OK. Merujuk pada artikel
Mari kembali bangkit bangsa Melayu bertanjak 16 September 2020 yang dipersembahkan pada jam 2:36 pagi Rabu 16 September bersamaan 28 Muharram 1442 Hijriah. Ada disebut pada permulaan artikel bahawa ia mula ditulis pada jam 12.51 pagi dalam keadaan penat amat tetapi tidak dapat melelapkan mata. Walhal malam sebelum itu pun saya cuma tidur 2 jam sahaja. Hal ini menyebabkan saya tidak dapat keluar awal untuk menyertai sambutan Hari Malaysia.
Pun begitu tidaklah bermakna saya dapat 'membalas' tidur buat sekian lama. Selepas bangun solat Subuh kemudian menunggu matahari naik memang niatnya hendak lagi tidur lagi barang sejam dua. Maklumlah memang hendak keluar untuk Hari Malaysia. Kalau tak cukup rehat susah juga.
Namun didapati diri sibuk melihat perkembangan melalui kemaskini (update) dan komen-komen kawan dan kenalan di Facebook juga WhatsApp. Disebabkan teruja saya tidak dapat melelapkan mata namun belum merasa cukup bertenaga untuk bersiap dan keluar. Dalam keadaan sekejap duduk sekejap berbaring saya melihat beberapa gambar memaparkan program Tanyalah Ustaz di kaca televisyen pagi itu. Biasanya baik pengacara mahupun penceramah/pendakwah undangan akan memakai jubah atau pakaian keagamaan serupa berserta kopiah atau songkok atau serban. Tapi kali ini kedua-duanya berbusana tradisional Melayu siap dengan tanjak... nampaknya untuk menyambut kempen Melayu bertanjak Hari Malaysia.
Itu sahaja sudah petanda baik untuk gerakan bagi membiasakan dan mengarusperdanakan pemakaian tanjak buat semua anak Melayu. Sedar tak sedar masuk jam 11.30 masih belum melelapkan mata lalu terasa sudah terlewat untuk tidur. Kalau terlelap harus paling awal pun waktu Zohor baru larat bangun. Saya pun membuat keputusan untuk mandi lalu bersiap.
Gambar ini diambil jam 12.18 tengah hari setelah lengkap mengenakan busana Melayu. Sudah dipakai sampin, sudah berpending, sudah bertanjak sudah tersisip kemas keris di sisi. Kiranya sudah bersedia untuk keluar, Cuma kena alas perut sedikit dengan sesuatu...
Gambar ini pula diambil pada jam 12.52, setelah sekitar 10 km meninggalkan rumah di Bandar Sungai Buaya menghala ke Sungai Choh. Saya bercadang untuk ke Kuala Lumpur melalui jalan pintasan Serendah-Rawang sebelum masuk ke jalan lama...
Tidak lama selepas mengambil jalan pintasan isteri menelefon lalu memberitahu terlupa hendak meninggalkan kad Touch n Go dalam kereta. Ia berada di dalam kereta satu lagi yang telah digunakan isteri untuk ke pejabat di pekan Rawang. Oh, biasanya isteri dan anak-anak akan ikut sama kalau ada majlis atau sebab untuk berbusana Melayu tradisional di mana-mana. Tetapi kali ini beliau memilih untuk membuat overtime kerja kemudian balik berehat sedangkan anak-anak mahu duduk di rumah main game.
Kalau belum mengambil jalan pintasan saya boleh ke pejabat untuk mengambil kad. Tetapi bila dah masuk sudah jadi amat jauh hendak ke Rawang kerana harus menghabiskan dahulu jarak sekitar 8 km sebelum dapat menemui pusingan u (u-turn) untuk berpatah balik. Tanpa kad Touch n Go saya tidak boleh menggunakan mana-mana jalan tol. Ini tiada masalah kalau mahu berjalan di Kuala Lumpur sahaja. Tetapi saya sebenarnya ada bercadang untuk menghadiri satu majlis perkumpulan bertanjak di Cyberjaya iaitu selepas meninjau sambutan di pusat bandar raya. Untuk ke situ memang harus mengambil jalan tol.
