Menyambung lagi gerak berkenaan seperti dinyatakan dalam Tentang mendaki bukit, gunung dan cabaran.
Tidak lama lagi saya akan memulakan satu permusafiran baru iaitu ke Pontianak di Kalimantan Barat Indonesia. Pernah pergi sekali tahun 2015 lalu turut ke beberapa tempat bersejarah meliputi jarak perjalanan darat lebih 700 km. Lihat Jejak Kalimantan Barat – Compiled. Kali ini cadangnya hendak singgah ke lebih banyak tempat lalu meliputi jarak darat tidak kurang 2,000 km. Dan kali ini mahu kembali dari Kuching di Sarawak. Tentunya ada tempat bersejarah mahu dijejaki di sana.
Ini membuat harus berfikir panjang apakah tajuk utama yang patut diberikan kepada cerita dan siri berkenaan. Apakah harus menyebut Kalimantan dan Sarawak? Atau guna perkataan Borneo yang diketahui meliputi seluruh pulau berkenaan? Apabila disemak kembali didapati perkataan Kalimatan sudah memadai. Ini kerana ia asalnya meliputi seluruh pulau. Borneo adalah panggilan moden yang diberikan oleh Barat berdasarkan nama Brunei, Kesultanan Melayu yang dilihat paling terserlah dan menguasai kebanyakan daratan pulau pada zaman kegemilangannya abad ke-15 hingga 16 Masihi.
Oh. Ini akan menjadi kali ke-4 saya menjejakkan kaki ke pulau ke-3 terbesar di dunia ini. Pertama kali untuk mendaki gunung yang dikatakan tertinggi di Asia Tenggara, kedua memenuhi undangan satu pihak yang sanggup menaja. Lihat Kenangan mendaki Gunung Kinabalu tahun 1997 diikuti Tribute untuk lawatan tak dijangka ke Brunei bulan Ogos (2010). Sekarang lebih banyak tahu tentang pulau dan kerajaan-kerajaan lama yang pernah wujud di sana. Dan sekarang ada lebih banyak masa untuk meneroka apa lagi isteri yang telah hampir setahun pencen awal ikut sekali.
Cuma yang membimbangkan adalah jerebu. Kalau di Lembah Klang, hampir 1,000 km dari Pontianak pun boleh tahan teruk apatah lagi di kota yang terletak dekat dengan punca. Kami membuat keputusan untuk pergi sebelum timbul masalah jerebu. Kami mahu mengambil kesempatan atas undangan seorang kakak ipar isteri yang berasal dari sana. Beliau mahu balik kampung lalu telah menetapkan tarikh. Kami ikut tarikh beliau lalu membeli tiket walaupun ketika itu sudah muncul masalah jerebu. Kata kakak ipar insyaallah akan pulih apabila sampai masa untuk ke sana.
Kalau setakat di Pontianak mungkin boleh menghabiskan masa dalam rumah dan bangunan sahaja kalau jerebu. Ini kami bersama kakak ipar dan seorang saudara yang turut datang dari Malaysia ada bercadang untuk membuat satu pusingan laluan seperti pernah saya lakukan dahulu tahun 2015. Rujuk kembali Jejak Kalimantan Barat – Compiled yang memakan jarak lebih 700km.
Kemudian, kami suami isteri sendiri mahu berjalan memandu lebih jauh. Antara tempat mahu disinggahi adalah Ketapang yang mana dikatakan hutannya paling teruk terbakar menimbulkan jerebu. Perjalanan dengan kereta dikatakan memakan jarak hampir 500 km dan masa sekitar 10 jam. Dan ada lagi tempat lain yang memakan masa dan jarak mahu diliputi.
Satu perkara menarik. Ketika ke Aceh hujung bulan Ogos, kali 10 saya ke sana, baru tahu kapal besar penjana eletrik yang ditolak ombak ganas Tsunami 26 Disember 2004 lalu meranapkan beberapa rumah sebenarnya berasal dari Kalimantan Barat. Padahal sudah banyak kali singgah. Lihat Kompilasi Ziarah KeSultanan Aceh bersama Merah Silu.
Dan kami bertandang itu pada tarikh yang sangat istimewa. Lihat Lawatan penutup pada Hari Kemerdekaan Malaysia yang ke-69. Terasa seperti ada kesinambungan yang terkait dengan makna merdeka. Doakan ya. Semoga semua baik-baik sahaja





Tiada ulasan:
Catat Ulasan