Salam semua dan selamat tahun baru 2021. Artikel ini sepatutnya sudah dipersembahkan pada hari pertama tahun baru 2 hari lalu. Tetapi disebabkan beberapa hal hari ini 3 Januari baru dapat menulisnya. Bersambung cerita daripada artikel Perjalanan di selatan penghujung 2020 - Antara Al-Attas dan Al-Jilani.
Artikel sebelum ini, artikel terakhir saya bagi tahun 2020 telah ditutup dengan gambar ini berserta kata-kata berikut :-
Di sini berjumpa pula dengan seorang kawan lama daripada zaman sekolah menengah di Sekolah Menengah Sains Johor di Kluang tahun 80an. Rupa-rupanya ada semacam kesinambungan juga antara perjumpaan dengan beliau dengan apa yang akan berlaku pada hari seterusnya.
Adapun dalam penulisan di blogspot saya jarang menyebut nama sebenar orang-orang yang ditemui dalam suatu perjalanan. Saya lebih selesa setakat menyebut saudara, kawan atau orang. Tapi kali ini biar disebut nama kawan di atas adalah Kamaruzaman. Ini kerana cerita kali ini melibatkan nama beliau.
Bagaimana boleh jadi begitu? Nanti diterangkan. Pagi Khamis 24 Disember 2020 kami meninggalkan rumah adik di Kempas, Johor Bahru tempat kami menginap 2 malam. Kami mahu menuju kembali ke arah utara dengan membuat persinggahan ke beberapa tempat.
Mula sekali ke rumah seorang sepupu ibu saya di Skudai mana seorang datuk saudara sedang berehat. Datuk berumur 96 tahun ini adalah satu-satunya daripada generasi datuk saya sebelah ibu yang masih hidup.
Kemudian ke rumah seorang adik ibu saya, juga di Skudai. Di sini timbul rasa kepenatan amat lalu saya terlelap.
Dekat jam 3.30 baru kembali bergerak.
Saja ikut jalan belakang menghala ke Kluang.
Setelah beberapa lama kelihatanlah Gunung Lambak yang menunjukkan bandar Kluang sudah dekat.
Seterusnya kami bergerak ke Sekolah Menengah Sains Johor di timur bandar.
Berbalik pada kawan bernama Kamaruzaman. Kami pernah bersama menginap dalam satu bilik daripada Tingkatan 1 hingga Tingkatan 4.
Sesungguhnya sekolah dan bandar meninggalkan begitu banyak kenangan. Lihat
Reliving memories of Kluang town. Hal ini pernah dikongsikan dalam beberapa artikel lama. Lihat :-
Ini pula di rumah seorang kawan bernama Kamarulzaman. Saya mula mengenalinya sekitar tahun 2015 kalau tak salah ingatan. Selepas beberapa lama menetap di Kuala Lumpur beliau kembali ke kampungnya di Kluang lalu menetap di suatu tempat. Ketika mendapat tahu saya sedang berada di Johor Bahru beliau telah berpesan agar datang ke rumah lalu mengajak bermalam.
Tentang kawan sekolah lama bernama Kamaruzaman (ejaan lain sedikit) sebetulnya terdapat beberapa orang kawan sama sekolah yang turut menetap di JB sekarang. Tapi kalau hendak bertemu semuanya tentu tak sempat dan tidak cukup kelapangan. Cukuplah dipilih beliau seorang memandangkan kami bukan sahaja pernah duduk sebilik malah tarikh lahir pun sama iaitu 26 November 1970.
Adapun ketika berhubung dengan beliau melalui WhatsApp untuk mengatur pertemuan saya beberapa kali hampir tersilap menghantar pesanan kerana turut berhubung dengan Kamarulzaman bagi mengatur pertemuan di Kluang. Itulah sebab timbul ilham untuk memberi artikel ini tajuk "Daripada Kamaruzaman ke Kamarulzaman". Ini kerana setelah bertemu kawan lama bernama Kamaruzaman di JB saya bertemu pula kawan agak baru bernama Kamarulzaman di Kluang. Sedangkan Kluang adalah tempat saya berkenalan dengan Kamaruzaman jauh lebih awal.
Sesungguhnya baik nama Kamaruzaman (boleh juga dieja Kamaruzzaman) mahupun Kamarulzaman adalah merujuk kepada perkataan Arab yang sama iaitu Qamar ul Zaman. Qamar bermakna bulan, zaman adalah zaman, boleh juga merujuk pada masa. Setakat ini apabila diGoogle makna nama Kamaruzaman atau Kamarulzaman yang saya jumpa adalah "bulan masa". Entah apa maknanya. Harapnya ada sesuatu yang sangat baik akan muncul tidak lama lagi. Amin. :]
Nota tambahan : Baru teringat. Saya ada membuat Facebook Live semasa masuk melawat Sekolah Sains Johor lalu menerangkan tentang tempat-tempat di dalamnya seperti bengkel seni perusahaan dan asrama putera berserta kenangan-kenangan lama berkenaan. Ditunjukkanlah laluan lama zaman nakal seperti panjat pagar lari keluar. Boleh lihat di sini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan