Manakan dapat sagu kalau tidak dipecahkan ruyungnya?
Manakan dapat mutiara yang berkerlipan jika takut menyelam ke lautan dalam.
Dalam diri setiap manusia, ada seketul daging.
Jika baik ia, maka baiklah seluruh jiwa manusia itu.
Jika buruk ia, buruklah juga manusia itu...
Seketul daging itu adalah hati,
mari kita lapangkan dada dan belajar mengIKHLASkan hati.
Perjalanan seribu batu bermula dengan satu langkah.
Marilah meneroka dunia pemikiran hamba.
Silakan

Video klip yang tertera boleh dianggap sebagai pembukaan kepada dunia pemikiran dan kesukaan hamba...







-------------------------


-------------------------



Segala yang dipaparkan menggambarkan pemikiran penulis yang turut terserap di dalam setiap penulisan buku dan artikel. Lihat Cara-cara mendapatkan buku tulisan Merah Silu @ Radzi Sapiee. Di atas adalah satu klip video selama hampir setengah jam yang merupakan demo pilot episode yang mahu digunakan untuk mencadangkan satu siri pengembaraan menyusuri sejarah Melayu Islam sekeliling Nusantara untuk siaran televisyen. Entah mengapa ia menemui masalah. Kemudian penulis diberitahu konsepnya diciplak sebuah stesyen televisyen. Lihat Kembara Sejarah Islam Nusantara : The original material...



Ini adalah klip video ulasan buku ketujuh saya "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" berserta temuramah yang dibuat siaran langsung di Selamat Pagi Malaysia, RTM1. Lihat Siaran langsung ulasan buku "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" dan temu ramah di Selamat Pagi Malaysia.



Penulis juga pernah diminta membuat pembentangan mengenai siri buku "Berpetualang ke Aceh" di Masjid Sultan Salahuddin iaitu masjid negeri Selangor di Shah Alam. Lihat Buku "Berpetualang" dan himpunan ulamak Nusantara yang diketuai ulamak Aceh


-------------------------



Siri novel "Berpetualang ke Aceh" boleh didapati dalam bentuk e-book. Masuk http://www.e-sentral.com/, klik kategori novel am dan taip perkataan "Aceh" pada kotak carian. Atau terus klik Buku 1,Buku 2 dan Buku 3.





Gambar ketika menghadiri satu majlis ilmu, diambil oleh sebuah akhbar harian. Lihat Menghiasi Kosmo Alam Melayu...



Penerbitan trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" juga membawa penulis untuk terlibat dengan banyak majlis ilmu. Rujuk kumpulan links artikel di bawah tajuk "Siri Refleksi Sejarah", pada bahagian paling bawah kiri blogspot, . Penulis juga agak aktif dalam aktiviti-aktiviti kedaulatan Melayu dan Islam, dapat menganjurkan majlis-majlis sendiri di merata Semenanjung Malaysia membawa ke luar negara di Aceh. Lihat blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


Ketika menulis perenggan ini 4 Mei 2015 penulis sedang berusaha untuk mengembangkan isi 3 buku dalam siri "Berpetualang ke Aceh" menjadi 6 buku yang akan membentuk siri baru dipanggil "Siri Pengembaraan Merah Silu". Sebuah syarikat penerbitan telah bersetuju untuk menerbitkan siri lama itu kembali dalam bentuk yang lebih segar - Setiap buku asal dipecah menjadi 2 buku baru yang ditambah maklumat, gambar dan peta berwarna-warni.Pertengahan September 2015 buku pertama siri baru pun selamat diterbitkan. Seminggu lebih kemudian penulis berpeluang bercakap tentangnya secara siaran langsung dalam televisyen lalu membawa wakil penerbit bersama. Lihat video di bawah :-






Awal tahun 2015 turut menyaksikan penulis diambil menjadi penyelidik dan hos satu siri dokumentari yang dipanggil "Daulah Melayu". Projek 13 episod sepanjang sejam setiap satu ini mahu mengenengahkan formula untuk mengembalikan kekuatan bangsa Melayu. Insyaallah projek iakan membawa penulis untuk mengembara ke merata di Malaysia dan Indonesia juga ke beberapa negara dan tempat di Eropah termasuk ke kota London, tempat penulis mengambil ijazah matematik 1991-1995. Siri dokumentari ini dijangka siap untuk tayangan televisyen dalam tempoh 2 tahun.


Wednesday, July 10, 2013

Wang Fiat dan Keruntuhan Ekonomi Orang Melayu



Salam 1 Ramadhan. Selamat berpuasa kepada semua, semoga dapat bertahan lalu mendapat kepuasan sebenar berbuka. Awal pagi Isnin seorang kawan telah memberikan satu fail pdf. menarik mengandungi kajian dan pembentangan seorang profesor ekonomi yang dibuat dalam bahasa Inggeris. Setelah membacanya sepintas lalu saya pun tergerak untuk berkongsi dengan orang ramai di Facebook. Namun masalah teknikal menghalang pdf. dari dikongsikan terus ke sana. 

Untuk mengatasinya saya menukar format setiap mukasurat pdf. lalu dijadikan satu siri gambar dalam format jpg.. Semua ini, 13 keping gambar untuk 13 muka surat kertas kerja diatur menjadi isi artikel baru pada blogspot BERPETUALANG KE ACEH. Artikel ini siap diatur lalu dipublish selepas tengah malam itu. Linknya kemudian diletak pada FB berserta sedikit ulasan. Biar dicopy and paste... 




BAGAIMANA DUIT KERTAS DAN SISTEM PERBANKAN MENJATUHKAN EKONOMI ORANG MELAYU SAMBIL MENAIKKAN EKONOMI ORANG CINA

Salam. Saya telah diberikan satu pdf. file mengandungi kajian seorang profesor tentang bagaimana wang kertas dan sistem perbankan yang mula diwujudkan di Tanah Melayu sekitar 150 tahun lalu berjaya menyusutkan ekonomi orang Melayu sambil menaikkan ekonomi orang Cina. Ini adalah salah satu tunggak asas pada usaha penjajah Barat yang dibelakangi puak Yahudi Illuminati untuk menjatuhkan orang Melayu dan Islam seraya menyekat kebangkitan Islam dari Timur akhir zaman. Klik pada link bawah, baca dan fahami...




Selepas beberapa lama saya dapati ramai yang berminat lalu membacanya tetapi bukan semua betul-betul faham. Maklumlah ia adalah kajian akademik seorang pakar ekonomi Islam yang dibuat dalam bahasa Inggeris. Tak semua pembaca Melayu lancar dalam bahasa ini. Malah orang yang pandai berbahasa Inggeris pun boleh tentu dapat menangkap segala isi kerana ia mengandungi konsep-konsep ekonomi dan kewangan serta terma-terma yang memerlukan sekurang-kurangnya sedikit pengetahuan dalam bidang. 

Seterusnya ada orang meminta saya menterjemahkannya ke dalam bahasa Melayu. Saya fikir elok juga agar lebih ramai anak Melayu dapat memahaminya. Tetapi ini memerlukan tumpuan istimewa buat satu masa dan saya tidak pasti samada akan membuatnya apalagi bila. Lewat malam semalam, malam pertama bulan Ramadhan saya mendapat gerak untuk memulakan usaha. Alhamdulillah, dengan kuasa Allah dan berkat bulan mulia ia dapat disiapkan sekitar 2 petang sebelum disunting sehingga memuaskan jam 4.30. 

Adapun terjemahan cuba dibuat mengikut cara penulisan asal selagi boleh. Tetapi untuk pembacaan awam dan demi pencernaan orang ramai saya telah menambah penerangan pada teks dan mengubah-suai sedikit isi. Apa yang penting semua orang Melayu boleh mendapat ilmu bermanfaat yang boleh dijadikan bekalan jihad akhir zaman demi membela agama, bangsa dan negara. Biar diberitahu ini adalah artikel ke 1,122 di blogspot ini. Selamat membaca... :]


----------------------------




Wang Fiat dan Keruntuhan Ekonomi Orang Melayu



Terjemahan oleh Radzi Sapiee, dari artikel berbahasa Inggeris “Fiat Money and Economic Degradation of the Malays” oleh Ahamed Kameel Mydin Meera, profesor dan dekan Institut Kewangan dan Perbankan Islam, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Beberapa nota kaki asal telah diterjemahkan secara ringkas untuk disertakan pada teks utama, diletakkan dalam kurungan. Penerangan beberapa terma teknikal (tidak wujud dalam teks asal kerana harus sedia difahami khalayak yang berpengetahuan dalam bidang) juga dihimpit kurungan.

                                                

Abstrak

Artikel ini berhujah bahawa kekayaan orang Melayu di Semenanjung Malaysia telah dirompak secara sistematik dari tangan mereka melalui wang Fiat (kertas yang diberi nilai tanpa sandaran) yang diterbitkan sistem perbankan berdasarkan riba’. Hal ini juga adalah benar bagi Bumiputra lain termasuk penduduk asal di Semenanjung dan Malaysia Timur dan para pedagang awal Arab dan India Muslim yang menetap di sini. Proses tersebut telah berlangsung sejak bank-bank persendirian terawal ditubuhkan di Pulau Pinang 1860an hingga sekarang. Ini secara keseluruhan memberi kesan sosio-ekonomi-politik  yang serius terhadap bangsa Melayu, Islam dan negara. Maka itu artikel ini memanggil pihak kerajaan, NGO-NGO dan orang ramai yang prihatin agar dapat menghentikan proses perompakan ini seterusnya mengambil tindakan proaktif dan tegas untuk menterbalikkan proses demi menggapai keadilan sosio-ekonomi dengan cara menggalakkan keamanan dan kesejahteraan dalam negara melalui pengagihan saksama kekayaan negara untuk semua kaum.




1.0 Pengenalan

Artikel ini menunjukkan satu dari banyak aspek wang Fiat, contohnya bagaimana penduduk asal sesebuah negara boleh kerugian teruk dalam sistem wang Fiat. Beberapa buah negara boleh dikemukakan sebagai contoh untuk menunjukkan ini. Kita ambil kes Malaysia untuk artikel.

Kalau kita ambil perhatian dari tahun ke tahun, Malaysia telah banyak berubah dari segi sosio-ekonomi-politik . Orang Melayu yang secara asasnya memiliki kebanyakan, jika tidak pun semua Semenanjung pada awalnya sekarang mengalami ketempangan ekonomi. Sebaliknya, masyarakat Cina secara khususnya telah berkembang dalam kemewahan berbanding bangsa lain. Statistik billionaire di Malaysia boleh membuktikan ini. Perbezaan ekonomi telah, secara langsung membawa sejumlah masalah sosio-ekonomi terbit di kalangan masyarakat Melayu – kesempitan hidup, kemiskinan, rendah keyakinan diri, pencapaian akademik yang rendah, ketagihan dadah, mat rempit, masalah remaja dan berbagai lagi. Maka itu kerajaan telah mencuba sejumlah langkah afirmatif termasuk Dasar Ekonomi Baru untuk menangani isu. Ia telah membawa hasil yang terhad namun masalah tetap wujud dan kelihatan terus berkembang. Bagi orang Cina pula, kemewahan ekonomi telah sedikit demi sedikit memberikan mereka lebih kedudukan politik.


1.1  Objektif

Artikel ini berdasarkan fakta sejarah dan pemerhatian terhadap Malaysia selama beberapa dekad. Ia bertujuan untuk merangsang proses pemikiran, tanpa niat jahat seperti mewujudkan perpecahan antara kaum. Sebaliknya, diharapkan artikel akan menyumbang pada keharmonian antara kaum, pengagihan saksama kekayaan negara, paras korupsi yang rendah dan pengurangan masalah berkaitan sosio-ekonomi.
Pada Seksyen 2 artikel akan diterangkan kenapa sistem perbankan di Malaysia telah membawa ketempangan sosio-ekonomi yang ketara pada orang Melayu. Seksyen 3 membincangkan kesan sosio-ekonomi-politik  sistem wang Fiat. Seksyen 4 memberikan beberapa langkah yang boleh diambil kerajaan untuk menghentikan perompakan dan menterbalikkan proses. Seksyen terakhir menyimpulkan kertas.kerja.


2.0  Wang Fiat Sistem Perbankan Berdasarkan Riba’ dan Melayu – Sejarahnya

Pada asalnya Tanah Melayu (teks asal menggunakan perkataan Malaya) diduduki Orang Asli, penduduk asal, serta orang Melayu.(merujuk pada orang tempatan Alam dan Kepulauan Melayu yang juga telah bercampur-aduk dengan pendatang Arab, India dan bangsa lain sejak beberapa abad). Dengan kesultanan-kesultanan bertebaran di merata Tanah Melayu, mereka secara asasnya memiliki Tanah Melayu. Orang Asli secara dasarnya tinggal di hutan tropika sementara orang Melayu duduk di kampung-kampung. Kehidupan mereka ringkas tetapi diberkati perhubungan kemasyarakatan yang erat dan harmoni, dengan pertanian dan perikanan menjadi sumber utama kehidupan.

Tanah Melayu adalah bumi ‘susu dan madu’ (land of milk and honey). Ia menarik orang Arab dan India Muslim awal untuk datang mengadu nasib. Pedagang Arab diketahui telah datang ke Kepulauan Melayu sejak awal abad ke-7. Mereka diketahui telah sampai ke Sumatera pada 674 Masihi, cuma beberapa dekad setelah kemunculan Nabi Muhammad SAW di Tanah Arab. Sebaliknya pedagang India Muslim diketahui telah datang ke Semenanjung Melayu, terutama ke Kedah, sejak abad ke 12. Pengaruh mereka terhadap istana kesultanan Melaka telah didokumenkan dengan baik. Parameswara, pengasas Melaka dikatakan memeluk Islam 1411. Orang Melayu tempatan secara rata hidup berasaskan pertanian dan ini dilengkapkan oleh kepintaran perniagaan orang Arab dan India Muslim. Maka itu orang India Muslim dan pedagang Arab awal memiliki perniagaan yang maju di Tanah Melayu dan diterima baik penduduk tempatan kerana agama yang sama iaitu Islam.

Agama Islam adalah faktor pemberi petunjuk dan pemersatu antara semua. Dengan menurut prinsip Islam, wang yang digunakan untuk perdagangan adalah wang-wang sebenar (bukan wang kertas yang boleh dicetak sesuka hati) – kebanyakannya jongkong timah, emas dan syiling perak. Di bawah sistem wang sebenar sebegitu, setiap pertukaran dagangan melibatkan pertukaran barangan sebenar dengan barangan sebenar, juga dengan perkhidmatan yang dinilai setara. Maka ia membentuk satu sistem pertukaran yang adil dan saksama. Logam-logam bernilai memainkan peranan sebagai pengukur harga dalam dagangan dan kontrak.

Tanah Melayu sebagai Semenanjung yang kaya dengan hasil bumi juga menarik para penjajah dan pendatang Cina dan India kemudian. Orang Portugis, Belanda, Jepun dan Inggeris berada di sini pada masa tertentu dalam sejarah tetapi pengaruh Inggeris adalah yang paling hebat. Syarikat British India Timur mula ditubuhkan di penempatan British di Pulau Pinang, pada 1786. Kemudian Pulau Pinang, Singapura dan Melaka digabungkan menjadi Negeri-negeri Selat 1826, dengan Pulau Pinang sebagai pusat. Mereka membawa orang India untuk bekerja di ladang getah sementara orang Cina rata-rata di lombong bijih timah, dua aktiviti ekonomi terbesar zaman itu. Penghijrahan ke Tanah Melayu adalah mudah bagi orang luar kerana sering diterima orang Melayu yang bersifat ringkas, bertoleransi, beragama dan memiliki nilai moral yang tinggi. Dari segi ekonomi sebenar, kemunculan pada pendatang termasuk pedagang Arab dan India Muslim adalah bagus kerana kedatangan mereka meningkatkan aktiviti ekonomi dan pengagihan kek ekonomi, semuanya menambah kesejahteraan ramai.

Tetapi keadaan mula berubah dengan pengenalan bank-bank persendirian terawal di Pulau Pinang. Mercantile Bank yang kemudian menjadi anak syarikat Hong Kong Bank (sekarang HSBC), membuka perniagaan dalam 1860an dan Chartered Bank (sekarang Standard Chartered) pada 1875. Bank-bank persendirian terawal ini mengeluarkan nota bank sendiri (kertas yang diberi nilai seperti wang atas jaminan bank).  Kerajaan belum mengeluarkan nota serupa ketika itu. Cuma pada 1897, selepas Badan Pesuruhjaya Mata Wang (Board of Commisioners of Currency) ditubuhkan, baru kerajaan Negeri-negeri Selat diberikan kuasa untuk mengeluarkan nota mata wang. Tetapi nota yang dikeluarkan dua bank persendirian, Chartered Bank dan Hong Kong Bank, turut berkitar bersama nota keluaran kerajaan. Hak untuk bank-bank ini mengeluarkan nota cuma dilupuskan 1921. Pada 1938 Badan Pesuruhjaya Mata Wang Malaya (panggilan British untuk Tanah Melayu) ditubuhkan sebagai satu-satunya kuasa yang boleh mengeluarkan mata wang bagi seluruh wilayah naungan. Pada 1952 ia menjadi Badan Pesuruhjaya Mata Wang Malaya dan British Borneo (Board of Commisioners of Currency Malaya and British Borneo) yang terus mengeluarkan mata wang walaupun selepas Malaysia merdeka 1957. Badan ini cuma ditutup secara rasmi lewat 1979. Sejak itu mata wang hanya dikeluarkan oleh Bank Negara Malaysia. Tetapi kebanyakan wang dicipta oleh bank komersial melalui sistem yang dipanggil Fractional Reserve Banking (satu sistem yang menghalalkan bank memberikan pinjaman wang berkali ganda berbanding simpanan yang ada, diwujudkan melalui kiraan akaun atas kertas kemudiannya cuma dalam komputer).

Semua yang di atas, seperti pengeluaran nota bank persendirian, Badan Pesuruhjaya Mata Wang dan Bank Negara Malaysia dengan sistem Fractional Reserve Banking yang diamalkannya wujud berdasarkan sistem wang Fiat yang berdiri atas riba’ dan tidak bagus untuk ekonomi orang Melayu. Kita akan menghujahkan ini pada seksyen seterusnya.


2.1   Satu Prinsip Wang Fiat – Kerugian melalui Seigniorage

Salah satu prinsip wang Fiat adalah Seigniorage (perbezaan nilai wang dengan kos menerbitkan juga mengedarkannya) untuk wang Fiat menguntungkan pengguna pertama wang.  Oleh kerana wang Fiat tidak disandarkan pada emar atau apapun yang bernilai, ia murah untuk dihasilkan tetapi membawa kuasa beli yang diterbitkan dari udara kosong. Kuasa membeli yang diterbitkan secara murah inilah yang dikejar oleh pencetak wang palsu. Tetapi apabila bank-bank menerbitkan mata wang sendiri, mereka mendapat Seigniorage ini. Penerbitan wang Fiat yang dibuat mereka membawa bersama kuasa membeli yang dicipta dengan cara mencukai keseluruhan ekonomi melalui inflasi. Tidak difahami ramai bahawa hak untuk menerbitkan wang Fiat secara efektiknya memberikan pemilikan hasil bumi negara dan aset-aset ke tangan bank-bank. Kami telah berhujah dalam Meera (2005, merujuk pada kertas lama penulis) bahawa penerbitan wang Fiat itu sendiri adalah riba’ dan ia berlawanan dengan Maqasid al-Shari’ah. Maka itu negara-negara boleh kerugian melalui Seigniorage jika mereka membenarkan wang Fiat dari negara lain atau nota terbitan institusi persendirian untuk digunakan sebagai wang di tanah mereka.

Kedua, bank-bank mengeluarkan wang Fiat yang dicipta secara bebas sebagai pinjaman – kepada individu, perniagaan dan kerajaan – yang membawa cas riba’ berganda (compound interest charges). Dan riba’ adalah dikutuk sekuatnya dalam Islam.

Maka itu, apabila bank-bank terawal di Semenanhung diasaskan lalu mengeluarkan nota bank sendiri dengan riba’, kebanyakan jika tidak semua orang Melayu, pedagang Arab dan India Muslim tidak mahu terlibat langsung dengannya. Tetapi, baik mereka mahupun para pemimpin Islam tidak menghentikan aktiviti ini di tanah mereka. Pada pendapat kami, ini adalah kesilapan terbesar dibuat pemimpin Melayu Islam zaman itu merujuk pada prinsip penggunaan wang dalam Islam. Kesannya begitu nyata pada keadaan sosio-ekonomi-politik orang Melayu sekarang.


2.2 Keterasingan dari Kewangan dan Pengurangan Berterusan Keterlibatan Kewangan Relatif

Pengeluaran wang Fiat dengan riba’ oleh bank-bank awal dan pihak berkuasa mengasingkan secara total orang Islam awal – Melayu, India dan pedagang Arab – dari berurusan dengan bank. Ini adalah keterasingan kewangan sistemik orang Islam. Maka itu kami dapati pada zaman itu, akhir abad ke 19 dan awal abad ke 20 telah menyaksikan kebanjiran pendatang Cina ke Tanah Melayu yang selesa dengan sistem wang Fiat berdasarkan riba’. Jadi, kebanyakan wang Fiat yang baru diterbitkan pergi kepada kumpulan ini. Fenomena ini secara sistematik malah berterusan meningkatkan keterlibatan kewangan pedagang Cina sementara secara berterusan mengurangkan keterlibatan kewangan relatif kumpulan Islam. Fenomena ini terus ditonjolkan dengan fakta bahawa masyarakat Cina memiliki kecenderungan untuk mengitarkan wang di kalangan komuniti sendiri.

Maka itu wang Fiat berdasarkan riba’ telah, dalam sejumlah dekad, mengurangkan keterlibatan kewangan orang Melayu, India Muslim dan pedagang Arab dan pada masa yang sama meningkatkannya pada masyarakat Cina. Fenomena ini telah berlangsung secara eksponensial kerana wang Fiat berdasarkan riba’ berkembang secara eksponensial. Maka itu melalui struktur sistem kewangan sahaja, kewangan relatif dan kekayaan orang Melayu, India Muslim dan pedagang Arab harus berkurangan secara eksponential, sementara ia berkembang bagi masyarakat Cina. Tentunya, dengan peningkatan kekayaan dan duit, masyarakat Cina boleh terus mengembangkan perniagaan, meneroka peluang baru, menghantar anak-anak mereka untuk pendidikan berprestij di luar negara dan lain-lain. Sungguh, kebanyakan orang Melayu tidak memiliki pun akaun simpanan bank hingga ke 1970an (pegawai dahulu cuma menerima cek tunai, setelah kerajaan ‘meyakinkan’ mereka tiada riba’ dalam Bank Simpanan Nasional (BSN) yang merupakan institusi kewangan yang tidak mencipta wang daripada udara kosong melalui sistem Fractional Reserve Banking, baru mereka mula menyimpan di bank). Ini menunjukkan lamanya tempoh keterasingan kewangan orang Melayu, India Muslim dan pedagang Arab berlangsung.


3.0  Kesan Sosio-ekonomi-politik  akibat Keterasingan Kewangan yang Berpanjangan

Wang Fiat membawa lari kekayaan penduduk asal, dalam contoh kita, kekayaan orang Melayu, dengan cara mencipta inflasi dalam sistem. Maka itu sekarang setelah 150 tahun penubuhan bank-bank terawal di Malaysia, tidak sedikit kekayaan, terutama tanah, telah diambil alih dari tangan orang Melayu. Orang Melayu kini begitu tempang dari segi ekonomi, dengan kebanyakan mereka menduduki tempat ke bawah tangga ekonomi, ramai pula jatuh ke dalam kategori miskin. Maka itu, seperti boleh dijangka, masalah sosio-ekonomi seperti tiada pekerjaan, jenayah, ketagihan dadah, mat rempit, pencapaian akademik rendah dan lain-lain  adalah secara relatifnya tinggi dalam kumpulan ini. Terdapat jurang yang luas dalam  pendapatan relatif dan pengagihan kekayaan antara orang Melayu, orang Cina dan lain-lain dengan masyarakat Cina menikmati bahagian kek ekonomi yang lebih tinggi dan tidak seimbang. Tidak dinafikan masyarakat Cina adalah masyarakat perniagaan yang kuat bekerja tetapi ia menguasai kebanyakan perdagangan yang terlalu dibantu struktur perbankan dan sistem kewangan dengan sedikit sahaja perbezaan kemahiran, produktiviti buruh dan kepintaran perniagaan. Pada dasarnya,peralihan kekayaan yang sangat besar telah berlangsung sehingga sekarang, dibiayai hanya melalui inflasi.

 Rajah 1 di bawah memberikan anggaran bekalan wang di Malaysia yang diwujudkan oleh bank-bank komersial dalam bentuk pinjaman, pada tempoh 1973 hingga 2011. Perhatikan perkembangan eksponensial yang ditunjukkan graf. 

    





Data Bank Negara menunjukkan jumlah Broad Money, M3, pada tahun 2011 adalah RM1.24 trillion (Broad Money adalah ukuran sejumlah instrumen yang berfungsi seperti/sebagai wang, misalnya demand deposit, satu bentuk dana bank, M3 adalah sejenis piawaian untuk menentukan apakah instrumen yang boleh diliputi sebagai Broad Money, seperti duit kertas, syiling dan akaun bank perseorangan juga akaun syarikat). Dari jumlah ini RM53.49 billion adalah mata wang dalam kitaran (dalam bentuk fizikal, duit kertas dan syiling). Perbezaannya, RM1.19 trillion adalah anggaran wang sedia ada yang diwujudkan oleh bank-bank komersial daripada udara kosong semata, melalui Fractional Reserve Banking (yang membenarkan dana atas kertas diwujudkan berkali ganda berbanding nilai sebenar deposit atau simpanan wang dalam pegangan bank lalu dijadikan pinjaman yang memberikan pulangan tinggi berdasarkan riba’). Pada tahun 1973 jumlahnya cuma RM6.6 billion, membayangkan bahawa kadar perkembangan penciptaan wang oleh bank-bank komersial adalah 14.7 peratus setiap tahun. Isunya adalah siapakah yang mendapat faedah daripada jumlah wang hampir tidak masuk akal yang diterbitkan oleh bank-bank komersial itu? Apakah ia telah diagihkan secara saksama untuk semua kaum? Tatacara yang mana jumlah bekalan wang diagihkan pada semua boleh menunjukkan tahap keterlibatan kewangan setiap kaum. Mungkin Bank Negara Malaysia boleh memberikan pencerahan.

Penguasaan ekonomi oleh masyarakat Cina juga membawa pada peningkatan kehadiran politik mereka dalam negara.


3.1  Penglibatan orang Melayu dan Islam dalam Transaksi Kewangan berdasarkan Riba’

Ketempangan berterusan yang ditimpakan wang Fiat berdasarkan riba’ terhadap orang Melayu, India Muslim dan pedagang Arab telah menyebabkan kumpulan ini akhirnya terlibat di dalam transaksi kewangan berdasarkan riba’. Untuk terus aktif dalam perdagangan menurut arus zaman, peniaga Muslim harus mengalah, misalnya dengan membuat deposit dan membuka akaun bank. Di bawah sistem Fractional Reserve Banking, ini membenarkan bank-bank untuk mengeluarkan pinjaman berdasarkan riba’ kepada orang lain berkali ganda nilai deposit asal.

Disebabkan sifat tidak Islami bank, pemilikan dan pengurusan bank secara semulajadi dikuasai orang bukan Islam. Maka itu orang Islam secara am, pedagang atau lain darinya, cuma menjadi ‘mangsa’ sistem sebegini. Pengwujudan wang Fiat (yang bermakna duit tanpa sandaran) menyebabkan inflasi dalam ekonomi, yang mana harus ditanggung semua orang tidak kira samada mereka pernah berurusan dengan bank atau tidak. Maka itu, sambil menghadapi sedikit demi sedikit keterasingan (terkeluar dari penglibatan aktiviti) ekonomi, orang Melayu dan Islam harus menanggung beban inflasi. Apapun, keterasingan ekonomi yang begitu lama perlahan-lahan memaksa orang Melayu dan pedagang Islam lain untuk terlibat sama dalam transaksi kewangan berdasarkan riba’ demi survival ekonomi. Ramai yang mula mengambil pinjaman untuk  pembelian rumah, kenderaan dan pembiayaan perniagaan. Ramai juga mula mendapat kerja di bank-bank. Di bawah sistem perbankan sekarang, sejumlah daripada pengerusi dan ketua pegawai operasi bank-bank konvensyional adalah orang Melayu. Secara dasarnya mereka mula ‘tidak peduli’ tentang sesuatu yang sangat dilarang dalam agama.


3.2 Pejabat Pemberian Pinjaman – Penabal Raja dalam Sistem Fractional Reserve Banking

Tatkala bank pusat mengawal keperluan fractional reserve (rizab pecahan?) untuk bank-bank konvensyional, sesungguhnya pejabat pemberi pinjaman (loan office) sesebuah bank adalah tempat di mana wang dicipta daripada udara kosong lalu diagihkan kepada siapa yang dirasakan layak. Maka itu, seseorang boleh melihat permainan politik dalam bank-bank untuk mengawal pejabat pinjaman. Hak untuk menerbitkan wang daripada udara kosong adalah satu kuasa tertinggi yang dinikmati pegawai pemberi pinjaman. Kuasa ini tidak dimiliki secara langsung walau oleh seorang perdana menteri.

Seperti disebut lebih awal, sejumlah jawatan tinggi pengurusan dalam bank-bank konvensyional dipegang oleh orang Melayu. Namun, ini malah pemilikan bank pun tidak begitu berfaedah. Apa yang paling berfaedah adalah siapa yang mendapat duit yang baru dicipta dan ini adalah di bawah kawalan terus pegawai pemberi pinjaman. Sesungguhnya mereka adalah ‘penabal raja-raja’ atau king maker dalam sistem Fractional Reserve Banking.

Oleh itu, disebabkan signifikannya kesan sosio-ekonomi-politik  wang Fiat, komposisi kaum adalah paling penting untuk pegawai menilai dan membenarkan pinjaman. Walaupun kita boleh beranggapan mereka akan bertindak secara profesional dalam membuat kerja, hakikatnya tidak semestinya begitu. Namun begitu, sejak awal lagi jumlah pegawai pinjaman Melayu dan Islam adalah terlalu kecil disebabkan sifat semulajadi bank berdasarkan riba’.

Keadaan ini membawa kepada kawalan terhadap pejabat pemberi pinjaman, kecenderungan untuk mengitarkan wang dalam komuniti sendiri dan undang-undang yang menghadkan liabiliti. Kami berpendirian bahawa komuniti perniagaan Cina mendapat bahagian paling besar daripada wang yang dicipta sesuka hati lalu membawa kepada keterlibatan kewangan relatif mereka yang sentiasa berkembang. Sesungguhnya inilah kuasa sebenar di belakang kenaikan masyarakat Cina berbanding komuniti lain dan penguasaan mutlak mereka terhadap ekonomi negara. Tetapi, perhatikan bahawa masyarakat Cina mencapai ini menurut lunas undang-undang.


3.3        Kek Ekonomi yang Mengecut buat orang Melayu dan lain-lain

Sementara kekayaan orang Cina meningkat secara rata akibat sokongan sistem kewangan, kek ekonomi untuk orang Melayu dan kaum lain mengecut menurut keadaan. Graf pada Rajah 1 menunjukkan trend ini bersifat eksponensial. Ketidakseimbangan yang begitu menjolok mata dalam pengagihan kekayaan di kalangan kaum tersebut menyebabkan satu siri masalah sosio-ekonomi-politik  terbit. Kami menyifatkan jurang ini berlaku akibat rusuhan kaum 13 Mei 1969. Walaupun selepas itu orang Melayu dapat mengekalkan pegangan kekuasaan politik, ketidakseimbangan dalam pengagihan kekayaan terus berkembang di bawah status quo perbankan yang dikekalkan. Sesungguhnya kebanyakan bandar dan kawasan sekitarnya sekarang ‘dimiliki’ masyarakat Cina. Ambil Pulau Pinang sebagai contoh. Sementara suatu masa dahulu ia dimiliki sepenuhnya oleh orang Melayu, sekarang pulau itu secara praktiknya telah hilang dari tangan mereka. Ini sesungguhnya didorong secara sistematik melalui perlaksanaan sistem perbankan dan kewangan. Cerita serupa melanda Johor Bahru, Kuala Lumpur, Ipoh dan bandar raya juga bandar-bandar lain. Perhatikan harga hartanah yang melonjak tinggi di kawasan bandar. Fenomena ini tidak sahaja menolak orang Melayu dan penduduk asli keluar dari kawasan bandar malah menerbitkan satu rintangan tidak nampak yang menghalang kemasukan ke bandar. Dan tentunya semua ini memiliki implikasi politik.


3.4        Peningkatan Korupsi di kalangan Pegawai Kerajaan berbangsa Melayu

Dalam tempoh beberapa dekad kebelakangan kita sering dapat mendengar aduan-aduan dari orang awam mengenai peningkatan korupsi di kalangan pegawai kerajaan yang lazimnya orang Melayu. Kami menyifatkan ini juga kerana ketidakseimbangan dalam pengagihan kekayaan di kalangan kaum. Ini kerana orang Melayu memegang kuasa dan kedudukan politik, bangsa lain memiliki kelebihan dalam perniagaan dan kekayaan – resepi ranum untuk pemberian dan penerimaan rasuah. Pegawai Melayu yang memegang kuasa tetapi lebih rendah taraf ekonominya lebih senang tergoda untuk menerima rasuah demi menyaingi kesejahteraan ekonomi rakan yang lebih kaya. Kami tidak membenarkan rasuah di sini. Sesungguhnya ia adalah satu perbuatan khianat kepada negara, setiap penerima dan pemberi rasuah kedua-duanya bersalah. Adalah menyedihkan apabila diperhatikan jurang perbezaan pemilikan kekayaan dapat mengubah sifat orang Melayu yang dahulunya tinggi keagamaan dan nilai etik.


3.5   Tindakan Afirmatif untuk Melawan Ketidakseimbangan dalam Kekayaan dan Pendapatan

Mantan perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad diketahui telah mengambil sejumlah langkah afirmatif untuk melawan ketidakseimbangan ekonomi antara kaum, terutamanya langkah yang memihak kepada Bumiputra. Antaranya, beliau menghantar jumlah besar pelajar Melayu ke luar negara di bawah Pelan Ekonom Baru, bawah panji-panji untuk menaikkan status sosio-ekonomi Bumiputra, dengan harapan mereka akan kembali membawa kemahiran pendidikan dan sosio-ekonomi yang lebih bagus. Sesungguhnya dasar ini membawa pulangan dan mewujudkan satu kelompok terhormat Bumiputra berpendapatan tinggi dan sederhana. Juga, beliau menswastakan beberapa badan kerajaan dengan harapan dapat mewujudkan sejumlah peniaga tinggi Melayu yang boleh menyaingi kawan mereka dari bangsa lain, terutama orang Cina, jika tidak pun menyaingi mereka dari segi jumlah.

Malangnya, kek ekonomi untuk orang Melayu dan Bumiputra lain yang mengecut membuatkan kerajaan tidak mampu untuk mengekalkan dasar afirmatif tersebut. Sejumlah orang Melayu dan Bumiputra lain terpaksa dipinggirkan. Ini nampaknya telah juga menerbitkan sejumlah ahli politik Melayu dan peniaga kaya-raya pentingkan diri yang lupakan bangsa. Mereka mengumpulkan kekayaan dan kekuasaan ekonomi untuk diri sendiri sahaja.


3.6  Kesan-kesan Politik

Semua natijah wang Fiat di atas seterusnya memberikan kesan-kesan politik. Kami bertegas di sini bahawa pengecutan ekonomi perlahan tetapi berterusan orang Melayu itulah yang menyebabkan ramai menyokong parti-parti politik pembangkang, sesuatu yang sangat nyata dalam pilihanraya lepas, dengan harapan parti-parti ini dapat menolong mengatasi masalah ekonomi mereka.  Tetapi disebabkan struktur perbankan sekarang masih berkuatkuasa, parti pembangkang juga tidak akan dapat menyelesaikan masalah mereka. Orang Cina pula sebaliknya sedaya upaya menyokong pembangkang, bukan kerana keciciran ekonomi tetapi melihat  peluang seumur hidup muncul untuk mendapatkan lebih kawalan yang juga boleh membawa mereka pergi jauh dalam perjalanan untuk mencapai penguasaan politik ke atas negara.


4.0  Menangani Akar Permasalahan dengan Dasar Proaktif dan Afirmatif

Untuk semua pemerhatian di atas, terutama tentang kejatuhan sosio-ekonomi orang Melayu di Malaysia, kami mahu menunjukkan jari pada sektor perbankan sebagai masalah akar. Ini kerana sektor itulah yang mencipta jurang luas pendapatan dan pengagihan kekayaaan antara kaum melalui pengagihan tidak saksama jumlah besar wang Fiat yang diwujudkan sesuka hati. Pengwujudan wang Fiat oleh sektor perbankan sesungguhnya adalah ‘hadiah’ yang begitu menjolok mata apabila diberi di bawah undang-undang liabiliti terhad (sila rujuk artikel kami “Fiat Money and Interest Groups” yang muncul dalam  majalah THE EDGE, 1 April 2013, muka surat 56) berbanding saguhati jaminan kerajaan yang diberikan kepada Bumiputra, bertujuan untuk membantu mereka melalui segala macam ujian dan tekanan akibat penyingkiran ekonomi.

Sekarang adalah masa untuk kerajaan menghentikan dan menterbalikkan trend ketidaksamaan teruk dalam pengagihan kekayaan nasional di kalangan kaum, disebabkan sektor perbankan yang kini sudah memakan tempoh seabad setengah. Kerajaan harus mengambil berat tentang ketidaksamaan ini menggunakan data yang boleh didapati dari Bank Negara atau terus mengambil langkah-langkah proaktif. Antara dasar segera yang kami selalu sarankan adalah memiliknegarakan (nationalisation, menjadikannya milik kerajaan) semua bank komersial demi menghentikan dengan segera trend memusnahkan ini. Memiliknegarakan bank boleh juga menolong  mengatasi defisit belanjawan kerajaan kerana duit yang dicipta daripada udara kosong menjadi milik awam berbanding pemilikan persendirian seperti dalam kes sekarang. Ini adalah keutamaan tertinggi dan sangat sangat penting. Ia adalah juga resolusi utama Persidangan ke-3 Tahunan Dunia tentang Riba’, 2012. Di Amerika Syarikat, usaha diperjuangkan Institut Perbankan Awam pimpinan Ellen Brown (penulis buku “The Web of Debt”). Beliau sering merujuk pada Dakota Utara yang memiliki perbankan awam, satu-satunya negeri dalam AS yang tidak mengalami masalah kewangan ketika berlakunya kegawatan ekonomi AS sekarang.

Untuk menterbalikkan proses, dasar-dasar boleh meliputi sebagai contoh, pengwartaan secara rasmi penggunaan hasil minyak dan gas kerajaan untuk menolong mereka yang ekonominya ketinggalan  dari semua kaum. Ini dijangka harus termasuk sebilangan besar orang Melayu, Bumiputra lain, orang India dan sejumlah orang Cina yang keciciran.

Kami percaya bahawa melalui dasar-dasar sedemikian, kekayaan nasional boleh diagihkan dengan lebih saksama kepada semua bangsa. Ini seterusnya akan menggalakkan ekonomi yang lebih stabil dan rancak, membawa kembali perpaduan orang Melayu, menempa keharmonian kaum, menyusutkan rasuah secara signifikan juga tahap jenayah dan seterusnya menggalakkan keamanan dan kesejahteraan untuk semua. Hanya setelah kita menyelesaikan ini dan sewajarnya meratakan padang permainan ekonomi baru kita boleh bercakap tentang meritokrasi dan seterusnya. Kalau tidak, dengan dinamik sedia ada yang melanda kita semua, orang Melayu dan penduduk asal tempatan kemungkinan besar akan menjadi ‘hamba’ di negara sendiri.

Orang Melayu membenarkan mereka dikuasai secara ekonomi walaupun memiliki kuasa politik hanya kerana mereka adalah orang yang sangat bertolak ansur, dibentuk oleh kepercayaan agama. Cuba pertimbangkan kalau peranan diterbalikkan, misalnya jika negara ini awalnya dihuni bangsa lain, dan orang Melayu adalah pendatang yang kemudian meraih kekuasaan ekonomi. Apakah bangsa lain akan bertolak ansur seperti dibuat orang Melayu selama ini?

Dipendekkan cerita, oleh itu kerajaan perlu mengambil tindakan-tindakan proaktif untuk memastikan kekayaan tanah ‘susu dan madu’ ini dapat diagihkan lebih saksama, dengan cara meningkatkan keterlibatan orang Melayu and pihak lain yang terkesan demi membawa negara ini ke hadapan menuju pencapaian taraf negara maju pada 2020.


5.0  Kesimpulan

Secara ringkas, penubuhan bank-bank persendirian pada permulaan 1860an, dan kemudian Badan Pesuruhjaya Mata Wang Malaya, dan seterusnya Bank Negara Malaysia yang mengamalkan perbankan komersial berdasarkan fractional reserve, kesemuanya boleh menerbitkan wang daripada udara kosong, adalah permulaan proses mencengkam membawa kepada ‘kebinasaan’ ekonomi orang Melayu, penduduk setempat dan pedagang Islam. Pengenalan nota bank Fiat oleh bank-bank awal di bawah sistem berdasarkan riba’ tidak memihak pada orang Melayu mahupun pedagang Islam. Ini adalah kerana pengambilan dan pemberian riba’ dilarang dalam agama. Pada mulanya, orang Islam tidak mahu bekerja langsung dengan bank. Maka itu sewajarnya, struktur perbankan memihak kepada bukan Islam, terutama orang Cina yang meliputi komuniti perniagaan yang luas. Ini melonjakkan kemewahan ekonomi dan tahap pendidikan orang Cina jauh melebihi orang Melayu dan kaum-kaum lain.

Oleh itu, pengwujudan wang Fiat oleh entiti-entiti di atas menyebabkan pengecutan sistematik keterlibatan kewangan relatif bagi orang Melayu, penduduk tempatan dan para pedagang Islam. Pinjaman berdasarkan riba’ memburukkan lagi  keterasingan kewangan.  Ini telah menyebabkan kekayaan amat besar dapat dipindahkan dari tangan orang Melayu melalui inflasi. Ia juga membawa pada kekurangan ekonomi yang terus melanda hingga kini. Seterusnya, ini menerbitkan kesan-kesan sosio-ekonomi-politik yang kita lihat di Malaysia sekarang.

Sekarang terpulanglah pada kerajaan, NGO-NGO dan orang ramai untuk mengambil langkah yang perlu demi memperbetulkan keadaan.




Dr. Ahamed Kameel Mydin Meera
Dekan
Institut Kewangan dan Perbankan Islam
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia





6 comments:

Anonymous said...

salamun 'alayk

jika nak kembalikan ekonomi sebenar berbanding ekonomi ilusi sekarang, tidak dapat tidak perlu hapuskan keseluruhan sistem bank dan perbankan termasuk bank pusat dan diganti dengan sekurang-kurangkan sistem pada kerajaan Turki Uthmaniyyah sebelum zaman Tanzimat.

kembar rapat kepada sistem wang fiat iaitu sistem demokrasi juga perlu dihapuskan dari muka bumi, barulah sistem ekonomi sebenar akan kembali tertegak.

tetapi masalahnya, berani ke kerajaan buat? sistem wang fiat merupakan support/ sokongan yang terkuat dalam demokrasi. jika tiada duit, kerajaan boleh mencipta wang baru melalui terbitan bon yang dipanggil sukuk dan juga melalui rizab berkanun (fractional reserve). wang panas/baru ini boleh diedarkan kepada rakyat dalam bentuk bonus 1.5x bulan, BRIM, dan lain-lain supaya rakyat suka dan terus mengundi kerajaan sediaada. sanggup ke kerajaan? oh ya, sebenarnyanya sistem perbankan lebih berkuasa dari kerajaan jadi apa peluang kerajaan nak menghadapi perbankan antarabangsa?

lebih menyedihkan, the so called "ulama-ulama" memberi fatwa harus dan halal keatas wang fiat dan perbankan Islam sedangkan perbankan Islam juga mengamalkan rizab berkanun. ulama ini bukan sahaja memberi fatwa harus dan halal tetapi mereka juga menjadi tulang belakang dan tunjang kepada perbankan Islam serta seluruh produknya dengan menjadi penasihat dan mendapat habuan berpuluh-puluh ribu dari bank setiap bulan. apabila ditanya tentang sistem rizab berkanun ini, terloponglah mereka tidak faham dan yang lucunya ada yang membawakan kefahaman sistem rizab ini mengikut kefahaman mereka sendiri yang tidak sejalan dengan penerangan dalam The Modern Money Mechanic yang dikeluarkan sebagai panduan oleh pencipta sistem rizab ini sendiri. kemudian syok sendiri dan keluarkan fatwa. jika fakta sudah silap dan syok sendiri, bagaimana fatwa boleh betul? kemudian ada pula ulama tradisional yang mendapat pelbagai gelar yang hebat-hebat apabila ditanya tentang sistem ini mereka juga tidak faham. buktinya mereka masih mengatakan wang fiat sekarang masih disandarkan dengan emas sedangkan sejak dari tahun 1971, wang kertas dan emas sudah tiada apa-apa ikatan lagi. Maka kefahaman mereka ketinggalan selama 42 tahun ke belakang tetapi tetap mahu mengeluarkan fatwa untuk zaman sekarang, 42 tahun selepas wang tidak disandar lagi kepada emas atau perak, relevan ke? mereka menjadikan kertas sebagai Nuqud sedangkan Emas dan Perak adalah Nuqud yang asal.

oleh kerana fatwa oleh al kabair as su'udiyah pada tahun 1973 yang menjadikan wang fiat sebagai Nuqud (sedangkan mereka tidak habis mengkaji lagi tentang sistem wang fiat), dan fatwa susulan pada tahun 1985 dan 1986 (juga tidak sempurna kajian tentang sistem ini), maka seluruh umat Islam sedunia terjebak didalam fitnah riba yang besar ini.

bukan itu sahaja, hukum-hukum berkaitan zakat keseluruhannya, qirad, dan sebagainya semua habis rosak disebabkan menjadikan wang fiat sebagai nuqud.

atas alasan apa mereka menetapkan nisab harta simpanan senilai 20 Dinar/ 85gram emas sedangkan emas dan wang kertas sudah 42 tahun sudah tidak apa apa ikatan. Mengapa mereka tidak menetapkan nisab harta simpanan senilai 200 Dirham/ 595gram perak? dahulu sebelum era wang fiat bagi umat Islam, emas dan perak itulah simpanan. fulus tidak dikenakan zakat. jika sekarang mengapa mereka mengatakan wang fiat itu Nuqud dan bukan Fulus lalu menjadikan satu hukum baharu iaitu zakat simpanan. sedangkan emas dan perak itulah simpanan.


InsyaAllah pada Ramadhan kali ini, saya akan mengeluarkan zakat fitrah berbentuk beras mengikut kualiti yang saya makan, sebanyak segantang Baghdad dan lebih, kepada setiap seorang untuk saya, isteri dan anak-anak dan saya menyeru tuan merah silu juga mengeluarkan zakat dalam bentuk asal yang telah ditetapkan dan menyebarkan kepada orang ramai supaya kita kembali kepada sistem yang baginda Nabi SAW ajarkan.

jikalah tiada Rahmah dan Kasih Sayang Allah, pastilah kita sudah hancur binasa.

Radzi Sapiee said...

Wassalam, terima kasih tuan atas penerangan panjang lebar ini. Cuma saya rasa harus mendapat pencerahan. Saudara sebut rizab berkanun adalah fractional reserve sedangkan saya dapati ia adalah statutory reserve, deposit wang wajib yang harus diletakkan setiap bank konvensyional dalam simpanan bank pusat.

Saya tak tahu apakah terjemahan fractional reserve dalam bahasa Melayu. Kalau ikut bahasa, fraction tu pecahan. Apakah rezab pecahan? Apapun maksudnya lain daripada rezab berkanun. Yang saya faham fractional reserve ni, adalah bagaimana peratusan duit simpanan atau duit daripada deposit orang ramai/syarikat2 ke bank diurus. Kebiasaan sekarang 10 peratus disimpang, 90 peratus boleh dijadikan pinjaman, loaned out. Dari sinilah jadi hal seterusnya. Sebuah bank (kononnya) menyimpan 10 peratus, 90 peratus dikeluarkan tapi boleh masuk balik dalam akuan sendiri balik dimana 90 peratus daripada 90 peratus itu dikeluarkan kemudian ulang balik proses. Jadilah ia 90% + 81% + 72.9% dan berterusannya apabila dicampur kesemuanya jadi 1000% bersamaan 10 kali ganda nilai asal. Inilah caranya duit baru dicipta melalui loan dalam fractional reserve banking, setahu saya le.

Apapun, apabila setiap bank kena letak rezab berkanun di bank pusat maka ia akan terkait juga. Saya tak tahu samada Bank Islam sendiri mengamalkan fractional reserve banking. Tapi kalau dah letak statutory reserve kat bank pusat memang terpalit sama le sebab statury reserve tu pula akan digandakan melalui fractional reserve banking untuk bank pusat mengeluarkan duit.

Mengenai zakat beras tu boleh saya tanya saudara buat bagaimana? Apakah dengan membawa segantang satu kepala itu kepada amil sedia atau terus ke pusat zakat? Atau saudara cari ke rumah anak yatim, atau cari sendiri orang miskin?

Oh. Satu gantang Baghdad tu berapa kilo ya?

Anonymous said...

tuan bertanya soalan teknikal tentang itu sedangkan saya hanya tahu sedikit sahaja. jadi saya bawakan tulisan prof ahamed di blog beliau kerana beliau lebih layak.

"The word ‘fractional reserve’ refers to the fraction from total deposits that banks must keep as reserve. This reserve ratio is determined and used by the central bank as one tool of monetary policy for controlling the money supply in the economy. The Bank Negara Malaysia, for example, imposes this reserve requirement on commercial banks as the Statutory Reserve Requirement (SRR). This reserve requirement determines the amount of money that commercial banks can create (The total = deposit ÷ SRR). The smaller the reserve requirement is, the more the money that can be created."

http://www.ahamedkameel.com/archives/332

SRR=SR=Rizab Berkanun di Malaysia.

saya tidak tahu kadar rizab SRR yang ditetapkan oleh bank negara malaysia ketika ini kerana sudah hilang minat nak mengikuti perkembangan mereka tetapi sebagai catatan saya, kadar rizab sebelum ini adalah seperti berikut (sila cross check dengan BNM jika nak kepastian):

semenjak september 2009, rizabnya ialah 1% sahaja
bermula 1 april 2011, rizabnya dinaikkan kepada 2%
bermula 16 Mei 2011, kadarnya dinaikkan kepada 3%
dan terakhir pada catatan saya, bermula 16 Julai 2011 rizabnya dinaikkan kepada 4%

dahulu, apabila saya mengira mengikut kiraan Prof Ahamed dengan rizab 1%, saya amat terkejut dengan jumlah wang yang boleh dihasilkan oleh bank...cubalah tuan baca tulisan penuh link itu dan cuba kira berapa RM 1 juta boleh hasilkan dengan rizab 1% menggunakan cara kiraan Prof Ahamed.

bank Islam, terpalit atau tidak dengan rizab berkanun, mari kita fikir situasi dibawah.

1. Apabila kita simpan deposit di bank-bank Islam, adakah kita boleh mengambil wang kita pada bila-bila masa? Jawapannya tentu boleh, abaikan had jumlah pengeluaran harian bagi akaun tertentu.

2. Bila wang kita berada di bank, apa yang pihak bank lakukan ke atas wang kita? Beri pinjam kepada orang lain yang dengannya kita juga mendapat keuntungan melalui "mudharabah" atau apa-apa saja?

A. Jika bank memberi pinjam wang kita, perkara No 1 tak mungkin boleh dilakukan kerana wang telah berada pada tangan orang lain yang meminjam.

B. Jika bank memberi pinjam menggunakan modal mereka sendiri tanpa menggunakan deposit orang ramai, maka apa perlu mereka memberi keuntungan ketas pendeposit mereka sedangkan mereka pula menanggung risiko menjaga duit pendeposit mereka. Ramai orang menyangka bank-bank melabur di sektor lain selain perbankan tetapi apa buktinya?

C. Bank menggunakan kaedah rizab berkanun untuk memberi pinjaman kepada orang yang hendak meminjam dengan cagaran rizab para pendeposit dari orang ramai. Dengan ini, perkara No 1 dapat dilakukan (dengan syarat semua pendeposit tidak mengeluarkan wang secara serentak pada satu-satu masa) dan bank mendapat keuntungan yang besar dari apa yang mereka sebut "Profit" ke atas pinjaman-pinjaman (atas nama pembiayaan) yang dikeluarkan.

jadi anatara A, B dan C yang mana jawapannya...

Anonymous said...

bank pusat otai punya, dia boleh cetak duit anytime tanpa guna rizab berkanun pun.. Itu pun kena ikut perkembangan ekonomi. kalau silap teknik, jadilah Weimar Jerman zaman tok nenek perang dunia dulu dan Zimbabwe zaman millenia ni.. hehe dollar USD tak ada backup apa pun tetapi sekarang ini semenjak tahun lepas (2012) "mencetak" duit baru atas angin sebanyak USD 85 BILLION SEBULAN. Kalau Malaysia buat macam tu, esok nak beli telur sebiji pun mungkin nilai RM 1,000,000.00 (sebut: RM satu Juta) kot sebab jadi inflasi melampau.

Kenapa USD survive walaupun mereka cetak wang bagai nak gila? Kerana pemimpin-pemimpin Arab penguasa telaga-telaga minyak terbesar di dunia telah lama ditipu sejak tahun 1973 lagi. Penguasa Amerika telah pergi ke Arab Saudi dan menawarkan perlindungan dari serangan musuh-musuhnya dan beberapa kelebihan lagi diberi dengan syarat mudah iaitu hanya menggunakan US Dollar dalam transaksi menjual minyak. Jadi bila Arab Saudi setuju (Fatwa Tahun 1973 antara lain untuk menyokong tindakan kerajaan arab saudi ini) maka semua transaksi dagangan minyak dunia menggunakan US Dollar maka demand terhadap US Dollar sentiasa ada dan stabil. Itulah kebodohan? (atau pengkhiatan?) terbesar keatas umat Islam.

saya bukan nak rendahkan sesiapa pun kerana saya juga tidak tinggi tetapi saya benci apabila sesuatu yang jelas salah dan merugikan ummat Islam dikata benar dan mengikut syariat. untuk pengetahuan tuan, terdapat gerakan yang sangat kuat melawan sistem kapitalis sekarang, antaranya dari gerakan murabitun sedunia yang telah menyebarkan luaskan keburukan sistem dajjal aka sistem rizab ini dan selainnya tetapi apakan daya suara mereka terlalu kecil untuk melawan dunia. di malaysia, golongan ini sedang giat untuk mengumpulkan mufti-mufti dan memberi penerangan. seorang mufti berkata "saya tidak tahu tentang ini (maksudnya Dirham)". masalah juga timbul apabila ada sanak saudara terdekat para mufti menjadi penasihat-penasihat kepada bank-bank Islam...


mengenai zakat fitrah, saya membawa beras yang saya makan kepada amil yang akan menyampaikan kepada golongan yang berhak kerana saya tidak tahu siapa yang berhak yang ada dikawasan saya. kadar segantang baghdad pun masih tidak disepakati berapa kilo..

di kedah, segantang baghdad = 3.063kg
di selangor, segantang baghdad = 2.70kg
di johor, segantang baghdad = 2.60kg

dilain-lain negeri/ negara sila semak dengan pusat urus zakat masing2...

dua tahun lepas saya menyukat dengan betul satu gantang yang jika ditimbang bersamaan 3.++kg (maaf saya tak ingat). tetapi pada tahun lepas, saya fikir apa yang saya nak berkira sangat dengan Tuhan sedangkan Dia Memberi, Memberi dan terus Memberi.. jadi saya genapkan zakat+sedekah saya untuk satu kepala = 5kg atau bersamaan dengan satu kampit kecil (5kg) beras yang saya makan (mudah kerana di pasaran ada beras siap dijual dengan kampit kecil bersaiz 5kg).

bila tuan tanya satu gantang berapa kilo, teringat kata guru, satu cupak itu adalah satu cupak kedua telapak tangan Nabi SAW yang mulia yang diisi penuh. maka empat (atau 3 lebih, maaf saya tak ingat) kedua telapak tangan Nabi bersamaan dengan satu gantang dan itulah kadar zakat fitrahnya.

sukat tak sama dengan timbang. sukat dalam hal ini mengikut isipadu yang boleh diisi manakala timbang menentukan beratnya. setiap jenis beras berlainan mempunyai ketumpatan yang berbeza-beza jadi tak hairanlah jika satu gantang yang sama tetapi mempunyai beberapa timbangan berat.

Tidaklah saya lebih tahu dari tuan, semoga tuan dan keluarga dirahmati Allah selalu.

Anonymous said...

apa hang merapu radzie sapie..

Radzi Sapiee said...

Entah...