Merujuk pada artikel Mencari jejak Orang Kaya Arshad melalui dokumentasi lama British yang dipersembahkan dua hari lalu juga artikel Misi Keluarga Laksamana part II - Dari Lubuk Merbau ke Kuala Kangsar membawa ke Ulu Slim pagi tadi. Kedua-kedua artikel ada menyebut saya perlu menghadiri satu majlis melibatkan institusi beraja. Ini ceritanya...
Awal pagi Rabu 27 Julai 2022. Selepas sedikit rehat sekembalinya dari perjalanan di Perak lewat hari Selasa malam Rabu saya pun bergerak ke Kuala Lumpur untuk menghadiri majlis.
Sampai ke lokasi iaitu Hotel Ancasa berdekatan Perhentian Pudu Raya terlupa hendak mengambil gambar hotel. Sebaliknya bangunan PNB118 setinggi lebih 600 meter pula yang menarik perhatian. Eh sat sat. Rasanya yang kanan itu Hotel Ancasa...
Masuk ke dewan majlis kelihatan ramai sudah menunggu untuk mengikutinya.
Mungkin kerana topiknya "Institusi Beraja : Prospek Masa Hadapan Institusi Beraja di Malaysia" begitu menarik. Ia dianjurkan oleh Muzium Diraja yang bertempat di Istana Lama (untuk Yang-di Pertuan Agong dahulu), Kuala Lumpur, satu badan di bawah Jabatan Muzium Malaysia.
Saya pula, selain mahu mengikuti majlis, mahu bertemu dengan pemberi ucaptama iaitu Profesor Emeritus Datuk Dr. Abdullah Zakaria bin Ghazali. Ini kerana sudah lama tidak berjumpa beliau, rasanya kali terakhir pada awal tahun 2020, mungkin 2019 gitu. Selain selalu mengikut syarahan-syarahan beliau di majlis-majlis kami juga sering berbincang tentang sejarah secara peribadi termasuk di pejabat beliau di Universiti Malaya yang penuh dengan pelbagai dokumen termasuk surat-surat khabar lama. Kali terakhir menghubungi beliau sekitar sebulan lalu saya ada meminta nasihat tentang bagaimana hendak mencari apa-apa catatan tentang datuk kepada datuk saya yang merupakan anak dan waris utama kepada Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin (dibuang ke Pulau Seychelles bersama Sultan Abdullah Perak tahun 1877). Rujuk hal berkenaan dalam artikel
Mencari jejak Orang Kaya Arshad melalui dokumentasi lama British.
Selepas sesi pengenalan oleh pihak muzium Abdullah pun memberikan ucaptama. Beliau menceritakan sejarah panjang institusi diraja di Semenanjung Tanah Melayu dengan menyatakan ia telah berusia sekurang-kurang 13 abad bermula di Kedah pada tahun 630 Masihi. Kesultanan pula bermula apabila seorang raja Kedah memeluk Islam lalu memakai nama Sultan Muzaffar Syah bermula tahun 1136 Masihi.
Disorot pula sejarah Kesultanan Melaka yang bermula tahun 1262 Masihi (melalui kajian yang diwar-warkan sekitar tahun 2010. Sebelum itu ia dinyatakan bermula sekitar tahun 1400an) yang naik gemilang pada zaman pemerintahan Sultan Muzaffar Syah diikuti anaknya Sultan Mansur Syah, cucunya Sultan Alauddin Riayat Syah dan cicitnya Sultan Mahmud. Pada tahun 1511 Portugis datang lalu menduduki Kota Melaka. Namun Kesultanan tidak terhenti kerana Sultan Mahmud masih hidup walaupun harus bertakhta di tempat-tempat lain. Tahun 1528 baru Kesultanan Melaka boleh dikatakan tamat. Ini kerana anaknya Raja Ali yang memakai nama Sultan Alauddin Riayat Syah memulakan Kesultanan Johor sementara seorang lagi anak, Sultan Muzaffar Syah memulakan Kesultanan Perak pada tahun 1728.
Cabaran demi cabaran terhadap Kesultanan-kesultanan Melayu diceritakan panjang lebar termasuk ancaman Belanda di Perak juga Johor, Perang Musuh Bisik yang menyaksikan Kedah berada di bawah pemerintah Siam 1821-1842 sementara Sultan Kedah terpaksa berlindung di luar negeri, Perjanjian Inggeris-Belanda 1824 yang memecahkan Kesultanan Johor (juga dikenali sebagai Johor-Riau-Lingga) menjadi dua bahagian, satu ke utara Singapura, satu ke selatan, Perjanjian Pangkor 1874 yang mana seorang Residen Inggeris harus dipakai nasihatnya membawa ke zaman Malay Union 1946 hingga pembentukan Persekutuan Tanah Melayu tahun 1948. Namun institusi beraja tetap terus bertahan walaupun kuasanya banyak dikurangkan sehingga British boleh menentukan malah membuang raja.
Malah raja-raja sebenarnya banyak memainkan peranan. Ini termasuk dalam membentuk isi Perlembagaan juga dalam menuntut kemerdekaan dari British (yang akhirnya membawa pada tarikh keramat 31 Ogos 1957). Cuma raja-raja tidak semestinya hadir secara fizikal dalam rundingan-rundingan berkenaan. Yang pasti wakil-wakil atas nama raja dihantar, satu fakta yang saya lihat seperti cuba digelapkan oleh puak-puak politik yang sengaja merendahkan peranan raja-raja, untuk mengangkat pihak mereka dan parti sebagai penyelamat orang Melayu.
Selepas itu baru diadakan sesi pembentangan yang lebih santai atau bicara naratif. Encik Mohd Ismail Adnan daripada RTM (Radio Televisyen Malaysia) yang biasa mengacarakan program-program televisyen tayangan RTM pun mengendalikan sesi.
Tiga orang panelis berwibawa ditanyakan soalan secara bergilir-gilir. Mereka adalah :-
1. Profesor Datuk Dr Shamrahayu Abdul Aziz, penyandang Kursi Institusi Raja-raja Melayu, UiTM (Universiti Teknologi MARA)
2. Prof Madya Dr. Muhammad Fathi Yusof, Fakulti Teknologi dan Informatik Razak, UTMKL (Universiti Teknologi Malaysia cawangan Kuala Lumpur)
3. Prof Madya Dr Khalif Muammar A Harris, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan
Shamrahayu yang merupakan seorang pakar undang-undang menekankan tentang kepentingan institusi beraja seperti diperuntukkan dalam Perlembagaan Negara.
Muhammad Fathi membawa pendekatan realiti sosio-politik negara dalam memperkatakan kepentingan institusi.
Khalif Muammar yang merupakan anak murid pemikir besar Islam, Tan Sri Profesor Syed Naquib al-Attas menekankan betapa pentingnya ilmu dan adab dalam menanggapi perkara.
Secara rata semua bersetuju institusi beraja tetap akan terus relevan di Malaysia. Hal ini boleh dilihat apabila Perdana Menteri ke-7, Tun Dr Mahathir meletakkan jawatan lalu seluruh kabinet barisan menteri terbubar dengan sendirinya awal tahun 2020. Buat beberapa lama Malaysia secara rasminya tidak memiliki pentadbiran politik (orang biasa sebut kerajaan sedangkan kerajaan bukan sekadar orang politik) kerana menunggu Perdana Menteri dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong. Namun pentadbiran negara secara keseluruhannya tetap masih berjalan kerana para penjawat awam masih ada, di bawah naungan institusi beraja dengan Agong sebagai ketua sebenar negara (bukan Perdana Menteri ya).
Ini menunjukkan bagaimana institusi sangat diperlukan untuk menjamin kestabilan pada kala puak politik sering berbalah dan mudah bertukar arah dan fikiran demi menjaga kepentingan sendiri dan parti. Cuma ada yang perlu diperbaiki agar institusi beraja dapat dipandang tinggi dan mulia oleh semua. Antaranya adalah para raja harus memperbaiki diri peribadi mereka sesuai dengan kedudukan sebagai ketua agama Islam bagi peringkat negara dan bagi setiap negeri.
Dengan itu penekanan diberikan terhadap bagaimana hendak menjadi seorang raja yang berwibawa seperti dinyatakan dalam kitab-kitab lama seperti Nasihatul Muluk oleh Imam Ghazali. Oleh kerana baiknya rakyat bergantung pada pemerintah sedangkan baiknya pemerintah bergantung pada ulamak, harus dikenali terlebih dahulu siapakah yang betul-betul ulamak lalu layak diangkat untuk menolong menasihati raja. Ini kerana sudah beberapa lama berlaku kekeliruan tentang siapakah itu ulamak. Apakah semata-mata kerana pandai hukum fekah, baca Al-Quran membuat tafsiran bagai? Sedangkan bagi ulamak zaman silam semasa zaman kegemilangan Islam ilmu-ilmu sebegitu cuma asas sahaja. Mereka tahu dan cukup faham banyak lagi ilmu termasuk matematik, sains, siasah, kewangan dan macam-macam lagi.
Untuk mengikuti sendiri majlis lihat rakaman video masuk
sini. Untuk makluman ini adalah artikel ke-2,288 di
blogspot CATATAN SI MERAH SILU.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan