Manakan dapat sagu kalau tidak dipecahkan ruyungnya?
Manakan dapat mutiara yang berkerlipan jika takut menyelam ke lautan dalam.
Dalam diri setiap manusia, ada seketul daging.
Jika baik ia, maka baiklah seluruh jiwa manusia itu.
Jika buruk ia, buruklah juga manusia itu...
Seketul daging itu adalah hati,
mari kita lapangkan dada dan belajar mengIKHLASkan hati.
Perjalanan seribu batu bermula dengan satu langkah.
Marilah meneroka dunia pemikiran hamba.
Silakan

Video klip yang tertera boleh dianggap sebagai pembukaan kepada dunia pemikiran dan kesukaan hamba...







-------------------------


-------------------------



Segala yang dipaparkan menggambarkan pemikiran penulis yang turut terserap di dalam setiap penulisan buku dan artikel. Lihat Cara-cara mendapatkan buku tulisan Merah Silu @ Radzi Sapiee. Di atas adalah satu klip video selama hampir setengah jam yang merupakan demo pilot episode yang mahu digunakan untuk mencadangkan satu siri pengembaraan menyusuri sejarah Melayu Islam sekeliling Nusantara untuk siaran televisyen. Entah mengapa ia menemui masalah. Kemudian penulis diberitahu konsepnya diciplak sebuah stesyen televisyen. Lihat Kembara Sejarah Islam Nusantara : The original material...



Ini adalah klip video ulasan buku ketujuh saya "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" berserta temuramah yang dibuat siaran langsung di Selamat Pagi Malaysia, RTM1. Lihat Siaran langsung ulasan buku "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" dan temu ramah di Selamat Pagi Malaysia.



Penulis juga pernah diminta membuat pembentangan mengenai siri buku "Berpetualang ke Aceh" di Masjid Sultan Salahuddin iaitu masjid negeri Selangor di Shah Alam. Lihat Buku "Berpetualang" dan himpunan ulamak Nusantara yang diketuai ulamak Aceh


-------------------------



Siri novel "Berpetualang ke Aceh" boleh didapati dalam bentuk e-book. Masuk http://www.e-sentral.com/, klik kategori novel am dan taip perkataan "Aceh" pada kotak carian. Atau terus klik Buku 1,Buku 2 dan Buku 3.





Gambar ketika menghadiri satu majlis ilmu, diambil oleh sebuah akhbar harian. Lihat Menghiasi Kosmo Alam Melayu...



Penerbitan trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" juga membawa penulis untuk terlibat dengan banyak majlis ilmu. Rujuk kumpulan links artikel di bawah tajuk "Siri Refleksi Sejarah", pada bahagian paling bawah kiri blogspot, . Penulis juga agak aktif dalam aktiviti-aktiviti kedaulatan Melayu dan Islam, dapat menganjurkan majlis-majlis sendiri di merata Semenanjung Malaysia membawa ke luar negara di Aceh. Lihat blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


Ketika menulis perenggan ini 4 Mei 2015 penulis sedang berusaha untuk mengembangkan isi 3 buku dalam siri "Berpetualang ke Aceh" menjadi 6 buku yang akan membentuk siri baru dipanggil "Siri Pengembaraan Merah Silu". Sebuah syarikat penerbitan telah bersetuju untuk menerbitkan siri lama itu kembali dalam bentuk yang lebih segar - Setiap buku asal dipecah menjadi 2 buku baru yang ditambah maklumat, gambar dan peta berwarna-warni.Pertengahan September 2015 buku pertama siri baru pun selamat diterbitkan. Seminggu lebih kemudian penulis berpeluang bercakap tentangnya secara siaran langsung dalam televisyen lalu membawa wakil penerbit bersama. Lihat video di bawah :-





Awal tahun 2015 turut menyaksikan penulis diambil menjadi penyelidik dan hos satu siri dokumentari yang dipanggil "Daulah Melayu". Projek 13 episod sepanjang sejam setiap satu ini mahu mengenengahkan formula untuk mengembalikan kekuatan bangsa Melayu. Insyaallah projek iakan membawa penulis untuk mengembara ke merata di Malaysia dan Indonesia juga ke beberapa negara dan tempat di Eropah termasuk ke kota London, tempat penulis mengambil ijazah matematik 1991-1995. Siri dokumentari ini dijangka siap untuk tayangan televisyen dalam tempoh 2 tahun.


Pada 13 Mei 2023 buku ke 13 + 1 penulis (pertama setelah yang ke-13 terbit tahun 2019 lalu mula memberikan tumpuan pada pengajian pascasiswazah di ISTAC iaitu Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam di Bukit Tunku, Kuala Lumpur), Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin & Orang Kaya Arsyad telah dilancarkan oleh sejarawan ulung negara, Profesor Emeritus Datuk Dr Abdullah Zakaria Ghazali di rumah penulis. Lihat Majlis pelancaran buku dan rumah terbuka raya 2023 - Melestarikan semangat perjuangan. Beliau yang bertanggungjawab memberikan kata-kata aluan dalam buku turut menjadi pembicara dalam diskusi yang diadakan di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2023 (berlangsung 26 Mei hingga 4 Jun). Lihat Bicara buku Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin di PBAKL 2023. Diskusi ini terakam dalam video atas diikuti video bawah...



Rabu, April 04, 2012

Pengembaraan Johan ke separuh Semenanjung - si cilik membuka langkahnya...

Di jeti ke hutan simpan Belum, Tasik Banding, Perak petang Ahad...



Empat hari lalu saya telah membuat artikel bertajuk Sneak peek pengembaraan sedang berlangsung melibatkan Johan lalu memberitahu saya dan keluarga berjalan jauh lagi dengan anak, kali ini membawa sekali anak terbaru kami Muhammad Alauddin Johan yang lahir 17 Februari 2012. Turut diberitahu bahawa kami singgah di beberapa tempat di Pahang dan Terengganu sebelum masuk ke Kelantan lalu berhenti di Kota Bharu di mana artikel tersebut dipersembahkan. Sekarang biar ditambah... selepas itu kami masuk ke Perak melalui jalan Jeli ke Grik, singgah berehat di Kuala Kangsar sebelum ke Lumut. Malam tadi kami berehat di Kuala Kubu Baru, petang tadi baru kembali ke rumah di Bandar Tasik Puteri, Rawang, Selangor.

Alhamdulillah seperti biasa kami sekeluarga dapat kembali dalam keadaan sihat walafiat berkat perlindungan daripada Allah Subhanahu Wata'ala dan iringan yang dihantarNya. Johan pula dapat mengekori langkah abangnya Muhammad Al-Aminul Rasyid yang pernah keluar mengembara ke hampir seluruh Johor dan Singapura sebaik sahaja tamat tempoh pantang (lihat Koleksi artikel "Pengembaraan Al-Rasyid ke selatan... yang dibuat lebih 2 tahun lalu). Sukacita dimaklumkan perjalanan kali ini mengatasi satu rekod peribadi apabila meter kereta menunjukkan saya telah memandu sejauh 2374.9 km, jauh sedikit sahaja daripada perjalanan ke Pantai Timur setahun lalu yang mukadimahnya diceritakan pada artikel Perjalanan 2367 km dan 4743 gambar. Perjalanan terbaru yang dimulakan Isnin minggu lepas ini memakan masa 10 hari 9 bulan di mana kami berehat 1 malam di negeri Pahang, 2 di Terengganu, 3 di Kelantan, 2 di Perak dan 1 di Selangor. Perhatikan corak 1-2-3-2-1...



Di makam Tok Kenali, Kubang Kerian, Kelantan petang Khamis



Selain mahu membawa anak terbaru berjalan-jalan seperti resmi dan kebiasaan kami anak beranak kami mahu membawanya berjumpa dua orang anak lebih tua yang menetap di Kelantan. Anak tersebut yang menetap bersama seorang bapa saudara mereka akhir sekali kami temui hampir setengah tahun lalu. Selepas mendapat berita telah memiliki adik baru, tentunya mereka ingin melihatnya. Cuma buat masa ini anak-anak tersebut belum ada kesempatan bercuti lama untuk kembali ke Bandar Tasik Puteri, apa lagi anak yang tua sedang membuat persediaan untuk menghadapi peperiksaan UPSR tahun ini. Apa salahnya kami ke sana sementara isteri masih lagi dalam tempoh cuti bersalin 60 hari?

Kami juga mahu mengambil kesempatan untuk melawat beberapa tempat yang tidak sempat disinggahi dalam perjalanan ke Pantai Timur setahun lalu. Antaranya adalah masjid lama di Pulai Chondong, Kelantan dan makam Sultan Yahya Siak di Dungun, Terengganu. Laluan dipilih agar kami juga dapat melawat tempat-tempat yang baru kebelakangan ini timbul rasa untuk dijejaki, misalnya makam diraja lama Pahang di Lubuk Pelang, Jerantut dan Gunung Senyum yang terletak di antara Temerloh dan Jengka. Isteri saya juga tidak pernah sampai ke Gerik dan Tasik Banding di Perak lalu saya memilih untuk mengambil laluan situ apabila meninggalkan Kelantan untuk kembali ke rumah.





Di Bukit Chandan, Perak Ahad malam Isnin. Kelihatan tandu diraja yang digunakan untuk mengusung jenazah masih terletak di hadapan Masjid Ubudiyah, bersebelahan makam diraja Al-Ghufran





Dalam pada itu kami mendapat satu berita sedih apabila Raja Kecil Sulong Perak, Raja Ashman Shah ibni Sultan Azlan Shah, Perak meninggal dunia tengah malam Jumaat. Sebagai pemimpin tariqat Naqsyabandiah Haqqani di Asia Tenggara, kehilangan anak raja yang turut dikenali sebagai Sheikh Raja ini amat memeranjatkan. Di kala guru dan ketua beliau Sheikh Nazim di Cyprus yang berumur sekitar 90an gitu diketahui sedang uzur di Cyprus, benua Eropah, Raja Ashman yang berumur sekitar pertengahan 50an pula boleh kembali ke rahmatullah terlebih dahulu. Mengikut ceritanya beliau mangkat akibat serang penyakit lelah. Kehilangannya sangat dirasai oleh ramai pengikutnya dan oleh mereka yang mengenalinya secara peribadi. Takziah diucapkan kepada semua terutama ahli keluarga.

Terbetik di fikiran apakah ini alamat anak kecil saya Rasyid yang berumur hampir dua tahun setengah boleh kehilangan satu gigi hadapan sejurus sebelum pengembaraan terbaru ini dimulakan? Kata orang, kalau mimpi hilang gigi, itu bermakna orang yang rapat dengan kita akan meninggal dunia tetapi bagaimana pula kalau hilang secara nyata? Adapun Ahad malam Isnin, Rasyid yang sedang seronok bermain pusing-pusing di ruang tamu tiba-tiba tergelincir akibat terpijak majalah lalu jatuh tersembam muka dahulu ke lantai. Akibatnya, sebatang gigi kapaknya tercabut terus keluar dari gusi, lengkap dengan akarnya sekali!

Alhamdulillah walau menangis mengadu sakit dan keluar darah agak banyak beliau kembali ceria tidak lama selepas itu. Siangnya pengembaraan pun dimulakan dengan kami anak-beranak pergi ke Janda Baik sebelum bermalam di Raub. Awal pagi Jumaat, ketika bermalam di Kota Bharu saya mendapat SMS memberitahu Raja Ashman sudah kembali ke rahmatullah. Tergamam lama saya mendengar berita ini. Apakah gigi tercabut Rasyid itu satu petanda?

Ketika itu kami baru sahaja dapat meluangkan masa bersama anak-anak yang menetap di Kelantan. Setelah mengambil mereka Khamis selepas Zuhur di rumah bapa saudara mereka, kami menyewa hotel di tepi Sungai Kelantan di Kota Bharu lalu masuk berehat. Selepas 3 malam bersama baru mereka dipulangkan kerana pagi Ahad perlu kembali bersekolah. Tengahari itu juga kami menghala ke Perak. Apabila sampai ke Kuala Kangsar, terus menuju k Bukit Chandan. Selain mahu menziarahi makam-makam kaum kerabat dari belah hilir Perak, kami juga mahu ke makam Raja Ashman yang terletak di dalam lingkungan terdekat makam-makam keturunan Sultan Idris I (memerintah Perak 1887-1916).

Saya rasa cukuplah coretan buat masa ini ya. Selepas ini saya akan membuat 3 buah artikel baru untuk mengumpulkan links bagi artikel-artikel berkenaan seminar/forum sejarah, kumpulan artikel "Kembara Johor-Riau" dan kumpulan artikel "Jejak 'Berpetualang ke Aceh'". Kemudian baru boleh dimulakan siri baru yang akan dipanggil "Pengembaraan Johan ke separuh Semenanjung". Selamat malam! :]



Tiada ulasan: