Kembali ke rumah ibubapa kami berehat sebentar sebelum bersiap-siap untuk meninggalkan Muar. Esoknya Isnin hari bekerja. Selepas jam 6 petang, selepas bertandang sebentar ke rumah seorang datuk saudara kami pun mengambil jalan lama menghala ke utara.
Kelihatan matahari lewat petang mewarnakan langit begitu cantik.
Selalunya apabila mengikut jalan lama dan sampai ke bandaraya Melaka saya akan melakukan antara dua perkara. Samada meneruskan perjalanan melalui lebuhraya pinggir bandaraya sehingga keluar menghala ke Alor Gajah atau masuk ke Bandar Hilir, singgahlah mana-mana yang terasa nak pergi, kalau tak singgah pun lalu sebelum keluar dari bandaraya. Sebaliknya kali ini timbul semacam gerak untuk ke Bukit Cina.
Sebenarnya ada satu makam yang sudah lama ingin diziarahi di Bukit Cina, sebuah makam lama pejuang Melayu dari Aceh tetapi saya tidak tahu lokasinya. Untuk pengetahuan Bukit Cina dipenuhi kubur-kubur Cina. Menurut ceritanya Sultan Mansur Shah yang memerintah Melaka pertengahan abad ke 15 telah memberikan Bukit Cina untuk dijadikan tempat duduk para pengiring Puteri Hang Li Po yang dikahwini baginda. Tapi setahu saya mereka semuanya memeluk Islam. Maka kuburan Cina yang banyak di Bukit Cina adalah dari zaman kemudian, jauh kemudian... (baca yang tersirat... zaman kiasu...)
Saya terlihat bangunan makam ini di kaki bukit. Apakah ia makam yang dicari?
Rupa-rupanya ia memang makam seorang Islam yang berkaliber tetapi bukanlah makam yang dicari. Namun dari papan maklumat yang ada di situ saya mendapat kepastian akan kedudukan makam yang dicari iaitu di puncak Bukit Cina. Lihat artikel Makam (Tomb of) Habib Omar, Melaka di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART).
Kemudian terserempak pula seorang Cina yang sedang beriadah di satu bangsal berdekatan makam. Dia baru selesai bersenam di atas bukit. Untuk makluman Bukit Cina adalah salah satu tempat kegemaran orang Cina berjogging. "Boss, ada tahukah kubur panjang orang Melayu atas ini bukit?" tanya saya. Ternyata dia tahu di manakah kedudukannya lalu menunjukkan arah.
Tapi memandangkan hari sudah senja orang itu berpesan agar naik sahaja lain kali siang hari... takut dah gelap bila naik ke atas, susah pula nak mencari, susah juga nak turun nanti. Katanya lagi di kawasan makam ada ular hitam besar. Saya pula takut kalau ditunggu nanti tak sampai-sampai. Entah bila lagi kami akan ke sini. Sedangkan bila dah sampai pun belum tentu jumpa. Sampai bila nak ditunggu-tunggu? Kami anak beranak pun terus menuju ke atas.
Alhamdulillah berpandukan arah yang ditunjukkan kami dapat menemui makam. Kedudukannya agak jauh juga ke atas kerana Bukit Cina agak lebar dan memiliki 2-3 puncak. Beberapa tahun dahulu saya pernah cuba mencari makam yang sama bersama seorang rakan. Tetapi ketika itu tak jumpa langsung walau sedikit pun kesan, rupa-rupanya kami tersilap kerana sibuk mencari di puncak lain Bukit Cina. Lihat artikel Bukit China (the Chinese Hill), Melaka... yang ditulis lebih 3 tahun lalu.
Oh. Di luar makam ada ditulis perkataan "Aceh Pidie". Tak tahulah siapa yang buat. Tetapi ia merujuk kepada makam panjang yang dikatakan milik Panglima Pidi dari Aceh. Untuk pengetahuan Pidi atau Pidie adalah satu daerah di Aceh. Panglima Pidi ini dipercayai terkorban ketika Aceh membuat serangan besar-besaran terhadap kedudukan Portugis di Melaka tahun 1629. Lihat Makam (Tomb of) Panglima Pidi.
Pemandangan semasa turun dari bukit. Tadi semasa langit masih cukup cerah kami dapat melihat Masjid Al-Azim iaitu masjid negeri Melaka di bawah sana.
Sampai sahaja ke kereta kami terus masuk lalu menuju ke Masjid Kampung Hulu.
Tetapi saya belum mahu singgah ke sana. Saya mahu ke satu makam lain terlebih dahulu. Turun sebentar di Masjid Kampung Keling untuk ke tandas dan mengambil wudhuk. Lihat artikel Masjid (Mosque of) Kampung Keling, Melaka at night di blogspot BERPETUALANG KE ACEH.
Jalan yang sama di hadapan Masjid Kampung Keling boleh membawa ke makam.
Perhatikan rumah tradisional Melayu di sebelah tokong Cina.
Saya suka mengambil laluan pejalan kaki kecil di sebelah kanan rumah tradisional.
Pada dinding yang ada terdapat papan tunjuk arah ke makam.
Ada papan maklumat tentang pemilik makam.
Inilah makam Sheikh Shamsuddin Al-Sumatrani juga dikenali sebagai Sheikh Shamsuddin Pasai,. ulamak dan wali besar yang menjadi penasihat kepada Sultan Iskandar Muda Mahkota Alam (memerintah Aceh 1607-1636) dan mufti tertinggi kerajaan yang dipanggil Kadhi Malikul Adil (kalau tak salah ingatan). Seperti Panglima Pidi beliau juga dipercayai terkorban ketika Aceh menyerang Portugis di Melaka 1629. Cerita tentang beliau telah dibuat beberapa kali di blogspot ini. Tetapi baru malam tadi saya membuat satu di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART). Lihat Makam (Tomb of) Sheikh Shamsuddin Sumatrani. Dari papan maklumat di makamnyalah saya dapat tahu tentang kewujudan makam Panglima Pidi di Bukit Cina. Tetapi tu le... setelah berapa lama, baru dapat menjejakkan kaki ke sana.
Alhamdulillah, tanpa dirancang saya dapat menyempurnakan hajat menziarahi makam Panglima Pidi yang datang seiring dengan Sheikh Shamsuddin, setelah lebih 3 tahun menyimpan hajat. Kami pun melangkah masuk ke Masjid Kampung Hulu dengan senang hati.
Bagi kami suami isteri berziarah, bersolat dan beriktikaf sebentar di masjid ini sudah jadi seperti satu kewajiban setiap kali singgah di bandaraya Melaka.
Seperti biasa kami turut menziarahi makam ulamak Sayyid Abdullah Al-Hadad di hadapan masjid dan melihat kuburan lama lain yang ada.
Ini pula adalah bangunan PWTC dilihat apabila kami sampai ke Kuala Lumpur lewat malam.
Saya tak tahu sejak bila ia dibuat begini. Nampaknya dah ada wayang free besar di PWTC. Tamatlah cerita. Selepas ini saya mahu ke Putrajaya menghadir majlid Maulidur Rasul dan Hol almarhum Sultanul Awliya Sheikh Abdul Qadir Al-Jilani ni Masjid Besi. Tapi layan cerita Bollywood bertajuk "Robot' di TV2 sat. Selamats... :]
6 ulasan:
Jadi benarlah kisah di dlm kitab al anabaya ttg kerajaan Aceh Dara Al Salama dgn Malaka Al A'dala yg hamba sdg teliti. Kisah sultan Taja Al A'lama Shofayata Al Dayana Shah Berdaulat Zhola Allaha Faya Al A'lama dan salasilah sultan2 Aceh yg berkait dgn Johor pada kira2 hijrat 1000 tahun nabi.
Assalamualaikum tuan MS..
sedikit info tambahan buat tuan.. ambo ziarah makam syeikh Syamsuddin kg hulu febuari lepas... dikatakan bahwa makam ulama habaib di msjd kg hulu adalah sayyid abdullah al haddar bukannye al haddad sptmana dilaporkan oleh tuan... terdapat satu makam habaib lagi dibahagian depan iaitu habib omar al attas.
Boleh dirujuk kepada blog ambo di sini jika berhajat. http://www.anakberingin.blogspot.com/2012/02/ziarah-melaka-bandaraya-bersejarah.html
tq.
Wassalam. Hmm.Saya diberitahu namanya Al-Haddad malah tertera nama keluarga tersebut pada cerita kecil tentang almarhum yang terdapat di papan maklumat masjid di dinding belakang kiri iaitu di hadapan kolah, Apapun saya semak balik dari sumber lain...
Di sini sebut Al-Haddad... http://www.tourism.gov.my/destinations/detail.php?theme=CH&map_code=kampunghulu&state=melaka . Ini website pelancongan kerajaan...
Sini pun sama... http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2011&dt=0822&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_01.htm . Ini website akhbar Kosmo.
Senang cerita google perkataan "Abdullah Al Haddad Kampung Hulu" dan anda akan dapati begitu ramai orang menyebut yang dimakamkan di Kampung Hulu itu adalah Syed/Sayyid Abdullah Al-Haddad iaitut 5,650 keputusan
Namun saya cuba juga "Abdullah Al Haddar Kampung Hulu" dan dapat 2,720 keputusan. Kalau Al-Hadar pula 1,840. Jadi saya rasa biar saya terus memakai nama Al-Haddad.
Dulu moyang Ada cerita pasal wakaf laki bini,lari dari Istana acheh,kami ni keturunan org Istana,nak tahu Hal sebenar jln cerita.... wakaf tu Ada masuk dlm mustika,
Saya nak cari sejarah Istana acheh ni.....
Maaf bertanya, di malim Jaya ada juga kubur panjang di puncak bukit, sekelilingnya kubur cina.
Catat Ulasan