Ternyata di Sikh tidak ada hotel Cina murah yang boleh disewa pada kadar sekitar RM20 satu malam. Yang ada cuma rest house dengan kadar sewa RM60-RM70 (menurut kata orang lah, saya pun tak singgah tapi saya pasti begitulah kadarnya. Nak check sendiri, perlu berjalan kaki jauh lagi)... Maka, mahu tak mahu saya harus mencari masjid juga...
Walaupun memang saya biasa tidur masjid ketika mengembara, ada kalanya saya begitu kepenatan dan tidak mahu diganggu kerana kalau tidur di masjid, saya kena bangun seawal jam 5 pagi. Ini kerana siak, bilal atau pembantu masjid datang awal kerana perlu bersedia untuk solat berjemaah Subuh... Lainlah di hotel, sukahati nak bangun pukul berapa.
Adapun masjid itu terletak di tepi jalan utama menghala ke beberapa tempat termasuk Tasik Pedu... Maka poster itu boleh dilihat oleh ramai orang.
Melihatkan sebuah poster di tepi kolam wudhuk masjid mengatakan "merokok adalah haram", teringat usaha saya sendiri untuk berhenti rokok. Cerita susah-payahnya pernah saya nukilkan dalam sebuah forum lalu dikumpulkan bahagian yang relevan untuk dijadikan satu artikel dalam blogspot ini Disember lalu... Tajuknya ialah Bukan senang woo nak berhenti rokok!
Untuk makluman, setakat ini saya masih bertahan tidak merokok walaupun senafas setelah usaha berhenti serta-merta dimulakan sejak Ramadhan lalu. Tetapi saya masih tidak berani mengaku berjaya berhenti merokok kerana ada ketikanya saya masih terasa mahu menarik senafas dua asap rokok setakat untuk memuaskan rasa gian yang kadangkala muncul menganggu. Maklumlah hati kita ini boleh dibolak-balikkan Tuhan begitu sahaja...
Cukuplah kita berusaha sebaik mungkin dan mengharap agar Allah merestui usaha kita. Kalau kita berbangga kerana berjaya melawan godaan berhenti rokok, mungkin Tuhan akan marah lalu menimbulkan rasa gian yang tak terlawan... Mungkin sebagai peringatan bahawa kita ini cuma makhluk yang lemah. Jangan pandai-pandai mengaku boleh berbuat itu dan ini atas kekuatan diri sendiri...
Ingat! Segala-galanya berlaku atas rahmat Nya jua... Begitu juga kita mampu bersolat kerana Allah memberi kita Qudrat dan Iradat untuk bersolat. Kalau tidak, mungkin kita menjadi lemah badan untuk bersolat atau badan kita kuat tetapi kita dilalaikan. Masyaallah!
Ini pula adalah gambar yang diambil sebelum saya meninggalkan pekan Sikh. Oh... Sebelum itu, saya ke Internet Cafe lagi untuk melihat perkembangan terbaru di dunia siber. Sempat menggantung poster promosi BKA di hadapan stesyen bas Sikh seperti yang terpapar di bawah... :]
Tiada ulasan:
Catat Ulasan