Manakan dapat sagu kalau tidak dipecahkan ruyungnya?
Manakan dapat mutiara yang berkerlipan jika takut menyelam ke lautan dalam.
Dalam diri setiap manusia, ada seketul daging.
Jika baik ia, maka baiklah seluruh jiwa manusia itu.
Jika buruk ia, buruklah juga manusia itu...
Seketul daging itu adalah hati,
mari kita lapangkan dada dan belajar mengIKHLASkan hati.
Perjalanan seribu batu bermula dengan satu langkah.
Marilah meneroka dunia pemikiran hamba.
Silakan

Video klip yang tertera boleh dianggap sebagai pembukaan kepada dunia pemikiran dan kesukaan hamba...







-------------------------


-------------------------



Segala yang dipaparkan menggambarkan pemikiran penulis yang turut terserap di dalam setiap penulisan buku dan artikel. Lihat Cara-cara mendapatkan buku tulisan Merah Silu @ Radzi Sapiee. Di atas adalah satu klip video selama hampir setengah jam yang merupakan demo pilot episode yang mahu digunakan untuk mencadangkan satu siri pengembaraan menyusuri sejarah Melayu Islam sekeliling Nusantara untuk siaran televisyen. Entah mengapa ia menemui masalah. Kemudian penulis diberitahu konsepnya diciplak sebuah stesyen televisyen. Lihat Kembara Sejarah Islam Nusantara : The original material...



Ini adalah klip video ulasan buku ketujuh saya "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" berserta temuramah yang dibuat siaran langsung di Selamat Pagi Malaysia, RTM1. Lihat Siaran langsung ulasan buku "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" dan temu ramah di Selamat Pagi Malaysia.



Penulis juga pernah diminta membuat pembentangan mengenai siri buku "Berpetualang ke Aceh" di Masjid Sultan Salahuddin iaitu masjid negeri Selangor di Shah Alam. Lihat Buku "Berpetualang" dan himpunan ulamak Nusantara yang diketuai ulamak Aceh


-------------------------



Siri novel "Berpetualang ke Aceh" boleh didapati dalam bentuk e-book. Masuk http://www.e-sentral.com/, klik kategori novel am dan taip perkataan "Aceh" pada kotak carian. Atau terus klik Buku 1,Buku 2 dan Buku 3.





Gambar ketika menghadiri satu majlis ilmu, diambil oleh sebuah akhbar harian. Lihat Menghiasi Kosmo Alam Melayu...



Penerbitan trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" juga membawa penulis untuk terlibat dengan banyak majlis ilmu. Rujuk kumpulan links artikel di bawah tajuk "Siri Refleksi Sejarah", pada bahagian paling bawah kiri blogspot, . Penulis juga agak aktif dalam aktiviti-aktiviti kedaulatan Melayu dan Islam, dapat menganjurkan majlis-majlis sendiri di merata Semenanjung Malaysia membawa ke luar negara di Aceh. Lihat blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


Ketika menulis perenggan ini 4 Mei 2015 penulis sedang berusaha untuk mengembangkan isi 3 buku dalam siri "Berpetualang ke Aceh" menjadi 6 buku yang akan membentuk siri baru dipanggil "Siri Pengembaraan Merah Silu". Sebuah syarikat penerbitan telah bersetuju untuk menerbitkan siri lama itu kembali dalam bentuk yang lebih segar - Setiap buku asal dipecah menjadi 2 buku baru yang ditambah maklumat, gambar dan peta berwarna-warni.Pertengahan September 2015 buku pertama siri baru pun selamat diterbitkan. Seminggu lebih kemudian penulis berpeluang bercakap tentangnya secara siaran langsung dalam televisyen lalu membawa wakil penerbit bersama. Lihat video di bawah :-





Awal tahun 2015 turut menyaksikan penulis diambil menjadi penyelidik dan hos satu siri dokumentari yang dipanggil "Daulah Melayu". Projek 13 episod sepanjang sejam setiap satu ini mahu mengenengahkan formula untuk mengembalikan kekuatan bangsa Melayu. Insyaallah projek iakan membawa penulis untuk mengembara ke merata di Malaysia dan Indonesia juga ke beberapa negara dan tempat di Eropah termasuk ke kota London, tempat penulis mengambil ijazah matematik 1991-1995. Siri dokumentari ini dijangka siap untuk tayangan televisyen dalam tempoh 2 tahun.


Pada 13 Mei 2023 buku ke 13 + 1 penulis (pertama setelah yang ke-13 terbit tahun 2019 lalu mula memberikan tumpuan pada pengajian pascasiswazah di ISTAC iaitu Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam di Bukit Tunku, Kuala Lumpur), Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin & Orang Kaya Arsyad telah dilancarkan oleh sejarawan ulung negara, Profesor Emeritus Datuk Dr Abdullah Zakaria Ghazali di rumah penulis. Lihat Majlis pelancaran buku dan rumah terbuka raya 2023 - Melestarikan semangat perjuangan. Beliau yang bertanggungjawab memberikan kata-kata aluan dalam buku turut menjadi pembicara dalam diskusi yang diadakan di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2023 (berlangsung 26 Mei hingga 4 Jun). Lihat Bicara buku Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin di PBAKL 2023. Diskusi ini terakam dalam video atas diikuti video bawah...



Khamis, November 12, 2009

Ke Tanjung Malim bersama Al-Rasyid... untuk mendapatkan 'feel' jejak Raja Kamala. Apa pula 'kebetulan' nombor yang berlaku?

Assalamualaikum. Satu catatan sisipan akibat satu perjalanan spontan... sementara belum mendapat gerak untuk memulakan cerita perjalanan ke Pantai Timur pertengahan bulan Ramadhan lalu seperti yang dijanjikan pada penghujung artikel Cerita perjalanan Linggi/ Kuala Linggi. Baru ditemui makam yang dicari... lebih sebulan kemudian! . Mari... :]

Siang tadi setelah sebulan asyik terperuk di rumah dan sekitarnya, saya dan isteri telah membuat perjalanan spontan ke Tanjung Malim...

Perjalanan ini agak istimewa kerana inilah kali pertama anak kami Muhammad Al-Aminul Rasyid turut serta...

Maklumlah, walaupun dia juga pernah mengikut kami berjalan hingga beribu kilometer, itu semua dibuat ketika Al-Rasyid masih berada di dalam perut (Nota - this is no exaggeration. Perjalanan Pantai Timur bulan Ramadhan sendiri melepasi jarak 1,700 km, campur lagi perjalanan 4-5 kali pergi balik Muar dengan laluan 'mencapah' ke Linggi, Pagoh dan sebagainya yang setiap kali jalan tidak kurang 400 km selain perjalanan ke Perak, Pahang, apalagi ke Aceh dengan menaiki kapalterbang juga perjalanan menaiki kereta di sana dan lain-lain pengembaraan bersama isteri dalam tempoh 9 bulan). Elok aje dia ikut berjalan sebagai bayi yang baru sebulan keluar dari perut baring diam-diam dalam kereta. Peliknya dia cuma bising apabila kereta berhenti dan mula terbuai lena apabila kereta berjalan. Apakah ini akibat sudah biasa ikut mengembara ke sana ke mari ketika masih dalam perut?



Dari Lebuhraya PLUS, perjalanan ke Tanjung Malim membawa kami melalui Hulu Bernam. Tersergam indah sebuah masjid baru yang belum pernah saya lihat dalam perjalanan lalu. Baca artikel Masjid jamek (Main mosque of) Ar-Rahman, Hulu Bernam... yang dibuat di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART) awal tadi.


Seterusnya saya masuk kiri di persimpangan berhadapan masjid lama Sheikh Ismail untuk meninjau-ninjau keadaan sekitar sebelum berpatah balik untuk kembali menghala ke Tanjung Malim. Nampak tak masjid dalam gambar?



Pandangan masjid lebih dekat. Cantik... sudah bercat baru sempena bulan Ramadhan lalu.


Boleh kata setiap kali lalu di sini saya mesti singgah untuk sekurang-kurangnya bersolat tahiyatul masjid. Tetapi kali terakhir saya singgah rasanya mungkin lebih setahun lalu. Untuk mengetahui apa yang istimewa tentang masjid ini, sila lihat artikel Masjid Sheikh Ismail di Ulu Bernam (The mosque of Sheikh Ismail in Ulu Bernam) yang ditulis di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART) lebih 2 tahun lepas...

Dari masjid jaraknya cuma 200 meter sahaja gitu untuk melepasi sempadan negeri Selangor lalu masuk ke bandar Tanjung Malim yang terletak di dalam negeri Perak. Inilah kali pertama Al-Rasyid sampai ke Perak, negeri asal nenek-moyangnya sebelah bapa. Selama sebulan ini, selain di hospital dan klinik, dia cuma duduk di rumah Bandar Tasik Puteri, Selangor, negeri keluarga sebelah ibunya!


Selain berjalan-jalan di bandar Tanjung Malim, kami juga pusing-pusing di sekitarnya. OK, apa yang sebenarnya berlaku sebelum itu ialah saya sudah tidak tahan lagi duduk berlegar di sekitar rumah. Selama sebulan langkah saya terbatas akibat perlu menjaga isteri sedang dalam pantang dan bayi yang baru lahir sedangkan semangat mengembara dalam diri meronta-ronta ingin pergi jauh. Saya pun memberitahu bahawa hari ini mungkin saya akan keluar agak jauh sedikit dari rumah. Isteri saya pula susah hati. Semenjak dua menjak ini pula dia selalu terasa takut yang saya cuma mahu keluar untuk berhubung dengan buah hati lama... walhal saya setakat mahu melayan naluri ingin mengembara yang sekian lama 'dibekukan'...

Saya pun mengajak isteri turut keluar sama. Walaupun dia masih dalam pantang, rasanya sudah sampai masa juga dia mula menghirup udara luar kembali seperti biasa. Ini bermakna anak kami Al-Rasyid yang baru nak masuk umur sebulan pun harus dibawa sama. Bagus juga itu. Selepas tamat pantang, saya harus ke Muar, Batu Pahat, Johor Bahru dan Singapura untuk menunaikan satu kerja. Dan saya telah berjanji untuk membawa isteri dan anak juga... kiranya ini trial run le, first time bawa anak keluar sekali...

Asalnya saya cuma berfikir mahu berjalan ke Kuala Selangor. Tapi bila difikirkan kembali rasa jemu pula, sudah selalu sangat ke situ. Seterusnya saya memikirkan Kuala Kubu atau mana-mana tempat yang sedikit jauh dari rumah kami di Bandar Tasik Puteri, tempat yang kami sudah lama tidak pergi. Secara spontan isteri mencadangkan Tanjung Malim. Saya pun bersetuju lebih-lebih lagi kerana ia adalah bahagian dalam negeri Perak yang terdekat untuk kami pergi...







Sambil menyelam minum air... perjalanan ke Tanjung Malim ini turut dibuat untuk mendapatkan 'feel' atau gerak rasa untuk menjejak sejarah seorang tokoh tertentu bernama Raja Kamala. Untuk pengetahuan, ada tercatat bahawa Tanjung Malim didirikan oleh seorang berbangsa Rawa bernama Haji Mustafa bin Raja Kamala, katanya datang dari Gali di Raub membawa satu komuniti orang Rawa yang membentuk masyarakat Tanjung Malim penghujung abad ke 19 Masihi. Sebelum itu Tanjung Malim dikenali sebagai Tanjung Jambu yang dipelopori masyarakat Bugis, katanya diketuai 6 orang pahlawan Bugis bermula 100 tahun sebelum itu. Sejarah rasmi menambah masyarakat Bugis ini berpindah ke tempat lain setelah kedatangan orang Rawa.

Nama Haji Mustafa bin Raja Kamala terus diingat sekurang-kurangnya sebagai nama jalan seperti terpapar dalam gambar di atas. Tetapi saya lebih tertarik dengan nama bapanya Raja Kamala kerana ia mengingatkan saya tentang seorang pahlawan wanita Aceh dahulukala yang berkuasa 400 tahun lalu iaitu Laksamana Kemala Hayati. Lihat artikel Benteng Laksamana Malahayati, kerajaan lama Lamuri dan satu rahsia yang tersembunyi... yang dibuat pada 16 September, satu tarikh yang sudah diisytiharkan sebagai hari Malaysia! Rupa-rupanya memang ada kaitan. Dan kaitan yang baru saya ketahui 2-3 hari ini nampaknya turut membawa kami ke Tanjung Malim walaupun zahirnya ia berlaku setelah saya tidak tahan mahu mengembara sedangkan isteri secara spontan pula mencadangkan kami ke sini. Gambar-gambar terbaru Tanjung Malim dan sekitarnya telah diletakkan di dalam artikel Recent views of Tanjung Malim and around di blogspot BERPETUALANG KE ACEH tadi.



Sebenarnya kami ada bercadang untuk bermalam di Tanjung Malim. Segala barangan yang perlu termasuk keperluan bayi sudah disiapkan di dalam kereta. Malah dalam perjalanan ke situ melalui Lebuhraya PLUS timbul rasa gembira dan amat selesa (maklumlah sudah sebulan terperap di rumah...) hingga terfikir juga mahu terus ke Ipoh dan Kuala Kangsar malah lebih jauh ke Kedah. Tetapi Al-Rasyid perlu dibawa ke klinik berdekatan rumah untuk suntikan antibodi siang Khamis. Nak tak nak kami perlu kembali ke Bandar Tasik Puteri sebelum itu.

Maka apabila saya terasa sudah cukup puas berjalan di sekitar Tanjung Malim, timbul pula rasa untuk ke Kuala Kubu Baru dengan niat mungkin bermalam di sana. Semasa zaman saya suka mengembara seorang diri berjalan kaki jauh-jauh, menaiki bas atau hitchiking menahan dan menumpang kenderaan orang yang lalu-lalang, saya selalu singgah dan bermalam di hotel murahnya apabila lalu berdekatan. Kuala Kubu Baru sering terasa nyaman dan menenangkan, mungkin juga kerana udara dari Bukit Fraser yang turun menyapa...




Perjalanan melalui jalan lama membawa kami ke Kalumpang di mana kelihatan sebuah rumah lama terbiar tetapi buatannya cukup indah di tepian jalan.. Ini membawa kepada sambungan cerita tentang jejak Raja Kamala yang dimulakan tadi...

OK. Umumnya mereka yang pernah membaca sejarah Tanjung Malim menyebut Haji Mustafa sebagai orang Rawa yang datang dari belah Pahang sedangkan ayahnya Raja Kamala pula berasal dari Kota Raja di Rao berhampiran Tanah Minangkabau di Sumatera. Tetapi seorang kenalan baru telah membuat penemuan bahawa beliau (atau baginda sebenarnya!) berasal dari Aceh dan ayahnya bernama Tuanku Hashim. Terus berderau darah saya... apabila melihat satu salasilah Aceh yang berada dalam tangan memang tercatat nama Tuanku Raja Kamala anakanda Tuanku Hashim yang mana Tuanku Hashim ini turut dikenali sebagai Abangta Muda dan Laksamana merangkap pemangku raja yang memerintah Aceh 1874-1897.

Semasa itu Aceh sedang hangat berperang dengan penjajah Belanda. Selepas beberapa percubaan dan serangan bermula April 1873, Belanda akhirnya berjaya menawan pusat pemerintahan Aceh di Banda Aceh. Ini memaksa Sultan ketika itu, Sultan Mahmud Shah berundur ke pendalaman lalu meneruskan perjuangan dari celah-celah hutan. Baginda akhirnya mangkat kerana sakit taun... katanya ini berlaku pada 28 Januari 1874,. cukup dekat tarikh Perjanjian Pangkor iaitu 20 Januari 1874, 'perjanjian' yang menandakan bermulanya Perak dijajah Inggeris. Lalu naiklah Sultan Muhammad Daud. Siapa sangka baginda akan mencipta sejarah sebagai Sultan terakhir Aceh?




Sultan Muhammad Daud menaiki takhta ketika masih kanak-kanak. Tidak seperti Sultan-sultan Aceh sebelumnya yang ditabalkan di Masjid Raya Baitur-Rahman, Banda Aceh, baginda ditabalkan di Masjid Indrapuri sekitar 40 km di pendalaman gitu. Oleh kerana baginda belum cukup matang, tugas sebenar mentadbir negara walaupun dari hutan dan pendalaman dipangku oleh seorang kerabat diraja lain yang jauh lebih tua iaitu Tuanku Hashim. Tuanku Hashim inilah yang disebut kenalan baru saya sebagai ayahanda kepada Raja Kamala, bapa kepada Haji Mustafa yang memajukan Tanjung Malim di Perak.

Berbalik pada rumah lama tinggal di Kalumpang, dalam perjalanan dari Tanjung Malim ke Kuala Kubu Baru. Lihat rekabentuknya dengan ukiran seperti lidah terjulur di setiap hujung sudut bumbung. Memang banyak terdapat rumah lama sebegini di sekitar Tanjung Malim.

Dalam pada itu saya teringat sebuah rumah dengan rekabentuk dan ukiran yang agak serupa di Kampung Kepayang, antara bandaraya Ipoh dan pekan Gopeng. Di situ juga terdapat banyak rumah lama dengan ukiran 'lidah terjulur' (panggilan saya itu...) sama juga di sekitar Teluk Intan, Bagan Datoh dan Sabah Bernam hingga ke sekitar Lumut dan banyak lagi tempat di Perak. Saya pernah diberitahu kampung itu dipelopori oleh seorang bangsawan bernama Daeng Mustafa (ke Mustapha? Lebih kurang aje le, asalnya pun nama ditulis dalam Jawi daaa...). Cuma Daeng Mustafa yang katanya seorang anakanda kepada Maharajalela pertama Perak Daeng Selili, satu watak yang menurut sesetengah orang sebenarnya adalah seorang raja besar bertaraf Yang di Pertuan Agung di Tanah Bugis hidup lebih awal, sekitar tahun 1750an gitu...




Sambil menghampiri Kuala Kubu Bahru, saya memikirkan implikasi yang terbit jika benar Raja Kamala ayahanda kepada Haji Mustafa itu memang anakanda kepada Tuanku Hashim yang pernah memangku pemerintahan Aceh. Satu catatan Barat menyebut...


Tuanku Raja Kamala ibnu Tuanku Hashim Abangta Muda. A leading opponent of the Dutch annexation, he carried on the fight for independence until defeated in 1903. He was allowed to resume his position after swearing fielty to Queen Wilhelmina.


Terjemahannya: Tuanku Raja Kamala ibnu Tuanku Hashim Abangta Muda. Seorang lawan terkemuka pada usaha penjajahan Belanda, beliau meneruskan perjuangan untuk kemerdekaan hingga dikalahkan pada 1903 (tahun Sultan Muhammad Daud dipaksa turun takhta). Beliau dibenarkan untuk mengambil kembali kedudukan setelah membuat sumpah taat setia kepada Ratu Wilhelmina (pemerintah Belanda).

Mungkin selepas itu Raja Kamala berhijrah ke Kota Raja Rao. Tak mustahil juga beliau sudah lama bermastautin di sana sambil meneruskan perjuangan melawan Belanda di Aceh. Ketika itulah anakandanya Haji Mustafa berhijrah ke Pahang sebelum berpindah je Tanjung Malim lalu memajukannya penghujung abad ke 19. Tetapi implikasinya sangat besar jika ini benar. Satu, Raja Kamala sebenarnya adalah seorang kerabat diraja Aceh. Implikasi lebih besar pula ialah tokoh yang sangat dibangga-banggakan orang Rawa ini sebenarnya berdarah Aceh-Bugis! Kerana ayahandanya Tuanku Hashim berturunan Sultan-sultan Aceh dari satu cabang darah yang dikenali sebagai Dinasti Raja.

Lihat artikel Apa cerita bangsawan Bugis pula boleh menjadi raja Aceh? yang dibuat lebih 4 bulan lalu. Di sini letaknya kaitan Raja Kamala ini dengan pahlawan perempuan terkemuka Aceh 400 tahun lalu iaitu Laksamana Raja Kemalahayati seperti ada disebut awal tadi.





Mungkin juga Raja Kamala ada berdarah Rawa? Tetapi beliau dicatatkan sebagai anakanda Tuanku Hashim dengan seorang puteri Raja Langkat. Mungkin juga Raja Kamala telah berkahwin dengan seorang wanita Rawa untuk menerbitkan Haji Mustafa. Jika begitu, Haji Mustafa boleh dikira sebagai orang Rawa. Namun induk keturunannya iaitu dari belah lelaki atau bapa atas bapa tetap berdarah Aceh-Bugis!

Mungkin ini boleh menerangkan kenapa di Tanjung Malim terdapat banyak rumah lama dengan ukiran 'lidah terjulur', satu rekabentuk yang cuma dikaitkan dengan rumah lama Perak yang menurut satu kajian berasal dari pengaruh Aceh dan Bugis. Setahu saya rekabentuk ini tiada kena-mengena langsung dengan budaya Rawa. Jadi kenapa ia banyak terdapat di Tanjung Malim sedangkan ia dikatakan dikuasai orang Rawa?

Mungkin juga ini sebabnya Haji Mustafa dapat membawa orang Rawa dari Pahang untuk menetap di Tanjung Malim, sebelum itu bernama Tanjung Jambu yang dikuasai orang Bugis. Mungkin orang Bugis yang sedia ada memberikan laluan kerana kenal susur-galur keturunan Haji Mustafa yang sebenar? Bukan senang untuk menghalau atau mengenepikan orang Bugis. Siapa tidak pernah dengar penangan orang Bugis dahulukala yang rata-rata berani mati lagi bersifat pahlawan walaupun agak bengis dan boleh jadi ganas semacam...

Dah. Selesai bab Raja Kamala juga Haji Mustafa. Kembali kepada kisah perjalanan siang... oh. lupa nak beritahu. Kami meninggalkan rumah untuk ke Tanjung Malim sekitar 3.30 petang gitu. Selepas puas berjalan-jalan sampai pula ke Kuala Kubu Baru sekitar jam 6.30 petang.



Kami tidak risau sampai lambat kerana boleh bermalam di Kuala Kubu. Dari sana sudah tidak begitu jauh untuk kembali ke rumah di Bandar Tasik Puteri hari Khamis untuk mengejar appointment di klinik. Seronok dengan udara segar Kuala Kubu, saya pun bersedia untuk mengeluarkan pram atau kereta bayi (agaknya le...). Maaf, saya tidak tahu apakah perkataan yang sesuai dalam bahasa Melayu. Sebaliknya hujan mula rintik dan Al-Rasyid pula mula menangis lalu saya mengambil ini sebagai tanda agar kami terus bergerak meninggalkan Kuala Kubu...




Saya mengambil kesempatan ini untuk terus menziarahi masjid lama di Ampang Pecah, lokasi asal pekan atau bandar Kuala Kubu sebelum ia beralih ke lokasi sekarang. Untuk mengetahui sedikit sejarah masjid ini dan kenapa Kuala Kubu boleh beralih (itu yang muncul nama Kuala Kubu Baru) sila lihat artikel Masjid (mosque of) Ampang Pecah yang telah dibuat di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART) lebih 2 tahun lalu.



Di sini di hadapan masjid baru saya tergerak untuk mengambil satu gambar Al-Rasyid di luar kereta. Sedar tak sedar, ini adalah gambar ke 44 yang diambil untuk perjalanan ini... saya tahu dan pasti kerana sebelum meninggalkan rumah, saya telah mengosongkan memory card kamera. Lalu terjadilah satu siri 'kebetulan' nombor yang mengujakan... saya kan ada gila-gila nombor? Bukan nombor ekor ya tetapi corak 'kebetulan' yang selalunya membawa makna. Nanti dipanjangkan ceritanya pada penghujung artikel...

Kami meninggalkan Kuala Kubu dan persekitarannya hampir waktu senja...



Kebetulan sebaik sahaja masuk ke jalan utama kembali ke selatan dan Lembah Kelang kami terlihat masjid ini, terus kedengaran azan Maghrib! Saya pun singgah sebentar untuk bersolat. Kebetulan masjid ini merupakan sebuah pusat tariqat Naqshabandiah... kata orang le. Lihat artikel Masjid (Mosque of) Al-Khalidiah, Rasa.





Dalam masjid terlihat pula tarikh hari perjalanan ini iaitu 11/11/2009. Ada 2 kali nombor 11, satu nombor yang entah kenapa sering saya kaitkan dengan diri sendiri (pada mereka yang biasa membaca tulisan saya, 131 itu adalah nombor home sweet home, rumahku syurgaku sedangkan 11 adalah nombor peribadi diri...).


Kami sempat singgah di Rawang sebelum sampai ke Bandar Tasik Puteri sejurus selepas jam 8 malam... singgah pula di pasar malam, barulah betul-betul dapat membawa Al-Rasyid berjalan-jalan menaiki pram.

Di sini baru boleh diceritakan 'kebetulan-kebetulan' nombor yang berlaku. Lihat balik gambar atas persimpangan jalan dengan Masjid Sheikh Ismail di belakang. Nampak tak pada papantanda ada disebut Tg atau Tanjung Malim B44 (nombor jalan)? OK, sekarang lihat gambar isteri saya mendokong anak di hadapan masjid lama di Ampang Pecah. Kan sudah disebut ia adalah gambar ke 44 untuk perjalanan ini?
Tidak cukup itu, di hadapan masjid tertera pula poskod Kuala Kubu iaitu 44000... cuma tak jelas sahaja dalam gambar. Malamnya di pasar malam pula, tanpa dirancang isteri saya memilih beberapa biji buah untuk dimakan. Jumlah yang perlu dibayar... RM4.40.

Sekarang lihat gambar pertengahan yang menunjukkan simpang masuk ke Kuala Kubu. Lihat nombor jalan iaitu 55. Apakah cuma kebetulan sahaja yang gambar terakhir diambil dalam perjalanan ini iaitu gambar isteri dengan anak dalam pram di pasar malam adalah gambar ke 55?

'Kebetulan' juga nombor 55 adalah nombor yang entah kenapa saya kaitkan dengan isteri sepertimana nombor 11 itu untuk saya. Saya juga ada memberitahu isteri bahawa nombor 55 juga adalah nombor untuk buah hati lama. Berbalik pada nombor 44, ia adalah nombor yang saya kaitkan dengan bekas isteri. Kaitan nombor 55 dan 44 dengan nombor saya iaitu 11 pula adalah masing-masing merupakan gandaan bagi 11. Sedangkan perjalanan ini dibuat pada tarikh 11/11! Sekian, selamat malam. :]


p/s: Baru tersedar saya telah menggunakan 22 gambar untuk penceritaan ini. 22 = 2 x 11, juga 11 + 11. Nampaknya ada juga kaitan dengan tarikh 11/11. Heh!


Jumaat, November 06, 2009

Cerita perjalanan Linggi/ Kuala Linggi. Baru ditemui makam yang dicari... lebih sebulan kemudian!

Assalamualaikum semua. Sekarang sampailah masa untuk menamatkan cerita berkenaan Linggi/Kuala Linggi ini. Bersambung dari Cerita perjalanan Linggi/ Kuala Linggi. Siapa pula Tok Bali? ...

Jika cerita dalam artikel Cerita perjalanan Linggi/ Kuala Linggi. Siapa pula Tok Bali? berlaku pada awal bulan puasa, cerita sambungan ini pula berlaku lebih sebulan kemudian iaitu pada pertengahan bulan Syawal atau bulan raya. Apa yang berlaku ialah setelah kembali ke Lembah Kelang seterusnya rumah awal bulan puasa, baru tersedar makam-makam di Kuala Linggi yang ditemui sebelum itu bukanlah makam yang dicari. Oleh itu saya harus ke Kuala Linggi lagi dan peluang ini cuma muncul agak lama kemudian...


Rujuk pada artikel Lahirnya anakku Muhammad Al-Aminul Rasyid dan 131... yang dibuat sejurus selepas anak itu lahir 13 Oktober. Disebabkan beberapa perkara termasuk isteri yang semakin sarat mengandung, saya tidak lagi berjalan-jalan ke mana-mana kecuali sekitar Lembah Kelang selepas beberapa hari masuk bulan Syawal. Malah saya membatalkan rancangan untuk kembali ke Muar hujung minggu pertama raya apabila isteri mula mengalami contraction atau pengecutan rahim yang menunjukkan dia mungkin akan melahirkan anak tidak lama lagi. Cuma apabila tak jadi apa-apa hari berikutnya sehingga terpaksa keluar hospital, dan setelah menunggu 2 minggu masih juga tak jadi apa-apa, baru membuat keputusan nekad membawa isteri yang semakin sarat kembali ke kampung di Muar.

Perjalanan kembali dari Muar itulah yang digunakan untuk singgah di Kuala Linggi lagi. Di atas adalah gambar-gambar gerai tepian jalan di satu kawasan ladang kelapa sawit ketika menghampiri Masjid Tanah. Walaupun saya telah beberapa kali melalui jalan ini, baru kali ini tergerak untuk singgah makan. Ternyata makanan yang ada boleh tahan sedap dengan harga berpatutan. Dan lagi ia memiliki suasana tersendiri yang menyebabkan saya terasa akan singgah lagi kemudian hari....



Saya juga mengambil peluang ini untuk singgah lagi di masjid lama yang menjadi punca munculnya nama Masjid Tanah. Lihat artikel Masjid Tanah, the mosque made from soil yang dibuat di blogspot BERPETUALANG KE ACEH lebih awal tadi.


Kemudian baru pergi ke kawasan tepian pantai di Kuala Linggi yang membawa ke Bukit Supai di mana terletaknya Kota Kuala Linggi. Oh, sebelum itu sempat berhari-raya di rumah seorang adik kepada ayah... rupa-rupanya tak jauh dari sini, sekitar 10 km sahaja gitu dan letaknya dalam perjalanan dari Masjid Tanah tadi. Cuma mungkin saya kurang rapat dengan keluarga sebelah ayah berbanding ibu. Rasanya kali terakhir berjumpa bapa saudara yang ini mungkin 3 tahun lalu, bapa saudara yang suatu masa dahulu juga sibuk menelusuri jejak salasilah keluarga tetapi menurut Nenek, ibu kepada ayah, perjalanannya tidak dapat disempurnakan kerana bersahabat dengan jin.

Maka sampailah di Bukit Supai lagi, ketika itu sudah hampir senja. Isteri yang sedang sarat menunggu sahaja dalam kereta sementara saya terus berlari untuk masuk ke kawasan dan naik ke atas bukit. Kalau tidak, kemungkinan besar dia akan ikut sekali! Kali ini saya tidak mahu tersilap langkah lagi. Semasa di Muar awal sebelum itu, saya telah pergi ke sebuah Cyber-Cafe untuk meneliti balik pesanan seorang pembaca yang ditinggalkan dalam blogspot ini.

Rujuk balik pada penulisan awal dalam artikel pembuka siri kecil ini bertajuk Akhirnya, baru bercerita tentang perjalanan di Linggi... juga Kuala Linggi... di mana saya ada memberitahu bahawa perjalanan ke Linggi/ Kuala Linggi ini dibuat berdasarkan komen dalam blogspot. Kali ini saya turut mencatitkan komen itu ke dalam kertas. Untuk pengetahuan, komen itu dibuat pada artikel Peranan Ahlul Bait lawan propaganda Zionis Illuminati! yang ditulis di sini lebih setengah tahun lalu! Biar dicopy and paste...


Salam Sayd,
Circuit tuan di port dickson serta kawasan sekitarnya perlu di sambung di kota kuala linggi. Di atas tembok dinding kota kuala linggi tuan berdiri menghadap laut dan lihat sebelah kanan dinding kota yang menghadap sungai linggi lihat lagi di luar dinding kota dan turun curam sedikit dan akan nampak satu makam yang agak terbiar (as at 2005)di luar kota. Buat lah apa yang patut. Sewaktu balik dari kota kuala linggi jgn lupa mesti banyak banyak bersabar, jangan lupa bersabar! Selepas itu teruskan ke masjid lama linggi yang banyak makam lama tu tapi kali ni pergi jauh ke dalam kawasan kebun getah di atas bukit belakang masjid. Di celah celah pokok getah tu ada makam makam lama dan salah satu dari nya adalah makam Sheikh Jamaluddin Al Linggi. Buatlah apa yang patut. Sambong lagi next time.
Sheikh Ahmad Qadri Alawi


Setelah sampai di dataran atas bukit saya pun berdiri menghadap laut...


Kemudian baru melihat ke kanan.

 
Dengan berjalan di atas tembok saya terus menghala ke kuala sungai. Sampai ke hujung tembok baru terlihat kewujudan makam di satu bahagian lereng!

 

MasyaAllah! Saya telah pergi ke bukit ini tidak kurang 5 kali. Baru kali ini menyedari akan kewujudan makam.


Saya pun pergi lebih dekat lalu membuat apa yang patut.


Melihat pada kain kuning di batu nisan, kemungkinan besar ia milik seorang kerabat diraja dahulukala. Mungkin kerabat diraja Bugis? Kerana setahu saya Kota Kuala Linggi ini didirikan oleh mereka sebelum diambil-alih oleh Belanda. Mungkin sebab itu komen atau pesanan dalam blogspot meminta saya agar pergi ke makam Sheikh Jamaluddin Al-Linggi seterusnya?

 
Saya turun dari bukit ketika sudah masuk waktu Maghrib... sampai di Masjid Qariah Linggi ketika sudah gelap, sudah masuk jam 8 malam begitu. Namun terus pergi ke makam Sheikh Jamaluddin yang terletak sekitar 200 meter di kawasan belakang luar masjid yang lebih merupakan sebuah belukar dengan tanah perkuburan lama. Untuk makluman, masjid itu sendiri dikelilingi tanah perkuburan baik di hadapan mahupun di sini!

Perjalanan seperti sudah diatur. Sebaik sahaja selesai meletakkan kereta di perkarangan masjid dan memastikan isteri dapat masuk ke ruangan solat wanita saya terus ke belakang di mana terdapat tempat mengambil wudhuk kerana perlu mengikut pintu pagar belakang masjid untuk sampai ke makam. Seketika itu juga lampu di belakang dibuka oleh satu-satunya orang yang ada ketika itu kerana masjid lama ini sudah jarang digunakan untuk solat berjemaah.

Hmm. Nak kata penjaga masjid pun tak pasti, biar disebut pakcik sahaja ya. Pakcik itu membuka pintu belakang bangunan masjid lalu menjenguk keluar. Terlihat sahaja kelibat saya terus dia bertanya: "Mahu ke mana ini?". Terus saya jawab: "Mahu ziarah makam".

Peliknya dia tidak bertanya apa-apa lagi. Lampu dibiarkan terus menyala. Dapat juga menerangkan sehingga 30 meter gitu di sekitar. Kalau tidak, lagi teruk saya harus mencari makam dalam kegelapan tanpa membawa apa-apa lampu mahupun pelita.

Kali ini juga berlaku sesuatu yang baru. Walaupun saya juga telah pergi menziarahi makam Sheikh Jamaluddin sekurang-kurangnya 5 kali, baru kali ini tergerak dan dapat masuk ke dalam lingkungan pagar besi lalu menyentuh batu nesan. Sebelum ini saya tidak menyedari dan tidak terjumpa pun pintu masuk ke dalam, setakat melihat dari luar pagar. Tetapi dalam gelap-gelita kali ini pula dapat menemui pintu masuk dan membukanya. Walhal cahaya lampu masjid tidak sampai ke situ, harus menggunakan cahaya telefon bimbit untuk melihat dalam samar-samar... walhal dahulu sudah beberapa kali sampai ke makam waktu siang tetapi tidak menemui pun pintu!

  Setelah membuat apa-apa yang patut baru masuk ke masjid. Selepas bersolat jamak Maghrib dan Isyaq saya membaca Al-Quran dan berwirid sedikit. Lega rasanya berjaya menyelesaikan perjalanan yang sudah lama disarankan melalui komen iaitu sejak bulan Mei lagi. Tak tahu apakah makna sebenar membuat perjalanan ini kecuali meneka-meneka pertalian Sheikh Jamaluddin Al-Linggi yang memang ada darah kerabat diraja Bugis mungkin kena-mengena dengan diri saya sendiri. 

Mungkin akan keluar petunjuk lebih nyata setelah selesai menamatkan cerita? Oh... Pada penghujung artikel Cerita perjalanan Linggi/ Kuala Linggi. Siapa pula Tok Bali? ada disebut "Dengan ini, tamatlah penggunaan koleksi gambar-gambar perjalanan bulan Ogos...". Sebenarnya saya tersilap. Masih ada banyak lagi gambar-gambar perjalanan bulan Ogos, cuma telah dikumpulkan dalam satu folder tersendiri. Untuk makluman, ia adalah gambar-gambar perjalanan ke Pantai Timur yang dibuat hujung bulan itu. Gambar-gambar inilah yang akan menjadi asas kepada satu siri artikel baru yang akan dibuat selepas ini. Selamat malam! :]



Selasa, November 03, 2009

Sayangnya kat Al-Rasyid!

Allah! Tadi timbul rasa kuat pula untuk berkongsi lagi gambar-gambar anak. Kiranya dimulakan dari Muhammad Al-Aminul Rasyid baru sehari keluar dari perut sehinggalah masuk umur 3 minggu ya. Gambar-gambar ini diatur menurut turutan masa, dari hari mula-mula sehinggalah hari-hari kemudian. Syukur kepada Allah kerana memberikan rasa kasih sayang yang semakin hari semakin bercambah ini! Rujuk juga artikel Lahirnya anakku Muhammad Al-Aminul Rasyid dan 131... yang dibuat pada hari anak ini lahir... sekian. :]




























































Cerita perjalanan Linggi/ Kuala Linggi. Siapa pula Tok Bali?

Setelah membuat beberapa lagi artikel baru di blogspots BERPETUALANG KE ACEH dan SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART), baru boleh menyambung cerita... daripada artikel Akhirnya, baru bercerita tentang perjalanan di Linggi... juga Kuala Linggi... yang dibuat Jumaat lalu. Mari...


Malam selepas makan di restoran terapung kuala Sungai Linggi kemudian naik Bukit Supai seorang diri dalam kegelapan, saya dan isteri pun kembali ke kampung ibu saya di Muar. Ini adalah satu gambar bandar Muar yang diambil keesokan hari atau lusanya, saya pun dah lupa...
 

Yang pasti kami berada di rumah ibu bapa sekurang-kurangnya 2 malam. Sampai masa untuk kembali ke Lembah Kelang, kami sengaja mengambil jalan jauh berundur ke selatan untuk pergi ke Kampung Raja di Pagoh terlebih dahulu demi menziarahi makam Sultan Alauddin Riayat Shah yang terletak di sebuah masjid jamek. Sila lihat artikel Masjid jamek (Main mosque of) Sultan Alauddin Riayat Shah I yang baru dibuat siang tadi...

 
Oh. Tidak jauh dari masjid, terdapat sebuah surau yang namanya terasa amat pelik. Surau Nabi Idris? Seumur hidup saya tidak pernah terjumpa mana-mana surau mahupun masjid yang diberi nama sempena mana-mana nabi. Inikan lagi Nabi Idris. Apakah ada sesuatu yang istimewa?

Saya pun turun kereta untuk melihat dan mengambil gambar lebih dekat. Orang masjid yang ada kelihatan pelik melihat gelagat. Apabila dilihat lebih dekat, ternyata sudah tersilap. Rupa-rupanya nama surau ini ialah Surau NAIB Idris... hek eleh!


Apapun, saya singgah di Kampung Raja dan sekitarnya dengan niat untuk pergi lagi ke Kuala Linggi. Dari sana saya masuk ke Lebuhraya PLUS melalui tol Pagoh sebelum keluar di tol Air Keroh, Melaka lalu mengambil lebuhraya pintas hingga ke Masjid Tanah, baru menghala ke Kuala Linggi... singgah sebentar di masjid ini untuk mengambil wudhuk. Sila lihat artikel Masjid (Mosque of) Al-Muttaqin, Kuala Linggi...

OK. Berbalik pada apa yang berlaku dalam artikel Akhirnya, baru bercerita tentang perjalanan di Linggi... juga Kuala Linggi... . Sebenarnya saya tidak berjaya menemui apa-apa makam di Bukit Supai. Sebaliknya saya diberitahu oleh seorang makcik yang berniaga di restoran terapung bahawa mungkin makam yang dicari itu adalah makam seseorang yang dikenali sebagai Tok Bali, katanya orang yang tinggi agamanya lagi keramat, mungkin seorang wali!

Makcik itu menerangkan jalan untuk ke sana. Cuma katanya jangan main sebarang pergi, kelak ada ujian dan gangguan seperti ular besar dan sebagainya. Saya jadi amat teruja lalu ingin pergi malam itu juga. Tetapi isteri yang ketika itu sedang sarat mengandung 8 bulan jadi risau lalu meminta agar menunda niat itu, sekurang-kurang sehingga kami sudah bermalam di Muar terlebih dahulu.

Lalu perjalanan kembali ke Lembah Kelang digunakan untuk singgah lagi di Kuala Linggi. Setelah mengikut panduan arah yang diberikan makcik restoran terapung, kami sampai ke teluk ini yang letaknya sekitar 500 meter sebelum Bukit Supai...


Kelihatan sebuah makam dengan tembok berwarna biru. Ada sebuah tanah perkuburan Islam yang agak besar. Tetapi apabila pergi lebih dekat, terasa ada sesuatu yang kurang...


Kami hampir meninggalkan tanah perkuburan ini sebelum terjumpa makam agak terserlah ini pula. Nasib baik ketika itu ada dua orang tempatan sedang lalu di jalanan luar tanah perkuburan yang agak sunyi ini. Lalu kami mendapat kepastian inilah makam Tok Bali yang disebut makcik di restoran terapung. Teringat pula sebuah tempat dengan pantai di Kelantan bernama Tok Bali. Apakah ada kena-mengena? Sila lihat artikel Looking for a tomb at a scenic bay in Kuala Linggi..


Walaupun sudah terjumpa makam Tok Bali, saya sebenarnya masih tidak berpuas hati. Lalu saya memanjat lagi Bukit Supai, kali ini di siang hari. Lihat artikel Kota (Fort of) Kuala Linggi...


  Namun saya tetap tidak dapat menemui apa-apa makam di bukit itu. Sebaliknya terjumpa makam ini pula sekitar 200 meter keluar dari kawasan Bukit Supai...


  Akhirnya saya meneruskan sahaja langkah kembali ke Lembah Kelang dengan melalui pekan Linggi. Singgah sebentar di surau lama tepi jalan yang disebut sesetengah orang sebagai tempat persinggahan dan laluan para wali ghaib! Lihat artikel lama Sebuah surau lama di Linggi (An old praying hall in Linggi) yang dibuat di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART) Februari 2008.


Oh. Saya singgah di sini untuk mencari topi berwarna putih yang tercicir ketika perjalanan untuk ke Kuala Linggi hampir senja 2-3 hari sebelum itu. Rujuk kembali pada artikel Akhirnya, baru bercerita tentang perjalanan di Linggi... juga Kuala Linggi... Sebenarnya sebelum singgah di Masjid Linggi lalu menziarahi makam Sheikh Jamaluddin, saya telah pergi ke kolam sebelah surau tinggal ini untuk mengambil wudhuk. Saya ada memakai topi putih itu lalu meletakkannya di tepi ketika membasuh muka dan kepala. Setelah balik ke Muar baru saya menyedari ia telah tercicir. 

Namun saya tidak dapat menemui topi itu. Allah! Hilang lagi satu topi. Sepanjang ingatan saya sudah kehilangan tidak kurang 20 buah topi, sesetengahnya mahal-mahal hadiah dari syarikat-syarikat besar ketika masih bertugas sebagai wartawan di akhbar The New Straits Times dahulu... kerana tercicir, terlupa atau sebagainya. Apa boleh buat, saya terpaksa menerima kenyataan lalu terus ke Lembah Kelang sebelum kembali ke rumah di Bandar Tasik Puteri. Dengan ini, tamatlah penggunaan koleksi gambar-gambar perjalanan bulan Ogos...

 
p/s: Dengan kuasa Allah, topi itu ditemui kembali di atas meja di dalam rumah kami! La ila ha il Allah. Kedengaran bunyinya mustahil. Apakah saya sebenarnya memang telah tertinggal di rumah kemudian terlupa tentangnya? Tidak. Baik saya mahupun isteri pasti ada membawa topi itu dalam kereta malah memakainya sepanjang perjalanan dari Lembah Kelang ke Linggi, cuma dibuka di kolam tepi surau lama.

Apapun, saya tidak hairan jika ia memang tercicir di Linggi lalu 'dihantar' kembali ke rumah. Untuk pengetahuan, saya pernah menerima sehelai selempang merah yang muncul tiba-tiba di sebelah pembaringan pada suatu Subuh. Jadi ia memang tidak mustahil. Dan lagi cerita ini akan disambung apabila sampai waktunya. Sekian, selamat malam! :]



Jumaat, Oktober 30, 2009

Akhirnya, baru bercerita tentang perjalanan di Linggi... juga Kuala Linggi...

Setelah membuat beberapa artikel di blogspots BERPETUALANG KE ACEH dan SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART) berdasarkan koleksi gambar perjalanan bulan Ogos yang baru diguna-pakai kini, baru saya boleh menunaikan janji yang dibuat ketika menulis artikel Gambo lama Sekolah Sains dan rancangan bercerita seterusnya... lebih 3 minggu lalu. Biar dicopy and paste balik isi berkenaan.. Antara lain, saya berjanji untuk menulis tentang... 1. Cerita Linggi dan Kuala Linggi... satu pencarian makam lama berdasarkan petunjuk yang diberi melalui satu komen di blogspot ini...
Mari! :]


Petang Jumaat sehari sebelum masuk bulan puasa atau Ramadhan, saya dan isteri yang ketika itu sedang mengandung 8 bulan meninggalkan Kuala Lumpur untuk kembali ke rumah ibu bapa saya di Muar, Johor. Dalam perjalanan, teringat pesanan seorang pembaca di blogspot ini lalu tergerak untuk menghala ke Masjid Qariah Linggi...


Di kawasan belukar belakang masjid terdapat makam seorang ulamak bertaraf wali bernama Sheikh Jamaluddin Al-Linggi. Beliau adalah bapa kepada ulamak terkenal yang pernah menjadi mufti Negeri Sembilan awal abad ke 20 Masihi iaitu Sheikh Muhammad Said Al-Linggi.

 

Saya pernah ke makam ini beberapa kali. Tetapi baru kali itu saya juga berminat untuk melihat makam-makam menonjol di sebelahnya...

 

Kalau tak salah ingatan, makam-makam berdekatan ini milik pembesar yang memerintah Linggi, dikenali sebagai Datuk Muda Linggi. Ia adalah pangkat yang diwarisi turun-temurun dalam keluarga tertentu, katanya berdarah kerabat diraja Bugis!

  Masjid Qariah Linggi dilihat ketika selesai menziarahi makam...

 
Di hadapannya terdapat 2 pucuk meriam peninggalan Datuk Muda Linggi yang dikatakan membina masjid ini, kalau tak salah namanya ialah Datuk Muda Kattas...

  Dalam kandang di hadapan masjid ini terdapat makam beberapa orang penting Linggi, ada yang memberitahu ia makam-makam Datuk Muda Linggi juga, ada pula menyebut terdapat juga makam ayah kepada Sheikh Jamaluddin. Apapun, saya difahamkan mereka semua datang daripada satu rumpun keluarga...

  Adapun saya sampai ke Masjid Qariah Linggi itu hampir waktu Maghrib. Seterusnya singgah sebentar ke makam lama dengan batu-batu hidup ataupun megaliths di Pengkalan Kempas sebelum sampai ke Kuala Linggi yang terletak di dalam negeri Melaka. Untuk pengetahuan, Sungai Linggi membentuk sebahagian sempadan antara Melaka dan Negeri Sembilan. Pekan Linggi di mana terdapat Masjid Qariah tadi terletak lebih 25 km dari Kuala Linggi. Saya sampai di Kuala Linggi masuk waktu Isyaq dengan niat untuk memanjat Bukit Supai di mana terletaknya Kota Kuala Linggi yang dibina lebih 200 tahun lalu...

  Saya ke sini menurut pesanan pembaca yang ditinggalkan di dalam blogspot. Cuma pesanan itu menyebut saya harus ke Bukit Supai dahulu sebelum ke makam Sheikh Jamaluddin sedangkan perjalanan yang dibuat ini mengikut turutan yang terbalik. Apapun, memandangkan kami suami isteri sudah agak lapar, kami pun singgah di restoran terapung yang nampaknya baru sebulan dua dibuka di kuala sungai. Seingat saya, dalam lawatan saya ke Bukit Supai sebelum itu iaitu awal tahun 2009, kalau tak pun hujung tahun 2008 belum kelihatan lagi restoran ini. Atau saya yang terlepas pandang ketika ia dalam pembinaan?

  Sementara menunggu makanan yang dipesan siap dimasak, kami bertanya tentang kewujudan makam di Bukit Supai. Kata seorang makcik yang membuat perniagaan sampingan, dia tidak pasti jika wujud apa-apa makam di sekitar bukit. Tetapi dia tahu tentang kewujudan satu makam yang dianggap keramat di tempat lain tidak jauh dari situ... apakah itu makam yang perlu dicari?

  Saya pula rasa tak senang duduk. Rasa mesti cuba mencari makam di Bukit Supai dahulu walaupun dalam keadaan gelap-gelita, walaupun  tidak membawa lampu picit atau apa-apa benda yang mampu menolong melihat...

  Ini adalah gambar restoran terapung dilihat dari lereng bukit. Dapatkah berjumpa makam yang dicari? Nanti kita sambung cerita ya. Untuk melihat pemandangan Bukit Supai juga sekitar Kuala Linggi waktu siang, sila lihat artikel lama bertajuk Interlude: A visit to Kuala Linggi... di blogspot BERPETUALANG KE ACEH. Selamat malam! :] 


p/s: Nota tambahan dibuat pagi Jumaat...

Apabila dilihat kembali artikel Gambo lama Sekolah Sains dan rancangan bercerita seterusnya... baru tersedar, saya telah pun menunaikan sedikit janji yang dibuat apabila memaparkan artikel Perkahwinan seorang sepupu, perjumpaan keluarga dan rancangan buku terbaru... 11 hari lalu. Ini kerana ia menepati 2 perkara yang telah dijanjikan untuk disajikan di blogspot ini, saya copy and paste balik apa yang dijanjikan... 

3. Berkenaan Hari Raya itu sendiri terutama peristiwa sekitar perkahwinan seorang sepupu perempuan dengan jejaka dari New Zealand yang telah menetap di Australia, diadakan pada hari raya ketiga... 

4. Perkahwinan sepupu pada raya ketiga ini telah mengumpulkan 4 generasi keluarga besar sebelah ibu. Dari situ tercetus idea untuk mengumpul butir salasilah keluarga belah ini yang lebih dikaitkan dengan bangsa Jawa... 

Terpulanglah jika nanti ingin memanjangkannya dalam artikel-artikel baru atau membiarkan setakat cukup apa yang ada. Selepas selesai cerita berkenaan Linggi, yang tinggal cuma satu perkara janji iaitu... 

2. Cerita perjalanan terbaru ke Pantai Timur yang dibuat pertengahan bulan puasa... yang ni harus panjang dan bersiri kerana melibatkan banyak lokasi...

Harap maklum.