Salam dan selamat tahun baru 2022. Adapun tadi saya telah menulis panjang lebar tentang hari ke-4 perjalanan ke Pantai Timur. Tapi entah kenapa bila dipublish ia hilang begitu sahaja. Salinan pun tak wujud padahal selalunya kalau penulisan masih dalam bentuk draft sekali pun tetap ada salinan malah dikemaskini apa yang telah ditulis secara automatik oleh blogger.com. Sesungguhnya amat susah untuk mendapatkan kembali ayat-ayat yang telah ditulis secara gerak ilham. Dan saya juga sedang amat penat kerana selepas menghadiri majlis Maulidur Rasul yang dilewatkan semalam (patutnya bermula jam 8 malam tetapi menjadi selepas jam 10 kemudian tamat selepas 12.30 tengah malam, seterusnya makan-makan dan bual-bual sehingga selepas jam 2.30 pagi, seterusnya masuk tidur di rumah kawan dekat jam 4 pagi sebelum ke Cyberjaya untuk satu majlis jam 10 pagi) selepas jam 4 petang baru sampai kembali ke rumah. Kemudian dibuat artikel-artikel sokongan di blogspot BERPETUALANG KE ACEH dan SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART) (nasib baik tak hilang). Baru dibuat artikel utama tapi sayang, apabila mahu dipaparkan jam 5.55 petang semuanya hilang.
Maka itu tidaklah ingin saya memberatkan diri dengan cuba mengingat lalu mengulangi kembali isi yang telah hilang. Saya main tulis apa yang larat keluar ya.
Artikel sebelum ini iaitu
Pantai Timur penghujung 2021 - Merentas baki banjir dan tanah runtuh di tengah Pahang diakhiri dengan tanda tanya. Setelah melalui pelbagai cabaran akibat kesan banjir dan tanah runtuh yang masih ada hari Isnin setelah hujan lebat tanpa henti Jumaat dan Sabtu apakah patut diteruskan perjalanan ke Pantai Timur atau lebih baik kembali sahaja ke rumah? Jawabannya terletak pada gambar ini dan berikutnya. Pagi Selasa 21 Disember 2021 yang boleh ditulis menjadi 21/12/21 saya mengambil gambar dalam cuaca terang...
Beginilah keadaan kereta selepas berjaya menempuh cabaran perjalanan hari Isnin.
Saya pun membasuh kereta. Nampaklah elok sedikit.
Selepas jam 11.30 baru menyambung perjalanan...
Boleh agak tak di mana atau di sekitar manakah gambar-gambar sebelum ini diambil? Di manakah saya dan keluarga sudah bermalam?
Adapun setelah mendapati masa semakin suntuk sedangkan kami masih jauh ke destinasi dan saya pula sudah amat penat memandu isteri mencadangkan agar kami kembali sahaja ke rumah. Takut banyak lagi laluan terhalang. Nanti kalau dipaksakan juga meneruskan perjalanan takut hampa perlu berpatah balik juga. Saya jawab baiklah kalau begitu. Tapi jangan terus balik. Hendak kembali ke rumah pun sudah amat jauh dan saya memang penat. Lebih baik bermalam di Kuala Pilah atau sekitar kerana sudah tidak begitu jauh dari Simpang Pelangai. Hendak kembali ke rumah pun perlu lalu Pilah kemudian Seremban, baru boleh ke Lembah Klang kemudian kembali ke rumah.
Tidak lama kemudian teringat isteri ada sepupu yang menetap di Kuala Jemapoh kira-kira 7 km sebelum Pilah. Apa kata bermalam di sana? Isteri pun menghubungi beliau. Kata sepupu boleh. Tapi elok makan malam di luar dahulu. Ini kerana beliau harus ke masjid, selepas jam 9 baru kembali ke rumah.
Ketika itu sudah sekitar jam 7 petang. Rumah beliau boleh dicapai dalam tempoh 30-45 minit. Hmm. Kena menunggu lama juga itu sepupu kembali dari masjid. Google Map pula menunjukkan ada kesesakan jalan yang memakan masa 18 minit sebelum dapat menghampiri Jemapoh. Ada pula jalan lain tanpa kesesakan tapi menuju timur ke Bandar Sri Jempol.
Saya pun membuat keputusan untuk bertukar arah. Tak jadi hendak ke Jemapoh sebaliknya elok makan malam di Sri Jempol sambil memikirkan apa yang perlu dibuat seterusnya. Mungkin boleh ke rumah kakak isteri di Felda Jelai?
Hampir ke Sri Jempol timbul rasa untuk memanjangkan perjalanan ke Bandar Muadzam Shah. Singgah satu warung untuk makan malam lalu diberitahu jalan hingga ke Kuantan elok sahaja, tidak terganggu oleh masalah banjir mahupun tanah runtuh...
Selepas makan saya merasa cukup bertenaga untuk memandu terus ke Kuantan. Sampai ke rumah ibu saudara selepas jam 12.30 tengah malam. Beliau sebenarnya sudah menunggu kedatangan kami sejak hari Sabtu. Cuma keadaan terutama selepas kereta tersangkut dalam tanah runtuh di Bukit Tinggi (rujuk kembali artikel
Pantai Timur penghujung 2021 - Cabaran akibat hujan lebat luar biasa) menyebabkan saya menyatakan besar kemungkinan kami tak dapat sampai.
Namun alhamdulillah sampai juga kami akhirnya walaupun terlewat sehari dua. Maka bermalamlah kami di rumah ibu saudara di Kuantan. Walaupun bandar raya itu dilanda banjir di beberapa tempat, kawasan perumahan beliau tak kena. Tiga gambar terawal iaitu di atas tadi diambil dari seberang rumah tersebut. Selepas itu kami meneruskan perjalanan dengan mengambil jalan pantai ke arah Terengganu.
Ternyata cuaca begitu cantik dan elok walaupun ada awan mendung dapat dilihat sejak meninggalkan Kuantan. Lihat video siaran langsung kami di Facebook menunjukkan menunjukkan keadaan tersebut. Sila klik
sini. Kami sempat bermain-main di pantai Cherating sebelum ke Kuala Dungun untuk bertemu seorang kenalan FB lalu beliau membelanja kami makan. Selepas itu bermain di pantai berdekatan. Lihat artikel-artikel berikut di
blogspot BERPETUALANG KE ACEH.
Di Kuala Dungun juga kami singgah di sebuah surau yang memiliki nama menarik. Hal ini membawa pada penulisan artikel ke-2,139 di
blogspot BERPETUALANG KE ACEH juga
SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART). Kebetulan dapat jumlah sama di kedua-dua
blogspot bagi tempat yang sama. Lihat artikel-artikel berikut :-
Dari Kuala Dungun kami mengambil jalan ke Jerangau untuk ke Kuala Berang. Masuk pula jalan ke Kampung Buluh lalu singgah di warung ini. Anak kecil saya suka menyebut "Salam dari Binjai" dengan gaya seorang DJ. Entah daripada mana dia dengar...
Menariknya ia menawarkan roti berbentuk buah binjai. Hidangan pun sedap, saya layan cecah kari kambing. Sekitar 3-4 tahun lalu saya pertama kali singgah tetapi ketika itu sedang berpuasa sunat. Tengok sahajalah isteri dan anak-anak makan sebelum menikmati sendiri hidangan yang dibungkus tetapi sudah sejuk pada waktu berbuka. Kali ini baru dapat betul-betul layan sedang panas.
Dari Kampung Buluh kami ke Pasir Nering untuk menziarahi makam pahlawan terkenal Pahang iaitu Tok Gajah.
Masuk waktu Maghrib baru sampai ke satu makam atas bukit yang memiliki makna besar dalam perjalanan dakwah dan pemerintahan keturunan.
Selepas masuk waktu Isyak sampailah kami ke makam Tok Pulau Manis, wali besar Terengganu abad ke-17 dan 18.
Sesungguhnya ziarah ini adalah asbab utama kami sekeluarga membuat perjalanan terbaru ke Pantai Timur. Alhamdulillah. Walaupun pada awalnya dilanda sejumlah cabaran sehingga hampir sahaja membatalkan sampai juga kami untuk memperbaharui wasilah kerohanian.
Ps : Tadi saya sebut tarikh hari ke-4 perjalanan ini boleh ditulis cantik menjadi 21/12/21. Lupa pula tarikh hari 1 Januari 2022 juga boleh ditulis cantik menjadi 1/1/22.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan