Manakan dapat sagu kalau tidak dipecahkan ruyungnya?
Manakan dapat mutiara yang berkerlipan jika takut menyelam ke lautan dalam.
Dalam diri setiap manusia, ada seketul daging.
Jika baik ia, maka baiklah seluruh jiwa manusia itu.
Jika buruk ia, buruklah juga manusia itu...
Seketul daging itu adalah hati,
mari kita lapangkan dada dan belajar mengIKHLASkan hati.
Perjalanan seribu batu bermula dengan satu langkah.
Marilah meneroka dunia pemikiran hamba.
Silakan

Video klip yang tertera boleh dianggap sebagai pembukaan kepada dunia pemikiran dan kesukaan hamba...







-------------------------


-------------------------



Segala yang dipaparkan menggambarkan pemikiran penulis yang turut terserap di dalam setiap penulisan buku dan artikel. Lihat Cara-cara mendapatkan buku tulisan Merah Silu @ Radzi Sapiee. Di atas adalah satu klip video selama hampir setengah jam yang merupakan demo pilot episode yang mahu digunakan untuk mencadangkan satu siri pengembaraan menyusuri sejarah Melayu Islam sekeliling Nusantara untuk siaran televisyen. Entah mengapa ia menemui masalah. Kemudian penulis diberitahu konsepnya diciplak sebuah stesyen televisyen. Lihat Kembara Sejarah Islam Nusantara : The original material...



Ini adalah klip video ulasan buku ketujuh saya "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" berserta temuramah yang dibuat siaran langsung di Selamat Pagi Malaysia, RTM1. Lihat Siaran langsung ulasan buku "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" dan temu ramah di Selamat Pagi Malaysia.



Penulis juga pernah diminta membuat pembentangan mengenai siri buku "Berpetualang ke Aceh" di Masjid Sultan Salahuddin iaitu masjid negeri Selangor di Shah Alam. Lihat Buku "Berpetualang" dan himpunan ulamak Nusantara yang diketuai ulamak Aceh


-------------------------



Siri novel "Berpetualang ke Aceh" boleh didapati dalam bentuk e-book. Masuk http://www.e-sentral.com/, klik kategori novel am dan taip perkataan "Aceh" pada kotak carian. Atau terus klik Buku 1,Buku 2 dan Buku 3.





Gambar ketika menghadiri satu majlis ilmu, diambil oleh sebuah akhbar harian. Lihat Menghiasi Kosmo Alam Melayu...



Penerbitan trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" juga membawa penulis untuk terlibat dengan banyak majlis ilmu. Rujuk kumpulan links artikel di bawah tajuk "Siri Refleksi Sejarah", pada bahagian paling bawah kiri blogspot, . Penulis juga agak aktif dalam aktiviti-aktiviti kedaulatan Melayu dan Islam, dapat menganjurkan majlis-majlis sendiri di merata Semenanjung Malaysia membawa ke luar negara di Aceh. Lihat blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


Ketika menulis perenggan ini 4 Mei 2015 penulis sedang berusaha untuk mengembangkan isi 3 buku dalam siri "Berpetualang ke Aceh" menjadi 6 buku yang akan membentuk siri baru dipanggil "Siri Pengembaraan Merah Silu". Sebuah syarikat penerbitan telah bersetuju untuk menerbitkan siri lama itu kembali dalam bentuk yang lebih segar - Setiap buku asal dipecah menjadi 2 buku baru yang ditambah maklumat, gambar dan peta berwarna-warni.Pertengahan September 2015 buku pertama siri baru pun selamat diterbitkan. Seminggu lebih kemudian penulis berpeluang bercakap tentangnya secara siaran langsung dalam televisyen lalu membawa wakil penerbit bersama. Lihat video di bawah :-





Awal tahun 2015 turut menyaksikan penulis diambil menjadi penyelidik dan hos satu siri dokumentari yang dipanggil "Daulah Melayu". Projek 13 episod sepanjang sejam setiap satu ini mahu mengenengahkan formula untuk mengembalikan kekuatan bangsa Melayu. Insyaallah projek iakan membawa penulis untuk mengembara ke merata di Malaysia dan Indonesia juga ke beberapa negara dan tempat di Eropah termasuk ke kota London, tempat penulis mengambil ijazah matematik 1991-1995. Siri dokumentari ini dijangka siap untuk tayangan televisyen dalam tempoh 2 tahun.


Pada 13 Mei 2023 buku ke 13 + 1 penulis (pertama setelah yang ke-13 terbit tahun 2019 lalu mula memberikan tumpuan pada pengajian pascasiswazah di ISTAC iaitu Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam di Bukit Tunku, Kuala Lumpur), Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin & Orang Kaya Arsyad telah dilancarkan oleh sejarawan ulung negara, Profesor Emeritus Datuk Dr Abdullah Zakaria Ghazali di rumah penulis. Lihat Majlis pelancaran buku dan rumah terbuka raya 2023 - Melestarikan semangat perjuangan. Beliau yang bertanggungjawab memberikan kata-kata aluan dalam buku turut menjadi pembicara dalam diskusi yang diadakan di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2023 (berlangsung 26 Mei hingga 4 Jun). Lihat Bicara buku Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin di PBAKL 2023. Diskusi ini terakam dalam video atas diikuti video bawah...



Selasa, September 20, 2016

Sekitar acara ke-17 HIKMAH di Seremban 17 September 2016

Keluar lagi sekali daripada penceritaan perjalanan Pantai Timur. Ada sebab dan corak tertentu mahu dibentuk. Nanti saya beritahu...


Pada penghujung artikel Menjejak tanah perkuburan lama di Kampung Chohong yang dipersembahkan Jumaat lalu, artikel pertama yang memecahkan rentak penceritaan Pantai Timur saya ada memberitahu bahawa petang itui saya dan keluarga harus bertolak ke Seremban, Negeri Sembilan untuk menganjurkan acara ke-17 HIKMAH pada hari Sabtu 17 Sept bersamaan 15 Zulhijjah. Kini acara sudah selamat diadakan ingin saya berkongsi ringkasan cerita tentangnya di sini...



Walaupun acara dimulakan lebih 2 jam lewat berbanding apa yang dirancang alhamdulillah ia tetap berjalan lancar lalu perkongsian ilmu yang bermanfaat pun dilakukan seperti pada acara-acara HIKMAH yang terdahulu.





Walaupun jumlah yang datang kali ini cuma lebih sedikit daripada 50 orang, kemeriahan tetap terasa,


Selain mahu berkongsi ilmu kami mahu bersilaturrahim bersatu hati untuk satu tujuan - berjuang demi kedaulatan Melayu dan Islam akhir zaman...


Anak-anak turut dibawa dalam suasana penuh kekeluargaan.


Tahlil diadakan sempena musim Haji juga mengenangkan mereka yang telah pergi.


Insyaallah selepas ini acara-acara HIKMAH akan lebih meriah menurut keadaan. Tunggu sahaja pengumuman. Dijangka sebelum tamat tahun 2016 akan diadakan satu di Kuala Lumpur dalam bulan Muharram diikuti penutup tahun di Bukit Tinggi, Bentong, Pahang, dalam musim sambutan Maulidur Rasul. Untuk tahun 2017 pula ada permintaan agar acara diadakan di sekitar Kota Bahru atau Tumpat di Kelantan juga di Pulau Manis, Terengganu dan Johor Lama, Kota Tinggi, Johor. Sementara itu baca cerita-cerita tentang HIKMAH Seremban yang telah dikongsikan dalam blogspot ...







Isnin, September 19, 2016

Beruzlah ke Pantai Timur - Mencari piramid Melayu

Selepas keluar daripada rentak melalui artikel Menjejak tanah perkuburan lama di Kampung Chohong Jumaat lalu biar kita berbalik semula pada cerita perjalanan di Pantai Timur. Bersambung daripada artikel Beruzlah ke Pantai Timur - Sanad semutar dan ilmu keris/besi juga Masjid Brunei dan Tok Kenali...


Hampir tengah hari Jumaat 2 September 2016. Setelah berada 3 hari 3 malam di Madrasah Ahbabul Mustafa untuk mengutip mutiara-mutiara ilmu daripada  Syaikhuna Abuya Abu Aswad bin Yah Al Kubra sampailah masa untuk kami meninggalkan madrasah. Ketika itu tinggal seorang sahaja lagi antara kami bersama saya dan sahabat yang mula-mula datang satu kereta bersama 2 orang anaknya. Lain-lain sudah kembali lebih awal. Sambil kereta keluar meninggalkan madrasah saya membelek-belek paspot antarabangsa yang dibawa bersama berserta sebuah kitab yang mengandungi hizib-hizib dan doa Imam Abul Hassan as-Syadzili.


Asalnya memang ada rancangan hendak menyelit sebentar masuk ke selatan Thailand, tu sebab bawa paspot. Tapi ternyata tak sempat kerana program kami sepanjang berada di madrasah agak padat. Sabtu 3 September pula ada majlis perlu dihadiri di Kuala Terengganu. Baiklah mula mengorak langkah menghala ke sana. Kelihatan pemandangan pasar jalanan ketika lalu di Wakaf Baru...


Seberang Sungai Kelantan menuju ke bandar raya Kota Bahru...





Singgah di Pasar Khadijah.


Kalau dah sampai sini saya mesti cari jering rebus cicah kelapa...


Dah puas berjalan di Kota Bahru kami keluar dengan mengambil laluan ke Kubang Kerian. Terlihat masjid besar ini teringat saya pernah berpeluang memberikan ceramah sejarah di dewan utama solatnya. Lihat artikel lama Kelantan-Langkawi-Perak hujung tahun - Kedai Mulong, Tok Kenali dan ceramah di masjid sultan diikuti Video klip ceramah di Masjid Sultan Ismail Petra, Kubang Kerian 8 Dis.



Yang ini pula tak ingat di mana. Yang ingat dalam perjalanan menuju ke Kandis, Bachok.


Singgah melawat kawan di Akademi Nik Rashiddin.


Di situ pihak saya pernah mengadakan acara lebih 3 tahun lalu. Lihat artikel Acara keempat HIKMAH di Akademi Nik Rashiddin, Kandis, Bachok 16 Mac 2013 di blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH). Sejak itu pemilik tempat menjadi kawan kepada saya dan isteri.


Perjalanan diteruskan dengan mengambil jalan pantai sehingga ke Kuala Terengganu. Kelihatan dalam gambar pemandangan ketika menyeberangi sungai di Kuala Besut. Lihat artikel The coastal route from Kelantan to Terengganu di blogspot BERPETUALANG KE ACEH.
.


Tujuan laluan pantai diambil adalah untuk mencari bukit berbentuk piramid yang katanya wujud di suatu tempat antara Kuala Besut dengan Kuala Terengganu. Sampai di Lembah Bidong, Setiu kelihatan bukit agak menonjol yang dipanggil Bukit Bidong. Hampir-hampir ada bentuk seperti piramid tetapi tidak cukup syarat. Pada saya suatu bukit itu harus kelihatan menajam dan sekata ke atas, bila diteliti daripada pelbagai sudut boleh kelihatan ia seperti terletak di atas tapak empat segi sama sebelum ia boleh dikatakan betul-betul berbentuk piramid.


Pencarian dibuat kerana ada pihak-pihak yang mewar-warkan gambar seperti di atas, Nampak bukit ke kanan itu? Katanya memang berbentuk sebegitu, sebab itu dipanggil Bukit Bucu. Cuba Google perkataan "piramid Bukit Bucu".


Bila dilihat dalam peta termasuk melalui Google Map memang ada tempat bernama Bukit Bucu di Terengganu. Letaknya di kawasan Batu Rakit kira-kira 20 km ke utara Kuala Terengganu. Malah ada cerita tempatan menyebut tentang seorang wali Allah yang dikenali sebagai Habib Bukit Bucu. Tetapi apabila sampai ke sana tak jumpa pula mana-mana bukit berbentuk piramid.


Kami malah berlegar-legar agak lama dalam kawasan yang memang ditandakan sebagai Bukit Bucu. Bukan sahaja tak nampak bukit seperti itu, apabila ditanya penduduk-penduduk tempatan termasuk mereka yang dilahirkan lebih 40 tahun lalu kata mereka, seingat mereka tidak pernah ada bukit seperti piramid di Bukit Bucu itu. Saya tak puas hati lalu berlegar-legar lebih jauh untuk mengelilingi kawasan. Masih tak nampak apa-apa bukit berbentuk piramid. Atau apakah ia pernah wujud tetapi telah dirobohkan? Kalau begitu bukankah patut dinyatakan pada cerita-cerita yang mengiringi gambar-gambar yang membawa dakwaan yang berdegar-degar?





Akhirnya kami terpaksa akur dengan waktu dan perubahan siang ke malam lalu meninggalkan kawasan itu untuk masuk ke bandar raya Kuala Terengganu. Apakah mata kami sahaja yang tidak nampak bukit berbentuk piramid di Bukit Bucu? Kalau begitu kenapa pula orang-orang tempatan sendiri tidak pernah melihatnya?


Dan lagi, kalau benar memang ada bukit yang betul-betul berbentuk piramid di Bukit Bucu tentu ramai sudah tahu lalu mudah kami mencarinya. Ini tidak. Yang ada cuma cerita-cerita atas talian (on-line) di Intenet dengan gambar-gambar yang didakwa menunjukkan bukit tersebut. Sedangkan apabila diselidik lebih mendalam ramai yang sibuk bercerita itu tidak pernah pun berusaha untuk turun padang melihat dengan mata kepala sendiri apakah benar wujud bukit sebegitu rupa di Terengganu? Yang paling dekat berbentuk piramid adalah Bukit Bidong di Setiu. Itupun apabila dilihat betul-betul tak cukup syarat untuk dikatakan piramid kerana ada bahagian berlengkok, tidak betul-betul menajam ke atas. Kalau begitu apakah kebenarannya?

Sebetulnya saya sudah lama melihat perkara ini, sejak bertahun-tahun lamanya. Pengalaman mula berjinak melalui forum-forum di Intenet sejak tahun 2006 menunjukkan sungguh ramai yang suka sembang lebat, tapi pengalaman sebenar di dunia nyata kurang atau tiada langsung. Mereka boleh bercerita mengorak rancangan untuk mendaki suatu gunung selama berbulan-bulan malah bertahun tetapi tetap tak sampai-sampai. Mereka cuma seronok bercerita sambil berteori bagaimanakah keadaan laluan yang akan diambil (konon), apakah rintangan yang bakal dihadapi dan sebagainya lalu mencipta cara untuk mengatasi...

Lebih ramai pula suka cerita-cerita misteri misalnya tentang piramid Melayu di negeri ini di negeri itu. Tapi seorang pun tak pernah lihat dengan mata kepala sendiri apatah lagi hendak meneliti jika benarkah suatu bukit itu berbentuk piramid? Atau ia cuma kelihatan begitu bila dipandang daripada hadapan atau pada sudut-sudut tertentu sahaja... bila dilihat daripada sudut lain dah tak cukup syarat untuk dikatakan berbentuk piramid. Sedangkan kalau benar berbentuk piramid sekali pun kita harus membawa penyelidikan ke peringkat seterusnya, harus membongkar tanah suatu bukit sehingga ternyata ada binaan buatan manusia di dalam bukit.

Ini tidak. Yang keluar banyak cerita tahyul, Konon ada orang tahu piramid misteri dijaga tentera dan sebagainya di lokasi rahsia, ada sumber kuasa misteri berteknologi tinggi yang tak terjangkau dek akal manusia biasa. Tapi tu le. Cerita aje lebih. Gambar-gambar atau buktinya mana? Rahsia? Itu sebab tak boleh tunjuk? Kalau dah rahsia kenapa pula cerita lebih-lebih kat Internet? Ke nak menggambarkan diri itu penting, kononnya tahu segala macam rahsia yang orang biasa tak boleh dapat tahu atau macamana?

Saya sudah tunjukkan satu contoh gambar yang dikatakan adalah piramid di Bukit Bucu, Terengganu. Bila save ke dalam komputer didapati nama fail pun adalah bukitbucu.jpg, tapi saya dah ubah, save as jadi bukitbucu(katanyale),jpg. Jika gambar-gambar seperti ini diwar-warkan ke merata tempat sehingga ramai yang percaya tapi sebenarnya tak wujud pun bukit sebegitu di tempat tersebut, apakah maknanya ini? Pada saya, maknanya adalah kebanyakan kajian atas talian, melalui Internet sebenarnya tidak boleh dipercayai selagi ia tidak disahkan dengan mata kepala sendiri.

Selagi tiada yang turun padang menyelidik apakah ia hal sebenar atau setakat cerita yang ditokok-tambah, letak pula gambar Photoshop entah daripada mana selagi itu ia cuma cerita dongeng taraf budak-budak yang perasan bagus. Beginilah kualiti sebenar penyelidikan atas talian kalau tidak disokong pemerhatian atau pengesahan dengan cara turun padang melihat dengan mata kepala sendiri, sanggup mengambil risiko menggadaikan nyawa kalau perlu untuk meneroka sesuatu kawasan dengan cukup teliti. Oleh itu, mereka yang merasakan dah cukup bagus tahu segala benda dengan cara cukup baca buku itu buku ini, jurnal itu jurnal ini apatah lagi kisah-kisah yang boleh diwar-warkan oleh sesiapa sahaja di Internet insaflah akan kekurangan diri tu. Sedarlah... setakat pandai mengupas cerita dan data di Internet tidak akan sesekali menjadikan anda penggerak mahupun penyelidik sebenar. 

Anda cuma boleh jadi jaguh dalam kalangan budak-budak yang sama-sama tak matang, cakap berdegar-degar macam boleh bersilat terbang tapi hakikat sebenarnya? Macam budak nerd mengaku macho dan handsome macam Brad Pitt. Macam minah tudung labuh orang tak pandang pun di sekolah kerana memang tidak pernah terserlah. Tapi disebabkan zaman Internet memberi peluang untuk mengelabui mata umum, mereka cuba mencipta imej seolah-olah diri mereka itu cantik cun melecun macam Angelina Jolie di dunia nyata. Tu yang tak berani tunjuk muka sebenar tapi masih sibuk berkokok mengangkat diri sebagai jaguh penyelamat umat Melayu sejagat. Cukup.


Jumaat, September 16, 2016

Menjejak tanah perkuburan lama di Kampung Chohong

Salam pagi Jumaat. Sempena hari ini hari Malaysia 16 September biar pembaca dibawa keluar sebentar daripada cerita-cerita perjalanan di Pantai Timur. Disuakan di bawah satu berita menarik yang muncul di dada akhbar kurang sebulan lalu. Yang disuakan adalah berita versi Internet yang boleh dicapai melalui pautan sini...



------------------


Acuan batu nisan unik ditemui di Kampung Chohong

NOOR AZURIN MOHD SHARIF
24 OGOS 2016


Acuan batu nisan unik ditemui di Kampung Chohong Mohd Nasruddin (tengah) ketika meninjau kubur-kubur lama di Kampung Chohong...


MELAKA - Penemuan beberapa batu nisan berbentuk belimbing di Kampung Chohong, Jasin, awal bulan ini, dipercayai bukan saja satu-satunya Malaysia, malah seluruh nusantara setakat ini.

Pengerusi Persatuan Warisan Malaysia (Warisan) negeri, Drs Nasruddin Rahman berkata, pendapat itu disokong arkeologis tempatan dan  luar negara berikutan hasil kajian secara lisan dijalankan.

“Pada peringkat awal, saya istilahkan sebagai batu nisan belimbing. Ada juga arkeologis lain yang kata ia berbentuk bunga lawang. Namun itu semua masih belum kita putuskan.

“Uniknya, penemuan bentuk sedemikian satu-satu di Malaysia setakat ini. Malah di nusantara setelah hasil selidik dijalankan bersama arkeologis lain, termasuk Penyelidik Pusat Penyelidikan Perancis di Timur Jauh (EFEO), Prof. Dr. Daniel Perret,” katanya.

Menurutnya, batu nisan berbentuk belimbing itu diperbuat dari laterit atau batu merah dan acuan sedemikian adalah sesuatu yang sukar dilakukan, menunjukkan Melayu sudah lama bertamadun di Melaka.

“Sebenarnya, di Thailand sendiri banyak ditemukan batu nisan jenis laterit ini, namun tak ada ukiran seperti ini (bentuk belimbing) kerana sifat laterit itu sukar diukir.

“Kalau dilihat hasil penemuan itu, saiz nisan belimbing itu semuanya sama seperti dicetak menggunakan alat dan itu menunjukkan Melayu bertamadun dah lama.

"Jadi, juruukir dulu bukan sahaja ukir pada kayu, tapi juga batu,” katanya di sini, semalam.

Sementara itu, Mohd Nasruddin berkata, penglibatan Perbadanan Muzium Melaka (Perzim) dan Jabatan Warisan dalam membuat kajian di kawasan tersebut menunjukkan kepekaan terhadap penemuan berkenaan.

“Kita akan menjalankan kerja-kerja esklavasi di tanah seluas kira-kira dua ekar ini selewat-lewatnyanya Oktober nanti yang mana, ia mungkin mengambil masa tiga hingga empat bulan.

“Hasil kajian ini juga secara tak langsung dapat membuktikan sama ada kesultanan Melayu Melaka wujud pada tahun 1400 atau lebih awal lagi iaitu 1262 Masehi,” katanya.



------------------


Ahad lepas saya telah kembali ke rumah ibu bapa di Muar untuk menyambut perayaan Aidil Adha atau Hari Raya Haji yang jatuh pada hari Isnin keesokannya. Terlihat pula dalam surat khabar Ahad itu cerita tentang penemuan tanah perkuburan lama di Kampung Chohong diangkat sekali lagi tetapi dengan pendekatan yang berlainan. Berikut adalah versi Internet berita tersebut yang boleh dicapai melalui pautan sini...



------------------


Pusara orang besar?

KUBUR dianggarkan berusia ratusan tahun dipercayai milik seseorang berpengaruh ditemui di Kampung Chohong...


Jasin: Jabatan Warisan Negara akan menjalankan kajian secara komprehensif susulan penemuan lebih 100 batu nisan lama dan beberapa artifak di kawasan hutan di Kampung Chohong, di sini, awal tahun lalu.

Ketua Pengarahnya, Dr Zainah Ibrahim berkata, proses kajian perlu dijalankan bagi mengenal pasti dan mencari kaitan tapak kubur lama itu dengan kerajaan purba Melayu Melaka atau Lang Buana.

Beliau berkata, buat permulaan proses memasang pagar di sekeliling kawasan itu akan dilakukan dalam masa terdekat bagi mengelakkan daripada diceroboh pihak tidak berkenaan.

“Penemuan tidak sengaja ini dikatakan bermula selepas penduduk melakukan gotong-royong dan menjumpai nisan kubur lama diperbuat daripada batu merah atau ‘laterite.

“Bentuk batu nisan itu yang seperti belimbing belum pernah dijumpai di mana-mana tanah perkuburan lama di seluruh Semenanjung Malaysia.

Dapatkan akhbar Metro Ahad untuk berita selanjutnya.
Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 September 2016 @ 5:35 AM



------------------



Adapun petang Isnin 12 September yang bersamaan 10 Zulhijjah iaitu Hari Raya Haji itu saya dan isteri harus mengorak langkah kembali ke rumah di Rawang, Selangor kerana isteri bekerja pada keesokan harinya. Memandangkan Kampung Chohong dalam berita terletak di negeri Melaka, dalam perjalanan balik ke rumah kami pun terasa ingin singgah melihat apa yang ada. Setelah disemak melalui Google Map ternyata kampung itu terletak tidak berapa jauh dari Tangkak, dekat sempadan negeri Melaka-Johor. Setelah merasa cukup puas meluangkan masa bersama ibu bapa kami pun meninggalkan rumah mereka sekitar jam 5...


Berdekatan Tangkak juga terletak satu pintu masuk ke Lebuh Raya Utara Selatan. Memang dah biasa lalu jalan ini, cuma saya lebih selalu mengambil jalan pintu masuk di Ayer Keroh, Melaka untuk ke lebuh raya atau sebaliknya...


Namun laluan ke Tangkak lebih menarik jika kita ingin menikmati pemandangan Gunung Ledang yang sangat terkenal dengan kisah puteri lagenda.


Sepanjang perjalanan menuju ke bandar itu boleh kelihatan gunung di latar belakang...








Dari pusat bandar Tangkak kami membelok masuk ke jalan menuju ke Jasin lalu sampai ke sempadan negeri Melaka.



Bertemu simpang, Jasin ke kiri, Nyalas, Asahan ke kanan saya ambil kanan untuk ke Kampung Chohong.



Ternyata kampung ini terletak tidak jauh daripada salah satu bahagian banjaran bukit bukau dan gunung ganang yang membentuk Gunung Ledang...



Nah. Pada ketika ini kami sudah sampai di hadapan tanah perkuburan lama.


Memang menarik apa yang terdapat di sini. Untuk gambaran lanjut sila lihat artikel Tanah perkuburan lama di (Old burial ground at) Kampung Chohong, Jasin, Melaka di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART). Terasa seperti kami dah buat satu langkah yang baik pada 10 Zulhijjah.



Adapun petang ini saya dan keluarga harus bertolak ke Seremban pula untuk menganjurkan acara ke-17 HIKMAH pada hari Sabtu 17 Sept bersamaan 15 Zulhijjah. Dengan ini biar dikongsikan pautan beberapa artikel berkenaan yang telah dibuat di blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH)...


Meninjau lokasi acara ke-17 HIKMAH di Seremban

Lokasinya adalah di alamat berikut, tidak jauh dari exit tol Senawang. Mari le sertai...


Maktab Penyelidikan Tamadun Islam Nusantara, 
No 2302, Tingkat 1, 
Jalan SJ 10/1, Taman Seremban Jaya, 
70450 Seremban, 
Negeri Sembilan,


Khamis, September 15, 2016

Beruzlah ke Pantai Timur - Sanad semutar dan ilmu keris/besi juga Masjid Brunei dan Tok Kenali

Hari ini adalah hari ke-3 hari-hari Tasyik iaitu 13 Zulhijjah biarlah dilepaskan cerita hari ke-3 perjalanan saya di Pantai Timur baru-baru ini. Bersambung daripada artikel Beruzlah ke Pantai Timur - Berbusana ke makam Tok Selehor dan Haji Abdul Malek.


Pagi Khamis 1 September 2016. Selepas bersarapan di rumah Sheikh yang menjadi mudir sekolah pondok tempat kami menginap dan menerima pelajaran kami diajar cara-cara memakai semutar atau ikat kepala cara orang-orang lama.








Kami ditunjukkan beberapa cara dan rupa. Setiap satu daripadanya memiliki nama tersendiri siap dengan sanad pemakaian ilmu diterima daripada Sheikh itu atau Sheikh ini...





Selepas solat Zuhur ketika makan tengah hari kami menerima pula sanad ilmu berkaitan keris dan asal usul besi. Menariknya kami seterusnya ditunjukkan galeri keris milik mudir sekolah pondok ini. Rupa-rupanya ia terletak dalam satu bilik yang sebelum ini berkunci, betul-betul dalam kawasan asrama tempat kami menginap di sini.


Ketika itu beberapa orang kawan yang datang sama menuntut ilmu telah lebih awal meninggalkan sekolah kerana ada urusan di tempat masing-masing. Tinggal saya, kawan yang naik kereta ke Kelantan bersama 2 orang anaknya juga 2 orang kawan lagi menjadi 5 orang kesemuanya...


Sekarang saya rasa bolehlah disebut bahawa sekolah pondok ini bernama Madrasah Islamiah Ahbabul Mustafa di Kampung Menjual, Tumpat. Mudir atau pemimpinnya, orang yang bertanggungjawab menurunkan pelbagai ilmu kepada kami itu dikenali sebagai Syaikhuna Abuya Abu Aswad Bin Yah Al Kubra.


Hampir jam 5 petang, kami-kami yang tinggal ini membuat satu perjalanan keluar untuk melawat satu tempat tertentu.








Ia adalah Masjid Brunei di satu bahagian pinggiran tasik luas bernama Danau Tok Uban.


Saya tak pasti jika kawan-kawan dapat merasakan keistimewaan tempat ini. Pada saya ia tempat harus pergi kalau ada kelapangan ketika berada di Kota Bahru dan sekitarnya. Lihat artikel Brunei mosque after more than 3 years di blogspot BERPETUALANG KE ACEH.


Tentang apakah istimewanya sangat masjid ini (sekurang-kurangnya bagi saya) sehingga sanggup menarik kawan-kawan berjalan sekitar 60 km keluar dari madrasah untuk sampai ke masjid biar artikel lama Akhirnya, Masjid Brunei di Danau Tok Uban! menerangkan. Untuk pengetahuan artikel ini ditulis lebih 9 tahun lalu, setelah pertama kali sampai ke masjid lalu menginap di sana. Ini berlaku setelah beberapa tahun tahu tentang kewujudannya. Tapi baru ketika itu mendapat kelapangan disusuli gerak kudrat dan iradat untuk menjejakinya sampai dapat.


Alang-alang dah keluar begitu jauh dari madrasah kami juga mengambil peluang untuk singgah di Masjid Kampung Laut yang bersejarah itu.





Kami turut menziarahi makam wali besar Kelantan penghujung abad ke-19 hingga awal abad ke-20 iaitu Tok Kenali.


Saya sudah beberapa kali pergi ke tempat-tempat ini, Tapi bagi kawan-kawan yang ikut sama inilah kali pertama mereka sampai lalu saya terasa harus cuba memberi mereka faham dan sedikit rasa apakah yang menyebabkan tempat-tempat ini istimewa bagi seorang pengembara kerohanian seperti saya.