Manakan dapat sagu kalau tidak dipecahkan ruyungnya?
Manakan dapat mutiara yang berkerlipan jika takut menyelam ke lautan dalam.
Dalam diri setiap manusia, ada seketul daging.
Jika baik ia, maka baiklah seluruh jiwa manusia itu.
Jika buruk ia, buruklah juga manusia itu...
Seketul daging itu adalah hati,
mari kita lapangkan dada dan belajar mengIKHLASkan hati.
Perjalanan seribu batu bermula dengan satu langkah.
Marilah meneroka dunia pemikiran hamba.
Silakan

Video klip yang tertera boleh dianggap sebagai pembukaan kepada dunia pemikiran dan kesukaan hamba...







-------------------------


-------------------------



Segala yang dipaparkan menggambarkan pemikiran penulis yang turut terserap di dalam setiap penulisan buku dan artikel. Lihat Cara-cara mendapatkan buku tulisan Merah Silu @ Radzi Sapiee. Di atas adalah satu klip video selama hampir setengah jam yang merupakan demo pilot episode yang mahu digunakan untuk mencadangkan satu siri pengembaraan menyusuri sejarah Melayu Islam sekeliling Nusantara untuk siaran televisyen. Entah mengapa ia menemui masalah. Kemudian penulis diberitahu konsepnya diciplak sebuah stesyen televisyen. Lihat Kembara Sejarah Islam Nusantara : The original material...



Ini adalah klip video ulasan buku ketujuh saya "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" berserta temuramah yang dibuat siaran langsung di Selamat Pagi Malaysia, RTM1. Lihat Siaran langsung ulasan buku "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" dan temu ramah di Selamat Pagi Malaysia.



Penulis juga pernah diminta membuat pembentangan mengenai siri buku "Berpetualang ke Aceh" di Masjid Sultan Salahuddin iaitu masjid negeri Selangor di Shah Alam. Lihat Buku "Berpetualang" dan himpunan ulamak Nusantara yang diketuai ulamak Aceh


-------------------------



Siri novel "Berpetualang ke Aceh" boleh didapati dalam bentuk e-book. Masuk http://www.e-sentral.com/, klik kategori novel am dan taip perkataan "Aceh" pada kotak carian. Atau terus klik Buku 1,Buku 2 dan Buku 3.





Gambar ketika menghadiri satu majlis ilmu, diambil oleh sebuah akhbar harian. Lihat Menghiasi Kosmo Alam Melayu...



Penerbitan trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" juga membawa penulis untuk terlibat dengan banyak majlis ilmu. Rujuk kumpulan links artikel di bawah tajuk "Siri Refleksi Sejarah", pada bahagian paling bawah kiri blogspot, . Penulis juga agak aktif dalam aktiviti-aktiviti kedaulatan Melayu dan Islam, dapat menganjurkan majlis-majlis sendiri di merata Semenanjung Malaysia membawa ke luar negara di Aceh. Lihat blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


Ketika menulis perenggan ini 4 Mei 2015 penulis sedang berusaha untuk mengembangkan isi 3 buku dalam siri "Berpetualang ke Aceh" menjadi 6 buku yang akan membentuk siri baru dipanggil "Siri Pengembaraan Merah Silu". Sebuah syarikat penerbitan telah bersetuju untuk menerbitkan siri lama itu kembali dalam bentuk yang lebih segar - Setiap buku asal dipecah menjadi 2 buku baru yang ditambah maklumat, gambar dan peta berwarna-warni.Pertengahan September 2015 buku pertama siri baru pun selamat diterbitkan. Seminggu lebih kemudian penulis berpeluang bercakap tentangnya secara siaran langsung dalam televisyen lalu membawa wakil penerbit bersama. Lihat video di bawah :-





Awal tahun 2015 turut menyaksikan penulis diambil menjadi penyelidik dan hos satu siri dokumentari yang dipanggil "Daulah Melayu". Projek 13 episod sepanjang sejam setiap satu ini mahu mengenengahkan formula untuk mengembalikan kekuatan bangsa Melayu. Insyaallah projek iakan membawa penulis untuk mengembara ke merata di Malaysia dan Indonesia juga ke beberapa negara dan tempat di Eropah termasuk ke kota London, tempat penulis mengambil ijazah matematik 1991-1995. Siri dokumentari ini dijangka siap untuk tayangan televisyen dalam tempoh 2 tahun.


Pada 13 Mei 2023 buku ke 13 + 1 penulis (pertama setelah yang ke-13 terbit tahun 2019 lalu mula memberikan tumpuan pada pengajian pascasiswazah di ISTAC iaitu Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam di Bukit Tunku, Kuala Lumpur), Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin & Orang Kaya Arsyad telah dilancarkan oleh sejarawan ulung negara, Profesor Emeritus Datuk Dr Abdullah Zakaria Ghazali di rumah penulis. Lihat Majlis pelancaran buku dan rumah terbuka raya 2023 - Melestarikan semangat perjuangan. Beliau yang bertanggungjawab memberikan kata-kata aluan dalam buku turut menjadi pembicara dalam diskusi yang diadakan di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2023 (berlangsung 26 Mei hingga 4 Jun). Lihat Bicara buku Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin di PBAKL 2023. Diskusi ini terakam dalam video atas diikuti video bawah...



Jumaat, Mac 13, 2020

Mengenangkan satu permulaan baru dalam dunia penulisan lebih 13 tahun lalu

Salam hari Jumaat ke-3 bulan Rejab tahun 1441 Hijriah. Ia juga adalah "Friday the 13th" atau Jumaat 13 hari bulan menurut kalendar Barat/Gregorian kerana tarikh hari ini adalah 13 Mac atau 13/3 bagi tahun 2020 Masihi. Adapun beberapa hari kebelakangan saya telah menyibukkan diri mengumpulkan pautan-pautan artikel daripada blogspot BERPETUALANG KE ACEH untuk diatur menurut kategori seperti bukit dan gunung (yang pernah didaki), kenderaan air  (pernah dinaiki, bot, feri dan sebagainya) juga tasik dan air terjun. Ini kerana mengingatkan bahawa blogspot itu telah dikhaskan untuk berkongsi artikel-artikel melibatkan pemandangan dan kecantikan/keistimewaan suatu tempat. 

Di situlah juga paling banyak diketengahkan gambar-gambar yang diambil sendiri dalam pengembaraan dan perjalanan. Selepas meneliti satu persatu setiap daripada lebih 2,000 artikel yang ada lalu  dimasukkan ke dalam kategori yang difikirkan paling bersesuaian sampailah pada artikel pertama blogspot. Untuk makluman penelitian dibuat bermula daripada artikel terkini memutar balik masa ke belakang. Sampai pada artikel lama yang diberi tajuk A New Beginning  itu baru tersedar dan teringat ia adalah artikel pertama saya tulis dalam mana-mana blogspot

Tercatat dalam artikel bahawa saya menulisnyat lebih 13 tahun atas saranan seorang bapa saudara. Beliau mendapati menulis di blogspot boleh membantu kita menjadi lebih tenang dan terurus.




Hal ini menyebabkan timbul rasa untuk membuat status update berkenaan di Facebook. Di bawah ini adalah teks tersebut, di atas adalah screen capture (tangkapan layar?) yang diambil daripada FB setelah 17 minit ia dipaparkan tengah malam tadi...


-----------------



GERAK PENULISAN BLOGSPOT LEBIH 13 TAHUN LALU YANG BERCAMBAH MENJADI PELBAGAI PERKARA

Subhanallah. Sedar tak sedar sudah lebih 13 tahun saya membuka blogspot pertama saya BERPETUALANG KE ACEH. Untuk makluman blogspot berbahasa Inggeris  ini dimulakan atas saranan seorang bapa saudara. Katanya bagus untuk dijadikan wadah bagi melepaskan/meluahkan rasa sambil menjadi terapi jiwa. Ia berjaya menjadikan beliau lebih lembut hati, tidak lagi garang seperti dahulu. Saya juga mendapati muncul faedah serupa malah banyak lagi menjadikan diri ini lebih baik dan bertimbang rasa berbanding sebelum itu.

Nama BERPETUALANG KE ACEH diberikan sempena nama siri trilogi novel saya yang mula menemui pembaca Jun tahun 2006. Blogspot pula dimulakan pada bulan November tahun sama. Kebetulan tengah malam ini sudah masuk tarikh 13/3. Eloklah dibuat update perkongsian ini.

Kini saya telah memiliki 3 buah blogspot dengan jumlah artikel telah dipaparkan adalah seperti berikut :-

CATATAN SI MERAH SILU (1,913 artikel bahasa Melayu)

BERPETUALANG KE ACEH (2,054 artikel bahasa Inggeris)

SENI LAMA MELAYU (2,083 artikel dwi-bahasa)

Selain itu saya juga memiliki sebuah blogspot khas untuk aktiviti suatu NGO bernama HIKMAH (Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman). Atas nama tersebut saya telah menganjurkan 22 majlis ilmu setakat ini meliputi tempat-tempat terpilih di seluruh Semenanjung Malaysia dan 3 kali di Aceh. Blogspot itu sendiri kini sudah mengandungi 385 buah artikel. Ini menjadikan jumlah ditulis untuk blogspot mencapai 6,435 artikel setakat ini. 

Untuk menyokong penulisan berpuluh ribu, mungkin sudah lebih 100,000 gambar yang diambil sendiri di merata tempat dalam pelbagai keadaan telah disertakan sekali lalu artikel dan gambar-gambar menjadi rujukan ramai pihak. Tetapi cuma sedikit sahaja yang mengaku telah mengambil faedah daripada penulisan-penulisan saya, perkongsian ilmu dan gambar-gambar. Ada yang mendapat petunjuk malah arah hidup tapi bukan sahaja tak mahu mengaku. Mereka pula sibuk mencanangkan diri sendiri sebagai pencetus kesedaran baru anak Melayu dan sebagainya konon sambil cuba menafikan langsung sumbangan saya sejak lebih 13 tahun lalu. 

Dunia, dunia. Tak mengapalah. Saya tetap berjalan terus kerana memangpun asalnya menulis untuk meluahkan dan berkongsi rasa, bukan untuk mencari nama atau mahu merebut apa-apa. Sekadar melengkapkan gerak biar dikongsi artikel pertama ditulis dalam blogspot, artikel yang menandakan satu permulaan baru dalam hidup.



-------------------


Untuk melengkapkan gerak kenangan ini elok dibuat artikel dalam blogspot CATATAN SI MERAH SILU  sebelum keluar untuk menunaikan solat Jumaat berjemaah di masjid. Boleh dipanjangkan sekali ingatan berkenaan tentang penulisan artikel pertama tersebut. Sesungguhnya ketika menulis artikel A New Beginning di blogspot pertama saya BERPETUALANG KE ACEH yang berbahasa Inggeris itu pada petang Jumaat  10 November 2006  tidak pernah terlintas pun dalam fikiran mahu membuka blogspot selain daripada itu. Entah kenapa, tak ingat sebabnya, 2 hari kemudian timbul rasa untuk membuat satu blogspot dalam bahasa Melayu pula.

Jadilah artikel pertama yang diberi tajuk Apa-apa aje le... dalam blogspot ini iaitu CATATAN SI MERAH SILU petang Ahad 12 November 2006. Ini diikuti gerak untuk mendirikan satu blogspot dwi-bahasa (Melayu dan Inggeris) kurang seminggu selepas itu. Maka terbitlah artikel pertama bertajuk Mukadimah (Introduction) di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART) pagi Sabtu 18 November 2006.

Pada awalnya saya tidak begitu tahu apakah yang patut dimasukkan ke dalam blogspots lalu menurut sahaja apa yang terlintas dalam hati. Lama kelamaan terbentuk satu kebiasaan di mana setiap kali selesai mengembara atau membuat suatu perjalanan, cerita-cerita utama tentangnya diletakkan di blogspot CATATAN SI MERAH SILU. Artikel-artikel sokongan menunjukkan pemandangan suatu tempat atau dalam perjalanan pula diletakkan di blogspot BERPETUALANG KE ACEH, artikel tentang tempat-tempat bersejarah termasuk masjid dan makam diletakkan di SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART).

Hampir penghujung tahun 2012 iaitu dekat 6 tahun kemudian saya mengasaskan satu NGO bernama HIKMAH (Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman) khas bagi mengadakan majlis-majlis ilmu melibatkan isu-isu sejarah dan kedaulatan orang Melayu Islam. Pada mulanya cerita-cerita berkenaan HIKMAH dan rancangan aktivitinya diletakkan dalam CATATAN SI MERAH SILU. Setelah beberapa lama baru timbul rasa untuk mengadakan blogspot khas bagi  tujuan tersebut. Terbitlah artikel pertama bertajuk Awaluddin makrifatullah di blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH) petang Rabu 31 Oktober.

Sekarang semuanya telah menjadi sejarah dengan hampir 6,500 artikel telah ditulis lalu dikongsikan setakat ini. Pelbagai perkara telah diliputi, daripada hal penulisan buku, perkongsian ilmu, sejarah Alam Melayu, pemikiran Islam, falsafah hidup, pengembaraan dan perjalanan serta banyak lagi. Cukuplah melangsaikan gerak dalam menyatakan kenangan bermulanya satu fasa baru dalam dunia penulisan saya lebih 13 tahun lalu. Sekian, wassalam.





Tiada ulasan: