Manakan dapat sagu kalau tidak dipecahkan ruyungnya?
Manakan dapat mutiara yang berkerlipan jika takut menyelam ke lautan dalam.
Dalam diri setiap manusia, ada seketul daging.
Jika baik ia, maka baiklah seluruh jiwa manusia itu.
Jika buruk ia, buruklah juga manusia itu...
Seketul daging itu adalah hati,
mari kita lapangkan dada dan belajar mengIKHLASkan hati.
Perjalanan seribu batu bermula dengan satu langkah.
Marilah meneroka dunia pemikiran hamba.
Silakan

Video klip yang tertera boleh dianggap sebagai pembukaan kepada dunia pemikiran dan kesukaan hamba...







-------------------------


-------------------------



Segala yang dipaparkan menggambarkan pemikiran penulis yang turut terserap di dalam setiap penulisan buku dan artikel. Lihat Cara-cara mendapatkan buku tulisan Merah Silu @ Radzi Sapiee. Di atas adalah satu klip video selama hampir setengah jam yang merupakan demo pilot episode yang mahu digunakan untuk mencadangkan satu siri pengembaraan menyusuri sejarah Melayu Islam sekeliling Nusantara untuk siaran televisyen. Entah mengapa ia menemui masalah. Kemudian penulis diberitahu konsepnya diciplak sebuah stesyen televisyen. Lihat Kembara Sejarah Islam Nusantara : The original material...



Ini adalah klip video ulasan buku ketujuh saya "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" berserta temuramah yang dibuat siaran langsung di Selamat Pagi Malaysia, RTM1. Lihat Siaran langsung ulasan buku "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" dan temu ramah di Selamat Pagi Malaysia.



Penulis juga pernah diminta membuat pembentangan mengenai siri buku "Berpetualang ke Aceh" di Masjid Sultan Salahuddin iaitu masjid negeri Selangor di Shah Alam. Lihat Buku "Berpetualang" dan himpunan ulamak Nusantara yang diketuai ulamak Aceh


-------------------------



Siri novel "Berpetualang ke Aceh" boleh didapati dalam bentuk e-book. Masuk http://www.e-sentral.com/, klik kategori novel am dan taip perkataan "Aceh" pada kotak carian. Atau terus klik Buku 1,Buku 2 dan Buku 3.





Gambar ketika menghadiri satu majlis ilmu, diambil oleh sebuah akhbar harian. Lihat Menghiasi Kosmo Alam Melayu...



Penerbitan trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" juga membawa penulis untuk terlibat dengan banyak majlis ilmu. Rujuk kumpulan links artikel di bawah tajuk "Siri Refleksi Sejarah", pada bahagian paling bawah kiri blogspot, . Penulis juga agak aktif dalam aktiviti-aktiviti kedaulatan Melayu dan Islam, dapat menganjurkan majlis-majlis sendiri di merata Semenanjung Malaysia membawa ke luar negara di Aceh. Lihat blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


Ketika menulis perenggan ini 4 Mei 2015 penulis sedang berusaha untuk mengembangkan isi 3 buku dalam siri "Berpetualang ke Aceh" menjadi 6 buku yang akan membentuk siri baru dipanggil "Siri Pengembaraan Merah Silu". Sebuah syarikat penerbitan telah bersetuju untuk menerbitkan siri lama itu kembali dalam bentuk yang lebih segar - Setiap buku asal dipecah menjadi 2 buku baru yang ditambah maklumat, gambar dan peta berwarna-warni.Pertengahan September 2015 buku pertama siri baru pun selamat diterbitkan. Seminggu lebih kemudian penulis berpeluang bercakap tentangnya secara siaran langsung dalam televisyen lalu membawa wakil penerbit bersama. Lihat video di bawah :-





Awal tahun 2015 turut menyaksikan penulis diambil menjadi penyelidik dan hos satu siri dokumentari yang dipanggil "Daulah Melayu". Projek 13 episod sepanjang sejam setiap satu ini mahu mengenengahkan formula untuk mengembalikan kekuatan bangsa Melayu. Insyaallah projek iakan membawa penulis untuk mengembara ke merata di Malaysia dan Indonesia juga ke beberapa negara dan tempat di Eropah termasuk ke kota London, tempat penulis mengambil ijazah matematik 1991-1995. Siri dokumentari ini dijangka siap untuk tayangan televisyen dalam tempoh 2 tahun.


Pada 13 Mei 2023 buku ke 13 + 1 penulis (pertama setelah yang ke-13 terbit tahun 2019 lalu mula memberikan tumpuan pada pengajian pascasiswazah di ISTAC iaitu Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam di Bukit Tunku, Kuala Lumpur), Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin & Orang Kaya Arsyad telah dilancarkan oleh sejarawan ulung negara, Profesor Emeritus Datuk Dr Abdullah Zakaria Ghazali di rumah penulis. Lihat Majlis pelancaran buku dan rumah terbuka raya 2023 - Melestarikan semangat perjuangan. Beliau yang bertanggungjawab memberikan kata-kata aluan dalam buku turut menjadi pembicara dalam diskusi yang diadakan di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2023 (berlangsung 26 Mei hingga 4 Jun). Lihat Bicara buku Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin di PBAKL 2023. Diskusi ini terakam dalam video atas diikuti video bawah...



Jumaat, April 13, 2012

Forum Identiti Melayu di Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya

Meneruskan gerak penceritaan mengikut kronologi atau turutan masa dan peristiwa. Bersambung dari artikel Luahan rasa malam Jumaat dan makam lama di Pasir Penambang.


Pagi Selasa 10 April saya berkejar ke Universiti Malaya atau UM.


Terus mencari bangunan Akademi Pengajian Melayu yang saya tak pernah sampai sebelum ini.


Ada acara menarik yang dipanggil Forum Identiti Melayu.



Saya pernah menghadiri beberapa acara perkongsian sejarah di fakulti lain UM, baru kali ini terpanggil untuk ke forum tentang identiti Melayu. Saya merasa teruja apabila diberitahu empat orang profesor ternama di persada tanah air akan membentang kertas pada acara ini.


Ketika saya sampai pengenalan acara dan latar belakang para pembentang sedang dibuat.


Setelah beberapa lama barulah forum bermula...



Sesi pembentangan dibuka oleh Profesor Dato' Dr Nik Hassan Suhaimi dari Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA) di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), seorang perintis tempatan, orang lama dalam bidang arkeologi iaitu kajian melibatkan barang-barang atau tinggalan purba. Mengambil pendekatan antropologi iaitu kajian saintifik asal usul manusia beliau menyebut tentang manusia awal yang dikatakan muncul di Alam Melayu sekitar 40,000 tahun lalu. Kajian dikaitkan dengan terma-terma saintifik seperti zaman Pleistosen mengingatkan bagaimana ketika berumur 7 hingga 12 tahun saya sangat meminati hal-hal berkaitan haiwan-haiwan gergasi purba seperti reptilia yang dipanggil dinosaur. Saya sanggup mencari berpuluh-puluh buku tebal di rumah saudara mara dan kawan-kawan untuk memahaminya, buat rujukan silang sehingga membuka 10 jilid ensaiklopedia sekali gus akibat minat yang mendalam.



Ketika itu, 30 tahun lalu saya hafal nama-nama dan rupa berpuluh jenis dinosaur yang disebut saintis sehingga boleh melukis setiap daripadanya berdasarkan ingatan sahaja. Paling saya minat namanya Brontosaurus, seekor binatang setinggi bangunan 4-5 tingkat berkaki empat berleher dan berekor panjang dari satu kelas dinosaur yang dipanggil sauropod. Saya ingat nama-nama dan klasifikasi zaman purba berjuta hingga beratus tahun yang tertera dalam ilmu khusus yang dipanggil paleontologi, antaranya zaman Jurassic (kalau tak salah ingatan dikatakan 60-70 juta tahun lalu) dan Triassic (sebelum Jurassic rasanya) juga Mesozoic (dah lupa bilakah tempoh masanya). Saya juga ingat nama-nama saintifik merujuk kepada jenis-jenis manusia awal atau makhluk seperti manusia, nama-nama seperti Australopitecus (mungkin silap ejaan kerana saya menulis terus tanpa rujukan), Neanderthal Man, Homo Erectus, Homo Sapiens lalu tiada masalah untuk mengekori apa yang dibincangkan Nik Hassan.

Oh... kena bersiap untuk solat Jumaat. Petang sikit nanti sambung ya... :] ------------- OK. Dah solat dan dah makan baru sambung cerita...

Nik Hassan berkata perjuangan mencari Melayu baginya bermula tahun 70an. Padanya takrifan apa itu Melayu bersifat etno-linguistik iaitu gabungan bangsa dalam ruang lingkup darah keturunan sama bercampur takrifan yang melibatkan penggunaan bahasa. Dalam konteks ini Melayu adalah pengguna kelompok bahasa-bahasa Austranesia yang termasuk kaum-kaum asli yang dipanggil proto-Melayu, bertebaran dari Madagaskar di pantai timur selatan Afrika menyeberangi Lautan Hindi hingga ke Asia Tenggara terus ke Taiwan dan pulau-pulau di Lautan Pasifik. Beliau menyebut klasifikasi yang sudah sedia terpakai sekian lama, klasifikasi yang membahagikan manusia secara umumnya kepada 4 ras besar bangsa :- Caucasoid (meliputi bangsa berkulit putih Barat), Negroid (bangsa berkulit hitam Afrika), Mongoloid (meliputi bangsa berkulit sawo matang seperti orang Melayu secara umumnya juga bangsa berkulit cerah tetapi berlainan ciri dengan Barat seperti orang Cina dan Jepun) serta bangsa Austroloid (termasuk orang Aborigine atau asli Australia).

Secara rata profesor ini nampaknya menyokong teori umum dari Barat yang sudah dipakai sekurang-kurangnya beberapa dekad, teori yang setahu saya berpasak daripada teori perubahan haiwan dari satu bentuk ke satu bentuk yang dipelopori Charles Darwin. Namun dia menegaskan ada bahagian teori umum yang tidak diterimanya, misalnya tentang bangsa awal Melayu kononnya berhijrah daripada Yunnan di selatan Cina ke Asia Tenggara. Nik Hassan menambah, sebagai orang Islam dia juga percaya semua manusia berasal daripada Adam dan Hawa, satu prinsip teras yang berlawanan dengan teori umum yang dipegang kuat oleh saintis ateis iaitu tidak beragama. Tetapi latar belakang pelajarannya nampaknya menyebabkan dia tetap harus cuba merungkai segalanya daripada segi ilmu Barat. Kalau begitu kenyataannya bahawa manusia di Alam Melayu sudah wujud seawal 40,000 tahun kelihatan bercanggah dengan kira-kira berdasarkan ilmu kitab bahawa Nabi Adam diturunkan ke muka bumi 6,000 tahun lalu. Atau paling awal pun 8,000 tahun lalu...

Nik Hassan menyarankan agar kajian lanjutan asal-usul Melayu dibuat dengan mengambil kira 4 faktor utama - perubahan paras laut, etno-linguistik, DNA dan budaya material. Setelah bercakap panjang lebar beliau menyimpulkan orang Melayu sebagai penduduk Alam Melayu yang disebut meliputi kawasan dari Madagaskar ke Lautan Pasifik itu TANPA MENGIRA AGAMA. Lalu menyatakan definisi Melayu menurut perlembagaan Malaysia yang menyebut orang Melayu sebagai pengguna lazim bahasa Melayu, BERAGAMA ISLAM dan mengamalkan adat istiadat Melayu sebagai sempit...





Pembentang kedua Profesor Dr Mohd Hazim Shah daripada UM pula cuba mengenali identiti Melayu dengan mengenengahkan apa yang dilihatnya sebagai konstruksi atau binaan-binaan konsep yang berlaku akibat beberapa perkara yang mewarnai zaman. Hazim mengklasifikasikan ini kepada 4 peringkat konstruksi. Satu, identiti Melayu melalui penggunaan bahasa Melayu, wujud dalam ruang lingkup kerajaan-kerajaan Melayu dan maklumat yang diperolehi daripada sumber sastera Melayu. Tentunya dalam hal ini seorang Melayu adalah pengguna lazim bahasa Melayu. Dari segi kerajaan dan sastera, kitab-kitab lama ada menyebut tentang kerajaan-kerajaan yang digolongkan sebagai kerajaan Melayu sementara sumber-sumber dari luar seperti catatan para pedagang ada menyebut tentang orang Melayu, malah tercatat memang pernah wujud kerajaan yang namanya Melayu atau Malayu, juga disebut Molayu di Sumatera.

Klasifikasi atau konstruksi kedua pula katanya adalah identiti Melayu yang ditentukan oleh pihak kolonial atau penjajah. Antaranya adalah apa yang dimaksudkan sebagai orang Melayu oleh sarjana (merangkap pentadbir yang menjalankan kerja penjajahan sebenarnya) seperti Stamford Raffles dan Richard Winstedt. Kata Hazim ada sebahagian daripada mereka merasa simpati terhadap tamadun Melayu lalu melihat bangsa dan ketamadunan kita dari sudut yang boleh disebut sebagai romantik, satu warisan yang harus dibela. Namun ada yang melihat dari sudut misi ketamadunan atau civilising mission (konon). Menganggap diri sebagai bangsa lebih bertamadun atau superior, mereka menonjolkan orang Melayu sebagai peribadi lebih rendah, harus diajar apakah itu peradaban menurut kaca mata Barat.

Konstruksi ketiga adalah perspektif tempatan yang nampaknya dibuat pada era selepas penjajah datang. Contohnya Melayu yang disebut ciri-cirinya dalam karya Munsyi Abdullah abad ke 19 Masihi. Ini diikuti karya pemikir lebih moden seperti Rahim Kajai dan Zainal Abidin Ahmad (Za'aba) yang berusaha untuk menimbulkan apa yang dipanggil sebagai 'kesedaran Melayu'. Kemudian ada pula karya golongan agama dalam melihat apakah itu orang Melayu....

Konstruksi keempat adalah penginstitusan identiti Melayu melalui arena politik, ekonomi dan pendidikan. Di sini apa itu Melayu diberi takrifan bertulis misalnya ketika menggubal Malay Reservation Enacment 1913 atau undang-undang tanah simpanan Melayu yang dibuat untuk mengekalkan pemilikan tanah di kalangan orang Melayu. Identiti bangsa Melayu juga dinyatakan apabila pihak pentadbiran British mahu membuat bancian penduduk. Sistem pendidikan memberi definisi melalui kewujudan sekolah kebangsaan Melayu dan semua ini kemudian membentuk isi perlembagaan tentang apa itu Melayu.



Ah. Saya dah bercakap panjang lebar pula. Jadi penat hendak bercerita lagi. Biar saya mula bercerita lebih ringkas ya. Maka sesi pembentangan awal pun tamat tengah hari, masuk sesi soal jawab, juga perkongsian ilmu dan pendapat.



Sebelum orang dalam gambar ini (rasanya seorang profesor juga) membuka kata saya telah terlebih dahulu melontarkan soalan dengan bertanya kepada Nik Hassan beberapa perkara... utamanya bagaimana dia mahu menyelarikan atau reconcile kepercayaan tentang manusia sudah wujud di Alam Melayu seawal 40,000 tahun sedangkan dia juga percaya manusia bermula daripada Adam di mana pengkaji keagamaan pula menyebut Nabi Allah ini turun ke bumi pun paling awal 8,000 tahun lalu menurut kiraan dalam kitab. Apabila jawaban beliau terasa kurang meyakinkan baru saya berkongsi perspektif sendiri yang dapat dikorek daripada kitab-kitab Tasawuf dan pernyataan orang-orang tua tertentu yang pernah ditemui dalam pengembaraan...

Dua point (maaf, saya tidak dapat mencari perkataan bahasa Melayu yang sesuai secara spontan) utama saya ketengahkan. Satu, perbezaan kira-kira mungkin berlaku kerana hari semakin pendek semakin kita menghampiri akhir zaman. Masa dahulu jauh lebih panjang. Misalnya dalam kitab tercatat Nabi Nuh hidup selama 1,000 tahun. Tetapi 1,000 tahun semasa zamannya mungkin sama panjang dengan 30,000 tahun menurut ukuran sekarang. Kedua adalah tentang kewujudan 124,000 Adam seperti disebut ahli Tasawuf terkenal dahulukala, Ibnu Arabi. Telah ada generasi awal manusia diturunkan Allah ke muka bumi kemudian musnah digantikan generasi baru dan Adamnya sendiri.

Apabila sampai giliran Adam terakhir, disebut sebagai Adam Safiullah dalam sesetengah kitab 'menaiki' pentas lakonan besar yang dipanggil dunia ini (ingat kata-kata Shakespear, the world is just a stage and we are all actors) barulah manusia diangkat sebagai khalifah. Sebelum itu kedudukan jin lebih dominan sehingga Iblis yang asalnya berbangsa jin boleh diangkat menjadi ketua malaikat bernama Azazil. Cerita ini ada tersirat dalam Surah Al-Baqarah, apabila para malaikat mempersoalkan kenapa manusia yang kata mereka adalah makhluk yang merosakkan mahu diangkat sebagai khalifah? Bagaimana malaikat boleh tahu manusia itu suka merosakkan jika Adam yang dikatakan manusia pertama itupun belum diturunkan lagi ke muka bumi?



Ah. Penerangan saya tadi dah jadi panjang lebar lagi. Ishh. Dipendekkan cerita kami makan tengah hari sebelum sesi petang dibuka oleh pembentang ketiga, Profesor Dato' Dr Yaacob Harun, juga dari UM. Yaacob mengatur isinya secara teoritis dengan mengambil pendekatan dekonstruksi (memecahkan binaan konsep awal) dan rekonstruksi (mendirikan balik konsep ke arah yang lebih baik). Seperti Hazim, beliau juga membahagikan identiti Melayu kepada empat peringkat. Satu dipanggil primordial phenomenon (pembentukan konsep melalui ciri-ciri awal), misalnya orang Minangkabau itu adalah dari keturunan tertentu, kedua epiphenomenon (fenomena yang tercetus dari hal lain, misalnya proses divide and rule atau pecah dan perintah). Contoh natijah proses ini adalah apabila Barat menggunakan kuasa memperkecilkan peranan orang Melayu menjadi golongan yang rata-ratanya petani sahaja. Sedangkan kita asalnya para pengembara laut yang sangat berani lagi pandai berdagang.

Seterusnya adalah situational phenomenon di mana berlaku situasi tertentu yang mendorong terjadinya sesuatu. Kata Yaacob, berdasarkan teori rational choice (membuat pilihan atas dorongan rasional kira-kira akal) identiti Melayu boleh juga terbentuk melalui ini. Misalnya apabila ada orang India Muslim berusaha mendaftarkan diri sebagai orang Melayu agar mendapat kelebihan tertentu yang cuma diberikan kepada orang Melayu. Klasifikasi keempat dalam pendekatan identiti Melayu melalui proses dekonstruksi dan rekonstruksi Yaacob adalah subjective phenomenon, etnisiti atau kebangsaan, kesukukauman sebagai realiti sosio-saikologi. Ini lebih merupakan persepsi satu golongan terhadap golongan yang lain. Misalnya apabila satu kelompok berbangsa Cina melihat satu kelompok bangsa Melayu, tentunya sudah ada dalam fikiran mereka apakah yang membezakan dua kelompok itu.



Akhir sekali adalah pembentangan Profesor Dr Zakaria Mohd Ali daripada Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI). Bidang beliau lebih pada seni dan sejarah seni lalu cendekiawan yang sangat dihormati dalam dunianya itu menggunakan sejumlah paparan gambar dan lukisan termasuk dari artis (seniman pelukis, bukan artis macam dalam program Melodi TV3 ya... :]) sebagai rujukan demi mendapatkan perspektif untuk menilai apakah identiti Melayu. Jika Nik Hassan mengatakan definisi Melayu dalam perlembagaan negara Malaysia adalah sempit, Zakaria menyatakan sebaliknya apabila menyebut ia cukup inklusif atau mengandungi segala yang perlu.

Pada saya sebagai pemerhati yang sesekali sahaja berkongsi pendapat di medan awam, pada saya yang tidak beberapa terpelajar seperti profesor-profesor ini, forum ini sedikit mengecewakan. Saya datang dengan harapan dapat menimba satu definisi atau identiti tuntas yang boleh diwar-warkan kepada semua pihak tentang apa itu Melayu, terutama dalam keadaan realiti akhir zaman di mana kaum kita diasak terus dari segenap arah. Tetapi saya melihat cendekiawan berbangsa Melayu pun masih tidak sepakat apakah itu Melayu dan masih tercari-cari jawaban yang lebih besar. Maka cukuplah perkongsian saya dalam artikel ini ya... :]

2 ulasan:

T H E . M A L A Y . P R E S S berkata...

"Pada saya sebagai pemerhati yang sesekali sahaja berkongsi pendapat di medan awam, pada saya yang tidak beberapa terpelajar seperti profesor-profesor ini, forum ini sedikit mengecewakan. Saya datang dengan harapan dapat menimba satu definisi atau identiti tuntas yang boleh diwar-warkan kepada semua pihak tentang apa itu Melayu, terutama dalam keadaan realiti akhir zaman di mana kaum kita diasak terus dari segenap arah. Tetapi saya melihat cendekiawan berbangsa Melayu pun masih tidak sepakat apakah itu Melayu dan masih tercari-cari jawaban yang lebih besar. Maka cukuplah perkongsian saya dalam artikel ini ya... :]"

Telah dapat saya agak begini kesudahannya. Kerana mereka tidak terbuka dan berpegang pada asal kerajaan. Profesor2 ini berlainan pendapat dan masih tidak mendapat kata sepakat mengenai siapa itu Melayu, ini didorong oleh ruang lingkup ilmu yang menjadikan mereka itu profesor.

Adakah mereka mahu melucutkan segala kefahaman yang mereka pegang selama hari ini? Mereka seboleh-bolehnya mahu mengekalkan Melayu dengan mengambil kira sejarah 40000000000000 tahun semata-mata mahu menjadikan Melayu itu tunggak dan bukan nya pelarian.

Maka apa yang akan mereka ketemui adalah orang Asli. Dan orang Asli Negrito itu bukannya digelar Melayu. Namanya adalah Negrito dan Semang. mana Melayunya?

Jikalau mahu mencari asas kata Melayu sepatutnya diselongkar dari perbendaharaan orang Negrito dan Semang kerana mereka inilah jika menurut pendapat pakar orang Melayu Asli.

Asal kerajaan itu yang penting kerana menurut Dr Rais Yatim, asal bahasa yang cantik molek itu berasal daripada Istana dan bukannya Tun Seri Lanang.

wassalam.

T H E . M A L A Y . P R E S S berkata...

Saya juga bersetuju dengan tafsiran Melayu yang sempit dalam istilah Kenegaraan Malaysia hari ini. Ini adalah tuntutan politik semasa itu.

Jika mengambil kira sejarah awal Melayu dalam istilah moden, para pembaca atau pengkaji sejarah mestilah mengambil kira sokongang Allahyarham Ahmad Boestamam yang sanggup membenarkan orang Cina menjadi Melayu dan mereka orang Cina masa itu sanggup menjadi Melayu asal mereka mendapat hak kerakyatan Jus Soli.

Jika pakatan Putera-AMCJA menang pada ketika itu sudah tentu takfri Melayu hari ini berbeza dan bukan sepeti yang kita fahami seperti hari ini.

Oleh kerana itulah takrif Melayu yang ada hari ini hanya bertujuan melangsungkan survival politik pada ketika itu yang juga ditekan daripada segenap sudut. Dato Onn menentang perkara itu kerana berpendapat pada ketika takrif Melayu sangat penting bagi menyatu padukan semua suku kaum yang ada di Malaya bagi menentang Malayan Union.

Kita hari ini berusaha menegakkan Melayu daripada sudut survival politik. Tapi hari ini kita sudah pun menjadi 1 Malaysia.

Saya juga bersetuju dengan pendapat "kelebihan digelar Melayu di Malaysia" menyebabkan ramai India Muslim ingin menjadi Melayu akibat dorongan perniagaan dan sebagainya. Tapi perlu diingat Orang Asli tidak pernah menuntut untuk menjadi Melayu kerana mereka mempunyai kelebihan atau hak Istimewa yang lebih daripada orang Melayu.

Maka hanya di Malaysia Melayu itu punya kelebihan, Jika di Kemboja sudah pasti mereka bertukar pula menjadi Kemboja akibat dorongan yang sama.

Maka sejarah realiti bukan menuju kearah Melayu daripada sudut politil tetapi lebih ke arah kerajaan asal di Tanah Semenanjung yang mana asal kerajaan itu lah yang membentuk asas perundangan Islam di semenanjung ini.

Ini tidak bermakna sejarah realiti ingin menjahanamkan Melayu, tetapi asas itu lah sebenarnya mengkuatkan apa yang kita sebut sebagai Melayu hari ini.

ramai yang telah tersalah anggap dan menjadikan sejarah realiti sebagai punching bag semata-mata kerana Melayu. Itu sangat mengecewakan.

wassalam.