Pembaca yang setia mengikuti tulisan di blogspot ini tentu sedar betapa saya kadang-kala obses atau kemaruk dengan nombor 131 yang dikaitkan dengan home sweet home, rumahku syurgaku. Sebenarnya ia adalah nombor rumah yang saya beli 13 tahun lalu, rumah yang sudah dibayar deposit 5% diikuti yuran peguam hampir RM2,000 untuk pinjaman perumahan. Nombor ini boleh dilihat pada letter of acceptance atau surat penerimaan di atas. Ia muncul ketika saya diminta memilih lot.
Ketika itu tinggal beberapa buah sahaja rumah yang belum ditempah orang. Saya pun memilih nombor ini kerana ia kelihatan cantik dan simetrikal. Oh... harga RM71, 250 yang kelihatan itu cuma untuk bangunan. Ia tidak dicampur harga tanah lebih RM36,000.
Apapun itu adalah cerita lama, cerita 13 tahun lalu. Pada awal 2003 saya bercerai dengan isteri tersebut dan setelah beberapa lama membujang timbul harapan untuk berumahtangga lagi, kali ini dengan seorang wanita yang dikenali sejak tahun 1995. Ketika itulah saya teringat balik tentang rumah bernombor 131 ini. Maka itu pada saya nombor tersebut membayangkan harapan untuk mendapatkan kebahagian rumahtangga setelah melalui pengalaman pahit rumahtangga terdahulu.
Sebaliknya berlaku satu rentetan peristiwa yang membawa saya untuk berkenalan dengan wanita lain lalu kami berkahwin penghujung 2008. Alhamdulillah wanita ini dapat memberikan saya rasa home sweet home yang amat didambakan sekian lama dan hasil perkahwinan ini kami mendapat 2 orang anak laki-laki. Kini kami sedang berusaha untuk membawa rumahtangga kami ke tahap seterusnya, dengan memiliki rumah sendiri yang memiliki ciri-ciri idaman kami. Antara ciri-ciri itu adalah tidak terlalu jauh dari bandar terutama dari Kuala Lumpur namun terletak di kawasan bukit/pergunungan dekat dengan sungai, kalau boleh ada air terjun dan harganya tidak terlalu mahal.
Oh, kami pernah bersama menunggang motosikal besar untuk meninjau rumah yang pernah saya beli tahun 2000 tetapi mendapati lokasi tidak dimajukan. Dokumen lama yang ditemui dan disemak awal pagi tadi menyebabkan saya dapat menyemak keadaan terbaru melalui Internet lalu mendapati projek perumahan itu memang terbengkalai. Satu laporan dari website Adun Hulu Kelang 23 Mac 2010 menyebutnya sebagai antara projek yang sedang diteliti untuk pemulihan. Laporan akhbar The Star bertarikh 7 Jun 2011 pula menyebut projek itu malah tidak dapat dikesan oleh pegawai penguatkuasa Majlis Perbandaran Kajang!
Di celah-celah dokumen tentang pembelian rumah, urusan dengan peguam juga badan yang membiayai pinjaman perumahan saya menemui kembali sketsa kolam dengan air terjun kecil yang dicadangkan mahu dibuat sendiri di satu sudut pagar rumah. Sketsa ini dibuat sehari dua selepas mendapat dokumen perjanjian SnP (Sales and Purchase). Teringat bagaimana dalam keadaan begitu teruja saya telah menghadiri majlis tahlil seorang saudara di Kuala Lumpur lalu menunjukkan SnP dan sketsa ini kepada ibu bapa yang datang jauh dari Muar.
Adapun rumah yang kami suami isteri idamkan, rumah yang boleh didapatkan melalui bidaan sudah sedia memiliki kolam kecil dengan ciri hampir serupa sketsa. Ia juga memiliki ciri-ciri idaman yang sudah disebut lebih awal iaitu tidak terlalu jauh dari Kuala Lumpur namun terletak di kawasan bukit/pergunungan dekat dengan sungai, dekat pula dengan air terjun sedangkan harganya tidaklah terlalu mahal. Ketika berjumpa dengan ajen yang mengendalikan urusan saya dapati pejabatnya terletak sangat dekat dengan apartment tempat saya dan isteri lama pernah menginap, apartment yang saya tinggalkan pertengahan atau penghujung 2002 apabila masalah rumahtangga terasa semakin berat. Sesungguhnya dalam membuat urusan kali ini saya dibawa untuk menghadapi sedikit luka lama lalu sering terasa sebak, rasa sebak yang bertambah-tambah apabila melihat dokumen lama rumah yang terbengkalai diikuti sketsa kolam dan air terjun kecil yang membayangkan harapan.
Semoga luahan ini akan membuka jalan untuk menggapai lebih kebahagian. Dengan ini saya memohon para pembaca agar mendoakan kami dapat memiliki rumah idaman yang mahu dibida tidak lama lagi. Rumah ini harus menjadi home sweet home paling cantik menggantikan rumah lot 131 yang terbengkalai 13 tahun lalu, rumah yang sudah lama dilupakan akibat saya termangu-mangu teraba-raba mencari diri dan erti. Semoga kami suami isteri dan anak-anak dapat menduduki rumah idaman itu sebelum hujung tahun ini. Wassalam. :]
2 ulasan:
Semoga mendapat Home sweet home yg diidamkan...
Amin... :]
Catat Ulasan