Manakan dapat sagu kalau tidak dipecahkan ruyungnya?
Manakan dapat mutiara yang berkerlipan jika takut menyelam ke lautan dalam.
Dalam diri setiap manusia, ada seketul daging.
Jika baik ia, maka baiklah seluruh jiwa manusia itu.
Jika buruk ia, buruklah juga manusia itu...
Seketul daging itu adalah hati,
mari kita lapangkan dada dan belajar mengIKHLASkan hati.
Perjalanan seribu batu bermula dengan satu langkah.
Marilah meneroka dunia pemikiran hamba.
Silakan

Video klip yang tertera boleh dianggap sebagai pembukaan kepada dunia pemikiran dan kesukaan hamba...







-------------------------


-------------------------



Segala yang dipaparkan menggambarkan pemikiran penulis yang turut terserap di dalam setiap penulisan buku dan artikel. Lihat Cara-cara mendapatkan buku tulisan Merah Silu @ Radzi Sapiee. Di atas adalah satu klip video selama hampir setengah jam yang merupakan demo pilot episode yang mahu digunakan untuk mencadangkan satu siri pengembaraan menyusuri sejarah Melayu Islam sekeliling Nusantara untuk siaran televisyen. Entah mengapa ia menemui masalah. Kemudian penulis diberitahu konsepnya diciplak sebuah stesyen televisyen. Lihat Kembara Sejarah Islam Nusantara : The original material...



Ini adalah klip video ulasan buku ketujuh saya "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" berserta temuramah yang dibuat siaran langsung di Selamat Pagi Malaysia, RTM1. Lihat Siaran langsung ulasan buku "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" dan temu ramah di Selamat Pagi Malaysia.



Penulis juga pernah diminta membuat pembentangan mengenai siri buku "Berpetualang ke Aceh" di Masjid Sultan Salahuddin iaitu masjid negeri Selangor di Shah Alam. Lihat Buku "Berpetualang" dan himpunan ulamak Nusantara yang diketuai ulamak Aceh


-------------------------



Siri novel "Berpetualang ke Aceh" boleh didapati dalam bentuk e-book. Masuk http://www.e-sentral.com/, klik kategori novel am dan taip perkataan "Aceh" pada kotak carian. Atau terus klik Buku 1,Buku 2 dan Buku 3.





Gambar ketika menghadiri satu majlis ilmu, diambil oleh sebuah akhbar harian. Lihat Menghiasi Kosmo Alam Melayu...



Penerbitan trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" juga membawa penulis untuk terlibat dengan banyak majlis ilmu. Rujuk kumpulan links artikel di bawah tajuk "Siri Refleksi Sejarah", pada bahagian paling bawah kiri blogspot, . Penulis juga agak aktif dalam aktiviti-aktiviti kedaulatan Melayu dan Islam, dapat menganjurkan majlis-majlis sendiri di merata Semenanjung Malaysia membawa ke luar negara di Aceh. Lihat blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


Ketika menulis perenggan ini 4 Mei 2015 penulis sedang berusaha untuk mengembangkan isi 3 buku dalam siri "Berpetualang ke Aceh" menjadi 6 buku yang akan membentuk siri baru dipanggil "Siri Pengembaraan Merah Silu". Sebuah syarikat penerbitan telah bersetuju untuk menerbitkan siri lama itu kembali dalam bentuk yang lebih segar - Setiap buku asal dipecah menjadi 2 buku baru yang ditambah maklumat, gambar dan peta berwarna-warni.Pertengahan September 2015 buku pertama siri baru pun selamat diterbitkan. Seminggu lebih kemudian penulis berpeluang bercakap tentangnya secara siaran langsung dalam televisyen lalu membawa wakil penerbit bersama. Lihat video di bawah :-





Awal tahun 2015 turut menyaksikan penulis diambil menjadi penyelidik dan hos satu siri dokumentari yang dipanggil "Daulah Melayu". Projek 13 episod sepanjang sejam setiap satu ini mahu mengenengahkan formula untuk mengembalikan kekuatan bangsa Melayu. Insyaallah projek iakan membawa penulis untuk mengembara ke merata di Malaysia dan Indonesia juga ke beberapa negara dan tempat di Eropah termasuk ke kota London, tempat penulis mengambil ijazah matematik 1991-1995. Siri dokumentari ini dijangka siap untuk tayangan televisyen dalam tempoh 2 tahun.