'
Saya juga ada bercadang untuk berjumpa kawan-kawan lama zaman kolej di Hartamas, Bukit Damansara dan Taman Tun. Dari kawasan mereka di barat Kuala Lumpur adalah lebih dekat terus mengambil Lebuh Raya PLUS untuk kembali ke Sungai Buaya. Sekarang sudah tak boleh kerana tiada kad Touch n Go. Perjalanan harus dihadkan pada jalan raya tanpa tol. Ini bermakna saya harus kembali menggunakan jalan sama.
Sampai di Selayang keluar daripada laluan utama untuk mencari masjid bagi menunaikan solat Zohor. Kebetulan perut meragam lalu harus ditunaikan hajat.
Perjalanan disambung kembali sekitar jam 2.15 petang. Kelihatan jalan raya boleh tahan sesak...
Jam 2.32 sampailah ke Dataran Merdeka lalu mencari parkir terdekat ke padang sana. Dari situ saya bercadang untuk berjalan kaki ke beberapa tempat. Semoga dapat bertemu ramai orang bertanjak lalu beramah mesra.
Kelihatan padang sedang ditutup, tak tahu kenapa.
Tak mengapa. Masih boleh bersantai di sekitar lebuh di hadapan bangunan Sultan Abdul Samad yang sangat bersejarah itu. Biasanya di sekitar inilah para aktivis busana tradisional Melayu berkumpul lalu membuat pelbagai aktiviti untuk menzahirkan kewujudan mereka kepada warga kota. Ada masanya kami menumpang majlis yang diadakan di situ. Lihat misalnya artikel-artikel lama berikut :-
Tahun lepas pula, ketika kempen Melayu bertanjak pada 16 September Hari Malaysia pertama kali berlangsung ada kumpulan aktivis mengadakan majlis yang agak gilang gemilang di Dataran Merdeka. Tetapi saya tidak ikut serta kerana pergi ke majlis lebih kecil di negeri lain. Lihat
Membawa semangat Aceh ke Perak - Petanda-petanda sekitar Hari Malaysia di bandar diraja Kuala Kangsar. Kali ini saya menghadapi masalah mencari kelibat aktivis berbusana Melayu penuh apatah perkumpulan besar. Yang nampak cuba cebisan atau serpihan - sana ada sedikit 2-3 orang, sini ada sedikit 4-5 orang. Dan mereka tidak berpakaian lengkap, Rata-rata memakai
t-shirt dan seluar jeans dengan tanjak hitam.
Tidak keterlaluan untuk mengatakan rata-rata mereka adalah anak-anak muda yang baru setahun dua mengenal tanjak. Mereka adalah sebahagian daripada gerakan baru mahu mengarusperdanakan pemakaian tanpa perlu berbusana lengkap. Ada pula memperkenalkan tanjak kain moden selain songket agar tidak terasa begitu janggal seperti halnya kami yang sudah biasa berbusana tradisional penuh. Kiranya ganti bagi topi dan cap Barat kebiasaan anak muda lalu menjadi trend baru yang boleh menepati zaman.
Namun saya lihat mereka tetap adalah bahagian penting dalam landskap pergerakan yang semakin berkembang. Cuma masalahnya ada dalam kalangan mereka mewar-warkan ke serata dunia kononnya merekalah pelopor, orang paling awal dan paling terkehadapan dalam gerakan. Hal ini saya dapat tahu menyinggung perasaan ramai pelopor sebenar awal. Baru sekitar tahun 2018-2019 mengenali tanjak tetapi disebabkan lebih cakna IT (Information Technology) mereka dilihat generasi kini sebagai orang terawal. Padahal sejumlah aktivis lain yang lebih berusia telah memulakan dari gelanggang persilatan sebelum memberikan tumpuan terhadap aspek budaya tanjak seawal tahun 2008-2009. Cuma berdasarkan pemerhatian peribadi kehadiran mereka mula jelas dizahirkan kepada dunia pada pertengahan tahun 2012. Rujuk pembentangan saya di Muzium Negara hampir penghujung tahun 2016 :-
Pun begitu tak mengapalah bagi saya. Yang penting semakin ramai anak Melayu merasa selesa memakai tanjak. Dari Dataran Merdeka saya melangkah ke arah Masjid Jamek. Hampir sampai ke masjid baru tersedar tidak memakai pelitup muka. Musim PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) untuk mengekang sebaran virus Covid-19 ni jangan main-main. Terjangkit kalau mendekati orang yang ada penyakit tu satu hal. Kalau bertembung dengan pihak berkuasa boleh kena denda RM1,000!
Terpaksalah bergegas berpatah balik ke kereta untuk mengambil pelitup muka. Alang-alang dah sampai kembali ke Dataran Merdeka saya mengambil laluan lain lalu menuju ke Pasar Seni.
Ketika itulah tergerak untuk membuat live video atau siaran langsung di Facebook. Boleh menunjukkan keadaan pada waktu sebenar (real time) sambil meninjau sambutan kempen Melayu bertanjak di Kuala Lumpur. Asal jumpa orang yang kelihatan seperti mengikut kempen saya memberi salam lalu bertanyakan hal. Ini dilakukan sepanjang perjalanan dari Dataran Merdeka hingga masuk ke Pasar Seni dan keluar.
Siaran langsung diteruskan tanpa berhenti mahupun rehat melepasi lebuh di Hong Kong Bank membawa masuk ke Masjid Jamek lalu pusing keliling masjid. Sambung ke Masjid India lalu ke Jalan TAR (Tuanku Abdul Rahman) membawa ke Sogo diikuti Kompleks Pertama. Apabila didapati tiada lagi orang bertanjak baru berhenti
live. Tengok-tengok lebih sejam bersiaran langsung sambil berdiri dan berjalan kaki. Sila klik
sini untuk melihat video.
Setelah beberapa lama berhenti baru ada orang memberitahu lebih awal tadi sudah ada kumpulan bertanjak berlegar ke sana ke mari di sekitar itu. Ah. Kalau begitu saya yang salah. Saya yang terlewat untuk mengikuti aktiviti-aktiviti lebih jelas. Tak mengapa. Tinjauan diteruskan tanpa membuat live. Bateri telefon pun sudah tinggal kurang 40 peratus. Terlihat perkataan busana di bangunan ke utara Pertama Kompleks timbul rasa untuk ke sana.
Di bangunan inilah terletaknya Digital Mall iaitu versi Bumiputera bagi satu kompleks dengan banyak kedai IT seperti halnya Plaza Low Yatt di Bukit Bintang yang didominasi peniaga Cina.
Selepas itu baru makan tengah hari lewat di sebuah kedai makan di Jalan TAR. Ketika gambar ini diambil sambil menunggu mee rebus sampai sudah jam 4.27.
Selesai makan saya berjalan kaki ke Dataran Merdeka. Sejurus sebelum sampai terlihat bas percuma lalu tergerak untuk ambil. Ikut sahaja ke mana ia membawa lalu turun di KL Sentral. Di sana tergerak pula untuk mengambil LRT ke KLCC.
Saya masuk kompleks membeli belah sebelum keluar ke lapangan di hadapan tasik taman. Sebetulnya sejak keluar LRT lagi didapati ada 2-3 orang sini, 2-3 orang sana memakai tanjak sama seperti di Dataran Merdeka (tidak berpakaian lengkap). Tiba-tiba dapat melihat sekumpulan pengunjung memakai busana tradisional penuh. Saya pun mengambil gambar secara zoom-in demi merekodkan keadaan. Mereka dapat melihat saya lalu datang merapat.
Bukan hendak mendabik dada tapi rata-rata mereka yang telah lama bergelumang dalam dunia aktivisma busana tradisional Melayu mengenali saya sebagai Merah Silu dan cam muka. Walaupun sebelum ini tidak pernah bertegur sapa mereka tahu siapa saya. Memandangkan kami sahaja kelihatan berbusana penuh sapaan bertukar menjadi perbualan panjang mesra.
Gambar-gambar berkenaan diambil daripada FB wanita yang kelihatan. Beliau adalah seorang keturunan Dusun dari Sabah yang sudah lama menetap di Semenanjung mengajar silat buah pukul. Kelihatan dalam gambar seorang anak muda yang baru setahun dua bertanjak. Rupa-rupanya beliau pengikut pihak yang sering mewar-warkan diri sebagai pelopor gerakan bertanjak Hari Malaysia. Terus wanita ini menegur - Sudah ada orang lebih lama membawa gerakan. Malah kejayaan gerakan Hari Malaysia tahun 2019 pun sebenarnya melibatkan sejumlah orang lama termasuk beliau. Maka ada eloknya anak muda itu memanjangkan hal sebenar.
