Dari Tanjung Belanja kami mengambil jambatan menyeberangi Sungai Perak untuk menghala ke Parit...
Di sini saya teringat sesuatu yang berlaku 9 tahun lalu. Selepas selesai menziarahi makam-makam di sekitar Kuala Kangsar sekitar Oktober 2001, kali pertama keluar mengembara untuk menziarahi makam-makam lama saya pun mengorak langkah kembali ke Kuala Lumpur. Ini kerana esoknya saya dijadualkan bekerja selepas mengambil cuti seminggu. Semasa menyeberangi Sungai Perak di bahagian ini tiba-tiba terbetik satu nama dalam hati... Muhammad Al-Aminul Rasyid. Entah nama siapa, tiba-tiba ia muncul.Apabila isteri lama disahkan hamil tahun 2002 saya pun menyimpan nama untuk anak yang bakal lahir. Ternyata anak yang keluar adalah seorang perempuan sedangkan selepas itu hidup saya jadi makin bercelaru hingga bercerai-berai. Apabila draf asal buku "Berpetualang ke Aceh" ditukar bentuk menjadi novel, saya pun mengambil nama Muhammad Al-Aminul Rasyid sebagai watak utama. Alhamdulillah, setelah berjaya menyajikan ketiga-tiga buku dalam siri ini, hidup saya jadi semakin teratur. Saya pun dapat berkahwin kembali dan dengan kuasa Allah, terus 'sangkut', dapat anak lelaki. Jadilah ia Muhammad Al-Aminul Rasyid anak kecil kami yang turut dibawa dalam pengembaraan ini...
Tidak lama kemudian sampailah ke pekan Parit.
Masjid Jamek Parit menggamit kenangan. Masjid ini merupakan salah satu tempat saya sering berehat ketika rajin mengembara menaiki kenderaan awam atau menumpang orang. Lihat gambar yang 'cair'... kamera saya buat hal lagi...
Kami melalui Parit untuk ke Bota Kanan. Di tepian simpang jalan Parit-Bota Kanan yang bertemu dengan jalan Ipoh ke Lumut terdapat makam Sultan ke 13 Perak, Sultan Muzaffar Shah III (memerintah 1728-1752).
Pada saya Sultan Muzaffar Shah III melambangkan kemunculan satu era dalam sejarah keSultanan Perak. Sejarah rasmi menyebut seorang adinda baginda Sultan Muhammad Shah (yang dicatat sebagai Sultan ke 14) pernah cuba merampas kuasa sehingga Perak terbahagi 2. Kemudian Sultan Muhammad Shah mengalah dan Sultan Muzaffar kembali menguasai kesemuanya. Apa yang menarik, Sultan ke 15, ke 16, ke 17 dan ke 18 tercatit sebagai adik-beradik, anakanda kepada Sultan Muhammad.Kajian peribadi saya pula mendapati mereka berempat ini bukanlah betul-betul adik-beradik. Ada yang beripar-duai, ada yang sebenarnya pangkat anak saudara. Apa yang berlaku semasa Sultan Muhammad Shah menyerang Sultan Muzaffar Shah II adalah perebutan takhta antara kerabat diraja Bugis yang baru menonjolkan diri di Tanah Melayu melawan kerabat diraja Perak dari keturunan keSultanan Melaka. Sebelum itu telah ada kerabat diraja Aceh yang naik menjadi Sultan Perak. Ini kerana Perak memang dikuasai Aceh sejak sekian lama.
Sejarah rasmi Perak berdasarkan kitab Misa Melayu karangan Raja Chulan (bukan Raja Chulan yang namanya diabadikan pada sebatang jalanraya utama di tengah Segitiga Emas Kuala Lumpur) menyebut Sultan Muhammad Shah mengalah apabila anakandanya Sultan Iskandar Zulkarnain, Sultan ke 15 mengusulkan perdamaian dengan Sultan Muzaffar. Sebenarnya apa yang berlaku adalah seorang raja besar Bugis bertaraf Yang diPertuan Agung telah muncul di Perak dengan memakai nama Daeng Selili lalu mengusulkan sistem penggiliran takhta antara 3 keluarga kerabat diraja iaitu keturunan Melaka, keturunan Bugis dan keturunan Aceh.