Pada 13 Mei 2023 buku ke 13 + 1 penulis (pertama setelah yang ke-13 terbit tahun 2019 lalu mula memberikan tumpuan pada pengajian pascasiswazah di ISTAC iaitu Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam di Bukit Tunku, Kuala Lumpur), Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin & Orang Kaya Arsyad telah dilancarkan oleh sejarawan ulung negara, Profesor Emeritus Datuk Dr Abdullah Zakaria Ghazali di rumah penulis. Lihat Majlis pelancaran buku dan rumah terbuka raya 2023 - Melestarikan semangat perjuangan. Beliau yang bertanggungjawab memberikan kata-kata aluan dalam buku turut menjadi pembicara dalam diskusi yang diadakan di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2023 (berlangsung 26 Mei hingga 4 Jun). Lihat Bicara buku Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin di PBAKL 2023. Diskusi ini terakam dalam video atas diikuti video bawah...



Ahad, September 09, 2007

Sumpah-sumpah di atas motosikal dan belalang kunyit di batu nesan Sultan...

Assalamualaikum kawan-kawan dan para pembaca sekalian. Sudah 10 hari tidak menulis di mana-mana blogspot saya, terus tergerak untuk membuat 3 cerita bagi setiap blogspot untuk dijadikan jumlah 9 postings baru ke semuanya. Tadi, 3 buah cerita untuk blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART) dengan tajuk Menara Condong (leaning tower of) Teluk Intan , Masjid Alaeddin di Jugra (The Alaeddin mosque in Jugra) dan Lagi, Menara Condong (More, leaning tower of) Teluk Intan sudah berjaya disiapkan. Sekarang sampailah masa untuk blogspot ini turut menerima suntikan cerita baru pula...

Adapun pada awalnya saya bercadang untuk membuat update di blogspot ini menggunakan baki gambar dan cerita perjalanan hampir sebulan yang dibuat meliputi Pahang, Kelantan, Kedah, Perak dan Selangor 2 minggu lepas. Tapi kesibukan untuk menyiapkan proses penyuntingan buku "Berpetualang ke Aceh: Sirih pulang ke Gagang?" atau BKA III di samping hal-hal lain membuat mood menulis di blogspot sedikit tergendala.

Sekarang, saya ada sedikit mood untuk bercerita tetapi tidak dapat menurut aturan awal yang dirancang. Sebaliknya saya akan bercerita mana yang terasa perlu dikeluarkan termasuk sedutan daripada BKA III, maka untuk kali ini terimalah sedikit cerita berdasarkan apa yang berlaku dalam seminggu ini... Maka itu tajuk yang pelik di atas ini. Sila... :]



----------------------------



Pada 31 Ogos 2007, ketika seluruh rakyat Malaysia sedang menyambut Hari Kemerdekaan Negara Malaysia yang ke 50, saya pula berada di Raub untuk melihat seorang ibu saudara berkahwin lagi, buat kali ketiga! Bayangkan, ibu saudara berumur 56 atau 57 begitu yang sudah berbelas tahun menjanda berkahwin dengan seorang lelaki berumur 60 tahun yang kematian isteri sekitar 2-3 tahun lalu... Bayangkan, mereka laki-bini berpakaian seperti orang muda, yang perempuan dengan baju berkilauan... Bangga ada, kelakar pun ada.

OK... Biarlah saya berterus-terang. Sekali lagi, saya sebenarnya begitu penat mahu menulis kerana berbagai perkara yang bermain di dalam kepala tetapi terasa wajib menulis demi tatapan semua. Maka maafkan saya jika cerita yang dibuat on the spot di sebuah Internet Cafe di Kajang ini melompat-lompat ya... Apa yang penting adalah beberapa perkara yang berlaku seminggu kebelakangan... Rasanya, ada sesuatu yang tersirat yang mungkin kawan-kawan dan para pembaca boleh tolong merungkaikan, Insyaallah!

Hmm... Saya dah sebut bab makcik yang berkahwin lagi. Adapun sebelum itu, seorang rakan rapat di Janda Baik telah menghubungi saya bertanyakan khabar. Kawan yang dikenali sebagai seorang manusia yang biasa keluar masuk alam ghaib ini tidak memiliki talifon lalu tidak pernah menghubungi saya. Tetapi lebih seminggu lepas tiba-tiba dia menalifon menggunakan handphone milik seorang saudaranya untuk bertanyakan khabar. Katanya ketika itu dia dalam perjalanan daripada Kuala Lumpur untuk naik ke Janda Baik...