Saya diam sahaja mendengarkan itu. Sesungguhnya dalam dunia silat dan busana ini terdapat pelbagai ragam manusia. Ada yang betul-betul sayangkan budaya, ada yang lebih mementingkan perniagaan dan pengaruh lalu sanggup membuat dakwaan macam-macam sambil memencilkan sumbangan orang lain. Pun begitu saya lebih suka berlapang dada. Yang penting gerakan dapat dikembangkan lalu semakin ramai anak Melayu memakai malah mencintai tanjak.
Kumpulan yang lebih aktif dalam dunia persilatan ini mengajak saya ikut makan di suatu restoran berdekatan KLCC. Terlihat orang meja sebelah menerima tempahan roti tisu tinggi tergerak untuk mengambil gambar. Ketika itu sudah jam 6.59. Kami duduk makan sehingga waktu malam lalu menunaikan solat Maghrib di surau restoran.
Ini pula gambar yang mereka ambil di Pintasan Saloma tidak jauh dari restoran. Saya telah membawa mereka hingga ke Kampung Baru di hujung utara pintasan. Ketika ini kami sudah berpisah. Saya hendak mengambil LRT di Stesyen Kampung Baru hingga ke Masjid Jamek.
Ini pula gambar Sungai Gombak ketika melangkah dari Masjid Jamek menyeberangi jambatan pejalan kaki ke Dataran Merdeka.
Selepas jambatan ada terjumpa orang menjual tanjak malam-malam tapi tak ambil gambar. Beliau memberitahu telah menyertai perhimpunan di Melaka pada waktu pagi. Tetapi apabila ramai aktivis bertanjak berkumpul di hadapan tinggalan bangunan penjajah Portugis yang bernama A Famosa polis datang dalam jumlah yang besar lalu menyuruh mereka bersurai. Nampaknya ada yang risau gerakan bertanjak akan turut sama membuat demonstrasi agar Bukit St Paul di belakang A Famosa ditukar balik ke nama asal (sebelum penjajahan tahun 1511) menjadi Bukit Melaka.
Sebetulnya desakan-desakan sebegini sudah rancak dizahirkan oleh pelbagai perkumpulan Melayu sejak sebulan dua kebelakangan. Tetapi ia kelihatan tidak diendahkan demi menjaga hati orang bukan Melayu dan bukan Islam. Hamba Allah tadi memberitahu beliau kemudian bergerak ke Malakat Mall di Cyberjaya. Katanya di situ paling meriah kerana ramai berkumpul untuk menjalankan pelbagai aktiviti keMelayuan. Bila disemak kembali laluan perjalanan menggunakan Google Earth didapati saya telah berjalan kaki lebih 6 km . Ini dilakukan dengan memakai capal kulit yang sudah lama tidak dipakai. Sudahlah tak cukup rehat, tumit kaki kiri kanan melecet sakit sejak sampai ke Pasar Seni lagi...
Tetapi saya tetap dapat bertahan kerana begitu bersemangat. Ini disebabkan merasakan perkembangan terkait rapat dengan perjuangan Melayu Islam akhir zaman. Merujuk kembali pada artikel
Mari kembali bangkit bangsa Melayu bertanjak 16 September 2020. Selepas kembali ke rumah jam 10 malam saya membuka komputer riba dan Internet untuk melihat perkembangan terbaru. Terlihatlah gambar atas dikongsikan oleh rakan aktivis dari Aceh.
Mereka memiliki tutup kepala tradisional sendiri yang dikenali sebagai Meukotop. Tetapi untuk menunjukkan sokongan terhadap gerakan bertanjak di Malaysia mereka turut mengambil gambar memakai tanjak cara Melayu Semenanjung...
Ini pula di Beranang. Saya snip gambar ala montaj terus daripada FB.
Di IOI Mall Putrajaya. Sebetulnya cukup jelas ribuan telah menyambut saranan atau kempen Melayu bertanjak di merata tempat...
Ini di Kota Bahru, Kelantan. Saya dapat tahu yang berkumpul ramai-ramai sebegini adalah rata-rata pada waktu pagi.
Di Kemaman, Terengganu...
Di Malakat Mall, Cyberjaya...
Di makam pejuang Melayu terkenal abad ke-19 iaitu Mat Kilau di Pulau Tawar dekat Jerantut, Pahang. Perhimpunan bertanjak malah berbusana lengkap ini sebetulnya dipimpin oleh satu kumpulan berasaskan persilatan di Kuala Lumpur. Kumpulan inilah sebenarnya yang paling utama menjadikan perhimpunan Hari Malaysia 2019 di Dataran Merdeka gilang gemilang.
Ini pula daripada jemaah Armada Malaui Malaysia cawangan Perak. Mereka berkumpul di Kellie's Castle dekat Gopeng. Kumpulan ini yang induknya adalah di KL serta juga sebuah kumpulan besar gabungan pelbagai aliran persilatan yang diberi nama DSSM (Dunia Seni Silat Melayu) adalah para aktivis paling selalu dan setia menyokong usaha-usaha saya atas nama HIKMAH. Lihat cerita-cerita berkenaan dalam
blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).
Bersama satu lagi kumpulan yang selalu juga menyokong acara-acara HIKMAH, kami sering menzahirkan kecintaan terhadap busana dan tanjak dengan mengadakan majlis juga berjalan dan berlegar di tempat awam. Kumpulan terakhir yang memakai nama Keris Warisan ini kebanyakkannya terdiri daripada anak didik seorang saudara saya daripada keluarga Laksamana Raja Mahkota Perak. Beliau yang bernama Johan Iskandar telah melahirkan ramai pembuat tanjak selain aktif mengajar silat dan memanah.
Selain itu terdapat kumpulan-kumpulan turut bergerak sama sezaman seperti Pusaka KL, Magma Melaka (kemudian menjadi Sigma Melaka) dan Penjurit Kepetangan melestarikan pemakaian busana tradisional Melayu yang memiliki pelbagai kombinasi, rupa dan ragam. Pendek kata sudah terdapat ramai pihak berjuang sejak awal. Cuma untuk perkara ini disedari lalu diterima dan diikuti umum mengambil masa secara berperingkat. Ia ibarat hendak mendapatkan durian kena ada pihak terlebih dahulu sanggup menggadaikan nyawa menghadapi ancaman binatang buas dan makhluk halus sebelum dapat membuka hutan. Kemudian ada pihak menanam benih lalu menjaganya hingga menjadi pokok lalu berbuah. Maka itu apabila dapat buah jangan ada pihak mendabik dada mengatakan dialah yang memberi orang ramai makan sedangkan mereka belum dilahirkan pun ketika pohon baru bercambah apa lagi terlibat dalam pembukaan hutan.
Sesungguhnya kami-kami inilah yang saling menyokong menjadikan pemakaian busana tradisional Melayu satu kebiasaan pada hari raya di Malaysia sejak beberapa tahun kebelakangan. Kalau dalam majlis persilatan dan sebagainya memang sudah lama biasa, begitu juga dalam majlis-majlis lain anjuran kami dan mereka yang sejalan. Ini berbeza dengan usaha untuk membawa mereka yang di luar lingkungan turut sama melestarikan. Saranan yang dimulakan secara besar-besaran ketika bulan puasa tahun 2016 turut diikuti segelintir individu anak Melayu di luar negara Lihat
Ledakan busana tradisional Melayu di masjid-masjid pagi raya.
Di atas tadi adalah gambar jemaah Armada Malaiu di Pahang. Untuk Hari Malaysia ini mereka berkumpul di Temerloh. Ini pula perhimpunan cawangan Johor di Johor Bahru. Terdapat lebih 50 lagi gambar kempen Melayu bertanjak Hari Malaysia 2020 mahu dikongsikan tetapi biar dalam artikel baru.
Sesungguhnya perkembangan yang amat memberangsangkan ini bukan berlaku dalam tempoh sehari dua mahupun cetusan seorang dua individu. Ia adalah gerakan bersama dan menyeluruh yang diilhamkan terhadap sejumlah pejuang sejati agama, bangsa dan negara sambil dibantu perkembangan sosio-politik tertentu. Misalnya apabila ahli-ahli parti politik PAS memakai busana penuh tradisional Melayu dalam satu majlis siap berkeris. Sedangkan selama ini ia dikaitkan dengan lawannya parti UMNO . Hal ini membunuh stigma berkurun bahawa PAS cuma pedulikan Islam sedangkan UMNO cuma pedulikan Melayu. Rujuk cerita berkenaan dalam artikel
Pemerhatian terhadap perkembangan pemakaian busana tradisional Melayu - Melangkaui sempadan politik demi penyatuan Melayu Islam akhir zaman. Sekarang kedua-dua parti utama Melayu itu sudah berkerjasama untuk mendirikan kerajaan sejak setengah tahun lalu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan