Manakan dapat sagu kalau tidak dipecahkan ruyungnya?
Manakan dapat mutiara yang berkerlipan jika takut menyelam ke lautan dalam.
Dalam diri setiap manusia, ada seketul daging.
Jika baik ia, maka baiklah seluruh jiwa manusia itu.
Jika buruk ia, buruklah juga manusia itu...
Seketul daging itu adalah hati,
mari kita lapangkan dada dan belajar mengIKHLASkan hati.
Perjalanan seribu batu bermula dengan satu langkah.
Marilah meneroka dunia pemikiran hamba.
Silakan

Video klip yang tertera boleh dianggap sebagai pembukaan kepada dunia pemikiran dan kesukaan hamba...







-------------------------


-------------------------



Segala yang dipaparkan menggambarkan pemikiran penulis yang turut terserap di dalam setiap penulisan buku dan artikel. Lihat Cara-cara mendapatkan buku tulisan Merah Silu @ Radzi Sapiee. Di atas adalah satu klip video selama hampir setengah jam yang merupakan demo pilot episode yang mahu digunakan untuk mencadangkan satu siri pengembaraan menyusuri sejarah Melayu Islam sekeliling Nusantara untuk siaran televisyen. Entah mengapa ia menemui masalah. Kemudian penulis diberitahu konsepnya diciplak sebuah stesyen televisyen. Lihat Kembara Sejarah Islam Nusantara : The original material...



Ini adalah klip video ulasan buku ketujuh saya "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" berserta temuramah yang dibuat siaran langsung di Selamat Pagi Malaysia, RTM1. Lihat Siaran langsung ulasan buku "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" dan temu ramah di Selamat Pagi Malaysia.



Penulis juga pernah diminta membuat pembentangan mengenai siri buku "Berpetualang ke Aceh" di Masjid Sultan Salahuddin iaitu masjid negeri Selangor di Shah Alam. Lihat Buku "Berpetualang" dan himpunan ulamak Nusantara yang diketuai ulamak Aceh


-------------------------



Siri novel "Berpetualang ke Aceh" boleh didapati dalam bentuk e-book. Masuk http://www.e-sentral.com/, klik kategori novel am dan taip perkataan "Aceh" pada kotak carian. Atau terus klik Buku 1,Buku 2 dan Buku 3.





Gambar ketika menghadiri satu majlis ilmu, diambil oleh sebuah akhbar harian. Lihat Menghiasi Kosmo Alam Melayu...



Penerbitan trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" juga membawa penulis untuk terlibat dengan banyak majlis ilmu. Rujuk kumpulan links artikel di bawah tajuk "Siri Refleksi Sejarah", pada bahagian paling bawah kiri blogspot, . Penulis juga agak aktif dalam aktiviti-aktiviti kedaulatan Melayu dan Islam, dapat menganjurkan majlis-majlis sendiri di merata Semenanjung Malaysia membawa ke luar negara di Aceh. Lihat blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


Ketika menulis perenggan ini 4 Mei 2015 penulis sedang berusaha untuk mengembangkan isi 3 buku dalam siri "Berpetualang ke Aceh" menjadi 6 buku yang akan membentuk siri baru dipanggil "Siri Pengembaraan Merah Silu". Sebuah syarikat penerbitan telah bersetuju untuk menerbitkan siri lama itu kembali dalam bentuk yang lebih segar - Setiap buku asal dipecah menjadi 2 buku baru yang ditambah maklumat, gambar dan peta berwarna-warni.Pertengahan September 2015 buku pertama siri baru pun selamat diterbitkan. Seminggu lebih kemudian penulis berpeluang bercakap tentangnya secara siaran langsung dalam televisyen lalu membawa wakil penerbit bersama. Lihat video di bawah :-





Awal tahun 2015 turut menyaksikan penulis diambil menjadi penyelidik dan hos satu siri dokumentari yang dipanggil "Daulah Melayu". Projek 13 episod sepanjang sejam setiap satu ini mahu mengenengahkan formula untuk mengembalikan kekuatan bangsa Melayu. Insyaallah projek iakan membawa penulis untuk mengembara ke merata di Malaysia dan Indonesia juga ke beberapa negara dan tempat di Eropah termasuk ke kota London, tempat penulis mengambil ijazah matematik 1991-1995. Siri dokumentari ini dijangka siap untuk tayangan televisyen dalam tempoh 2 tahun.


Pada 13 Mei 2023 buku ke 13 + 1 penulis (pertama setelah yang ke-13 terbit tahun 2019 lalu mula memberikan tumpuan pada pengajian pascasiswazah di ISTAC iaitu Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam di Bukit Tunku, Kuala Lumpur), Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin & Orang Kaya Arsyad telah dilancarkan oleh sejarawan ulung negara, Profesor Emeritus Datuk Dr Abdullah Zakaria Ghazali di rumah penulis. Lihat Majlis pelancaran buku dan rumah terbuka raya 2023 - Melestarikan semangat perjuangan. Beliau yang bertanggungjawab memberikan kata-kata aluan dalam buku turut menjadi pembicara dalam diskusi yang diadakan di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2023 (berlangsung 26 Mei hingga 4 Jun). Lihat Bicara buku Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin di PBAKL 2023. Diskusi ini terakam dalam video atas diikuti video bawah...



Rabu, November 01, 2017

Menjejak kembali sejarah sebenar keberadaan awal Melayu di Kuala Lumpur - Sampai masanya segala penemuan terkini diwacanakan, diambil tahu dan diguna pakai...

Salam semua, salam 1 November 2017 bersamaan 12 Safar 1439 Hijriah. Adapun selepas memaparkan artikel Aktiviti-aktiviti kecil bulan Oktober - Ganti balik masa bersama keluarga... 26 Oktober lalu saya mendapati bahawa jumlah artikel di blogspot ini telah mencapai 1,615. Untuk menyokong penceritaan dalam artikel tersebut saya telah membuat 7 artikel baru di blogspot BERPETUALANG KE ACEH dan satu di blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH). Ini menyebabkan jumlah artikel di BERPETUALANG mencapai nombor cantik 1,771 sementara HIKMAH mencapai 342. Blogspot saya satu lagi iaitu SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART) belum dikemaskinikan sejak 10 September lalu jumlah artikelnya kekal 1,768. Melihatkan angka-angka ini saya pun bertekad akan mengemaskinikan mana yang patut sehingga jumlah artikel pada setiap blogspot mencapai jumlah yang cantik. Hari ini baru ia boleh berlaku...


Kelihatan adalah satu peta lama pusat bandar raya Kuala Lumpur dengan bahagian-bahagian tertentu diwarnakan hijau untuk menunjukkan kehadiran unsur-unsur Malay atau Melayu yang jelas pada bandar raya. Peta ditemui dalam keadaan sebegini pada wall (dinding?) Facebook budayawan terkenal Profesor Dr Siti Zainon Ismail. Tertarik dengan peta dan teks saya pun kongsikan (share) ke wall sendiri untuk tatapan kawan-kawan dan kenalan saya pula. Tetapi ternyata ia tidak boleh dibaca mereka kerana Siti Zainon yang saya dan isteri panggil sebagai Kak Siti bukan kawan mereka. Saya pun copy and paste untuk memaparkannya semula. Berikut adalah teksnya dengan sedikit suntingan...


-------------


Semalam saya ada share update daripada Prof Siti Zainon tapi ramai tak boleh baca sebab privacy setting. Maka saya copas gambar dan update berkenaan ya...

Satu Detik 17.10.2017

Tapak sejarah peneroka Melayu yg dikaburkan di titik kosong Kuala Lumpur. Peta 1895 sumber TheMalaysian Branch of the Royal Adiatic Society 1950 :-

1) Tanah Perkuburan tanda penempatan Awal orang Melayu ( 1920an di bina Masjid Jamek)

2) Sekolah Melayu Gombak Lane

3) Jalan Jawa (Java Street) > Mountbatten Road> Jalan Tun Perak

4) Jalan Melayu ( Malay Street) sekarang yg hebat dipromosi ialah Jln Masjid Keling > Masjid india

5) Jalan Melaka


Tidak lama kemudian saya menerima maklum balas bertanyakan tentang kedudukan Masjid Jamek Kuala Lumpur... bagaimana letaknya berbanding kedudukan tanah perkuburan Melayu yang pernah memenuhi kawasan sekitar itu? Menariknya kedudukan tersebut adalah pada tanah antara Sungai Gombak dengan Sungai Klang. Pertemuan di mana air Sungai Gombak yang berlumpur mengalir masuk ke dalam Sungai Klang itulah yang menerbitkan nama Kuala Lumpur.


Adapun Masjid Jamek KL didirikan tahun 1909 sedangkan peta di atas memaparkan keadaan sekitar 14 tahun lebih awal. Masjid utama terdahulu dibina berdekatan seberang Sungai Kelang. Hakikat bahawa masjid utama kini didirikan di atas tanah perkuburan Islam tersingkap setelah amat lama dilupakan apabila satu projek mencantikkan kawasan sungai di sekitar membawa kepada penemuan sejumlah batu nesan lama Islam. Antaranya daripada jenis batu Aceh yang diketahui tidak lagi dibuat selepas wilayah Aceh di utara pulau Sumatera dapat diceroboh dan diduduki kuasa penjajah Barat iaitu Belanda awal tahun 1874. Lihat artikel Tentang perkuburan lama Islam dan batu nesan Aceh di Masjid Jamek Kuala Lumpur yang ditulis setahun setengah lalu.


Tadi saya meneliti kembali isi artikel tersebut lalu mendapati peta yang diketengahkan oleh Siti Zainon serupa dengan yang saya lihat di Masjid Jamek ketika itu.  Pada penghujung artikel saya ada menyebut begini :-


Sekarang cukuplah saya bercerita tentang ini. Harapan saya semoga ada yang dapat merungkai penemuan di Masjid Jamek KL dengan lebih baik. Mungkin Jabatan Warisan, Muzium Negara atau mana-mana institusi yang berwibawa boleh mengadakan satu seminar di mana pembentangan dan kajian-kajian berkaitan ditonjolkan. Tujuannya adalah agar umum mendapat gambaran lebih jelas tentang penempatan-penempatan awal orang Melayu di Lembah Klang. 

Bolehlah dimasukkan sekali cerita-cerita tentang Kampung Abdullah Hukum, Kampung Baru dan Kampung Sungai Chinchin misalnya. Yang penting dapat diserlahkan hak orang Melayu terhadap wilayah ini pada kala ada pihak berusaha bersungguh-sungguh untuk membodohkan kita sebagai bangsa yang kurang bertamadun konon, perlu berharap pada mereka untuk maju. Walhal mereka dengan bantuan ajen-ajen Barat yang anti Islam telah lama menipu, merompak hasil mahsyul kita, memporak-porandakan sejarah sebenar untuk digantikan dengan sejarah putar belit yang bertujuan meminggirkan kita sekian lama.




Gambar batu besan Aceh yang ditemui di masjid seperti terpapar dalam artikel Tentang perkuburan lama Islam dan batu nesan Aceh di Masjid Jamek Kuala Lumpur. Ia serupa dengan beberapa batu nesan Aceh yang pernah saya lihat di bahagian lain KL. Lihat artikel Selamatkan makam Harun Al-Rasyid, satu-satunya makam berbatu nesan Aceh yang masih wujud di Kuala Lumpur yang ditulis awal tahun 2011 diikuti Makam (Tomb of) Pinang Tunggal, Jalan Klang Lama.

Adapun tujuan asal saya  berkongsi peta dan teks berkenaan daripada FB Siti Zainon adalah agar generasi muda sekarang sedar mereka bukanlah perintis mahupun pencetus kepada usaha-usaha mahu memartabatkan kembali sejarah sebenar Melayu berdasarkan sumber-sumber tempatan berbanding sejarah versi Barat. Apatah lagi generasi muda itu kebanyakannya cuma tahu mengkaji secara kepustakaan melalui bacaan buku dan Internet, jarang yang cukup berpengalaman sanggup turun padang mengkaji di lapangan. Ramai orang terdahulu telah berpenat lelah berusaha gigih termasuk generasi Siti yang kini rata-rata berumur 60an. Malah kawan-kawan seperjuangan beliau ramai telah menjadi orang yang terkemuka dalam bidang warisan dan kebudayaan.  Cuma mereka menghadapi masalah apabila cadangan-cadangan berkenaan warisan dan sejarah tidak dilaksanakan atau diambil peduli oleh pihak yang berwajib, nampaknya disebabkan mahu menjaga kepentingan puak bukan Melayu dan bukan Islam. 

Berikut biar dicopas (copy paste) komen berkenaan daripada Kak Siti dalam update beliau tentang peta KL tahun 1895 dengan sediki suntingan. Ia adalah maklum balas selepas ada pembaca mencadangkan agar hal sejarah sebenar KL diseminarkan. Saya letak sini kerana ia nampaknya tidak dapat dicapai oleh mereka yang bukan kawan beliau di FB :-


Silakan ya anak-anak muda kita. Kami telah bersuara dalan sidang meja bulat dengan DBKL. Tapi bila tiba dana pembangunan citra ini senyap saja. Tahun 1997 kami kumpulan LESTARI UKM telah bersuara dengan dukungan DBKL berbincang tentang "Kuala Lumpur Menjejaki Jiwanya". Beberapa perkara memetakan wajah KL sebagai wadah budaya ilmu, wajah taman tempatan. DBKL diwakili oleh Datuk Noodin Abd Razak dengan pengakuan "Indentiti Budaya Kuala Lumpur : Dilema Perlaksanaan", saya dengann suara Budaya KL, Dato Johari Salleh tentang muzik, allahyarham Dato Jins Shamsudin : "Konflik Budaya KL". Dato Prof Ibrahim Komoo sebagai pengerusi dan disokong Prof Hood Salleh mewakil Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (LESTARI) UKM. Ya begitulah suara sarjana dan seniman tidak lincah bermain politik 20 tahun lalu.


Bercakap tentang politik Siti Zainon boleh sahaja menjadi seorang yang lebih berkuasa dan berpengaruh jika mahu. Tetapi jiwa beliau lebih pada seni dan budaya yang penuh dengan keindahan tetapi kurang kekuasaan. Ini kata-kata beliau dalam ruangan komen update yang sama dengan sedikit suntingan :-


Terlintas kenangan 40 tahun lalu... setelah bersuara diwawancara di RTM. Tiba datang wakil PR Datuk Aishah Ghani memujuk saya untuk masuk UMNO (macam Puteri sekarang). Saya bertanya kenapa? Jawab PR tadi, " YB sudah dengar suaramu di radio. Katanya 'Ada harapan budak ni, suara tegas'". Tapi saya pilih dunia seni budaya. Cukuplah emak saudara saya Makcik Shamsiah Fakeh puntang panting masuk hutan kerana cara perjuangannya tidak difahami bangsa sendiri. 



Gambar yang dilampirkan Kak Siti bersama maklum balas beliau tentang memperjuangkan keberadaan KL berwajah tempatan pada tahun 1997. Sekarang biar dicopas  komen-komen saya yang menyusul kemudian di update beliau dengan sedikit suntingan :-


Hal ini elok diseminarkan. Boleh gunakan penemuan batu-batu nesan lama termasuk batu Aceh di Masjid Jamek KL tahun lepas sebagai salah satu hujah dan alasan apa lagi projek mencantikkan laluan tepian sungai River of Life masih berjalan.

Nota : Kewujudan batu nesan Aceh yang ditemui di halaman masjid jamek itu sendiri adalah bukti besar Kuala Lumpur sudah memiliki jumlah penduduk dan komuniti yang signifikan seawal 200 tahun lalu. Ini kerana batu yang ditemui adalah jenis abad ke-18 hingga 19 Masihi sedangkan produksi batu Aceh mula pupus apabila Aceh mula diduduki Belanda tahun 1874. Batu Aceh pula cuma dipakai oleh orang-orang berwibawa, raja-raja, pahlawan dan ulamak besar, ketua-ketua komuniti. Wujudnya ia cukup untuk menandakan ada sistem pentadbiran tempatan dan pengikut. Prof Othman Yatim harap dapat tambah info dan usaha sama mewacanakan hal ini..

Dan lagi kita boleh balik pada kisah Tun Perak sebelum beliau naik menjadi Bendahara Melaka hampir 600 tahun lalu. Tun Perak pernah menjadi penghulu Kelang. Kelang pada zaman dahulu bukan merujuk pada Klang sekarang tetapi seluruh kawasan lembah persekitaran yang dilalui Sungai Klang termasuk Kuala Lumpur sekarang...

Pada zaman yang disebut secara rasmi oleh British sebagai tempoh masa pembukaan KL penghujung abad ke-19 pula Sultan Selangor ketika itu memberikan pegangan ke atas Kelang kepada Raja Abdullah seorang kerabat diraja Riau daripada susur galur keturunan Daeng Parani, kekanda kepada Daeng Chelak yang menerbitkan Sultan-sultan Selangor. Definisi lama Kelang yang meliputi seluruh laluan sungai masih terpakai, sebab itu Raja Abdullah boleh membawa orang membuka KL yang kita kenali sekarang...




Tidak lama kemudian ada orang menunjukkan saya gambar ini. Sudah lupa daripada wall FB siapa. Katanya ia diambil sekitar tahun 1910an menunjukkan kedudukan sebuah makam yang dianggap keramat di hadapan Masjid Jamek KL.


Turut ditunjukkan peta zaman itu yang dengan jelas ada menandakan satu kepuk makam sebagai "Keramat". Semoga semua maklumat ini dapat dikumpulkan dalam satu pameran berserta seminar atau wacana yang dapat mengangkat kembali keberadaan awal Melayu di Kuala Lumpur... pada ketika wajah asal dan asli tempatan kelihatan semakin terpinggir untuk memberikan laluan kepada keturunan kaum pendatang bukan Melayu dan bukan Islam atas nama harmoni, masyarakat berbilang kaum dan kemajuan menurut takrif dan kehendak yang pernah digariskan oleh penjajah Barat...


Ini adalah peta sekitar Masjid Jamek yang dipaparkan oleh program Google Map. Kelihatan nama-nama Melayu begitu terserlah dalam peta tetapi realiti sebenarnya? Wajib turun padang jalan kaki lihat keliling teliti dengan mata kepala sendiri betapa bandar raya ini sudah dikuasai bangsa-bangsa lain. Untuk mengakhiri artikel biar diulang kembali pengenalan yang berbunyi :-


Salam semua, salam 1 November 2017 bersamaan 12 Safar 1439 Hijriah. Adapun selepas memaparkan artikel Aktiviti-aktiviti kecil bulan Oktober - Ganti balik masa bersama keluarga... 26 Oktober lalu saya mendapati bahawa jumlah artikel di blogspot ini telah mencapai 1,615. Untuk menyokong penceritaan dalam artikel tersebut saya telah membuat 7 artikel baru di blogspot BERPETUALANG KE ACEH dan satu di blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH). Ini menyebabkan jumlah artikel di BERPETUALANG mencapai nombor cantik 1,771 sementara HIKMAH mencapai 342. Blogspot saya satu lagi iaitu SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART) belum dikemaskinikan sejak 10 September lalu jumlah artikelnya kekal 1,768. Melihatkan angka-angka ini saya pun bertekad akan mengemaskinikan mana yang patut sehingga jumlah artikel pada setiap blogspot mencapai jumlah yang cantik. Hari ini baru ia boleh berlaku..


Kenapa hari ini baru berlaku pengemaskinian sehingga tercapai jumlah cantik bagi setiap blogspot? Kerana setelah membuat keputusan untuk melakukan pengemaskinian berkenaan semalam baru saya ada cukup bahan tambahan untuk SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART). Setelah menghadiri satu majlis ilmu di Muzium Negara saya singgah di beberapa tempat terpilih di KL.

Bahan untuk Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH) pula sudah lebih awal ada tetapi saya sengaja menunggu hari ini untuk dipersembahkan bersama. Jadilah artikel bertajuk Menunggu kedatangan Mawlid Agung Alam Melayu 2017 sebulan lagi sebagai yang ke-343 di blogspot tersebut diikuti artikel-artikel berikut :-




Bangunan (Building of) Sultan Abdul Samad


Tiga artikel baru ini menjadikan jumlah di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART)  mencapai 1,771 sama seperti jumlah yang dicapai blogspot BERPETUALANG KE ACEH 6 hari lalu. Artikel ini pula menjadikan jumlah di blogspot CATATAN SI MERAH SILU mencapai 1,616. Lengkap gerak untuk nombor-nombor cantik.



Khamis, Oktober 26, 2017

Aktiviti-aktiviti kecil bulan Oktober - Ganti balik masa bersama keluarga...

Gerak hati ini menyuruh membuat satu artikel merangkumkan sejumlah aktiviti kecilyang dibuat selepas kembali daripada perjalanan bermotosikal jauh 6-8 Oktober hingga kini. Untuk itu 7 artikel baru yang boleh menyokong penceritaan telah dibuat dalam blogspot BERPETUALANG KE ACEH berserta satu di blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH). Begini ceritanya...


Senarai aktiviti dibuka tengah hari Sabtu 14 Oktober apabila kami anak beranak pergi menghadiri majlis perkahwinan seorang adik sepupu saya di Shah Alam.


Kalau tidak kerana itu tidak saya keluar rumah hari tersebut kerana masih lagi kepenatan setelah kembali daripada perjalanan bermotosikal besar yang disertai pendakian gunung setinggi hampir 7,000 kaki dari paras laut. Rujuk artikel Perjalanan jauh bermotosikal besar pertama sejak awal 2013 - Tempoh masa yang terlajak dan kenangan cabaran panjat gunung sebelum melihat suasana majlis melalui artikel  Attending a cousin's wedding reception in Shah Alam.


Disebabkan majlis di Shah Alam itu juga timbul gerak untuk naik melihat pemandangan dari atas Bukit Jugra di Banting.


Ia dibuat dalam rangka perjalanan menuju ke kampung isteri di Tanjung Sepat.  Kalau tidak kerana majlis di Shah Alam mungkin pagi Ahad 15 Oktober baru kami ke kampung. Lihat On for views on top of Jugra hill.



Kami ke kampung supaya dapat bertemu adik beradik isteri sebelum ke majlis perkahwinan seorang anak saudara isteri ke selatan sedikit dari kampung.


Kira seimbanglah jadinya kerana hari Sabtu dapat bertemu saudara mara sebelah saya. Hari Ahad bertemu pula saudara mara sebelah isteri. Lihat A niece's wedding reception at Bagan Lalang.


Dalam perjalanan kembali ke rumah singgah di tengah bandar raya Kuala Lumpur untuk melihat jambatan baru pejalan kaki menyeberangi Sungai Gombak ke masjid jamek. Lihat The new pedestrian bridge to Masjid Jamek Kuala Lumpur.



Tengah hari Khamis 19 Oktober saya menghantar kereta yang telah dibawa ke kampung masuk bengkel  di Rawang untuk memperbaiki sistem brek yang sedikit rosak. Ketika menunggu ia siap timbul rasa untuk melihat satu lebuh raya baru memotong dari Serendah ke selatan Rawang. Lihat Checking out the Rawang-Bypass.


Menariknya kedudukan tinggi lebuh raya di lereng bukit dengan 3 km daripada keseluruhan 7 km jalan terdiri daripada sistem jejantas yang mencapai ketinggian 60 meter atas tanah memberikan pemandangan sekeliling yang menakjubkan. Terfikir alangkah bagusnya jika diadakan satu sesi larian santai atau fun run sebelum dibuka untuk kenderaan. Lihat rakaman video yang dibuat secara langsung terus ke Facebook di sini dan sini.


Sabtu hujung minggu itu 21 Oktober saya bercadang untuk duduk rumah sahaja. Tetapi apabila terlihat hebahan di FB malam sebelum itu menunjukkan ada acara wayang kulit di KLCC terus tukar fikiran.


Alang-alang dah buat keputusan keluar hari Sabtu maka mahu dihadiri sekali satu majlis busana di selatan Kuala Lumpur. Kalau tidak kerana wayang kulit tentu saya tidak membawa keluarga ke situ. Lihat Dari wayang kulit beralih ke Festival Busana Kreatif.



Kembali dari majlis timbul rasa untuk singgah di satu tempat yang istimewa...


Itulah kali pertama setiap daripada kami menjejakkan kaki ke kawasan Istana Negara yang baru. Sekali lagi, kalau tidak kerana wayang kulit tidak kami sampai ke sana hari itu. Lihat First actual visit to the new Istana Negara.


Ahad keesokannya 22 Oktober baru kami keluar menurut rancangan yang sudah difikirkan sejak awal untuk hari keluarga syarikat tempat isteri bekerja. Lihat TM family day at the National Sports Complex in Shah Alam.


Secara rata aktiviti-aktiviti kecil yang dilaku sejak kembali daripada perjalanan bermotosikal awal bulan melibatkan keluarga. Kiranya saya menggantikan masa untuk berjalan bersama mereka setelah 4 hari 3 malam keluar mengembara bersama kawan-kawan. Sekian gerak penceritaan...


Selasa, Oktober 24, 2017

Perjalanan jauh bermotosikal besar pertama sejak awal 2013 - Tempoh masa yang terlajak dan kenangan cabaran panjat gunung

Salam 4 Safar. Sampai masanya untuk menutup siri kecil tentang perjalanan yang dibuat awal bulan Oktober. Bersambung penceritaan daripada artikel Perjalanan jauh bermotosikal besar pertama sejak awal 2013 - Dari Gunung Brinchang mendaki ke puncak Gunung Irau.


Awal pagi buta Ahad 8 Oktober 2017. Setelah mendapat rehat tidur dalam 3-4 jam di masjid Kampung Raja baru kami bersedia untuk meninggalkan Cameron Highlands.  Ikut rancangan asal seperti disebut dalam artikel pembukaan Perjalanan jauh bermotosikal besar pertama sejak awal 2013 - Antara Raub dan Janda Baik perjalanan ini harus tidak memakan masa lebih 3 hari 2 malam. Tetapi kami memutuskan menambah satu malam lagi disebabkan apa yang berlaku sepanjang hari Sabtu...


Kalau ikut rancangan asal untuk hari tersebut kami mahu minum teh di Ladang Teh Boh, Sungai Palas jam 5 petang  kemudian meninggalkan Cameron Highlands. Mungkin singgah sebentar di bandar raya Ipoh sebelum kembali ke rumah. Sebaliknya jam 5.30 pagi Ahad keesokan harinya baru kami mengorak langkah meninggalkan kawasan tanah tinggi. Sekarang biar diperincikan apa yang berlaku sehingga perjalanan kami jadi terlajak... sehingga harus ditambah lagi satu malam di luar...


Pada artikel Perjalanan jauh bermotosikal besar pertama sejak awal 2013 - Dari Gunung Brinchang mendaki ke puncak Gunung Irau sudah disebut bahawa selepas meluangkan masa lebih sejam di puncak Gunung Brinchang kami mengorak langkah untuk mendaki Gunung Irau, gunung ke-9 tertinggi di Semenanjung Malaysia. Turut disebut pendakian bermula tepat jam 11 apabila kami menaiki tangga pintu masuk kawasan hutan berlumut yang dipanggil Mossy Forest. Sekarang bolehlah perincian dibuat menggunakan gambar-gambar terpilih yang telah diletakkan dalam artikel-artikel berikut di blogspot BERPETUALANG KE ACEH :-








Secara rasminya memang pendakian boleh dikatakan bermula apabila kita masuk ke Mossy Forest. Tetapi tidak semua yang masuk ke situ mahu mendaki Gunung Irau. Kebanyakan pengunjung sudah cukup puas dapat melihat hutan berlumut seperti dalam alam fantasi di kawasan Mossy Forest dan laluan pelantar kayunya yang sudah pun terletak pada ketinggian 2,000 meter dari paras laut. Berbanding jumlah keseluruhan pengunjung yang biasa datang ke kawasan ini tidak ramai meneruskan sehingga tamat kawasan pelantar lalu kelihatan papan tanda ini. Difahamkan pihak Jabatan Perhutanan membenarkan paling ramai pun 100 orang masuk mendaki ke Gunung Irau setiap satu hari.


Kami pula masuk bertiga atas rancangan mendaki yang baru diutarakan 2 hari sebelum itu. Malam sebelum pendakian dibuat baru menetapkan tekad, itupun bergantung pada apa yang berlaku pagi Sabtu. Ternyata kami orang paling lewat masuk. Kami dapat tahu ada pihak lain telah memulakan pendakian seawal jam 2.45 pagi dengan niat mahu melihat matahari terbit dari atas puncak Gunung Irau.


Kami pergi setelah mendapat tahu daripada bacaan dalam Internet bahawa puncak boleh dicapai oleh orang biasa malah kanak-kanak dalam tempoh 3 jam. Mereka yang lebih bertenaga pula katanya boleh melakukannya dalam tempoh 2 jam. Kelihatan dalam gambar kami sampai di kawasan peralihan antara Gunung Brinchang dengan Gunung Irau. Adapun Mossy Forest masih terletak berdekatan puncak Gunung Brinchang. Kena turun buat beberapa lama kemudian baru bertemu lereng naik ke Gunung Irau.


Lapan minit kemudian iaitu pada jam 12.12 tengah hari terjumpalah papan tanda menyebut kami sudah 800 meter meninggalkan Gunung Brinchang. Rasanya jarak ini merujuk pada tangga atau pintu masuk Mossy Forest. Ini kerana puncak gunung tersebut sendiri terletak lagi 800 meter ke selatan Mossy Forest. Papan tanda ini menunjukkan masih ada 1.55 km untuk sampai ke puncak Gunung Irau. Melihatkan ini saya merasakan mampu sampai dalam tempoh 3 jam kerana sudah melepasi 1/3  perjalanan dalam tempoh lebih sedikit sejam. Belum dijangka lagi cabaran akan semakin meningkat semakin jauh kita berjalan apa lagi dengan keadaan denai licin berlumpur tebal dan kemudian turun hujan.


Gambar ini diambil pada jam 1.20 petang iaitu setelah hampir sejam setengah lagi berjalan. Ketika ini seorang daripada kami sudah berpatah balik kerana tidak dapat meneruskan pendakian. Beliau ada masalah kencing manis yang memerlukan suntikan insulan sedangkan kami tidak membawa bekalan makanan kecuali 2-3 botol air dan 2-3 batang biskut cokat, juga beberapa keping cakoi. Beliau kembali bersama satu kumpulan yang sudah lebih awal sampai ke puncak.


Pada jam 1.35 terjumpa papan tanda menunjukkan kami baru meliputi 60 peratus perjalanan. Ketika ini sudah cukup jelas kami memerlukan lebih 3 jam untuk sampai ke puncak Gunung Irau. Sepanjang perjalanan kami asyik bertemu dengan kumpulan-kumpulan yang kembali dari puncak. Kami dapat tahu ada yang datang 50 orang tetapi berpecah kepada 2-3 kumpulan lebih kecil mengikut kecergasan. Ada yang datang 30 orang kemudian berpecah. Kamilah kumpulan paling kecil, daripada 3 orang tinggal cuma berdua meneruskan. Tapi sekurang-kurangnya kami dapat tahu masih agak ramai berada di hadapan...


Jam 1.52 kami sampai di satu puncak yang dikenali sebagai Anak Irau. Kelihatan ramai orang berehat setelah kembali dari puncak utama Gunung Irau.


Letaknya 6,666 kaki dari paras laut, lebih kurang sama tinggi dengan ketinggian puncak Gunung Brinchang. Puncak utama Gunung Irau yang terletak 300 kaki lebih tinggi pula katanya memakan masa lagi sejam perjalanan. Oleh itu ada yang menasihatkan kami cukuplah sampai ke Anak Irau. Ini kerana kami akan memakan masa lagi untuk keluar sedangkan keadaan katanya mula gelap seawal jam 6 petang dalam hutan.


Kami membulatkan tekad untuk meneruskan perjalanan sampai ke puncak utama. Selepas berehat 5 minit di Anak Irau kami harus turun sedikit ke arah puncak. Jam 2.25 baru denai mula menaik balik...


Sepuluh minit kemudian sampai pada kawasan penanda yang dikenali sebagai CP (Check Point) Slide. Ia dinamakan begitu kerana di kiri kanan terdapat lereng curam jatuh menjunam.


Jam 2.41 sampai penanda yang dipanggil CP Bonzai 1.


Jam 2.48 terjumpa papan tanda menyatakan masih ada 350 meter sebelum sampai ke puncak Gunung Irau. Harus dah cukup dekat bukan?


Tetapi tidak terasa dekat bagi kami yang sedang mendaki dalam keadaan yang semakin mencabar...

Jam 3.10 sampai di CP Banzai 2. Orang yang berehat di situ setelah kembali dari puncak memberitahu ada setengah jam lagi perjalanan.


Kawan saya mula terasa hendak berpatah balik. Dalam perjalanan memang kami asyik bertemu kumpulan-kumpulan dalam perjalanan balik. Apabila ditanya ada yang kata sejam lagi nak sampai, kemudian setelah beberapa lama jumpa kumpulan lain yang juga kata sejam lagi nak sampai. Setelah beberapa lama lagi ada yang kata tinggal setengah jam. Ke hadapan lagi jumpa kumpulan lain tapi juga kata setengah jam lagi. Kalau begini bila sebetulnya nak sampai-sampai? Masa semakin lewat sedangkan semua yang ditemui sudah mengorak langkah kembali, kami masih belum tiba ke puncak.


Nasib baik saya dapat memujuk beliau untuk meneruskan. Kata saya dah tinggal sedikit sahaja ini. Kalau berpatah balik kemudian dapat tahu betapa tinggal sedikit sahaja sebelum mencapai matlamat tapi mengalah tentu akan menyesal panjang. Saya biar beliau yang lebih muda dan cergas berjalan di hadapan lalu menyusul sedikit lambat. Alhamdulillah tidak lama kemudian beliau sampai ke puncak. Saya sampai seminit dua lewat pada jam 3.35.


Secara rata kami mengambil masa 4 jam 35 minit untuk sampai ke puncak Gunung Irau. Ini adalah lebih 50 peratus terlajak berbanding masa jangkaan 3 jam berdasarkan bacaan di Internet.


Untuk menunjukkan jangkauan pengembaraan dan pendakian menuju ke puncak Gunung Irau biar dikongsikan gambar daripada artikel lama Misi penganjuran HIKMAH IV - Rehat di Cameron Highlands... nyaman.... Gambar ini diambil selepas bermalam di sebuah tempat rehat di Tanah Rata awal tahun 2013. Semakan menggunakan program Google Earth menunjukkan ia diambil menghadap hampir tepat ke utara menuju ke Gunung Brinchang dan Gunung Irau.


Beginilah kedudukan kawasan-kawasan yang dilalui dalam perjalanan. Untuk makluman pintu masuk ke Mossy Forest terletak sekitar 800 meter ke utara, barat sedikit dari puncak Gunung Brinchang. Daripada sudut pandang gambar ia terlindung oleh puncak. Dari situ kami bergerak ke barat laut 2.35 km untuk sampai ke puncak Gunung Irau.


Apabila sudah sampai ke puncak memang terasa gembira amat kerana berjaya mencapai matlamat walaupun rancangan dibuat baru 2 hari sebelum itu dalam keadaan saya kurang cergas. Dan lagi, ia dibuat di celah perjalanan jauh bermotosikal besar. Rasanya jarang sekali orang melakukan dua perkara yang cukup mencabar dalam satu masa. Kalau mahu mendaki gunung orang biasanya membuat persediaan yang patut hanya untuk itu lalu menuju ke gunung. Kalau mahu mengembara menaiki motosikal orang bersiap untuk mengembara begitu, tidak memanjat sekali gunung kecuali kalau boleh dinaiki dengan motosikal...



Kali terakhir saya naik sampai ke puncak gunung adalah pada bulan April di Gunung Jerai yang ketinggiannya adalah 3,992 kaki dari paras laut. Itupun dengan kereta kemudian baru berjalan kaki sedikit. Lihat Maulidur Rasul dan Hol di Gunung Jerai - Berhimpun di puncak gunung sebelum menutup majlis di kaki barat. Kalau betul-betul mendaki berjalan kaki daripada bawah sampai ke atas kali terakhir mencapai puncak gunung adalah pada tahun 2003 di Gunung Nuang yang memiliki ketinggian 4,898 kaki dari paras laut. Ia dikatakan adalah gunung tertinggi di negeri Selangor. Sebahagian puncaknya terletak di dalam negeri Pahang, sebahagian lereng sedikit bawah hingga ke kaki berkenaan terletak di dalam Negeri Sembilan. 

Menariknya ia dibuat secara solo tanpa membawa peralatan yang patut - tiada lampu, tiada khemah, tiada peralatan masak, bekalan setakat sebuku roti dan satu botol air mineral - tetapi ada niat untuk bermalam di puncak gunung. Akibatnya merasa sesat dalam hutan selama 19 jam. Lihat artikel lama Pendakian dan sesat di Gunung Nuang dalam ingatan,... Walaupun bukan pendaki tegar saya pernah merasa mendaki sampai ke puncak gunung tertinggi di Asia Tenggara iaitu Gunung Kinabalu di Sabah (13,435 kaki dari paras laut). Sukacita dimaklumkan saya juga telah mencapai puncak beberapa gunung lain termasuk Gunung Ledang di selatan tanah air (4,187 d.p.l).

Tetapi kepuasan mencapai puncak Gunung Irau (6,924 d.p,l) Sabtu 7 Oktober lalu tanpa dirancang dan tanpa persediaan yang patut pada umur menghampiri 47 tahun terasa lebih manis apa lagi dibuat dalam rangka perjalanan bermotosikal besar yang kemudian meliputi jarak keseluruhan hampir 600 km. Itu jarak yang diliputi kerana bermula dari rumah di Sungai Buaya, Rawang sehingga kembali. Bagi kawan yang sama sampai ke puncak jaraknya adalah sekitar 700 km kerana bermula dan berakhir daripada rumahnya di Bandar Seri Putra hampir ke sempadan Negeri Sembilan. Seorang lagi kawan iaitu yang harus berpatah balik selepas lebih sedikit 1/3 perjalanan ke puncak Gunung Irau meliputi jarak keseluruhan bermotosikal lebih 1,300 km. Ini disebabkan beliau datang hari Khamis dari Pasir Gudang, Johor dan kembali petang Ahad selepas singgah berehat sejam dua di rumah saya.


Di atas adalah gambar yang diambil jam 8 pagi Ahad setelah berhenti rehat makan pagi di Simpang Pulai sebelum kembali ke rumah.  Selain rasa puas amat kerana dapat sampai ke puncak kami juga merasa lega apabila melihat masih ada orang lain di sana. Mereka, sekitar 13-15 orang adalah daripada kumpulan terakhir memulakan pendakian sebelum kami iaitu masuk ke Mossy Forest jam 9 pagi. Sekurang-kurangnya ada juga kawan untuk perjalanan kembali yang ketika itu sudah dijangka akan melepasi waktu Maghrib. 

Kami sama-sama memulakan penurunan dari puncak Gunung Irau jam 4 petang. Bermula di belakang mereka kami kemudian memotong kerana ada ahli kumpulan itu lambat bergerak. Ke hadapan setelah beberapa lama kami bertembung dengan satu kumpulan sekitar 10 orang yang terpecah daripada kumpulan besar yang sudah sampai ke puncak seawal waktu Subuh. Kumpulan tersebut menghadapi masalah kerana seorang ahli terpelecok akibat tergelincir sementara dua orang mengalami kejang otot. 

Kami bergerak memotong mereka dan setelah beberapa lama lagi bertemu sekitar 7-9 orang yang asalnya daripada kumpulan yang masuk jam 9 pagi tadi, kumpulan yang ditemui di puncak. Mereka turun lebih awal kerana lebih cergas berbanding pecahan kumpulan yang ditinggalkan. Kami sama-sama meredah kegelapan hutan selepas masuk waktu Maghrib sebelum memotong meninggalkan mereka lalu keluar hutan sejurus sebelum kedengaran azan Isyak berkumandang. Di pintu keluar masuk Mossy Forest kelihatan 2-3 buah kenderaan pacuan empat roda dan sejumlah orang menunggu. Itu yang dapat dengar azan berkumandang daripada telefon bimbit salah seorang... 

Satu kumpulan sedang menunggu 7-9 orang ahli mereka yang tertinggal akibat kecederaan yang disebut tadi. Setelah berehat beberapa minit kemudian menyiapkan barangan saya dan kawan pun meluncurkan motosikal melalui kegelapan pekat malam turun Gunung Brinchang 7 km ke simpang kemudian bergerak 12 km utara ke Kampung Raja untuk bertemu seorang lagi kawan. Beliau yang telah berpatah balik selepas lebih sedikit 1/3 perjalanan ke Gunung Irau telah disuruh menunggu di masjid sana.

Di situlah saya membuat keputusan untuk berehat satu malam lalu yang lain ikut sama. Perjalanan ke Kampung Raja sebelum itupun sudah terasa begitu mencabar sejuk menggigil teruk disapa angin dingin malam pergunungan kerana pakaian kami basah terkena hujan juga lumpur ketika meninggalkan puncak Gunung Irau. Apatah lagi hendak meneruskan perjalanan kembali ke rumah sedangkan kami sampai ke masjid itupun dah lepas jam 9 malam. 

Di masjid kami mengambil masa mandi dan membersihkan badan dengan air paip yang begitu dingin sebelum menunaikan solat kemudian keluar makan. Saya juga mengambil peluang melepaskan hajat. Adapun sejak meninggalkan pekan Brinchang untuk naik ke gunung sekitar jam 9.15 pagi saya cuma ada membuang air kecil sekali di puncak.

Sehari dua setelah kembali baru dapat tahu kumpulan yang sama turun dari puncak keluar hutan sekitar jam 10.45 malam. Nampaknya bukan kami sahaja tersilap menjangkakan perjalanan naik gunung dapat dibuat dalam masa 3 jam seperti dibaca di Internet. Kumpulan-kumpulan besar yang ada jurupandu,  pernah beberapa kali turun naik gunung pun tersilap jangkaan. Kalau tidak, kenapa mereka yang sudah masuk hutan jauh lebih awal daripada kami pun keluar berjam-jam kemudian? Nampaknya keadaan denai pendakian yang sedia diketahui ramai selalu licin berlumpur menjadi lebih teruk akibat hujan hari itu. Jurupandu-jurupandu dan mereka yang lebih berpengalaman mungkin boleh melakukan pendakian pergi balik dalam masa 6-7 jam. Tetapi apabila membawa orang ramai yang kurang berpengalaman juga kurang cergas maka bersedialah untuk ketinggalan malah bersiaplah untuk bermalam di dalam hutan.

Cukuplah perkongsian tentang pengalaman terbaru perjalanan jauh setakat ini ya. Sekali lagi apa yang berlaku membuktikan apa yang kita dapati dalam pembacaan tidak semestinya sama dengan apa yang dilalui sendiri walaupun apa yang dibaca itu adalah berdasarkan pengalaman sebenar. Apatah lagi hendak dibandingkan dengan penulisan yang dibuat berdasarkan penulisan orang lain - bacaan atas bacaan malah bacaan atas bacaan atas bacaan... setelah beberapa lapis baru sampai pada tulisan yang dibuat berdasarkan pengalaman sebenar. Saya yang sudah banyak pengalaman merata ke pelbagai ceruk rantau pun boleh tersilap jangkaan  sehingga keluar masuk hutan Gunung Irau lebih 9 jam setelah membaca pengalaman sebenar orang membawa anak-anak sampai ke puncak 3 jam pergi dan kembali lagi 3 jam, apatah lagi mereka yang kebanyakan masanya dihabiskan di hadapan komputer, jarang-jarang atau tidak pernah turun ke lapangan. 


Khamis, Oktober 19, 2017

Perjalanan jauh bermotosikal besar pertama sejak awal 2013 - Dari Gunung Brinchang mendaki ke puncak Gunung Irau

Salam pagi Khamis 28 Muharram. Setelah beberapa lama baru kita masuk pada cerita hari ketiga perjalanan di mana berlakunya panjat gunung. Bersambung daripada artikel Perjalanan jauh bermotosikal besar pertama sejak awal 2013 - Naik ke Cameron Highlands.


Awal pagi Sabtu 7 Oktober 2017. Selepas bermalam kemudian menunaikan solat Subuh berjemaah di Masjid jamek Tanah Rata kami bersedia untuk menyambung perjalanan.

Selesai mandi dan mengemas barang kami menghidupkan motosikal masing-masing jam 7.12. Kami bercadang untuk menunggang hingga ke puncak Gunung Brinchang kemudian melihat kawasan hutan berlumut terkenal yang dipanggil sebagai Mossy Forest. Selepas itu kalau rasa larat dan ada kesempatan kami mahu mendaki sampai ke puncak Gunung Irau, gunung tertinggi di Cameron Highlands juga di Banjaran Titiwangsa belah negeri Pahang.


Apa-apapun kena isi perut dahulu. Kali ini saya boleh makan bersama kerana sudah tamat tempoh berpuasa putih 13, 14, 15 Muharram.


Keadaan awal pagi di sekitar pekan.


Jam 8 kami bersedia untuk meninggalkan Tanah Rata.


Sampai di pekan Brinchang 5 km ke utara kami singgah di masjid jamek sana untuk membuang air dan apa-apa yang perlu. Kalau dah masuk atas gunung nanti tiada lagi kemudahan...


Dari Brinchang kami bergerak 4 km ke simpang masuk jalan gunung kemudian terus lagi 7 km melepasi beberapa bahagian curam sampai ke puncak Gunung Brinchang. Alhamdulillah kali ini motosikal besar kesayangan yang sudah berumur 20 tahun dapat mengharungi perjalanan tanpa perlu berhenti akibat semput atau/dan enjin panas seperti pernah berlaku dalam lawatan-lawatan terdahulu. Rujuk artikel lama Perjalanan jauh bermotosikal besar setelah 9 tahun - Mendaki Gunung Brinchang sebelum melawat tempat-tempat di Perak.


Kami mengambil masa meninjau persekitaran puncak dan pemandangan. Kawan-kawan yang ikut sama begitu seronok kerana baru pertama kali sampai. Lihat artikel Bringing friends to Gunung Brinchang di blogspot BERPETUALANG KE ACEH.



Selepas lebih sejam melepak dan berlegar-legar di puncak Gunung Brinchang kami turun sedikit ke satu kawasan hutan berlumut yang dipanggil sebagai Mossy Forest.


Selepas mengatur barang-barang yang perlu ditinggalkan bersama motosikal kami melangkah masuk hutan tepat jam 11.


Tanpa persediaan sepatutnya yang menjadi kebiasaan bagi orang memanjat gunung kami menapak terus melepasi kawasan selamat umum yang dilingkungi definisi rasmi Mossy Forest. Dengan niat mencuba yang baru terbit 2 malam sebelumnya, itupun asalnya masih was-was nak ke tidak kerana dibuat secara spontan dalam rangka kerja besar perjalanan jauh bermotosikal besar, kami mahu mencapai puncak Gunung Irau. Ketinggian hampir 7,000 kaki menjadikan ia gunung kedua tertinggi di negeri Pahang iaitu selepas Gunung Tahan yang merupakan gunung tertinggi di Malaysia Barat. Ia juga adalah gunung ke-9 tertinggi di Semenanjung dan ke-15 di seluruh Malaysia. 

Dipendekkan cerita saya berjaya mencapai matlamat setelah 4 jam 35 minit berhempas pulas turun naik gunung melalui denai yang licin berlumpur sehingga boleh tenggelam ke paras lutut. Seorang kawan yang 5 tahun lebih muda dan lebih cergas sampai sekitar 2-3 minit lebih awal,seorang lagi yang sama umur dengannya terpaksa berpatah balik selepas mencapai lebih sedikit 1/3 perjalanan ke puncak kerana masalah kencing manis yang memerlukan suntikan insulin. Sepanjang pendakian juga kembali saya memakai tanjak seperti yang kelihatan. Di atas puncak baru ambik kesempatan memakai sampin dengan bengkung berisi selempang merah yang muncul kepada saya secara ghaib ketika awal pencarian salasilah keluarga lebih 15 tahun lalu berserta sebilah keris Bugis berlok 7, sebilah rencong Aceh dan sebilah keris kecil sejengkal 5 lok...

Cerita lebih lanjut tentang cabaran yang dialami insyaallah akan dikongsikan dalam artikel akan datang. Buat masa ini butiran perjalanan dan pendakian boleh diikuti melalui artikel-artikel berbahasa Inggeris berikut :-