Untuk makluman, seperti saya, kawan ini juga selalu hilang merayap ke sana ke mari seluruh tanah-air. Bezanya, saya selalu berjalan bersendirian sedangkan kawan ini selalu dijemput orang samada oleh mereka yang ingin berubat ataupun anak murid kepada sekumpulan manusia pelik yang dikenali sebagai golongan orang "mati hidup balik mati hidup balik"... Oopps... Cukup ya bab ini... Saya tak akan panjangkan akan siapakah mereka ini.

Seperti disebut tadi, kawan ini tidak pernah menghubungi saya sebelum ini. Maka peristiwa dia menalifon itu saya anggap sebagai tanda, saya mesti pergi ke Janda Baik untuk bersemuka dengannya... Mungkin ada khabar berita "orang-orang lama" yang mahu disampaikan... Mungkin kami setakat harus duduk makan minum mengeratkan kembali silaturahim sahaja, Wallahualam!

Dipendekkan cerita, setelah selesai majlis perkahwinan makcik di Raub, saya yang menumpang kereta ayah dan ibu pun turun di Bukit Tinggi. Sebaik sahaja turun daripada perhentian bas, kebetulan seorang kenalan, seorang wanita Peranchis yang baru sahaja berkahwin dengan seorang jejaka Janda Baik lalu di bawah (perhentian bas terletak sedikit ke atas kawasan bukit)... Dapatlah menumpang sehingga ke surau tempat saya selalu bermalam di Janda Baik sejak keluar daripada rumah penulis buku politik Syed Hussein Al-Attas 2 tahun lepas...

Adapun, kawan yang dimaksudkan tiada di situ... Rupa-rupanya dia telah "diculik" orang-orangnya untuk menghadiri majlis tertentu di Jerantut. Keesokannya, saya terserempak dengan saudara dua pupu kawan ini yang juga sedang mencarinya juga. Cerita punya cerita terkeluarlah nama Habib Ali, seorang tua yang dikatakan bertaraf wali di Batu Pahat.

Saya pernah dua kali bertandang ke rumah Habib Ali. Lalu saudara ini meminta saya membawanya ke sana kerana ingin meminta berkat juga air penawar untuk ibunya yang sedang sakit. Masalahnya, dia cuma ingin pergi jika kawan saya yang jenis "mati hidup balik mati hidup balik" ini turut serta sedangkan kawan ini cuma akan kembali ke Janda Baik 2 hari kemudian ketika saudaranya pula sedang sibuk membuat kerja.

Selepas berada 3 malam di Janda Baik, berlaku sesuatu perkara yang saya rasa ada makna tersirat yang amat mendalam. Saya telah menumpang motor orang yang lalu lalang untuk ke sebuah kedai makan, tiba-tiba orang itu terperanjat kerana muncul seekor sumpah-sumpah di atas handle motosikal!

Aitt??? Macamana boleh ada sumpah-sumpah tiba-tiba muncul di atas sebuah motosikal yang sedang berjalan? Saya pun menghulurkan tangan lalu sumpah-sumpah itu naik ke atas tangan, dibawa sehingga ke kedai makan.

Di kedai makan pula saya terfikir, bagaimana mahu makan dengan sumpah-sumpah ini berada di tangan. Tak sampai hati pula mahu menghalaunya dan memang pun saya sukakan binatang ini... Seketika itu juga ia bergerak laju memanjat lengan lalu pergi ke belakang badan sebelum melompat ke meja lain. Peristiwa itu menyebabkan saya boleh terjumpa seorang kawan lama yang 20 tahun tidak berjumpa sejak belajar peringkat A-Level di College.

Kebetulan kawan lama yang menetap di Kuala Lumpur ini sedang mengikut seorang saudara untuk melawat Janda Baik lalu berehat makan di kedai yang sama... Saudaranya tergerak mahu menegur saya setelah melihat gelagat sumpah-sumpah itu... Kemudian baru saya sedar, kawan lama saya juga ada di situ!

Apa yang lebih menarik adalah kemunculan sumpah-sumpah itu seperti menandakan berakhirnya satu pencarian seumur hidup. Semasa zaman kanak-kanak hingga ke sekolah menengah saya selalu cuba menangkap sumpah-sumpah terutama di taman sebelah rumah seorang bapa saudara di Bukit Damansara yang ada banyak sumpah-sumpah tetapi tidak berjaya... Entah kenapa, saya sangat sukakan binatang ini... Kalau dapat tangkap pun, terus terlepas apabila ekor yang dipegang putus di bahagian hujung atau sumpah-sumpah menggigit tangan lalu terlepas. Tapi kali ini, tanpa dipinta dan diduga, setelah bertahun-tahun melupakannya, tiba-tiba boleh muncul di atas sebuah motosikal yang sedang bergerak lalu dengan jinaknya naik ke atas tangan saya dan duduk di situ lebih 10 minit pula!

OK... Sekarang baru saya boleh pergi ke bahagian kedua cerita ini. Petang itu, setelah menunggu saudara kepada kawan "mati hidup balik" itu muncul untuk turut sama ke rumah Habib Ali tapi tak muncul-muncul, saya pun keluar daripada Janda Baik dengan menumpang kereta orang untuk ke Bukit Tinggi lalu kembali ke Kuala Lumpur menaiki bas.

Keesokan paginya, seorang teman wanita menalifon mengajak saya keluar makan bersama... Saya pun setuju kemudian menyambung tidur. Tidak lama kemudian, kawan "mati hidup balik" itu pula menalifon mengajak ke Batu Pahat menaiki kereta seorang anak muridnya yang baru datang bertandang ke Janda Baik. Saya pun membatalkan temujanji dengan teman wanita itu kerana mahu berjumpa Habib Ali.... Lagipun kali terakhir saya berjumpa orang tua ini adalah lebih setahun lalu...

Semasa hendak keluar rumah, orang gaji pula memberitahu ada surat untuk saya, surat yang ditunggu-tunggu kedatangannya sebulan kebelakangan. Tak perlulah saya nyatakan surat apa... Cukuplah dinyatakan surat ini menyebabkan saya perlu menyelesaikan hal penting di sebuah pejabat kerana ia melibatkan pengeluaran siri buku "Berpetualang ke Aceh"... Cukuplah jika diberitahu, ia adalah petanda baik yang segalanya akan berjalan lancar nanti Insyaallah...

Sekali lagi, dipendekkan cerita... Saya, kawan "mati hidup balik mati hidup balik" dan seorang anak muridnya pun pergi ke Batu Pahat... Kebetulan ada seorang kawan lain daripada Janda Baik telah setahun bekerja di Batu Pahat dan kebetulan pula isterinya baru lepas kemalangan... Dapatlah kami berjumpa seraya menziarahi isterinya di hospital kemudian pergi ke rumah Habib Ali yang sedang uzur.

Kata cucunya, Habib yang sudah berumur 93 tahun tidak akan keluar daripada biliknya pada bulan Rejab, Syaa'aban dan Ramadhan kerana dia lebih suka beribadat seorang diri ... Lagipun telah uzur. Tapi Alhamdulillah, manusia yang dianggap sebagai seorang wali hidup oleh mereka yang mengenalinya termasuk sesetengah keluarga Sayyid dan Sharifah seluruh dunia ini sanggup keluar sebentar untuk menyambut kami sebagai tetamu.

Dalam perjalanan kembali ke Janda Baik, saya, kawan jenis "mati hidup balik" dan anak muridnya sempat bersolat di Masjid Jamek Muar. Kami ikut jalan lama melalui Melaka lalu singgah di Masjid Baginda Ali di Umbai di mana terdapat makam Sultan Ali, dikatakan Sultan terakhir Empayar Johor-Riau-Lingga penghujung Abad ke 19 Masihi.

Saya pernah ke sana beberapa kali. Apa yang menarik malam itu, kelihatan seekor belalang kunyit menunggu di batu nesan bahagian kepala Sultan Baginda Ali...

Allah! Mesti ada makna ni... Semasa kanak-kanak dahulu memang saya selalu cuba menangkap belalang kunyit... Susah nak dapat tapi pernah lah tangkap beberapa ekor... Sejak itu, rasanya 20 tahun saya tak pernah nampak belalang kunyit di mana-mana... Tiba-tiba, seperti kes sumpah-sumpah yang muncul pada handle motosikal di Janda Baik, Bentong, Pahang, boleh pula terjumpa belalang kunyit pada batu nesan seorang Sultan di Umbai, Melaka!

OK lah... Saya meluahkan ini dengan harapan ada sesiapa boleh menafsirkan apa yang berlaku samada tersurat ataupun tersirat... Sila buat di chatbox atau sebaiknya pada comments di bawah ya... Sekarang biar saya buat beberapa posting baru untuk blogspot berbahasa Inggeris BERPETUALANG KE ACEH sebelum menambah lagi artikel untuk blogspot ini ya... Tunggu....


Tiada ulasan: