Manakan dapat sagu kalau tidak dipecahkan ruyungnya?
Manakan dapat mutiara yang berkerlipan jika takut menyelam ke lautan dalam.
Dalam diri setiap manusia, ada seketul daging.
Jika baik ia, maka baiklah seluruh jiwa manusia itu.
Jika buruk ia, buruklah juga manusia itu...
Seketul daging itu adalah hati,
mari kita lapangkan dada dan belajar mengIKHLASkan hati.
Perjalanan seribu batu bermula dengan satu langkah.
Marilah meneroka dunia pemikiran hamba.
Silakan

Video klip yang tertera boleh dianggap sebagai pembukaan kepada dunia pemikiran dan kesukaan hamba...







-------------------------


-------------------------



Segala yang dipaparkan menggambarkan pemikiran penulis yang turut terserap di dalam setiap penulisan buku dan artikel. Lihat Cara-cara mendapatkan buku tulisan Merah Silu @ Radzi Sapiee. Di atas adalah satu klip video selama hampir setengah jam yang merupakan demo pilot episode yang mahu digunakan untuk mencadangkan satu siri pengembaraan menyusuri sejarah Melayu Islam sekeliling Nusantara untuk siaran televisyen. Entah mengapa ia menemui masalah. Kemudian penulis diberitahu konsepnya diciplak sebuah stesyen televisyen. Lihat Kembara Sejarah Islam Nusantara : The original material...



Ini adalah klip video ulasan buku ketujuh saya "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" berserta temuramah yang dibuat siaran langsung di Selamat Pagi Malaysia, RTM1. Lihat Siaran langsung ulasan buku "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" dan temu ramah di Selamat Pagi Malaysia.



Penulis juga pernah diminta membuat pembentangan mengenai siri buku "Berpetualang ke Aceh" di Masjid Sultan Salahuddin iaitu masjid negeri Selangor di Shah Alam. Lihat Buku "Berpetualang" dan himpunan ulamak Nusantara yang diketuai ulamak Aceh


-------------------------



Siri novel "Berpetualang ke Aceh" boleh didapati dalam bentuk e-book. Masuk http://www.e-sentral.com/, klik kategori novel am dan taip perkataan "Aceh" pada kotak carian. Atau terus klik Buku 1,Buku 2 dan Buku 3.





Gambar ketika menghadiri satu majlis ilmu, diambil oleh sebuah akhbar harian. Lihat Menghiasi Kosmo Alam Melayu...



Penerbitan trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" juga membawa penulis untuk terlibat dengan banyak majlis ilmu. Rujuk kumpulan links artikel di bawah tajuk "Siri Refleksi Sejarah", pada bahagian paling bawah kiri blogspot, . Penulis juga agak aktif dalam aktiviti-aktiviti kedaulatan Melayu dan Islam, dapat menganjurkan majlis-majlis sendiri di merata Semenanjung Malaysia membawa ke luar negara di Aceh. Lihat blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


Ketika menulis perenggan ini 4 Mei 2015 penulis sedang berusaha untuk mengembangkan isi 3 buku dalam siri "Berpetualang ke Aceh" menjadi 6 buku yang akan membentuk siri baru dipanggil "Siri Pengembaraan Merah Silu". Sebuah syarikat penerbitan telah bersetuju untuk menerbitkan siri lama itu kembali dalam bentuk yang lebih segar - Setiap buku asal dipecah menjadi 2 buku baru yang ditambah maklumat, gambar dan peta berwarna-warni.Pertengahan September 2015 buku pertama siri baru pun selamat diterbitkan. Seminggu lebih kemudian penulis berpeluang bercakap tentangnya secara siaran langsung dalam televisyen lalu membawa wakil penerbit bersama. Lihat video di bawah :-






Awal tahun 2015 turut menyaksikan penulis diambil menjadi penyelidik dan hos satu siri dokumentari yang dipanggil "Daulah Melayu". Projek 13 episod sepanjang sejam setiap satu ini mahu mengenengahkan formula untuk mengembalikan kekuatan bangsa Melayu. Insyaallah projek iakan membawa penulis untuk mengembara ke merata di Malaysia dan Indonesia juga ke beberapa negara dan tempat di Eropah termasuk ke kota London, tempat penulis mengambil ijazah matematik 1991-1995. Siri dokumentari ini dijangka siap untuk tayangan televisyen dalam tempoh 2 tahun.


Thursday, January 19, 2012

Hang Tuah dan percubaan memperkecilkan sejarah orang Melayu

Keluar lagi daripada penceritaan perjalanan Medan-Banda Aceh November 2-13 juga perjalanan selatan Disember 10-18 yang membawa ke Pulau Bentan, tempat di mana Laksamana Hang Tuah dikatakan pernah membesar sebelum berpindah ke pusat kerajaan Melaka.



Tak Melayu hilang di dunia...




Assalamualaikum para pembaca yang dihormati sekalian. Hari ini 19 Januari 2012, tarikh yang ada unsur 191 (19/1/2012... lihat 911, 119 dan 191 (Hmm... Apa pula ini?)) saya terasa ingin bercakap sedikit tentang satu perkara yang menggelisahkan kita orang Melayu. Selalunya saya jarang mahu memberi komen atau bercakap tentang isu-isu semasa. Namun dalam keadaan dunia yang terasa semakin meruncing ke arah peperangan besar, dengan Iran menunggu masa untuk diserang, dengan senjata pengubah cuaca milik Amerika yang dipanggil HAARP dipercayai sedang dalam proses dibawa ke tempat tertentu untuk menimbulkan hura-hara lagi demi mengalih perhatian dunia, saya rasa harus bercakap sesuatu yang melibatkan sejarah. Kebetulan lama dahulu saya pernah menulis hal berkaitan yang masih relevan. Maka biar dikongsikan.

Kecuali mereka yang sudah buta hati, marahkan nyamuk kelambu mahu dibakarnya, masyarakat kita secara umumnya sedar bagaimana percubaan menghakis hak-hak Melayu Islam di Malaysia ini semakin galak dipelopori pihak tertentu. Dalam konteks itulah ikon kebanggaan kita, pahlawan tersohor kerajaan lama Melayu Melaka iaitu Hang Tuah diserang dengan mengatakannya berbangsa Cina. Baru ini pula seorang profesor kangkung telah membuat dakwaan di media massa bahawa Hang Tuah tidak pernah wujud kerana tidak disebut dalam rekod-rekod kerajaan Ming Cina. Walhal seperti diketahui pengkaji 'kurang akademik' seperti saya banyak rekod kerajaan Ming telah dihilangkan oleh dinasti kemudian kerana Ming itu adalah kerajaan Islam sedangkan dinasti seterusnya bukan. Dan kita sedia tahu bagaimana sejarah melibatkan Islam itu sering diperkecilkan, didalangi gerakan besar Yahudi Zionis dalam rangka kerja mereka untuk menakluki dunia, seperti digariskan dalam dokumen syaitan Protocols of the Elders of Zion.

Pada saya dakwaan bahawa Hang Tuah tidak wujud mungkin mengandungi strategi serampang dua mata oleh musuh. Bagi kami yang mengaji serba sedikit hal-hal ghaib, keberadaan sebenar Hang Tuah merangkumi banyak rahsia yang merupakan kekuatan sebenar orang Melayu. Dalam keghairahan untuk membuktikan kepada orang-orang 'akademik' seperti profesor kangkung itu mereka yang tidak sedar mungkin sanggup menggali jauh pelbagai perkara lalu didedahkan kepada umum. Dengan itu tahulah musuh akan beberapa hal strategik melibatkan bangsa kita. Dapatlah mereka menggerakkan fasa seterusnya untuk memastikan Islam tidak dapat bangkit daripada Timur seperti disabdakan Nabi Muhammad SAW untuk akhir zaman.

Strategi kedua pula adalah untuk menjatuhkan sejarah Melayu buat selama-lamanya. Kita sedia tahu bahawa sejarah akan dijadikan subjek wajib lulus untuk SPM bermula tahun 2013 dan saya faham ini dibuat agar bangsa keturunan pendatang sedar akan duduk letak perkara supaya tidak terus menuntut yang bukan-bukan sehingga menafikan hak orang Melayu sebagai penduduk asal di Malaysia seperti yang banyak berlaku semasa Pak Lah menjadi Perdana Menteri dan menantunya dapat menentukan hala tuju yang kelihatan begitu menjaga kepentingan musuh. Pada awalnya para cendekiawan bukan Melayu cuba menepis usaha untuk menjadikan sejarah subjek wajib lulus. Tetapi apabila tidak berjaya, mereka menukar taktik. Biar sejarah dijadikan subjek wajib lulus tetapi ia haruslah sejarah yang menonjolkan peranan bangsa bukan Melayu dalam membina Malaysia sambil memperkecilkan hak orang Melayu.

Kita sedia tahu bangsa bukan Melayu cuma mula dibawa berbondong-bondong masuk ke Tanah Melayu oleh Inggeris selepas Perjanjian Pangkor 1874. Apa yang tidak diceritakan, ini dilakukan untuk memecah komposisi penduduk bumi ini. Selepas perang Perak-Inggeris 1876 yang tercetus akibat pembunuhan residen pertama Inggeris di Perak J.W.W. Birch banyak bandar-bandar asal orang Melayu dihancurkan, bandar-bandar baru yang berpaksikan kaum pendatang seperti Taiping pula dibina dan dinaikkan. Hakikatnya bangsa lain ini tidak ada kepentingan untuk memajukan Tanah Melayu. Mereka bekerja keras untuk mengaut keuntungan sendiri sahaja sedangkan di negara asal mereka yang sangat sarat penduduk, mereka tidak dipandang. Tetapi dengan campur tangan dan galakan Inggeris mereka dapat maju sementara hak orang Melayu untuk maju disekat dan mereka dipinggirkan di kampung-kampung.

Sehingga tahun 1957, bangsa pendatang dan anak cucu mereka masih dikira sebagai rakyat Inggeris... sehinggalah kita diberi syarat, kalau mahu merdeka perlulah menerima mereka sebagai warga negara. Bangsa bukan Melayu ini dapat maju dan jadi kaya raya akibat hampir seabad polisi Inggeris mahu menjatuhkan orang Melayu dan Islam. Saya tak mahu bercerita panjang sehingga melibatkan apa yang berlaku pada 13 Mei 1969 juga bagaimana boleh terbitnya DEB atau Dasar Ekonomi Melayu. Pada mereka yang sedar akan keadaan sebenar orang Melayu memang patut ditolong dan diberi kelebihan terus-menerus kerana tanah ini memang asal hak kita. Inggerislah yang memanipulasikan keadaan sehingga kita jauh ketinggalan lalu perlu menerbitkan polisi tertentu untuk mencapai keseimbangan yang patut.

Sebaliknya kaum tak sedar diuntung ini merasakan duit mereka, cukai yang dibayar, sistem perniagaan mereka yang berjalan sekian lama sehingga dapat berakar-umbi di seluruh negara dan membesar melangit itulah yang kononnya memajukan negara semata. Walhal mereka mampu membuat semua itu akibat polisi Inggeris yang melebihkan mereka sambil memaksa kita terus ke belakang. Dengan infrastuktur awal yang diwujudkan penjajah bangsa bukan Melayu dapat meloncat jauh ke hadapan lalu memonopoli perniagaan dan perusahaan utama negara. Apabila ada syarikat Melayu cuba memecah monopoli mereka akan cuba menghancurkannya. Lihat sahaja kes roti Gardenia yang telah dibeli Bernas. Apabila Gardenia tidak mahu lagi membeli tepung membuat roti daripada seorang hartawan Cina beliau terus membuat jenama roti baru untuk bersaing. Sambil itu iklan dibuat dalam suratkhabar Cina agar membeli rotinya dan memboikot Gardenia atas alasan ia milik kroni (baca yang tersiratnya : kepentingan orang Melayu). Sampai begitu sekali...


Tuan-tuan dan puan-puan. Sejarah kerajaan Melayu dan kewujudan Hang Tuah menunjukkan kita sebenarnya sudah lama maju. Orang kita telah pergi ke serata dunia dan kita memang pandai berniaga, sebelum penjajahan mengubah segalanya sehingga dikatakan orang Melayu buat jarum pun tak tahu. Mengatakan Hang Tuah tidak wujud adalah usaha untuk menafikan kemampuan sebenar kita. Kalau penafian ini berjaya, seterusnya sejarah Melaka pula akan diperkecilkan. Ini dibuat supaya kurikulum sejarah dapat diolah agar bermula dengan kedatangan berbondong-bondong orang bukan Melayu selepas 1874. Hal ini sama seperti kurikulum sejarah Singapura di mana Stamford Raffles dikatakan 'menemuinya' 1824. Seolah-olah pulau itu tidak pernah diduduki orang dan sangat mundur sebelum itu. Walhal kita tahu kerajaan lama Singapura yang diperintah Sang Nila Utama wujud lebih awal sebelum kerajaan Melayu Melaka.

Ah. Tadi nak bercakap pendek sahaja tapi dah jadi panjang. Tak mengapa. Biar artikel ini disambung dengan sedutan daripada bab pembukaan buku ketiga saya "Berpetualang ke Aceh : Sirih pulang ke gagang?" (terbit November 2007), bab yang ditulis hampir 7 tahun lalu. Biar ditandakan bahagian-bahagian tertentu agar lebih mudah membacanya...



MUKADIMAH:
SEDIKIT CATATAN MENGENAI
TARIKH
DAN
PERISTIWA
YANG BERCANGGAH
Satu ketika dahulu, pertengahan bulan Rejab, semasa penulisan asal buku “Berpetualang ke Aceh” hampir separuh siap (sebelum dipecahkan kepada tiga jilid), ayah angkat Rasyid, Pak Syed pernah masuk ke bilik tempatnya menulis di pejabat mereka di Gombak bertanyakan perkembangan terbaru penulisan buku. Alhamdulillah jawab pemuda itu, sudah 50 peratus siap… Dia telah merancang untuk meletakkan 29 bab termasuk mukadimah dan penutup, kerana gerak hatinya menyuruh memilih jumlah ini. Dan ketika itu, 15 bab telah pun berjaya disiapkan.
Ayah angkatnya berpesan: “Buatlah elok-elok. Kamu tu ada pelajaran tinggi, ada standard. Jangan ikut macam aku, tulis main ikut sedap sahaja, ikut sukahati apa yang aku rasa. Aku tingkatan tiga pun tak lepas...”
Jawab Rasyid: “Alah ayah, saya tak kisah pun samada saya ada pelajaran tinggi atau tidak. Pada saya tidak ada bezanya. Sama sahaja...”
Pak Syed menegur: “Eh tak boleh begitu! Kamu ada ijazah Matematik daripada London. Kena ingat itu. Penulisan kamu mestilah lebih logik, tak boleh menulis sembarangan seperti orang sastera yang tak perlu berfikir masuk akal ataupun tidak. Setiap yang kamu tulis mesti ada backing fakta yang kuat. Mesti jaga reputation kamu sebagai graduan Matematik!”
Rasyid terdiam sejenak. Memang suatu masa dahulu dia mempunyai reputation, sedikit nama sebagai seorang wartawan sebuah akhbar harian terkemuka berbahasa Inggeris yang berpusat di ibukota. Pemuda ini telah diajar bahawa setiap penulisan, setiap rencana dan artikel mesti mempunyai sokongan fakta kukuh yang boleh dipertanggungjawabkan secara ilmiah... Kerana ia akan dibaca beratus ribu, mungkin berjuta orang manusia!
Sebagai satu-satunya wartawan tanah-air yang diketahui memiliki ijazah sarjana muda dalam bidang Matematik, anak kelahiran Muar, Johor ini juga mesti menunjukkan kebolehan yang setimpal dengan kelulusan dan taraf pemikirannya. Boleh dikatakan rata-rata wartawan lain jika mempunyai ijazah adalah di dalam bidang yang berkaitan dengan bahasa dan kesusasteraan. Kalau lain sedikit pun dalam bidang perundangan. Ramai yang tidak memiliki kelulusan tinggi kerana ini bukan keutamaan dalam bidang kewartawanan. Pendek kata, susah mahu mencari wartawan berkelulusan tinggi di dalam bidang sains apalagi Matematik, satu subjek yang paling kurang disenangi pelajar-pelajar Melayu di Malaysia.
Lagipun sejak kecil Rasyid dilatih berfikir secara logik. Latarbelakang Matematik yang memerlukan pemikiran kritis, berisi dan tajam pula memberikan pemuda itu kelebihan untuk menghuraikan sesuatu perkara sehingga ke akar umbi, di kala kebanyakan wartawan menemui jalan buntu... Atau tidak terlintas di benak fikiran mereka pun ada lagi perkara yang boleh digali mengenai sesuatu peristiwa untuk dibuat bahan berita.
Walaupun anak kelahiran Muar, Johor ini kemudiannya diletakkan ke meja sukan kerana perangainya yang suka berpakaian santai ke tempat kerja, dia mampu mengarang artikel-artikel harian yang melangkaui skop biasa liputan sukan. Lalu keadaan politik semasa, perancangan ekonomi negara dan wawasan Malaysia menuju taraf negara maju dapat dianalisa dan disatukan bersama karangan mengenai sesuatu acara sukan menjadi artikel padat yang boleh mendapat tempat di ruangan pojok pengarang.
Contohnya, di kala kebanyakan wartawan sukan sibuk membincangkan kehangatan dan kemeriahan yang bakal timbul apabila Malaysia buat pertama kalinya menjadi tuan rumah sukan lumba kereta Formula One di Sepang tahun 1999, Rasyid pula telah menganalisa kesan dan faedah acara besar ini untuk merancakkan pertumbuhan industri automobil, juga perolehan teknologi kejuruteraan tinggi demi melompatkan Malaysia menjadi negara maju seperti yang diimpikan dalam Wawasan 2020.
Di kala ramai mengkritik pembinaan litar-lumba antarabangsa Sepang yang menelan belanja hampir RM300 juta, juga kos penganjuran Malaysian Grand Prix yang memakan belanja berjuta Ringgit lagi sebagai projek gajah putih yang tidak membawa faedah, pemuda itu pula berjaya menghasilkan sebuah artikel sukan yang menyenarai serta menghuraikan kesan jangka panjang acara tersebut terhadap pertumbuhan ekonomi Malaysia, baik dari segi perkembangan industri permotoran, kesan penganjuran perlumbaan sebesar itu kepada golongan belia, juga faedahnya terhadap sektor perkhidmatan seperti perhotelan dan pelancungan. Sedangkan analisis sebegini biasanya cuma mampu dihasilkan wartawan perniagaan ataupun mereka di meja berita nasional yang jauh lebih berpengalaman.
Kelulusan Rasyid dalam bidang Matematik memberikannya sedikit kelebihan untuk melihat dan melangkaui sesuatu perkara jauh dari kebiasaan. Semuanya kerana kemampuan berfikir tinggi yang disokong latihan dalam kaedah analisis menggunakan prinsip-prinsip logik yang diterima-pakai pengajian sains. Tetapi dia tidak boleh terlalu berpegang kepada logik dalam menulis bukunya mengenai Aceh... Kerana separuh daripada perkara yang ingin diketengahkan melangkaui logik dan pemikiran akal biasa hingga ke tahap ‘gila’! Hingga ke tahap yang tidak layak disandarkan kepada mana-mana manusia yang mengaku mempunyai pendidikan tinggi apalagi di dalam bidang Sains dan Matematik. Contohnya kisah-kisah berkaitan para wali yang melibatkan perkara karamah juga beberapa cerita yang lebih senang dianggap sebagai legenda. Dan sesetengah ‘fakta’ yang dibongkar adalah dengan secara tidak sengaja, dengan mendapat ilham, mimpi serta alamat dan petunjuk menurut ‘gerak hati’.
Rasyid juga menggunakan cerita-cerita lama yang masih dipegang dan diyakini orang tertentu... Cerita-cerita yang rasanya memang tidak boleh diterima para pengkaji atau sejarahwan yang mengagung-agungkan kaedah ilmiah seperti yang disokong dokumentasi dan bahan bukti yang diterima umum. Pemuda ini ada sebab tersendiri untuk mengemukakan cerita-cerita sebegini, sekurang-kurangnya supaya ia tidak akan terkubur di telan zaman. Maka itu, hendak tidak hendak, dia terpaksa melangkaui logik akal biasa jika mahu menceritakan sejarah berkenaan bumi Aceh dan perkara berkaitan seperti yang terbuku dalam hati... Walaupun ia boleh menjejaskan kredibilitinya sebagai seorang berpelajaran tinggi yang memiliki ijazah Matematik dari London seperti diingatkan Pak Syed.



Akal logik vs. pemikiran bersumberkan ghaib


Suatu masa dahulu Rasyid juga kurang percaya terhadap perkara-perkara ghaib kerana terlalu menyanjung tinggi logik serta cara pemikiran rasional. Pemuda ini cuma mahu percaya apa yang dapat dibuktikan dengan lima pancaindera zahir, atau istilah ilmiahnya empirical science - ilmu Sains yang terbukti apabila sesuatu percubaan kajian ataupun eksperimen boleh diulang kembali dan dibuktikan hasilnya dengan konsisten di mana-mana makmal di mukabumi... Atau apa yang dapat dibahaskan di dalam dunia pemikiran mengikut hukum logik akal yang berasaskan apa yang dikenali sebagai Aristotlelian Logic, kaedah mencari kebenaran sesuatu perkara mengikut cara pemikiran ahli falsafah Yunani purba terkenal, Aristotle.
Anak Melayu jati ini pernah memandang remeh sejarah bangsa sendiri yang mengandungi banyak cerita-cerita pelik tidak masuk akal. Seperti kebanyakan anak berpendidikan Barat, Rasyid turut mempersoalkan kewujudan Hang Tuah... Apakah ia cuma satu mitos yang dicipta untuk menaikkan semangat orang Melayu yang hilang arah apabila dijajah? Sebagai orang yang kononnya telah mengkaji berbagai jenis sistem politik dan yakin terhadap sistem demokrasi, pemuda ini pernah mempersoalkan apakah relevannya sistem beraja. Lalu dia juga terperdaya dengan dakyah Barat yang mendakwa Raja-raja Melayu kononnya berasal daripada lanun yang mendapat kuasa dan takhta hanya kerana mereka kuat...
Sampai suatu masa, Allah SWT menunjukkan pemikiran logik yang amat diagung-agungkannya itu tidak sampai pun ke mana... Kepandaian akal fikiran yang pernah didewa-dewakan sehingga sanggup cuba merungkai masalah keTuhanan melalui sudut pandangan ilmu Sains peringkat tinggi seperti Quantum Physics, Theory of Relativity, Unified Field Theory dan sebagainya tidak mampu menggapai kebenaran yang hakiki. Malah bila direnung kembali apa yang telah berlaku, Rasyid bukan sahaja telah tersilap arah malah nyaris-nyaris jatuh kafir! Pemuda ini mulai sedar, banyak lagi perkara yang tidak diketahuinya... Begitu luas lagi rahsia alam ini dan kebanyakan jawaban bagi persoalan yang membelenggu fikirannya selama ini sebenarnya terletak di dalam lingkungan apa yang dipanggil sebagai perkara-perkara ghaib yang cuma boleh disusuri melalui ilmu Tasawuf dan hati yang murni. Ingat. Bukankah kita disuruh beriman dengan Allah SWT dan para malaikat? Dengan Hari Kiamat, Qada dan Qadar, Syurga dan Neraka yang kita tidak boleh nampak atau rasa dengan pancaindera zahir yang lima? Hal-hal yang tidak dapat diukur dengan akal fikiran biasa?
Apapun, ini tidak bermakna anak muda ini cuba mengetepikan logik langsung. Dalam menulis buku ini, dia cuba mengikut fakta yang diterima logik sedapat mungkin seperti yang dipersetujui secara umum oleh para pengkaji sejarah yang mana hasil kajian mereka telah diterima ramai lalu dijadikan bahan buku teks sejarah... Begitu juga sumber pengkajian yang lebih tinggi seperti thesis dan kertas-kerja sejarah peringkat universiti digunakan untuk memahami apa yang pernah berlaku di bumi Timur walaupun ia belum lagi sampai pada masyarakat umum untuk diteliti semua pihak... Cuma kita mesti ingat, fakta-fakta yang dikemukakan secara ilmiah oleh para pengkaji yang diiktiraf ramai pun tidak semestinya tepat. Sebagai manusia biasa yang tidak sempurna, mereka boleh sahaja berlaku khilaf dan membuat kesalahan yang tidak disengajakan... Kerana perkara-perkara yang dikaji melibatkan peristiwa yang telah berlaku beratus tahun dahulu, ada masanya beribu tahun sebelum dunia yang dikenali sekarang wujud...
Kadang-kadang sesuatu peristiwa itu boleh disimpulkan menggunakan akal pemikiran tinggi tetapi kurang pula bahan bukti untuk menyokong hujah. Maka adakalanya kesimpulan yang dibuat satu pihak bercanggah dengan kesimpulan pihak lain. Contohnya bilakah Sultan Ali Mughayat Shah yang diterima ramai sebagai pengasas Aceh besar yang meliputi beberapa kerajaan lain seperti Aceh lama, Daya, Pedir dan Pasai, menaiki takhta kerajaan itu? Apakah tarikh tepat yang tidak boleh lagi disanggah?
Menurut satu pihak, catatan di makam Sultan itu menunjukkan baginda mangkat 12 Zulhijah 936 Hijrah bersamaan 7 Ogos 1530 Masihi. Berdasarkan kitab Bustanus Salatin, Sultan Ali Mughayat memerintah selama 14 tahun. Maka boleh disimpulkan, baginda telah dinobatkan pada tahun 1516 Masihi (1530 tolak 14 tahun)... Tetapi ada pula kajian Barat menunjukkan baginda menjadi Sultan sejak tahun 1514 malah telah memegang tampuk kekuasaan kerajaan sejak tahun 1511 Masihi lagi!
Bagaimana pula kedudukan pusat pemerintahan Aceh yang asal? Apakah Aceh dahulukala dan negeri Lamri atau Lamuri adalah negeri yang sama? Kajian peribadi Rasyid berdasarkan bahan bacaan yang boleh diperolehi di Perpustakaan Negara serta rencana di Internet menunjukkan, dalam persoalan ini, banyak pengkaji sejarah menggunakan catatan utusan Raja Portugal ke Cina, Tome Pires yang dikatakan pernah singgah di beberapa negeri di Nusantara selepas Melaka jatuh ke tangan Portugis 1511. Apakah ini muktamad atau sekadar satu sudut pandangan?
Pires ada menyebut di pantai utara Sumatera terdapat beberapa wilayah berkerajaan iaitu Reino de Achey e Lambry, Terra de Biar, Reino de Pedir, Terra de Aeilabu, Reino de Lide, Reino de Pirada dan Reino de Pacee. Senarai ini dapat dikenali sebagai Aceh dan Lamri, Biheue, Pidie atau Pedir, Ie Leubeu, Peudada atau Pidada dan akhir sekali Pasai yang juga meliputi Perlak.
Perkataan Aceh dan Lamri yang diletakkan sebagai nama sebuah wilayah boleh ditafsirkan sebagai menunjukkan ia adalah negeri yang sama. Tetapi mengikut perspektif lain pula, ia boleh juga dikatakan sebagai dua negeri yang berlainan tetapi letaknya begitu dekat sebelah-menyebelah lalu dikira sebagai berada di dalam lingkungan wilayah yang sama. Ibarat negeri Kelantan dan Terengganu boleh disatukan sebagai wilayah Pantai Timur... Bergantung pada sudut mana kita mahu melihat sesuatu perkara. Atau mungkin juga Lamuri itu adalah sebuah kota di dalam wilayah Aceh? Atau sebaliknya, Aceh lama (sebelum muncul Aceh besar hasil penyatuan beberapa buah kerajaan kecil oleh Sultan Ali Mughayat Shah) merupakan sebuah kota di dalam negeri Lamuri? Ini tidak mustahil kerana perubahan zaman sering menyaksikan sempadan sesuatu wilayah berubah-rubah...
Perhatikan bagaimana kerajaan Melaka dahulukala diketahui meliputi seluruh Semenanjung Malaysia... Sehingga orang zaman itu memanggil seluruh Semenanjung Malaysia sebagai Semenanjung Melaka! Sebab itu kawasan perairan yang memisahkan Pulau Sumatera dengan Semenanjung dikenali sebagai Selat Melaka. Maka itu perkataan Hulu Melaka boleh sahaja merujuk kepada mana-mana wilayah yang terletak paling jauh daripada pusat pemerintahan di selatan, misalnya mukim Ulu Melaka jauh ke utara di Pulau Langkawi sekarang sedangkan Melaka yang dikenali sekarang cuma sebuah wilayah kecil di antara Negeri Sembilan dan Johor.
Mungkin perkara serupa juga berlaku di Sumatera sehingga ada pihak mengatakan Lamuri itulah Aceh dan Aceh itu Lamuri? Cuma nama-nama ini digunakan dalam zaman berbeza, sepertimana Johor Bahru itu dahulu dikenali sebagai Tanjung Puteri... Sebelum itu entah apa pula namanya? Adakah Ujung Tanah seperti yang tersebut dalam kitab-kitab lama?
Sekarang fikirkan... Jika pengkajian yang boleh dianggap ikhlas mencari kebenaran sejarah pun boleh jadi khilaf akibat terdapat berbagai sudut pandangan, apatah lagi jika ada pihak yang berkepentingan terlibat?


Sejarah boleh diubah menurut kepentingan


Realiti kehidupan dan lumrah alam menyaksikan ramai pihak sanggup berbuat apa sahaja untuk memastikan kepentingan mereka diutamakan. Demi menutup kebenaran yang haq, “fakta-fakta ilmiah” sengaja dicipta dengan penuh kreatif agar pihak yang dimusuhi dipandang serong sementara pihak berkepentingan diangkat sebagai pejuang kebenaran!
Ambil contoh satu catatan Barat (sudah lupa apakah daripada pihak Portugis, Belanda ataupun Inggeris) yang menyatakan Sultan Iskandar Muda Mahkota Alam (memerintah Aceh 1607-1636) sebagai seorang pemabuk, kaki betina dan korup. Segala sifat buruknya diceritakan dengan begitu terperinci sehingga baginda dikatakan pernah menghantar surat ke England, kalau tidak salah kepada King James meminta supaya dihantar beberapa gadis Barat yang cantik-cantik supaya baginda dapat “menurunkan” raja-raja keturunan kulit putih. Apakah catatan ini benar sedangkan semua orang Aceh tahu, baginda ialah seorang raja yang warak dan amat perihatan dalam menjaga Syariat Islam. Malah baginda sanggup menjalankan hukuman bunuh terhadap putera kandung sendiri, anak yang sepatutnya menaiki takhta Aceh kerana kesalahan berzina dengan isteri orang! Apakah ini sifat seorang kaki betina yang gilakan wanita Barat?
Lagipun, Sultan Iskandar Muda sendiri adalah seorang “Orang Putih”. Seperti sesetengah warga Aceh sehingga sekarang, baginda sebenarnya berasal daripada keturunan Arab campur Parsi yang memiliki ciri-ciri rupa-paras orang Timur Tengah seperti berhidung mancung serta berkulit bersih putih merah! Maka apalah yang hendak dihairankan tentang gadis-gadis kulit putih dari England? Di Aceh sendiri, terdapat ramai wanita cantik berkulit putih merah dengan rupa-paras “Orang Putih” yang berasal dari keturunan bangsawan Arab,Parsi juga Hindi, malah ramai pula baka terhormat yang berasal daripada keturunan anak cucu Rasulullah SAW!
Kita mesti ingat, kebanyakan pengkaji sejarah yang kononnya berpegang dengan kajian ilmiah adalah wakil pihak penjajah yang memiliki motif tertentu. Maka tidak hairanlah jika mereka sering mengagung-agungkan tamadun Barat di samping memperkecil dan memperlekehkan pencapaian orang lain termasuk orang Melayu. Hasil kajian mereka yang “lebih logik dan sistematik, mengikut kaedah-kaedah yang dipersetujui para cendekiawan” adalah berat sebelah. Lebih malang lagi apabila sudut pandangan serong Barat turut dijadikan rujukan mutlak oleh bangsa kita sendiri dalam menentukan peristiwa-peristiwa yang pernah berlaku di Nusantara!
Rasyid percaya, hasil kajian ‘ilmiah ‘ Barat banyak mengandungi unsur-unsur penipuan untuk menggelapkan sejarah warga tempatan supaya orang Melayu hilang tunjang kekuatan... Sepertimana mereka telah memburuk-burukkan orang Islam sebagai bangsa tidak bertamadun, barbarian sejak bermulanya Perang Salib merebut Baitul Maqdis lebih 1,000 tahun dahulu sedangkan tentera Islam begitu menghormati etika-etika perang seperti tidak memburu atau mengacau, apalagi membunuh orang-orang tua, wanita, kanak-kanak dan mereka yang berlindung di dalam rumah kediaman dan tempat ibadah. Begitu juga Islam digambarkan sebagai agama militan yang disebarkan melalui mata pedang. Rasulullah SAW yang amat mulia akhlaknya pula dituduh sebagai pembohong besar dan kaki perempuan kerana mempunyai ramai isteri, juga cradle snatcher (mengambil perempuan yang belum cukup umur) kerana mengahwini Siti Aishah binti Saidina Abu Bakar as-Siddiq yang baru berumur 9 tahun.
Apapun, ini kata-kata orang Barat yang ternyata musuh Islam. Bagaimana pula tentang orang Islam yang sanggup menggelapkan sejarah sendiri untuk menjatuhkan orang Islam yang lain? Bagaimana cerita tentang Khalifah Bani Umaiyah yang pertama, Muawiyah bin Abu Suffian yang dianggap dan dipercayai ramai umat Islam sebagai seorang penulis wahyu?
Walaupun ada pihak menyebutnya sebagai seorang daripada sepuluh sahabat Rasulullah SAW yang dijanjikan syurga, pihak lain pula tertanya-tanya... Bagaimana Muawiyah boleh diberi penghormatan sebegini tinggi sedangkan dia memerangi sepupu dan menantu Rasulullah SAW, Saidina Ali Karamallahuwajha, kemudian merampas takhta keKhalifahan secara tipu helah dari tangan cucu Rasulullah SAW, Saidina Hassan? Bagaimana hamba Allah yang sanggup mengupah orang untuk meracuni Saidina Hassan sehingga mati ini boleh dikira sebagai sahabat setia Nabi? Kemudian anaknya Yazid pula bertanggungjawab membunuh dan memenggal kepala cucu Rasulullah SAW yang seorang lagi, Saidina Hussein1
Tidak cukup itu, ada kisah-kisah menyebut betapa rata-rata para pemerintah Bani Umaiyah amat membenci anak cucu Nabi, para Ahlul Bait. Begitu juga sikap para pemerintah Bani Abbasiyah yang memegang takhta keKhalifahan umat Islam selama 500 tahun. Agak-agaklah, berapa banyakkah fakta sejarah yang telah digelapkan untuk menghalalkan pemerintahan mereka? Berapa banyak pula ‘fakta’ dicipta supaya zaman keKhalifahan mereka akan diagung-agungkan generasi kemudian?
Di alam Melayu sendiri, kenapa cerita tentang Sultan Melaka yang sangat terkenal kerana keberanian dan sifat warak iaitu Sultan Alauddin Riayat Shah meninggalkan Istana Melaka lalu mangkat di Pagoh tidak wujud dalam kitab Sulalatus Salatin atau Sejarah Melayu karangan Tun Sri Lanang? Kenapa kitab itu tidak menceritakan tentang Raja Iskandar masuk Islam dan mengahwini puteri Raja Pasai sedangkan ini diketahui orang-orang negeri Cina dahulukala? Mengapa pula ia meletakkan hampir kesemua Sultan-sultan Melaka sebagai beribukan anak Bendahara sedangkan ini bukan hakikatnya? Kenapa ia tidak menceritakan kehebatan kerajaan Aceh sedangkan banyak kisah-kisah kerajaan besar di Nusantara ada dinukilkan di dalamnya... Sedangkan Tun Sri Lanang sendiri pernah diketahui duduk lama di sana malah meninggal dunia di Aceh?
Tak mengapalah, tidak perlu mahu gaduh sangat tentang ini. Cuma pada Rasyid, sampai bilakah orang Melayu di sebelah sini mahu menafikan keagungan kerajaan Aceh dan pengaruhnya terhadap bumi Timur? Sedangkan keagungan kesusteraan Melayu banyak bermula dan berkembang di Aceh abad ke 17 Masihi, melalui pelbagai hasil penulisan Sheikh Hamzah Fansuri serta mereka yang sezaman dengannya.
Kajilah salasilah keSultananan Terengganu, Pahang dan Johor sekarang juga beberapa keluarga bangsawan yang berkaitan… Anda akan dapati mereka semua berasal daripada keturunan seorang Bendahara Johor bernama Tun Habib Abdul Majid atau dikenali juga dengan nama Bendahara Padang Saujana yang merupakan cicit lelaki atas lelaki, kepada seseorang yang dikenali sebagai Sayyid Al Aidrus daripada Kampung Pasir, Aceh... Melalui perkahwinannya dengan seorang puteri Sultan Aceh.
Sebab itu makam Bendahara Johor ini dan kebanyakan kaum kerabatnya di Johor iaitu Sultan-sultan Johor selepas Sultan Mahmud Mangkat Dijulang (memerintah abad ke 17 Masihi) ditanda dengan batu nesan Aceh, menunjukkan mereka memang ada titisan darah bangsawan Aceh. Nak tahu lebih lanjut lagi tentang pengaruh Aceh ke atas Semenanjung Tanah Melayu ini, bacalah bab: “Tok Pulau Manis, batu bersurat dan beberapa warisan Aceh”. Apa lagi yang mahu diragukan? Kenapa mahu dinafikan peranan bumi Serambi Mekah dalam penyebaran Islam? Bukankah ia tempat syariat Nabi Muhammad SAW berkembang-biak ke merata tempat?


Peristiwa yang direkodkan vs. cerita-cerita lisan



Pengalaman sebagai wartawan mengajar Rasyid bagaimana sesuatu peristiwa boleh diubah untuk memenuhi citarasa tertentu supaya boleh dihidangkan kepada khalayak ramai dengan tujuan mempengaruhi fikiran mereka ke arah mempercayai sesuatu perkara. Contohnya, selepas pulang daripada sebuah perhimpunan yang dianjurkan pihak tertentu, dia pernah ditanya berapa ramaikah manusia yang menghadiri perhimpunan itu...
Pemuda yang telah mempunyai banyak pengalaman menghadiri pelbagai acara besar melibatkan pelbagai peringkat dan lapisan masyarakat itupun menjawab 3,000 orang, mengikut anggaran mata kasarnya... Lalu diarahkan supaya meletakkan angka 1,000 dalam laporan berita untuk menggambarkan penyokong perhimpunan itu tidaklah seramai mana.
Pada ketika lain pula, perhimpunan yang dihadiri 3,000 orang disuruh “tingkatkan” menjadi 5,000 supaya mereka yang membaca laporan akhbar itu percaya, perhimpunan tersebut mendapat sokongan ramai. Pada pihak pengarang, ini adalah satu perkara biasa di dalam dunia kewartawanan... Sesuatu peristiwa itu boleh sahaja dilihat daripada berbagai sudut. Maka terpulanglah kepada kita untuk mengetengahkan yang mana…
Rasyid faham ada masanya suatu laporan itu perlu di”adjust”, diubah-suai demi kepentingan negara... Salah satunya supaya tidak wujud huru-hara yang boleh menakutkan pelabur luar yang telah menyuntikkan berbillion Ringgit ke dalam ekonomi Malaysia. Hakikatnya, samada kita suka atau tidak, keutuhan kewangan negara juga bergantung kepada mereka.
Keadaan ini boleh diibaratkan begini: Jika diketahui ada pengganas telah menanam bom di dalam lapangan terbang, pihak keselamatan tidak boleh membuat pengumuman “lurus bendul” mengatakan terdapat sebiji bom menunggu masa untuk meletus. Ini akan menyebabkan orang-ramai panik, lagi susah hendak memperbetulkan keadaan. Maka sebuah alasan yang “lebih lembut” akan dikemukakan untuk mengajak mereka beredar ke tempat selamat sementara pihak yang berkebolehan mencari bom.
Tetapi pemuda itu tetap percaya, jika kita betul-betul jujur, betul-betul orang Islam, maka kita tahu sudut mana yang perlu diambil, sesuai dengan agama yang menyuruh kita menyampaikan apa yang benar mengikut kadar yang sesuai. Kalau untuk kepentingan orang ramai, untuk kemaslahatan umum dia tiada masalah untuk menyembunyikan sesetengah fakta. Tetapi kalau untuk menyelamatkan individu tertentu seperti yang sering terjadi di dalam realiti, hmm... Ini memang masalah...
Apapun, hakikatnya, samada anda suka atau tidak, whether you like it or not, itulah kenyataan hidup, realiti dunia hari ini… Bukan semua manusia bersifat jujur malah zaman sekarang ini cukup susah untuk mencari orang yang sanggup mengotakan perkara yang benar. Seringkali manusia cuma mahu menaikkan orang yang disokong sehingga membelakangkan atau menjatuhkan langsung orang yang tidak disukai. Wujud pula pertimbangan politik, wang ringgit serta untung rugi menyebabkan sesuatu artikel itu boleh diwarnai secukup rasa demi menjaga periuk nasi sendiri.
Sesuatu laporan, artikel ataupun rencana yang keluar di dada akhbar seringkali diterima sebagai kebenaran tanpa banyak soal. Sampai satu masa, ia akan menjadi dokumen sejarah serta sumber rujukan generasi akan datang lalu menjadi “bukti ilmiah” kerana telah didokumentasikan mengikut garis panduan yang boleh diterima ahli sejarah.
Ramai tidak sedar, jika asas sesuatu cerita itu sudah lari daripada kebenaran, apatah lagi bila ia menjadi rujukan sejarah? Lalu cerita-cerita yang telah diwarnai pihak berkepentingan boleh diterima masyarakat umum yang tidak sedar mereka telah ditipu bulat-bulat secara “lmiah”. Tidak hairanlah nanti akan timbul cerita-cerita yang bercanggah.
Interpretasi sesuatu peristiwa siaran akhbar-akhbar rasmi yang mempunyai ramai pembaca lebih senang diterima sebagai cerita yang ‘sahih’ sedangkan pihak yang tertindas, yang ceritanya telah digelapkan pula tidak diendahkan. Mereka terpaksa “makan hati”, disisih daripada pandangan serta sokongan majoriti. Maka pihak yang tertindas cuma dapat menyatakan kebenaran sesuatu peristiwa itu kepada orang-orang yang tertentu, mungkin di kalangan keluarga dan sahabat handai terdekat.
Begitu juga yang telah berlaku dahulukala... Sementara cerita ‘rasmi’ yang dijaja pihak yang berkuasa mewarnai sesuatu peristiwa diakui sebagai fakta sejarah yang tidak boleh disanggah, kebenaran yang disimpan pihak yang terpinggir pula cuma dapat dikekalkan turun-temurun melalui lisan dan ingatan.Lalu timbullah apa yang dinamakan atau dikenali sebagai cerita-cerita lisan atau cerita orang tua-tua, cerita-cerita yang selalunya dianggap sebagai mitos ataupun legenda sahaja oleh para pengkaji sejarah yang menggunakan “kaedah-kaedah ilmiah” apalagi jika cerita itu mengandungi peristiwa-peristiwa yang tidak masuk akal...

Kesilapan berlaku kerana tidak tahu keadaan sebenar zaman

Berbalik kepada pengkajian jujur tanpa motif untuk menggelapkan sesuatu peristiwa atau menonjolkan yang lain... Kekhilafan juga boleh berlaku kerana sejak berlaku sesuatu peristiwa, telah terjadi perubahan besar geografi ataupun bentuk muka-bumi yang menyebabkan kedudukan sesuatu tempat berubah jauh daripada apa yang terdapat sekarang.
Contohnya cerita Melayu dahulukala ada menyebut Gunung Jerai pernah dikenali sebagai Pulau Serai kerana dikelilingi laut sehingga lerengnya menjadi tepian pantai. Tetapi para pengkaji “ilmiah” pula percaya mukabumi ini tidak banyak berubah seribu dua ribu tahun kebelakangan lalu menganggap timbunan kulit siput dan kerang yang pernah ditemui di lereng Gunung Jerai adalah sisa makanan orang purba... Seolah-olah mereka itu bodoh sangat, sanggup berulang-alik ke pantai yang berapa batu jauhnya semata-mata untuk menikmati makanan laut di atas gunung.
Begitu juga yang pernah berlaku di Pulau Manis, Kuala Terengganu yang terletak lebih 20km ke pendalaman. Kalau mengikut cerita-cerita lama, ia masih lagi sebuah pulau pada abad ke 17 juga awal abad ke 18... Semasa Terengganu sedang diperintah Sultan Zainal Abidin I yang pernah berguru dan menjadi menantu Wali Allah bergelar Tok Pulau Manis.
Sebab itu ada catatan lama yang diakui para sejarahwan menyatakan telah wujud sebuah kerajaan juga pelabuhan utama di Kuala Berang sekitar 700 tahun lalu. Mengikut peta dan geografi sekarang, sesebuah kapal perlu belayar 50km memudiki Sungai Terengganu sebelum sampai ke Kuala Berang. Mengapa pula perlu didirikan sebuah pelabuhan di tempat yang begitu jauh ke pendalaman? Mengapa kerajaan itu tidak berpusat di Kemaman atau mana-mana kawasan pantai sekarang?
Atas kesedaran inilah sebuah bab telah ditulis semata-mata untuk memberi sedikit keterangan kenapa boleh terjadi percanggahan dalam tarikh atau cerita mengenai sesuatu peristiwa. Jika para pengkaji sejarah yang amat terpelajar dalam bidang mereka, ada sokongan fakta-fakta “ilmiah” yang tidak boleh disanggah pun boleh bercanggah sesama sendiri dalam memperkatakan sesuatu peristiwa dahulukala, apakan lagi kita yang cuma mampu menumpang hasil kajian mereka?
Radzi Sapiee
21 Oktober 2005 bersamaan 17 Ramadhan (Nuzul Al-Quran) 1426,
Ampang, Kuala Lumpur.



10 comments:

helmy said...

salam tuan,saya cuma nak bertanya apa pendapat tuan tentang golongan yang menyatakan tidak perlu kita mengkaji sejarah melayu secara mendalam dan berbangga dengan sejarah melayu (mungkin bangsa melayu sendiri) kerana kita sepatutnya berbangga menjadi umat Islam.. menjadi umat Islam adalah lebih penting dari jadi bangsa melayu sebab semua bangsa itu sama sahaja. apa komen tuan?

Radzi Sapiee said...

Wassalam. Pada saya orang itu sudah tertipu dengan permainan politik musuh. Sesungguhnya walaupun Nabi Muhammad SAW itu membawa Islam untuk manusia sejagat baginda sendiri mengutamakan bangsa Arab berbanding bangsa lain, kaum Quraish berbanding kabilah lain dan Bani Hashim berbanding pecahan suku kaum Quraish yang lain. Baginda diketahui ada menyebut tentang salasilah baginda yang mana moyang2 baginda adalah para pemuka dan tokoh2 Arab sampai ke Nabi Ismail bin Nabi Ibrahim. Sahabat akrab baginda dan khalifah pertama Islam iaitu Saidina Abu Bakar pula diketahui sebagai seorang pakar nasab.

Tanpa pemahaman tentang asal-usul kita boleh jadi ibarat pokok tanpa akar lalu muda dicabut dan tercabut. Maka itu perlu kita tahu bab kaum dan bangsa ini kerana ia merupakan pengembangan daripada konsep keluarga - bukankah setiap kita bersambung dengan keluarga, keluarga bersambung dengan saudara mara dan saudara mara pula apabila dikaji lebih jauh sehingga banyak generasi ke atas membentuk sesuatu kaum? Yang dilarang lalu disebut asobiyah itu adalah orang yang terlalu berbangga dengan kaum atau bangsanya sehingga sanggup berlaku zalim dan menafikan hak orang lain.

Anonymous said...

salam.. sbuah kuapasan yg begitu mendalam.. sy terkilan dgn ramai pemuda melayu kini yg hanya percaya membuta tuli tanpa pengkajian teliti ttg sejarah.. sejarah bersifat subjektif kerana trlalu byk percanggahan antara sumber2 sejarah spt lisan, bertulis, arca artifak dan sebagainya krn kita tidak ada menyaksikan peristiwa itu sndr.. oleh sbb itu sumber2 yg trdekat ini lah yg dikaji dan di kupas sehingga timbul percanggahan antara sumber sejarah.. oleh sbb itu sy rs kn artikel yg saudara tulis ini menepati smua jawapan yg kepada smua persoalan yg berada di dalam benak hati yg telah lama trpendam.. sy mengucapkan byk2 terima kasih..

helmy said...

saya berasa agak terkilan apabila ada golongan politik yang telah mengeluarkan kenyataan bahawa orang2 yang melebihkan bangsa sendiri bersifat perkauman sedangkan sikap perkauman ini memang wujud dalam setiap kaum.. katanya lagi sikap seperti ini akan membawa kemunduran pemikiran dan sosial kaum tersebut, tapi saya lihat satu kaum itu yang kuat perkaumannya telah berjaya dan hampir berjaya menguasai ekonomi negara.. jadi kenyataan itu tidak tepat sama sekali, orang melayu diminta untuk tidak bersikap perkauman dan lebih terbuka sedangkan kaum yang lain masih menebal dengan sikap perkaumannya.. adakah adil bagi orang2 melayu di negara ini?

Radzi Sapiee said...

Anon 9:01. Kalau anda suka apa yang saya kupas maka sampaikanlah kepada kawan2 dan kenalan. Ya, memang sejarah boleh jadi subjektif kerana ia berlaku pada masa lalu dan kita tidak menyaksikannya. Alangkan peristiwa yang berlaku di hadapan mata pun boleh dilihat dalam konteks yang berlainan oleh lain orang inikan lagi peristiwa lampau. Namun kita boleh mengurangkan percanggahan jika jujur hendak mencari kebenaran dan sudi bertukar pandangan dengan hati lapang. Sebaliknya jika kita mencari sejarah untuk memenangkan satu pihak atau kepentingan semakin banyak kecelaruanlah yang akan muncul nanti akibat sentiasa hendak menegakkan benang basah.

Helmy, puak2 begitu cakap tak serupa bikin. Apabila kita membela kaum sendiri kita dikatakan perkauman. Apabila mereka membela kaum sendiri itu dikatakan keadilan dan hak asasi manusia sejagat. Maka jangan kita tertipu sehingga sentiasa menari mengikut muzik yang dialunkan musuh. Yang penting kita sedar dan cuba tanamkan kesedaran itu kepada sebanyak mungkin kenalan.

Pepatah orang Melayu jangan sampai kera di hutan disusukan, anak dikendung kelaparan. Dalam Islam mengutamakan kaum kerabat dan keluarga sendiri lebih afdal sampai disebut sebaik2 sedekah atau pemberian adalah kepada kaum keluarga sendiri kemudian baru orang lain. Sudah saya sebut dalam komen sebelum ini bahawa keluarga dan saudara mara bila dibesarkan lingkungannya adalah meliputi KAUM kita. Misalnya kaum Bani Israel itu bukankah menunjukkan semua mereka yang berketurunan Nabi Yaakob lalu berkongsi satu moyang? Bodoh dan jahil sungguh kalau kita merasakan diri kita berperikemanusiaan dengan memberi orang luar makan, sedangkan sanak saudara kita sebelah rumah pula kebuluran apalagi jika semata2 disebabkan fahaman politik yang berbeza lagi dangkal...

Anonymous said...

Menurut Andaya (2002), Hang Tuah, Hang Jebat dan Hang Kasturi adalah pemimpin ulung kaum Orang Asli. Kekuasaan Orang Asli dalam pemerintahan Melaka serta kerajaan-kerajaan melayu yang lain mengalami kemerosotan dengan kematian ketiga-tiga tokoh ini. Pendapat ini dipetik dari Pagan Races of the Malay Peninsula, Macmillan, London 1906 karangan Skeat, W.William and C.O. Blagden.

Andaya juga memetik pendapat Juli Edo, seorang ahli antropologi dari etnik Semai yang mengatakan bahawa Hang Tuah dan Hang Jebat adalah Orang Asli. Hang Tuah ialah Orang jakun (Windstedt, 1935). Hang Tuah dan keluarganya berpindah ke Hulu Perak selepas kematian Hang Jebat.

Syeikh Kerutuk said...

Saya bersependapat seperti apa yang ditulis oleh Abg Radzi di sini.

Sebagai anak Melayu miskin harta tetapi kaya dengan sejarah, saya amat dengan kecewa dengan pihak-pihak yang bertanggung jawab. Sanggup membiarkan sejarah bangsa dinilai semula demi kepentingan peribadi yang sempit. Terlalu sempit!!!
Suatu hari jika keadaan ini dibiar berlarutan, maka akan termakbullah agenda penjajah selama ini yang mahukan bangsa Melayu Nusantara ini lumpuh. Mereka tiada punya hak lagi ke atas negeri sendiri. Semuanya pendatang atau paling tinggi kelasnya pun adalah sebagai kaum asli yang tiada tamaddun. Bumi Malaysia ini adalah 'anugerah alam' yang sesiapa sahaja layak menikmati kekayaan sama rata. Semua bangsa yang wujud selepas kedatangan Inggeris, Belanda dan Portugis adalah mempunyai hak yang sama... 1Malaysia kita berebut kekayaan, siapa yang ketinggalan, tentulah itu yang dinanti-nantikan oleh mereka.

Anonymous said...

Assallamuallaikum wrwt,
Para Waris , Para Sahabat dan Ahli Bait, Assallamuallaikum warahmatullah Hiwabarakaattuh Rajilul Ghaib dari Alam Daik dan Alam Ghaid di Daratan, Sejarah yanng berlalu telah di hukum oleh Allah SWT kerana kesalahan dan kesilapan atas diri yang dipertanggungjawap ke atas mereka pada zaman mereka, Maka kita diberada di era akhir zaman, PERMOHONAN DUNIA BARU diluluskan oleh Allah SWt kerana MANUSIA AKHIR ZAMAN TERBAHAGI KEPADA DUA GULUNGAN IAITU GULUNGAN MANUSIA INSANI DAN GULUNGAN MANUSIA HAIWANI, RAJA IBLIS menuntut HAK NYA IAITU MEMBAWA SEBERAPA RAMAI PENGIKUT NYA UNTUK BERSAMA SAMA MENGHUNI NERAKA, Apa daya kita manusia kerdil untuk menterjemahkan nya kerana HANYA SESUKU GULUNGAN MANUSIA MASUK SYURGA DAN TIGA SUKU ADALAH AHLI NERAKA, komen hamba lawat FOTOPAGES SEJARAH JELEBU AHLI JAWATANKUASA SEJERAH JELEBU, Wassallanuallaikum wrwt

Anonymous said...

Terima Kasih tuan.. Tuan telah membuka minda kami.. kami tau Sejarah Dunia adalah ciptaan dan tipu daya penjajah termasuk sejarah Malysia.. tetapai kami tak tau..apakah sejarah yang sebenar..
sangat sedih.. melihat org hari ini menghina melayu..tanpa tau hujung pangkalnya.. dan juga ada yang memperjuangkan melayu.. tetapi bukan lah melayu pada maksud yang asal.. perjuangan melayu yang telah di palsukan..
masih belum terlambat untuk tau.. hakikat sebenarnya.. terima kasih sekali lagi tuan... Semoga Allah memberkati usaha Tuan..

Anonymous said...

nk tahu sejarah belajar dgn guru agama. bukan buku buku kerajaan umno. misi umno ialah menipu bapak kau... mak kau... kau dan semua keturunan kau.

ilmu kau tidak berguna jika bangsa yg kau perjuangkan bukan Islam. Kau islam? maka naiklah martabat bangsa kau.