Manakan dapat sagu kalau tidak dipecahkan ruyungnya?
Manakan dapat mutiara yang berkerlipan jika takut menyelam ke lautan dalam.
Dalam diri setiap manusia, ada seketul daging.
Jika baik ia, maka baiklah seluruh jiwa manusia itu.
Jika buruk ia, buruklah juga manusia itu...
Seketul daging itu adalah hati,
mari kita lapangkan dada dan belajar mengIKHLASkan hati.
Perjalanan seribu batu bermula dengan satu langkah.
Marilah meneroka dunia pemikiran hamba.
Silakan

Video klip yang tertera boleh dianggap sebagai pembukaan kepada dunia pemikiran dan kesukaan hamba...







-------------------------


-------------------------



Segala yang dipaparkan menggambarkan pemikiran penulis yang turut terserap di dalam setiap penulisan buku dan artikel. Lihat Cara-cara mendapatkan buku tulisan Merah Silu @ Radzi Sapiee. Di atas adalah satu klip video selama hampir setengah jam yang merupakan demo pilot episode yang mahu digunakan untuk mencadangkan satu siri pengembaraan menyusuri sejarah Melayu Islam sekeliling Nusantara untuk siaran televisyen. Entah mengapa ia menemui masalah. Kemudian penulis diberitahu konsepnya diciplak sebuah stesyen televisyen. Lihat Kembara Sejarah Islam Nusantara : The original material...



Ini adalah klip video ulasan buku ketujuh saya "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" berserta temuramah yang dibuat siaran langsung di Selamat Pagi Malaysia, RTM1. Lihat Siaran langsung ulasan buku "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" dan temu ramah di Selamat Pagi Malaysia.



Penulis juga pernah diminta membuat pembentangan mengenai siri buku "Berpetualang ke Aceh" di Masjid Sultan Salahuddin iaitu masjid negeri Selangor di Shah Alam. Lihat Buku "Berpetualang" dan himpunan ulamak Nusantara yang diketuai ulamak Aceh


-------------------------



Siri novel "Berpetualang ke Aceh" boleh didapati dalam bentuk e-book. Masuk http://www.e-sentral.com/, klik kategori novel am dan taip perkataan "Aceh" pada kotak carian. Atau terus klik Buku 1,Buku 2 dan Buku 3.





Gambar ketika menghadiri satu majlis ilmu, diambil oleh sebuah akhbar harian. Lihat Menghiasi Kosmo Alam Melayu...



Penerbitan trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" juga membawa penulis untuk terlibat dengan banyak majlis ilmu. Rujuk kumpulan links artikel di bawah tajuk "Siri Refleksi Sejarah", pada bahagian paling bawah kiri blogspot, . Penulis juga agak aktif dalam aktiviti-aktiviti kedaulatan Melayu dan Islam, dapat menganjurkan majlis-majlis sendiri di merata Semenanjung Malaysia membawa ke luar negara di Aceh. Lihat blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


Ketika menulis perenggan ini 4 Mei 2015 penulis sedang berusaha untuk mengembangkan isi 3 buku dalam siri "Berpetualang ke Aceh" menjadi 6 buku yang akan membentuk siri baru dipanggil "Siri Pengembaraan Merah Silu". Sebuah syarikat penerbitan telah bersetuju untuk menerbitkan siri lama itu kembali dalam bentuk yang lebih segar - Setiap buku asal dipecah menjadi 2 buku baru yang ditambah maklumat, gambar dan peta berwarna-warni.Pertengahan September 2015 buku pertama siri baru pun selamat diterbitkan. Seminggu lebih kemudian penulis berpeluang bercakap tentangnya secara siaran langsung dalam televisyen lalu membawa wakil penerbit bersama. Lihat video di bawah :-





Awal tahun 2015 turut menyaksikan penulis diambil menjadi penyelidik dan hos satu siri dokumentari yang dipanggil "Daulah Melayu". Projek 13 episod sepanjang sejam setiap satu ini mahu mengenengahkan formula untuk mengembalikan kekuatan bangsa Melayu. Insyaallah projek iakan membawa penulis untuk mengembara ke merata di Malaysia dan Indonesia juga ke beberapa negara dan tempat di Eropah termasuk ke kota London, tempat penulis mengambil ijazah matematik 1991-1995. Siri dokumentari ini dijangka siap untuk tayangan televisyen dalam tempoh 2 tahun.


Pada 13 Mei 2023 buku ke 13 + 1 penulis (pertama setelah yang ke-13 terbit tahun 2019 lalu mula memberikan tumpuan pada pengajian pascasiswazah di ISTAC iaitu Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam di Bukit Tunku, Kuala Lumpur), Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin & Orang Kaya Arsyad telah dilancarkan oleh sejarawan ulung negara, Profesor Emeritus Datuk Dr Abdullah Zakaria Ghazali di rumah penulis. Lihat Majlis pelancaran buku dan rumah terbuka raya 2023 - Melestarikan semangat perjuangan. Beliau yang bertanggungjawab memberikan kata-kata aluan dalam buku turut menjadi pembicara dalam diskusi yang diadakan di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2023 (berlangsung 26 Mei hingga 4 Jun). Lihat Bicara buku Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin di PBAKL 2023. Diskusi ini terakam dalam video atas diikuti video bawah...



Jumaat, Julai 19, 2013

Terhencot-hencot ke Tanah Bugis - Akhirnya, sampai ke Wajo, kerajaan leluhurku belah Bugis

Salam hari Jumaat. Hari ini banyak dihabiskan untuk memastikan sejumlah video rakaman acara ke-5 HIKMAH yang berlangsung di Kuala Terengganu 5-8 Jun dapat dimuatnaik ke Youtube lalu boleh ditonton ramai. Setelah itu baru saya dapat memberikan penumpuan pada sambungan siri. Setelah membuat sejumlah artikel sokongan, bolehlah disambung cerita dari artikel Terhencot-hencot ke Tanah Bugis - Keluar dari Makassar selepas 3 hari berehat.


Pagi Jumaat 10 Mei 2013, setelah bermalam di rumah sepupu Ibu Nur di Barru, sekitar 110 km ke utara kota Makassar kami menghala kembali ke selatan.


Beberapa kilometer berjalan, sampailah ke satu pekan lalu kami membelok masuk ke jalan desa menghala ke laut.


Sepanjang perjalanan rumah-rumah tradisional Bugis menarik perhatian.




Seberang sebuah jambatan pemandangan laut ke barat pula terserlah.


Ke timur kelihatan satu banjaran gunung yang akan kami daki kemudian. Kami mahu singgah dahulu ke sebuah makam. 


Pada mulanya saya menyangkakan di sekitar sini terdapat makam seorang pemerintah bernama La Madussalat, satu nama yang sering disebut-sebut sebagai datuk kepada Lima Daeng Bersaudara yang sangat terkenal dalam sejarah kerajaan-kerajaan di Semenanjung Tanah Melayu iaitu Daeng Parani, Daeng Merewah, Daeng Menambon, Daeng Chelak dan Daeng Kemasi.


Tapi ternyata yang ada ialah makam tokoh-tokoh tempatan yang tidak saya tahu siapa dan apa ceritanya. Lihat artikel Makam (Tomb of) Datu We Tenri Olle dan Makam (Tomb) of Datu Pancai Tana di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART)..


Selepas itu baru kami menghala ke gunung.


Perjalanan membawa kami mendaki hampir ke puncak melepasi kecamatan (Bahasa Indonesia untuk mukim) Tanete yang dahulu merupakan sebuah kerajaan kecil yang pernah diperintah La Madussalat Karaeng di Tanete. Kami mahu ke kota Sengkang, dalam kabupaten (daerah) Wajo'. Lihat artikel The road from Tanete to Wajo di blogspot BERPETUALANG KE ACEH.


Seperti Tanete, Sengkang dan persekitarannya merupakan sebuah kerajaan kecil yang diperintah raja sendiri. Ia dan beberapa kerajaan kecil membentuk persekutuan kerajaan yang lebih besar, kerajaan yang dipanggil Wajo, diperintah oleh seorang raja tertinggi ibarat Yang di-Pertuan Agong di Malaysia. Setelah berjalan lebih kurang 3 jam menaiki kawasan pergunungan dan turun melalui daerah lain yang dipanggil Soppeng, juga asalnya sebuah kerajaan Bugis yang pernah memiliki raja, sampailah kami ke Wajo'. Satu ciri khas yang dapat saya lihat pada rumah tradisional Wajo adalah layar berukiran seperti awan larat yang terdapat pada setiap hujung atap.


Allah! Ada semacam perasaan halus menusuk ke kalbu sebaik sahaja menyedari saya sudah masuk ke dalam kawasan kerajaan Wajo'. Perasaan ini semakin nyata apabila kami menghampiri kota Sengkang yang menjadi ibu daerah Wajo'.


Ketika menyeberangi sebuah sungai yang terletak berhampiran kota saya dapat melihat satu lapangan air yang seperti melaut. Ah! Itu harus Danau Tempe. tasik di pendalaman Sulawesi Selatan yang sangat luas. Sebelum ini saya cuma pernah melihatnya dalam peta dan gambar-gambar di Internet. Sekarang sudah sampai ke Sengkang, juga Wajo' ya Allah!


Sebuah jet pejuang lama dijadikan tugu peringatan, kalau tak salah kerana seorang juruterbang jet pejuang terawal di Indonesia adalah orang sini. Jet pejuang serupa pernah saya lihat menghiasi sebuah tugu di Montasik, beberapa kilometer ke selatan Banda Aceh atas sebab yang sama - seorang anak tempatan pernah menjadi antara juruterbang terawal. Lihat bahagian bawah artikel Dari Syiah Kuala keluar Banda Aceh... singgah di 'Anjung' juga di 'Kandang'... yang dibuat 4 tahun lalu.


OK. Kenapa saya terasa begitu teruja sampai ke Wajo dan Sengkang? Kerana saya memiliki moyang-moyang utama yang berasal dari Wajo', seorang daripada mereka dikatakan pernah menjadi raja Sengkang seterusnya raja tertinggi Wajo yang dipanggil Arung Matoa Wajo'. Mengikut kajian peribadi saya, darah yang ada dalam diri datang dari 3 jaluran keturunan Wajo'. Satu adalah jaluran yang datang ke Aceh abad ke 16 Masihi untuk menimbulkan apa yang dipanggil Raja-raja Aceh Dinasti Bugis. Lihat artikel Apa cerita bangsawan Bugis pula boleh menjadi raja Aceh? yang turut dibuat 4 tahun lalu. Cuma artikel yang mengandungi sedutan berkaitan daripada buku pertama saya "Berpetualang ke Aceh : Mencari Diri dan Erti" (terbit Jun 2006) ada tersilap menyebut Maharajalela Abdul Rahman sebagai rantaian dalam jalur Dinasti Bugis ini. Yang sebenarnya nama beliau atau lebih tepat, baginda adalah Maharajalela ABDUL RAHIM.


Jaluran yang membentuk Dinasti Bugis di Aceh itu dimulakan oleh seorang bangsawan yang dikenali sebagai Daeng Mansur. Baginda dikatakan seorang kerabat diraja Bugis yang datang dari Wajo' untuk berdakwah ke Aceh. Namun kajian lebih terperinci menunjukkan ayahanda baginda bernama Abangta Abdul Jalil berasal dari Aceh. Malah Abangta adalah anakanda kepada Sultan Alauddin Riayat Syah al-Qahar yang memerintah Aceh 1539-1571. 

Lihat artikel Jejak "Berpetualang ke Aceh" : 3 x 11 dan jejak warisan Bugis Aceh yang merujuk pada ziarah saya dan keluarga ke makam Daeng Mansur, juga dikenali sebagai Tuanku Bugis pada 11.11.11 (11 November 2011). Saya tak pasti 100 peratus bagaimana cucu Sultan Aceh ini boleh dikenali sebagai pendakwah merangkap bangsawan/anak raja Bugis. Kalau tak salah ini disebabkan ayahanda baginda, Abangta itu pernah berdakwah di Tanah Bugis lalu mengahwini seorang puteri tempatan. Daeng Mansur adalah hasil perkahwinan ini dan mengikut tradisi Bugis, seorang anak yang memiliki sekurang-kurangnya seorang ibu bapa berbangsa Bugis dikira sebagai orang Bugis, kalau ibu atau bapanya bergelar Daeng, anaknya juga boleh digelar itu. 

Hal ini berbeza dengan sesetengah nasab, misalnya para Sayyid keturunan Nabi Muhammad SAW. Anak lelaki seorang Sayyid tetap dipanggil Sayyid ataupun Syed, yang perempuan dipanggil Sharifah tak kiralah ibunya berdarah apa. Tetapi jika seorang Sharifah berkahwin orang bukan dari kalangan Sayyid, maka anaknya tidak boleh lagi memakai gelaran Sayyid mahupun Sharifah. Begitu juga kalau seorang lelaki bergelar Raja, anaknya baik laki-laki mahupun perempuan boleh memakai nama Raja tanpa mengira siapakah ibunya. Tetapi kalau seorang perempuan bergelar Raja mengahwini laki-laki dari golongan kebanyakan, anak mereka tidak lagi layak memakai gelaran raja.

Di atas adalah gambar rumah rehat tempat kami menginap di Sengkang. Sebaik sahaja sampai kami terus membawa beg pakaian ke dalam.


Selepas berehat dalam setengah jam baru kami keluar untuk makan tengah hari. Lalu di hadapan masjid besar Sengkang di mana saya dan pemandu mahu bersolat Jumaat tapi tak sempat. Ketika kami sampai orang hampir memulakan solat sedangkan ketika itu susah hendak mendapatkan tempat untuk meletakkan kereta. Memikirkan kami adalah musafir yang tidak wajib bersolat Jumaat kami pun meneruskan perjalanan ke rumah rehat.


Kami juga lalu di hadapan makam La Maddukelleng, seorang raja Sengkang yang pernah menjadi Arung Matoa Wajo atau raja tertinggi pertengahan abad ke-18. Adapun dalam salasilah keluarga sebelah bapa saya yang berasal dari Perak, ada disebut satu watak pahlawan gagah berani tetapi agak misteri yang dikenali sebagai Nakhoda Hitam, juga dipanggil Tok Kuala Bidor. Beliau (baginda juga sebenarnya) yang hidup abad ke 18 dikatakan pernah mengganas sebagai ketua lanun di Pulau Sembilan berdekatan kuala Sungai Perak. Namun beliau kemudian dilantik Sultan Perak menjadi ketua angkatan perang dan raja di laut, memakai gelaran Laksamana Raja Mahkota. Gelaran itu dipakai turun-temurun dalam keluarga besar saya sebelah bapa. Rujuk artikel-artikel lama berikut :-


Laksamana kembali ke Perak (ditulis 7 tahun lalu)




Dua artikel di atas ditulis November 2007 dengan mengambil sedutan dari buku ketiga saya "Berpetualang ke Aceh : Sirih Pulang ke Gagang?" yang terbit waktu itu. Ketika itu dan buat beberapa lama saya beranggapan bahawa Nakhoda Hitam ini adalah seorang anakanda kepada Sultan Alauddin Ahmad Syah Berdaulat (memerintah Aceh 1727-1735, dicatatkan sebagai raja Aceh pertama dari Dinasti Bugis yang berketurunan Daeng Mansur). Kajian lama saya menjurus pada kesimpulan bahawa Nakhoda Hitam adalah seorang anak gahara yang membawa diri apabila adik-beradiknya dari ibu lain merebut takhta. Saya juga beranggapan baginda dan Daeng Selili, orang pertama memegang jawatan Maharajalela Pancung Tak Bertanya di Perak adalah adik-beradik sama ibu, ibu yang dikenali sebagai Ratu Sedinding ibni Pajung Luwuk. 

Pajung Luwuk ini dikatakan kekanda kepada seorang bangsawan Bugis yang dikenali sebagai Opu Tanderi Buring. Bapa mereka adalah La Madusallat yang disebut pada permulaan artikel ini. Dari Opu Tanderi Buring, muncul 5 Daeng Bersaudara yang juga sudah disebut tadi. Ini menjadikan Nakhoda Hitam dan Daeng Selili saudara dekat malah ada salasilah dari Perak yang pernah saya lihat turut tersimpan dalam tangan seorang bekas wakil rakyat berketurunan Bugis di Selangor mendakwa Nakhoda Hitam dan Daeng Selili adalah adik-beradik berlainan ibu!

Namun kemudian ada orang dari Sabah membawa salasilah besar Bugis yang apabila dibentangkan adalah seluas permaidani 5 x 10 kaki gitu. Kelihatannya ia mengandungi nama setiap raja dan bangsawan Bugis yang ada kena-mengena dari abad ke 7-8 Masihi, dipercayai zaman berlakunya cerita awal dalam epik La Galigo (rujuk La Galigo dan makna Daeng buat orang Bugis). Beliau memberitahu 5 Daeng Bersaudara yang sangat terkenal dalam sejarah Tanah Melayu itu bukanlah betul-betul adik beradik tetapi saudara-mara beripai-duai. Dan di Tanah Bugis mereka bertaraf bangsawan menengah sahaja, bukanlah yang paling tinggi seperti disangkakan ramai di Malaysia selama ini. 

Selain itu orang dari Sabah itu mendakwa Daeng Selili adalah orang yang sama dengan La Maddukelleng, raja tertinggi Wajo' Itu yang bahagian luar makamnya ditunjukkan pada gambar atas ini. Nakhoda Hitam pula dikatakan anakanda Daeng Selili yang memiliki nama sebenar Petta To Rawe. Cuma kata orang Sabah itu, Petta To Rawe pernah dititipkan ke Aceh atas sebab tertentu. Mungkin untuk mengelak buruan musuh mereka Belanda semasa zaman kanak-kanaknya.


Buat beberapa lama saya tidak mahu menerima langsung kata-kata orang Sabah itu kerana terus beranggapan Nakhoda Hitam adalah anakanda kepada Sultan Alaiddin Ahmad dari Aceh. Setelah setahun dua baru mendapat alamat baru bahawa hubungan terus keluarga belah bapa ke Aceh adalah melalui menantu Nakhoda Hitam yang dikenali sebagai Laksamana Toh Jambu, bukan melalui Nakhoda Hitam itu sendiri. Lihat artikel Perjalanan terbaru ke Perak... Mencari makam Keramat Sungai Durian dan membuka sedikit taraf sebenar keluarga Laksamana Raja Mahkota! yang dibuat tahun 2008 diikuti artikel Ziarah Al-Rasyid ke makam-makam lama Perak : Satu makam Sultan di Teluk Intan dan satu makam yang menjadi punca segalanya buat saya yang dibuat tahun 2010. Setelah mendapat alamat menunjukkan seorang anak Sultan Alaiddin Ahmad telah membawa diri ke Patani di  mana muncul zuriat yang dikenali sebagai Toh Jambu, saya pun menerima dakwaan bahawa Nakhoda Hitam adalah anakanda kepada Daeng Selili. Saya juga menerima Daeng Selili adalah La Maddukelleng yang pernah menjadi raja tertinggi Wajo'.

Namun sekitar setahun selepas itu, ada saudara mara dari keluarga Laksamana Raja Mahkota telah pergi ke Tanah Bugis terutama ke Wajo' lalu menemui fakta yang berlawanan. Pada mereka Daeng Selili bukanlah La Maddukelleng sebaliknya Nakhoda Hitam adalah nama samaran bagi raja besar Wajo itu. Daeng Selili pula dikatakan orang kanan La Maddukelleng @ Nakhoda Hitam. Dan bila saya buat kajian susulan, memang Nakhoda Hitam lebih menepati ciri-ciri watak dan kepahlawanan La Maddukelleng yang sangat ditakuti Belanda. 

Saya dapati kemungkinan besar Daeng Selili adalah seorang kerabat diraja, tak pun bangsawan Wajo' yang lebih tua namun dari segi hirarki tradisi kepimpinan harus tunduk ke bawah La Maddukelleng. Kemungkinan besar Daeng Selili adalah La Mohang Daeng Mangkona, orang yang telah meninggalkan Tanah Bugis lebih awal  ke Kalimantan (La Maddukelleng juga berhijrah ke sana tetapi semasa zaman remaja awal 1700an) lalu membuka penempatan orang Bugis yang dikenali sebagai Samarinda (ya, tempat kain yang terkenal itu). Untuk pengetahuan memang Samarinda dibayangi sebuah gunung yang dipanggil Gunung Selili...

Di atas adalah gambar kami makan tengah hari di sebuah kedai di pinggir kota. Selepas makan timbul juga rasa untuk menziarahi makam La Maddukelleng. Tetapi kami mendapati pintu makam berkunci. Saya pun meminta pemandu untuk membawa kami melihat satu objek semulajadi yang menjadi semacam identiti Wajo' juga Sengkang.


Objek yang dimaksudkan adalah sebuah tasik luas yang dipanggil Danau Tempe (bukan tempat asal-usul tempe ya, cuma nama saja serupa). Pemandu membawa kami menaiki sebuah bukit yang memberikan pemandangan meluas persekitaran. Lihat artikel The lake called Danau Tempe.

Berbalik pada salasilah dan hal jaluran darah yang sampai ke Wajo'. Jaluran keturunan saya sebelah bapa atas bapa iaitu garis laki-laki memang tertulis dalam salasilah rasmi sampai pada Toh Jambu. Melalui penemuan dan alamat yang disebut tadi saya mendapati Toh Jambu adalah anakanda seorang putera yang tidak diketahui nama ibni Sultan Alauddin Ahmad Syah Johan Berdaulat Aceh. Sultan ini pula diketahui anakanda kepada Maharajela Abdul Rahim ibni Laksamana Zainal Abidin ibni Daeng Mansur yang dikatakan datang dari Wajo' abad ke 16. Salasilah besar keluarga menyebut Toh Jambu sebagai menantu kepada Nakhoda Hitam yang menjadi Laksamana Raja Mahkota pertama Perak. Nakhoda Hitam pula dikatakan adalah La Maddukelleng, Arung Matoa Wajo. Maka 2 jaluran sampai ke Wajo' sudah disebut melalui nasab bapa.

Dari sebelah ibu pula nasab saya dikatakan sampai kepada Daeng Parani, orang yang dinyatakan sebagai kekanda tertua Daeng 5 Bersaudara. Lihat artikel Kaitan Daeng Parani dengan keluarga sebelah ibu yang dibuat 2 tahun lalu. Mereka disebut secara rasmi sebagai berasal dari kerajaan Luwuk, kerajaan terawal paling terkenal dalam sejarah Bugis. Namun kerajaan yang masih dianggap satu lambang berprestij kebanggaan nasab Bugis ini sebenarnya telah hilang gah apabila kalah perang dengan kerajaan Bone abad ke-16. Sebelum itu Luwu pernah meminta pertolongan Wajo' untuk mengalahkan kerajaan Sidenreng yang terletak di seberang Danau Tempe. Atas kejayaan usahasama tersebut, Wajo' dapat mengembangkan pengaruh dan kekuasaanya ke atas sejumlah lagi wilayah termasuk kerajaan Belawa. Dan Luwu juga dikatakan telah menyerahkan sebahagian wilayahnya kepada Wajo'. 

Difahamkan, selepas kekalahan Luwu kepada Bone, sebahagian wilayah Luwu jatuh ke tangan Bone dan sebahagian lagi jatuh ke tangan Wajo'. Entah kenapa saya merasakan bahawa Daeng Parani sebenarnya berasal dari Wajo'. Mungkin benar baginda juga berasal dari Luwu tetapi dari wilayah Luwu yang pada zamannya telah masuk ke dalam Wajo'. Maka cukuplah 3 jaluran keturunan saya berasal dari Wajo' menyebabkan diri ini begitu teruja apabila akhirnya dapat menjejakkan kaki di sana.


Adapun rumah rehat kami terletak betul-betul seberang jalan sebelah istana raja Sengkang yang telah dijadikan muzium. Walaupun ia binaan awal abad ke 20, bukannya binaan ketika La Maddukelleng menjadi Arung (raja) Sengkang mahupun Arung Matoa Wajo pertengahan abad ke 18, saya tetap teruja untuk masuk ke dalamnya. Selepas berehat hingga lewat petang menunggu seorang kenalan Ibu Nur dari sekitar Sengkang datang kami pun masuk ke muzium. Terasa jejak kami diberkati para leluhur, sampai ke Wajo' tengah hari Jumaat dan kini mahu ke bekas istana pada petangnya.


Pada bucu atap bangunan terdapat ukiran awan larat yang menjadi identiti unik Wajo'. Lalu saya teringat zaman kanak-kanak sering menconteng kertas dan buku pelajaran dengan corak-corak serupa. Ini sering dibuat sampai saya masuk ke sekolah menengah. Apakah kerana ada memori berkenaan Wajo' yang menjalar dalam darah daging ini? 


Adapun bekas istana masih diduduki sebuah keluarga yang berketurunan raja Sengkang. Namun mereka tetap menerima kedatangan orang ramai yang mahu melihat pameran dan isi istana. Lihat Tempat bernama (The place called) Saoraja Mallangga. Menariknya tidak lama selepas kami sampai datang satu keluarga dari satu kawasan lain, kalau tak salah ingatan samada dari Sidenreng atau Belawa... ke dari Sidrap yang terletak di barat Sidenreng? Keluarga yang baru pertama kali masuk ke istana merangkap muzium ini menyatakan mereka baru mendapat mimpi agar bertandang berjumpa saudara-mara. 

Sementara mereka berkenal-kenalan saya pula sibuk menelaah maklumat tentang struktur pemerintahan Wajo'. Biar dicopy paste sedikit maklumat tentang kerajaan/daerah ini dari Wikipedia...


-----------------


Kabupaten Wajo adalah salah satu Daerah Tingkat II di provinsi Sulawesi Selatan, Indonesia. Ibu kota kabupaten ini terletak di Sengkang. Kabupaten ini memiliki luas wilayah 2.056,19 km² dan berpenduduk sebanyak kurang lebih 400.000 jiwa. Bupati Wajo saat ini adalah Drs. Andi Burhanuddin Unru, MM.

Sejarah

Pembentukan Kerajaan Wajo

Wajo berarti bayangan atau bayang-bayang (wajo-wajo). Kata Wajo dipergunakan sebagai identitas masyarakat sekitar 605 tahun yang lalu yang menunjukkan kawasan merdeka dan berdaulat dari kerajaan-kerajaan besar pada saat itu.

Di bawah bayang-bayang (wajo-wajo, bahasa Bugis, artinya pohon bajo) diadakan kontrak sosial antara rakyat dan pemimpin adat dan bersepakat membentuk Kerajaan Wajo. Perjanjian itu diadakan di sebuah tempat yang bernama Tosora yang kemudian menjadi ibu kota kerajaan Wajo.
Ada versi lain tentang terbentuknya Wajo, yaitu kisah We Tadampali, seorang putri dari Kerajaan Luwu yang diasingkan karena menderita penyakit kusta. Beliau dihanyutkan hingga masuk daerah Tosora. Kawasan itu kemudian disebut Majauleng, berasal dari kata maja (jelek/sakit) oli' (kulit). Konon kabarnya beliau dijilati kerbau belang di tempat yang kemudian dikenal sebagai Sakkoli (sakke'=pulih; oli=kulit) sehingga beliau sembuh.

Saat beliau sembuh, beserta pengikutnya yang setia ia membangun masyarakat baru, hingga suatu saat datang seorang pangeran dari Bone (ada juga yang mengatakan Soppeng) yang beristirahat di dekat perkampungan We Tadampali. Singkat kata mereka kemudian menikah dan menurunkan raja-raja Wajo. Wajo adalah sebuah kerajaan yang tidak mengenal sistem to manurung sebagaimana kerajaan-kerajaan di Sulawesi Selatan pada umumnya. Tipe Kerajaan Wajo bukanlah feodal murni, tetapi kerajaan elektif atau demokrasi terbatas.

Perkembangan Kerajaan Wajo

Dalam sejarah perkembangan Kerajaan Wajo, kawasan ini mengalami masa keemasan pada zaman La Tadampare Puang Ri Maggalatung Arung Matowa, yaitu raja Wajo ke-6 pada abad ke-15. Islam diterima sebagai agama resmi pada tahun 1610 saat Arung Matowa Lasangkuru Patau Mula Jaji Sultan Abdurrahman memerintah. Hal itu terjadi setelah Gowa, Luwu dan Soppeng terlebih dahulu memeluk agama Islam.

Pada abad ke-16 dan 17 terjadi persaingan antara Kerajaan Makassar (Gowa Tallo) dengan Kerajaan Bugis (Bone, Wajo dan Soppeng) yang membentuk aliansi tellumpoccoe untuk membendung ekspansi Gowa. Aliansi ini kemudian pecah saat Wajo berpihak ke Gowa dengan alasan Bone dan Soppeng berpihak ke Belanda. Saat Gowa dikalahkan oleh armada gabungan Bone, Soppeng, VOC dan Buton, Arung Matowa Wajo pada saat itu, La Tenri Lai To Sengngeng tidak ingin menandatangani Perjanjian Bungayya.

