Assalamualaikum. Rasanya sudah sampai masanya saya mula bercerita tentang An-Nur. Lebih cepat saya melepaskan cerita ini, lebih cepat saya boleh bercerita tentang apa yang berlaku ketika umrah tahun 2005. Maka lebih cepat juga saya melepaskan suatu perkara penting yang terbuku di dada. Siang tadi, saya baru menyiapkan satu artikel baru di blogspot BERPETUALANG KE ACEH yang melibatkan kenangan lama juga. Artikel itu bertajuk Remembering the "A" Level college days. Start of the disco fun and girls... sebenarnya adalah sambungan kepada satu siri penceritaan kenangan zaman kolej 20 tahun lalu yang pernah dimulakan ceritanya di blogspot itu hampir setahun lalu. Tetapi ia jadi terbengkalai tidak lama kemudian akibat gerak rasa yang tersekat lalu berubah ke arah penceritaan lain.
Di atas adalah bahagian sungai tempat saya berkenalan dengan An-Nur awal tahun 2005, dikutip balik daripada artikel lama Janda baik tempat rehatku yang dibuat tahun 2007. Saya tidak berapa ingat bila perkenalan itu berlaku... rasanya sekitar Februari atau Mac tahun itu.
OK. Ketika itu saya masih lagi duduk menumpang di rumah penulis politik terkenal tanahair, S.H. Alattas, atau panggilannya Pak Habib. Dah masuk 2 tahun dah di sana, sejak saya keluar dari rumah sewa yang pernah diduduki bersama bekas isteri. Ketika itu saya sudah siap menulis segala isi yang patut untuk dijadikan siri buku "Berpetualang ke Aceh", malah dah jadi bentuk buku pun. Tetapi ia masih belum dapat diterbitkan kerana satu, orang-orang yang katanya mahu menolong menerbitkan buku itu tidak mengotakan kata. Sementara pihak lain yang berminat pula mahu saya menukar isi dan jalan cerita ke satu tahap yang saya tidak boleh terima. Malah tajuk utama "Berpetualang ke Aceh" yang saya dapat secara ilham semasa mula-mula sampai ke sempadan Aceh ketika masih darurat awal 2004 pun disuruh tukar jadi lain. Mana boleh!
Sepanjang tempoh menumpang di sana, saya samada akan berada di Janda Baik ataupun bermalam di pejabat Pak Habib di Kuala Lumpur. Kalau di pejabat, saya akan menolong memberikan idea atau memperbaiki isi buku terbarunya, kalau di Janda Baik saya sekadar berehat atau berjumpa kawan-kawan. Di celah-celah itu, saya juga rajin keluar mengembara, sesekali ke belah Perak hingga ke Kedah, sesekali ke belah Kelantan dan Terengganu. Tak sangka pula ketika berada di Janda Baik, akan berlaku satu perkenalan yang tak diduga.
Sebenarnya sudah banyak kali berlaku perkenalan yang tak diduga dalam hidup saya. Tetapi yang ini agak pelik dan istimewa kerana apa ya? Ah... ikut sahajalah ceritanya.
Pada satu petang, saya keluar dari rumah melalui arah dapur. Memang saya biasa keluar dari situ samada untuk ke bilik air di belakang, ke taman untuk berjalan-jalan kaki ayam atau mandi di sungai yang bersebelahan. Hmm... kalau tak salah ingatan memang petang itu saya keluar melalui dapur untuk ke bilik air. Kemudian dalam perjalanan kembali untuk masuk ke bilik tidur, saya terlihat seorang gadis manis mandi berseorangan di sungai bersebelahan.
Ah... saya tidak ingat secara terperinci apa yang berlaku. Apa yang ingat, saya telah menegurnya lalu kami mula berbual-bual, rasanya tentang alam sekitar. Gadis ini memperkenalkan dirinya sebagai An-Nur. Orangnya langsing, berambut sederhana panjang dengan kulit agak putih kemerahan dan rupa-paras ada ciri-ciri Arab. Saya pula tergerak untuk bertanya tentang asal-usulnya, Ternyata dia seorang Sharifah dari cabang keluarga yang sama dengan gadis kesayangan saya ketika itu, gadis yang saya sering panggil sebagai Nur.
Saya bertanya jika An-Nur mengenali Nur. Memang dia mengenali nama Nur yang merupakan seorang penggiat seni yang agak dikenali ramai di tanah air. Tetapi mereka tidak saling-mengenali secara peribadi. Dalam pada itu, saya ternampak ada sesuatu yang menghantui pemikiran An-Nur. Saya rasa ia ada kena-mengena dengan perjalanan hidupnya sendiri. Apakah dia juga sedang mencari diri dan erti?
Memikirkan perjalanan hidup saya sendiri yang akhirnya membawa kepada perkenalan dengan salasilah keluarga yang melibatkan amanah tertentu, saya terpanggil untuk menasihati An-Nur agar menghayati betul-betul makna keluarga Ahlul-Bait, mereka yang berketurunan Nabi Muhammad SAW. Kata saya, kita semua harus menghayati kembali cara hidup Nabi yang syumul. Lebih penting lagi, sebagai anak cucu keturunan, kita harus memperjuangkan agama Islam dan nasib ummah dan untuk itu, kita harus bangun lebih kuat daripada orang lain... dengan mencari kembali jati-diri sebenar yang tersorok di sebalik zat dan darah-daging dalam diri.
Lebih satu jam juga kami kami bercerita macam-macam. An-Nur sempat menunjukkan sebuah sajak yang dikarangnya sendiri lalu meminta komen, tak ingat tentang apa. Pada saya sajak itu boleh tahan, cuma jumlah perkataannya harus dikurangkan. Cuba bercerita perkara yang sama dengan untaian perkataan yang lebih ringkas dan mudah.
Rupa-rupanya An-Nur datang bersama dua orang kawan. Tetapi dua orang kawan itu nampaknya telah membawa diri jauh ke belakang hingga masuk ke kawasan hutan. Entah apa yang dibuat mereka, lelaki dan perempuan. Yang saya ingat, apabila An-Nur sudah bersiap untuk pulang, terbetik dalam hati ini... "Ah... boleh tahan cantik budak ni. Menarik juga ini." Tetapi bagaimana pula tentang Nur yang bertakhta dihati?
Kemudian An-Nur pun pulang ke Kuala Lumpur bersama dua orang kawannya. Walaupun dia memang menarik orangnya, cuma banyak cakap sikit, tetapi saya tidak mengharapkan apa sangat. Siapa sangka nanti dia teringin sangat mahu menjadi isteri saya! Tetapi itu sudah melangkaui cerita. Cukuplah ini sebagai pembukaan ya... selamat malam! :]
1 ulasan:
sekadar cadangan...rasanya blog saudara ni lebih mearik kalau backgroundnya kosong, sakit mata saya membacanya..hilang minat sebab kepala jadi berpinar untuk terus membaca topik yang seterusnya...sayang sekali :(
make it simple!!
Catat Ulasan