Manakan dapat sagu kalau tidak dipecahkan ruyungnya?
Manakan dapat mutiara yang berkerlipan jika takut menyelam ke lautan dalam.
Dalam diri setiap manusia, ada seketul daging.
Jika baik ia, maka baiklah seluruh jiwa manusia itu.
Jika buruk ia, buruklah juga manusia itu...
Seketul daging itu adalah hati,
mari kita lapangkan dada dan belajar mengIKHLASkan hati.
Perjalanan seribu batu bermula dengan satu langkah.
Marilah meneroka dunia pemikiran hamba.
Silakan

Video klip yang tertera boleh dianggap sebagai pembukaan kepada dunia pemikiran dan kesukaan hamba...







-------------------------


-------------------------



Segala yang dipaparkan menggambarkan pemikiran penulis yang turut terserap di dalam setiap penulisan buku dan artikel. Lihat Cara-cara mendapatkan buku tulisan Merah Silu @ Radzi Sapiee. Di atas adalah satu klip video selama hampir setengah jam yang merupakan demo pilot episode yang mahu digunakan untuk mencadangkan satu siri pengembaraan menyusuri sejarah Melayu Islam sekeliling Nusantara untuk siaran televisyen. Entah mengapa ia menemui masalah. Kemudian penulis diberitahu konsepnya diciplak sebuah stesyen televisyen. Lihat Kembara Sejarah Islam Nusantara : The original material...



Ini adalah klip video ulasan buku ketujuh saya "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" berserta temuramah yang dibuat siaran langsung di Selamat Pagi Malaysia, RTM1. Lihat Siaran langsung ulasan buku "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" dan temu ramah di Selamat Pagi Malaysia.



Penulis juga pernah diminta membuat pembentangan mengenai siri buku "Berpetualang ke Aceh" di Masjid Sultan Salahuddin iaitu masjid negeri Selangor di Shah Alam. Lihat Buku "Berpetualang" dan himpunan ulamak Nusantara yang diketuai ulamak Aceh


-------------------------



Siri novel "Berpetualang ke Aceh" boleh didapati dalam bentuk e-book. Masuk http://www.e-sentral.com/, klik kategori novel am dan taip perkataan "Aceh" pada kotak carian. Atau terus klik Buku 1,Buku 2 dan Buku 3.





Gambar ketika menghadiri satu majlis ilmu, diambil oleh sebuah akhbar harian. Lihat Menghiasi Kosmo Alam Melayu...



Penerbitan trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" juga membawa penulis untuk terlibat dengan banyak majlis ilmu. Rujuk kumpulan links artikel di bawah tajuk "Siri Refleksi Sejarah", pada bahagian paling bawah kiri blogspot, . Penulis juga agak aktif dalam aktiviti-aktiviti kedaulatan Melayu dan Islam, dapat menganjurkan majlis-majlis sendiri di merata Semenanjung Malaysia membawa ke luar negara di Aceh. Lihat blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


Ketika menulis perenggan ini 4 Mei 2015 penulis sedang berusaha untuk mengembangkan isi 3 buku dalam siri "Berpetualang ke Aceh" menjadi 6 buku yang akan membentuk siri baru dipanggil "Siri Pengembaraan Merah Silu". Sebuah syarikat penerbitan telah bersetuju untuk menerbitkan siri lama itu kembali dalam bentuk yang lebih segar - Setiap buku asal dipecah menjadi 2 buku baru yang ditambah maklumat, gambar dan peta berwarna-warni.Pertengahan September 2015 buku pertama siri baru pun selamat diterbitkan. Seminggu lebih kemudian penulis berpeluang bercakap tentangnya secara siaran langsung dalam televisyen lalu membawa wakil penerbit bersama. Lihat video di bawah :-





Awal tahun 2015 turut menyaksikan penulis diambil menjadi penyelidik dan hos satu siri dokumentari yang dipanggil "Daulah Melayu". Projek 13 episod sepanjang sejam setiap satu ini mahu mengenengahkan formula untuk mengembalikan kekuatan bangsa Melayu. Insyaallah projek iakan membawa penulis untuk mengembara ke merata di Malaysia dan Indonesia juga ke beberapa negara dan tempat di Eropah termasuk ke kota London, tempat penulis mengambil ijazah matematik 1991-1995. Siri dokumentari ini dijangka siap untuk tayangan televisyen dalam tempoh 2 tahun.


Pada 13 Mei 2023 buku ke 13 + 1 penulis (pertama setelah yang ke-13 terbit tahun 2019 lalu mula memberikan tumpuan pada pengajian pascasiswazah di ISTAC iaitu Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam di Bukit Tunku, Kuala Lumpur), Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin & Orang Kaya Arsyad telah dilancarkan oleh sejarawan ulung negara, Profesor Emeritus Datuk Dr Abdullah Zakaria Ghazali di rumah penulis. Lihat Majlis pelancaran buku dan rumah terbuka raya 2023 - Melestarikan semangat perjuangan. Beliau yang bertanggungjawab memberikan kata-kata aluan dalam buku turut menjadi pembicara dalam diskusi yang diadakan di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2023 (berlangsung 26 Mei hingga 4 Jun). Lihat Bicara buku Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin di PBAKL 2023. Diskusi ini terakam dalam video atas diikuti video bawah...



Jumaat, Disember 08, 2006

Lagi mengenai Tok Kenali

Almarhum Tok Kenali (1868-1933)

Diambil daripada mukasurat 170 dan 171 buku "Berpetualang ke Aceh" jilid 2 yang sedang dalam proses editing dan lay-out... Iqra' ! :]

Almarhum Tok Kenali dilahirkan pada tahun 1868 di Kampung Kenali, Kubang Kerian daerah Kota Bahru, dalam sebuah keluarga petani yang saleh. Ketika itu, Kelantan berada di bawah pemerintahan Sultan Muhammad kedua, juga dikenali sebagai "Sultan Mulut Merah". Anak ini diberi nama Muhammad Yusuf bin Ahmad tetapi selalu dipanggil sebagai "Awang". Sejak kecil beliau menunjukkan tanda-tanda kecerdasan luar-biasa serta kecenderungan mempelajari ilmu pengetahuan yang tidak kunjung putus... Muhammad Yusuf pun memulakan pengajian Al-Quran dan ilmu agama serta belajar membaca dan menulis dengan datuknya sendiri, Che Salleh atau Tok Leh, seorang lelaki alim lagi warak. Di samping itu, nenek tirinya mengajar peri-pentingnya memerhatikan halal-haram makan-minum kerana ini boleh menentukan kebahagian dunia dan akhirat.
Masuk umur 8 atau 9 tahun, beliau selalu berjalan kaki berulang-alik empat batu ke Masjid Muhammadiah, masjid utama negeri Kelantan yang terletak di pusat bandar Kota Bahru. Di sana, Muhammad Yusuf berguru kepada beberapa orang ulamak terkenal zaman itu, antaranya Encik Ismail, ayah kepada Dato’ Perdana Menteri Haji Nik Mahmud, Tuan Guru Muhammad Ali bin Abdul Rahman atau Wan Ali Kutan, Tuan Guru Haji Taib atau Tuan Padang dan Tuan Guru Haji Ibrahim Sungai Budor. Tidak lama kemudian, beliau berjaya menguasai semua ilmu yang dipelajari termasuk nahu dan saraf dan pada umur 18 tahun, Muhammad Yusuf pun memulakan perjalanan menaiki kapal selama 6 bulan untuk menyambung pengajian di Mekah.
Di Masjidil Haram Mekah, beliau berguru kepada beberapa orang ulamak besar lagi masyhur terutama Tuan Guru Wan Ahmad atau Ahmad bin Muhammad Zain bin Mustafa Al-Fatani. Ulamak yang sangat terkenal di kalangan penuntut Tanah Melayu ini amat mempengaruhi peribadi Muhammad Yusuf sehingga beliau sanggup menghabis separuh umur bersama dengan ulamak itu. Muhammad Yusuf cuma kembali ke Kelantan pada umur 40 tahun, itupun dua tahun setelah kemangkatan gurunya pada 11 Zulhijjah 1325 (14 Januari 1908). Tanpa membuang masa, beliau pun mendirikan sebuah sekolah pondok di kampungnya yang dikenali sebagai Pondok Kenali selain mengajar agama di Masjid Muhammadiah.
Persahabatannya sejak kecil dengan Dato’ Perdana Menteri Haji Nik Mahmud bin Ismail menyebabkan pandangan Muhammad Yusuf dalam mengembangkan pengajian Islam di Kelantan sering diminta lalu dilaksanakan serta-merta. Ini termasuk menerbitkan sebuah majalah bernama "Pengasuh" dengan dirinya sendiri sebagai pengarang yang pertama serta menubuhkan lebih banyak sekolah pondok di seluruh negeri. Dipendekkan cerita, melalui usaha yang dipelopori beliau, Kota Bahru mula menjadi tumpuan penuntut agama seluruh Nusantara lalu ada mengatakan sejak itulah Kelantan dikenali sebagai Serambi Mekah. Masjid Muhammadiah pula menjadi seperti madrasah antarabangsa dengan pesekitarannya sentiasa hidup dengan pelbagai perbincangan serta ceramah agama.
Muhammad Yusuf lebih banyak menghabiskan sisa umurnya mengajar, menulis rencana serta memperjuangkan kebesaran Islam daripada tempat asalnya iaitu Kampung Kenali. Sebab itulah beliau lebih dikenali sebagai Tok Kenali dan nama itulah yang diingati sampai ke hari ini. Walaupun beliau diiktiraf sebagai ulamak besar yang banyak berjasa mengembangkan ajaran Islam malah mengarang pula sebuah majalah, masyarakat umum lebih mengenalinya sebagai seorang wali dan pengamal tariqat yang sukakan kehidupan ringkas lagi zuhud. Maka itu Tok Kenali lebih diingati disebabkan peristiwa-peristiwa karamah atau mencarik adat yang sering berlaku padanya.

Khamis, Disember 07, 2006

Pengembalian jenazah Laksamana Muhammad Amin ke Makam Diraja Perak

Subhanallah... Dalam kesibukan (dan keasyikan?) melayari dunia Internet serta melihat balik blogspot-blogspot saya sambil memikirkan apakah tambahan artikel yang perlu dibuat, timbul gerak untuk memaparkan kembali satu peristiwa bersejarah yang julungkali diadakan di Malaysia malah mana-mana jua di dunia. Peristiwa itu ialah pengembalian kembali jenazah dua orang pejuang lama Perak iaitu Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin serta Menteri Paduka Tuan Ngah Ibrahim ke negeri tanah-tumpah darah asal mereka, berlangsung 9 September 2006. Kedua pejuang ini telah dibuang negeri ke Pulau Seychelles di perairan Afrika pada tahun 1877 akibat dituduh terlibat dalam komplot pembunuhan Residen British pertama ke Perak J.W.W. Birch (mati tahun 1875 di Pasir Salak). 

Turut dibuang sama adalah Sultan Abdullah (Sultan Perak ke 26, memerintah 1874-1877) dan Syahbandar Uda Ma'amor. Untuk makluman mereka semua bersaudara. Syahbandar dan Menteri Paduka Tuan juga merupakan menantu Laksamana. Sultan Abdullah telah "diampunkan" British lalu sempat kembali ke Perak dan meninggal di negerinya tahun 1922 sedangkan yang lain-lain dipaksa menghabiskan sisa umur mereka masih dalam buangan tetapi di Singapura pula. 

Maka di sinilah timbul sedikit kekhilafan apabila ada pihak mendakwa Ngah Ibrahim sempat melarikan diri balik ke Perak dan meninggal dunia di Beruas. Lalu mereka menambah jenazah yang dibawa kembali dalam upacara ini bukanlah jenazahnya yang sebenar. Apapun, di sini saya cuma mengenengahkan proses pengembalian jenazah Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin demi menjunjung rasa kasih dan hormat sebagai keturunan ke-5 almarhum. Gambar-gambar ini diambil sendiri ketika mengikuti rombongan membawa jenazah dari Lumut di mana kapal Tentera Laut Diraja Malaysia KD Laksamana Muhammad Amin mendarat setelah lebih sehari belayar membawa jenazah ke luar Singapura. 

Setelah selesai adat-istiadat penyambutan jenazah di Lumut, barulah jenazah dibawa melalui jalan lama untuk ke Makam Diraja Perak di Bukit Chandan, Kuala Kangsar di mana Laksamana akhirnya disemadikan kembali. Oh... Minta maaf jika gambar kurang terang. Ini disebabkan saya telah menggunakan format GIF semasa memasukkan gambar-gambar ini on-line untuk ditunjukkan kepada rakan-rakan di sebuah forum kegemaran. Malah inilah gambar yang sama, dengan teks yang sama di bawah seperti dipaparkan di forum itu lebih 2 bulan lalu. Elok juga diletakkan di blogspot ini  supaya lebih ramai orang dapat melihatnya, Insyaallah...



Konvoi membawa jenazah Laksamana Muhammad Amin dan Ngah Ibrahim dalam perjalanan dari Lumut ke Kuala Kangsar melalui jalan lama, setelah selesai adat-istiadat sambutan oleh pihak tentera di Markas TLDM Lumut. Ketika ini, konvoi sepanjang 1.5 km itu baru berada di sekitar Sitiawan, dalam jam 10.15 pagi gitu. 



Konvoi sedang melalui kawasan Masjid Jamek Kampung Kota di Beruas, hampir jam 11 pagi. Untuk makluman, tidak jauh di belakang masjid ini terletak makam-makam diraja Beruas yang mana banyak makam ditanda dengan batu nesan Aceh jenis berkepak, lebih kurang seperti batu nesan yang terdapat di makam Sultan Malikus Salih di tapak kerajaan Samudera-Pasai, Aceh, juga batu nesan di satu-satunya makam Sultan Melaka yang masih wujud di Malaysia kini iaitu makam Sultan Alauddin Riayat Shah di Kampung Raja, Pagoh, Muar. Begitu juga rupa batu nesan Sultan pertama Perak, Sultan Muzaffar Shah di Telok Bakong, Bota Kanan. 



Konvoi sudah sampai ke simpang tiga jalan lama Lumut ke Ipoh untuk menghala ke Kuala Kangsar melalui Manong dalam pukul 11.15 gitu.
 


Konvoi menghampiri Kuala Kangsar. Dah dekat pukul 12 tengahari dah…

 


Jenazah Laksamana Muhammad Amin diusung penuh istiadat memasuki kawasan pemakaman diraja Perak di Bukit Chandan, Kuala Kangsar. Waktu sekitar 12.15 tengahari gitu. Dah ramai dah orang berkumpul di sana termasuk para jemputan, kaum kerabat dan orang yang nak tumpang sama meramaikan majlis. Kelihatan di belakang adalah bangunan makam yang menempatkan jenazah beberapa Sultan Perak daripada keluarga terdekat Sultan Idris I yang membuka Bukit Chandan awal tahun 1900an gitu…
 


Jenazah Laksamana Muhammad Amin sedang dibawa menghampiri bahagian kawasan makam yang menempatkan kaum kerabat yang rapat dengan Sultan Abdullah Muhammad Shah II, Sultan Perak yang dibuang ke Pulau Seychelles tahun 1877 bersama-sama Laksamana, Shahbandar Uda Ma’amor dan Ngah Ibrahim kerana terlibat dalam pembunuhan Residen Inggeris J.W.W. Birch tahun 1875. Kedua-dua Uda Ma’amor dan Ngah Ibrahim adalah menantu Muhammad Amin sedangkan Laksamana itu adalah saudara tiga pupu Sultan Abdullah.
 


Angkatan tentera laut dan para hadirin memberi penghormatan terakhir sebelum jenazah dimasukkan ke dalam liang-lahat yang tersedia di hadapan. Di belakang adalah sebahagian kawasan Masjid Ubudiyah di Bukit Chandan.



Pekerja sedang mengemaskan kedudukan keranda dengan jenazah Laksamana Muhammad Amin di dalam kotak istimewa yang dibawa dari Singapura...



Petugas TLDM turut bertungkus-lumus menutup liang-lahat dengan tanah merah yang disediakan sambil diperhatikan hadirin.




Liang lahad hampir siap dikambus.



Jenazah Laksamana Muhammad Amin selamat dikebumikan di makam diraja Perak, Bukit Chandan, Kuala Kangsar. Hadirin pun menyambut doa selamat yang dibacakan tok imam ke siapa, lupa pulak nak check. Tak tahu pulak tentera laut boleh sambut doa pakai sebelah tangan je! Gaya doa dalam persediaan perang agaknya?



Raja dihilir Perak, Raja Jaafar dengan gaya Laksamana Raja Laut tampil ke hadapan memberi hormat sambil diperhatikan MB Perak Tajol Rosli.

 


Giliran Tajol Rosli pula menabur bunga dan menyiram air ke makam Laksamana Muhammad Amin. Keliling tu banyak orang istana termasuk kaum kerabat yang berkait ngan aku tapi haram sorang pun aku tak kenal kecuali sorang dua. TAMAT!

p/s: Untuk cerita lanjut, sila klik di Laksamana kembali ke Perak


Sedikit cerita berkaitan Tok Kenali

Makam Tok Kenali di Kubang Kerian, Kota Baru, Kelantan.

Ini ada sedikit cerita dipetik daripada jilid 2 buku "Berpetualang ke Aceh" yang masih dalam proses editing... Buku ini akan memakai sub-title "Membela Syiar yang asal" insyaallah dan akan membuka lebih banyak kisah tersembunyi mengenai Raja-raja Melayu serta kaitan dengan para wali malah membuka sedikit bab pengajaran Tasawuf termasuk ilmu Wahdatul Wujud penuh kontroversi yang pernah dibawa oleh Sheikh Hamzah Fansuri di Aceh abad ke 17 Masihi... Silakan! Bacalah... :]



Salah-satu aktiviti kegemaran Rasyid bila berada di Kuala Lumpur adalah berjalan seorang diri di sekitar Jalan Tuanku Abdul Rahman sambil memerhati berbagai ragam kerenah manusia sepanjang jalan. Ada masanya, dia suka bersiar-siar di persekitaran Kompleks Pertama dan Sogo sebelum memasuki kedai-kedai buku berdekatan, ada masanya pula bersantai di sekitar Masjid India, sebuah masjid yang sering dikerumuni kaum India Muslim serta para pengikut Tabligh sambil membelek-belek berbagai jenis barang jualan peniaga-peniaga di kaki lima.

Pada satu hari, ketika sedang duduk berehat di tembok luar masjid, muncul seorang hamba Allah bertubuh pendek gempal, kulit sawo matang memakai cermin-mata gelap bergaya, berjubah putih berkopiah dan berserban. Lelaki berumur sekitar 50 hingga 60an itu lalu di kawasan tembok yang sering menjadi tempat duduk orang-ramai melepaskan lelah... Entah kenapa, dia membuat gaya seperti mengira-ngira jumlah orang yang duduk sambil menghulurkan jari telunjuknya ke arah mereka satu-persatu. Sampai kepada Rasyid pula dia tersenyum lalu menegur: "Hah kamu! Mari ikut aku! Belanja aku makan…"

Walaupun pemuda itu terasa pelik lagi janggal mendengar "perintah" orang tua ini, dia mengangguk bersetuju lalu bangun menurut langkahnya. Rasyid percaya mesti ada hikmah di sebalik kejadian ini... Pengalamannya bertahun berkelana tanpa perancangan dan arah tujuan yang pasti telah membuktikan ada sesuatu yang akan dipelajarinya nanti. Mereka pun bergerak ke sebuah warung berdekatan. Pakcik ini mula memesan segelas teh tarik, anak muda itu pula meminta teh tarik halia.

Hamba Allah agak ganjil ini sentiasa tersenyum, dengan pembawakan rugged, kata orang muda ada gaya rock. Dia mula bertanyakan asal-usul Rasyid lalu membuka cerita. Sambil-sambil itu, tangannya mengambil kuih-muih yang tersedia di atas meja sehingga pemuda itu mula membuat kira-kira dalam hati... Rasyid cuma memiliki kurang RM5 sahaja di dalam poket, takut tidak cukup untuk belanja hari itu pula nanti.

Pakcik itu seolah-olah dapat membaca isi hatinya lalu menegur: "Kamu ada cukup duit tidak? Kalau tidak biar aku yang bayar…"

Rasyid malu lalu menjawab: "Tidak mengapa pakcik! Bukankah tadi saya sudah bersetuju belanja pakcik? Tak apa. Biar saya yang bayar."

Orang tua itu tersenyum. Mereka pun menyambung cerita seolah-olah tidak ada apa-apa berlaku. Entah kenapa, anak muda itu terasa ingin mengadu tentang keadaannya yang agak dhaif, tentang bagaimana dia sudah lama tidak bekerja sedangkan duit simpanan sudah susut teruk. Motor besar kesayangannya yang sering menemaninya mengembara ke merata ceruk rantau pula sudah lama tidak diservice, selalu sangat "batuk" dan meragam. Ah... Memang keadaannya sedang teruk...

Hamba Allah itu sempat memberikan sepotong ayat Al-Quran untuk diamalkan sebelum bangun beredar... Katanya untuk meringankan sedikit beban jiwa... Sempat juga dia memujuk dan memberi tawaran…

"Jangan risau," katanya. "Kalau ada masalah, cari sahaja aku…"

Hairan juga Rasyid mendengar ini sedangkan itulah kali pertama dia terjumpa orang itu seumur hidupnya... Tidak pernah dilihatnya di Masjid India mahupun di mana-mana tempat sekali pun. Pakcik itu juga tidak meninggalkan alamat rumah atau tempat kerja, nombor telefon atau apa-apa cara untuk berhubung, lalu bagaimana hendak mencarinya nanti? Pemuda itu bingung tetapi setakat bertanya siapakah nama orang ini.

Hamba Allah itu tersenyum lebar lalu menjawab "Muhammad Yusuf!"

Sepertimana sampai, begitu juga dia menghilang... Penuh misteri...

Dua minggu kemudian, Rasyid tergerak menziarahi rumah almarhum nenek di Raub, Pahang setelah hampir setengah tahun tidak ke sana. Selepas beberapa malam, ibu saudara yang menjaga rumah pula harus ke Kuala Terengganu menghadiri satu kursus... Seorang anak angkatnya bersedia menghantar dengan kereta sampai ke Temerloh. Di sana, barulah ibu saudara ini mengambil bas ekspress ke Kuala Terengganu.

Rasyid tergerak menumpang sama. Sampai ke bandar di tepi Sungai Pahang itu, timbul pula rasa untuk melawat Gua Kota Gelanggi yang terletak di sekitar Jengka. Dia pun menaiki bas ke Jerantut... Sampai di pekan itu, terus memeriksa jadual bas ke Jengka. Perkhidmatan seterusnya cuma akan bergerak sejam lagi, maka pemuda itupun mengisi masa dengan berjalan-jalan di sekitar bandar... Sampailah ke stesyen keretapi.

Kebetulan keretapi ke utara dan pantai timur yang cuma berkhidmat sehari dua kali sampai di stesyen. Timbul gerak spontan untuk menaikinya hingga ke Kuala Lipis. Di bandar yang diapit tebing Sungai Jelai serta kuala Sungai Lipis itu pula, anak muda itu tergerak untuk ke masjid lama yang didirikan awal abad ke 20 bersebelahan stesyen bas, masjid yang mengikut ceritanya tidak pernah disentuh banjir walaupun air melimpah sampai ke stesyen yang terletak 10 kaki lebih tinggi daripada kawasan masjid... Niat awalnya mahu bermalam di masjid tetapi selepas solat Asar, Rasyid tergerak ke stesyen keretapi untuk melihat jadual.

Kebetulan lagi, keretapi ke utara dan pantai timur sampai sebaik sahaja dia menjejakkan kaki. Maka hamba Allah yang selalu berjalan "mengikut arah angin" inipun naiklah, sampai destinasi terakhir malam itu, Gua Musang, Kelantan... Lalu menumpang berehat di surau KTM (Keretapi Tanah Melayu) yang terletak tidak jauh dari stesyen.

Tidak lama kemudian, muncul beberapa orang musafir menumpang sama termasuk sepasang suami isteri dan dua orang lelaki anak jati Kelantan. Entah kenapa, mereka bercerita tentang perkara pelik dan ghaib yang pernah berlaku di Kelantan...Terkeluar pula nama Tok Kenali lalu Rasyid dapat tahu di manakah letaknya makam dan masjid wali Allah itu iaitu di Kubang Kerian, Kota Bahru.

Dipendekkan cerita, keesokan harinya dia pun sampai ke sana... Lalu mendapat tahu wali Allah yang kembali ke Rahmatullah lebih 70 tahun lalu ini namanya Muhammad Yusuf, sama dengan orang tua misteri yang ditemui di Masjid India dua minggu lalu!

......................


Rasyid sampai ke Masjid Tok Kenali masuk waktu Maghrib lalu terus mengambil wuduk. Entah kenapa, air yang keluar daripada paip masjid lama yang didirikan semasa almarhum masih hidup ini berbau malah terasa seperti air limau nipis... Begitu juga air yang keluar daripada paip lain termasuk dalam tandas dan bilik air! Serta-merta pemuda ini teringat, dia pernah mengalami ini, melihat masjid itu dengan rupa-bentuknya dari hadapan dan menghirup air paipnya yang berperisa limau nipis di dalam sebuah mimpi beberapa tahun yang lampau. Ah... Dia deja vu lagi. Memang sudah lama rupanya ditakdirkan akan sampai ke sini!

Apabila masuk untuk menunaikan solat berjemaah, muncul pula bau wangi minyak attar menyelubungi seluruh masjid. Rasyid tidak terasa pelik kerana sudah biasa terhidu bau minyak attar bermacam jenis muncul tiba-tiba daripada makam-makam tua, masjid-masjid lama serta tempat-tempat bersejarah... Adakala pula ia "mengikutinya" ketika berkelana. Malah sering-kali bau-bau sebegini timbul ketika pemuda ini sedang bersantai di rumah keluarga dan kawan-kawan, selalunya ketika sedang berehat berseorangan. Ada masanya bau yang datang itu kuat, disertai rasa seram-sejuk sehingga bulu-romanya berdiri, adakalanya harum lembut disulami rasa tenang seolah diulit bayu pagi.

Sebelum "mengalami" bau minyak attar sebegini, Rasyid pernah "dikunjungi" bau-bau lain seperti colok dan setanggi, juga bau berbagai jenis bunga terutama Melor dan Tanjung. Sebelum itu pula dia sering "diganggu" berbagai jenis bau kemenyan. Tetapi di Masjid Tok Kenali inilah pertama kali pemuda itu dapat menghidu bau minyak attar yang menyelubungi seluruh masjid disertai rasa seolah-olah ramai makhluk ghaib turut serta menunaikan solat Maghrib. Yang nyata ketika itu, Rasyid adalah satu-satunya orang dewasa di masjid selain pak imam yang berumur lebih 60 tahun. Yang lain adalah kanak-kanak bawah umur 15 tahun.

Lebih menghairankan, anak-anak yang bermastautin di madrasah bersebelahan ini terus keluar meninggalkan masjid selepas solat sedangkan doa belum selesai. Imam tidak menegur malah meneruskan wirid yang dibaca sederhana kuat sambil menghadap ke arah kawasan makmum yang kosong. Rasyid tercengang melihat. Pak imam memberi isyarat supaya duduk di sebelah sambil meneruskan wirid. Setelah selesai membacakan doa dia pun bertanya asal-usul pemuda itu, kenapa datang ke situ... Anak muda inipun meminta izin untuk bermalam di masjid.

Selepas solat Isyak, Rasyid terus melangkah untuk menziarahi makam Tok Kenali lebih kurang 1km daripada masjid. Sampai sahaja di sana, sekali lagi dia tersentak... Memang perjalanan ke Kelantan ini memang sudah lama ditakdirkan Ilahi, manakan tidak? Makam wali Allah terkenal ini ditanda dengan batu sungai lonjong yang dicacakkan menegak setinggi hampir 3 kaki, pernah dilihatnya di dalam sebuah mimpi beberapa tahun yang lalu. Malah makam bersebelahan milik isteri Tok Kenali yang ditanda dengan tiga bongkah empat segi bertingkat yang mengecil ke atas juga telah dilihat dalam mimpi yang sama... Masyaallah!

———————————

Mungkin juga Rasyid ke Kelantan kerana sangat merindui Nur. Ketika itu, wanita kesayangannya sedang melaksanakan tugasan di Kota Bahru. Sudah beberapa hari mereka tidak berhubungan kerana sejak kebelakangan selalu sangat bertengkar akibat hasutan pihak yang tidak menyenangi perhubungan mereka. Lalu malam itu, di masjid dan makam Tok Kenali, pemuda ini mengadu masalahnya kepada Ilahi dan keesokannya cuba menghubungi gadis kesayangannya.

Alhamdulillah, Nur menjawab panggilan dengan lembut penuh rasa rindu. Malah apabila mendapat tahu Rasyid berada di Kota Bahru, gadis manis tetapi lincah itu terus mengajaknya menziarahi tempat kerja serta menghabiskan waktu memerhatikannya melaksanakan tugasan! Ditakdirkan pula, kenalan-kenalan gadis itu yang turut sama dalam tugasan ini merasa senang dengan kehadiran pemuda itu lalu mengajaknya menginap di rumah sewa sementara mereka. Maka seminggu itu, mereka berpeluang bertentang mata dan berkongsi rasa hampir setiap masa.

Pasangan suami-isteri yang menggaji Nur untuk tugasan ini juga senang hati dengan kehadiran Rasyid sehingga mereka membawa kedua-duanya berjalan makan angin ke beberapa lokasi menarik di Kelantan di samping melayannya seperti seorang tetamu penting. Merekalah yang membawa Nur dan Rasyid ke sebuah tasik luas yang tidak pernah diketahuinya wujud di Kelantan, tasik yang dikenali sebagai Danau Tok Uban. Di seberang tasik itu pula kelihatan sebuah masjid putih berkubah besar dengan menara tinggi yang reka-bentuknya saling tidak tumpah seperti masjid terapung Kuala Terengganu yang terkenal di Kuala Ibai.

Entah mengapa, Rasyid dapat merasakan tasik itu menyimpan sebuah kisah sejarah purba yang mempunyai kaitan rapat dengan pencarian serta perjalanan hidupnya. Hati kecilnya berkata, di sinilah terletak pusat sebenar Empayar Chermin yang amat dibangga-banggakan rakyat Kelantan, sebuah kerajaan yang mempunyai hubungan istimewa dengan kerajaan Samudera-Pasai serta bumi Serambi Mekah. Kebetulan dia mendapat tahu masjid di seberang tasik itu adalah masjid wakaf yang didirikan oleh Sulten Brunei, bersama sebuah kompleks madrasah moden yang menawarkan pengajian agama percuma, dibiayai pihak Sultan.

"Ah… Memang aku telah ditakdirkan sampai ke Kelantan, juga Danau Tok Uban, tidak kiralah samada kerana tarikan Tok Kenali atau panggilan rindu Nur," desis hatinya melihat semua itu. "Bukankah Sultan Brunei berasal daripada keturunan Sharif Mekah? Kenapa baginda mesti memilih lokasi ini kalau bukan kerana kaitan rapat dengan Mekah?"

Memang wujud cerita lama menyatakan bumi Kelantan asalnya sebahagian tanah Mekah... Sepertimana seluruh Nusantara berasal daripada hujung tanah Semenanjung Arab yang terpecah lalu hanyut ke Timur suatu zaman lampau. Walaupun mengikut ukuran biasa geologi dan geografi ini tidak masuk akal, Rasyid boleh menerima kerana percaya kepada perkara-perkara ghaib... Yakin, jika Allah Subhanahuwata’ala hendak menzahirkan sesuatu di dalam ilmuNya, cukuplah dengan firman: "Kun fayakun. Aku kata jadi, maka jadilah." Tidak perlu dipertikaikan sebab-musababnya, samada logik ataupu tidak secara panjang-lebar...

Cerita-cerita lama juga menyebut Aceh sebahagian daripada Mekah. Malah Aceh dan Kelantan (atau kerajaan lama Langkasuka yang turut meliputi Kedah) pernah bersambung sebagai sebuah daratan yang cuma dipisahkan sebuah sungai besar, bukan Selat Melaka yang ternyata lebih luas. Masalahnya, ada rakyat Kelantan terlalu memperbesar-besarkan negeri mereka sehingga segala-galanya dilihat daripada perspektif Kelantan semata. Lalu mereka menyebut kekuasaan Cik Siti Wan Kembang ke atas Aceh juga naungan Empayar Chermin ke atas banyak kerajaan Melayu termasuk Pasai sebagai bukti kebesaran Kelantan. Datuk kepada Cik Siti Wan Kembang, seorang Raja Kelantan bernama Raja Aminuddin pula dinyatakan sebagai Sharif Mekah yang disebut di dalam Hikayat Raja-raja Pasai... Dan Sheikh Ismail yang ditugaskan untuk mengIslamkan Samudera berasal dari Kelantan. Tidakkah ini melampau?

Selasa, Disember 05, 2006

Babussalam sekarang?

Lagi sambungan daripada novel "Berpetualang ke Aceh: Mencari Diri dan Erti" karangan Radzi Sapiee...

Sayangnya, pada pengamatan Rasyid, Babussalam sekarang bukan lagi seperti zaman Sheikh Abdul Wahab atau mungkin zaman Pak Su, ketika mereka yang menerajuinya masih ikhlas memartabatkan Islam serta meningkatkan kefahaman untuk mengenali kewujudan Tuhan. Sebaliknya ia sudah berbau materialistik dan kurang jujur, sudah menjadi tempat berjual-beli amalan agama dan ayat-ayat Al-Quran untuk mendapatkan kekuatan rohani yang boleh memberi kelebihan dalam mencari duniawi...
Pencari dan pencinta kebenaran ini dapat merasakan nama besar almarhum sudah dijadikan penarik rezeki... Kampung itu telah menjadi kilang cop duit lebih daripada tempat melahirkan penganut Islam yang tulin. Sepertimana Istana Maimon di Medan sudah menjadi semacam muzium tempat kerabat diraja menagih pendapatan, Babussalam juga sudah dijadikan sumber sara hidup mereka yang mewarisinya.
Ini menjadi nyata apabila Rasyid masuk ke dalam bangunan makam yang agak mewah dengan rupa seakan-akan bangunan makam diraja Perak di Bukit Chandan. Ketika itu ada lah sekitar enam orang pengunjung menunggu hendak menziarahi makam Sheikh Abdul Wahab. Tetapi setiap seorang perlu melepasi penjaga makam terlebih dahulu, tidak boleh terus ke sana walaupun setakat untuk menghadiahkan Surah Fatihah.
Penjaga itupun bertanyakan hajat mereka ke sana, apakah bantuan yang perlu atau masalah yang dapat diselesaikan dengan berkat karamah almarhum sebagai seorang wali Allah dan Khalifah Tariqat Naqsyabandiah. Lalu seorang demi seorang mendekatinya menyatakan apa yang terbuku di hati sebelum beliau membacakan doa, kemudian memberi jaminan apa yang dirunsingkan atau dihajati akan selesai atau ditunaikan Insya’allah tidak lama lagi. Setiap seorang pun menghulurkan segulung duit kepada penjaga makam sebelum berlepas pulang...
Rasyid tidak gemar melihat semua ini kerana merasakan ia tidak bertepatan dengan konsep ajaran Tasawuf sebenar yang di bawa Sheikh Abdul Wahab atau mana-mana guru mursyid yang menekankan pembentukan insan Islam sejati. Tetapi pemuda itu tetap menghulurkan sedikit wang kerana terpaksa menuruti adat, tidak mahu mahu kelihatan lokek ataupun biadab lebih-lebih lagi kerana dia adalah orang luar, kali pertama berkunjung ke sana dan ada niat untuk bermalam di Babussalam.

—————————
“Kamu ini Rasyid... Takkan itupun salah,” tegur Razak, seorang pemimpin muda yang baru menceburkan diri ke dalam arena politik peringkat tinggi tanah air selepas mendengar cerita pemuda itu tentang kepincangan yang dilihatnya di Babussalam. Pada lulusan Undang-undang Syariah universiti tempatan yang sudah lama bergiat dalam persatuan-persatuan pelajar Melayu peringkat kebangsaan dan biasa memegang jawatan tinggi ini, semua itu adalah perkara biasa. “Takkan orang hendak bagi duit pun tidak boleh,” katanya. “Bukannya mencuri ataupun merompak. Bukankah mereka memberi secara ikhlas?”.
Rasyid terdiam sejenak. Apakah orang ini tidak dapat melihat ada sesuatu yang tidak kena dan tidak patut tentang amalan ini? Atau ia sudah menjadi kebiasaan orang Melayu zaman moden langit terbuka sekarang terutama dalam dunia politik yang menghalalkan banyak perkara?
“Memanglah tidak salah menderma atau menghadiahkan wang,” anak muda itu membuka kata-kata. “Tetapi seperti di Istana Maimon, sumbangan ‘ikhlas’ yang diharapkan rupanya ada nilai minimum, tidak boleh kurang daripada jumlah yang tertentu. Walaupun ini tidak dinyatakan secara terang, aku dapat membaca renungan dan air muka penjaga makam. Tahu kalau jumlah yang diberi tidak mencukupi dan memuaskan hati. Nampak sangat air-mukanya tidak senang! Itu baru dalam makam... Belum dikira lagi dua tiga orang yang duduk menghulur tangan di pintu masuk makam mengharapkan bahagian masing-masing.” Rasyid meneruskan.
Perkara sebegini berlaku lagi bila dia masuk ke Masjid Babussalam. Selepas menunaikan solat Asar berjemaah, anak kelahiran Muar, Johor itu telah merapati seorang tua yang berpakaian lengkap berjubah berserban untuk menyatakan hasrat untuk bermalam di kampung itu, kemungkinan besar di dalam bangunan masjid. Orang tua itupun menunjukkannya kepada pembantu masjid yang berjanji akan membawanya berjumpa tuan guru dan Khalifah yang memimpin Kampung Babussalam. Tetapi kenalah menunggu sehingga petang kerana beliau ada urusan di Medan...
Selepas duduk ‘menonong’ sehingga Maghrib, Khalifah yang ditunggu pun sampai. Pembantu masjid menyuruh anak Malaysia itu bersedia di sebuah ruang bersebelahan masjid, kemudian berbisik: “Sediakan sedikit uang, untuk tuan guru.” Rasyid tersentak tetapi menyembunyikan reaksi. Baru hendak berjumpa sudah kena sediakan wang? Tidak apalah, dia standby... Sediakan 10,000 Rupiah dalam tangan.
Selepas itu, pembantu tadi boleh bertanya lagi, tidak ada duit lebihkah? Lalu tersenyum membuat isyarat meminta wang. Pemuda itu menjawab dia cuma seorang musafir yang merempat dari satu tempat ke satu tempat, tidak ada duit banyak. Sudahlah tadi baru ditekan 20,000 Rupiah naik beca hendak ke sini, dalam masjid pun nak ‘kena’ juga ke?
Bila datang tuan guru dan Khalifah, sekali lagi Rasyid tersentak. Beginikah muka Khalifah Naqsyabandiah, anak cucu Sheikh Abdul Wahab yang mewarisi Babussalam? Mukanya kelihatan muram, kelat dan masam, garang pun ada. Jauh bezanya dengan orang tua yang ditemui selepas Asar tadi, orang yang kelihatan begitu tenang, bersih dan menyenangkan. Jika orang tua itu memiliki aura orang kuat agama yang dapat dirasakan, manusia di hadapannya pula terasa seperti orang kuat makan, jauh sekali hendak menjadi Khalifah Tariqat yang memimpin beribu, mungkin berpuluh ribu orang untuk meningkatkan taraf insan...
Tetapi itulah kenyataannya. Hamba Allah yang nampak bengis semacam inilah Khalifah Babussalam, pemimpin pusat kerohanian yang tersohor di wilayah ini. Apapun, Rasyid tetap perlu berurusan dengannya. Dia pun menghulurkan tangan untuk bersalaman kemudian meminta maaf kerana mengganggu. Pemuda itu dapat melihat orang ini sedang mengejar sesuatu urusan, nampak sangat tergesa-gesa mahu meninggalkan tempat itu. Lalu dia sekadar memberitahu ingin menumpang satu malam.
Selepas meneliti muka Rasyid seketika, tuan guru dan Khalifah itu mengangguk lalu menyuruhnya bertanya pembantu masjid di manakah tempat tidurnya nanti. Pemuda itupun menghulurkan tangan sekali lagi lalu mengucapkan terima kasih dan meminta diri, sambil menghulurkan duit 10,000 Rupiah yang sudah disediakan dalam poket sejak dari tadi...
Khalifah Babussalam memandang mukanya lagi, kemudian bertanya: “Apa ini?” Pemuda itu memberitahu pembantu masjid yang suruh beri.
Khalifah itu kata tak payah, kemudian terus beredar. Tidak taulah mengapa tak mahu. Adakah kerana dia tidak pernah meminta, pembantu masjid sahaja yang buat cerita atau wang 10,000 Rupiah yang nilainya tidak sampai RM5 itu terlalu kecil? Kalau ya pun apalah salahnya senyum sedikit? Takkanlah itupun tak boleh? Susahlah kalau seorang Khalifah tariqat suka bermasam muka walaupun sibuk mengejar urusan. Bukankah Islam menganjurkan supaya kita mempamirkan rupa manis walaupun ketika sedang mengalami masalah? Apatah lagi jika ada pengajian Tasawuf...
Rasyid teringat perbualan dengan beberapa orang penduduk Kampung Babussalam yang ditemui sebelum Maghrib. Mereka yang juga dari berasal dari keturunan Sheikh Abdul Wahab memberitahu, Khalifah sekarang bukanlah orang sepatutnya dinaikkan memimpin pusat kerohanian itu. Ada orang yang lebih layak tetapi tersisih daripada jawatan.
Malah sebelum hamba Allah ini naik lagi ramai anak cucu almarhum sudah berebut mahu menjadi Khalifah. Hendak menjadi pemimpin gah yang tangannya sentiasa dicium penuh hormat, selain mengaut keuntungan hasil nama besar Babussalam yang masih mampu menarik ramai pengunjung yang sedia menaburkan ‘sumbangan ikhlas’ sampailah sekarang.

—————————

“Lepas Isyak, sekali lagi aku melihat duit menjadi permainan biasa di Babussalam,” Rasyid memberitahu Razak. “Seorang guru telah memberi sebuah ceramah Fiqah, adalah lebih sejam. Selesai sahaja ceramah yang aku rasa tidak seberapa itu, seorang demi seorang pendengar bangun ke hadapan lalu mencium tangannya dan menghulurkan sejumlah wang.”
Razak terdiam sejenak memikirkan keadaan itu. Dia cuba membayangkan apakah yang sebenarnya dilihat rakannya kemudian berkata: “Hmm... Aku pun tak tahu nak kata. Tapi takkanlah dia tak boleh menerima duit? Bukankah itu tanda hormat, tanda ceramahnya dihargai?”
“Fair enough,” jawab Rasyid. “Tetapi aku tetap tidak bersetuju. Pada aku, orang yang betul-betul memperjuangkan agama akan mendapat rezeki dari arah yang tidak disangka-sangka seperti yang tersebut dalam ayat 2 dan 3 Surah at-Thalaq atau Ayat Seribu Dinar. Tidak perlu menggunakan ceramah agama untuk sara hidup lebih-lebih lagi di sebuah masjid yang dikaitkan dengan seorang wali yang diketahui memiliki banyak karamah.”
“Kamu tidak rasa pandangan kamu ini rigidkah?” Razak menegur. “Terlalu keras. Tidak memberi peluang orang berceramah buat duit ?”
“Memang aku rigid, “ jawab anak muda itu. “Sebab ini boleh dikira perkara yang diperbolehkan tetapi boleh membawa kepada yang haram. Disebabkan penceramah boleh mendapatkan duit dari jemaah, disebabkan pak imam, bilal dan tok siak boleh memperolehi allowance dengan rumah free lah maka orang zaman sekarang sanggup berebut kedudukan dalam jawatankuasa masjid sampai sanggup bergaduh, bertumbuk pun ada!”
Razak mula tidak senang duduk. Seolah-olah kata-kata itu terkena batang hidungnya . Mungkin kerana perkara sebegini memang terlalu biasa dalam dunia politik yang memenuhi hampir setiap ruang waktunya? Dan mungkin juga dia terlibat sama, sudah biasa memberi ‘sumbangan ikhlas’ atau menerima ‘tajaan’ tertentu daripada pihak-pihak yang berkepentingan demi untuk maju dalam dunia serba palsu itu?
“Bila sudah terbiasa hidup dengan hasil duit masjid, wang pungutan derma pun boleh diagih-agihkan untuk belanja anak isteri,” Rasyid meneruskan tanpa menghiraukan rakannya yang sudah mula berpeluh. “Sudah tidak ada lagi rasa bersalah kerana pada mereka ini semua rezeki. Boleh dihalalkan dengan menggunakan nas-nas Al-Quran dan Hadis yang diputar-belitkan. Kononnya sebagai belanja untuk menguruskan wang derma rakyat, atau dengan memakai hak sebagai seorang amir...”
“Bukannya ini tidak pernah berlaku, malah sekarang berleluasa pula,” dia menambah. “Semuanya jadi halal apabila agama boleh dijual-beli, bila harta benda dan wang ringgit jadi matlamat, bukannya iman dan taqwa... Tidak ada keikhlasan dan kejujuran dalam hidup lagi. Jika wang zakat pun boleh disapu-bersih, harta anak yatim senang-senang digelapkan, tidak pun di‘pusing’kan dahulu di Bursa Saham, apalah hendak dihairankan tentang ‘sumbangan ikhlas’ yang diberi atas ‘kerelaan’ orang ramai walaupun hakikatnya mereka terpaksa memberi kerana menurut adat kebiasaan?”
Razak memandang jam tangannya. Rasanya belum sampai setengah jam dia berjumpa Rasyid tetapi terasa seperti berjam-jam pula...
“Macam rasuahlah juga, sudah menjadi perkara biasa,” anak muda itu terus meluahkan perasaan tidak puas hati. Lagilah rakan itu tidak senang duduk. Bukankah ini lumrah dunia politik tempatnya mencari makan?
“Nak hidup! Jaga periuk nasi aje, bukannya apa... Kalau tak suka dipanggil rasuah, panggil saja hadiah,” dia melepaskan geram. Geram akibat melihat dengan mata-kepala sendiri berbagai salah-laku yang telah mengorbankan kesejahteraan rakyat malah menggadaikan maruah agama, bangsa dan negara. “Itu yang para penguasa atau menteri ada duit berjuta-juta dalam bank. Sebab selalu dapat ‘hadiah’! Kalau orang yang kononnya kuat beragama pun boleh buat menerima semua ini, apakan lagi orang yang solat dan puasanya setakat cukup syarat? Kira halal sajalah. Apa susah?”

—————————
Malam itu, Rasyid dijemput seorang pengunjung tetap Babussalam untuk tidur di rumah suluk berhadapan makam Sheikh Abdul Wahab. Hamba Allah sebaya ayah dan berasal dari Medan ini memberitahu itulah rumah suluk almarhum semasa beliau masih hidup, tempatnya menajamkan mata hati dan makrifat terhadap Allah Subhanahuwata’ala.
Pengunjung lain di rumah suluk itu yang berasal daripada pelbagai pelusuk Sumatera juga mengajak pemuda ini supaya duduk lebih lama. Kalau boleh 40 hari, paling kurang pun tujuh. Mereka seronok apabila mendapat tahu Rasyid orang Malaysia dan ingin mengenalinya lebih dekat. Memang terdapat warga Malaysia yang rajin datang ke Babussalam dan orang-orang di sini nampaknya sukakan orang Malaysia, tidak tahulah mengapa... Adakah kerana orang Malaysia banyak duit? Harap-harap tidak...
Tetapi pemuda itu menjawab dia tidak boleh duduk lama kerana ada rancangan lain. Mereka terus memujuk. “Kalau tak dapat lama, tiga hari pun jadilah. Kalau mahu merasakan kelebihan Babussalam...”
Rasyid cuma tersenyum sahaja. Katanya cukuplah satu malam. Melihatkan permainan duit yang tidak putus hari itu, dia merasa tidak selesa untuk menetap lebih lama tetapi tidak menyatakan apa yang terbuku dihatinya. Harus juga menjaga perasaan orang lain walaupun pemuda ini kadang-kadang mulutnya lancang...
Lagipun dia sudah menunaikan janji kepada diri sendiri untuk bermalam di Kampung Babussalam, sudah melihat sedikit-sebanyak isinya walaupun setakat satu malam. Sudah masuk pintu kesejahteraan walaupun ia sekarang bergelumang dengan permainan wang. Sekarang sampailah masanya untuk pemuda ini masuk ke daerah kesejahteraan. Maka target seterusnya adalah bermalam Jumaat, malam esok di Aceh Darussalam...

Sheikh Abdul Wahab dan Babussalam

Kampung Babussalam atau panggilan tempatannya Besilam memang sangat terkenal di Tanjung Pura. Nama itu juga harum di luar Langkat sehingga ke serata Sumatera. Ia adalah sebuah pusat kerohanian Tariqat Naqsyabandiah, lebih tepat Naqsyabandiah-Khalidiyah yang terbesar di pulau itu, berkat pengasasnya yang dikatakan bertaraf wali, almarhum Sheikh Abdul Wahab yang mendapat ijazah kerohanian dari Jabal Qubis, Mekah, bukit yang terletak berhadapan pintu Babus-Salam di Masjidil Haram.
Menurut seorang tua di Kajang, Selangor, Sheikh Abdul Wahab telah dilahirkan pada 10 Rabiul Akhir 1230 Hijrah (28 September 1811) di Kampung Danau Runda, Rantau Binuang Sakti, Rokan Tengah, dalam wilayah Kampar di Riau. Pakcik yang cuma ingin dikenali sebagai Pak Su ini memberitahu, Sheikh itu telah diamanahkan oleh gurunya untuk memimpin rumah suluk dan mengajar tariqat tersebut dari Aceh sehingga ke Palembang juga mengembangkannya ke serata Indonesia dan Malaysia.
“Almarhum telah mendapat ijazah dan mandat sebagai Khalifah Tariqat Naqsyabandiah daripada Sheikh Sulaiman Zuhdi yang pernah memimpin ibadah di Jabal Qubis bertahun-tahun lamanya,” dia menerangkan. “Ramai orang pernah bersuluk di bukit sebelah Masjidil Haram itu termasuk para jemaah daripada Turki, India, Malaysia dan Indonesia.”
Untuk pengetahuan, bukit itu sekarang telah ditutup, dibina sebuah istana keluarga Saud yang memerintah Arab Saudi. Maka tamatlah sebuah lagi warisan kerohanian umat Islam zaman-berzaman...
Kata Pak Su, Sheikh Sulaiman Zuhdi yakin Sheikh Abdul Wahab (nama sebenarnya Haji Abdul Wahab bin Abdul Manaf) akan menunaikan amanah sebagai Khalifah Naqsyabandiah dengan sebaik mungkin lalu meramalkan beberapa orang Sultan akan menjadi anak murid almarhum.
Rasyid yang tertarik mendengar cerita inipun bertanya:”Apakah yang diperlu dilalui almarhum sebelum diberi gelaran Khalifah, pakcik?”
Orang tua itu tersenyum. Kelihatan barisan giginya yang putih, bersih berkat amalan bersugi dan sentiasa berkumur setiap kali berwuduk...
“Macam-macam nak,” jawab Pak Su. “Kena buat latihan bersuluk, memencilkan diri dari masyarakat umum sambil memerhatikan adab dan pantang-larang. Solat lima waktu tak tinggal. Banyakkan solat sunat dan berzikir beribu-ribu kali ikut apa yang guru ajar. Sambil itu mesti kurangkan tidur, banyakkan berpuasa, jaga kesucian diri malah apa sahaja yang terlintas di hati. Ini sahaja Sheikh Abdul Wahab telah lakukan selama enam tahun!”
Tetapi kata pakcik itu, lebih penting lagi, seseorang itu mesti ta’at dan mematuhi setiap arahan guru tanpa banyak soal. Kerana dalam perjalanan ilmu tariqat, peranan guru mursyid sangat penting untuk peningkatan kerohanian anak murid. Untuk mencapai keadaan Fana’ (melebur, hilang identiti diri) dalam kewujudan dan keEsaan Allah Subhanahuwata’ala, seseorang murid mesti melalui peringkat Fana’ fil Sheikh, melebur dalam diri guru terlebih dahulu. Seolah-olah murid itu tidak pernah wujud, gurulah segala-galanya yang ada. Tetapi mestilah ikut seorang guru mursyid pewaris Nabi, bukan guru ‘Ya Ya’, guru ajaran sesat yang banyak terdapat sekarang...
Pernah terjadi, guru Sheikh Abdul Wahab menyuruh anak-anak muridnya membersihkan takungan najisnya. Ketika kebanyakan mereka merasa segan dan jijik lalu teragak-agak untuk mematuhi arahan, almarhum pula sanggup mengangkat kotoran itu dengan tangan sendiri.
“Selesai itu, Sheikh Sulaiman pun memberitahu tangan Abdul Wahab ini akan dicium raja-raja nanti. Ini terbukti apabila Sultan Langkat, Sultan Musa Al-Muazzam Syah mencium tangan almarhum di Kampung Babussalam,” kata Pak Su. “Malah Sultan yang pernah diberi gelaran Pengiran Indera Diraja Amir Pahlawan Sultan Aceh ini pernah dihukum oleh Sheikh Abdul Wahab, disuruh bertaubat dan beristighfar di tangga Masjid Babussalam. Sehingga ahli keluarga baginda merasa marah dan terhina lalu datang dengan pedang terhunus untuk melawan dan mengajar almarhum! Nasib baik suasana kembali tenang apabila Sultan sendiri menerangkan keadaan.”
Tanah Babussalam seluas 4 kilometer persegi pula telah diwakafkan Sultan untuk kegiatan agama Sheikh Abdul Wahab dan para pengikutnya. Baginda meneruskan tradisi nenek moyangnya memelihara guru agama, tradisi yang dimulakan Baginda Dewa Syahdan, bekas panglima keSultanan Deli yang membuka kerajaan di Guri lebih 300 tahun dahulu.
Kata Pak Su, Sultan Musa pernah memelihara Sheikh H.M. Nur, rakan seperguruan Sheikh Abdul Wahab ketika di Mekah. Sheikh inilah yang menasihati baginda dan isteri supaya bersuluk dengan almarhum, selepas seorang putera kesayangan baginda mangkat akibat sakit teruk.
Tidak lama kemudian, Sheikh Abdul Wahab yang sedang bermastautin di Kubu, Riau pun dijemput ke Langkat lalu mula memimpin suluk di tempat khas yang disediakan Sultan. Sampai masanya, baginda cukup maju lalu disuruh bersuluk di Mekah pula di bawah pimpinan Sheikh Sulaiman Zuhdi sehingga baginda sendiri mencapai taraf Khalifah...
“Sheikh Abdul Wahab telah berjaya mengangkat 126 orang Khalifah daripada pelbagai pelusuk Sumatera hinggalah ke Jawa dan Malaysia. Kalau di Semenanjung, ramai di Batu Pahat, salah satu tempat almarhum pernah bermastautin mengajar agama selain di Perak.” Pak Su memberitahu. “Setiap Khalifah pula layak untuk memimpin suluk dan mengajar Tariqat Naqsyabandiah di daerah sendiri. Bayangkan, berapa banyakkah agaknya jumlah pengikut semua Khalifah ini, diikuti para pengikut yang kemudian hinggalah sekarang. Lalu berkembanglah ajarannya ke merata tempat dan tersebar luaslah kemasyhuran Babussalam...”
Sheikh Abdul Wahab diberitakan telah kembali ke rahmatullah pada 21 Jamadil Awal 1435 Hijrah (27 Disember 1926), dalam usia yang amat lanjut iaitu 115 tahun. Tambah orang tua itu, almarhum meninggalkan 14 orang anak laki-laki, 12 perempuan dan empat orang isteri serta beberapa orang cucu. Malah, ada pihak menyebut, almarhum juga mempunyai 24 orang bekas isteri yang pernah diceraikan, masing-masing berasal dari pelbagai ceruk rantau!
Banyak juga kisah tentang Khalifah tariqat ini termasuk beberapa peristiwa karamah telah diceritakan oleh pakcik dari Kajang yang berumur hampir 80 tahun itu. Tetapi cukuplah apa yang dinukilkan setakat ini sebagai pengenalan... Pak Su cuma berpesan, jika Rasyid berpeluang, singgahlah di kampung itu walaupun sejenak, sekadar untuk menjenguk makam.
“Lebih elok lagi kalau anak pergi bersuluk beberapa hari di Babussalam,” pakcik itu memberi nasihat. “Mana tahu akan terbuka segala hijab yang menutupi pandangan anak? Dapatlah kalau tidak banyak pun sedikit jawaban yang anak cari-cari selama ini...”
Pak Su sendiri pernah ke sana sebelum Malaysia merdeka, semasa dia muda belia untuk mencari arah tujuan hidup. Lalu beliau pun belajar agama sambil berkhidmat membersihkan masjid lebih setahun, sekali masuk bersuluk paling kurang tiga hari, paling lama 40 hari tanpa henti.
“Banyak juga ilmu yang pakcik dapati,” dia memberitahu. “Fahamlah pakcik peringkat-peringkat musyahadah dan muraqabah, dapat melihat sendiri sedikit sebanyak hakikat sebenar kewujudan alam ini...”
Rasyid tersenyum sahaja. Kalau tidak disuruh pun, dia tetap akan mencari jalan untuk ke sana demi mendapatkan berkat almarhum Sheikh Abdul Wahab sebelum melangkah masuk ke bumi Serambi Mekah. Bukankah Babussalam itu bermakna pintu kesejahteraan? Sedangkan Aceh dipanggil Darussalam, daerah kesejahteraan... Maka itu kenalah ikut pintunya untuk masuk ke daerah...

Pengalaman di Tanjung Pura

Dipetik daripada Bab 5 buku "Berpetualang ke Aceh: Mencari Diri dan Erti".

Pada saat dan ketika yang baik, Rasyid pun bersiap-sedia meninggalkan Medan untuk meneruskan perjalanan ke Aceh. Oleh kerana perjalanan darat mesti melalui bandar Tanjung Pura di kabupaten (wilayah) Langkat yang bersempadan dengan bumi Serambi Mekah, pemuda ini bercadang untuk singgah di Kampung Babussalam, sebuah pusat kerohanian Tariqat Naqsyabandiah yang terbesar di Sumatera.
Selesai sarapan pagi, Apin menghantar anak Malaysia ini ke batu enam jalan besar ke Binjai, tempat perhentian kereta sewa ke utara Sumatera. Memandangkan Rasyid orang luar yang tidak tahu selok-belok tempatan, dia pun berbincang dengan seorang pemandu untuk menetapkan harga tambang. Mereka bersetuju dengan tambang 7,000 Rupiah. Rasyid menyediakan ongkos itu lalu menyerahkannya terus kepada pemandu.
Pesan Apin ringkas: “Turunkan kawan saya ini di Masjid Azizi, Tanjung Pura.” Dia menunggu sehingga mobil itu (sebenarnya van sebesar Toyota Liteace yang dijadikan pengangkutan awam) cukup penumpang, adalah dekat 20 orang berhimpit bertemu lutut dan siku. Selepas mengucapkan terima kasih dan selamat tinggal kepada Apin, Rasyid pun berlepas meninggalkan hiruk-pikuk kesesakan kota Medan.
Dalam perjalanan, pemuda kelahiran Muar, Johor itu tidak banyak bercakap. Dia hampir tidak bersuara langsung, menikus dalam dunianya sendiri seperti tidak mahu bercampur orang langsung. Orang tua yang duduk berhimpit di sebelah sehingga lutut mereka bertemu ada bertanyakan arah tujuannya tetapi Rasyid cuma menjawab: “Mahu ke Tanjung Pura”. Kemudian tersenyum sebelum menoleh ke hadapan melihat pemandangan.
Mungkin sikapnya kelihatan sombong kerana tidak sudi berbual dengan penumpang lain. Sebenarnya pemuda ini tidak mahu bercakap banyak kerana tidak mahu sesiapa menyedari dia adalah orang luar. Takut ada manusia berniat jahat akan mengambil peluang mengenakannya, take advantage kerana dia tidak tahu selok-belok tempatan. Sekurang-kurangnya jika ada yang sedar pun, mereka mungkin menganggap Rasyid sudah biasa ke Indonesia. Mungkin berfikir dua tiga kali sebelum cuba menipunya. Pengalaman dua hari dua malam di Medan telah mengajar, ramai manusia sanggup berbuat apa sahaja untuk mendapatkan duit tambahan...
Bukan hendak kata orang Indonesia jahat, apa lagi orang tua di sebelah yang kelihatan kuat beragama. Tetapi kalau orang ini jujur, belum tahu penumpang lain juga begitu. Maka lebih elok berhati-hati sebelum apa-apa terjadi. Bila Rasyid membuka mulut , orang boleh tahu pemuda itu orang Malaysia dan selalunya mereka menyangkakan orang Malaysia kaya-raya belaka, ada membawa banyak duit untuk melancong di Indonesia. Lalu ramai yang meletakkan harga lebih, tidak kira untuk membeli rokok, makan di warung atau membayar tambang pengangkutan awam. Tambang atau harga barangan 1,000 Rupiah boleh dinaikkan menjadi 5,000 Rupiah. Silap-silap di’ketuk’ menjadi lebih 10,000 Rupiah!
Orang tempatan atau orang luar yang sudah biasa dengan Medan selalunya jarang bertanyakan harga. Kalau naik pengangkutan awam, agak-agak sahajalah berapa orang selalu beri, 1,000 Rupiah atau 2,000 kemudian bayar. Jangan bercerita panjang... Begitu juga harga makanan dan rokok kerana kedai-kedai biasa jarang meletakkan tanda harga.
Itu belum dikira muka-muka penyangak yang akan cuba menggertak meminta duit jika diberi peluang. Dari jauh lagi, dari body languagenya, Rasyid boleh mengenali orang-orang seperti ini... Dan sejak sampai di Indonesia dia telah terserempak tidak kurang empat orang berperangai gangster yang tidak akan teragak-agak meminta wang jika diberi peluang.
Van dari Medan ini berhenti sebentar di kota Binjai menurunkan penumpang sebelum meneruskan perjalanan melalui ladang kelapa sawit yang luas. Anak muda itu pula tertidur nyenyak kepenatan. Beberapa hari kebelakangan ini tidak cukup rehat kerana asyik berjalan hampir tanpa henti... Sedar-sedar sahaja, sudah sampai ke Masjid Azizi, masjid raya (masjid utama) Tanjung Pura, ibukota kabupaten Langkat.

—————————

Masjid Raya Azizi memang cantik. Rasanya lebih indah daripada Masjid Raya Al Mansun kebanggaan Medan. Dari luar lagi Rasyid sudah terpegun melihat bangunan berwarna kuning cair ini dengan kubah hitam tinggi besar dikelilingi beberapa kubah hitam lain yang lebih kecil tetapi sama reka-bentuknya. Sudah nampak tiang-tiangnya berhias cantik dengan ayat-ayat Al-Quran tertulis dalam seni khat indah di sekeliling.
Lalu dia terus bergegas ke masjid. Lagipun pemuda yang pernah bersolat di beratus buah masjid seluruh tanahair, mungkin juga beribu termasuk di luar negara perlu ke tandas untuk melepaskan hajat. Selesai itu, barulah dia berjalan mengelilingi bangunan itu untuk melihat senibinanya daripada beberapa sudut. Ah... memang indah dan tinggi nilai keseniannya.
Kalau hendak tahu bagaimanakah rupa Masjid Azizi lihatlah Masjid Zahir, masjid diraja Kedah di Alor Setar. Memang rekabentuknya berkaitan. Di perkarangan masjid lama Kedah itu terdapat papan-tanda yang tertulis bahawa Masjid Zahir didirikan menurut senibina masjid-masjid di Langkat. Agaknya Kedah dan Langkat memang ada kaitan kot?
Kebetulan pula istana lama Langkat di Tanjung Pura yang telah musnah dijilat api diberi nama Istana Kota Darul Aman, sepertimana negeri Kedah juga dikenali sebagai Kedah Darul Aman. Apakah ini cuma kebetulan atau memang ada kaitan yang lebih mendalam? Apa yang Rasyid tahu, memang ada sedikit hubungan kekeluargaan di antara kerabat diraja Kedah dan Langkat yang telah diikat melalui beberapa perkahwinan.
Di perkarangan hadapan arah kiblat pula terdapat makam diraja Langkat yang mengandungi makam Sultan Musa Muazzam Shah (memerintah 1840-1893), raja yang tercatit dalam sejarah sebagai Sultan pertama kerajaan yang pernah menjadi wilayah taklukan Aceh itu. Baginda dikenali sebagai seorang yang alim lagi warak malah merupakan salah seorang Khalifah Tariqat Naqsyabandiah yang terkenal di Sumatera. Turut dimakamkan di situ ialah cicit baginda, penyair dan penulis Melayu tersohor di zamannya Tengku Amir Hamzah yang terbunuh ketika revolusi rakyat tahun 1946 yang telah meruntuhkan hampir kesemua keSultanan Melayu di Sumatera.
Tetapi lebih menarik perhatian Rasyid adalah batu-batu nesan di kawasan pemakaman itu tinggi-tinggi belaka, masing-masing setinggi orang dewasa! Batu nesan kerabat diraja perempuan yang berbentuk seperti api menjulang pula mengingatkannya kepada batu nesan berbentuk serupa di sebuah makam lama di Kuala Terengganu, berdekatan simpang tiga jalan ke muzium negeri. Bezanya batu nesan di Langkat itu diperbuat daripada batu mar-mar putih sedangkan makam lama Terengganu yang dilihatnya ditanda kayu bercat kuning. Apakah kaitannya? Wallahualam...
Setelah puas menziarahi makam, pemuda itu masuk ke Masjid Azizi lalu menunaikan solat sunat Tahiyatul Masjid. Kemudian berehat setengah jam sebelum berjalan kaki menuju ke pusat kota. Selepas 3 kilometer berjalan, barulah dia berhenti di sebuah kedai, makan tengahari lauk ikan dengan sayur masakan tempatan. Sambil itu, Rasyid mahu bertanyakan arah ke Kampung Babussalam kerana walaupun dia ada terserempak orang di sepanjang jalan, anak muda itu masih was-was hendak bertanya, takut tersilap orang lalu ditipu atau dipermainkan. Selepas meneliti airmuka setiap orang yang keluar masuk kedai, dia pun bertanya seorang pelayan kedai. Pelayan itu memberi petunjuk arah tetapi katanya kampung itu masih jauh, dekat 10 kilometer lagi. Jenuhlah juga kalau berjalan kaki...
Katanya lagi, Rasyid boleh menaiki motosikal sewa yang menjadi salah sebuah pengangkutan awam utama di sini, dipanggil orang tempatan sebagai ‘kereta’. Ambil di pusat kota, lagi 1 kilometer perjalanan tetapi dia tidak tahu tambangnya berapa. Pemuda itu sudah malas hendak bertanya lagi, nampak sangat tidak tahu selok-belok tempatan. Akhirnya dia menaiki beca yang kebetulan lalu di hadapan kedai makan. Rupa-rupanya, ‘terkena’ juga. terbang 20,000 Rupiah sedangkan anak muda ini boleh pergi ke Babussalam dengan tambang 2,000 Rupiah jika menaiki ‘kereta’...

Khamis, November 30, 2006

Lagi huraian sebab kejatuhan Melaka



Masjid Kampung Raja di Pagoh, Muar, Johor. Di sebelah masjid inilah terletaknya makam Sultan Alauddin Riayat Shah (memerintah 1477-1488 Masihi), satu-satunya Sultan Melaka yang makamnya masih wujud di Malaysia.

Subhanallah. Terasa mahu menyambung lagi cerita daripada Bab 2 buku "Berpetualang ke Aceh: Mencari Diri dan Erti"... Kira sambungan terus daripada sedutan mengenai Sultan Alauddin Riayat Shah dalam artikel sebelum ini...


Di sini terbit satu kekhilafan sejarah yang nyata. Kenapa Sejarah Melayu menceritakan Sultan Alauddin semakin gering lalu memanggil Bendahara dan para pembesar malah bersandar pada dayang-dayang sebelum memberi wasiat supaya Sultan Mahmud yang masih belum bercerai susu pula diangkat sebagai penggantinya? Bagaimana baginda boleh berbuat begini sedangkan hari-hari terakhirnya dihabiskan di luar Istana Melaka, nun jauh di Pagoh dengan makamnya di sana sebagai bukti?
Bagaimana pula Sultan Mahmud yang ibunya anak Bendahara boleh diangkat sedangkan Sultan Alauddin mempunyai seorang lagi anak yang jauh lebih tua, matang dan layak, seorang anak gahara dari ibu berdarah raja bernama Raja Munawar? Apakah mungkin ini berlaku kerana Raja Munawar yang pernah ditabalkan sebagai pemerintah Kampar juga mempunyai sifat adil, warak, tegas dan gagah berani seperti ayahandanya?
“Apakah kerana baginda tidak boleh dipengaruhi para pembesar korup, maka Sultan Mahmud yang belum mengerti apa-apa lalu senang diperalatkan pula dipilih?” tanya Rasyid kepada kawan-kawannya. “Yang pasti, Sultan Mahmud lebih memenuhi citarasa para pembodek. Boleh diampu, ‘diangkat’ secukup rasa. Apa salahnya dibiarkan bermaharajalela asalkan tidak mengganggu kegiatan ‘extra-curriculum’ mereka?”
Memang pemuda ini marah apabila bercerita tentang apa bentuk salah-laku yang dilihatnya tidak kira pada zaman mana ia berlaku, walaupun orang lain mungkin tidak mempunyai pandangan serupa. Tetapi mereka yang mengenalinya tidak kisah jika kata-katanya kadang-kadang agak keterlaluan dan emosional. Atau mereka kurang sedar betapa pentingnya ‘fakta’ yang ingin diketengahkan? Tidak endah bahawa itulah faktor utama kejatuhan Melaka, faktor sama yang boleh menyebabkan kejatuhan Malaysia jika pemimpin serupa diangkat menerajui negara?
“Ingat tidak cerita peminangan Puteri Gunung Ledang?” Rasyid bertanya. Kali ini di hadapan beberapa orang yang baru sahaja dikenali di sebuah warung terpencil di Hulu Langat. “Kerana inginkan sangat puteri itu, Sultan Mahmud sanggup memaksa rakyat Melaka menggadaikan harta benda dan tenaga untuk membuat kerja sia-sia. Demi memenuhi syarat peminangannya, rakyat dikerah mendirikan jambatan emas dari Kota Melaka ke Gunung Ledang. Kalau dilihat pada peta sekarang adalah 40 kilometer jauhnya. Berapa tan emas kah yang perlu dipakai? Berapa banyak harta rakyat harus digadai? Berapa banyak tenaga yang dipersiakan?”
Tidak cukup itu, mereka disuruh pula mengumpul bertempayan air mata anak dara. “Bagaimana pula dengan sedulang hati nyamuk dan sedulang hati kuman yang perlu disediakan juga. Hendak mencari nyamuk sedulang pun payah, inikan lagi hatinya, apa lagi hati kuman. Tidakkah gila rakyat Melaka dibuatnya?” Rasyid terus melepaskan geram.
Tetapi orang tidak boleh berkata apa kerana kisah ini memang disebut dalam kitab Sejarah Melayu juga Hikayat Hang Tuah. Lagipun pemuda ini bercerita perkara yang benar kerana Sultan Mahmud memang terkenal dengan kezalimannya. Bukankah pepatah Melayu menyebut raja adil raja disembah, raja zalim raja disanggah? Pada Rasyid, daripada orang lain seperti Mat Saleh kutuk bangsa kita, baik orang Melayu sendiri mengingatkan bangsa. Jangan sampai orang seperti Munsyi Abdullah yang menegur anak raja bodoh tidak pandai membaca, asyik hendak berlaga ayam sahaja pula berlagak sebagai pejuang bangsa sedangkan hamba Allah ini juga bertanggungjawab menterjemahkan kitab Bible ke dalam Bahasa Melayu. Untuk apa? Supaya kita menjadi bangsa yang lebih bertakwa? Sudahlah... Tali barut penjajah... Jangan sejarah lama berulang kembali... Maruah bangsa dan tanahair tergadai lagi. Jadilah Pak Kaduk setakat menang sorak. Mana tidak bangsa lain kata orang Melayu, bodoh, lemah...
“Apapun, akhirnya, sejarah menyebut Sultan Mahmud tidak dapat memperisterikan Puteri Gunung Ledang,”seorang hamba Allah menyampuk. “Kerana dia tidak dapat memenuhi syarat terakhir iaitu mempersembahkan semangkuk darah anaknya Raja Ahmad. Tidak sampai hati melihat anak kecilnya sedang lena beradu,”
“Betul! Tetapi dia nyaris nak buat juga,” Rasyid menjawab balik. “Bukan senang membendung kehendak raja rakus yang sedang memuncak. Menurut cerita dalam Hikayat Hang Tuah, Sultan Mahmud memang sampai hati hendak menumpahkan darah anaknya sendiri tetapi Puteri Gunung Ledang sempat menjelma di istana lalu menghalang.”
“Kamu tidak tontonkah filem Puteri Gunung Ledang?” dia menyambung. “Bukankah Tiara Jaquelina yang berlakon sebagai puteri itu telah menjelma dalam istana untuk memberi amaran kepada Raja Melaka? Sebelum itu, Sophia Jane yang berlakon sebagai Tun Fatimah sudah mendaki Gunung Ledang untuk memberitahu Tuan Puteri tentang niat suaminya yang bermata keranjang mahu masuk meminang. Dia sendiri menyebut boleh ke tudung saji dibuat tutup mulut gunung berapi...”
“Eh... Kamu ini pandai-pandai sahaja bercerita,” seorang pendengar lain menegur. “Bukankah Tun Fatimah menyebut bolehkah air disiram untuk memadamkan gunung berapi, lebih kurang begitu...”
“Entahlah...” jawab Rasyid. “Tudung saji ke tudung botol, aku tidak berapa ingat dialognya. Tetapi maksudnya, bolehkah ditutup nafsu Sultan Mahmud yang sudah berahi sangat hendak beristerikan puteri itu.”
Mungkin begitulah juga keadaannya bila ada pemimpin negara yang gilakan perempuan. Bukannya rakyat tidak tahu, berapa ramai orang politik sanggup berbuat apa sahaja untuk mendapatkan wanita pujaan mereka? Setakat bercakap bohong ini nothing, memang tabiat semulajadi orang-orang ini... Masalahnya ada yang sanggup mempermainkan agama, bangsa dan negara, pandai bermain ayat-ayat Al-Quran, berlagak seperti ustaz dan sanggup menggunakan kuasa yang diamanahkan, juga harta awam untuk mencapai cita-cita dan memenuhi nafsu serakah. Akhirnya yang punah rakyat juga, termasuk perempuan yang termakan pujuk-rayu mereka...
Menurut satu cerita pula, Puteri Gunung Ledang sengaja memberi syarat-syarat mengarut kerana mereka sebenarnya haram berkahwin. Ini kerana menurut orang-orang lama yang pernah ditemui Rasyid, baginda adalah ibu saudara Sultan Mahmud, anak nendanya, Sultan Mansur Shah dengan puteri Majapahit! Mana boleh berkahwin beb? Nak jadi macam Sangkuriang yang gilakan ibu kandungnya? Atau kalau Mat Saleh (sebab ramai Melayu tak kenal sejarah bangsa sendiri) jadi macam Oedipus?
Anak muda itu teringat komen seorang tua yang dikenalinya mengenai filem Puteri Gunung Ledang. Pejuang lama kemerdekaan orang Melayu ini cukup marah kerana Hang Tuah digambarkan sebagai “mat jiwang”, syok sangat bercinta dengan puteri itu sehingga frust giler, sanggup lari terpekik-terlolong tak tentu arah sampai boleh tergolek masuk paya...
“Cis! Menjatuhkan maruah pahlawan Melayu sahaja,” katanya marah. “Sudahlah begitu, filem ini juga menggambarkan tentera kerajaan Demak macam gangster, golongan fanatik agama yang tidak menghormati hak asasi manusia... Serang kerajaan Majapahit sehingga sanggup bakar rumah rakyat biasa yang tidak berdosa. Mana ada tentera Islam buat begitu? Kerajaan Demak adalah KeSultanan Islam pertama di Pulau Jawa, disokong pula para Wali Songo... Islam tidak mengajar umatnya membakar rumah orang, apalagi milik golongan marhain. Ini semua propaganda halus untuk menjatuhkan maruah Islam. Atau orang yang buat filem ni memang tak peka sejarah?”
“Kebodohan dan kerakusan Sultan Mahmud bukan setakat itu saja,” Rasyid meneruskan cerita di hadapan pengunjung warung di Hulu Langat. “Ada banyak lagi dan lagi... Salah satunya Sejarah Melayu menceritakan dia sanggup membunuh saudara kandungnya sendiri, Raja Zainal!”
Menurut cerita itu, Sultan Mahmud amat marah, dengki dan iri hati kerana segala kaum wanita Melaka, tua dan muda, dara juga yang berpunya akan berhenti membuat kerja lalu duduk di serambi rumah atau menghendap dari balik tingkap untuk menatap rupa paras Raja Zainal yang elok dan kacak setiap kali saudaranya itu keluar dari istana untuk bersiar-siar. Maka itu dia telah mengarahkan agar adindanya itu dibunuh secara senyap-senyap demi ‘kesejahteraan’ negara. Agar para wanita Melaka tidak lagi dapat menatap wajah kacaknya sehingga Melaka menjadi ‘huru-hara’. Bacalah kitab Sejarah Melayu. Lebih kurang begitulah ‘prihatinnya’ seorang raja dalam menjaga ‘kebajikan’ rakyatnya.
“Mungkin dia tidak rasa bersalah kerana Raja Zainal adalah adinda tirinya, seibu dengan Raja Munawar yang disisih dari takhta Melaka.” Rasyid menduga. “Kitab Sejarah Melayu ada menyebut Sultan Mahmud kurang senang apabila ada pembesar yang kelihatan lebih suka jika Raja Munawar menaiki takhta. Maka eloklah juga adinda seibu Raja Munawar ini dihapuskannya, kuranglah seorang ‘pencabar’ takhta. Tapi apo nak dikato apabila Sultan ini nanti sanggup membunuh anakandanya, darah dagingnya sendiri Raja Ahmad yang dahulunya ditatang bagaikan minyak penuh dalam cerita peminangan Puteri Gunung Ledang?”
Sebelum itu, Sultan Mahmud telah mengarahkan pembunuhan seisi keluarga Bendahara Tun Mutahir kerana percayakan fitnah. Sejarah Melayu mencatatkan, dia telah lama berdendam kerana Bendahara tidak memberitahu beliau mempunyai seorang puteri rupawan bernama Tun Fatimah. Sultan cuma dapat tahu apabila dijemput menghadiri majlis perkahwinan puteri itu dengan Tun Ali. Maka apabila ada yang menjaja cerita Tun Mutahir merancang untuk merampas takhta, Sultan Mahmud mengarahkan seluruh isi keluarga Tun Mutahir dibunuh tanpa periksa, termasuk Tun Ali. Tun Fatimah pula dibawa ke istana untuk dijadikan isteri. Tidak lama kemudian, Kota Melaka pun diserang Portugis dan menurut catatan-catatan rasmi dengan senang jatuh ke tangan mereka.

Sultan Alauddin Riayat Shah: Satu-satunya Sultan Melaka yang makamnya masih wujud di Malaysia


Gambar makam Sultan Alauddin Riayat Shah (memerintah Melaka 1477-1488 Masihi) di Kampung Raja, Pagoh, dalam daerah Muar, Johor. Ikutilah cerita berikut yang disedut daripada Bab 2 buku "Berpetualang ke Aceh: Mencari Diri dan Erti".

Setahu Rasyid, makam Sultan Alauddin adalah satu-satunya makam Sultan Melaka yang masih wujud. Makam-makam lain nampaknya hilang begitu sahaja, mungkin kerana telah dirobohkan Portugis, untuk menghilangkan segala kesan warisan keSultanan Melaka selagi dapat? Malah pemuda yang pernah menjelajah hampir seluruh pelusuk Perak semata-mata untuk menziarahi makam-makam lama ini percaya, penjajah Barat itu sanggup merobohkan masjid-masjid dan istana-istana di Melaka lalu menggunakan batu-batu asasnya bersama batu-batu nesan raja-raja untuk mendirikan kota demi menangkis segala serangan orang Melayu.
“Itulah Kota A Famosa yang sangat dibangga-banggakan sebagai warisan peninggalan sejarah Melaka, sering diwar-warkan sebagai salah satu tarikan utama pelancong ke bekas pusat empayar Melayu itu bersama bekas peninggalan penjajah yang lain seperti Gereja Saint Paul,” kata Rasyid penuh geram setiap kali mendapat peluang untuk mengemukakan ‘penemuannya’ itu kepada sesiapa sahaja yang sanggup memasang telinga.
Nasib baik Sultan Alauddin dimakamkan di Pagoh, dalam daerah Muar, Johor. Kalau tidak, makam baginda pun agaknya turut lenyap sama!
“Itupun ada orang yang mempersoalkan kesahihannya walaupun penduduk setempat menyatakan batu nesan baginda yang bertulisan jawi merekodkan nama pemiliknya sebagai Sultan Alauddin Riayat Shah ibni Sultan Mansur Shah ibni Sultan Muzaffar Shah,” katanya penuh semangat. “Apakah ada Sultan lain dengan nama yang sama? Yang nama ayahanda serta nendanya juga serupa dengan Sultan Melaka itu? Saya rasa tidak...”
Maka timbullah satu persoalan yang menjolok fikiran - Mengapa baginda tidak dimakamkan di Kota Melaka, pusat pemerintahan empayar yang mengandungi makam diraja Melaka seperti Sultan-sultannya yang lain? Pagoh bukannya pusat pemerintahan atau pentadbiran kerajaan. Malah cuma sebuah jajahan terpencil di luar lingkungan kebesaran dan kemewahan Kota Melaka. Apakah istimewanya pekan kecil di kawasan pendalaman Muar ini sehingga seorang Sultan yang tersohor dalam sejarah keSultanan Melaka boleh dimakamkan di situ? Bukankah ini aneh? Atau wujud satu cerita lama yang telah digelapkan, cerita tersembunyi yang mengandungi punca sebenar kejatuhan Melaka ke tangan Portugis nanti?
Rasyid teringat lawatannya ke makam Sultan Alauddin di Kampung Raja, Pagoh setahun lalu. Makam berhadapan sebuah perkuburan lama ini terletak di perkarangan sebuah masjid berwarna kuning yang rekabentuknya serupa dengan sebuah masjid yang pernah dilihatnya dalam sebuah mimpi. Cuma dalam mimpi itu, masjid ini terletak di lereng bukit yang sederhana tinggi, bukan di atas bukit rendah seperti di Kampung Raja. Dan mimpi itu membayangkan sebuah lokasi di Perak yang pernah terletak berhampiran bumi Serambi Mekah suatu zaman dahulu...
Seperti diakui sejarah, Sultan Alauddin adalah seorang Sultan yang adil lagi gagah berani. Ini ada dinyatakan dalam kitab Sejarah Melayu yang ditulis sekitar abad ke 17 Masihi. Tetapi ia tidak menceritakan betapa kecekapan dan ketegasan baginda rupa-rupanya akan mengundang musibah dan keruntuhan Melaka nanti. Tidak ramai yang tahu betapa sifat mulia baginda tidak menyenangkan para pembesar yang hanya pandai bermain politik untuk mengukuhkan kedudukan diri tetapi tidak cekap menjalankan kerja . Kitab Sejarah Melayu menceritakan, Melaka pernah dilanda masalah perompak tetapi tidak berjaya ditangani pihak berwajib. Walaupun negara memiliki undang-undang dan tenaga kerja yang perlu, apa gunanya jika para pembesar kurang peka terhadap masalah negara? Maka itu, baginda sebagai Ulil Amri yang bertanggungjawab menjaga kesejahteraan rakyat telah turun sendiri ke padang menyamar sebagai orang kebanyakan bersama dua orang pengiring memantau keadaan.
Pada satu malam, Sultan Alauddin dan pengiringnya terserempak lima orang perompak sedang giat melangsaikan harta orang. Lalu terjadilah pergaduhan... Menyedari kehandalan Sultan dan orang-orangnya, para penjahat ini cuba melarikan diri tetapi berjaya dikejar sehingga tersepit pula. Mereka pun bertindak nekad dan cuba melawan tetapi berjaya dikalahkan. Baginda sendiri dapat membunuh dua orang perompak!
Keesokan hari, baginda memanggil para pembesar menghadap termasuk Temenggung yang bertanggungjawab menjaga keamanan dalam negeri. Baginda bertanya jika mereka tahu apa yang telah berlaku malam tadi tetapi para pembesar ini tidak dapat menjawab. Bagaimana hendak tahu kalau tidak menjalankan tugas seperti yang sepatutnya?
Sultan Alauddin pun memerintahkan pengiringnya menceritakan peristiwa malam itu. Ternyatalah para pembesar tidak membuat kerja, malah tidak pernah memantau keadaan sebenar negara.
Para pembesar terutama Temenggung yang berperanan sebagai Ketua Polis Negara terasa begitu malu. Menurut kitab Sejarah Melayu, sejak itu, Temenggung bertindak keras menjaga keamanan negara. Dalam suatu peristiwa, beliau telah memenggal tangan seorang perompak sehingga lengannya tercampak lalu tersangkut di celah pintu kedai. Mungkin untuk menakutkan para penjahat di Melaka? Atau sekadar melepaskan geram kerana ditegur Sultan? Apapun, tindakan ganas, drastic serta mengejut ini berjaya menakutkan penjahat. Melaka pun aman kembali...
“Apa yang tidak diceritakan dalam Sejarah Melayu adalah rupa-rupanya ketegasan Sultan Alauddin dalam mentadbir Melaka telah menyebabkan ramai pembesar menjadi gelisah dan menaruh dendam,” Rasyid memberitahu beberapa orang kawan. Kitab itu juga tidak menyebut baginda akhirnya memilih untuk memencilkan diri di Pagoh kerana wujud satu komplot besar untuk menjatuhkan baginda.
“Sedikit sahaja yang tahu Sultan Alauddin juga adalah seorang yang alim lagi warak Menurut satu sumber, baginda adalah seorang ahli Sufi, pengamal ilmu Tasawuf yang lebih mementingkan akhirat daripada dunia,” pemuda itu terus bercerita. “Baginda tidak hairan dengan pangkat, nama dan harta. Maka itu, apabila menyedari ada usaha untuk menyisihkannya, baginda lebih rela meninggalkan Melaka daripada menimbulkan suasana yang boleh mengugat kesejahteraan rakyat dan negara.”
Malangnya ada yang tidak senang selagi Sultan ini bernyawa. Baginda akhirnya mangkat diracun, menurut satu cerita, atas usaha pembesar yang sudah lama sakit hati. Ada pula menyebut, ini berlaku atas perintah abang tirinya Sultan Muhammad dari Pahang yang tersisih dari takhta Melaka kerana membunuh anak Bendahara Tun Perak semasa baginda menjadi Raja Muda Melaka. Ketika itu anak Bendahara sedang bermain sepak raga dengan kawan-kawannya. Secara tidak sengaja, beliau telah menyepak bola sehingga terkena kepala anak raja yang kebetulan lalu di situ. Destar di atas kepalanya pun terjatuh dan tanpa berfikir panjang, anak raja yang terasa jatuh air muka itupun terus menikam beliau...
Apapun memang ada pihak yang dengki dan inginkan baginda mati. Al Fatihah untuk Sultan Alauddin Riayat Shah, wali Allah yang terpilih. Sejarah mencatatkan baginda digantikan anakandanya Sultan Mahmud Shah yang terkenal kezalimannya. Maka bermulalah bibit-bibit keruntuhan Melaka yang akan menyaksikannya dijajah lebih 400 tahun...

Gurindam Hamzah Fansuri

Assalamualaikum para pembaca sekalian. Kali ini saya ingin berkongsi sedikit gurindam lama gubahan Sheikh Hamzah Fansuri, seorang Sufi bertaraf Wali yang sangat terkenal di Aceh kurun ke 16 hingga 17 Masihi. Baca dan renungilah isinya... Sila...


Wahai segala kita anak Adam
Jangan lupa akan Shahi Alam
Pada bahr al-dhunub jangan terkaram
Supaya ashiq siang dan malam

Ashiqmu itu jangan bercawang
Meninggalkan dunia jangan kepalang
Suluh Muhammad sayogia kau pasang
Kepada Rabb al-Alamin supaya kau datang

Shariat Muhammad terlalu 'amiq
Chayanya terang di bayt al-'atiq
Tandanya ghalib lagi sempurna tariq
Banyaklah kafir menjadi rafiq

Bayt al-'atiq itulah bernama Ka'bah
Ibadat di dalamnya tiada berlelah
Tempatnya ma'lum di tanah Mekah
Akan qiblat Islam menyembah Allah

Wahai segala kita yang membawa iman
Jangan berwaktu mengaji Qur'an
Halal dan haram terlalu bayan {jelas}
Jalan kepada Tuhan dalamnya 'iyan

Qur'an itu ambil akan dalil
Pada mizan Allah supaya thaqil
Jika kau ambil shari'at akan wakil
Pada kedua alam engkaulah Jamil

Kerjakan salat lagi dan sa'im
Inilah ma'na bernama qa'im
Pada segala malam kurangkan na'im
Napikan alam kerjakan da'im

Ukhrujkan dirimu daripada sayyi'at
Jangan taqsir mengerjakan hasanat
Tuntut olehmu hakikat salat
Supaya wasil adamu dengan Dhat

Salat itu terlalu kamal
Di dalamnya liqa lagi dan wisal
Apabila lenyaplah daripada waham dan khayal
Engkaulah sultan yang tiada bermithal

Malak al-mawt terlalu garang
Tiada berwaktu iya akan datang
Suluh Muhammad sayogia kau pasang
Supaya mudah pulang ke sarang

Hikmat dan khayal jangan kau cari
Supaya jangan menjadi asi
Kerjanya itu sifat nafsani
Tiada dapat sampai kepada Rabbani

Hikmat dan khayal tinggalkan bapai
Supaya engkau jangan terlalai
Ma'rifat dan Haqiqat sayogia kau pakai
Itulah 'amal yang tiada berbagai

Hamzah ini asalnya Fansuri
Mendapat Wujud di tanah Shahrnawi
Beroleh khilafat ilmu yang 'ali
Daripada 'Abd al-Qadir Jilani

Selasa, November 28, 2006

Kaitan Sheikh Abdul Qadir al-Jilani dengan Aceh

Assalamualaikum para pembaca sekalian. Terasa lama juga saya tidak mengemas-kini blogspot ini kerana sibuk berjalan dan melayan kerenah fikiran... Tiga malam saya berada di Kampung Janda Baik, Bentong, Pahang, tiga malam seterusnya di Raub... Baru semalam kembali ke Kuala Lumpur dan baru sekarang ada gerak untuk membuat posting baru di sini.
Posting kali ini diambil daripada bab bertajuk "Sedikit mengenai Sheikh Abdul Qadir al-Jilani" dalam buku "Berpetualang ke Aceh: Mencari Diri dan Erti". Biar saya berikan bahagian pengenalan dahulu kemudian terus disambung ke bahagian yang menerangkan kaitan orang ini dengan Aceh OK... Sila baca... :]


Mereka yang gemar membaca kisah-kisah para wali mesti pernah mendengar nama Sheikh Abdul Qadir Al-Jilani, wali besar yang pernah menyinari iklim keilmuan kota besar Baghdad, pusat ketamadunan Islam hampir 1,000 tahun dahulu.
Baginda diiktiraf sekalian para wali, pengamal ilmu Tasawuf dan pengikut tariqat-tariqat Sufi seluruh dunia sebagai Sultanul Awliya, raja para wali. Ajaran-ajarannya pula menjadi ikutan ramai pencari kebenaran dan pencinta Tuhan sampailah sekarang. Sumbangan besarnya terhadap dunia pemikiran dan keilmuan Islam tidak boleh dinafikan. Terlalu banyak yang telah dicurahkan terutama dalam bidang keSufian.
Selain mengasaskan gerakan pengajian kerohanian yang dikenali sehingga kini sebagai Tariqat Qadiriyah, raja para wali ini juga telah meninggalkan banyak kitab-kitab bermutu tinggi untuk panduan manusia merapatkan diri kepada Ilahi. Antara kitabnya yang terkenal ialah Sirr al Asrar (Rahsia segala rahsia), Futuh Al-Ghaib (Penyingkapan perkara-perkara ghaib) dan Fath ar Rabbani (Limpahan ilmu keTuhanan).

————————

Rasyid cuma mengenali siapakah itu Sheikh Abdul Qadir Al-Jilani selepas lebih 12 tahun bergelumang dalam dunia syair, puisi dan ulasan ilmu keTuhanan para Sufi seperti Fariduddin Attar, Jalaluddin Rumi dan Ibnul Arabi. Entah mengapa, walaupun Sheikh itu amat dikenali seluruh dunia melebihi tokoh-tokoh ini, dia belum tergerak untuk menelaah karya-karyanya. Hinggalah terjadi sebuah mimpi pelik tahun 1998 menunjukkan Semenanjung dan Sumatera pernah bersambung suatu masa dahulu.
Pemuda ini pernah menceritakan mimpi itu kepada seorang rakan yang mengamalkan Tariqat Qadiriyah. Rakan itu bertanya kepada orang-orang yang lebih arif dan dua minggu kemudian tergopoh-gapah mencari Rasyid lalu menyebut: “He’s calling you man (dia sedang memanggil kamu). Sheikh Abdul Qadir Al-Jilani is calling you...” Tetapi anak muda yang rajin mencari orang-orang lama untuk menambah ilmu ini cuma mendapat pengertian yang lebih mendalam selepas berjumpa seorang tua di Perak yang arif tentang selok-belok perjalanan orang-orang Sufi serta berbagai pecahan ilmu Tasawuf. Orang tua ini juga bertanggungjawab membuka beberapa rahsia tentang asal-usul keluarga Rasyid sehingga terserlahlah satu cerita...

(terus melompat ke bahagian mengenai Aceh)...

Lama juga kata-kata orang tua itu terngiang-ngiang dalam kotak fikiran Muhammad Al Aminul Rasyid. Terutama tentang Sheikh Abdul Qadir Al-Jilani ada kena-mengena dengan cerita-cerita lama berkaitan Aceh yang dicarinya. Apakah maksudnya ini? Lalu pemuda ini mula menelaah beberapa buah buku yang disabitkan dengan Sultanul Awliya di perpustakaan, juga di kedai-kedai buku terutama sekitar Masjid India dan Jalan Tuanku Abdul Rahman. Terjumpalah kitab-kitabnya yang terkenal (terjemahan ke Bahasa Melayu, juga Inggeris) seperti Sirr al Asrar, Futuh Al-Ghaib dan Fath ar Rabbani. Juga sirah (kisah perjalanan hidup) yang menyebut baginda berkahwin ketika berumur 53 tahun, mempunyai empat orang isteri dan 49 orang anak, 27 darinya laki-laki...
Tetapi cuma beberapa orang anak lelakinya sahaja dikenali umum terutama Sheikh Abdul Wahab, Sheikh Isa, Sheikh Abdul Razzaq dan Sheikh Musa. Kerana meneruskan usaha berdakwah dalam lingkungan empayar Islam Timur Tengah. Apa pula terjadi kepada yang lain? Apakah mungkin ada yang sampai ke Nusantara dan beranak-pinak lalu meninggalkan keturunan di Aceh? Apakah ini kaitan yang dimaksudkan?
Sirah Sheikh Abdul Qadir Al-Jilani juga menyebut Sultanul Awliya itu kembali ke rahmatullah 561 Hijrah (1166 Masihi), ketika berumur 91 tahun. Menurut catatan sejarah Islam Nusantara pula, setahun sebelum itu, seorang pendakwah yang dikenali sebagai Sheikh Abdullah Arif telah datang ke Aceh membawa sebuah kitab bertajuk Bahr Lahut, Lautan KeTuhanan.
Ada orang tua lain pernah memberitahu, Sheikh Abdullah adalah anak murid Sheikh Abdul Qadir Al-Jilani. Mereka pernah bersama pergi ke bumi Serambi Mekah menyebarkan syiar Islam. Malah pakcik dari Kedah yang juga tidak kurang misteri ini percaya Sheikh Abdullah sebenarnya adalah anak kandung raja segala wali itu. Menurutnya lagi, Sultanul Awliya juga pernah sampai ke Kedah malah pernah beramal dan bermastautin di puncak Gunung Jerai terutama di Padang Tok Sheikh...
“Baginda pergi ke sana bersama Sheikh Abdullah al Yamani, juga dikenali sebagai Abdullah al Qumairi, orang yang mengIslamkan Sultan pertama Kedah, Sultan Muzaffar Shah tahun 1136 Masihi,” dia menambah.
Tetapi bila ditanya adakah Sheikh Abdullah al Yamani pernah datang ke Aceh 29 tahun sebelum itu, orang tua itu cuma tersenyum kemudian menukar topik lain. Seolah-olah ada rahsia besar yang tidak boleh diceritakan... Mungkin terdapat unsur-unsur “Misteri Nusantara”?
Dua tahun kemudian, Rasyid terjumpa seorang tua yang mengaku berasal dari keturunan Sheikh Abdullah Arif. Sebenarnya bukan dia yang mengaku tetapi orang lain yang beritahu. Lalu pemuda ini bertanya beberapa kali adakah dakwaan ini benar sampailah dia mengiyakan sahaja...
Orang tua yang menetap di Pulau Kampai, tidak jauh dari sempadan Aceh ini menyatakan memang terdapat pertalian darah antara Sheikh Abdullah dengan Sheikh Abdul Qadir Al-Jilani. Tetapi beliau yang mempunyai sedikit rupa-paras orang Arab nampaknya tidak mahu bercerita lebih, mungkin kerana takut berbangga diri kerana berasal dari keturunan mulia yang disanjung tinggi? Apapun dia mengaku mempunyai ramai sanak-saudara di Aceh dan sekitarnya. Ini bermakna jika benar Sheikh Abdullah Arif itu anakanda Sheikh Abdul Qadir Al-Jilani, maka terdapat ramailah juga anak cucu Sultanul Awliya ini di bumi Serambi Mekah.
Rasyid juga pernah beberapa kali mengunjungi Pulau Besar di Melaka, sebuah pulau yang dianggap sangat keramat, bukan boleh diziarahi secara sembarangan, untuk mencari makna sebuah mimpi yang pernah dialaminya lebih enam tahun lalu. Pemuda ini sudah lama mendengar cerita-cerita tentang kekeramatan dan ‘keras’nya pulau itu, salah satunya, orang yang berniat buruk atau tidak bersih seperti cuba membawa arak masuk ke sana atau ingin berzina akan tenggelam dipukul ombak. Rasyid dilahirkan dan dibesarkan di Muar, kampung ibu, boleh nampak pulau itu dari Tanjung Emas, tempatnya selalu bersantai dahulu. Tetapi dia cuma mendapat “panggilan pulau”, tergerak untuk ke sana selepas lama mencari tempat yang dapat memenuhi ciri-ciri yang terdapat dalam mimpi yang dialaminya tahun 1998, mimpi yang menunjukkan Semenanjung Tanah Melayu pernah bersambung dengan Sumatera suatu masa dahulu.
Kebetulan pula mimpi yang sama telah membawanya untuk mengenali siapa itu Sheikh Abdul Qadir Al-Jilani. Maka apabila sampai masanya, pemuda inipun bergegas ke Anjung Batu, Melaka untuk menaiki feri ke pulau itu. Barulah Rasyid tahu tentang kewujudan sebuah makam keramat yang dianggap paling utama di antara banyak makam keramat di sana. Itulah makam Sultan Ariffin Sheikh Ismail yang menonjol dengan panjangnya yang luar biasa, dikunjungi beribu malah berpuluh ribu orang terutama pengikut Tariqat Qadiriyah dari seluruh Nusantara. Lalu terjumpalah sirah menyatakan nama sebenarnya ialah Ismail bin Abdul Qadir bin Abdul Jabbar bin Saleh bin Sheikh Abdul Qadir Al-Jilani...
Kitab Hikayat Raja-raja Pasai menyatakan Sheikh Ismail pernah bermastautin di bumi Serambi Mekah untuk mengIslamkan kerajaan Samudera. Sirahnya pula menyebut baginda sempat berkahwin dengan seorang puteri bangsawan sana. Maka tidak hairanlah jika ada keturunan Sultanul Awliya muncul di Aceh melalui perkahwinan ini.
Salasilah Tunku Besar Tampin, sebuah jawatan bangsawan bertaraf Sultan di Negeri Sembilan yang diwarisi turun-temurun dalam keluarga menyatakan mereka berasal dari keturunan Sheikh Abdul Qadir Al-Jilani melalui seorang anak yang kurang dikenali umum. Tunku Besar Tampin pertama (memerintah 1834-1850), Syed Syaaban adalah anak kepada Ibrahim bin Ahmad Zainuddin bin Abdul Rahim, anakanda kepada Abu Bakar Nuruddin bin Hishamuddin bin Awaluddin bin Sharifuddin bin Shamsuddin bin Muhammad bin Abdul Aziz bin As Sadat bin Mahyuddin bin Muhammad Makhdum bin Sheikh Abdul Qadir Al- Jilani...
Kajian Rasyid juga menunjukkan KeSultanan Melaka pernah menjunjung tinggi sebuah kitab Tasawuf berjudul Insan al Kamil (Insan yang sempurna) karangan seorang lagi anak cucu Sheikh Abdul Qadir Al-Jilani iaitu Sheikh Abdul Karim Al- Jili. Apakah beliau juga pernah sampai ke bumi Aceh yang pernah menjadi pusat peradaban dan keilmuan Islam seluruh Nusantara lalu meninggalkan keturunan di situ?
Wali besar Aceh, Sheikh Hamzah Fansuri yang hidup pada zaman pemerintahan Sayyid al Mukammil (1589-1604) serta Sultan Iskandar Muda Mahkota Alam (1607-1636) mengaku telah menerima wasilah kerohanian dan pengajian Tasawuf yang dianutinya daripada Sheikh Abdul Qadir Al-Jilani. Seperti kata-kata dalam sebuah sajaknya:

Hamzah ini asalnya Fansuri
Mendapat Wujud di tanah Shahrnawi
Beroleh khilafat ilmu yang ‘ali
Daripada ‘Abd Al-Qadir Jilani


Sheikh besar Qadiriyah yang juga terkenal dengan karya-karya kesusasteraan bermutu tinggi ini mempunyai seorang anak saudara bernama Abdul Rauf yang dikenali masyarakat Aceh sebagai Sheikh Abdul Rauf Singkel atau Syiah Kuala. Apakah mereka juga berasal dari keturunan Sultanul Awliya yang ditinggalkan di bumi Serambi Mekah?

Bagaimana pula anak cucu mereka? Berapa ramaikah yang wujud dan masih hidup sekarang memandangkan orang-orang dahulu-kala biasa berkahwin banyak dan meninggalkan ramai zuriat yang terus berkembang-biak apalagi selepas lebih 300 tahun kemudian?
Maka itu tidak hairanlah jika Hikayat Raja-Raja Pasai yang diiktiraf para ilmuwan sebagai teks terawal bahasa Melayu yang diketahui setakat ini di Nusantara menceritakan Rasulullah SAW pernah bersabda:

“Sepeninggal aku telah wafat kelak, akan muncul sebuah negeri di bawah angin, Samudera namanya. Apabila terdengar kamu nama negeri itu, maka suruhlah sebuah bahtera untuk membawa perkakas dan alat kerajaan ke negeri itu, serta kamu Islamkan sekalian isi negeri itu, serta ajar mereka mengucap dua kalimah syahadat. Kerana dalam negeri itu kelak banyak orang yang akan menjadi wali Allah.”

Hikayat itu juga diakui sebagai salah sebuah sumber utama pensejarahan kerajaan-kerajaan Melayu lama. Maka kata-kata ini bukan sekadar mainan sahaja, mesti ada asas-asas tertentu yang sangat mendalam...
Perhatikan, ia menyebut Samudera mesti diIslamkan kerana di situ “kelak banyak orang yang akan menjadi wali Allah”! Bagaimana tidak muncul ramai wali? Kerana di bumi Serambi Mekah itu memang terdapat ramai manusia berbaka atau berketurunan wali, para bakal wali...
Apabila sampai masanya nanti, apabila sudah betul amalan dan perjalanan hidup mereka yang terpilih di antara jurai-jurai keturunan ini, jadilah mereka wali, seperti juga Sheikh Abdul Qadir Al-Jilani...
Cuma mungkin taraf mereka tidak sebegitu tinggi seperti nenda mereka Sultanul Awliya kerana baginda adalah raja dan penghulu segala wali. Tetapi sekurang-kurangnya orang lain juga mempunyai potensi untuk maju menggapai keredhaan Ilahi, mampu mencapai taraf nafsu Mutmainnah, tangga pertama dalam mencapai ketenangan dan kesejahteraan yang kekal abadi. Terutama anak-cucunya yang mahu kembali menghayati agama Islam syumul yang pernah diperjuangkan baginda dahulu... Dan apabila sampai masanya, Insya’allah mereka akan berjuang untuk akhir zaman pula...

Allahumasali ala Muhammad wa ala ali Muhammad...