Akibatnya pertempuran dilanjutkan dengan drama pengepungan Wajo, tepatnya Benteng Tosora selama 3 bulan oleh armada gabungan Bone, dibawah pimpinan Arung Palakka. Setelah Wajo ditaklukkan, tibalah Wajo pada titik nadirnya. Banyak orang Wajo yang merantau meninggalkan tanah kelahirannya karena tidak sudi dijajah.

Hingga saat datangnya La Maddukkelleng Arung Matowa Wajo, Arung Peneki, Arung Sengkang, Sultan Pasir, beliaulah yang memerdekakan Wajo sehingga mendapat gelar Petta Pamaradekangngi Wajo (Tuan yang memerdekakan Wajo).


Hampir senja, rakan Ibu Nur membawa kami minum dan makan ringan di sebuah warung di luar kota. Dia membelanja kami air tapai istimewa tempatan...


Selepas Maghrib beliau membawa kami ke sebuah pusat kain sutera. Untuk pengetahuan Sengkang diiktiraf sebagai pusat utama perusahaan sutera bagi seluruh Indonesia. Di satu bahagian kota terdapat banyak kedai dan kilang sutera. Pada artikel seterusnya saya akan menunjukkan makam pendakwah besar abad ke-14, Sayyid Hussein Jamaluddin Kubra yang terdapat di desa Tosora, Wajo'. Beliau adalah leluhur kepada para Wali Songo yang sangat terkenal di Pulau Jawa selain menurunkan raja-raja Islam yang pernah memerintah Champa, Patani dan Kelantan.


Sabtu, Julai 13, 2013

Terhencot-hencot ke Tanah Bugis - Keluar dari Makassar selepas 3 hari berehat

OK. Malam ini, Sabtu malam Ahad 13/7/13 adalah malam ke-5 bulan Ramadhan. Malam ini biarlah disambung cerita perjalanan, dari artikel Terhencot-hencot ke Tanah Bugis - Sheikh Yusuf dan pertentangan antara Sultan Hasanuddin dengan Arung Palakka yang dibuat Isnin lalu.


Pada awal artikel lalu ada disebut bahawa saya mahu menamatkan bahagian awal penceritaan perjalanan ke Tanah Bugis-Makassar 3-12 Mei 2013. Artikel itu sendiri merujuk pada aktiviti hari ke-3 kami berada di Makassar iaitu Ahad 5 Mei 2013. Ketika itu rakyat Malaysia sedang mengundi untuk PRU-13.


Selepas itu kami lebih banyak menghabiskan masa di rumah. Dalam tempoh 3 hari iaitu dari Isnin ke Rabu kami sekadar ada keluar ke kedai berdekatan rumah, dengan saya menaiki kerusi roda bersama anak-anak dan isteri menolak. Maka tidak ada yang mahu diceritakan sangat. Tempoh 3 hari rehat boleh dikatakan pemisah antara bahagian awal perjalanan dan bahagian yang seterusnya.


Dalam 3 hari itu saya mengambil peluang untuk menelaah 2-3 buku terutama satu yang bertajuk "Salasilah Melayu dan Bugis". Saya juga dapat merehatkan kaki yang telah bengkak teruk akibat perjalanan 3-5 Mei. Rehat ini diperlukan kerana kami akan berjalan lebih jauh. Selain itu, Ibu Nur, tuan punya rumah dan hos kami mahu menunggu dua orang lagi tetamu ikut sama. 

Adapun petang Rabu ada kawan Ibu Nur mahu datang dari Malaysia. Beliau adalah seorang mahasiswa Aceh yang menuntut di Universiti Malaya, kawan saya dan isteri juga. Kawan ini mahu datang bersama seorang rakan sekuliah, seorang rakyat berbangsa Cina rakyat Malaysia. Namun kawan dari Aceh itu menghadapi masalah paspot lalu tidak dibenarkan menaiki pesawat. Ini menyebabkan beliau harus menunggu hari lain untuk datang ke Makassar, kawan Cina itu terpaksa datang bersendirian...


Pagi Khamis 9 Mei, selepas 6 hari berada di Makassar dan persekitarannya, buat pertama kali saya, isteri dan anak-anak pergi keluar jauh. Aktiviti hari itu menjadi permulaan bahagian kedua atau seterusnya perjalanan. Ada tempat-tempat lebih penting berkaitan salasilah keluarga saya yang mahu dijejaki.


Kami menuju ke kota Maros, sekitar sejam perjalanan ke utara...


Sampai di sekitar kota, kami singgah di rumah saudara dua pupu Ibu Nur, seorang pengusaha lombong bijih besi dan nikel yang luas.


Sekitar 10.15 kami menyambung perjalanan dengan menghala ke timur.




Perjalanan melalui sawah dan desa terasa begitu menyegarkan.


Rumah-rumah tradisional seperti ini menghias kiri kanan jalan.


Kalaulah tidak kerana kecederaan kaki tentu saya akan meminta kereta berhenti lalu mengambil gambar yang lebih teliti di beberapa tempat.



Ibu Nur mahu saya melihat taman pra-sejarah di Leang Leang.


Katanya di sini terdapat gua-gua batu kapur dengan lukisan-lukisan dan kesan yang dipercayai dibuat oleh orang zaman batu. Namun kita harus berjalan kaki jauh ke dalam kemudian memanjat tangga-tangga tinggi untuk masuk ke gua. Jadi saya cuma mampu melihat kawasan luar sahaja. Lihat artikel Leang Leang prehistoric park di blogspot BERPETUALANG KE ACEH.


Ketika hendak meninggalkan Leang Leang muncul seorang wartawan merangkap jurukamera dari agensi berita ANTARA Indonesia bersama pembantunya. Ia adalah agensi peringkat nasional yang membekalkan bahan berita kepada pihak lain seperti halnya BERNAMA di Malaysia. Wartawan ini kenal Ibu Nur kerana biasa menemuramahnya untuk bercakap tentang sastera dan budaya. Melihat saya orang Malaysia beliau pun bertanyakan pendapat tentang Leang Leang dan tempat-tempat menarik di Tanah Bugis.




Saya setakat boleh memberikan pandangan tentang beberapa tempat yang pernah dilihat di Makassar kerana di Leang Leang pun saya cuma melihat halaman, isteri saya, anak-anak dan lain-lain yang naik ke gua. Tetapi sebagai seorang peminat dan pengkaji sejarah juga seorang penulis saya ada cukup pengetahuan tentang Tanah Bugis yang dapat dikaitkan pula dengan Malaysia. Selepas itu kami pergi ke Bantimurung di mana monyet besar ini menyambut...


Tarikan di sini adalah aliran dari air terjun kawasan bukit batu kapur yang membentuk taman permainan air yang cantik. Lihat artikel The waterfall of Bantimurung.


Rasanya dekat 2 jam juga kami berada di Bantimurung sebelum keluar kembali menghala ke Maros. Dalam perjalanan singgah makan tengah hari di sebuah kedai di mana buat pertama kali seumur hidup dalam ingatan saya merasakan makanan orang Bugis yang dipanggil burasak.


Sampai di Maros ibu Nur keluar kereta untuk kembali ke Makassar bersama anak angkatnya Syahril yang ada ikut sama ke Leang Leang dan Bantimurung menaiki motosikal. Beliau perlu kembali ke rumah kerana harus menyambut kedatangan kawan kami, mahasiswa dari Aceh petang Jumaat. Kami pula akan berada jauh di luar Makassar hingga petang Sabtu. Saya pun bertukar tempat duduk ke belakang, kawan Cina dari Malaysia ke hadapan. Selepas ini kami akan berjalan lebih jauh ke utara. Eloklah kaki saya diberi ruang diangkat ke atas untuk mengurangkan bengkak.


Kami akan berjalan 2 jam untuk ke satu tempat bernama Barru, satu perhentian pertengahan sebelum ke satu tempat yang lebih jauh dan sangat bermakna buat saya.


Isteri dan anak-anak duduk di barisan paling belakang.


Sepanjang perjalanan saya lebih banyak berbaring merehatkan badan sambil merenung keadaan. Masuk waktu senja baru kami menghampiri kawasan perumahan di pinggir kota Barru di mana kami akan menginap malam Jumaat.


Biar diberitahu setelah keluar dari kota Makassar baru kami betul-betul dapat menjejakkan kaki ke Tanah Bugis. Ini kerana menurut definisi tempatan, sekitar kota Makassar membawa 100 km ke timur sampai ke laut juga 60 km ke selatan adalah tanah orang Makassar yang dikira etnik berlainan tapi hampir serupa bahasa dan budaya dengan orang Bugis. Rujuk artikel lama La Galigo dan makna Daeng buat orang Bugis. Selepas ini kami akan masuk ke satu bahagian Tanah Bugis di mana leluhur saya dikatakan berasal.


Rabu, Julai 10, 2013

Wang Fiat dan Keruntuhan Ekonomi Orang Melayu



Salam 1 Ramadhan. Selamat berpuasa kepada semua. Semoga dapat bertahan lalu mendapat kepuasan sebenar berbuka. Awal pagi Isnin seorang kawan telah memberikan satu fail pdf. menarik mengandungi kajian dan pembentangan seorang profesor ekonomi yang dibuat dalam bahasa Inggeris. Setelah membacanya sepintas lalu saya pun tergerak untuk berkongsi dengan orang ramai di Facebook. Namun masalah teknikal menghalang pdf. daripada dikongsikan terus ke sana. 

Untuk mengatasinya saya menukar format setiap mukasurat pdf. lalu dijadikan satu siri gambar dalam format jpg.. Semua ini, 13 keping gambar untuk 13 muka surat kertas kerja diatur menjadi isi artikel baru pada blogspot BERPETUALANG KE ACEH. Artikel ini siap diatur lalu dipublishkan selepas tengah malam itu. Linknya kemudian diletak pada FB berserta sedikit ulasan. Biar dicopy and paste... 




BAGAIMANA DUIT KERTAS DAN SISTEM PERBANKAN MENJATUHKAN EKONOMI ORANG MELAYU SAMBIL MENAIKKAN EKONOMI ORANG CINA

Salam. Saya telah diberikan satu pdf. file mengandungi kajian seorang profesor tentang bagaimana wang kertas dan sistem perbankan yang mula diwujudkan di Tanah Melayu sekitar 150 tahun lalu berjaya menyusutkan ekonomi orang Melayu sambil menaikkan ekonomi orang Cina. Ini adalah salah satu tunggak asas pada usaha penjajah Barat yang dibelakangi puak Yahudi Illuminati untuk menjatuhkan orang Melayu dan Islam seraya menyekat kebangkitan Islam dari Timur akhir zaman. Klik pada link bawah, baca dan fahami...




Selepas beberapa lama saya dapati ramai yang berminat lalu membacanya tetapi bukan semua betul-betul faham. Maklumlah ia adalah kajian akademik seorang pakar ekonomi Islam yang dibuat dalam bahasa Inggeris. Tak semua pembaca Melayu lancar dalam bahasa ini. Malah orang yang pandai berbahasa Inggeris pun belum tentu dapat menangkap segala isi kerana mengandungi konsep-konsep ekonomi dan kewangan serta terma-terma yang memerlukan sekurang-kurangnya sedikit pengetahuan dalam bidang. 

Seterusnya ada orang meminta saya menterjemahkannya ke dalam bahasa Melayu. Saya fikir elok juga agar lebih ramai anak Melayu dapat memahaminya. Tetapi ini memerlukan tumpuan istimewa buat satu masa dan saya tidak pasti sama ada akan membuatnya apa lagi bila. Lewat malam semalam, malam pertama bulan Ramadhan saya mendapat gerak untuk memulakan usaha. Alhamdulillah, dengan kuasa Allah dan berkat bulan mulia ia dapat disiapkan sekitar 2 petang sebelum disunting sehingga cukup memuaskan jam 4.30. 

Adapun terjemahan cuba dibuat mengikut cara penulisan asal selagi boleh. Tetapi untuk pembacaan awam dan demi pencernaan orang ramai saya telah menambah penerangan pada teks dan mengubah-suai sedikit isi. Apa yang penting semua orang Melayu boleh mendapat ilmu bermanfaat yang boleh dijadikan bekalan jihad akhir zaman demi membela agama, bangsa dan negara. Biar diberitahu ini adalah artikel ke 1,122 di blogspot ini. Selamat membaca... :]


----------------------------




Wang Fiat dan Keruntuhan Ekonomi Orang Melayu



Terjemahan oleh Radzi Sapiee, daripada artikel berbahasa Inggeris “Fiat Money and Economic Degradation of the Malays” oleh Ahamed Kameel Mydin Meera, profesor dan dekan Institut Kewangan dan Perbankan Islam, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Beberapa nota kaki asal telah diterjemahkan secara ringkas untuk disertakan pada teks utama lalu diletakkan dalam kurungan. Penerangan beberapa terma teknikal (tidak wujud dalam teks asal kerana harus sedia difahami khalayak yang berpengetahuan dalam bidang) juga diletakkan dalam kurungan.

                                                

Abstrak

Artikel ini berhujah bahawa kekayaan orang Melayu di Semenanjung Malaysia telah dirompak secara sistematik daripada tangan mereka melalui wang Fiat (kertas yang diberi nilai tanpa sandaran) yang diterbitkan sistem perbankan berdasarkan riba’. Hal ini juga adalah benar bagi Bumiputra lain termasuk penduduk asal di Semenanjung dan Malaysia Timur juga para pedagang awal Arab dan India Muslim yang menetap di sini. Proses tersebut telah berlangsung sejak bank-bank persendirian terawal ditubuhkan di Pulau Pinang tahun 1860an hingga sekarang. Ini secara keseluruhan memberi kesan sosio-ekonomi-politik  yang serius terhadap bangsa Melayu, Islam dan negara. Maka itu artikel ini memanggil pihak kerajaan, NGO-NGO dan orang ramai yang prihatin agar dapat menghentikan proses perompakan ini seterusnya mengambil tindakan proaktif dan tegas untuk menterbalikkan proses demi menggapai keadilan sosio-ekonomi dengan cara menggalakkan keamanan dan kesejahteraan dalam negara melalui pengagihan saksama kekayaan negara untuk semua kaum.




1.0 Pengenalan

Artikel ini menunjukkan satu daripada banyak aspek wang Fiat, contohnya bagaimana penduduk asal sesebuah negara boleh kerugian teruk dalam sistem wang Fiat. Beberapa buah negara boleh dikemukakan sebagai contoh untuk menunjukkan ini. Kita ambil kes Malaysia untuk artikel.

Kalau kita ambil perhatian dari tahun ke tahun, Malaysia telah banyak berubah dari segi sosio-ekonomi-politik . Orang Melayu yang secara asasnya memiliki kebanyakan jika tidak pun semua Semenanjung pada awalnya sekarang mengalami ketempangan ekonomi. Sebaliknya masyarakat Cina secara khususnya telah berkembang dalam kemewahan berbanding bangsa lain. Statistik billionaire di Malaysia boleh membuktikan ini. Perbezaan ekonomi telah secara langsung membawa sejumlah masalah sosio-ekonomi terbit dalam kalangan masyarakat Melayu – kesempitan hidup, kemiskinan, rendah keyakinan diri, pencapaian akademik yang rendah, ketagihan dadah, mat rempit, masalah remaja dan berbagai lagi. Maka itu kerajaan telah mencuba sejumlah langkah afirmatif termasuk Dasar Ekonomi Baru untuk menangani isu. Ia telah membawa hasil yang terhad namun masalah tetap wujud dan kelihatan terus berkembang. Bagi orang Cina pula, kemewahan ekonomi telah sedikit demi sedikit memberikan mereka lebih kedudukan politik.


1.1  Objektif

Artikel ini berdasarkan fakta sejarah dan pemerhatian terhadap Malaysia selama beberapa dekad. Ia bertujuan untuk merangsang proses pemikiran, tanpa niat jahat seperti mewujudkan perpecahan antara kaum. Sebaliknya diharapkan artikel akan menyumbang pada keharmonian antara kaum, pengagihan saksama kekayaan negara, paras korupsi yang rendah dan pengurangan masalah berkaitan sosio-ekonomi.

Pada Seksyen 2 artikel akan diterangkan kenapa sistem perbankan di Malaysia telah membawa ketempangan sosio-ekonomi yang ketara kepada orang Melayu. Seksyen 3 membincangkan kesan sosio-ekonomi-politik  sistem wang Fiat. Seksyen 4 memberikan beberapa langkah yang boleh diambil kerajaan untuk menghentikan perompakan dan menterbalikkan proses. Seksyen terakhir menyimpulkan kertas kerja.


2.0  Wang Fiat Sistem Perbankan Berdasarkan Riba’ dan Melayu – Sejarahnya

Pada asalnya Tanah Melayu (teks asal menggunakan perkataan Malaya) diduduki Orang Asli, penduduk asal, serta orang Melayu (merujuk kepada orang tempatan Alam dan Kepulauan Melayu yang juga telah bercampur-aduk dengan pendatang Arab, India dan bangsa lain sejak beberapa abad). Dengan kesultanan-kesultanan bertebaran di merata Tanah Melayu, mereka secara asasnya memiliki Tanah Melayu. Orang Asli secara dasarnya tinggal di hutan tropika sementara orang Melayu duduk di kampung-kampung. Kehidupan mereka ringkas tetapi diberkati perhubungan kemasyarakatan yang erat dan harmoni, dengan pertanian dan perikanan menjadi sumber utama kehidupan.

Tanah Melayu adalah bumi ‘susu dan madu’ (land of milk and honey). Ia menarik orang Arab dan India Muslim awal untuk datang mengadu nasib. Pedagang Arab diketahui telah datang ke Kepulauan Melayu sejak awal abad ke-7. Mereka diketahui telah sampai ke Sumatera pada 674 Masihi, cuma beberapa dekad setelah kemunculan Nabi Muhammad SAW di Tanah Arab. Sebaliknya pedagang India Muslim diketahui telah datang ke Semenanjung Melayu, terutama ke Kedah, sejak abad ke 12. Pengaruh mereka terhadap istana kesultanan Melaka telah didokumenkan dengan baik. Parameswara, pengasas Melaka dikatakan memeluk Islam tahun 1411. Orang Melayu tempatan secara rata hidup berasaskan pertanian dan ini dilengkapkan oleh kepintaran perniagaan orang Arab dan India Muslim. Maka itu orang India Muslim dan pedagang Arab awal memiliki perniagaan yang maju di Tanah Melayu dan diterima baik penduduk tempatan kerana agama yang sama iaitu Islam.

Agama Islam adalah faktor pemberi petunjuk dan pemersatu antara semua. Dengan menurut prinsip Islam, wang yang digunakan untuk perdagangan adalah wang-wang sebenar (bukan wang kertas yang boleh dicetak sesuka hati) – kebanyakannya jongkong timah, emas dan syiling perak. Di bawah sistem wang sebenar sebegitu, setiap pertukaran dagangan melibatkan pertukaran barangan sebenar dengan barangan sebenar juga dengan perkhidmatan yang dinilai setara. Maka ia membentuk satu sistem pertukaran yang adil dan saksama. Logam-logam bernilai memainkan peranan sebagai pengukur harga dalam dagangan dan kontrak.

Tanah Melayu sebagai Semenanjung yang kaya dengan hasil bumi juga menarik para penjajah dan pendatang Cina dan India kemudian. Orang Portugis, Belanda, Jepun dan Inggeris berada di sini pada masa tertentu dalam sejarah tetapi pengaruh Inggeris adalah yang paling hebat. Syarikat British India Timur mula ditubuhkan di penempatan British di Pulau Pinang, pada 1786. Kemudian Pulau Pinang, Singapura dan Melaka digabungkan menjadi Negeri-negeri Selat 1826, dengan Pulau Pinang sebagai pusat. Mereka membawa orang India untuk bekerja di ladang getah sementara orang Cina rata-rata di lombong bijih timah, dua aktiviti ekonomi terbesar zaman itu. Penghijrahan ke Tanah Melayu adalah mudah bagi orang luar kerana sering diterima orang Melayu yang bersifat ringkas, bertoleransi, beragama dan memiliki nilai moral yang tinggi. Daripada segi ekonomi sebenar, kemunculan para pendatang termasuk pedagang Arab dan India Muslim adalah bagus kerana kedatangan mereka meningkatkan aktiviti ekonomi dan pengagihan kek ekonomi, semuanya menambah kesejahteraan ramai.

Tetapi keadaan mula berubah dengan pengenalan bank-bank persendirian terawal di Pulau Pinang. Mercantile Bank yang kemudian menjadi anak syarikat Hong Kong Bank (sekarang HSBC), membuka perniagaan dalam 1860an dan Chartered Bank (sekarang Standard Chartered) pada 1875. Bank-bank persendirian terawal ini mengeluarkan nota bank sendiri (kertas yang diberi nilai seperti wang atas jaminan bank).  Kerajaan belum mengeluarkan nota serupa ketika itu. Cuma pada 1897, selepas Badan Pesuruhjaya Mata Wang (Board of Commisioners of Currency) ditubuhkan, baru kerajaan Negeri-negeri Selat diberikan kuasa untuk mengeluarkan nota mata wang. Tetapi nota yang dikeluarkan dua bank persendirian, Chartered Bank dan Hong Kong Bank, turut berkitar bersama nota keluaran kerajaan. Hak untuk bank-bank ini mengeluarkan nota cuma dilupuskan pada 1921. Pada 1938 Badan Pesuruhjaya Mata Wang Malaya (panggilan British untuk Tanah Melayu) ditubuhkan sebagai satu-satunya kuasa yang boleh mengeluarkan mata wang bagi seluruh wilayah naungan. Pada 1952 ia menjadi Badan Pesuruhjaya Mata Wang Malaya dan British Borneo (Board of Commisioners of Currency Malaya and British Borneo) yang terus mengeluarkan mata wang walaupun selepas Malaysia merdeka 1957. Badan ini cuma ditutup secara rasmi lewat 1979. Sejak itu mata wang hanya dikeluarkan oleh Bank Negara Malaysia. Tetapi kebanyakan wang dicipta oleh bank komersial melalui sistem yang dipanggil Fractional Reserve Banking (satu sistem yang menghalalkan bank memberikan pinjaman wang berkali ganda berbanding simpanan yang ada, diwujudkan melalui kiraan akaun atas kertas kemudiannya cuma dalam komputer).

Semua yang di atas, seperti pengeluaran nota bank persendirian, Badan Pesuruhjaya Mata Wang dan Bank Negara Malaysia dengan sistem Fractional Reserve Banking yang diamalkannya wujud berdasarkan sistem wang Fiat yang berdiri atas riba’ dan tidak bagus untuk ekonomi orang Melayu. Kita akan menghujahkan ini pada seksyen seterusnya.


2.1   Satu Prinsip Wang Fiat – Kerugian melalui Seigniorage

Salah satu prinsip wang Fiat adalah Seigniorage (perbezaan nilai wang dengan kos menerbitkan juga mengedarkannya) untuk wang Fiat menguntungkan pengguna pertama wang.  Oleh kerana wang Fiat tidak disandarkan pada emar atau apapun yang bernilai, ia murah untuk dihasilkan tetapi membawa kuasa beli yang diterbitkan daripada udara kosong (out of thin air). Kuasa membeli yang diterbitkan secara murah inilah yang dikejar oleh pencetak wang palsu. Tetapi apabila bank-bank menerbitkan mata wang sendiri, mereka mendapat Seigniorage ini. Penerbitan wang Fiat yang dibuat mereka membawa bersama kuasa membeli yang dicipta dengan cara mencukai keseluruhan ekonomi melalui inflasi. Tidak difahami ramai bahawa hak untuk menerbitkan wang Fiat secara efektiknya memberikan pemilikan hasil bumi negara dan aset-aset ke tangan bank-bank. Kami telah berhujah dalam Meera (2005, merujuk pada kertas lama penulis) bahawa penerbitan wang Fiat itu sendiri adalah riba’ dan ia berlawanan dengan Maqasid al-Shari’ah. Maka itu negara-negara boleh kerugian melalui Seigniorage jika mereka membenarkan wang Fiat dari negara lain atau nota terbitan institusi persendirian untuk digunakan sebagai wang di tanah mereka.

Kedua, bank-bank mengeluarkan wang Fiat yang dicipta secara bebas sebagai pinjaman – kepada individu, perniagaan dan kerajaan – yang membawa cas riba’ berganda (compounded interest charges). Dan riba’ adalah dikutuk sekuatnya dalam Islam.

Maka itu, apabila bank-bank terawal di Semenanjung diasaskan lalu mengeluarkan nota bank sendiri dengan riba’, kebanyakan jika tidak semua orang Melayu, pedagang Arab dan India Muslim tidak mahu terlibat langsung dengannya. Tetapi, baik mereka mahupun para pemimpin Islam tidak menghentikan aktiviti ini di tanah mereka. Pada pendapat kami, ini adalah kesilapan terbesar dibuat pemimpin Melayu Islam zaman itu merujuk pada prinsip penggunaan wang dalam Islam. Kesannya begitu nyata pada keadaan sosio-ekonomi-politik orang Melayu sekarang.


2.2 Keterasingan dari Kewangan dan Pengurangan Berterusan Keterlibatan Kewangan Relatif

Pengeluaran wang Fiat dengan riba’ oleh bank-bank awal dan pihak berkuasa mengasingkan secara total orang Islam awal – Melayu, India dan pedagang Arab – daripada berurusan dengan bank. Ini adalah keterasingan kewangan sistemik orang Islam. Maka itu kami dapati pada zaman itu, akhir abad ke 19 dan awal abad ke 20 telah menyaksikan kebanjiran pendatang Cina ke Tanah Melayu yang selesa dengan sistem wang Fiat berdasarkan riba’. Jadi, kebanyakan wang Fiat yang baru diterbitkan pergi kepada kumpulan ini. Fenomena ini secara sistematik malah berterusan meningkatkan keterlibatan kewangan pedagang Cina sementara secara berterusan mengurangkan keterlibatan kewangan relatif kumpulan Islam. Fenomena ini terus ditonjolkan dengan fakta bahawa masyarakat Cina memiliki kecenderungan untuk mengitarkan wang dalam kalangan komuniti sendiri.

Maka itu wang Fiat berdasarkan riba’ telah, dalam sejumlah dekad, mengurangkan keterlibatan kewangan orang Melayu, India Muslim dan pedagang Arab dan pada masa yang sama meningkatkannya pada masyarakat Cina. Fenomena ini telah berlangsung secara eksponensial kerana wang Fiat berdasarkan riba’ berkembang secara eksponensial. Maka itu melalui struktur sistem kewangan sahaja, kewangan relatif dan kekayaan orang Melayu, India Muslim dan pedagang Arab harus berkurangan secara eksponential, sementara ia berkembang bagi masyarakat Cina. Tentunya, dengan peningkatan kekayaan dan duit, masyarakat Cina boleh terus mengembangkan perniagaan, meneroka peluang baru, menghantar anak-anak mereka untuk pendidikan berprestij di luar negara dan lain-lain. Sungguh, kebanyakan orang Melayu tidak memiliki pun akaun simpanan bank hingga ke 1970an (pegawai dahulu cuma menerima cek tunai, setelah kerajaan ‘meyakinkan’ mereka tiada riba’ dalam Bank Simpanan Nasional atau BSN yang merupakan institusi kewangan yang tidak mencipta wang daripada udara kosong melalui sistem Fractional Reserve Banking, baru mereka mula menyimpan di bank). Ini menunjukkan lamanya tempoh keterasingan kewangan orang Melayu, India Muslim dan pedagang Arab berlangsung.


3.0  Kesan Sosio-ekonomi-politik  akibat Keterasingan Kewangan yang Berpanjangan

Wang Fiat membawa lari kekayaan penduduk asal, dalam contoh kita, kekayaan orang Melayu, dengan cara mencipta inflasi dalam sistem. Maka itu sekarang setelah 150 tahun penubuhan bank-bank terawal di Malaysia, tidak sedikit kekayaan, terutama tanah, telah diambil alih daripada tangan orang Melayu. Orang Melayu kini begitu tempang daripada segi ekonomi, dengan kebanyakan mereka menduduki tempat ke bawah tangga ekonomi, ramai pula jatuh ke dalam kategori miskin. Maka itu, seperti boleh dijangka, masalah sosio-ekonomi seperti tiada pekerjaan, jenayah, ketagihan dadah, mat rempit, pencapaian akademik rendah dan lain-lain  adalah secara relatifnya tinggi dalam kumpulan ini. Terdapat jurang yang luas dalam  pendapatan relatif dan pengagihan kekayaan antara orang Melayu, orang Cina dan lain-lain dengan masyarakat Cina menikmati bahagian kek ekonomi yang lebih tinggi dan tidak seimbang. Tidak dinafikan masyarakat Cina adalah masyarakat perniagaan yang kuat bekerja tetapi ia menguasai kebanyakan perdagangan yang terlalu dibantu struktur perbankan dan sistem kewangan dengan sedikit sahaja perbezaan kemahiran, produktiviti buruh dan kepintaran perniagaan. Pada dasarnya, peralihan kekayaan yang sangat besar telah berlangsung sehingga sekarang, dibiayai hanya melalui inflasi.

Rajah 1 di bawah memberikan anggaran bekalan wang di Malaysia yang diwujudkan oleh bank-bank komersial dalam bentuk pinjaman, pada tempoh 1973 hingga 2011. Perhatikan perkembangan eksponensial yang ditunjukkan graf. 

    





Data Bank Negara menunjukkan jumlah Broad Money, M3, pada tahun 2011 adalah RM1.24 trillion (Broad Money adalah ukuran sejumlah instrumen yang berfungsi seperti/sebagai wang, misalnya demand deposit, satu bentuk dana bank sementara M3 adalah sejenis piawaian untuk menentukan apakah instrumen yang boleh diliputi sebagai Broad Money, seperti duit kertas, syiling dan akaun bank perseorangan juga akaun syarikat). Daripada jumlah ini RM53.49 billion adalah mata wang dalam kitaran (dalam bentuk fizikal, duit kertas dan syiling). Perbezaannya, RM1.19 trillion adalah anggaran wang sedia ada yang diwujudkan oleh bank-bank komersial daripada udara kosong semata, melalui Fractional Reserve Banking (yang membenarkan dana atas kertas diwujudkan berkali ganda berbanding nilai sebenar deposit atau simpanan wang dalam pegangan bank lalu dijadikan pinjaman yang memberikan pulangan tinggi berdasarkan riba’). Pada tahun 1973 jumlahnya cuma RM6.6 billion, membayangkan bahawa kadar perkembangan penciptaan wang oleh bank-bank komersial adalah 14.7 peratus setiap tahun. Isunya adalah siapakah yang mendapat faedah daripada jumlah wang hampir tidak masuk akal yang diterbitkan oleh bank-bank komersial itu? Apakah ia telah diagihkan secara saksama untuk semua kaum? Tatacara yang mana jumlah bekalan wang diagihkan pada semua boleh menunjukkan tahap keterlibatan kewangan setiap kaum. Mungkin Bank Negara Malaysia boleh memberikan pencerahan.

Penguasaan ekonomi oleh masyarakat Cina juga membawa pada peningkatan kehadiran politik mereka dalam negara.


3.1  Penglibatan orang Melayu dan Islam dalam Transaksi Kewangan berdasarkan Riba’

Ketempangan berterusan yang ditimpakan wang Fiat berdasarkan riba’ terhadap orang Melayu, India Muslim dan pedagang Arab telah menyebabkan kumpulan ini akhirnya terlibat di dalam transaksi kewangan berdasarkan riba’. Untuk terus aktif dalam perdagangan menurut arus zaman, peniaga Muslim harus mengalah, misalnya dengan membuat deposit dan membuka akaun bank. Di bawah sistem Fractional Reserve Banking, ini membenarkan bank-bank untuk mengeluarkan pinjaman berdasarkan riba’ kepada orang lain berkali ganda nilai deposit asal.

Disebabkan sifat tidak Islami bank, pemilikan dan pengurusan bank secara semulajadi dikuasai orang bukan Islam. Maka itu orang Islam secara am, pedagang atau lain darinya, cuma menjadi ‘mangsa’ sistem sebegini. Pengwujudan wang Fiat (yang bermakna duit tanpa sandaran) menyebabkan inflasi dalam ekonomi, yang mana harus ditanggung semua orang tidak kira sama ada mereka pernah berurusan dengan bank atau tidak. Maka itu, sambil menghadapi sedikit demi sedikit keterasingan (terkeluar daripada penglibatan aktiviti) ekonomi, orang Melayu dan Islam harus menanggung beban inflasi. Apapun, keterasingan ekonomi yang begitu lama perlahan-lahan memaksa orang Melayu dan pedagang Islam lain untuk terlibat sama dalam transaksi kewangan berdasarkan riba’ demi survival ekonomi. Ramai yang mula mengambil pinjaman untuk  pembelian rumah, kenderaan dan pembiayaan perniagaan. Ramai juga mula mendapat kerja di bank-bank. Di bawah sistem perbankan sekarang, sejumlah daripada pengerusi dan ketua pegawai operasi bank-bank konvensyional adalah orang Melayu. Secara dasarnya mereka mula ‘tidak peduli’ tentang sesuatu yang sangat dilarang dalam agama.


3.2 Pejabat Pemberian Pinjaman – Penabal Raja (king maker) dalam Sistem Fractional Reserve Banking

Tatkala bank pusat mengawal keperluan fractional reserve (rizab pecahan?) untuk bank-bank konvensyional, sesungguhnya pejabat pemberi pinjaman (loan office) sesebuah bank adalah tempat di mana wang dicipta daripada udara kosong lalu diagihkan kepada siapa yang dirasakan layak. Maka itu, seseorang boleh melihat permainan politik dalam bank-bank untuk mengawal pejabat pinjaman. Hak untuk menerbitkan wang daripada udara kosong adalah satu kuasa tertinggi yang dinikmati pegawai pemberi pinjaman. Kuasa ini tidak dimiliki secara langsung walau oleh seorang perdana menteri.

Seperti disebut lebih awal, sejumlah jawatan tinggi pengurusan dalam bank-bank konvensyional dipegang oleh orang Melayu. Namun ini malah pemilikan bank pun tidak begitu berfaedah. Apa yang paling berfaedah adalah siapa yang mendapat duit yang baru dicipta dan ini adalah di bawah kawalan terus pegawai pemberi pinjaman. Sesungguhnya mereka adalah ‘penabal raja-raja’ atau king maker dalam sistem Fractional Reserve Banking.

Oleh itu, disebabkan signifikannya kesan sosio-ekonomi-politik wang Fiat, komposisi kaum adalah paling penting untuk pegawai menilai dan membenarkan pinjaman. Walaupun kita boleh beranggapan mereka akan bertindak secara profesional dalam membuat kerja, hakikatnya tidak semestinya begitu. Namun begitu, sejak awal lagi jumlah pegawai pinjaman Melayu dan Islam adalah terlalu kecil disebabkan sifat semulajadi bank berdasarkan riba’.

Keadaan ini membawa pada kawalan terhadap pejabat pemberi pinjaman, kecenderungan untuk mengitarkan wang dalam komuniti sendiri dan undang-undang yang menghadkan liabiliti. Kami berpendirian bahawa komuniti perniagaan Cina mendapat bahagian paling besar daripada wang yang dicipta sesuka hati lalu membawa pada keterlibatan kewangan relatif mereka yang sentiasa berkembang. Sesungguhnya inilah kuasa sebenar di belakang kenaikan masyarakat Cina berbanding komuniti lain dan penguasaan mutlak mereka terhadap ekonomi negara. Tetapi, perhatikan bahawa masyarakat Cina mencapai ini menurut lunas undang-undang.


3.3        Kek Ekonomi yang Mengecut buat orang Melayu dan lain-lain

Sementara kekayaan orang Cina meningkat secara rata akibat sokongan sistem kewangan, kek ekonomi untuk orang Melayu dan kaum lain mengecut menurut keadaan. Graf pada Rajah 1 menunjukkan trend ini bersifat eksponensial. Ketidakseimbangan yang begitu menjolok mata dalam pengagihan kekayaan dalam kalangan kaum tersebut menyebabkan satu siri masalah sosio-ekonomi-politik  terbit. Kami menyifatkan jurang ini berlaku akibat rusuhan kaum 13 Mei 1969. Walaupun selepas itu orang Melayu dapat mengekalkan pegangan kekuasaan politik, ketidakseimbangan dalam pengagihan kekayaan terus berkembang di bawah status quo perbankan yang dikekalkan. Sesungguhnya kebanyakan bandar dan kawasan sekitarnya sekarang ‘dimiliki’ masyarakat Cina. Ambil Pulau Pinang sebagai contoh. Sementara suatu masa dahulu ia dimiliki sepenuhnya oleh orang Melayu, sekarang pulau itu secara praktiknya telah hilang daripada tangan mereka. Ini sesungguhnya didorong secara sistematik melalui perlaksanaan sistem perbankan dan kewangan. Cerita serupa melanda Johor Bahru, Kuala Lumpur, Ipoh dan bandar raya juga bandar-bandar lain. Perhatikan harga hartanah yang melonjak tinggi di kawasan bandar. Fenomena ini tidak sahaja menolak orang Melayu dan penduduk asli keluar dari kawasan bandar malah menerbitkan satu rintangan tidak nampak yang menghalang kemasukan ke bandar. Dan tentunya semua ini memiliki implikasi politik.


3.4        Peningkatan Korupsi dalam kalangan Pegawai Kerajaan berbangsa Melayu

Dalam tempoh beberapa dekad kebelakangan kita sering dapat mendengar aduan-aduan daripada orang awam mengenai peningkatan korupsi dalam kalangan pegawai kerajaan yang lazimnya orang Melayu. Kami menyifatkan ini juga kerana ketidakseimbangan dalam pengagihan kekayaan dalam kalangan kaum. Ini kerana orang Melayu memegang kuasa dan kedudukan politik, bangsa lain memiliki kelebihan dalam perniagaan dan kekayaan – resepi ranum untuk pemberian dan penerimaan rasuah. Pegawai Melayu yang memegang kuasa tetapi lebih rendah taraf ekonominya lebih senang tergoda untuk menerima rasuah demi menyaingi kesejahteraan ekonomi rakan yang lebih kaya. Kami tidak membenarkan rasuah di sini. Sesungguhnya ia adalah satu perbuatan khianat kepada negara, setiap penerima dan pemberi rasuah kedua-duanya bersalah. Adalah menyedihkan apabila diperhatikan jurang perbezaan pemilikan kekayaan dapat mengubah sifat orang Melayu yang dahulunya tinggi keagamaan dan nilai etik.


3.5   Tindakan Afirmatif untuk Melawan Ketidakseimbangan dalam Kekayaan dan Pendapatan

Mantan perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad diketahui telah mengambil sejumlah langkah afirmatif untuk melawan ketidakseimbangan ekonomi antara kaum, terutamanya langkah yang memihak kepada Bumiputra. Antaranya, beliau menghantar jumlah besar pelajar Melayu ke luar negara di bawah Pelan Ekonomi Baru, bawah panji-panji untuk menaikkan status sosio-ekonomi Bumiputra, dengan harapan mereka akan kembali membawa kemahiran pendidikan dan sosio-ekonomi yang lebih bagus. Sesungguhnya dasar ini membawa pulangan dan mewujudkan satu kelompok terhormat Bumiputra berpendapatan tinggi dan sederhana. Juga, beliau menswastakan beberapa badan kerajaan dengan harapan dapat mewujudkan sejumlah peniaga tinggi Melayu yang boleh menyaingi kawan mereka daripada bangsa lain, terutama orang Cina, jika tidak pun menyaingi mereka daripada segi jumlah.

Malangnya, kek ekonomi untuk orang Melayu dan Bumiputra lain yang mengecut membuatkan kerajaan tidak mampu untuk mengekalkan dasar afirmatif tersebut. Sejumlah orang Melayu dan Bumiputra lain terpaksa dipinggirkan. Ini nampaknya telah juga menerbitkan sejumlah ahli politik Melayu dan peniaga kaya raya pentingkan diri yang lupakan bangsa. Mereka mengumpulkan kekayaan dan kekuasaan ekonomi untuk diri sendiri sahaja.


3.6  Kesan-kesan Politik

Semua natijah wang Fiat di atas seterusnya memberikan kesan-kesan politik. Kami bertegas di sini bahawa pengecutan ekonomi perlahan tetapi berterusan orang Melayu itulah yang menyebabkan ramai menyokong parti-parti politik pembangkang, sesuatu yang sangat nyata dalam pilihanraya lepas, dengan harapan parti-parti ini dapat menolong mengatasi masalah ekonomi mereka.  Tetapi disebabkan struktur perbankan sekarang masih berkuatkuasa, parti pembangkang juga tidak akan dapat menyelesaikan masalah mereka. Orang Cina pula sebaliknya sedaya upaya menyokong pembangkang, bukan kerana keciciran ekonomi tetapi melihat  peluang seumur hidup muncul untuk mendapatkan lebih kawalan yang juga boleh membawa mereka pergi jauh dalam perjalanan untuk mencapai penguasaan politik ke atas negara.


4.0  Menangani Akar Permasalahan dengan Dasar Proaktif dan Afirmatif

Untuk semua pemerhatian di atas, terutama tentang kejatuhan sosio-ekonomi orang Melayu di Malaysia, kami mahu menunjukkan jari pada sektor perbankan sebagai masalah akar. Ini kerana sektor itulah yang mencipta jurang luas pendapatan dan pengagihan kekayaaan antara kaum melalui pengagihan tidak saksama jumlah besar wang Fiat yang diwujudkan sesuka hati. Pengwujudan wang Fiat oleh sektor perbankan sesungguhnya adalah ‘hadiah’ yang begitu menjolok mata apabila diberi di bawah undang-undang liabiliti terhad (sila rujuk artikel kami “Fiat Money and Interest Groups” yang muncul dalam  majalah THE EDGE, 1 April 2013, muka surat 56) berbanding saguhati jaminan kerajaan yang diberikan kepada Bumiputra, bertujuan untuk membantu mereka melalui segala macam ujian dan tekanan akibat penyingkiran ekonomi.

Sekarang adalah masa untuk kerajaan menghentikan dan menterbalikkan trend ketidaksamaan teruk dalam pengagihan kekayaan nasional dalam kalangan kaum, disebabkan sektor perbankan yang kini sudah memakan tempoh seabad setengah. Kerajaan harus mengambil berat tentang ketidaksamaan ini menggunakan data yang boleh didapati daripada Bank Negara atau terus mengambil langkah-langkah proaktif. Antara dasar segera yang kami selalu sarankan adalah memiliknegarakan (nationalisation, menjadikannya milik kerajaan) semua bank komersial demi menghentikan dengan segera trend memusnahkan ini. Memiliknegarakan bank boleh juga menolong  mengatasi defisit belanjawan kerajaan kerana duit yang dicipta daripada udara kosong menjadi milik awam berbanding pemilikan persendirian seperti dalam kes sekarang. Ini adalah keutamaan tertinggi dan sangat sangat penting. Ia adalah juga resolusi utama Persidangan ke-3 Tahunan Dunia tentang Riba’ 2012. Di Amerika Syarikat, usaha diperjuangkan Institut Perbankan Awam pimpinan Ellen Brown (penulis buku “The Web of Debt”). Beliau sering merujuk pada Dakota Utara yang memiliki perbankan awam, satu-satunya negeri dalam AS yang tidak mengalami masalah kewangan ketika berlakunya kegawatan ekonomi AS sekarang.

Untuk menterbalikkan proses, dasar-dasar boleh meliputi sebagai contoh, pengwartaan secara rasmi penggunaan hasil minyak dan gas kerajaan untuk menolong mereka yang ekonominya ketinggalan daripada semua kaum. Ini dijangka harus termasuk sebilangan besar orang Melayu, Bumiputra lain, orang India dan sejumlah orang Cina yang keciciran.

Kami percaya bahawa melalui dasar-dasar sedemikian, kekayaan nasional boleh diagihkan dengan lebih saksama kepada semua bangsa. Ini seterusnya akan menggalakkan ekonomi yang lebih stabil dan rancak, membawa kembali perpaduan orang Melayu, menempa keharmonian kaum, menyusutkan rasuah secara signifikan juga tahap jenayah dan seterusnya menggalakkan keamanan dan kesejahteraan untuk semua. Hanya setelah kita menyelesaikan ini dan sewajarnya meratakan padang permainan ekonomi baru kita boleh bercakap tentang meritokrasi dan seterusnya. Kalau tidak, dengan dinamik sedia ada yang melanda kita semua, orang Melayu dan penduduk asal tempatan kemungkinan besar akan menjadi ‘hamba’ di negara sendiri.

Orang Melayu membenarkan mereka dikuasai secara ekonomi walaupun memiliki kuasa politik hanya kerana mereka adalah orang yang sangat bertolak ansur, dibentuk oleh kepercayaan agama. Cuba pertimbangkan kalau peranan diterbalikkan, misalnya jika negara ini awalnya dihuni bangsa lain, dan orang Melayu adalah pendatang yang kemudian meraih kekuasaan ekonomi. Apakah bangsa lain akan bertolak ansur seperti dibuat orang Melayu selama ini?

Dipendekkan cerita, oleh itu kerajaan perlu mengambil tindakan-tindakan proaktif untuk memastikan kekayaan tanah ‘susu dan madu’ ini dapat diagihkan lebih saksama, dengan cara meningkatkan keterlibatan orang Melayu and pihak lain yang terkesan demi membawa negara ini ke hadapan menuju pencapaian taraf negara maju pada 2020.


5.0  Kesimpulan

Secara ringkas, penubuhan bank-bank persendirian pada permulaan 1860an, dan kemudian Badan Pesuruhjaya Mata Wang Malaya, dan seterusnya Bank Negara Malaysia yang mengamalkan perbankan komersial berdasarkan fractional reserve, kesemuanya boleh menerbitkan wang daripada udara kosong, adalah permulaan proses mencengkam membawa pada ‘kebinasaan’ ekonomi orang Melayu, penduduk setempat dan pedagang Islam. Pengenalan nota bank Fiat oleh bank-bank awal di bawah sistem berdasarkan riba’ tidak memihak kepada orang Melayu mahupun pedagang Islam. Ini adalah kerana pengambilan dan pemberian riba’ dilarang dalam agama. Pada mulanya, orang Islam tidak mahu bekerja langsung dengan bank. Maka itu sewajarnya, struktur perbankan memihak kepada bukan Islam, terutama orang Cina yang meliputi komuniti perniagaan yang luas. Ini melonjakkan kemewahan ekonomi dan tahap pendidikan orang Cina jauh melebihi orang Melayu dan kaum-kaum lain.

Oleh itu, pengwujudan wang Fiat oleh entiti-entiti di atas menyebabkan pengecutan sistematik keterlibatan kewangan relatif bagi orang Melayu, penduduk tempatan dan para pedagang Islam. Pinjaman berdasarkan riba’ memburukkan lagi  keterasingan kewangan.  Ini telah menyebabkan kekayaan amat besar dapat dipindahkan daripada tangan orang Melayu melalui inflasi. Ia juga membawa pada kekurangan ekonomi yang terus melanda hingga kini. Seterusnya, ini menerbitkan kesan-kesan sosio-ekonomi-politik yang kita lihat di Malaysia sekarang.

Sekarang terpulanglah kepada kerajaan, NGO-NGO dan orang ramai untuk mengambil langkah yang perlu demi memperbetulkan keadaan.




Dr. Ahamed Kameel Mydin Meera
Dekan
Institut Kewangan dan Perbankan Islam
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia