Kelihatan adalah satu peta lama pusat bandar raya Kuala Lumpur dengan bahagian-bahagian tertentu diwarnakan hijau untuk menunjukkan kehadiran unsur-unsur Malay atau Melayu yang jelas pada bandar raya. Peta ditemui dalam keadaan sebegini pada wall (dinding?) Facebook budayawan terkenal Profesor Dr Siti Zainon Ismail. Tertarik dengan peta dan teks saya pun kongsikan (share) ke wall sendiri untuk tatapan kawan-kawan dan kenalan saya pula. Tetapi ternyata ia tidak boleh dibaca mereka kerana Siti Zainon yang saya dan isteri panggil sebagai Kak Siti bukan kawan mereka. Saya pun copy and paste untuk memaparkannya semula. Berikut adalah teksnya dengan sedikit suntingan...
-------------
Semalam saya ada share update daripada Prof Siti Zainon tapi ramai tak boleh baca sebab privacy setting. Maka saya copas gambar dan update berkenaan ya...
Satu Detik 17.10.2017
Tapak sejarah peneroka Melayu yg dikaburkan di titik kosong Kuala Lumpur. Peta 1895 sumber TheMalaysian Branch of the Royal Adiatic Society 1950 :-
1) Tanah Perkuburan tanda penempatan Awal orang Melayu ( 1920an di bina Masjid Jamek)
2) Sekolah Melayu Gombak Lane
3) Jalan Jawa (Java Street) > Mountbatten Road> Jalan Tun Perak
4) Jalan Melayu ( Malay Street) sekarang yg hebat dipromosi ialah Jln Masjid Keling > Masjid india
5) Jalan Melaka
Tidak lama kemudian saya menerima maklum balas bertanyakan tentang kedudukan Masjid Jamek Kuala Lumpur... bagaimana letaknya berbanding kedudukan tanah perkuburan Melayu yang pernah memenuhi kawasan sekitar itu? Menariknya kedudukan tersebut adalah pada tanah antara Sungai Gombak dengan Sungai Klang. Pertemuan di mana air Sungai Gombak yang berlumpur mengalir masuk ke dalam Sungai Klang itulah yang menerbitkan nama Kuala Lumpur.
Adapun Masjid Jamek KL didirikan tahun 1909 sedangkan peta di atas memaparkan keadaan sekitar 14 tahun lebih awal. Masjid utama terdahulu dibina berdekatan seberang Sungai Kelang. Hakikat bahawa masjid utama kini didirikan di atas tanah perkuburan Islam tersingkap setelah amat lama dilupakan apabila satu projek mencantikkan kawasan sungai di sekitar membawa kepada penemuan sejumlah batu nesan lama Islam. Antaranya daripada jenis batu Aceh yang diketahui tidak lagi dibuat selepas wilayah Aceh di utara pulau Sumatera dapat diceroboh dan diduduki kuasa penjajah Barat iaitu Belanda awal tahun 1874. Lihat artikel
Tentang perkuburan lama Islam dan batu nesan Aceh di Masjid Jamek Kuala Lumpur yang ditulis setahun setengah lalu.
Tadi saya meneliti kembali isi artikel tersebut lalu mendapati peta yang diketengahkan oleh Siti Zainon serupa dengan yang saya lihat di Masjid Jamek ketika itu. Pada penghujung artikel saya ada menyebut begini :-
Sekarang cukuplah saya bercerita tentang ini. Harapan saya semoga ada yang dapat merungkai penemuan di Masjid Jamek KL dengan lebih baik. Mungkin Jabatan Warisan, Muzium Negara atau mana-mana institusi yang berwibawa boleh mengadakan satu seminar di mana pembentangan dan kajian-kajian berkaitan ditonjolkan. Tujuannya adalah agar umum mendapat gambaran lebih jelas tentang penempatan-penempatan awal orang Melayu di Lembah Klang.
Bolehlah dimasukkan sekali cerita-cerita tentang Kampung Abdullah Hukum, Kampung Baru dan Kampung Sungai Chinchin misalnya. Yang penting dapat diserlahkan hak orang Melayu terhadap wilayah ini pada kala ada pihak berusaha bersungguh-sungguh untuk membodohkan kita sebagai bangsa yang kurang bertamadun konon, perlu berharap pada mereka untuk maju. Walhal mereka dengan bantuan ajen-ajen Barat yang anti Islam telah lama menipu, merompak hasil mahsyul kita, memporak-porandakan sejarah sebenar untuk digantikan dengan sejarah putar belit yang bertujuan meminggirkan kita sekian lama.
Adapun tujuan asal saya berkongsi peta dan teks berkenaan daripada FB Siti Zainon adalah agar generasi muda sekarang sedar mereka bukanlah perintis mahupun pencetus kepada usaha-usaha mahu memartabatkan kembali sejarah sebenar Melayu berdasarkan sumber-sumber tempatan berbanding sejarah versi Barat. Apatah lagi generasi muda itu kebanyakannya cuma tahu mengkaji secara kepustakaan melalui bacaan buku dan Internet, jarang yang cukup berpengalaman sanggup turun padang mengkaji di lapangan. Ramai orang terdahulu telah berpenat lelah berusaha gigih termasuk generasi Siti yang kini rata-rata berumur 60an. Malah kawan-kawan seperjuangan beliau ramai telah menjadi orang yang terkemuka dalam bidang warisan dan kebudayaan. Cuma mereka menghadapi masalah apabila cadangan-cadangan berkenaan warisan dan sejarah tidak dilaksanakan atau diambil peduli oleh pihak yang berwajib, nampaknya disebabkan mahu menjaga kepentingan puak bukan Melayu dan bukan Islam.
Berikut biar dicopas (copy paste) komen berkenaan daripada Kak Siti dalam update beliau tentang peta KL tahun 1895 dengan sediki suntingan. Ia adalah maklum balas selepas ada pembaca mencadangkan agar hal sejarah sebenar KL diseminarkan. Saya letak sini kerana ia nampaknya tidak dapat dicapai oleh mereka yang bukan kawan beliau di FB :-
Silakan ya anak-anak muda kita. Kami telah bersuara dalan sidang meja bulat dengan DBKL. Tapi bila tiba dana pembangunan citra ini senyap saja. Tahun 1997 kami kumpulan LESTARI UKM telah bersuara dengan dukungan DBKL berbincang tentang "Kuala Lumpur Menjejaki Jiwanya". Beberapa perkara memetakan wajah KL sebagai wadah budaya ilmu, wajah taman tempatan. DBKL diwakili oleh Datuk Noodin Abd Razak dengan pengakuan "Indentiti Budaya Kuala Lumpur : Dilema Perlaksanaan", saya dengann suara Budaya KL, Dato Johari Salleh tentang muzik, allahyarham Dato Jins Shamsudin : "Konflik Budaya KL". Dato Prof Ibrahim Komoo sebagai pengerusi dan disokong Prof Hood Salleh mewakil Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (LESTARI) UKM. Ya begitulah suara sarjana dan seniman tidak lincah bermain politik 20 tahun lalu.
Bercakap tentang politik Siti Zainon boleh sahaja menjadi seorang yang lebih berkuasa dan berpengaruh jika mahu. Tetapi jiwa beliau lebih pada seni dan budaya yang penuh dengan keindahan tetapi kurang kekuasaan. Ini kata-kata beliau dalam ruangan komen update yang sama dengan sedikit suntingan :-
Terlintas kenangan 40 tahun lalu... setelah bersuara diwawancara di RTM. Tiba datang wakil PR Datuk Aishah Ghani memujuk saya untuk masuk UMNO (macam Puteri sekarang). Saya bertanya kenapa? Jawab PR tadi, " YB sudah dengar suaramu di radio. Katanya 'Ada harapan budak ni, suara tegas'". Tapi saya pilih dunia seni budaya. Cukuplah emak saudara saya Makcik Shamsiah Fakeh puntang panting masuk hutan kerana cara perjuangannya tidak difahami bangsa sendiri.
Gambar yang dilampirkan Kak Siti bersama maklum balas beliau tentang memperjuangkan keberadaan KL berwajah tempatan pada tahun 1997. Sekarang biar dicopas komen-komen saya yang menyusul kemudian di update beliau dengan sedikit suntingan :-
Hal ini elok diseminarkan. Boleh gunakan penemuan batu-batu nesan lama termasuk batu Aceh di Masjid Jamek KL tahun lepas sebagai salah satu hujah dan alasan apa lagi projek mencantikkan laluan tepian sungai River of Life masih berjalan.
Nota : Kewujudan batu nesan Aceh yang ditemui di halaman masjid jamek itu sendiri adalah bukti besar Kuala Lumpur sudah memiliki jumlah penduduk dan komuniti yang signifikan seawal 200 tahun lalu. Ini kerana batu yang ditemui adalah jenis abad ke-18 hingga 19 Masihi sedangkan produksi batu Aceh mula pupus apabila Aceh mula diduduki Belanda tahun 1874. Batu Aceh pula cuma dipakai oleh orang-orang berwibawa, raja-raja, pahlawan dan ulamak besar, ketua-ketua komuniti. Wujudnya ia cukup untuk menandakan ada sistem pentadbiran tempatan dan pengikut. Prof Othman Yatim harap dapat tambah info dan usaha sama mewacanakan hal ini..
Dan lagi kita boleh balik pada kisah Tun Perak sebelum beliau naik menjadi Bendahara Melaka hampir 600 tahun lalu. Tun Perak pernah menjadi penghulu Kelang. Kelang pada zaman dahulu bukan merujuk pada Klang sekarang tetapi seluruh kawasan lembah persekitaran yang dilalui Sungai Klang termasuk Kuala Lumpur sekarang...
Pada zaman yang disebut secara rasmi oleh British sebagai tempoh masa pembukaan KL penghujung abad ke-19 pula Sultan Selangor ketika itu memberikan pegangan ke atas Kelang kepada Raja Abdullah seorang kerabat diraja Riau daripada susur galur keturunan Daeng Parani, kekanda kepada Daeng Chelak yang menerbitkan Sultan-sultan Selangor. Definisi lama Kelang yang meliputi seluruh laluan sungai masih terpakai, sebab itu Raja Abdullah boleh membawa orang membuka KL yang kita kenali sekarang...
Tidak lama kemudian ada orang menunjukkan saya gambar ini. Sudah lupa daripada wall FB siapa. Katanya ia diambil sekitar tahun 1910an menunjukkan kedudukan sebuah makam yang dianggap keramat di hadapan Masjid Jamek KL.
Turut ditunjukkan peta zaman itu yang dengan jelas ada menandakan satu kepuk makam sebagai "Keramat". Semoga semua maklumat ini dapat dikumpulkan dalam satu pameran berserta seminar atau wacana yang dapat mengangkat kembali keberadaan awal Melayu di Kuala Lumpur... pada ketika wajah asal dan asli tempatan kelihatan semakin terpinggir untuk memberikan laluan kepada keturunan kaum pendatang bukan Melayu dan bukan Islam atas nama harmoni, masyarakat berbilang kaum dan kemajuan menurut takrif dan kehendak yang pernah digariskan oleh penjajah Barat...
Ini adalah peta sekitar Masjid Jamek yang dipaparkan oleh program Google Map. Kelihatan nama-nama Melayu begitu terserlah dalam peta tetapi realiti sebenarnya? Wajib turun padang jalan kaki lihat keliling teliti dengan mata kepala sendiri betapa bandar raya ini sudah dikuasai bangsa-bangsa lain. Untuk mengakhiri artikel biar diulang kembali pengenalan yang berbunyi :-
Kenapa hari ini baru berlaku pengemaskinian sehingga tercapai jumlah cantik bagi setiap
blogspot? Kerana setelah membuat keputusan untuk melakukan pengemaskinian berkenaan semalam baru saya ada cukup bahan tambahan untuk
SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART). Setelah menghadiri satu majlis ilmu di Muzium Negara saya singgah di beberapa tempat terpilih di KL.
Bangunan (Building of) Sultan Abdul Samad
Tiada ulasan:
Catat Ulasan