Manakan dapat sagu kalau tidak dipecahkan ruyungnya?
Manakan dapat mutiara yang berkerlipan jika takut menyelam ke lautan dalam.
Dalam diri setiap manusia, ada seketul daging.
Jika baik ia, maka baiklah seluruh jiwa manusia itu.
Jika buruk ia, buruklah juga manusia itu...
Seketul daging itu adalah hati,
mari kita lapangkan dada dan belajar mengIKHLASkan hati.
Perjalanan seribu batu bermula dengan satu langkah.
Marilah meneroka dunia pemikiran hamba.
Silakan

Video klip yang tertera boleh dianggap sebagai pembukaan kepada dunia pemikiran dan kesukaan hamba...







-------------------------


-------------------------



Segala yang dipaparkan menggambarkan pemikiran penulis yang turut terserap di dalam setiap penulisan buku dan artikel. Lihat Cara-cara mendapatkan buku tulisan Merah Silu @ Radzi Sapiee. Di atas adalah satu klip video selama hampir setengah jam yang merupakan demo pilot episode yang mahu digunakan untuk mencadangkan satu siri pengembaraan menyusuri sejarah Melayu Islam sekeliling Nusantara untuk siaran televisyen. Entah mengapa ia menemui masalah. Kemudian penulis diberitahu konsepnya diciplak sebuah stesyen televisyen. Lihat Kembara Sejarah Islam Nusantara : The original material...



Ini adalah klip video ulasan buku ketujuh saya "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" berserta temuramah yang dibuat siaran langsung di Selamat Pagi Malaysia, RTM1. Lihat Siaran langsung ulasan buku "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" dan temu ramah di Selamat Pagi Malaysia.



Penulis juga pernah diminta membuat pembentangan mengenai siri buku "Berpetualang ke Aceh" di Masjid Sultan Salahuddin iaitu masjid negeri Selangor di Shah Alam. Lihat Buku "Berpetualang" dan himpunan ulamak Nusantara yang diketuai ulamak Aceh


-------------------------



Siri novel "Berpetualang ke Aceh" boleh didapati dalam bentuk e-book. Masuk http://www.e-sentral.com/, klik kategori novel am dan taip perkataan "Aceh" pada kotak carian. Atau terus klik Buku 1,Buku 2 dan Buku 3.





Gambar ketika menghadiri satu majlis ilmu, diambil oleh sebuah akhbar harian. Lihat Menghiasi Kosmo Alam Melayu...



Penerbitan trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" juga membawa penulis untuk terlibat dengan banyak majlis ilmu. Rujuk kumpulan links artikel di bawah tajuk "Siri Refleksi Sejarah", pada bahagian paling bawah kiri blogspot, . Penulis juga agak aktif dalam aktiviti-aktiviti kedaulatan Melayu dan Islam, dapat menganjurkan majlis-majlis sendiri di merata Semenanjung Malaysia membawa ke luar negara di Aceh. Lihat blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


Ketika menulis perenggan ini 4 Mei 2015 penulis sedang berusaha untuk mengembangkan isi 3 buku dalam siri "Berpetualang ke Aceh" menjadi 6 buku yang akan membentuk siri baru dipanggil "Siri Pengembaraan Merah Silu". Sebuah syarikat penerbitan telah bersetuju untuk menerbitkan siri lama itu kembali dalam bentuk yang lebih segar - Setiap buku asal dipecah menjadi 2 buku baru yang ditambah maklumat, gambar dan peta berwarna-warni.Pertengahan September 2015 buku pertama siri baru pun selamat diterbitkan. Seminggu lebih kemudian penulis berpeluang bercakap tentangnya secara siaran langsung dalam televisyen lalu membawa wakil penerbit bersama. Lihat video di bawah :-






Awal tahun 2015 turut menyaksikan penulis diambil menjadi penyelidik dan hos satu siri dokumentari yang dipanggil "Daulah Melayu". Projek 13 episod sepanjang sejam setiap satu ini mahu mengenengahkan formula untuk mengembalikan kekuatan bangsa Melayu. Insyaallah projek iakan membawa penulis untuk mengembara ke merata di Malaysia dan Indonesia juga ke beberapa negara dan tempat di Eropah termasuk ke kota London, tempat penulis mengambil ijazah matematik 1991-1995. Siri dokumentari ini dijangka siap untuk tayangan televisyen dalam tempoh 2 tahun.


