Latihan awal Johan untuk pengembaraan akan datang yang dibuat 9 hari lalu ada dibayangkan kami anak beranak akan berjalan jauh dalam masa terdekat bersama anak kecil kami Muhammad Alauddin Johan yang lahir 17 Februari iaitu bulan lepas. Nah. Perjalanan sudah pun dimulakan Isnin 5 hari lalu. Dari rumah di Bandar Tasik Puteri, Rawang masuk Kuala Lumpur membawa ke Janda Baik melalui jalan lama ke Pahang sebelum keluar balik untuk bermalam di Raub. Kemudian ke Kuala Lipis hingga ke Kampung Relong, patah balik ke KL (Kuala Lipis le) untuk ke Jerantut hingga ke Lubuk Pelang. Patah balik ke Jerantut untuk ke Jengka lalu ke Gunung Senyum. Kemudian berkejar ke Terengganu untuk bermalam di Dungun.

Bayangkan, sampai di Dungun pun saya sudah memandu lebih 750 km. Jadi agak-agak le berapa jauh lagi kereta bergerak bila kami ke Kuala Terengganu kemudian pusing-pusing sebelum berkejar ke Jertih untuk bermalam di sana. Masuk Kelantan, sempat lagi ke Pasir Puteh sebelum ke Machang lalu ke Pulai Chondong sebelum mendapatkan hotel di Kota Bharu. Siang tadi pusing lagi beberapa tempat termasuk ke Masjid Brunei di pinggir selatan Danau Tok Uban sebelum ke Bukit Panau kemudian ke pinggir utara danau yang merupakan sebuah tasik besar.

Meter bawah kereta sebenarnya sudah kosong balik menandakan ia melepasi tahap 1,000 km sebelum sampai ke KB. Bila nombor 310 timbul iaitu ketika kembali ke hotel malam tadi, ia sebenarnya menunjukkan 1,310 km sudah diharungi sejak perjalanan dimulakan hari Isnin. Adapun jarak perjalanan KB ke Kuala Lumpur adalah sekitar 474 km, kalau campur sekali jarak hingga kembali ke rumah jadi tidak kurang 515 km. Itu kalau kembali melalui laluan biasa KB-Gua Musang-Kuala Lipis-Raub-Kuala Lumpur tanpa keluar dari laluan. Sedangkan kami bercadang untuk mengikut laluan lain yang akan melibatkan banyak lagi tempat.

Sesungguhnya perjalanan terbaru ini jadi lebih istimewa kerana kami membawa anak kecil kami Johan. Sukacita dimaklumkan ini adalah artikel ke 969 di blogspot ini. Doakan kami anak beranak selamat sihat walafiat dan mendapat faedah tidak terhingga dari perjalanan ini ya. Selamat malam! :]


Ahad, Mac 25, 2012

Jejak "Berpetualang ke Aceh" - Legasi Sheikh Abdullah dan ikatan ukhuwah Turki Uthmaniyah Teungku di Bitai

Assalamualaikum. Setelah lebih 2 minggu menangguhnya biarlah cerita perjalanan Medan-Banda Aceh 2-13 November 2011 disambung kembali. Adapun siri ini dibuka dengan artikel mukadimahnya Akan datang - Jejak "Berpetualang ke Aceh" lebih 4 bulan lalu. Hari ini, setelah begitu lama kita melihat pelbagai perkara sampailah masa untuk menutup siri. Bersambung dari Jejak "Berpetualang ke Aceh" : Dari Saidi Mukammil ke Hamzah Fansuri...


Ahad 13 November kami keluar lagi ke sekitar Bandar Aceh.



Di satu kawasan desa barat daya pinggir Banda Aceh kalau tak salah ada satu kawasan madrasah yang ada tarikan istimewa.



Terdapat makam seorang ulama dahulukala yang dipanggil Abu Kuta Karang. Lihat artikel Makam (Tomb of) Abu Kuta Karang di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART).



Terdapat juga banyak makam-makam lama berbatu nesan Aceh. Lihat Makam-makam lama sekitar makam Abu Kuta Karang (Old tombs around the tomb of Abu Kuta Karang).


Namun tarikan utama ada kena mengena dengan perigi lama ini.



Air dari perigi sering dimasukkam ke dalam tempayan lama yang dipanggil geuchi dalam bahasa Aceh... ke geci, guci tak pun kechi? Yang saya ingat adalah geuchi lalu biarlah perkataan ini digunakan.



Ini kerana ulamak besar utama yang disemadikan di kawasan ini dikenali sebagai Teungku di Geuchi, katanya kerana selalu menggunakan tempayan itu. Namun nama sebenarnya adalah Sheikh Abdullah Kanaan dan beliau hidup lebih 800 tahun lalu! Ini adalah gambar di dalam bangunan makamnya. Terdapat sejumlah makam yang mungkin milik ahli keluarganya tetapi makam beliau sendiri terletak di dalam satu bilik istimewa.



Adapun Sheikh Abdullah Kanaan adalah guru kepada Sultan Johan Syah yang membuka kerajaan awal Aceh di Kandang Aceh tahun 1205 Masihi begitu. Saya percaya ada kemungkinan beliau adalah orang yang sama dengan Sheikh Abdullah Qumairi yang dikatakan mengIslamkan Sultan Muzaffar Syah I Kedah (memerintah 1136-1179), sama juga dengan Sheikh Abdullah Arif yang membawa kitab Tasawuf bernama Bahr Lahut ke Aceh 1166. Kiranya beliau terlibat secara langsung dalam pembukaan kerajaan Aceh yang wilayahnya mula menjadi besar seperti sekarang apabila Sultan Ali Mughayat Syah memerintah 1511-1530. Lihat Makam (Tomb of) Sheikh Abdullah Kanaan.



Seterusnya kami ke Bitai yang terletak lebih dekat ke Banda Aceh. Di sini ada kompleks tanah perkuburan yang menempatkan jasad askar-askar Turki yang dihantar untuk membantu Aceh menangani masalah penjajahan Barat yang bermula dengan penaklukan Portugis ke atas Kota Melaka 1511. Kelihatan berbumbung hijau, masjid yang dibina orang-orang Turki yang beranak-pinak berketurunan di sini. Lihat Masjid Turki di Bitai (The Turkish mosque in Bitai). Tanah perkuburan pula memenuhi sebahagian besar halaman. Lihat Makam para pejuang Turki di Aceh (Tombs of Turkish fighters in Aceh).




Menurut maklumat yang terdapat di sini perhubungan dengan Turki bermula selepas anakanda Sultan Ali Mughayat, Sultan Salehuddin memerintah 1530. Ketika itu Empayar Uthmaniyah Turki sedang dipimpin rajanya yang sangat terkenal dan digeruni Barat, Sultan Sulaiman Al-Qanuni atau Suleyman the Magnificent Qanuni, raja yang berjaya meluaskan pengaruh empayar lebih jauh, setelah ia diakui sebagai pusat kekhalifahan umat Islam sedunia. Satu kumpulan ulamak dan tentera dipimpin tokoh yang dikenali sebagai Teungku di Bitai dikatakan datang dari Turki membuka perkampungan di Bitai lalu membina akademi pengajian agama berserta akademi ilmu ketenteraan. Lihat Makam (Tomb of) Teungku di Bitai.

Namun sejarah Aceh secara umumnya lebih mengenali perhubungan Turki yang berlaku selepas adinda Sultan Salehuddin, Sultan Alauddin Riayat Syah Al-Qahar menaiki takhta 1539. Dalam rangka kerja untuk menepis percubaan ke sekian kali Portugis mahu menakluki Aceh, baginda mahu menyerang kedudukan penjajah di Kota Melaka lalu meminta Turki mengirim angkatan perang untuk membantu. Permintaan pun ditunaikan oleh Sultan Selim II Turki 1567. Baca maklumat pada artikel Museum kecil (Small muzium of) Bitai.



Seterusnya kami menziarahi makam Sheikh Abdul Rauf Fansuri atau lebih dikenali sebagai Syiah Kuala.



Cerita tentang ulamak yang menjadi Khadi Malikul Adil atau ulamak kerajaan tertinggi pada zaman empat raja perempuan memerintah Aceh 1641-1699 ini sudah disebut beberapa kali dalam artikel-artikel lama saya tentang Aceh.



Untuk menutup sesi ziarah kami hari itu kami pergi ke makam pejuang wanita Aceh tersohor 400 tahun lalu iaitu Laksamana Malahayati atau Raja Keumala Hayati.



Menariknya laksamana perempuan yang berkhidmat di bawah pemerintahan Sultan Alauddin Riayat Syah Sayyid al-Mukammil (1589-1604) ini mendapat latihan ketenteraan di akademi Bitai, akademi yang dibina selepas kedatangan orang-orang Turki yang dipimpin Teungku di Bitai. Kedudukan makam di Teluk Lamreh, 40 km ke timur Banda Aceh pula mengaitkannya dengan Sheikh Abdullah Kanaan. Ini kerana menurut ceritanya sheikh ini pernah bersama anak muridnya Johan Syah pergi mengIslamkan kerajaan lama Lamuri yang berpusat di teluk itu.



Johan Syah kemudian menjadi raja Lamuri. Baginda seterusnya membuka kerajaan awal Aceh di Kandang Aceh, dalam kawasan Banda Aceh sekarang. Apakah pemilihan kedudukan makam Laksamana Malahayati di lereng bukit ini ada kena mengena dengan keberadaan kerajaan Lamuri? Pengembaraan yang tujuan utamanya adalah untuk menyusuri kembali tempat-tempat yang pernah dijejaki juga diceritakan dalam siri trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" kami tutup secara rasmi di sini.


Petangnya sampailah masa untuk kembali ke Malaysia.



Di lapangan terbang Sultan Iskandar Muda di luar Banda Aceh kami menyatakan kesyukuran kerana dapat menjayakan pengembaraan selama 12 hari ini dengan selamat dan sihat walafiat. Biar dingatkan pengembaraan dibuat ketika isteri sedang sarat mengandung lebih 6 bulan. Alhamdulillah anak baru iaitu kandungan tersebut kini sudah lahir dan masuk umur 37 hari. Walaupun adakalanya kami dilanda kesukaran misalnya apabila Rasyid yang ketika perjalanan baru berumur 2 tahun 1 bulan demam agak teruk selepas kembali dari perjalanan menaiki motosikal di kawasan atas gunung malam-malam di Pulau Samosir, tengah Danau Toba, secara rata perjalanan kami mendapat bantuan nyata mahupun ghaib. Sekian cerita ini. Nanti saya akan kumpulkan segala linksnya untuk menyenangkan pembacaan lebih bermakna dan ini juga akan dibuat untuk siri "Kembara Johor-Riau" yang ditamatkan 11 hari lalu. Wassalam... :]



Komputer Acer Aspire pun bersara

OK. Dalam 2-3 artikel kebelakangan ini saya ada memberitahu bagaimana akhir-akhir ini komputer laptop saya terlalu kerap memberikan masalah sehingga menganggu kelancaran saya menulis dan membuat kerja. Masalah nyata bermula awal tahun. Sebelum itu komputer ada diserang virus yang menimbulkan kekacauan, akibat kesilapan masuk satu link jahat yang disuakan dalam Facebook. Saya menyangkakan ia saranan dari seorang kawan lama walhal ia cuma daripada hacker yang mencuri identiti kawan untuk chatting. Mungkin susulan daripada itu kemudian timbul masalah komputer tiba-tiba boleh sangkut dan gambar pada skrin menjadi terpecah-pecah.

Apabila ini berlaku terlalu kerap isteri saya mencadangkan agar saya menghantar komputer untuk dibaik pulih seorang kenalannya. Sekitar 2 minggu lepas saya pun menghantar. Namun setelah segala isi komputer diformat kembali, setelah ditukar Windows Vista kepada Windows 7 Ultimate, setelah 2GB on-board RAM ditukar baru masalah masih melanda malah semakin menjadi-jadi. Keadaan begitu teruk hinggakan artikel Dari Tok Bentayan ke Sultan Alauddin ke Tuanku Tambusai - Latihan awal Johan untuk pengembaraan akan datang yang dimulakan selepas Isyaq Khamis malam Jumaat baru ini cuma dapat disiapkan hampir waktu Subuh dengan komputer hang lalu terpaksa direboot kembali tidak kurang 20 kali, mungkin lebih 30!

Saya pun tak tahu apakah masalah sebenarnya. Kalau serangan virus sahaja, bagaimana teruk sekali pun keadaan seharusnya ia kembali pulih selepas segala isi komputer diformat kembali atau 'dicuci' bersih. Kawan-kawan menyebut kemungkinam besar ia masalah hardware. Mungkin graphic card rosak menyebabkan paparan jadi pecah. Selain itu mungkin ada masalah bahagian lain hardware sehingga kadangkala komputer boleh sangkut atau hang begitu sahaja (gambar pada skrin tidak terpecah-pecah). Ada masanya pula ia reboot sendiri secara tiba-tiba.

Kesimpulan mudah, komputer tersebut dari jenis Acer Aspire 2920 sudah tamat jangka hayatnya. Ia dibeli pertengahan 2008 untuk menggantikan komputer terdahulu yang juga rosak dan menurut kawan-kawan memang biasa laptop atau komputer riba dapat bertahan setakat 3 tahun sahaja. Komputer saya pula sudah nak masuk umur 4 tahun. Ia digunakan agak lasak, sudah mengikut saya mengembara masuk hutan, naik gunung, masuk pulau dan bermacam lagi ceruk rantau. Jadi adat le kalau masalah menimpa berganda-ganda. Nampaknya buang masa dan duit sahaja kalau terus cuba memperbaikinya.


Maka itu saya tiada pilihan. Komputer baru harus didapatkan. Petang Jumaat, setelah menghabiskan sejumlah masa melihat pelbagai model di Imbi Plaza dan Low Yatt, saya telah membeli komputer baru jenama ASUS yang harganya cukup murah tetapi kuasanya cukup tinggi untuk membenarkan saya bermain-main dengan graphics, boleh membuat kerja-kerja menyunting video Full HD (high definition). Kalau setakat untuk penulisan dan membuat buku sahaja saya boleh membeli komputer kecil jenis notebook yang lebih murah. Tetapi saya juga sesekali perlu untuk bermain dengan graphics berkualiti atau berdefinisi tinggi.

Dengan ini diumumkan persaraan komputer Acer yang sudah dipakai sejak 2008. Jika komputer sebelumnya dari jenama Twinhead yang dipakai mulai 2005 dapat digunakan untuk menghasilkan tiga buku terawal saya, "Berpetualang ke Aceh : Mencari diri dan erti" (terbit Jun 2006, lihat Sinopsis BKA I), "Berpetualang ke Aceh : Membela syiar yang asal" (Mei 2007, lihat Sinopsis BKA II) dan "Berpetualang ke Aceh : Sirih pulang ke gagang?" (Nov 2007, lihat Sinopsis BKA III), komputer Acer itu pula menghasilkan sebuah DVD dan 4 lagi buku. DVD tersebut bertajuk "Sekitar Perjanjian Pangkor 1874" (Okt 2008, lihat Perjalanan ke Perak: DVD "Sekitar Perjanjian Pangkor 1874" dah siap! ). Buku-buku ialah "Rumah Azan" (April 2009, lihat Buku "Rumah Azan" dan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2009 di PWTC ), "Ahlul Bait (Family) of Rasulullah SAW and the Malay rulers" (awal 2010, lihat Buku Inggeris Ahlul Bait Raja-raja Melayu dan faktor 131 juga 313), "Kereta Api Menuju Destinasi" (awal 2011, lihat Akhirnya... keretapi pun menuju destinasi), dan "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" (Oktober 2011, lihat Siaran langsung ulasan buku "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" dan temu ramah di Selamat Pagi Malaysia dan Sneak peek "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah".

Semoga komputer baru yang lebih berkuasa ini dapat bertahan jauh lebih lama. Semoga lebih banyak karya lebih bermutu dapat dihasilkan dengan izin Qudrat dan Iradat pinjaman dari Allah Ta'ala, dengan huruf-huruf disampaikan melalui Nabi Muhammad SAW dan para wali baginda, amin. Di sini biar diletakkan links beberapa artikel berkaitan iaitu tentang komputer-komputer saya yang telah 'bersara' lebih awal. Biar juga diletakkan links artikel tentang kamera-kamera lama kerana ia juga cukup berjasa, apalagi untuk menerbitkan beribu, mungkin berpuluh ribu gambar yang telah digunakan untuk membuat artikel-artikel di 3 blogspots saya (kini menghampiri 3,000 artikel!). Ini dia...


Komputer Sinclair ZX81... Satu kenangan lama 26 tahun lalu!