Manakan dapat sagu kalau tidak dipecahkan ruyungnya?
Manakan dapat mutiara yang berkerlipan jika takut menyelam ke lautan dalam.
Dalam diri setiap manusia, ada seketul daging.
Jika baik ia, maka baiklah seluruh jiwa manusia itu.
Jika buruk ia, buruklah juga manusia itu...
Seketul daging itu adalah hati,
mari kita lapangkan dada dan belajar mengIKHLASkan hati.
Perjalanan seribu batu bermula dengan satu langkah.
Marilah meneroka dunia pemikiran hamba.
Silakan

Video klip yang tertera boleh dianggap sebagai pembukaan kepada dunia pemikiran dan kesukaan hamba...







-------------------------


-------------------------



Segala yang dipaparkan menggambarkan pemikiran penulis yang turut terserap di dalam setiap penulisan buku dan artikel. Lihat Cara-cara mendapatkan buku tulisan Merah Silu @ Radzi Sapiee. Di atas adalah satu klip video selama hampir setengah jam yang merupakan demo pilot episode yang mahu digunakan untuk mencadangkan satu siri pengembaraan menyusuri sejarah Melayu Islam sekeliling Nusantara untuk siaran televisyen. Entah mengapa ia menemui masalah. Kemudian penulis diberitahu konsepnya diciplak sebuah stesyen televisyen. Lihat Kembara Sejarah Islam Nusantara : The original material...



Ini adalah klip video ulasan buku ketujuh saya "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" berserta temuramah yang dibuat siaran langsung di Selamat Pagi Malaysia, RTM1. Lihat Siaran langsung ulasan buku "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" dan temu ramah di Selamat Pagi Malaysia.



Penulis juga pernah diminta membuat pembentangan mengenai siri buku "Berpetualang ke Aceh" di Masjid Sultan Salahuddin iaitu masjid negeri Selangor di Shah Alam. Lihat Buku "Berpetualang" dan himpunan ulamak Nusantara yang diketuai ulamak Aceh


-------------------------



Siri novel "Berpetualang ke Aceh" boleh didapati dalam bentuk e-book. Masuk http://www.e-sentral.com/, klik kategori novel am dan taip perkataan "Aceh" pada kotak carian. Atau terus klik Buku 1,Buku 2 dan Buku 3.





Gambar ketika menghadiri satu majlis ilmu, diambil oleh sebuah akhbar harian. Lihat Menghiasi Kosmo Alam Melayu...



Penerbitan trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" juga membawa penulis untuk terlibat dengan banyak majlis ilmu. Rujuk kumpulan links artikel di bawah tajuk "Siri Refleksi Sejarah", pada bahagian paling bawah kiri blogspot, . Penulis juga agak aktif dalam aktiviti-aktiviti kedaulatan Melayu dan Islam, dapat menganjurkan majlis-majlis sendiri di merata Semenanjung Malaysia membawa ke luar negara di Aceh. Lihat blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


Ketika menulis perenggan ini 4 Mei 2015 penulis sedang berusaha untuk mengembangkan isi 3 buku dalam siri "Berpetualang ke Aceh" menjadi 6 buku yang akan membentuk siri baru dipanggil "Siri Pengembaraan Merah Silu". Sebuah syarikat penerbitan telah bersetuju untuk menerbitkan siri lama itu kembali dalam bentuk yang lebih segar - Setiap buku asal dipecah menjadi 2 buku baru yang ditambah maklumat, gambar dan peta berwarna-warni.Pertengahan September 2015 buku pertama siri baru pun selamat diterbitkan. Seminggu lebih kemudian penulis berpeluang bercakap tentangnya secara siaran langsung dalam televisyen lalu membawa wakil penerbit bersama. Lihat video di bawah :-






Awal tahun 2015 turut menyaksikan penulis diambil menjadi penyelidik dan hos satu siri dokumentari yang dipanggil "Daulah Melayu". Projek 13 episod sepanjang sejam setiap satu ini mahu mengenengahkan formula untuk mengembalikan kekuatan bangsa Melayu. Insyaallah projek iakan membawa penulis untuk mengembara ke merata di Malaysia dan Indonesia juga ke beberapa negara dan tempat di Eropah termasuk ke kota London, tempat penulis mengambil ijazah matematik 1991-1995. Siri dokumentari ini dijangka siap untuk tayangan televisyen dalam tempoh 2 tahun.


Friday, June 27, 2008

Perjalanan terbaru ke Perak... Mencari makam Keramat Sungai Durian dan membuka sedikit taraf sebenar keluarga Laksamana Raja Mahkota!

Adusss!!! Terlupa pula. Saya dan rakan baik saya Zaidi @ Perpatih Tulus telah menetapkan pagi esok untuk menyambung perjalanan ke Negeri Sembilan sambil membuat klip video... Tiba-tiba petang tadi sepupu saya Nizam bertanya apakah saya sudah bersedia untuk pergi ke Pulau Besar, Melaka esok!

Allah! Sungguh saya terlupa sedangkan Nizam dan rakannya yang turut terlibat dalam perjalanan terbaru saya ke Perak sebulan lalu telah mengambil cuti untuk ke Pulau Besar. Dan mereka perlukan saya sebagai penunjuk arah... Bagaimana ni?

Ah... Siapkan perkara satu persatu. Adapun sambungan perjalanan ke Negeri Sembilan itu sudah lama tergendala. Lalu ia harus diselesaikan terlebih dahulu sepertimana saya harus mengatur giliran menyelesaikan perkara-perkara lain juga! Jika sempat dan ada masa terluang, baru saya akan menemani Nizam pergi ke Pulau Besar pula. Yang penting matlamat tercapai dan ini tidak boleh dibuat terkejar-kejar.

Salah satu perkara yang perlu diselesaikan kerana semua ini merupakan kesinambungan gerak untuk menyediakan saya bagi fasa kehidupan seterusnya adalah melepaskan cerita perjalanan terbaru ke Perak itu. Maka ini dia, disambung daripada artikel Perjalanan terbaru ke Perak... Singgah ke Teluk Intan... . Sila! :]








Di Teluk Intan iaitu di Kampung Batak Rabit tidak jauh dari masjid lama dan kawasan pemakaman keluarga Laksamana Raja Mahkota, saya, Nizam dan rakannya singgah dahulu di rumah ibu saudara. Alhamdulillah, walaupun ketika itu sudah masuk sekitar jam 6.30 petang dan sebagai adab, kami harus duduk sebentar berbual-bual sambil minum petang, sempat juga kami berkejar ke Kampung Sungai Durian yang sebenarnya terletak setentang Batak Rabit jika ada bot menyeberangi Sungai Perak... Sempat juga walaupun harus berkejar memandu sekitar 15km melalui jalan darat dan jambatan untuk sampai ke sana.

Kelihatan dalam gambar adalah Nizam sedang menoleh memanggil rakannya di sebuah kawasan pemakaman yang juga berkaitan keluarga Laksamana Raja Mahkota. Tetapi ini milik keluarga yang lebih dekat dengan almarhum Nenek (ibu pada ayah saya) sedangkan yang di Batak Rabit itu lebih dekat pada almarhum Tok Chat iaitu suami Nenek!








Makam yang paling menonjol di sini...





Pemiliknya dinyatakan sebagai Haji Ibrahim bin Muhammad Taha... Teringat cerita Nenek bahawa seorang bapa saudara kepada ibu Nenek telah membolot segala harta yang nilainya mungkin berpuluh juta Ringgit tahun 20an dulu! Dan orang itu bernama Haji Ibrahim atau Datuk Ibrahim! Apakah ini orangnya?

Yang pasti orang ini memang bapa saudara kepada ibu Nenek iaiatu Aminah binti Abdul Raof. Sedangkan Abdul Raof dengan Haji Ibrahim adalah adik-beradik tetapi lain ibu... Lalu Abdul Raof dikatakan mewarisi semua harta abangnya Laksamana Sulaiman yang tidak memiliki anak kemudian Abdul Raof dan isterinya meninggal lalu anak-anak mereka jadi yatim piatu, itu yang harta tersebut dipegang oleh Haji Ibrahim? Entahlah...

Saya cuma pernah mendengar cerita ini dalam tempoh 3 hari saya sempat berbual-bual dengan Nenek untuk mengetahui asal-usul keluarga pada satu penghujung tahun 2001, kali pertama saya berminat tentang itu... Sedangkan Nizam telah mendengar cerita-cerita ini hampir seumur hidup ketika membesar kerana dia dibela oleh Nenek sejak kecil lagi! Lalu kata Nizam, Haji Ibrahim atau Datuk Ibrahim yang dimaksudkan adalah Ngah Ibrahim yang sangat terkenal sebagai orang terkaya di Perak pertengahan abad ke 19 Masihi!



Ah! Saya keliru... Yang manakah sebenarnya dimaksudkan sebagai Haji Ibrahim atau Datuk Ibrahim oleh Nenek? Yang pasti, Ngah Ibrahim ini juga bersaudara dengan kami. Saya tidak ada salasilah terperinci tetapi saya tahu Ngah Ibrahim adalah menantu kepada Laksamana Muhammad Amin, moyang kepada datuk saya!

Hmm... Biar saya cerita lepas sahaja le... Saya ambil salasilah belah lelaki yang saya ingat...

Adapun nama saya ialah Mohd. Fahrulradzi bin Mohamad Sapiee bin Muhammad Arshad bin Muhammad Wahi bin Muhammad Arshad bin Laksamana Muhammad Amin. Nenek pula adalah isteri kepada Muhammad Arshad bin Muhammad Wahi. Nama Nenek ialah Raja'ah binti Muhammad Isa tetapi saya tidak tahu bagaimana salasilah Muhammad Isa ini. Yang saya tahu, ibu Nenek adalah Aminah binti Abdul Raof bin Muhammad Taha.

Muhammad Taha pula ialah anak kepada Tok Chu Abdul Rahim bin Che Uda Kecil Tekukor (pelik-pelik le nama diaorang ni, entah nama panggilan ke hapa? Apapun tetap nenek-moyang saya juga!) sementara Laksamana Muhammad Amin ialah anak kepada Abdul Wakap bin Alang Muhammad bin Che Uda Kecil Tekukor. Ah... Saya dah pening dah... Keluarga kami banyak berkahwin saudara-mara sedangkan kalau dipakai salasilah sebelah lelaki sahaja tanpa menyatakan siapa isteri mereka dan kaitan melalui sebelah perempuan pun sudah cukup untuk menunjukkan kaitan persaudaraan.

Apapun oleh kerana Ngah Ibrahim adalah menantu Laksamana Muhammad Amin, maka dia juga boleh dikata sebagai salah seorang bapa saudara Nenek...

Tetapi tujuan sebenar kami pergi ke Sungai Durian adalah untuk mencari sebuah makam yang lebih lama dan jauh lebih penting dari yang lain. Saya pernah sampai ke kawasan ini sekitar awal 2007 lalu diberitahu seorang penduduk kampung (yang rupa-rupanya atuk saudara saya, masyaallah!) bahawa makam lama yang ingin dicari ini terletak di sebalik belukar di kawasan latar-belakang gambar ini, di tepian Sungai Perak.

Untuk makluman, makam ini milik seorang pembesar istana yang dipanggil sebagai Laksamana Raja Mahkota Tok Jambu. Oleh kerana beliau dikatakan seorang alim lagi pahlawan yang banyak memiliki kelebihan maka itu selepas meninggal dunia, beliau dikenali sebagai Keramat Sungai Durian!

Adapun melalui beliaulah ditemui kaitan paling dekat dan nyata keluarga Laksamana Raja Mahkota dengan Sultan-sultan Perak yang ada disebut dalam salasilah rasmi... Dalam salasilah tidak rasmi pula terdapat banyak rahsia di mana terdapat orang-orang yang dikenali umum sebagai pembesar sahaja tetapi kemudian naik menjadi raja lalu dikenali dengan nama-nama lain sehingga kelihatan hilang langsung kaitannya dengan keluarga asal Laksamana! Oleh kerana ia adalah rahsia dan boleh menggugat kepentingan sesetengah pihak, biar kita cerita cuma bab salasilah yang diketahui secara rasmi ya... Kita cuma sentuh sedikit sahaja bab yang tidak rasmi.. :]

Ini adalah gambar sekitar makam Tok Jambu yang dapat diambil menggunakan kamera digital murah saya yang tidak mampu menangkap gambar elok dalam keadaan kurang cahaya. Untuk melihat gambar-gambar sekitar makam ini yang sedikit lebih elok, diambil menggunakan kamera telefon bimbit, sila masuk ke blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART) dan baca artikel Makam Keramat Sungai Durian (Tomb of the saint of Sungai Durian), Perak! yang telah diletakkan lebih awal tadi.

Adapun ini adalah kali pertama saya sampai ke makam ini! Dalam lawatan awal tahun 2007, saya telah dibawa berjalan atas batas di tepi tali air (tali air ke sungai? saya pun sudah lupa tapi nampak macam sama sahaja!) seperti yang kelihatan dalam gambar lebih atas lalu sampai ke kawasan semak hutan belukar yang tebal. Tetapi saya cuma dibawa setakat itu kerana memang belukar itu tebal dan sudah lama tidak dilalui orang.

Kata orang yang menunjukkan tempat itu (orang tua hampir 80 umurnya, atuk saudara yang tidak saya kenali tetapi dia kenal almarhum atuk saya apabila disebut panggilannya Nanda dari Batak Rabit) saya harus mencari sendiri. Kebetulan dia ada membawa sebilah parang lalu saya gunakan ia untuk menebas kawasan sekitar setakat yang mampu... Itupun tak dapat jumpa sedangkan waktu ketika itu hampir Maghrib!


Ini adalah gambar kawasan belukar tersebut diambil selepas meninggalkan makam dalam lawatan terbaru. Rupa-rupanya bila saya datang dengan Nizam dan rakannya baru dapat berjumpa tempatnya! Itupun kami nyaris-nyaris menyerah kalah apabila melihat keadaan belukar yang begitu tebal ini dan ada pula pokok-pokok berduri sedangkan kami tidak membawa apa-apa alatan seperti parang untuk meredahnya...

Fikirkan! Nak meredah kat mana sedangkan kami pun tak pasti di manakah kedudukannya secara tepat? Setakat tahu ia dalam belukar ini sahaja! Takkan nak main redah semua tempat? Dan dalam lawatan terbaru ini juga kami sampai di sini sudah hampir waktu Maghrib

Tetapi saya tidak mahu hampa lagi lalu masuk sahaja ke dalam meredah hutan. Nizam dan rakannya menunggu di luar dahulu sementara saya cuba mencari-cari. Tiba-tiba Nizam dan rakannya nampak pokok kelapa dalam gambar ini bergoyang... Mereka suruh saya cuba menghala ke kawasan pokok kelapa.

Alhamdulillah, dipendekkan cerita saya pun terjumpa makam lama itu, berdekatan pokok kelapa itu! Kemudian baru mereka menurut sama masuk ke dalam meredah belukar, onak dan duri. Tak sia-sia kami datang bersama rupanya... Sekali lagi, alhamdulillah!


Lihat lagi keadaan belukar. Bukan senang mahu mencari makam lama yang tersorok di dalamnya!

OK. Sekarang baru saya cerita kaitan sebenar Laksamana Raja Mahkota Tok Jambu @ Keramat Sungai Durian dengan keluarga saya... Anda sudah baca di atas kan bagaimana salasilah saya melalui ayah kepada ayah saya, Tok Chat (panggilan dari saya dan keluarga, namanya Muhammad Arshad) dan salasilah isterinya Nenek bertemu pada seorang moyang yang dipanggil Che Uda Kechil Tekukor. Untuk pengetahuan, Tok Jambu ialah bapa Che Uda Kechil Tekukor!

Seorang anak perempuan Tok Jambu iaitu Che Pusa Puteh pula berkahwin dengan Sultan Perak ke 18, Sultan Ahmadin Shah (memerintah1792 - 1806) lalu hampir semua Sultan-sultan Perak kemudian serta kerabat diraja terdekat muncul daripada keturunan mereka! Seorang anak lelaki Tok Jambu pula dikenali sebagai Maharajalela Ngah Hassan. Ngah Hassan ada seorang anak bernama Abdul Rahman dan puteri kepada Abdul Rahman iaitu Ngah Matra berkahwin dengan Sultan ke 23 Perak, Sultan Jaafar (memerintah 1857 - 1865). Hasilnya dapatlah Sultan Abdullah atau lebih tepat Sultan Abdullah Muhammad Shah II (kerana ada Sultan terdahulu dengan nama yang sama!).

Inilah Sultan Perak yang dibuang negeri ke Pulau Seychelles di Afrika tahun 1877 akibat terlibat dengan pembunuhan Residen pertama British ke Perak, J.W.W. Birch 1875, residen kurang ajar yang memaksa raja jadi tunggul akibat Perjanjian Pangkor 1874. Sejak itu, British mula mencengkam Perak hingga seluruh kerabat diraja yang anti penjajah tersisih jauh dari takhta sedangkan mereka yang sedia mengikut telunjuk mereka disokong sehingga menjadi raja!



Melalui perhubungan keluarga seperti disebut di atas, hubungan yang dinyatakan dalam salasilah rasmi, moyang saya Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin dengan Sultan Abdullah ialah saudara tiga pupu melalui pertalian di belah perempuan. Tetapi saya telah diberitahu beberapa orang bahawa mereka sebenarnya adalah saudara sepupu di sebelah lelaki kerana memiliki datuk yang sama! Cuma datuk ini dikenali dengan dua nama berlainan, satu muncul dalam nasab keluarga diraja, satu lagi dalam nasab keluarga Laksamana seolah-olah mereka ini tiada kena-mengena atau setakat saudara jauh sahaja...

Apapun, tanpa menyebut kaitan nyata keluarga Laksamana dengan keluarga diraja Perak seperti yang ada di dalam salasilah rasmi, tetap keluarga Laksamana bukan setakat bangsawan biasa. Setakat ini saya belum sebut tentang Nakhoda Hitam @ Laksamana Tok Kuala Bidor bukan? Maka biar diceritakan kaitannya di sini...

Adapun ada pihak menyebut Laksamana Tok Jambu adalah bapa kepada Laksamana Tok Kuala Bidor. Tetapi pendapat yang lebih diterima ramai dan rasanya lebih tepat ialah Tok Jambu adalah menantu kepada Tok Kuala Bidor, melalui perkahwinannya dengan Puteri Ngah Nusani, perkahwinan yang menerbitkan Che Pusa Puteh yang berkahwin dengan Sultan Ahmadin lalu terhasillah kebanyakan Sultan-sultan Perak kemudian hingga kini.

Untuk makluman, Tok Kuala Bidor juga dikenali sebagai Daeng Hanasah, abang kepada Daeng Selili, Maharajalela pertama Perak dan moyang kepada Datuk Maharajalela Pandak Lam yang terlibat dalam pembunuhan J.W.W. Birch lalu dihukum gantung hingga mati! Daeng Selili berkahwin dengan adinda kepada Sultan Perak ke 13, Sultan Muzaffar Shah III (memerintah 1728 - 1742, ada yang sebut hingga 1752 apabila adinda baginda Sultan Muhammad Shah yang pernah berebut takhta lalu menguasai setengah negeri Perak menyerahkan balik segalanya!). Maka mereka itu bukan orang lain, saudara mara adik-beradik ipar-duai jua!

Ada salasilah rasmi tetapi tidak dipamirkan atau ditunjukkan kepada umum menyebut bahawa Daeng Hanasah dan Daeng Selili beribukan Ratu Sedinding binti Opu Payung Luwuk, seorang raja perempuan Bugis. Opu Payung Luwuk pula anak sulung kepada La Madusalat @ La Madu Saleh, seorang Raja Bugis yang terkenal dan bapa kepada Opu Tanderi Buring Daeng Rilaga yang anak cucunya memenuhi cerita dalam kitab Tuhfat Al-Nafis karangan Raja Ali Haji!

Keluarga Opu Tanderi Buring Daeng Rilaga sangat terkenal dalam sejarah Melayu kerana baginda adalah bapa kepada 5 Daeng bersaudara - Daeng Parani, Daeng Merewah, Daeng Menambun, Daeng Kemasi dan Daeng Chelak. Seorang anak Daeng Chelak iaitu Raja Lumu muncul menjadi Sultan pertama Selangor bergelar Sultan Salehuddin (memerintah 1742-1778), seorang lagi ialah Raja Haji, pahlawan besar Bugis serta Yam Tuan Riau yang sangat terkenal itu! Maka menurut salasilah itu, Daeng Hanasah @ Laksamana Tok Kuala Bidor @ Nakhoda Hitam dan Daeng Selili @ Maharajalela pertama Perak adalah saudara dua pupu Sultan pertama Selangor dan Raja Haji! Nampak tak betapa rapat dan kuatnya darah diraja mereka sebenarnya?

Adapun Daeng Selili lebih dikenali di Perak sebagai anak Raja Bugis yang muncul memainkan peranan di sana... Peliknya, abangnya Daeng Hanasah yang seibu lebih dikaitkan dengan Aceh! Kenapa boleh jadi begini? Di sini ada satu rahsia nasab bapa mereka yang membawa kepada Raja-raja Aceh seterusnya Raja-raja Samudera Pasai juga rahsia kaitan rapat nasab diraja Aceh dengan nasab diraja Bugis...

Maka ada disebut cerita lama bahawa sistem penggiliran menaiki takhta Perak yang asal dimulakan pada zaman Sultan Muzaffar Shah III sejurus selepas munculnya Laksamana Raja Mahkota Nakhoda Hitam dan Maharajalela Daeng Selili. Dikatakan penggiliran asal adalah antara 3 cabang keluarga supaya nasab diraja Aceh, nasab diraja Bugis dan nasab diraja Perak yang bersambung pada keSultanan Melayu Melaka dapat sama-sama memerintah. Sekian cerita dan selamat malam!

p/s: Peh... Lega rasanya dapat lepaskan ini semua! Tadi awalnya saya rasa begitu susah hendak memulakan cerita... Entah kenapa, terasa berat sangat. Dan rasa risau pun ada, kalau dah mula buat posting hari ini, maka kena juga buat satu cerita di blogspot BERPETUALANG KE ACEH . Saya tak suka buat kerja separuh jalan... Sama ada buat atau tunda ke hari lain di mana ia boleh dibuat hingga siap!

Alhamdulillah, apabila telah membuka sesi bercerita dengan gambar-gambar makam Tok Jambu di SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART) BERPETUALANG KE ACEH , penceritaan menjadi semakin mudah. Lalu saya dapati, sudah ada 143 posting di blogspot itu sedangkan blogspot BERPETUALANG KE ACEH sudah pun memiliki 213 posting apabila cerita Remembering the "A" Level college days. How I got the nickname Fly! dibuat hari Selasa... Posting ini pula adalah yang ke 353 di blogspot ini... Kan cantik ketiga-tiga blogspot memiliki jumlah posting yang ada nombor 3 di belakangnya? Hehe, alhamdulillah! :]



11 comments:

PerpatihTulus said...

Assalamualaikum.. dah komen dah kat posting yang ada gambar Pandak Indot tu... untuk mengembara ke Perak.. So esok pagi Insyaallah aku akan terpacak kat depan rumah ente.. heheheh..

tok merah said...

Syeikh,
Boleh cerita lebih lanjut tak tentang Laksamana Sulaiman?

Wassalam

Radzi Sapiee said...

Hmm... Saya pun tak tahu ceritanya. Harap-harap ada le orang boleh tambah kat sini.
Dulu ada sekali masa naik kereta nak pi Teluk Intan lalu Sungkai tiba-tiba nampak signboard pegi Changkat Sulaiman... Rasa kuat nak follow sampai masuk dalam tapi masuk aje le sebab tak tau apa dan tak nampak apa...
La ni, ada orang sebut kat belah-belah Sungkai ada cerita Istana Bertarah pas tu ada pulak Kota Laksamana... Ada pulak disebut kait dengan Changkat Sulaiman. Terus terfikir, kait ngan Laksamana Sulaiman kot? Wallahualam! :]

tok merah said...

Syeikh,
Kalo ada info tentang Syahbandar Paduka Indera Uda Maamor tolong sharekan dengan ana.

Wassalam

Anonymous said...

Salam,

Uiittt....kg asal tok aku tu...kg changkat sulaiman, sungkai...Ada cerita ke?

Merbawi

Radzi Sapiee said...

Hmm... Ada cerita tu tapi tak tahu apa cerita. Tu le tunggu-tunggu kalau tiba-tiba dapat info nanti...
Bab Uda Ma'amor tu kalau tak salah ingatan menantu Laksamana Muhammad Amin gak, jadi itu 'beras' (ikut kata P. Ramlee le) sama itu Ngah Ibrahim... Jadi suma sangkut-paut gak tu...

tok merah said...

Memanglah uda maamor tu menantu laksamana muhammad amin. Yang ana nak tau ialah uda maamor ni ada kaitan tak dengan syahbandar paduka indera haji sulaiman (rasanya bukan orang yang sama dengan laksamana haji sulaiman). Ana nak tau jurai uda maamor dari sebelah mana. Dari belah tok jabut ke atau macam mana. Nak tau jugak hasil kajian syeikh mana tau kot boleh share info dengan ana. Lagi satu yang ana nak tanya ialah tentang daeng ahmad yang jadi sultan dekat acheh. Daeng Ahmad asalnya dari jurai daeng mansur. Daeng mansur ni dari jurai belah mana. Harap sheikh dapat kongsi info dengan ana. Kalo syeikh keberatan nak cerita disini. Syeikh boleh emel pada ana, amalfikir@yahoo.com. Ada banyak lagi benda yang ana nak tanya ni...

Radzi Sapiee said...

Hmm... Kalau cam tu kena tengok salasilah keluarga Syahbandar le... Rasanya memang ada kait ngan Tok Jabut. Bab Daeng Mansur tu belah mana, situ ada cerita rahsia keluarga. Kalau ada izin daripada atas baru boleh cerita, kalau tak takkan le mana-mana orang tanya terus kita nak jawab ya tak...
Atau senang cerita, anggaplah saya tak tahu apa-apa ya.
Rasanya kalau nak jugak elok cari sendiri ya... Sekian! :]

tok merah said...

Salam syeikh,
Sebab benda ini pun ada kaitan dengan ana juga. Tak semestinya info yang kita ada tu betul, oleh itu ada baiknya dikongsi. Sebab itulah ana minta syeikh emel pada ana jika tak boleh kongsi disini. Ana tanya pasal syahbandar apa semua tu memanglah ada kena-mengena. Tapi tak palah.

Wassalam.

khaz64 said...

Sdra Radzi,
Makam Arwah Haji Ibrahim Taha agak menonjol kalau dibandingkan dgn kubur lain kerana Arwah seorang dihormati di situ. Beliau seorang ketua kampung yang disegani bukan sahaja oleh penduduk setempat malah ditakuti oleh orang luar yang perlu meminta kebenaran beliau sebelum berurusan dgn penduduk kampung. Saya terkilan kerana sdra meletakkan gambar batu nisan moyang saya(Haji Ibrahim ialah Datuk kepada ibu saya) sebagai kemungkinan orang yang mencuri harta keluarga nenek saudara. Sdra sepatutnya lebih bertanggungjawab dan mendapatkan kepastian sebelum menimbulkan kekeruhan dan Kemarahan dikalangan keturunan Arwah Haji Ibrahim terhadap saudara. Kalau hendak dibandingkan dgn Ngah Ibrahim, harta peninggalan Arwah haji Ibrahim tidak seberapa. Saudara perlu belajar menjadi seorang penulis yang bertanggungjawab dan tidak menulis mengikut emosi. Tuduhan sebegini dianggap satu fitnah besar walaupun saya tahu saudara sendiri dalam keadaan keliru. Eloklah dihilangkan kekeliruan itu dahulu sebelum memburukkan orang lain. Tuduh menuduh begini tidak membawa faedah kepada sesiapa pun malah boleh memberi padah. Mohon diperbetulkan dgn kemaafan kepada kerurunan arwah Haji Ibrahim Taha.

Anonymous said...

" Maka ada disebut cerita lama bahawa sistem penggiliran menaiki takhta Perak yang asal dimulakan pada zaman Sultan Muzaffar Shah III sejurus selepas munculnya Laksamana Raja Mahkota Nakhoda Hitam dan Maharajalela Daeng Selili. Dikatakan penggiliran asal adalah antara 3 cabang keluarga supaya nasab diraja Aceh, nasab diraja Bugis dan nasab diraja Perak yang bersambung pada keSultanan Melayu Melaka dapat sama-sama memerintah. Sekian cerita dan selamat malam!"

Salam MS,

Nie teman cilok dari tulisan mike, sebab ituler habis alat kebesaran dah bertukor nama dan dirahsiakan, gelaran dah jadi yang kebawah macam pembesar biasa ajer. Salahsilah dilenyapkan, hahahaaaa...'deme' ingat 'deme' hebat yeee...terharu teman mike buka rahsia yang cuba dilenyapkan.... (AbuMukmin)