Friday, November 26, 2010

777, umur 40 dan tawaran terhad buku

Salah satu gambar dari lawatan kami ke Singapura 2 minggu lepas. Catatan di lantai hadapan menyebut dipercayai inilah makam Sultan Iskandar @ Parameswara yang membuka kerajaan Melaka...


Assalamualaikum para pembaca sekalian. Syukur Alhamdulillah, dengan Qudrat dan Iradat dari yang Maha Kuasa siri "Lawatan tak dijangka ke Brunei" berjaya diselesaikan awal pagi tadi. Petangnya pula saya telah membuat satu artikel kompilasi yang meletakkan links untuk 72 artikel yang terbit akibat lawatan ke Brunei itu (lihat Tribute untuk lawatan tak dijangka ke Brunei bulan Ogos). Walhal seminggu lalu timbul rasa takut siri itu cuma akan siap lagi sebulan...

Adapun penceritaan sudah beberapa kali terganggu akibat hal-hal lain, antaranya perjalanan ke Perak hujung Ogos dan awal November (sudah dikumpulkan dalam artikel Menyelesaikan bab yang belum lagi selesai?) dan terbaru sekali, perjalanan ke Singapura 13-15 November. Tapi memikirkan akan berlaku sesuatu yang sangat bermakna Jumaat hari ini timbul tekad baru. Siri "Lawatan tak dijangka ke Brunei" mesti disiapkan sebelum itu. Maka itu, sejak Sabtu lalu saya bertungkus-lumus untuk memastikan satu artikel siri dapat disiapkan setiap hari.

Perkiraan dan pembahagian penceritaan dibuat berdasarkan baki aktiviti perjalanan yang belum diceritakan ketika itu, aktiviti setelah bermalam di Labuan hari Rabu. Kebetulan artikel terakhir sebelum itu iaitu Salam Aidil Adha dari Pulau Singa? (ditulis malam Raya Haji) adalah yang ke 769 di blogspot ini. Lalu saya mendapati penulisan artikel satu setiap akan membawa kepada jumlah 775. Campur artikel kompilasi yang biasa dibuat setelah menyelesaikan mana-mana siri jadilah 776... bermakna artikel yang ditulis selepas itu akan menjadi yang ke 777, satu nombor yang cantik...

Ingat, menyiapkan siri bukanlah mudah. Oleh kerana penulisan kembara saya sering meliputi banyak tempat dan aspek, setiap artikel siri memerlukan beberapa artikel sokongan yang lain. Artikel sokongan digunakan untuk memecahkan penceritaan agar jadi lebih mudah dibaca lalu diletakkan di blogspots saya yang lain iaitu BERPETUALANG KE ACEH dan SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART). Percaya atau tidak, dalam tempoh seminggu ini saya telah menulis 37 buah artikel menggunakan sekitar 330 gambar semata-mata untuk baki siri "Perjalanan tak dijangka ke Brunei"!

Apapun sekarang semuanya sudah selesai. Lalu dapatlah dibuat artikel ini yang menjadi ke 777 di blogspot ini. Dan sekarang biar diberitahu apakah yang berlaku Jumaat hari ini. Sebenarnya saya ada menyebutnya pada penghujung artikel Lawatan tak dijangka ke Brunei - Kesibukan hari terakhir, penutup siri "Lawatan tak dijangka ke Brunei". Tapi tak mengapalah, biar diulangi, pada hari ini 26 November 2010 cukuplah umur saya 40.

Ya. Masuknya umur 40 adalah sesuatu yang sangat bermakna bagi sesiapa pun. Nabi Muhammad SAW diangkat menjadi Rasul pada umur ini, penghuni syurga pula disebut semuanya berupa orang berumur 40. Ada disebut juga jika perangai kita tidak berubah baik apabila masuk ke tahap itu, maka kita akan terus menjadi buruk sehingga mati. Dalam dunia politik pula, seseorang tidak lagi dikira pemuda selepas 40...

Kalau mengikut kiraan Hijrah saya sudah masuk umur 40 pada 27 Ramadhan tahun lepas, 27 Ramadhan ini sudah berumur 41. Tapi hakikatnya dunia zaman sekarang dikira menurut kalendar Barat. Atas kenyataan ini saya pernah diberitahu akan berlaku perubahan tertentu dalam hidup apabila betul-betul masuk 40 tahun iaitu hari ini.

Saya tak tahu apakah perubahan itu. Biar Allah sahaja menentukan menurut aturan Qada' dan Qadar Nya. Yang saya tahu masuknya umur saya 40 dapat diceritakan panjang lebar di artikel yang ke 777, setelah bersusah-payah harus menyiapkan sejumlah artikel lain. Pada mereka yang ada gila-gila nombor, suka membaca apa yang tersurat dan tersirat melalui tanda-tanda, ini adalah permulaan yang sangat baik...

OK. Sebelum bercerita lebih lanjut biar dibuat dahulu sesuatu. Gerak hati ini menyuruh meletakkan links artikel menurut aturan kedudukan tertentu ia ditulis di blogspot, aturan gandaan 111 kerana ada kaitan tersirat yang sangat berkait dengan apa yang berlaku hari ini... buat sampai yang ke 666 kerana dah tentu artikel yang ke 777 adalah yang anda sedang baca sekarang...
----------------

Hmm. Gerak hati menyuruh melanjutkan untuk blogspots saya yang lain. Untuk BERPETUALANG KE ACEH yang sudah memiliki 629 artikel senarai harus sampai ke 555...
----------------
Artikel ke 111 : Trip to Europe 1995... Playing the fool in Bratislava...


Artikel ke 555: A token from Brunei...

----------------

Untuk SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART) yang sudah memiliki 457 cukuplah sampai ke 444...

----------------

----------------
OK. Saya perlu letakkan ini semua kerana ada petunjuk tersirat di sebalik aturan cerita yang terpilih. Tak perlulah dihuraikan maknanya. Cukuplah diletakkan sebagai rujukan untuk saya bila-bila.

Berbalik pada nombor 777 yang dirasakan lebih bermakna kerana artikel ke 777 ini ditulis pada hari lahir yang ke 40. Dahulu semasa membuat buku pertama iaitu "Berpetualang ke Aceh : Mencari diri dan erti" (terbit Jun 2006), saya dicadangkan agar meletakkan harga RM24.90 senaskah. Bila masuk buku kedua iaitu "Berpetualang ke Aceh : Membela syiar yang asal" (terbit Mei 2007) saya memilih untuk meletakkan harga yang sama iaitu RM24.90 walaupun kos penerbitan lebih tinggi. Alasannya, seperti buku pertama ia juga memiliki 304 mukasurat. Tetapi apabila masuk buku ketiga, "Berpetualang ke Aceh : Sirih pulang ke gagang?" (terbit Nov 2007) kos penerbitan naik lagi. Selain kos percetakan itu sendiri naik bagi setiap helaian kertas dan dakwat, mukasurat turut ditambah untuk lebih isi.

Untuk menampung perubahan ini harga senaskah terpaksa dinaikkan. Saya pun memilih RM27.90 kerana selain menampung kos, ia memberi faktor 777. Bagaimana jadi 777? Campurkan harga tiap naskah buku (buku satu RM24.90 + buku dua RM24.90 + buku tiga RM27.90) jadilah ia RM77.70.

Itulah harga pasaran untuk satu set trilogi "Berpetualang ke Aceh". Nombor yang cantik selain menyenangkan menurut gerak rasa juga boleh dianggap sebagai 'mahar' untuk ilmu hidup yang disampaikan di sebalik penceritaan. Oleh kerana buku ketiga itulah yang melengkapkan faktor 777 maka sempena masuk umur 40 ini saya ingin membuat tawaran. Kepada sesiapa yang berminat memiliki "Berpetualang ke Aceh : Sirih pulang ke gagang?" biarlah diberitahu anda boleh mendapatkan 2 naskah secara pos dengan harga RM33.30 sahaja campur kos pos... kalau tidak anda harus membayar lebih RM60...

Ada sebabnya saya memilih nombor ini. Salah satunya ia juga ada faktor gandaan 111. Kalau ada yang bertanya kenapa saya sanggup menawarkan 2 buku yang sama biar saya berterus-terang. Saya ada stok lebihan akibat satu pihak yang dahulu ada menyatakan ingin membeli secara pukal tetapi membatalkan niat. Tak payahlah disebut pihak mana. Cukup jika dikatakan ada kemungkin pembatalan ini berlaku akibat pertukaran peneraju selepas Pilihanraya Nasional 2008. Kemudian saya menghadapi masalah dengan pihak pengedar. Sejak itu saya terasa serik berurusan dengan mereka lalu lebih selesa menjual sendiri secara kecil-kecilan.

Ini menerangkan kenapa siri "Berpetualang ke Aceh" kini tidak ditemui lagi di kedai-kedai. Ada kemungkinan juga buku "Berpetualang ke Aceh : Sirih pulang ke gagang?" menghadapi masalah kerana lebih banyak isi yang sensitif. Selain mengkritik realiti dunia politik dan keadaan semasa sambil membuka banyak tembelang Yahudi Zionist dalam perancangan mereka menakluki dunia ia mengandungi isi yang boleh menggusarkan pihak berkepentingan termasuk istana. Masalah inilah yang membuat saya tidak menyambung lagi siri "Berpetualang ke Aceh". Walhal sejak menerbitkan buku ketiga saya sudah 3 kali pergi Aceh selain menjelajah tempat lain lagi. Tentu ada lebih banyak isi yang boleh dikongsi.

Menghidupkan balik penjualan buku ketiga boleh membantu saya kembali bersemangat untuk menerbitkan buku baru. Kalau tidak saya cuma dapat menulis bagi pihak lain seperti buku "Rumah Azan" yang terbit tahun 2009 dan buku Ahlul Bait versi Inggeris tahun ini selain menyampaikan ilmu dan pengalaman secara percuma di blogspots. Oh. Mungkin ada yang terasa pelik kenapa saya harus membezakan buku penerbitan sendiri dengan buku yang ditulis untuk pihak lain. Bukankah sama sahaja kerana ia tetap ditulis oleh saya?

Sebenarnya kebiasaan dalam dunia penulisan adalah seorang penulis menulis sahaja cerita atau isi suatu buku kemudian boleh lepas tangan. Cerita atau isi lalu disunting oleh pihak lain, rekaletak atau layout dibuat lagi pihak lain, kulit buku pun lain. Yang mengaturkan percetakan orang lain, begitu juga pengedaran, promosi dan jualan. Pendek kata ada banyak lagi aspek pembuatan buku yang mana penulis tidak langsung terlibat malah ramai yang tidak tahu.

Itulah yang menjadi kebiasaan lebih 90 peratus penulis. Cuma segelintir sahaja yang sanggup berbuat seperti saya, menanggung risiko mengeluarkan modal, segalanya dibuat sendiri kecuali percetakan (kena ada lesen lain dan kilang) dan pengedaran. Itupun saya tetap harus turun padang berurusan dengan pencetak membayar mereka secara tunai sebelum dapat memberi buku kepada pengedar untuk disampaikan ke kedai-kedai.

Ada masanya saya harus menghantar sendiri ke kedai-kedai. Sebagai seorang penulis yang idealistik lagi betul bendul, saya bukanlah berotak salesman atau ahli jualan. Saya berniaga pun untuk kesinambungan hidup agar dapat berkarya tanpa dipaksa menurut acuan sesiapa. Lalu saya sangat letih dengan segala macam kerenah putar belit alam yang ada. Kesulitan sering ditimbulkan peniaga yang tidak jujur, cuba mengelak payment, pandai bermuka-muka dan kuat bermain politik.

Segala ini sering membantutkan semangat. Moga-moga akan ada perubahan positif apabila penjualan buku "Berpetualang ke Aceh : Sirih pulang ke gagang?" dapat digerakkan kembali. Kalau ada yang bertanya apa faedahnya membeli 2 buku yang sama selain dapat menolong saya, beginilah... selain menambah pengetahuan dengan satu buku anda boleh membuka mata dan minda orang lain dengan menghadiahkan lagi satu buku.

Banyak perkara yang diceritakan dalam buku kini telah diperbincangkan secara meluas di Internet kerana semakin ramai yang peka akan turutan peristiwa yang berlaku akhir zaman. Dengan menyebar buku melalui hadiah dan sebagainya, anda sebenarnya menolong menyemarakkan satu perjuangan yang jauh lebih besar dari saya. Dari segi perniagaan pula, anda boleh membeli 2 buah buku secara pos dengan harga RM33.30 tetapi menjual kembali pada harga pasaran RM27.90 senaskah. Kiralah. Anda boleh mendapat untung RM22.50 (RM27.90 x 2 - RM33.30) bagi setiap 2 buku. Ini bersamaan lebih 40 persen. Kiralah sendiri. Ia adalah lebih dari keuntungan biasa yang didapati kedai menjual buku.

Akhir kalam biar diulangi... anda boleh mendapatkan 2 naskah buku "Berpetualang ke Aceh : Sirih pulang ke gagang?" secara pos dengan harga RM33.30 di ketika harga pasaran adalah RM27.90 senaskah. Saya sebut tawaran terhad kerana sudah tentunya buku sebegitu padat dengan pengalaman dan ilmu tidak boleh terus dijual pada harga semurah itu. Tawaran dibuat cuma untuk belian pos. Kalau beli terus dari tangan saya pun takkan dapat punya...

Tentang caranya, baca di Cara-cara mendapatkan siri buku BKA dan DVD.... Anda boleh menghantar wang pos ke alamat yang diberi atau bank-in duit di akaun. Kalau tak boleh beri tepat RM33.30, agak-agak le sendiri berapa yang sesuai. Ingat. Penulisan dan penjualan buku adalah cara saya menanggung keluarga sambil menyatakan apa yang dipercayai dan diyakini tanpa perlu tunduk kepada tekanan pihak yang berkepentingan.

Berbanding kawan-kawan yang pernah belajar sama di universiti , kawan yang rata-rata sudah jadi orang-orang penting di organisasi masing-masing, taraf ekonomi saya boleh diibaratkan seperti pekerja pencuci tandas sahaja. Tapi saya gembira kerana itulah cara saya menyumbang kepada keluarga, masyarakat, bangsa, agama dan negara! :]


p/s: Saya akan berehat dari membuat apa-apa artikel buat beberapa hari. Selepas ini Insyaallah akan dimulakan satu siri kecil... tentang perjalanan ke Singapura menaiki keretapi bersama anak dan isteri 2 minggu lalu. Selesai itu baru dibuat siri pengembaraan kami sekeluarga berkereta ke utara hingga ke Hatyai selain menjelajah banyak tempat di Kedah dan Perlis juga sedikit di Perak. Pengembaraan ini ada disebut secara ringkas dalam artikel Misi menjejak sang Merong hingga ke Hatyai?.

6 comments:

Anonymous said...

laaa..
baru 4o taun gupanya...ingatkan dah 47...hehehe

Anonymous said...

Qoute:".....taraf ekonomi saya boleh diibaratkan seperti pekerja pencuci tandas sahaja"

********************************

mak oiii!!! banyak tu...aku kadang-kadang terpaksa mengemis dgn mak aku.

Aku rasa aku lagi bangsat dari ko.

Anonymous said...

"betul bendul!!!"

apa maknanya tu???

Radzi Sapiee said...

Anon 1:07 : Tak pa. Ada 7 tahun lagi sebelum 47... :]

Anon 1:08 : Bangsat tak bangsat tu bergantung pada keadaan. Kalau orang tak sekolah keje cuci tandas atau lagi bangsat tu standard le. Tapi kalau kita ada ijazah dari England dan datang dari keluarga berada cuma jadi kutu berahak je tulis buku yang tak commercial sedangkan kawan2 yang sama belajar dah jadi CEO, President, VP, GM dan macam2 lagi jawatan tinggi kat syarikat2 besar, itu baru boleh dikira bangsat...

Anon 1:09 : Betul bendul tu maknanya tak pandai menipu atau corner, takda cover line. Tak macam salesman yang banyak taktiknya boleh buat cerita macam2 nak jual barang tanpa rasa bersalah, yang penting dapat jual. Sebab diorang kata, biasa le... dalam dunia perniagaan mana boleh hidup kalau tak menipu!

Tapi aku pelik gak. Anon2 ni buat komen berturut-turut, jam 1:07 pas tu 1:08 pas tu 1:09. Entah2 orang yang sama?

Takpa, orang sama pun bio le. Asal jangan cari pasal atau nak buat onar. Aku tak susah. Delete je, tak rugi apa... :]

Anonymous said...

dari segi ringgit memang macam pencuci tandas, dari segi rahsia hidup??? sapa boleh bayar utk mendapatnya? hahahahaa, jaga kesihatan, teruskan pengumpulan data.


walimaya

alhamik said...

Memang pengetahuan dan pengalaman yang terkumpul dalam tulisan anda tidak ternilai harganya.......