Manakan dapat sagu kalau tidak dipecahkan ruyungnya?
Manakan dapat mutiara yang berkerlipan jika takut menyelam ke lautan dalam.
Dalam diri setiap manusia, ada seketul daging.
Jika baik ia, maka baiklah seluruh jiwa manusia itu.
Jika buruk ia, buruklah juga manusia itu...
Seketul daging itu adalah hati,
mari kita lapangkan dada dan belajar mengIKHLASkan hati.
Perjalanan seribu batu bermula dengan satu langkah.
Marilah meneroka dunia pemikiran hamba.
Silakan

Video klip yang tertera boleh dianggap sebagai pembukaan kepada dunia pemikiran dan kesukaan hamba...







-------------------------


-------------------------



Segala yang dipaparkan menggambarkan pemikiran penulis yang turut terserap di dalam setiap penulisan buku dan artikel. Lihat Cara-cara mendapatkan buku tulisan Merah Silu @ Radzi Sapiee. Di atas adalah satu klip video selama hampir setengah jam yang merupakan demo pilot episode yang mahu digunakan untuk mencadangkan satu siri pengembaraan menyusuri sejarah Melayu Islam sekeliling Nusantara untuk siaran televisyen. Entah mengapa ia menemui masalah. Kemudian penulis diberitahu konsepnya diciplak sebuah stesyen televisyen. Lihat Kembara Sejarah Islam Nusantara : The original material...



Ini adalah klip video ulasan buku ketujuh saya "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" berserta temuramah yang dibuat siaran langsung di Selamat Pagi Malaysia, RTM1. Lihat Siaran langsung ulasan buku "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" dan temu ramah di Selamat Pagi Malaysia.



Penulis juga pernah diminta membuat pembentangan mengenai siri buku "Berpetualang ke Aceh" di Masjid Sultan Salahuddin iaitu masjid negeri Selangor di Shah Alam. Lihat Buku "Berpetualang" dan himpunan ulamak Nusantara yang diketuai ulamak Aceh


-------------------------



Siri novel "Berpetualang ke Aceh" boleh didapati dalam bentuk e-book. Masuk http://www.e-sentral.com/, klik kategori novel am dan taip perkataan "Aceh" pada kotak carian. Atau terus klik Buku 1,Buku 2 dan Buku 3.





Gambar ketika menghadiri satu majlis ilmu, diambil oleh sebuah akhbar harian. Lihat Menghiasi Kosmo Alam Melayu...



Penerbitan trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" juga membawa penulis untuk terlibat dengan banyak majlis ilmu. Rujuk kumpulan links artikel di bawah tajuk "Siri Refleksi Sejarah", pada bahagian paling bawah kiri blogspot, . Penulis juga agak aktif dalam aktiviti-aktiviti kedaulatan Melayu dan Islam, dapat menganjurkan majlis-majlis sendiri di merata Semenanjung Malaysia membawa ke luar negara di Aceh. Lihat blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


Ketika menulis perenggan ini 4 Mei 2015 penulis sedang berusaha untuk mengembangkan isi 3 buku dalam siri "Berpetualang ke Aceh" menjadi 6 buku yang akan membentuk siri baru dipanggil "Siri Pengembaraan Merah Silu". Sebuah syarikat penerbitan telah bersetuju untuk menerbitkan siri lama itu kembali dalam bentuk yang lebih segar - Setiap buku asal dipecah menjadi 2 buku baru yang ditambah maklumat, gambar dan peta berwarna-warni.Pertengahan September 2015 buku pertama siri baru pun selamat diterbitkan. Seminggu lebih kemudian penulis berpeluang bercakap tentangnya secara siaran langsung dalam televisyen lalu membawa wakil penerbit bersama. Lihat video di bawah :-





Awal tahun 2015 turut menyaksikan penulis diambil menjadi penyelidik dan hos satu siri dokumentari yang dipanggil "Daulah Melayu". Projek 13 episod sepanjang sejam setiap satu ini mahu mengenengahkan formula untuk mengembalikan kekuatan bangsa Melayu. Insyaallah projek iakan membawa penulis untuk mengembara ke merata di Malaysia dan Indonesia juga ke beberapa negara dan tempat di Eropah termasuk ke kota London, tempat penulis mengambil ijazah matematik 1991-1995. Siri dokumentari ini dijangka siap untuk tayangan televisyen dalam tempoh 2 tahun.


Pada 13 Mei 2023 buku ke 13 + 1 penulis (pertama setelah yang ke-13 terbit tahun 2019 lalu mula memberikan tumpuan pada pengajian pascasiswazah di ISTAC iaitu Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam di Bukit Tunku, Kuala Lumpur), Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin & Orang Kaya Arsyad telah dilancarkan oleh sejarawan ulung negara, Profesor Emeritus Datuk Dr Abdullah Zakaria Ghazali di rumah penulis. Lihat Majlis pelancaran buku dan rumah terbuka raya 2023 - Melestarikan semangat perjuangan. Beliau yang bertanggungjawab memberikan kata-kata aluan dalam buku turut menjadi pembicara dalam diskusi yang diadakan di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2023 (berlangsung 26 Mei hingga 4 Jun). Lihat Bicara buku Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin di PBAKL 2023. Diskusi ini terakam dalam video atas diikuti video bawah...



Selasa, Mac 24, 2009

Perjalanan ke Jengka dan mood penceritaan terkini...

Gambar majlis nikah sepupu di Jengka minggu lepas. Tahniah Lin dan suami!


Hmm... ingatkan nak keluar makan sebelum kembali menyambung apa-apa posting di rumah. Tengok-tengok motosikal pula buat pasal tak mahu start. Lepas tu dalam kesibukan cuba nak betulkan apa yang patut, dapat pula panggilan dari pihak penerbit buku masjid meminta saya membuat sedikit pembetulan pada bahagian teks yang dikatakannya tergantung. Katanya akan dihantar melalui e-mail. Nasib baik saya masih di kawasan rumah... maka saya pun masuk ke dalam. Oh, untuk pengetahuan, saya baru pasang streamyx minggu lepas.

Saya pun membuka Internet dan e-mail. Tak masuk lagi... tunggu punya tunggu, saya membuat keputusan untuk menulis posting ini pula. Lagipun memang asalnya cerita ini, cerita berkaitan perjalanan terbaru yang dibuat untuk menyambut perkahwinan seorang sepupu di Jengka memang ingin dijadikan pembuka kesunyian setelah 3 minggu tidak bercerita.

Ah... tiba-tiba saya mendapat panggilan telefon. Rupa-rupanya isi teks yang ingin dibetulkan baru sahaja dihantar melalui e-mail... kenalah tengok sat. Hmm... bukan apa, mungkin struktur ayat yang digunakan sedikit kompleks padahal pada saya ia cukup terang. Rasanya eloklah ayat-ayat yang terlibat (ada dua bahagian) dipecahkan agar lebih senang dibaca. OK, settle... boleh sambung cerita di sini.

Dalam salah satu posting yang dibuat lebih sebulan lalu, saya ada memberitahu tidak ingin lagi berjalan jauh dalam masa terdekat. Kalau tak salah ingatan, kali terakhir saya berjalan agak jauh adalah ke Bukit Fraser, Raub dan Kuala Lipis awal Februari dan ini ada dinyatakan dalam artikel Perjalanan hujung minggu lalu - Bukit Fraser, Janda Baik, Raub dan Kuala Lipis yang dibuat 6 Feb. Dalam azam tidak ingin berjalan jauh itulah saya bercadang mahu melepaskan cerita mengenai apa yang berlaku ketika menunaikan umrah tahun 2005. Sebaliknya cerita itu masih tak terkeluar juga malah timbul rasa lain bahawa saya cuma boleh bercerita mengenai umrah itu setelah melepaskan satu cerita lain melibatkan seorang gadis dipanggil An-Nur yang nyaris-nyaris menjadi isteri saya awal 2005. Lihat artikel bahagian tengah artikel Perjalanan hujung minggu lalu - Bukit Fraser, Janda Baik, Raub dan Kuala Lipis .

Sebaliknya lagi, saya tak juga dapat mengeluarkan cerita tentang An-Nur sedangkan isteri saya sendiri sudah bertanyakan tentang itu, memandangkan dia tahu saya harus melepaskan sesuatu rasa sebelum dapat bergerak ke arah rasa yang seterusnya. Untuk mereka yang rajin mengikuti tulisan saya lalu jadi keliru dengan nama-nama (atau nama panggilan yang saya beri) terhadap gadis-gadis dalam hidup saya, nama An-Nur cuma pertama kali disebut dalam mana-mana blogspot saya melalui artikel Perjalanan hujung minggu lalu - Bukit Fraser, Janda Baik, Raub dan Kuala Lipis... kalau tak salah ingatan le. Nama yang sudah lama saya tolak ke tepi ini muncul kembali apabila tergerak melawat satu bahagian sungai di Janda Baik yang sudah lama tidak lawati.

Mereka yang sudah membaca siri novel "Berpetualang ke Aceh" kemudian mengikuti tulisan-tulisan di blogspots saya mungkin sudah terbiasa mendengar nama Nur, gadis yang dijadikan watak wanita utama dalam siri itu. Itu yang menyebabkan ada yang terkeliru, apakah An-Nur itu sama dengan Nur walhal mereka memang watak yang berlainan malah ternyata berpangkat saudara dua pupu gitu...

Mungkin ada yang akan keliru dengan semua ini. Lebih-lebih lagi kemudian muncul watak yang saya panggil sebagai Nur kedua, gadis yang kemudian menjadi isteri saya kini, dalam dunia nyata. Ya, semua watak-watak ini wujud dalam dunia realiti, bukan watak angan-angan atau ciptaan fikiran atau garapan penceritaan semata-mata. Sesungguhnya memang siri novel "Berpetualang ke Aceh" diatur berdasarkan pengalaman sebenar saya.

Adapun watak-watak ini ditimbulkan bukan semata-mata untuk suka-suka bercerita tetapi untuk melepaskan beban gerak rasa... sebelum dapat meneruskan kerja-kerja lain dan mencapai peringkat kehidupan seterusnya kerana itulah saya, menangani hidup menurut gerak rasa dengan sejujur yang mungkin walaupun harus membuka pekung di dada. Sebab itu saya rasa cerita An-Nur tetap harus dinukilkan nanti. Selepas itu baru boleh diceritakan apa yang berlaku ketika umrah 2005, di mana satu watak wanita lagi akan diperkenalkan kerana itu yang berlaku sebelum kita beralih kembali kepada cerita Nur.

Sebelum itu, elok dilepaskan dahulu apa-apa rasa dan gerak penceritaan berdasarkan perjalanan terbaru yang berlaku dalam tempoh seminggu kebelakangan. Seperti pernah disebut lebih sebulan lalu, saya tidak ingin berjalan jauh dalam tempoh terdekat kecuali pertengahan bulan Mac untuk ke Jengka dan ini telah pun berlalu. Perjalanan ke Jengka membuat saya dan isteri mengambil laluan lama dari Kuala Lumpur ke Bentong di mana terdapat beberapa pemandangan menarik yang elok dikongsi. Selepas bermalam di Raub, barulah ke Jengka... itupun selepas singgah di Kuala Lipis juga Kuala Tembeling di mana bermulanya perkhidmatan naik sampan bermotor masuk ke Taman Negara, sebelum ke Jerantut.

Saya juga buat pertama kali seumur hidup sempat singgah di Pulau Tawar di mana terdapat makam pahlawan Melayu Pahang terkenal Mat Kilau. Di sekitar Jengka pula, saya juga akhirnya sampai ke Gua Kota Gelanggi, satu destinasi yang 6 tahun lalu pernah tergerak mahu pergi apabila 'terikut' angin naik bas dari Temerloh ke Jerantut... sebaliknya, saya terus menukar arah ke Kuala Lipis apabila mendapati keretapi sampai di stesyen sebaik sahaja menjejakkan kaki. Dan di Kuala Lipis pula sekali lagi saya mengikut angin naik keretapi ke Gua Musang dan esoknya, buat pertama kali sampai ke makam dan masjid wali Allah terkenal Tok Kenali di Kota Bahru.

Hmm... terasa mahu copy and paste sedutan dari buku kedua "Berpetualang ke Aceh" dengan tajuk kecil "Membela Syiar yang Asal" yang ada menyebut cerita berkaitan ini. Untuk pengetahuan, buku ini turut disimpan di Library of Congress, America! Dan dengan kuasa Allah, 50 set siri novel ini kini sudah berada di tangan orang-orang penting di Aceh...


--------------------

 
Salah-satu aktiviti kegemaran Rasyid di Kuala Lumpur pada waktu lapang adalah berjalan santai seorang diri menyusuri Jalan Tuanku Abdul Rahman sambil memerhatikan ragam manusia sepanjang jalan. Ada masanya, dia suka bersiar-siar di sekitar Kompleks Pertama dan Sogo sebelum memasuki kedai buku berdekatan, ada masanya pula sekadar duduk melihat orang lalu-lalang di kawasan Masjid India yang sering dikerumuni kaum India Muslim serta para pengikut Tabligh. Di sekitarnya terdapat pelbagai aktiviti perniagaan jalanan termasuk menjual barangan pelik seperti keris lama dan cincin... Anak muda itu juga suka menghabiskan masa membelek-belek barangan yang ditawarkan.

Pada satu hari, ketika sedang duduk berehat di tembok luar masjid, muncul seorang hamba Allah bertubuh pendek gempal, kulit sawo matang memakai cermin-mata gelap bergaya, berjubah putih berkopiah dan berserban. Lelaki berumur sekitar 50 hingga 60an itu lalu di kawasan tembok yang sering menjadi tempat duduk orang-ramai melepaskan lelah... Entah kenapa, dia membuat gaya seperti mengira-ngira jumlah orang yang duduk sambil menghulurkan jari telunjuknya ke arah mereka satu-persatu. Sampai kepada Rasyid dia tersenyum lalu menegur: “Hah kamu! Mari ikut aku! Belanja aku makan…”

Pemuda itu terasa pelik dan janggal mendengar “perintah” pakcik ini... Manakan tidak, entah siapa, datang daripada mana, tiba-tiba sahaja boleh muncul memberikan arahan tanpa mengenalkan diri... Tetapi dia cuma mengangguk bersetuju lalu bangun menurut langkah orang tua itu! Rasyid percaya mesti ada hikmah di sebalik kejadian ini... Pengalaman bertahun berkelana tanpa rancangan dan arah tujuan yang pasti telah membuktikan ada sesuatu yang akan dipelajarinya nanti. Mereka pun bergerak ke warung berdekatan. Pakcik ini mula memesan segelas teh tarik, anak muda itu pula meminta teh tarik halia.

Ganjil juga penampilan hamba Allah ini. Bayangkan seorang tua berjubah berkopiah dengan pembawakan agak rugged, kata orang muda ada gaya rock... Dia mula bertanyakan asal-usul Rasyid lalu membuka cerita. Sambil-sambil itu, tangannya mengambil kuih-muih yang tersedia di atas meja sehingga pemuda itu mula membuat kira-kira dalam hati... Maklumlah, dia cuma memiliki kurang RM5 di dalam poket, takut tidak cukup untuk perbelanjaan hari itu nanti.

Pakcik itu seolah-olah dapat membaca isi hatinya lalu menegur: “Kamu ada cukup duit tak? Kalau tidak biar aku sahaja yang bayar…”

Rasyid terasa malu lalu menjawab: “Tidak mengapalah pakcik! Bukankah saya sudah bersetuju untuk membelanja pakcik? Biar saya yang bayar...”

Orang tua itu tersenyum lalu menyambung cerita. Entah kenapa, anak muda itu terasa ingin mengadu tentang keadaannya yang agak dhaif ketika itu, bagaimana dia sudah lama tidak bekerja sedangkan duit simpanannya sudah susut teruk! Motor besar kesayangan yang sering menemaninya mengembara ke merata ceruk rantau pula sudah lama tidak diservice, selalu sangat “batuk” dan banyak ragamnya. Ah... Memang keadaannya sangat teruk ketika itu...

Sebaik sahaja selesai makan hamba Allah itupun bangun untuk beredar. Selain memberikan sepotong ayat Al-Quran untuk diamalkan (sudah lupa apakah fadhilatnya), sempat juga dia memujuk dan memberikan tawaran…

“Jangan risau,” katanya. “Kalau ada masalah, cari sahaja aku…”

Hairan Rasyid mendengar tawarannya. Sudahlah itu kali pertama dia terjumpa orang ini, tidak pernah dilihat di Masjid India atau di mana-mana... Pakcik itu juga tidak meninggalkan alamat rumah atau tempat kerja, nombor telefon atau apa-apa cara untuk berhubung, lalu bagaimana hendak mencarinya? Pemuda itu bingung tetapi setakat sempat bertanya siapakah namanya. 

Hamba Allah itu tersenyum lebar lalu menjawab “Muhammad Yusuf!” kemudian terus pergi. Sepertimana dia sampai, begitu juga dia menghilang... Penuh misteri meninggalkan tanda-tanya siapakah sebenarnya orang tua ini...

Dua minggu kemudian, Rasyid tergerak untuk menziarahi rumah almarhum nenek di Raub, Pahang... Setelah hampir setengah tahun tidak bertandang. Selepas beberapa malam berehat di sana, ibu saudara yang menjaga rumah itu pula harus pergi ke Kuala Terengganu untuk menghadiri kursus. Seorang anak angkatnya bersedia menghantar dengan kereta sampai ke Temerloh. Di sana, barulah ibu saudara ini mengambil bas ekspress ke Kuala Terengganu.

Rasyid tidak mempunyai apa-apa rancangan tetapi ingin berjalan. Dia pun menumpang sama, ikut sahaja ke mana kereta itu pergi... Sampai ke bandar di tepi Sungai Pahang itu, timbul pula keinginan untuk melawat Gua Kota Gelanggi yang terletak di sekitar Jengka. Selepas menaiki bas sampai ke Jerantut, pemuda itu terus memeriksa jadual bas ke sana. Perkhidmatan seterusnya cuma akan bergerak sejam lagi, maka dia pun cuba mengisi masa dengan berjalan-jalan di sekitar pekan. Sedar tak sedar, sampai pula ke stesyen keretapi...

Kebetulan keretapi ke utara pantai timur yang cuma berkhidmat sehari dua kali sampai ke stesyen waktu itu. Serta-merta timbul gerak spontan untuk menaikinya hingga ke Kuala Lipis. Di bandar yang diapit tebing Sungai Jelai serta kuala Sungai Lipis itu pula, anak muda itu tergerak untuk pergi ke masjid lama pekan yang didirikan awal tahun 1888... Letaknya bersebelahan stesyen bas dan mengikut ceritanya masjid ini tidak pernah disentuh banjir walaupun air naik melimpah sampai ke stesyen yang terletak 10 kaki lebih tinggi daripada kawasan masjid. Niat awalnya mahu bermalam di masjid tetapi selepas solat Asar, tergerak pula untuk ke stesyen keretapi melihat jadual perjalanan seterusnya.

Kebetulan lagi, keretapi ke utara pantai timur sampai ke stesyen sebaik sahaja Rasyid menjejakkan kaki. Tanpa berfikir panjang, hamba Allah yang suka berjalan “mengikut arah angin” inipun naik sampai ke destinasi terakhir keretapi di Gua Musang, Kelantan. Niat untuk bermalam di masjid lama Kuala Lipis pun bertukar menjadi sesi bermalam di surau KTM (Keretapi Tanah Melayu) tidak jauh daripada stesyen. Muncul pula beberapa orang musafir menumpang sama termasuk sepasang suami isteri dan dua orang lelaki anak jati Kelantan.

Entah kenapa, mereka mula bercerita tentang bermacam perkara pelik yang pernah berlaku di Kelantan. Terkeluarlah nama Tok Kenali sehingga Rasyid teruja untuk bertanya tentangnya... Barulah dapat tahu makam dan masjid Tok Kenali terletak di Kubang Kerian, Kota Bahru. Keesokan harinya dia terus ke sana. Di makam itulah Rasyid juga mendapat tahu wali Allah yang telah kembali ke Rahmatullah lebih 70 tahun lalu ini bernama Muhammad Yusuf, sama dengan nama orang tua misteri yang ditemui di Masjid India dua minggu lalu!


--------------------
 
OK... maka akhirnya saya sampai juga ke Gua Kota Gelanggi setelah 6 tahun perjalanan ke sana tertunda. Setelah selesai majlis perkahwinan di Jengka, rupa-rupanya ada perjalanan lain menyusul terus selepasnya. Hari Khamis 19 Mac, keluarga kami harus menghantar pengantin ke rumah keluarga sebelah lelaki ke Bagan Datoh, Perak. Allah! Ternyata segalanya sudah dirancang... Bagan Datoh atau lebih tepat di Kampung Selekoh sudah begitu dekat dengan kampung asal keluarga kami di Teluk Intan, kampung yang kami sudah jarang-jarang menjenguknya kerana datuk saya, bapa kepada bapa meninggalkannya untuk berhijrah ke Raub, Pahang penghujung tahun 1940an.

Ini membuka satu lagi peluang. Saya sudah bercadang mahu mengajak ayah dan ibu bermalam di rumah saya dan isteri. Sejak kami berkahwin 3 bulan lepas, mereka belum pernah sampai ke rumah kami... maklumlah rumah mereka di Muar bukannya dekat, datang ke Kuala Lumpur pun bukannya selalu walaupun mereka juga memiliki sebuah rumah di Kajang. Kedudukan rumah kami di Bandar Tasik Puteri cukup dekat untuk ke Kuala Selangor seterusnya ke Bagan Datoh. Maka masuk hari Rabu bermalamlah ibu dan ayah di rumah saya dan isteri sebelum kami bersama ke rumah pengantin lelaki.

Selepas majlis, kami dan keluarga adik-beradik ayah sempat berjalan ke pekan Bagan Datoh untuk melihat bahagian kuala Sungai Perak yang meluas di sana. Kemudian kami dapat ke Teluk Intan menziarahi makam datuk saya dan ahli keluarga lain di sebelah masjid lama Batak Rabit serta melihat beberapa orang saudara mara yang masih hidup. Ayah dan ibu terus bermalam di rumah kami hingga pagi Sabtu. Dalam tempoh masa itu dapat kami membawa mereka berjalan ke beberapa tempat yang mereka tidak pernah pergi.

Segala ini menjadi cerita tersendiri yang tak disangka. Untuk pengetahuan, itulah kali pertama saya ke Perak sejak berlaku kes pertukaran kerajaan (yang disebut sesetengah orang sebagai kerajaan "Pasir Dua Butir") yang menerbitkan banyak kekeliruan dan permasalahan yangboleh menjejaskan kedudukan orang Melayu. Itulah juga kali pertama sejak sekian lama saya ke sana bersama ramai ahli keluarga sebelah bapa, mengingatkan kami kepada warisan turun-temurun yang sudah lama ditinggalkan akibat kehidupan moden.

Bagi saya yang banyak membuat kerja menurut gerak rasa, semua ini harus diluahkan di blogspots yang ada. Cuma tak pasti bagaimanakah harus mengaturnya... yang pasti, gambar masjid-masjid dan makam sesuai diletak di dalam blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART) sedangkan saya kini lebih cenderung meletakkan gambar-gambar pemandangan di blogspot BERPETUALANG KE ACEH . Jadi apa yang tinggal untuk blogspot ini? Tengoklah... sekurang-kurang sedikit cetusan rasa sekitar makam Mat Kilau harus disajikan di sini. Nantikan ia... :]


Tiada ulasan: