Manakan dapat sagu kalau tidak dipecahkan ruyungnya?
Manakan dapat mutiara yang berkerlipan jika takut menyelam ke lautan dalam.
Dalam diri setiap manusia, ada seketul daging.
Jika baik ia, maka baiklah seluruh jiwa manusia itu.
Jika buruk ia, buruklah juga manusia itu...
Seketul daging itu adalah hati,
mari kita lapangkan dada dan belajar mengIKHLASkan hati.
Perjalanan seribu batu bermula dengan satu langkah.
Marilah meneroka dunia pemikiran hamba.
Silakan

Video klip yang tertera boleh dianggap sebagai pembukaan kepada dunia pemikiran dan kesukaan hamba...







-------------------------


-------------------------



Segala yang dipaparkan menggambarkan pemikiran penulis yang turut terserap di dalam setiap penulisan buku dan artikel. Lihat Cara-cara mendapatkan buku tulisan Merah Silu @ Radzi Sapiee. Di atas adalah satu klip video selama hampir setengah jam yang merupakan demo pilot episode yang mahu digunakan untuk mencadangkan satu siri pengembaraan menyusuri sejarah Melayu Islam sekeliling Nusantara untuk siaran televisyen. Entah mengapa ia menemui masalah. Kemudian penulis diberitahu konsepnya diciplak sebuah stesyen televisyen. Lihat Kembara Sejarah Islam Nusantara : The original material...



Ini adalah klip video ulasan buku ketujuh saya "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" berserta temuramah yang dibuat siaran langsung di Selamat Pagi Malaysia, RTM1. Lihat Siaran langsung ulasan buku "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" dan temu ramah di Selamat Pagi Malaysia.



Penulis juga pernah diminta membuat pembentangan mengenai siri buku "Berpetualang ke Aceh" di Masjid Sultan Salahuddin iaitu masjid negeri Selangor di Shah Alam. Lihat Buku "Berpetualang" dan himpunan ulamak Nusantara yang diketuai ulamak Aceh


-------------------------



Siri novel "Berpetualang ke Aceh" boleh didapati dalam bentuk e-book. Masuk http://www.e-sentral.com/, klik kategori novel am dan taip perkataan "Aceh" pada kotak carian. Atau terus klik Buku 1,Buku 2 dan Buku 3.





Gambar ketika menghadiri satu majlis ilmu, diambil oleh sebuah akhbar harian. Lihat Menghiasi Kosmo Alam Melayu...



Penerbitan trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" juga membawa penulis untuk terlibat dengan banyak majlis ilmu. Rujuk kumpulan links artikel di bawah tajuk "Siri Refleksi Sejarah", pada bahagian paling bawah kiri blogspot, . Penulis juga agak aktif dalam aktiviti-aktiviti kedaulatan Melayu dan Islam, dapat menganjurkan majlis-majlis sendiri di merata Semenanjung Malaysia membawa ke luar negara di Aceh. Lihat blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


Ketika menulis perenggan ini 4 Mei 2015 penulis sedang berusaha untuk mengembangkan isi 3 buku dalam siri "Berpetualang ke Aceh" menjadi 6 buku yang akan membentuk siri baru dipanggil "Siri Pengembaraan Merah Silu". Sebuah syarikat penerbitan telah bersetuju untuk menerbitkan siri lama itu kembali dalam bentuk yang lebih segar - Setiap buku asal dipecah menjadi 2 buku baru yang ditambah maklumat, gambar dan peta berwarna-warni.Pertengahan September 2015 buku pertama siri baru pun selamat diterbitkan. Seminggu lebih kemudian penulis berpeluang bercakap tentangnya secara siaran langsung dalam televisyen lalu membawa wakil penerbit bersama. Lihat video di bawah :-





Awal tahun 2015 turut menyaksikan penulis diambil menjadi penyelidik dan hos satu siri dokumentari yang dipanggil "Daulah Melayu". Projek 13 episod sepanjang sejam setiap satu ini mahu mengenengahkan formula untuk mengembalikan kekuatan bangsa Melayu. Insyaallah projek iakan membawa penulis untuk mengembara ke merata di Malaysia dan Indonesia juga ke beberapa negara dan tempat di Eropah termasuk ke kota London, tempat penulis mengambil ijazah matematik 1991-1995. Siri dokumentari ini dijangka siap untuk tayangan televisyen dalam tempoh 2 tahun.


Pada 13 Mei 2023 buku ke 13 + 1 penulis (pertama setelah yang ke-13 terbit tahun 2019 lalu mula memberikan tumpuan pada pengajian pascasiswazah di ISTAC iaitu Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam di Bukit Tunku, Kuala Lumpur), Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin & Orang Kaya Arsyad telah dilancarkan oleh sejarawan ulung negara, Profesor Emeritus Datuk Dr Abdullah Zakaria Ghazali di rumah penulis. Lihat Majlis pelancaran buku dan rumah terbuka raya 2023 - Melestarikan semangat perjuangan. Beliau yang bertanggungjawab memberikan kata-kata aluan dalam buku turut menjadi pembicara dalam diskusi yang diadakan di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2023 (berlangsung 26 Mei hingga 4 Jun). Lihat Bicara buku Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin di PBAKL 2023. Diskusi ini terakam dalam video atas diikuti video bawah...



Selasa, September 22, 2015

Wacana ilmu di UKM - Lagi tentang Angkor Wat dan industri besi purba Khmer



Keesokannya pagi Jumaat saya ke ATMA (Institut Alam dan Tamadun Melayu) di UKM (Universiti Tamadun Melayu), Bangi.


Ternampak pintu gerbang tradisional dengan maklumat menyebut ia berasal daripada Kelantan. Kebetulan sebelum sampai ke UKM saya singgah di sebuah rumah lama yang berasal daripada negeri sama. Lihat artikel Rumah (House of) Tengku Fatimah Zaharah diikuti Pintu gerbang istana Sri Akar (Gate to Sri Akar palace) di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART).
.


Saya telah beberapa kali pergi ke UKM untuk menghadiri wacana-wacana ilmu dan sebagainya tetapi di bahagian lain kampus. Walaupun sudah lama berurusan dengan pakar-pakar akademik daripada ATMA inilah kali pertama saya  singgah ke bangunan mereka.


Saya datang untuk menyertai wacana ilmu tentang perusahaan besi purba di Cambodia. Pembentang/penceramah adalah Profesor Thuy yang telah saya temui petang Khamis di UiTM. Lihat Wacana ilmu di UiTM - Angkor Wat, industri besi purba Khmer dan orang Islam Champa.


Semasa di UiTM saya sempat bertanya kepada Thuy apakah beliau akan menggunakan set slaid yang sama untuk membentang di UKM. Jawab beliau ya. 


Terfikir juga, kalau begitu perlukah saya ke UKM? Daripada rumah saya ke UiTM dah lebih 40 km. Nak ke UKM kena memandu lagi 50 km menjaiuhi rumah gitu. Tapi tak mengapa kerana saya sudah merancang untuk bermalam Jumaat di rumah seorang kawan lama di bandar lama Bangi. Daripada situ dah tak jauh ke UKM.


Lagipun kali ini ruang pembentangan diberikan khas seratus peratus untuk Thuy. Maka itu mungkin beliau akan berkongsi maklumat tambahan/baru. Dan lagi, semasa di UiTM saya lambat sampai lalu terlepas beberapa minit pembentang. Di UKM saya sampai awal lalu dapat mengikuti syarahan beliau daripada mula.





Beliau membuka dengan menunjukkan kepentingan kedudukan Asia Tenggara amnya, kedudukan Cambodia/Khmer dalam peradaban lama dunia.


Kemudian baru masuk bab kerajaan Funan yang dikatakan wujud sejak abad pertama Masihi. Ia adalah empayar besar pertama diketahui wujud dengan cukup pasti di Asia Tenggara.


Setelah itu masuklah bab kerajaan Chenla yang mengambil-alih kekuasaan Funan pertengahan abad ke-5 Masihi.


Selesai menerangkan keberadaan Chenla, barulah penumpuan boleh dibuat pada tamadun Angkor yang berpusat berdekatan tasik besar Tonle Sap dan lembah Sungai Mekong.





Tempat-tempat bersejarah penting ditunjukkan, antaranya bagaimana pelabuhan Oc Eo yang merupakan nadi perdagangan Funan berperanan berdasarkan kedudukan yang ada kena-mengena dengan aliran Sungai Mekong.


Banyak kesan tamadun lama telah ditemui dalam lingkungan yang berkaitan dengan Tonle Sap dan Mekong...


Masuk bab tamadun Angkor dan persekitaran Angkor Wat, Thuy menunjukkan satu penemuan menarik berupa ukiran wajah yang kelihatan berbangsa Aryan pada dinding sebuah kuil...


Apa yang dipersembahkan selepas itu adalah serupa apa yang sempat saya ikuti di UiTM. Oleh itu boleh ikuti sahaja cerita dalam artikel Wacana ilmu di UiTM - Angkor Wat, industri besi purba Khmer dan orang Islam Champa sebagai sambungan.





Cuma ada gambar-gambar di sini tidak dikongsikan pada artikel tersebut.











Dan selepas tamat pembentangan ada sesi soal jawab, satu perkara yang tidak dilakukan semasa di UiTM. Banyak perkara baru dapat saya perolehi termasuk keadaan sosio-politik Cambodia yang jarang diceritakan kepada umum. Paling penting Thuy merasakan wacana di UKM juga di UiTM merupakan satu titik permulaan baru kerjasama antara bangsa Melayu. Beliau mengaku dan akur bahawa bangsa Khmer di Cambodia sangat terkait dengan bangsa Melayu di Malaysia. Sesungguhnya keadaan di Cambodia berbeza dengan Thailand dan Vietnam di mana bangsa-bangsa luar yang berasal daripada selatan China telah menguasai wilayah lalu mengubah sejarah lamanya untuk disesuaikan dengan keberadaan mereka. Sedangkan Cambodia masih menempatkan ramai penduduk asli yang walaupun ramai bukan beragama Islam masih terangkum di dalam definisi luas apa itu Melayu.

Thuy malah percaya bahawa teknologi besi purba di Angkor/Khmer/Cambodia berasal daripada arah Semenanjung. Beliau menyebut Kedah sebagai tempat kemungkinan asal kerana pernah mendengar tentang penemuan tapak-tapak perusahaan besi yang lebih awal di Sungai Batu, Kedah lalu berharap akan ada ahli akademik tempatan sudi membawa beliau ke sana dan membantu pengkajian. Semoga ini akan membawa kepada penemuan-penemuan baru yang lebih menggemparkan. Secara peribadi, saya percaya Empayar Funan yang mengawali kerajaan Chenla, apalagi tamadun Angkor/Khmer itu sendiri didirikan oleh seorang cucu Raja Merong Mahawangsa. Sedangkan Merong pula adalah pembuka kerajaan Kedah Tua yang menurut kitab Hikayat Merong Mahawangsa merupakan pengembangan daripada kerajaan Langkasuka yang dibuka baginda lebih awal. 

Rujuk artikel-artikel berikut yang pernah dipersembahkan dalam blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH) 8 bulan lalu...



Mencari Kebenaran dalam Hikayat Merong Mahawangsa - Antara Merong dan Mahapudisat

Mencari Kebenaran dalam Hikayat Merong Mahawangsa - Dari zaman Funan ke zaman Kedah Islam


Untuk pengetahuan ia memaparkan isi pembentangan saya semasa acara di Lembah Bujang pertengahan Januari. Lihat Acara kedua belas HIKMAH di Pondok A.M. Bawa Muhaiyaddeen dan tapak arkeologi Sungai Batu, Lembah Bujang, Kedah 17-18 Jan 2015 untuk cerita penuh.


Wacana ilmu di UiTM - Angkor Wat, industri besi purba Khmer dan orang Islam Champa

Adus. Susah sungguh hendak memulakan penulisan kali ini. Tapi nak tak nak kena gak selesaikan, kalau tidak banyak kerja boleh tersangkut. Pada artikel Kenangan Sekolah Sains Johor dalam buku "Mencari Diri dan Erti" yang ditulis semalam ada disebut 2-3 hari kebelakangan berlaku beberapa aktiviti yang patut dikongsikan dalam blogspot. Sekarang ini dah jadi 4-5 hari kebelakangan. Kita mulakan.



Beberapa hari lepas saya mendapat tahu melalui Facebook ada perkongsian ilmu menarik akan dilaksanakan di UiTM (Universiti Teknologi Mara), Shah Alam pada hari Khamis 17 September 2015.


Sampai waktunya saya pun bergegas ke tempat.


Cuma disebabkan ada urusan tertentu di Bukit Jelutong, saya sampai ke dewan sekitar sejam lewat.


Namun saya diberitahu pembentang pertama dan utama, Profesor Thuy Chanthourn dari Cambodia baru sahaja memulakan syarahan sekitar beberapa minit. Yang saya betul-betul terlepas adalah kata-kata pengenalan dan pembukaan daripada Prof Madya Dr Wan Salleh Wan Ibrahim daripada FSPU (Fakulti Senibina, Perancangan dan Ukur), UiTM.



Tajuk utama syarahan adalah berkenaan tamadun Angkor. 


Ia dipercayai bercambah daripada tamadun kerajaan Chenla yang telah mengambil-alih kekuasaan Empayar Funan ke atas sebahagian besar wilayah Indo-China bermula pertengahan abad ke-6 Masihi.


Kami pun dibawa menelusuri tinggalan kerajaan Angkor. Kerajaan ini juga dikenali sebagai Empayar Khmer.


Tentunya ramai pernah mendengar tentang kuil Angkor Wat yang dipercayai dibina pada abad ke-12 Masihi.





Namun menurut Thuy, Angkot Wat sebenarnya satu bahagian kecil daripada kompleks bandar raya ibadat yang mengandungi tidak kurang 300 buah kuil kecil besar!


Ditunjukkan di sini peta sistem jalan raya purba Angkor yang menjangkau jarak ratusan kilometer. Sebahagian daripada sistem ini masih utuh sehingga jalan raya dan jambatan purbanya mampu menampung kegunaan kenderaan berat seperti kereta kebal hinggalah sekarang.


Peta kompleks bandar raya ibadat yang pernah menjadi pusat ketamadunan Angkor/Khmer. Nampak kota kecil di tengah> Di dalam kawasan kotak sebesar 1.5 km x 1.5 km (ke 1.5 km x 1.8 km? Dah terlupa pula) itulah etaknya Angkor Wat. Sedangkan ada kawasan kuil lebih besar misalnya yang diwarnakan hijau ke utara.


Daripada hal-hal melibatkan seni bina Angkor, Thuy mula mengalihkan perhatian kepada perusahaan besi purba.


Katanya, Cambodia pernah membuka beberapa kawasan untuk dijadikan lebuh raya tahun 2010 tetapi bertemu kesan-kesan yang menunjukkan pernah terdapat perusahaan besi purba di sekitar itu.


Hal ini menyebabkan kerja-kerja membuat lebuh raya dihentikan atas perintah pihak tertinggi kerajaan. Kerja-kerja cari gali arkeologi pula menjadi ganti.


Sampel barangan daripada beberapa tempat telah dihantar ke makmal luar negara pada tahun 2013 untuk dikenalpasti umur dan zaman. Satu sampel rosak kerana pernah berlaku kebakaran hutan di sekitar menyebabkan pembacaan makmal memberikan umur sampel cuma 8 tahun. Apapun, secara rata, sampel-sampel ini memberikan gambaran bahawa perusahaan besi purba telah wujud di Angkor/Khmer sejak abad ke-8 Masihi.


Hal ini boleh memberikan jawaban bagaimana bangunan-bangunan batu hebat seperti Angkor Wat dapat dibina. Perusahaan besi yang cukup maju membolehkan peralatan sesuai dibuat untuk memotong dan membentuk batu.


Antara corak-corak ukiran/motif yang terdapat pada kuil di Angkor dilakarkan kembali...



Kesimpulannya, kemajuan dalam perusahaan besi memainkan peranan penting dalam membentuk ketamadunan tinggi di Asia Tenggara.


Seterusnya pembentang kedua Dr Mohammad Zain Musa memberikan syarahan.


Beliau bercakap tentang penduduk Islam di Cambodia, sejarah awal mereka dan bagaimana mereka boleh terlibat dengan masyarakt Islam di Malaysia. Rata-rata mereka ini adalah keturunan orang Islam Champa yang dahulunya bertebaran merata akibat kerajaan Champa dikalahkan lalu ditakluki puak Dai Viet daripada selatan China, Ini membawa kepada pembentukan kerajaan baru Vietnam sambil keberadaan masyarakat asal Islam Cham seperti cuba dilenyapkan kesan dan sejarah.











Rupa-rupanya Zain sendiri seorang warga Islam Champa tetapi sudah lama berhijrah ke Malaysia dan menjadi warga negara sini.


Beliau kemudian memperincikan usaha-usaha yang telah dibuat oleh saudara seIslam di Malaysia untuk memajukan masyarakat Islam Champa di Cambodia .





Akhir sekali seorang ustaz Champa menceritakan tentang perkembangan masyarakat Islam di sana. Beliau tidak ada dalam program asal, cuma diminta berkongsi pengalaman apabila muncul ruang...

Ahad, September 20, 2015

Kenangan Sekolah Sains Johor dalam buku "Mencari Diri dan Erti"

Dalam tempoh 2-3 hari kebelakangan ini ada beberapa aktiviti dilakukan yang patut dikongsikan menjadi artikel di blogspot ini. Antaranya adalah saya telah diwawancara secara siaran langsung dalam rancangan Selamat Pagi Malaysia di TV1 pagi Sabtu 19 September. Tapi kalau nak cerita saya rasa kena ikut giliran, Kena cerita tentang majlis ilmu yang dihadiri di UiTM (Universiti Teknologi Mara), Shah Alam petang Khamis diikuti majlis ilmu di UKM (Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi pagi Jumaat kemudian baru wawancara. Selepas itu harus ada cerita tentang majlis ilmu yang dihadiri di DBP (Dewan Bahasa Pustaka) hingga tengah hari Sabtu.

Pada masa yang sama fikiran saya diberatkan dengan harapan penerbit agar saya dapat menyemak dan menambah apa-apa isi tambahan yang perlu untuk buku sambungan kepada "Mencari Diri dan Erti" dengan kadar segera. Sambil itu saya juga diharapkan dapat menyiapkan manuskrip untuk sebuah tajuk baru yang diharapkan dapat berada di pasaran bulan Disember... kena juga fikir keperluan dan jadual akan datang untuk projek dokumentari TV "Daulah Melayu" yang mana saya adalah hos juga seorang penyelidik. Dalam keadaan saya dilanda batuk selsema yang masih belum baik dah masuk 3 minggu, semua ini agak mengganggu tetapi tetap perlu ditangani. Fikir saya biar dibuat dahulu artikel-artikel tentang aktiviti 2-3 hari kebelakangan itu, kemudian baru selesaikan semakan buku diikuti buat manuskrip baru.

Cuma tu le, kesihatan dan kepenatan amat mengganggu mood untuk menulis. Hasilnya saya banyak terbaring atau terlopong sahaja hari ini, satu kerja penulisan pun tak buat. Tengok-tengok Allah SWT bagi saya gerak untuk menulis artikel ini pula. Mungkin kena buat dahulu, baru hal-hal lain boleh masuk, dapat mood dan lancar.



OK. Apa yang berlaku hari ini adalah saya terlihat status Facebook seorang kenalan, seorang anak muda pintar menyebut bahawa dia pernah bermain ragbi di Sekolah Menengah Sains Selangor di bawah didikan jurulatih bernama Raja Idris, seorang ahli kerabat diraja Selangor. Terus teringat bagaimana saya pernah dilatih bermain ragbi oleh orang yang sama semasa bersekolah di Sekolah Menengah Sains Johor (SMSJ), Kluang 30 tahun lalu. Jurulatih yang turut pernah mengajar Bahasa Inggeris di SMSJ ini dikenali ramai sebagai Cikgu Raja. Saya pun memberikan komen pada update anak muda tersebut. Tengok-tengok Cikgu Raja menjawab.

Jawaban yang diberikan menerbitkan rasa nostalgia yang amat sangat. Saya pun menjawab kembali menerangkan keadaan yang diterbitkan. Saya buat ini dengan rasa sebak kerana terlalu banyak kenangan tercetus tentangnya. Saya rasa elok print screen. Biar pembaca sendiri melihat. Saya print screen dan edit untuk menunjukkan komen berkaitan sahaja ya, tak perlu masukkan komen-komen orang lain yang telah muncul lebih awal...



Nah. Kebetulan pula kebelakangan ini saya mendapat banyak kata-kata sokongan membina semangat daripada kawan-kawan lama yang pernah sama-sama belajar di SMSJ 1983-1986 (saya ditendang keluar sekolah pada penghujung 1986, ketika berada dalam Tingkatan Empat). Saya juga mendapat sokongan ramai bekas pelajar daripada tahun atau batch lain... setelah mereka mendapat tahu saya telah mengeluarkan buku baru dan muncul secara siaran langsung bercakap tentang buku di RTM1 pagi semalam. Pada ketika ini kawan-kawan sama batch sedang berbincang hari dan masa terbaik untuk mengadakan perjumpaan sambil meraikan saya dan buku baru. Bila terlihat Cikgu Raja memberikan komen seperti di atas, tentulah hati saya tersentuh amat sangat.

Sesungguhnya begitu banyak perkara telah berlaku semasa zaman tersebut. Itulah yang membuat saya menjadi begitu memberontak suatu masa dahulu. Dengan ini timbul rasa untuk berkongsi muka-muka surat berkaitan dalam buku "Mencari Diri dan Erti". Saya ambil daripada PDF yang disuakan untuk semakan sekitar sebulan lalu...








Buka dalam Windows baru untuk bacaan yang jelas ya. Semua yang diceritakan ini sama seperti apa yang dialami, tidak ada tokok tambah atau dibuat-buat. Sekurang-kurangnya itulah persepsi atau cara saya melihat keadaan ketika itu. Cuma dalam buku berbentuk novel ini saya memakai nama Rasyid (Muhammad Al-Aminul  Rasyid, sekarang dah jadi nama seorang anak laki-laki saya) sebagai ganti diri membentuk watak fiksyen tetapi berlatarbelakangkan cerita sebenar pengalaman suka duka mencari hala tuju lalu merangkumi perjalanan hidup sebenar saya daripada tahun 70an sehinggalah buku asal (siri "Berpetualang ke Aceh") ditulis tahun 2004 tetapi diterbitkan 2006-2007.











Sesungguhnya zaman membesar saya di SMSJ sangat sangat bermakna. Lihat juga tulisan-tulisan susulan berkenaan yang dibuat bermula tahun 2008. Selesai gerak saya tentang ini...