Namun sejarah rasmi tidak menyebut ini. Ia sekadar menyebut Daeng Selili, seorang Raja Bugis telah datang ke Perak menjadi Mufti bergelar Haji Besar juga pembesar yang bergelar Maharajalela Pancung Tak Bertanya. Sejarah rasmi menambah Daeng Selili yang turut menjadi pengawal peribadi Sultan Muzaffar telah berkahwin dengan adinda Sultan dan pernah mengalahkan lanun di Pulau Sembilan. Sedangkan mengikut maklumat yang saya dapat peristiwa mengalahkan lanun itu sebenarnya merujuk kepada peranan Daeng Selili memujuk orang yang dikatakan Sultan Muhammad Shah (sebenarnya seorang kerabat diraja Bugis, kaum kerabat Daeng Selili juga) agar mengalah kemudian menurut sistem giliran yang dicadangkan.
Itulah permulaan sistem giliran yang dilambangkan dengan 3 warna bendera Perak, putih untuk Sultan, kuning untuk Raja Muda dan hitam untuk Raja di Hilir. Kemudian dimunculkan pangkat raja bergelar lain seperti Raja Kecil Besar dan Raja Kecil Tengah di mana setiap keluarga dapat meletakkan 2 orang wakil pada tangga giliran takhta. Namun atas sebab-sebab tertentu cerita ini kemudian digelapkan. Dengan meletakkan adik ipar sebagai adik sebenar (kononnya), anak saudara sebagai adik-beradik dan sebagainya, setiap Sultan berjaya dinyatakan sebagai berasal dari satu keturunan yang berpunca dari keSultanan Melaka sementara nama kerabat diraja Aceh dan Bugis dapat dihilangkan dari salasilah.Di atas adalah gambar ketika memasuki pekan Bota Kanan. Di belakang barisan kedai terdapat makam 2 orang Sultan. Lihat Dua makam Sultan di belakang pekan Bota Kanan (Two tombs of Sultans behind the small town of Bota Kanan). Kami sampai ke makam Sultan Muzaffar III pun sudah jam 7. Maka itu seperti di sana, saya menyuruh isteri dan anak sekadar menunggu di dalam kereta sementara saya pergi lebih dekat.
Beberapa kilometer ke selatan pekan Bota Kanan pula terdapat makam Sultan Muzaffar II, Sultan ke 10 Perak (memerintah 1636-1653).
Untuk pengetahuan, baginda adalah contoh seorang Sultan Perak yang dilantik oleh Sultan Aceh. Sebenarnya terdapat beberapa orang Sultan yang dinaikkan melalui pengaruh dan kuasa Aceh. Tetapi Sultan Muzaffar II menjadi satu kes istimewa kerana memang didatangkan dari Aceh, bukan sekadar dipilih daripada kerabat Perak yang sedia ada.
Sejarah rasmi menyebut Sultan Muzaffar II adalah seorang anak Raja Siak yang dibesarkan di Istana Aceh, sebelum dikahwinkan dengan seorang cicit kepada Sultan Mansur Shah, Sultan kedua Perak. Baginda dikatakan berpangkat sepupu kepada Sultan Iskandar Thani, seorang anak Raja Pahang yang diangkat menjadi Sultan Aceh. Adapun Sultan Perak sebelum itu, Sultan Salehuddin memang cucu seorang Raja Aceh. Ini ada tercatit dalam salasilah rasmi yang menyebut ayahanda Sultan Salehuddin, Sultan Mahmud Shah (Sultan ke 8) dan kekandanya Sultan Mukaddam Shah (Sultan ke 6) adalah anakanda kepada seorang Raja Aceh, dari perkahwinan dengan puteri Sultan Mansur. Jadi mereka boleh dikira kerabat diraja Aceh dan Perak sekaligus.
Memikirkan asal-usul Sultan ke 9 yang berdarah Aceh, tidaklah menghairankan jika Sultan Iskandar Thani yang mula memerintah kerajaan itu 1636 menghantar Sultan Muzaffar II menjadi Sultan ke 10 Perak. Tapi dari satu segi timbul kemusykilan... bagaimana seorang anak Raja Siak dapat merajai Perak yang dikatakan mewarisi darah keSultanan Melaka? Sedangkan Siak dahulukala merupakan jajahan takluk bawahan Melaka.
Jawaban kepada persoalan inilah yang menyebabkan isteri terasa harus membawa anak menjejakkan kaki ke makam Sultan Muzaffar II walaupun sudah masuk jam 7.23 petang. Adapun sekembalinya kami anak-beranak dari perjalanan ke Aceh penghujung Januari 2010, ziarah pertama Al-Rasyid ke sana ada seseorang memberitahu bahawa seorang anak Raja Aceh telah difitnah lalu dijatuhkan hukuman bunuh. Namun baginda sebenarnya dapat melarikan diri ke Semenanjung Tanah Melayu. Untuk menutup identiti ini (kerana ada pihak mahu menghapuskan keturunan lelaki Raja Aceh yang dimaksudkan), baginda dinyatakan sebagai anak kepada raja lain. Itu sahaja yang boleh dicerita tentang ini...
Dari makam Sultan Muzaffar II kami bergegas ke makam Sultan pertama Perak, Sultan Muzaffar Shah I (memerintah 1528-1549). Letaknya beberapa kilometer lagi ke selatan menghala ke Kampung Gajah namun kami terlajak kerana terlepas simpang. Apa nak buat? Lihatlah papantanda simpang yang sudah jatuh. Untuk makluman gambar ini diambil setelah kami berpatah-balik tidak kurang 3 km...
Nasib baik makam tidak begitu jauh dari jalan besar... dan jalan masuknya juga tidaklah teruk...
Sementara isteri dan anak menunggu dalam kereta saya naik menziarahi lebih dekat. Seminit dua kemudian kedengaran azan Maghrib berkumandang di latar-belakang. Sekurang-kurangnya saya berjaya mencapai matlamat untuk menziarahi hingga ke makam ini sebelum tamat hari... maklumlah, menurut perkiraan kalendar Islam, azan Maghrib menandakan masuk hari lain.
Asalnya saya bercita-cita untuk menziarahi setiap makam Sultan Perak di negeri ini, 28 kesemuanya dalam tempoh sehari... (yang lain dimakamkan di luar negeri). Ternyata ia adalah sesuatu yang agak mustahil memandangkan 28 makam itu terletak berteraburan di sepanjang Sungai Perak, dari Kuala Kangsar turun mengikut lenggok sungai 140 km ke Teluk Intan, sesetengahnya di tempat terpencil yang susah dimasuki kenderaan. Namun saya tetap bersyukur kerana hari itu Sabtu 10 haribulan April 2010, kami dapat menziarahi makam 7 orang Sultan di Bukit Chandan, 2 di Sayong, 1 di Pulau Semat dan 5 di sekitar Bota (2 di pekan campur 3 makam Sultan yang bernama Muzaffar). Jadilah keseluruhannya 15 buah makam Sultan, belum dicampur 1 makam tanda (untuk Sultan Mansur di Masjid Kota Lama Kanan) berserta makam-makam lain yang berkaitan.
p/s: Harap maklum ini adalah artikel ke 676 di blogspot ini. Campur 473 di BERPETUALANG KE ACEH dan 339 di SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART) dah jadi 1488 artikel dibuat untuk dalam tempoh hampir 4 tahun berdasarkan pengalaman sebenar mengembara. Kira ok lah jugak... :]








Jalan ini membawa simpang masuk Kampung Semat...




































