Assalamualaikum. Tiba-tiba timbul gerak untuk memaparkan isi daripada buku "Berpetualang ke Aceh: Mencari Diri dan Erti", daripada bab bertajuk "Samudera Pasai: Bumi para wali." Silalah baca...
SAMUDERA PASAI :
BUMI PARA WALI
“Sepeninggal aku telah wafat kelak,
akan muncul sebuah negeri di bawah angin, Samudera namanya.”
“Apabila terdengar kamu nama negeri itu, maka suruhlah sebuah bahtera untuk membawa perkakas dan alat kerajaan ke negeri itu,
serta kamu Islamkan sekalian isi negeri itu,
serta ajar mereka mengucap dua kalimah syahadat.
Kerana dalam negeri itu kelak banyak orang yang akan menjadi wali Allah.”
“Tetapi semasa kamu hendak pergi ke negeri itu,
hendaklah kamu singgah mengambil seorang fakir di negeri Mengiri,
bawalah fakir itu bersama-sama belayar ke negeri Samudera itu.”
- Sabda Rasulullah SAW dalam kitab Hikayat Raja-raja Pasai.
Pada satu hari, Merah Silu keluar memburu bersama orang-orangnya membawa anjing pemburunya, si Pasai. Sampai ke satu tempat, baginda menitahkan supaya anjing itu dilepaskan. Seketika kemudian si Pasai menyalak pada satu tanah tinggi. Rupa-rupanya, ia ternampak seekor semut besar, hampir seekor kucing besarnya!
Merah Silu pun menyuruh orang-orangnya menangkap semut itu lalu dibawa pulang ke istana. Entah mengapa, semut itu terus dimakan baginda. Kemudian Merah Silu menyuruh orang-orangnya menebas dan menerangkan tempat tadi kerana raja itu hendak membuat negeri. Baginda pun membangunkan sebuah istana yang cukup lengkap dengan kota dan paritnya serta sebuah penempatan.
Selepas siap segalanya, Merah Silu dan orang-orangnya pun berpindahlah ke negeri yang baru dibuka. Maka negeri itu dinamakan baginda Samudera, ertinya semut besar...
————————
Rasyid tertarik apabila mendapat tahu kitab Hikayat Raja-raja Pasai ada menceritakan Nabi Muhammad SAW pernah berpesan kepada seorang sahabat, satu hari nanti akan muncul negeri bawah angin bernama Samudera. Apabila ini terjadi hendaklah dihantar orang membawa perkakas dan alat kerajaan ke sana dan Islamkan sekalian isi negeri kerana di situ ramai orang akan muncul menjadi wali. Rasulullah SAW juga berwasiat supaya rombongan ini singgah di negeri Mengiri mengambil seorang fakir untuk dibawa bersama ke Samudera. Kitab Sulalatus Salatin atau Sejarah Melayu karangan Tun Sri Lanang ada meriwayatkan cerita yang sama tetapi menyebut negeri itu bernama Muktabar pula.
Wasiat itupun sampai kepada Sharif Mekah iaitu Raja yang memerintah Mekah dan sekitarnya, Madinah dan wilayah Hijaz. Menurut satu kisah, baginda mendapat tahu tentang kewujudan Samudera daripada jemaah haji Nusantara yang datang ke Mekah lalu menitahkan supaya diperbuat sebuah bahtera untuk membawa perkakas dan alat kerajaan ke sana. Seorang ulamak besar bernama Sheikh Ismail dijadikan mualim atau nakhoda kapal. Beliau dan orang-orangnya pun belayar ke negeri Mengiri seperti diwasiatkan Nabi, sebuah negeri yang terletak di benua Hindi...
Adapun negeri Mengiri ini diperintah oleh seorang raja bernama Sultan Muhammad. Menurut ceritanya, baginda berasal dari keturunan sahabat karib Rasulullah SAW, Saidina Abu Bakar Al-Siddiq Radiallahuanhu, Khalifah pertama umat Islam.
Sebaik sahaja mendapat tahu ada kapal hendak ke Samudera atas titah Sharif Mekah dan diketuai Sheikh Ismail berlabuh di negerinya, baginda terus turun takhta lalu menabalkan seorang anaknya sebagai Raja Mengiri yang baru. Malah baginda juga melucutkan pakaian kebesaran kerajaan di tubuh-badannya lalu menukarkannya dengan pakaian seorang fakir!
Raja yang telah menjadi fakir inipun membawa seorang anaknya yang muda untuk turut serta meninggalkan istana dan menjadi fakir. Mereka pergi berjumpa Sheikh Ismail lalu meminta supaya dibawa belayar ke Samudera untuk bersama menunaikan wasiat Nabi...
————————
“Fakir tu apa uncle Acid?” tiba-tiba Afiq yang baru berumur enam tahun menegur Rasyid yang sedang leka menaip dalam komputer laptop.
Pemuda itu terjaga daripada dunia pemikirannya lalu tersenyum memandang anak lelaki comel kepada seorang rakan tempatnya menumpang minggu itu. “Mengapa Afiq hendak tahu?” dia bertanya.
“Tadi Afiq dengar uncle baca cerita, ada kapallah, ada apa... em... semut? Semut dera? Ada syeikh mail... em... Lepas itu ada orang jadi ha...jadi fakir... Fakir tu apa uncle ? Macam kafir ke?” tanya kanak-kanak itu lagi, innocent...
“Hmm...” getus pemuda itu. Rupa-rupanya dalam sedar tidak sedar dia sudah terbaca kuat isi fikirannya semasa menulis sehingga kanak-kanak ini boleh terdengar hampir setiap kata-katanya. Bagaimana hendak bercerita tentang ini? Budak-budak boleh fahamkah konsep sebenar fakir? Ah... Bagi sahaja jawaban senanglah... Yang biasa orang sebut, fakir itu fakir miskin. Orang sengkek... Merempat, hidup melarat...
Lalu Rasyid menjawab: “Fakir tu orang miskin Fiq... Tak ada kereta, tak ada duit... Kadang-kadang rumah pun tak ada. Tidur kat mana-mana aje, masjid, surau, tepi jalan... Pakai baju pun buruk-buruk belaka...”
“Macam uncle lah, selalu pakai baju buruk juga? Tak ada rumah, suka tidur rumah Afiq?” tanyanya jujur sambil menuding ke arah t-shirt lusuh pemuda itu yang sudah luntur dan berlubang di beberapa tempat.
Rasyid tersenyum mendengar celoteh anak itu. Betul juga katanya... Fakir itu lebih kurang macam dia. Memang pemuda itu lebih selesa berpakaian buruk, lusuh. Dan dia sudah lebih empat tahun tidak bekerja, tidak ada apa-apa sumber pendapatan tetap, apalagi memiliki sebuah rumah.
“A’a lah... Pandai Afiq. Fakir tu macam uncle lah,” anak muda itu menjawab lalu melakonkan gaya seorang peminta sedekah disusuli gelak ketawa.
Tiba-tiba kanak-kanak itu terdiam. Seolah-olah teringatkan sesuatu. Lama kemudian baru dia bersuara: “Tapi Ayah cakap dulu uncle banyak duit! Kerja best dapat jalan macam-macam tempat. Dulukan uncle selalu datang rumah Afiq naik motor besar? Vroom! Vroom!... Best ! Afiq suka motor besar. Nak naiklah... Mana pergi motor uncle?” dia bertanya pula.
Rasyid terdiam panjang. Tidak tahu bagaimana hendak menjawab. Bolehkah kanak-kanak ini faham kalau diberitahu uncle ini telah meninggalkan sedikit kemewahan hidup yang pernah dikecapinya dahulu demi mencari kefahaman, jawaban kepada beberapa persoalan yang sudah lama membelenggu jiwanya? Sesekali sahaja berjumpa kawan-kawan dan saudara-mara, baru merasa duduk di tempat yang lebih selesa...
“Ah...” getus hatinya. “Apa yang aku buat ini kira sedikit sahaja. Bukan seperti wali Allah Ibrahim bin Adham yang sanggup meninggalkan takhta untuk menelusuri jalan kerohanian. Bukan seperti Siddharta Gautama Buddha yang lebih dahulu berbuat begitu untuk mencari makna kewujudan, erti kehidupan yang sejati.” Dan bukan juga seperti Sultan Muhammad dalam Hikayat Raja-raja Pasai yang sanggup menjadi fakir semata-mata untuk mengikuti rombongan Sheikh Ismail ke Samudera.
“Hmm...” tiba-tiba Rasyid terfikir. “Kenapa anak cucu Saidina Abu Bakar As-Siddiq ini sanggup berbuat begitu?” Hikayat itu mahupun kitab Sejarah Melayu tidak menceritakan sebab-musababnya. Setakat yang dia tahu, Sultan Muhammad terdengar berita persinggahan rombongan Sheikh Ismail di negerinya lalu terus tergerak menjadi fakir untuk mengekori sama.
Apakah baginda pernah mendengar wasiat Nabi mengenai Samudera daripada keluarganya? Mungkin ia telah disampaikan kepada Saidina Abu Bakar lalu diturunkan kepada anak cucunya, menunggu masa sahaja untuk dilaksanakan? Atau baginda telah mendapat alamat melalui mimpi? Yang pasti, Sultan atau Fakir Muhammad inilah fakir yang dimaksudkan...
————————
Rombongan Sheikh Ismail yang disertai Fakir Muhammad itupun belayar mencari negeri Samudera. Tetapi mereka tidak pasti di manakah letak kedudukannya sehingga tersasar ke Barus, Lamuri dan Perlak.
Rombongan ini singgah ke negeri-negeri itu untuk mengIslamkan raja dan penduduknya tetapi apabila disuruh membaca Quran yang dibawa dari Mekah, tiada seorang pun dapat membacanya...
Maka tersebutlah kisah Merah Silu di Samudera. Pada suatu malam, sedang baginda lena beradu, maka bermimpilah ia melihat seorang tua berbaju jubah datang seraya memegang dagu Merah Silu dan menutup mata baginda dengan tangannya.
Kata orang tua yang muncul itu: “Hai Merah Silu, ucaplah olehmu akan kalimah syahadat”.
Maka sahut Merah Silu: “Bagaimana hamba hendak mengucap kalimah syahadat itu?”
Ujar orang tua itu: “Bukalah mulutmu.”
Merah Silu pun membuka mulutnya lalu diludahi orang itu.
Orang tua itupun mengisytiharkan: “Hai Merah Silu, engkaulah raja negeri ini dan namamu Sultan Malikus Salih. Segala binatang yang kamu sembelih halal kamu makan, tetapi jangan memakan binatang yang tidak bersembelih. Sekarang kamu adalah dalam syariat agama Islam, iaitu agama Allah. Dalam empat hari lagi akan sampai sebuah kapal dari Mekah, maka hendaklah kamu turut apa juga yang dikatakan orang kapal itu, jangan kamu bantah atau lawani sebarang kata mereka itu.”
Merah Silu bertanya: “Siapakah kamu ini?”
Maka sahut suara orang tua berjubah dalam mimpi itu: “Akulah Nabi Muhammad SAW yang di Mekah.”
————————
Orang tua itu melepaskan dagu Merah Silu daripada tangannya lalu berkata: “Hai Merah Silu, tunduklah kamu ke bawah.”
Merah Silu pun tunduk lalu terjaga daripada beradu. Kemaluannya pula terasa seperti sudah dikhatankan orang... Boleh dilihat kesannya nyata pada tubuh-badan, bukannya khayalan. Baginda juga sentiasa mengucapkan kalimah syahadat tiada berhenti, kemudian membaca Al-Quran tiga puluh juzuk dengan lancar sehingga tamat. Segala orang-orang besar dan menteri hulubalang sekalian pun merasa hairan mendengar apakah yang disebut raja mereka kerana belum pernah mendengar sebutan yang demikian.
Tidak lama kemudian, rombongan Sheikh Ismail pun sampai ke Teluk Terai lalu berlabuh di situ. Fakir Muhammad bertemu seorang nelayan lalu bertanya “Apakah nama negeri ini?”
Jawab nelayan itu: “Negeri ini namanya Samudera.”
Beliau bertanya lagi: “Siapakah nama penghulunya?”
Sahut sang nelayan: “Nama penghulu atau raja negeri ini Merah Silu, gelarannya Sultan Malikus Salih.”
Selepas mendengar ini, fakir itupun kembali naik ke bahteranya lalu terus belayar ke kuala Samudera. Setelah semalaman belayar, rombongan tersebut sampailah ke pusat negeri dan kerajaan. Mereka pun naik ke darat lalu terus masuk menghadap rajanya Merah Silu.
Setelah bersua muka, Sheikh Ismail pun berkata: “Hai Merah Silu, ucap dan sebutlah olehmu akan kalimah syahadat.”
Merah Silu mengucapkan kalimah suci itu dengan petah, tiada sedikit jua pun bersalahan. Rombongan ini berpuas hati kerana raja itu sudah tahu menyebutnya dengan sempurna.
Keesokannya, Sheikh Ismail dan Fakir Muhammad masuk menghadap lagi, kali ini dengan membawa kitab suci Al-Quran yang dibawa mereka dari Mekah. Inilah ujian utama yang akan menentukan segala cerita...
Merah Silu menyambut kitab itu penuh hormat, seraya dijunjung dan dikucupnya dengan rasa merendah diri. Kitab itupun dibuka baginda dan dibacanya di hadapan mereka dengan fasih dan lancar. Alhamdulillah, tiadalah payah diajar lagi membaca Al-Quran. Ternyata inilah orang serta negeri yang dicari rombongan itu selama ini...
Sheikh Ismail dan Fakir Muhammad pun mengucapkan syukur kepada Allah Subhanahuwata’ala kerana telah berjaya menemui negeri Samudera seperti yang tersebut dalam wasiat Rasulullah SAW.
Hatta Sheikh Ismail memohon Sultan menghimpunkan sekalian orang-orang besarnya serta rakyat dari segala ceruk rantau. Setelah dihimpunkan, mereka pun diajar mengucap kalimah syahadat dengan meyakinkan maknanya dalam hati masing-masing.
Maka akhirnya negeri Samudera pun disebut Darul Islam atau Darussalam. Kerana penduduk negeri itu masuk Islam tiada perlu dipaksa atau diperangi. Jadilah ia daerah kesejahteraan...
5 ulasan:
Subhanallah!
ITULAH, aku fikir mungkin ada org lain kat amazon ker yg masuk Islam mcm Merah Silu jumpa Rasulullah dlm mimpi.
Salam,
Just my 2cent.
Guru saya sebut Merah Silu sebagai Merah Silau kerana sin ya lam wau itu "silau"
hakikatnya dunia Islam yang gemilang zaman dahulu sebenarnya dinaungi di bawah Ar-Rayah dan Al-Liwa' (panji dan bendera Rasulullah SAW). sebuah Daulah Islam yang ditadbir oleh seorang Khalifah yang di bawahnya bernaung negeri-negeri umat Islam yang tiada sempadan. justeru itulah, kekayaan, keselamatan harta dan nyawa mereka dijamin oleh Allah SWT kerana kesatuan itu...
Allhamdullilah - Sekali lagi minda saya diperjelas degan kebesaran Rasullulah.
ShahQamar.
Merah (meurah)adlah panggilan atau nama kehormatan khusus untuk raja atau anak Raja yg laki laki di kerajaan2 di Aceh pd masa itu.
Sebagai contoh:meurah silu(Malik AL- saleh). Meurah pupok,(Malik az-Zahir) anak beliau..
Catat Ulasan