Manakan dapat sagu kalau tidak dipecahkan ruyungnya?
Manakan dapat mutiara yang berkerlipan jika takut menyelam ke lautan dalam.
Dalam diri setiap manusia, ada seketul daging.
Jika baik ia, maka baiklah seluruh jiwa manusia itu.
Jika buruk ia, buruklah juga manusia itu...
Seketul daging itu adalah hati,
mari kita lapangkan dada dan belajar mengIKHLASkan hati.
Perjalanan seribu batu bermula dengan satu langkah.
Marilah meneroka dunia pemikiran hamba.
Silakan

Video klip yang tertera boleh dianggap sebagai pembukaan kepada dunia pemikiran dan kesukaan hamba...







-------------------------


-------------------------



Segala yang dipaparkan menggambarkan pemikiran penulis yang turut terserap di dalam setiap penulisan buku dan artikel. Lihat Cara-cara mendapatkan buku tulisan Merah Silu @ Radzi Sapiee. Di atas adalah satu klip video selama hampir setengah jam yang merupakan demo pilot episode yang mahu digunakan untuk mencadangkan satu siri pengembaraan menyusuri sejarah Melayu Islam sekeliling Nusantara untuk siaran televisyen. Entah mengapa ia menemui masalah. Kemudian penulis diberitahu konsepnya diciplak sebuah stesyen televisyen. Lihat Kembara Sejarah Islam Nusantara : The original material...



Ini adalah klip video ulasan buku ketujuh saya "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" berserta temuramah yang dibuat siaran langsung di Selamat Pagi Malaysia, RTM1. Lihat Siaran langsung ulasan buku "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" dan temu ramah di Selamat Pagi Malaysia.



Penulis juga pernah diminta membuat pembentangan mengenai siri buku "Berpetualang ke Aceh" di Masjid Sultan Salahuddin iaitu masjid negeri Selangor di Shah Alam. Lihat Buku "Berpetualang" dan himpunan ulamak Nusantara yang diketuai ulamak Aceh


-------------------------



Siri novel "Berpetualang ke Aceh" boleh didapati dalam bentuk e-book. Masuk http://www.e-sentral.com/, klik kategori novel am dan taip perkataan "Aceh" pada kotak carian. Atau terus klik Buku 1,Buku 2 dan Buku 3.





Gambar ketika menghadiri satu majlis ilmu, diambil oleh sebuah akhbar harian. Lihat Menghiasi Kosmo Alam Melayu...



Penerbitan trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" juga membawa penulis untuk terlibat dengan banyak majlis ilmu. Rujuk kumpulan links artikel di bawah tajuk "Siri Refleksi Sejarah", pada bahagian paling bawah kiri blogspot, . Penulis juga agak aktif dalam aktiviti-aktiviti kedaulatan Melayu dan Islam, dapat menganjurkan majlis-majlis sendiri di merata Semenanjung Malaysia membawa ke luar negara di Aceh. Lihat blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


Ketika menulis perenggan ini 4 Mei 2015 penulis sedang berusaha untuk mengembangkan isi 3 buku dalam siri "Berpetualang ke Aceh" menjadi 6 buku yang akan membentuk siri baru dipanggil "Siri Pengembaraan Merah Silu". Sebuah syarikat penerbitan telah bersetuju untuk menerbitkan siri lama itu kembali dalam bentuk yang lebih segar - Setiap buku asal dipecah menjadi 2 buku baru yang ditambah maklumat, gambar dan peta berwarna-warni.Pertengahan September 2015 buku pertama siri baru pun selamat diterbitkan. Seminggu lebih kemudian penulis berpeluang bercakap tentangnya secara siaran langsung dalam televisyen lalu membawa wakil penerbit bersama. Lihat video di bawah :-





Awal tahun 2015 turut menyaksikan penulis diambil menjadi penyelidik dan hos satu siri dokumentari yang dipanggil "Daulah Melayu". Projek 13 episod sepanjang sejam setiap satu ini mahu mengenengahkan formula untuk mengembalikan kekuatan bangsa Melayu. Insyaallah projek iakan membawa penulis untuk mengembara ke merata di Malaysia dan Indonesia juga ke beberapa negara dan tempat di Eropah termasuk ke kota London, tempat penulis mengambil ijazah matematik 1991-1995. Siri dokumentari ini dijangka siap untuk tayangan televisyen dalam tempoh 2 tahun.


Pada 13 Mei 2023 buku ke 13 + 1 penulis (pertama setelah yang ke-13 terbit tahun 2019 lalu mula memberikan tumpuan pada pengajian pascasiswazah di ISTAC iaitu Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam di Bukit Tunku, Kuala Lumpur), Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin & Orang Kaya Arsyad telah dilancarkan oleh sejarawan ulung negara, Profesor Emeritus Datuk Dr Abdullah Zakaria Ghazali di rumah penulis. Lihat Majlis pelancaran buku dan rumah terbuka raya 2023 - Melestarikan semangat perjuangan. Beliau yang bertanggungjawab memberikan kata-kata aluan dalam buku turut menjadi pembicara dalam diskusi yang diadakan di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2023 (berlangsung 26 Mei hingga 4 Jun). Lihat Bicara buku Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin di PBAKL 2023. Diskusi ini terakam dalam video atas diikuti video bawah...



Selasa, November 16, 2021

Panggilan Musuh Bisik : Jangan jadi Wahabi sejarah

OK. Adapun artikel sebelum ini iaitu Panggilan Musuh Bisik : Berkejar ke Kedah untuk majlis hol dan maulidur rasul asalnya mahu dibuat sama ada esok atau lusa, selepas kepenatan akibat perjalanan ke Kedah 12-14 November cukup reda dan lega. Namun lewat malam tadi timbul rasa harus menyatakan sesuatu tentang satu majlis berkenaan yang berlangsung pada siang Sabtu 13 November. Maka dikeluarkan lebih awal cerita apa yang berlaku pada hari sebelumnya Jumaat 12 November supaya mengikut turutan masa. Selesai itu baru boleh masuk cerita hari Sabtu...



Pagi Sabtu 13 November 2021. Kami meninggalkan rumah penginapan di bahagian selatan bandar raya Alor Setar jam 10.30.



Terus menuju ke lokasi seterusnya bagi sambutan 200 Tahun Perang Musuh Bisik.



Letaknya di seberang pekan Kuala Kedah lalu harus mengambil jambatan menyeberangi Sungai Kedah...






Selamat datang ke Muzium Kota Kuala Kedah.




Muzium yang diselenggarakan oleh Jabatan Muzium Malaysia (JMM) ini didirikan di dalam kawasan yang pernah menjadi kota pertahanan Kuala Kedah 200 tahun lalu.




Di kota inilah berlaku Perang Musuh Bisik pada tarikh 12 November 1821. Dikatakan ketika itu sedang berlaku majlis perkahwinan antara keluarga Laksamana dengan keluarga Bendahara Kedah.



Ketika itu muncul tentera Siam datang hendak meminta bekalan beras, kononnya keperluan untuk menghadapi serangan tentera Burma. Tiba-tiba mereka menyerang Kota Kuala Kedah secara mengejut. Dikatakan ramai orang Melayu terkorban termasuk Bendahara dan Laksamana juga sejumlah orang besar Kedah.



Majlis diadakan sempena mengingati apa yang telah berlaku pada waktu itu. Perang yang bermula pada tarikh 12 November itu berlanjutan sehingga 21 tahun kemudian.









Majlis dibuat oleh penganjur utama iaitu JMM sebagai satu edisi dalam siri yang dipanggil "Bicara @ Muzium". Tema edisi adalah "Ketokohan dan Keperwiraan" menonjolkan dua nama besar pejuang Melayu Kedah pada zaman Perang Musuh Bisik iaitu Tunku Kudin dan Tunku Muhammad Sa'ad. 



Nama sebenar Tunku Kudin adalah Syed Zainal Abidin, seorang anak saudara kepada Sultan Ahmad Tajuddin Halim Syah II (memerintah  1803 - 1845  - terdapat 3 orang Sultan Kedah memakai nama Ahmad Tajuddin). Tunku Kudin ini terlibat dalam serangan balas untuk membebaskan Kota Kuala Kedah daripada pegangan Siam pada tahun 1831. Tidak sama dengan Tunku Kudin yang menjadi menantu Sultan Abdul Samad Selangor (yang itu adalah Tunku Dhiauddin ibni Sultan Zainal Rashid ibni Sultan Ahmad Tajuddin II).



Pengkisahan dibuat oleh seorang waris keturunan yang bernama Syed Nahar Shihabuddin.







Dikatakan serangan-serangan Tunku Kudin berjaya memporak-porandakan kedudukan Siam sehingga Kota Kuala Muda dapat dibebaskan sekurang-kurangnya buat suatu tempoh waktu. Namun beliau juga akhirnya tewas dan ini diraikan dengan kutukan terhadap beliau oleh orang Siam.

Oh. Adapun gambar-gambar slaid tadi diambil oleh isteri saya. Nampaknya tidak diambil gambar slaid tentang tokoh kedua yang ditonjolkan iaitu Tunku Muhammad Sa'ad. Beliau adalah anakanda kepada Tunku Daud ibni Sultan Abdullah Mukarram Syah (memerintah 1778 - 1797). Membicarakan tentang beliau adalah seorang waris yang bernama Mahadhir bin Mat Lazim.

Habis bicara berlaku sesi soal jawab. Melihat tiada yang menyambut saya pun masuk dengan bertanyakan apakah peranan seorang Laksamana Kedah bernama Wan Ismail dan anaknya Wan Mat Saman yang pernah menjadi Perdana Menteri Kedah dalam Perang Musuh Bisik? Saya bertanya secara jujur ingin mengetahui lalu memulakan pertanyaan dengan mengakui kurang berpengetahuan tentang sejarah Kedah. Saya bertanyakan ini kerana baru 2 tahun gitu mendapat tahu mereka ini adalah nenek moyang saya.

Namun jawaban yang diberikan membuat saya merasa terkilan. Satu, nama, apatah lagi peranan Wan Ismail dinyatakan tidak dapat ditemui dalam catatan. Kedua ditambah pula majlis mahu membicarakan tentang perkara lebih besar iaitu Perang Musuh Bisik. Ia bukan tentang ketokohan seseorang.

Kalau begitu kenapa dibicarakan panjang lebar tentang ketokohan Tunku Kudin dan Tunku Muhammad Sa'ad? Saya akur banyak lagi perlu dikaji tentang Perang Musuh Bisik sedangkan perkara ini baru sekitar 2-3 tahun diangkat kepada umum. Saya terima masa begitu terhad untuk membicarakan ramai tokoh. Lalu bukankah lebih molek diterangkan sebegitu? Tunggu kesempatan lain insyaallah boleh dibicarakan tentang Wan Ismail.

Saya sebetulnya tidak mengharapkan itu pun. Saya tahu bahawa ada majlis lain mengangkat Wan Ismail telah berlangsung lebih awal kerana beliau dipercayai adalah Panglima Ismail yang menjadi orang pertama menyebarkan Silat Cekak di luar istana. Saya cuma harapkan jawaban yang memuaskan apakah peranan beliau juga anaknya semasa Perang Musuh Bisik. Tidak diketahui pun ketika itu bahawa Wan Mat Saman belum cukup usia untuk terlibat dalam perang.

Apa yang membuat saya merasa terkilan adalah cara soalan dijawab. Kelihatannya sumber tempatan seperti daripada orang Silat Cekak tidak layak diberikan perhatian. Sebabnya kerana tiada dalam rekod atau catatan orang Inggeris mahupun Siam. Sangat pelik ini. Bukankah Perang Musuh Bisik berlaku akibat serangan tentera Siam? Bukankah orang Melayu kalah dan tersiksa kerana Siam turut mendapat bantuan Inggeris? Sekarang kita pula melebihkan kata-kata daripada sumber mereka berbanding sumber Melayu tempatan. Apa hal?

Kita buat majlis 200 tahun Perang Musuh Bisik untuk membuka mata orang ramai supaya menghayati sejarah berkenaan lalu mengambil iktibar. Kita mewar-warkan tentang majlis ke sana ke mari supaya waris-waris keturunan pejuang dapat berkumpul lalu saling mengenal sambil berkongsi cerita. Ke kita cuma mahu mengangkat tokoh-tokoh tertentu yang sesuai dengan aliran fikiran kita? Untuk tokoh-tokoh tersebut kita sedia menerima cerita lisan daripada waris keturunan. Untuk tokoh yang tidak sesuai dengan aliran cerita lisan boleh ditolak atas alasan tiada dalam rekod Inggeris dan Siam. 

Hal ini terasa dah jadi seperti Wahabi sejarah. Sumber lisan yang tidak sesuai ditolak seperti halnya hadis yang dilihat dhaif malah dipalsukan. Namun kalau yang berkata itu Al-Albani, Ibnu Taimiyah atau Ibnu Jauziyah boleh pula diterima tanpa banyak soal. Harap jangan buat majlis semata-mata untuk mengangkat diri sendiri sebagai pejuang sejarah agama, bangsa dan negara paling terkehadapan. Konon kajian kitalah yang paling akademik dan menepati piawaian. Kalau sungguh jujur mahu mengangkat sejarah boleh sahaja menjawab: "Beri kami masa untuk mengkaji lagi. Buat masa ini kami cuma dapat menumpukan kepada kisah sejarah tokoh itu dan ini sahaja". Mudah kan?

Laksamana Wan Ismail bukan suatu nama yang boleh diremehkan. Selain berjasa sebagai Laksamana Kedah beliau juga dikatakan telah menyampaikan ilmu perang Silat Cekak (juga Silat Kalimah menurut sumber perguruan sana pula) kepada pahlawan-pahlawan Melayu. Sebelum itu ilmu persilatan berkenaan cuma dipakai lalu diwariskan daripada sultan kepada sultan. Bermula dengan Wan Ismail baru disampaikan kepada para panglima kemudian orang awam.

Jasa dan sumbangan beliau dalam Perang Musuh Bisik pula telah dikaji panjang lebar oleh sejumlah pihak dalam kertas kerja akademik, bukan sekadar peringkat cerita lisan desas desus cakap-cakap tanpa sokongan.  Bapa beliau Laksamana Wan Long dikatakan terkorban semasa mempertahankan  Kota  Kuala  Kedah  dari  serangan  Siam  pada  12  November  1821 lalu beliau diangkat menjadi laksamana baru pada usia yang dikira muda. Wan Ismail menjadi seorang  pembesar  yang mempunyai pengaruh tinggi di istana Kedah sepanjang hayatnya. Beliau dipertanggungjawabkan  oleh Sultan untuk menyusun gerakan tentera Kedah dari Kerian lalu bertindak mengumpul dana bagi membeli peralatan perang selain menghimpun dan melatih angkatan tentera Kedah dengan taktik perang gerila.  Lihat kajian berkenaan di sini

Dan lagi anak perempuan beliau iaitu Wan Hajar telah dikahwinkan dengan Sultan Ahmad Tajudin Mukarram Syah (memerintah Kedah 1854–1879). Daripada perkahwinan ini terbit Sultan Abdul Hamid (1881-1943) yang sering diangkat sebagai sultan bertaraf wali itu. Daripada Sultan Abdul Hamid pula terbit Sultan Badlishah  (1943-1958) dan adinda baginda Tunku Abdul Rahman (Perdana Menteri pertama Malaysia). Daripada Sultan Badlisah terbit Sultan Abdul Halim (1958-2017, pernah menjadi Yang di-Pertuan Agong ke-5, 1970-1975 dan ke 14, 2011- 2016) juga adinda baginda yang menjadi Sultan Kedah sekarang iaitu iaitu Sultan Salehuddin. Pendek kata bermula dengan Sultan Abdul Hamid semua Sultan Kedah memiliki titisan darah Wan Ismail. 

Anak Wan Ismail yang bernama Wan Mat Saman pula telah menjadi Perdana Menteri Kedah 1870-1898. Menurut rekod keluarga saya, seorang moyang utama kami di Perak iaitu Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin telah berkahwin dengan anak perempuan kepada Wan Mat Saman iaitu Wan Long Saadiah. Beliau merupakan sepupu kepada Sultan Abdul Hamid lalu terbitlah datuk kepada datuk saya Muhammad Arshad. Hal ini menjadikan Arshad dan adik beradik seibunya (Muhammad Amin memiliki beberapa orang isteri) dua pupu kepada Sultan Badlishah dan Tunku Abdul Rahman. Anak Arshad, Muhammad Wahi yang pernah menolak jawatan Laksamana lalu jalur belah saya tidak lagi memegang apa-apa jawatan orang besar Perak sejak lebih seabad pula adalah saudara tiga pupu kepada Sultan Abdul Halim juga Sultan Salehuddin.  

Maka itu jangan hairanlah jika saya merasa begitu terpanggil untuk ke Kuala Kedah. Sesungguhnya  Laksamana Kedah yang dikatakan terkorban di sana pada 12 November 1821 iaitu Laksamana Wan Long sehingga Wan Ismail harus masuk mengganti pada usia sekitar 31 tahun adalah moyang saya juga. Kebanyakan yang terkorban (kerana serangan berlaku secara mengejut ketika berlangsung majlis perkahwinan antara ahli keluarga Laksamana dengan ahli keluarga Bendahara yang bersaudara jua) adalah darah daging saya. Jadi jangan hairan apabila saya merasa terkilan mendengar pertanyaan tentang Wan Ismail dan Wan Mat Saman seperti diremehkan. 


Nota tambahan : Adapun sebelum menulis artikel ini saya ada menyatakan rasa terkilan di Facebook. Pada ketika ini sudah terdapat hampir 80 komen atau maklum balas tentang rasa terkilan itu. Daripada komen-komen baru mendapat tahu pernah berlaku perselisihan dalam menangani strategi perang sehingga angkatan perang Kedah yang sudah berjaya mara sehingga ke Singgora (Songkhla sekarang) kalah dengan Siam lalu ada panglima-panglima Kedah  merajuk membawa diri ke negeri-negeri lain. Panglima-panglima tersebut pernah diasuh oleh Laksamana Wan Ismail. Mungkin disebabkan itu beliau juga berselisih dengan seorang tokoh yang dibicarakan dalam majlis lalu penglibatan Wan Ismail dalam Perang Musuh Bisik kelihatan seperti diremehkan apabila ditanyakan tentang itu.

Dapat juga diketahui tapi tidak pasti kebenarannya bahawa ayah Wan Ismail iaitu Laksamana Wan Long adalah anak kepada Laksamana/Bendahara Wan Johan bin Tunku Anjang Raja Laut Seri Paduka Maharaja DiRaja Sanggara @ Dato Seri Paduka Raja Laksamana ibni Sultan Muhammad Jiwa Zainal Adilan (memerintah Kedah 1711 - 1778). Allah! Nampak kaitannya kenapa pernah terpanggil untuk menziarahi makam Sheikh Abdul Jalil di Jitra beberapa kali. Ini kerana Sultan Muhammad Jiwa asalnya tidak mahu menaiki takhta walaupun baginda adalah anak lelaki sulung Sultan Abdullah Muazzam Syah (memerintah 1698 - 1706).  Baginda lebih seronok menjadi anak murid Sheikh Abdul Jalil belajar agama sambil mengembara sehinggalah muncul rombongan Kedah mencari untuk menggantikan adinda baginda Sultan Ahmad Tajuddin Halim Shah I yang mangkat tahun 1711.

Adapun Sheikh Abdul Jalil itu adalah ayahanda (ada kata nenda) kepada Sheikh Abdus Samad al-Falembani yang terlibat dalam Perang Musuh Bisik lalu tumbang di Singgora. Sultan Muhammad Jiwa pula memiliki seorang adinda bernama Tunku Aisyah yang berkahwin dengan Daeng Parani, abang sulung antara Lima Opu Bersaudara anak-anak Raja Bugis yang sangat terkenal di Alam Melayu awal abad ke-18. Adapun Daeng Parani itulah moyang saya sebelah ibu. Nah. Nampak tak? Pusing-pusing semua ada kena mengena.


2 ulasan:

House of Long Yunus berkata...

Yeop ni sedare mare ambe la. Saya keturunan Wan Abu Bakar Bin Dato' Seri Paduka Diraja Laksmana Wan Ismail.

Radzi Sapiee berkata...

Nampaknya begitulah.