Oleh kerana saya mahu mencampur-adukkan cerita motosikal dengan cerita pemilihan UMNO, biarlah perhatian dialihkan sebentar. Seorang rakan pernah memberitahu Tan Sri Muhammad Taib membuat keputusan untuk bertanding jawatan timbalan presiden UMNO disebabkan Tan Sri Ali Rustam turut bertanding. Katanya Mat Taib takkan masuk campur kalau Tan Sri Muhyiddin sahaja yang bertanding kerana mereka satu kem. Tetapi dia 'terpaksa' juga kerana ada Ali Rustam...
Ini kerana Ali dipandang sebagai orang Pak Lah yang diharapkan dapat meneruskan legasi atau apa-apa polisinya setelah perdana menteri Malaysia itu teruk diasak untuk melepaskan jawatan. Demi mengelakkan dari terus diasak serta timbul kemungkinan berlaku sesuatu yang lebih drastik akibat prestasi teruk UMNO dan Barisan Nasional semasa Pilihanraya Nasional ke 12 tahun lepas, Pak Lah pun sedia menyatakan diri untuk berundur. Tetapi mahukah orang-orang keliling Pak Lah terutama menantunya Khairy dan orang-orangnya yang mendapat keuntungan besar melalui kedudukan Pak Lah melihatnya berundur? Seperti pernah disebut Tun Dr Mahathir (yang menggelar anak-anak muda keliling Pak Lah yang diambil sebagai penasihatnya sebagai budak Tingkat Empat, tingkat empat Jabatan Perdana Menteri, Putrajaya) tentu tidak.
Kalau boleh mereka mahu Pak Lah terus berkuasa sampai mereka sendiri dapat menjadi para peneraju kepimpinan negara secara terang (maknanya jadi perdana menteri dan ahli kabinet le...), bukan sekadar berkuasa di sebalik tabir seperti sekarang. Kalau dah jadi menteri besok, senang le buat apa yang patut untuk keuntungan diri sendiri, bukan macam sekarang, kena pakai nama pak mentua!
Tetapi desakan untuk berundur terlalu kuat sehingga tidak dapat lagi ditepis atau dielakkan. Dahulu ada yang kata mereka akan cuba menimbulkan suasana tidak enak seperti darurat yang boleh menghalalkan pegangan terus Pak Lah ke atas jawatan tertinggi eksekutif negara atas nama bertanggungjawab untuk mengembalikan keharmonian. Sambil itu mereka cuba merosakkan kredibiliti timbalan perdana menteri yang disebut bakal menggantikan Pak Lah iaitu Datuk Seri Najib Razak dengan terus menerus mencanangkan kes Altantuya di dalam dan luar negeri... dengan pertolongan pihak pembangkang yang ketuanya sebenarnya sealiran fikiran dengan budak-budak Tingkat Empat. Tetapi ini juga nampaknya kurang berkesan sedangkan masa peralihan kuasa semakin dekat.
Maka mereka perlu beralih ke pelan C... sebelum Pak Lah berundur, mereka perlu memastikan bahawa pegangan mereka terhadap institusi-institusi kerajaan dan GLC (syarikat berkaitan kerajaan) terus kukuh dengan menanam orang-orang mereka. Ini sudah lama dilakukan sejak Pak Lah mula naik menjadi perdana menteri dahulu. Tetapi orang-orang ini boleh ditukar jika naik pucuk pimpinan baru yang tidak sukakan mereka. Rasanya ramai dapat membaca bahawa Najib dan Khairy tidak sealiran bukan?
Ah! Apapun saya perlu membaiki keadaan. Terasa tidak enak mahu ke Masjid India apalagi ke Low Yatt Plaza di Bukit Bintang. Perjalanan menghala ke Masjid Jamek ditukar... terus masuk ke Jalan Raja Laut, naik balik melepasi Jalan Sultan Ismail sebelum memotong melalui bahagian selatan Chow Kit untuk ke kedai-kedai motosikal di Jalan Tuanku Abdul Rahman. Tetapi mereka tidak menjual cermin untuk motosikal besar... nak tak nak saya harus ke Sentul.
Ali Rustam disebut ramai sebagai orang Pak Lah. Bukanlah sebab Pak Lah nak pegang dia sangat tetapi mengikut ceritanya, Ali adalah orang yang dapat diharapkan untuk menolong Khairy terus meningkat naik dalam dunia politik apabila Pak Lah tidak berkuasa lagi. Ada pihak bimbang, jika Najib naik menjadi perdana menteri, karier Khairy dan orang-orangnya akan terus dicantas. Kalau ada Ali sebagai orang nombor dua, adalah juga backing kuat!
Lebih cantik lagi, jika Ali naik jadi timbalan presiden UMNO seterusnya timbalan perdana menteri Malaysia sedangkan Najib berjaya dikaitkan dengan kes pembunuhan Altantuya secara terang berlandaskan undang-undang. Najib boleh ditangkap dan dijatuhkan hukuman sedangkan Ali boleh terus naik jadi perdana menteri! Jangan ingat tiada orang yang berharap senario ini akan berlaku. Kata orang, Khairy dan orang-orangnya sudah pasti mendapat jaminan besar untuk terus naik jika ini berlaku. Bukankah Khairy merancang mahu menjadi perdana menteri sebelum masuk umur 40 tahun? Untuk mencapai rancangan itu, dia perlukan orang lama yang boleh membuka jalan dan orang baru sekitar umurnya untuk tolong menolaknya ke atas... apa ke namanya? Semangat setiakawan?
Maka itu menurut rakan saya yang memang sangat rapat dengan kepimpinan teratas negara terutama pada era Dr Mahathir, Mat Taib masuk bertanding semata-mata untuk memecahkan undi yang bakal diraih oleh Ali. Katanya Mat Taib sanggup berkorban untuk memastikan Muhyiddin dapat naik untuk membela Melayu, di kala Pak Lah ternyata begitu lembik untuk menangani pelbagai cabaran mendatang terutama asakan demi asakan ke atas konsep ketuanan Melayu malah keluhuran Islam itu sendiri oleh bangsa-bangsa lain sedangkan Najib pula terus dibelenggu masalah sendiri akibat isteri yang dikatakan lebih panggang dari api! Mereka-mereka yang satu kem mahukan Muhyiddin naik. Kalau apa-apa terjadi pada Najib, dia dilihat sebagai bakal perdana menteri terbaik untuk mengembalikan kedaulatan Melayu di sebalik segala macam asakan.
Katanya Mat Taib akan berundur sebaik sahaja kedudukan Muhyiddin sebagai bakal timbalan perdana menteri terjamin. Nah, sejak minggu lepas ternyata Ali tidak dapat bertanding kerana disahkan terlibat dengan politik wang. Jadi kenapa Mat Taib tak juga berundur? Jawab rakan itu (kalau tak salah ingatan), Mat Taib perlu dinaikkan agar dapat mendidik Muhyiddin untuk memegang tampung kuasa teratas. Pulak dah...
Apa yang saya rasa, barisan baru ini adalah berita baik buat UMNO. Walaupun saya sebenarnya tidak berapa sukakan Najib malah terasa amat menyampah mendengar ucapannya pada hari pembukaan persidangan UMNO yang saya rasa lebih control dan teatrikal berbanding isi sebenar hati yang jujur ingin melihat agama, bangsa dan negara terbela, saya rasa barisan ini diperlukan dan mampu untuk membersihkan segala kurap dan sampah-sarap yang dibawa masuk ke dalam UMNO dan kerajaan sejak Khairy mendapat pengaruh.
Ya, secara tradisionalnya Khairy harus diberikan satu jawatan menteri kerana telah rasmi menjadi ketua pemuda UMNO. Ini akan memberikannya ruang untuk meraih lebih banyak kedudukan dan kuasa untuk diri sendiri dan orang-orangnya demi mencapai cita-cita untuk menjadi perdana menteri Malaysia nanti. Tetapi bukankah telah dilaungkan banyak pihak bahawa UMNO harus berubah dan politik wang harus dibanteras hingga ke akar-umbi? Sepanjang apa yang saya dengar, Khairy dan orang-orangnyalah yang paling giat menabur wang untuk meraih pengaruh walaupun mereka tidak dapat ditangkap dan perbuatan mereka tidak dapat dibuktikan selama ini.
Sekarang siapa kata tiada bukti? Bukankah jawatankuasa disiplin UMNO telah mendapati Khairy bersalah mengamalkan politik wang? Cuma ia tidak cukup 'serius' untuk melarangnya daripada bertanding... kononnya. Kalau UMNO tidak boleh bertindak, apakah bermakna Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia harus duduk diam juga? Tidak kira banyak mana pun imbuhan yang ditawarkan, asalkan ada bukti telah berlaku politik wang, bukankah ia boleh dimasukkan ke dalam siasatan SPRM malah bukti yang ada pada jawatankuasa disiplin boleh digunakan untuk menjalankan pendakwaan?
Soalnya nak atau tidak. Atau betul kata orang, bahawa SPRM diterajui orang-orang yang dinaikkan oleh Khairy, cuma berguna untuk mencantas musuh-musuh politiknya sahaja? Sesekali sahaja ia dapat mendakwa orang yang dikira rapat dengan Khairy... itupun sebagai korban untuk menunjukkan 'ketelusan' dan kebebasan daripada pengaruh pihak atasan?
2 ulasan:
Salam MS,
Macam mana cermin baru?
Dah dapat menyesuaikan diri. Mudah2an tak lah pandangan sisi belakang terhalang sebab cerminnya kecil.
Kalau dapat sesuaikan, syukurlah, tak payah bersusah payah mikir nak menukarnya kembali.
Tiba2 teringat kat lagu MNasir.
DiBalik Cermin Mimpi. hehehe :)
Salam
Wassalam. Cermin OK, Bila dah biasa memang nampak cantik lak.
Elok gak cermin kecik. Kalau cermin besar, tiap kali tengok siap nampak muka sendiri. Kalau asyik pandang muka sendiri boleh naik ego woo. Sebab asyik pandang wujud diri sendiri tu le kita selalu terhalang dari melihat kewujudan Tuhan. Kini dengan cermin yang lebih kecik concentrate untuk memandang lalu-lintas di kiri dan kanan sahaja. Kira cukup untuk melihat kejadianNya sahaja, boleh le, hehe! :]
Catat Ulasan