Manakan dapat sagu kalau tidak dipecahkan ruyungnya?
Manakan dapat mutiara yang berkerlipan jika takut menyelam ke lautan dalam.
Dalam diri setiap manusia, ada seketul daging.
Jika baik ia, maka baiklah seluruh jiwa manusia itu.
Jika buruk ia, buruklah juga manusia itu...
Seketul daging itu adalah hati,
mari kita lapangkan dada dan belajar mengIKHLASkan hati.
Perjalanan seribu batu bermula dengan satu langkah.
Marilah meneroka dunia pemikiran hamba.
Silakan

Video klip yang tertera boleh dianggap sebagai pembukaan kepada dunia pemikiran dan kesukaan hamba...







-------------------------


-------------------------



Segala yang dipaparkan menggambarkan pemikiran penulis yang turut terserap di dalam setiap penulisan buku dan artikel. Lihat Cara-cara mendapatkan buku tulisan Merah Silu @ Radzi Sapiee. Di atas adalah satu klip video selama hampir setengah jam yang merupakan demo pilot episode yang mahu digunakan untuk mencadangkan satu siri pengembaraan menyusuri sejarah Melayu Islam sekeliling Nusantara untuk siaran televisyen. Entah mengapa ia menemui masalah. Kemudian penulis diberitahu konsepnya diciplak sebuah stesyen televisyen. Lihat Kembara Sejarah Islam Nusantara : The original material...



Ini adalah klip video ulasan buku ketujuh saya "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" berserta temuramah yang dibuat siaran langsung di Selamat Pagi Malaysia, RTM1. Lihat Siaran langsung ulasan buku "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" dan temu ramah di Selamat Pagi Malaysia.



Penulis juga pernah diminta membuat pembentangan mengenai siri buku "Berpetualang ke Aceh" di Masjid Sultan Salahuddin iaitu masjid negeri Selangor di Shah Alam. Lihat Buku "Berpetualang" dan himpunan ulamak Nusantara yang diketuai ulamak Aceh


-------------------------



Siri novel "Berpetualang ke Aceh" boleh didapati dalam bentuk e-book. Masuk http://www.e-sentral.com/, klik kategori novel am dan taip perkataan "Aceh" pada kotak carian. Atau terus klik Buku 1,Buku 2 dan Buku 3.





Gambar ketika menghadiri satu majlis ilmu, diambil oleh sebuah akhbar harian. Lihat Menghiasi Kosmo Alam Melayu...



Penerbitan trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" juga membawa penulis untuk terlibat dengan banyak majlis ilmu. Rujuk kumpulan links artikel di bawah tajuk "Siri Refleksi Sejarah", pada bahagian paling bawah kiri blogspot, . Penulis juga agak aktif dalam aktiviti-aktiviti kedaulatan Melayu dan Islam, dapat menganjurkan majlis-majlis sendiri di merata Semenanjung Malaysia membawa ke luar negara di Aceh. Lihat blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


Ketika menulis perenggan ini 4 Mei 2015 penulis sedang berusaha untuk mengembangkan isi 3 buku dalam siri "Berpetualang ke Aceh" menjadi 6 buku yang akan membentuk siri baru dipanggil "Siri Pengembaraan Merah Silu". Sebuah syarikat penerbitan telah bersetuju untuk menerbitkan siri lama itu kembali dalam bentuk yang lebih segar - Setiap buku asal dipecah menjadi 2 buku baru yang ditambah maklumat, gambar dan peta berwarna-warni.Pertengahan September 2015 buku pertama siri baru pun selamat diterbitkan. Seminggu lebih kemudian penulis berpeluang bercakap tentangnya secara siaran langsung dalam televisyen lalu membawa wakil penerbit bersama. Lihat video di bawah :-





Awal tahun 2015 turut menyaksikan penulis diambil menjadi penyelidik dan hos satu siri dokumentari yang dipanggil "Daulah Melayu". Projek 13 episod sepanjang sejam setiap satu ini mahu mengenengahkan formula untuk mengembalikan kekuatan bangsa Melayu. Insyaallah projek iakan membawa penulis untuk mengembara ke merata di Malaysia dan Indonesia juga ke beberapa negara dan tempat di Eropah termasuk ke kota London, tempat penulis mengambil ijazah matematik 1991-1995. Siri dokumentari ini dijangka siap untuk tayangan televisyen dalam tempoh 2 tahun.


Pada 13 Mei 2023 buku ke 13 + 1 penulis (pertama setelah yang ke-13 terbit tahun 2019 lalu mula memberikan tumpuan pada pengajian pascasiswazah di ISTAC iaitu Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam di Bukit Tunku, Kuala Lumpur), Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin & Orang Kaya Arsyad telah dilancarkan oleh sejarawan ulung negara, Profesor Emeritus Datuk Dr Abdullah Zakaria Ghazali di rumah penulis. Lihat Majlis pelancaran buku dan rumah terbuka raya 2023 - Melestarikan semangat perjuangan. Beliau yang bertanggungjawab memberikan kata-kata aluan dalam buku turut menjadi pembicara dalam diskusi yang diadakan di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2023 (berlangsung 26 Mei hingga 4 Jun). Lihat Bicara buku Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin di PBAKL 2023. Diskusi ini terakam dalam video atas diikuti video bawah...



Rabu, September 15, 2010

Mereka yang menjual agama sehingga sanggup menjatuhkan negara...

Assalamualaikum semua. Berjumpa kita kembali setelah beberapa hari menyambut ketibaan bulan Syawal dan Hari Raya Aidilfitri. Saya sendiri sudah kembali ke rumah awal pagi Selasa. Tetapi malam ini, malam 7 Syawal baru tergerak untuk menyambung penulisan di blogspot ini.

Dalam artikel terakhir siri "Petualangan Al-Rasyid ke Aceh" iaitu Petualangan Al-Rasyid ke Aceh : Pesanan akhir dari putera mahkota si Merah Pupok? saya ada menyebut akan meletakkan beberapa sedutan berkenaan ulamak terkenal Aceh yang dipanggil Nuruddin Ar-Raniri dalam buku ketiga saya "Berpetualang ke Aceh : Sirih pulang ke gagang?" (terbit Nov 2007) untuk menyokong cerita, ulamak yang saya yakin sebenarnya berperanan besar menjatuhkan Aceh dari dalam. Cerita mengenainya dibuat panjang-lebar sambil diselang-selikan dengan apa yang pernah berlaku ketika penghujung perkhidmatan saya sebagai wartawan di akhbar The New Straits Times tahun 2001. Jadi biarlah semuanya diletakkan secara lock, stock and barrel iaitu secara pukal ya...

----------------


ANGKARA
NURUDDIN?

MULA KEJATUHAN ACEH

(BAHAGIAN 1)




(Di antara mereka juga) orang-orang yang memperbuat masjid
untuk memberi melarat dan kufur, lagi memecah-belah antara
orang-orang yang beriman dan untuk mengintip bagi orang
yang memerangi Allah dan RasulNya dari dahulu.
Mereka bersumpah:
“Bukanlah kami menghendaki (membuat masjid ini) selain kebaikan.
Allah mengetahui, bahawa mereka itu orang yang dusta.


- Surah At-Taubah Ayat 107





Tersebutlah di mukadimah kitab Sulalatus Salatin atau Sejarah Melayu karangan Tun Sri Lanang, pada satu hari beliau sedang “duduk pada suatu majlis dengan orang besar-besar bersenda gurau. Pada antara itu ada seorang orang besar terlebih mulianya, dan terlebih besar martabatnya daripada yang lain.” Maka berkata orang besar itu kepada Tun Sri Lanang: “Hamba dengar ada hikayat Melayu dibawa orang dari Goa; barang kita perbaiki kiranya dengan istiadatnya, supaya diketahui oleh segala anak cucu kita yang kemudian daripada kita, dan boleh diingatkannya oleh segala mereka itu, shahadan adalah beroleh faedah ia daripadanya.”

Demikian katanya: “Tatkala hijratul nabiyyi salallahu alaihi wasallam seribu dua puluh satu tahun, kepada tahun Dal, pada dua belas haribulan Rabiul Awal, pada hari Khamis, waktu Al-dhuha, pada ketika Shamsu, pada zaman kerajaan marhum yang mangkat di Aceh, Sultan Alauddin Riayah Shah zillullahi fil alam, anak Sultanil ajalli Abdil Jalil Shah, akhi Sultan Muzaffar Shah, ibni Sultan Alaiddin Riayah Shah, ibni Sultan Mahmud Shah, cucu Sultan Alauddin Shah, cicit Sultan Mansur Shah, piut Sultan Muzaffar Shah, anak kahu, wa Sultanahu, wa abbada adlahu, waihsanahu.

“Sedang baginda bernegeri di Pasai, dewasa itulah datang Raja Dewa Said kepada hamba Seri Nara Wangsa yang bernama Tun Bambang, anak Seri Akar Raja Petani, menjunjungkan titah yang di Pertuan di Hilir, Sultan Abdullah Maayah Shah, ibni Sultani ajalla Abdil Jalil Shah....”. Titah baginda: ‘Bahawa beta minta perbuatkan hikayat pada Bendahara, peri persetua dan peraturan segala raja-raja Melayu dengan istiadatnya sekali, supaya diketahui oleh segala anak cucu kita yang kemudian daripada kita, diingatkan oleh mereka itu, shahadan beroleh faedahlah ia daripadanya.’”

Tun Sri Lanang menyambung dalam mukadimah itu: “Setelah faqir alladhi huwa murakkabun alal jahli, maka fakir perkejutlah diri fakir pada mengusahakan dia... Maka fakir karanglah hikayat ini Kama sami’tuhu min jaddi wa abi, supaya akan menyukakan duli hadrat baginda. Maka fakir namai hikayat itu ‘Sulalatul Salatin’ ya’ani peraturan segala raja-raja.”

Apa yang menarik perhatian Rasyid adalah kenyataan bahawa ada sebuah hikayat Melayu yang lebih tua dibawa daripada Goa. Bagaimana ia boleh wujud di sana sedangkan setahu pemuda itu, Goa yang terletak di dalam benua India itu adalah jajahan takluk penjajah kafir Portugis? Malah kalau nak tahu, itulah dia pusat utama mereka yang mula-mula dalam rangka-kerja kufar untuk menjajah dan menakluki negeri-negeri Melayu!

“Adakah ia hikayat yang ditulis oleh orang Melayu terdahulu kemudian diambil Portugis untuk disimpan dan disalin di Goa atau ia pernah ‘diperbaiki’ mereka sebelum di bawa ke Aceh? Siapa pula yang membawa hikayat Melayu itu dari Goa ke Aceh?” anak muda itu tertanya-tanya.

Rasyid teringat pesanan orang tua misteri yang ditemuinya dahulu di Masjid Kampung Hulu, Melaka supaya jangan menyalahkan Tun Sri Lanang atas kekhilafan yang wujud dalam kitab Sejarah Melayu. Menurutnya kitab itu telah ditulis balik para Orientalis seperti Gabernur Singapura Stamford Raffles yang menggunakan maklumat di dalamnya untuk mencari kelemahan orang Melayu, agar dapat dijajah dengan cara paling senang dan menguntungkan mereka. Maka jadilah Sejarah Melayu versi Shellabear, versi Raffles dan sebagainya berdasarkan tafsiran mereka. Apakah tidak mungkin para Orientalis ini telah ‘mengacau’ sedikit isinya supaya orang Melayu jadi keliru dalam memahami sejarah bangsa sendiri?

Mungkin juga hikayat Melayu asal dari Goa yang digunakan Tun Sri Lanang telah ‘diperbaiki’ oleh Portugis sepertimana kitab Sejarah Melayu pernah dibawa ke London lalu ‘diperbaiki’ di sana. Soalnya, siapa pula bertanggungjawab membawanya dari Goa? Sedangkan ketika itu Sultan Iskandar Muda Mahkota Alam sedang memerintah Aceh (1607-1636)... Ketika itu, orang Aceh dan orang Portugis amat membenci antara satu sama lain. Aceh telah beberapa kali menyerang Melaka sejak ia dicengkam Portugis 1511 dan dalam banyak-banyak Sultan Aceh, Iskandar Muda lah yang paling banyak mendatangkan masalah kepada mereka.

Sebenarnya orang-orang Portugis pernah berdagang dan disambut baik di Aceh... Tetapi mereka telah beberapa kali berbuat khianat di bumi Serambi Mekah termasuk cuba mendapatkan sebuah kota melalui tipu helah. Para penjajah kufar ini juga telah menggunakan kerajaan Melayu Haru untuk menakluki Pasai, 10 tahun selepas Melaka jatuh. Dari situ, mereka merancang untuk menakluki Aceh... Lalu Aceh lah yang bertanggungjawab membebaskan Pasai kemudian menakluki Haru.

Berbalik pada persoalan hikayat Melayu daripada Goa yang merupakan pusat pemerintahan Portugis di Timur sejak beberapa lama. Dalam keadaan permusuhan orang Portugis dengan Aceh yang amat nyata, siapa pula yang dapat membawa naskah itu dari Goa ke Aceh tanpa banyak periksa?

——————————

Tersebutlah kisah seorang hamba Allah, Nuruddin bin Ali bin Hasanji bin Muhammad Hamid namanya. Ranir negerinya Shafie Mazhabnya. Hamba Allah yang lebih dikenali dalam sejarah sebagai Nuruddin al Raniri ini akan menjadi mufti tertinggi kerajaan yang sangat berpengaruh di Aceh... Selepas kemangkatan Sheikh Shamsuddin Pasai serta Sultan Iskandar Muda yang pernah menerajui zaman kegemilangan Aceh.

Sejarah rasmi membuktikan pengaruh orang dari Ranir ini begitu kuat dan berkesan sehingga dia berjaya mempengaruhi Sultan Aceh selepas itu, Sultan Iskandar Thani (1636-1641) agar membunuh semua manusia yang tidak bersetuju dengan pegangan Tasawufnya iaitu apa yang disebut sesetengah pengkaji sejarah sebagai Wahdatul Shuhud. Fahaman ini dikatakan bertentangan dengan fahaman Wahdatul Wujud yang dibawa oleh Wali besar Aceh Sheikh Hamzah Fansuri dan muridnya Sheikh Shamsuddin Pasai, fahaman yang menjadi pegangan masyarakat Aceh sebelum itu juga pegangan Sultan Iskandar Muda sendiri. Malah kitab-kitab yang tidak sealiran dengan ajaran Nuruddin telah dibakar berlonggok-longgok di hadapan Masjid Baitul Rahman. Maka hilanglah segala catatan yang bertentangan kecuali mana yang ditakdirkan selamat...

Beberapa bahan bacaan yang ditemui Rasyid menunjukkan Ranir, tempat Nuruddin dilahirkan dan dibesarkan adalah sebuah bandar pelabuhan antarabangsa dalam wilayah Gujerat di India. Pada tahun 1530 Masihi, bandar ini telah ditakluki Portugis. Maka tidak hairanlah jika ada kemungkinan bahawa Nuruddin nanti akan menjadi ejen Portugis secara langsung atau tidak langsung untuk menghancurkan Aceh dari dalam...

“Atau mungkin juga dia seorang ejen Belanda yang sedang mencari jalan untuk menguasai Nusantara? Ibarat seorang penduduk tempatan yang sebenarnya ejen CIA atau diupah dan diawasi CIA, untuk naik ke mercu kuasa sesuatu negara supaya hala tujunya dapat ditentukan oleh badan perisikan Amerika Syarikat ini,” anak muda itu tertanya-tanya.

Mungkin ada yang musykil... Kenapa dia berfikiran begini? Kerana setelah menelaah berbagai sumber termasuk buku bertajuk The Mysticism of Hamzah Fansuri oleh Professor Syed Naguib Al-Attas, pemuda berketurunan Aceh ini mendapati bahawa ulama Gujerat ini bertanggungjawab samada secara langsung atau tidak terhadap keruntuhan empayar Aceh...

—————————————

“Buzz… Buzz….” telefon bimbit Rasyid bergegar diikuti nada dering classical Turkish March gubahan Wolfgang Amadeus Mozart. Rupa-rupanya panggilan daripada Nasri... Sudah lebih dua minggu mereka tidak berhubung kerana masing-masing sibuk dengan hal sendiri...
“Assalamualaikum brother, apa cerita?” tanya anak muda itu.

“Waalaikumussalam,” jawab Nasri. “Semuanya OK alhamdulillah.”

So, what’s the plan?” tanya Rasyid. “Mahu bersidangkah kita?” dia mengajak. Sudah hampir sebulan tidak bertemu untuk bertukar-tukar fikiran mengenai cerita-cerita lama Melayu dan perkara berkaitan.

“Ha’a…” jawab Nasri. “Itu yang aku telefon ini. Aku tengah free. Nizam pun begitu... Dan dia mahu menjemput kawannya Azlan sekali.”

“Azlan?”

“Ha… Budak Beruas yang berkerja sebagai produser gameshow. Alaa... Azlan yang datang rumah Nizam hari itu. Takkan kamu tak ingat? Kawan yang sibuk bercerita tentang Sultan Malikul Mansur dahulu?”

“Ya, ya. Ingat. Azlan, budak Beruas. Elok juga itu.”

“Aku sudah beritahu mereka, kali ini kamu lebih berminat hendak berbincang tentang keSultanan Aceh. Aku pun sudah tamat membaca Hikayat Aceh. Rasanya semua orang sudah bersedia...”

“Hmm... Baguslah itu!” jawab Rasyid. “Kebetulan aku sedang menulis bab yang agak sulit berkenaan Nuruddin Al-Raniri. Elok juga kalau kamu semua dapat menyumbangkan fikiran. Taklah aku jadi kera sumbang terpinga-pinga buat research dan segala kerja seorang diri!”

“Hmm… No problem. Aku ada satu naskah kitab Bustanus Salatin.”

“Kalau begitu, hujung minggu ini bagaimana?”

“Boleh!,” jawab Nasri. “Aku telefon kawan-kawan suruh standby apa yang patut. Kita order pizza sekali di rumah aku, setuju?”

Set… This weekend at your house. I’m there man!”

“OK… Aku beritahu kawan-kawan. See you then…”

Alright. Chow brother…” Rasyid menutup perbualan. Muncul semangat baru untuk meneruskan pengolahan kembali Jilid 3 buku “Berpetualang ke Aceh” yang sedang diusahakannya... Proses yang agak terbantut kebelakangan ini kerana kesihatannya selalu terganggu... Sekejap demam, sekejap sakit perut, mungkin akibat terlalu penat bekerja seorang diri…

—————————

Rasyid membuka komputer laptop lalu meneliti kembali tulisannya... Apa yang mahu diketengahkan kali ini amat rumit... Terlalu rumit. Ia melibatkan seorang manusia yang dianggap ulamak besar serta persoalan akidah yang telah menyebabkan umat Islam bertelagah zaman berzaman...

Sejarah rasmi dalam buku-buku teks pengajian tinggi mencatatkan Nuruddin al Raniri tiba di Aceh pada 6 Muharam 1047 Hijrah bersamaan 31 Mei 1637. Ketika itu, Sultan Iskandar Thani yang sebenarnya seorang anak Raja Pahang baru menaiki takhta Aceh kira-kira setahun. Anak raja itu telah diambil sebagai anak angkat oleh Sultan Iskandar Muda ketika masih kanak-kanak kemudian dijadikan menantunya Entah bagaimana, Nuruddin telah berjaya mendapat tempat di hati Iskandar Thani lalu diangkat menjadi Mufti serta Qadi Malikul Adil kerajaan Aceh, orang yang paling berkuasa dalam hal ehwal agama kerajaan itu.

Kalau diperhatikan gelagatnya, Nuruddin seolah-olah lebih berkuasa daripada Sultan yang ketika itu baru berumur 27 tahun. Ini kerana boleh dikatakan setiap kata-katanya, setiap fatwa yang diberi akan dituruti Iskandar Thani tanpa banyak soal dan periksa... Akibatnya, beribu pengikut Sheikh Hamzah Fansuri dan Sheikh Shamsuddin Pasai dibunuh dan kitab-kitab kedua Wali dan pujangga besar ini dibakar dan dimusnahkan di hadapan Masjid Baitul Rahman. Menurut fatwa pendatang dari Gujerat ini, ajaran mereka adalah sesat dan pendokongnya halal dibunuh.

Mereka yang menyokong Nuruddin pula menyanjungnya sebagai seorang ‘penyelamat’ yang datang ke Aceh untuk membersihkan akidah masyarakat awam yang dikatakan telah “lari daripada landasan yang benar”. Para pendokong fahaman Wahdatul Wujud berteraskan ajaran Martabat Tujuh yang dipelopori seorang Sufi, Sheikh Ibnul Arabi semasa zaman kegemilangan kerajaan Islam Andalusia di Sepanyol, abad ke 13 Masihi ini dikira sesat, telah lari daripada pegangan golongan Ahlus Sunnah Wal Jamaah. Nampaknya mereka sependapat dengan ulamak-ulamak dahulukala yang pernah menyokong Ibnu Taimiyah serta muridnya Ibnu Qaiyim al Jauziyah yang hidup segenerasi selepas Ibnul Arabi. Dua tokoh bergelar Sheikhul Islam ini diketahui sering menggunakan kekuatan intelektual dan pengetahuan agama serta Tasawuf yang dimiliki untuk menyanggah, menjatuhkan malah menghukum sesat fahaman Sheikh Ibnul Arabi serta mereka-mereka yang sealiran dengannya.

Malah penulisan-penulisan Ibnu Taimiyah dan Ibnu Qayyim menjadi sanjungan seterusnya pegangan kebanyakan golongan yang anti Tasawuf. Ini bakal menerbitkan fahaman Wahabi pimpinan Muhammad ibnu Wahab abad ke 18 nanti... Pendokong fahaman ini kononnya berjuang “untuk kembali kepada Al Quran dan Hadis” tetapi nampaknya lebih banyak menghukum orang lain sebagai sesat. Hakikatnya, fahaman Wahabi inilah yang digunakan oleh penjajah Barat untuk mengumpulkan sokongan orang Arab demi menjatuhkan kerajaan Mekah, Madinah dan Hijaz yang telah dipimpin oleh para Sharif Mekah, keturunan Rasulullah SAW dari jurai Saidina Hassan selama 800 tahun. Maka sekitar tahun 1924, mereka telah menaikkan seorang ketua Arab Badwi dari keluarga Bani Saud menjadi raja yang menguasai Semenanjung Arab sehingga negeri itu dikenali sebagai Arab Saudi, sempana nama kabilah Badwi ini.

Sebenarnya pihak yang mengaku ingin memperjuangkan Islam ini cuma boneka Barat yang pandai menghabiskan wang, harta serta hak rakyat hasil kekayaan minyak bumi Arab, juga hasil pendapatan daripada berjuta-juta manusia yang mengerjakan Umrah dan Haji. Dan ternyata mereka amat bodoh dalam membela nasib umat Islam terutama di Palestin yang teruk ditindas Yahudi, seringkali dipermain-mainkan Barat.

Ingat tidak peristiwa keruntuhan terowong bawah tanah di Mina, kalau tidak salah, pada tahun 1980an begitu? Atau mungkin lebih tepat lagi tahun 1982 di mana beribu orang umat Islam yang sedang mengerjakan haji meninggal dunia akibat ditimpa runtuhan tanah, juga akibat dipijak jemaah yang panik selepas runtuhan berlaku? Ingat tidak bagaimana pihak berkuasa Arab Saudi cuma menggali lubang-lubang besar kemudian mengaut mayat-mayat yang bertimbun lalu dilemparkan ke dalam lubang-lubang itu sebelum dikambuskan begitu sahaja?

Fikirkan.... Inikah cara para penjaga Tanah Haram Mekah dan Madinah, Khadamul Haramain yang kononnya berperanan sebagai pelindung umat Islam menghormati mayat? Apakah mereka tidak boleh menggunakan cara yang lebih sopan untuk mengebumikan para jemaah yang terkorban lebih-lebih lagi setelah membuat untung berbillion-billion Dolar dengan kedatangan berjuta-juta jemaah yang sanggup membayar beribu-ribu Dolar setiap seorang untuk berada di sana?

———————————————

Rasyid teringat seorang kenalan yang umurnya hampir sebaya ayah, seorang anak cucu keluarga Sharif Mekah terakhir yang sekarang ini menetap di Terengganu. Hamba Allah yang bapanya pernah menjadi seorang ulamak besar negeri itu pernah menceritakan bagaimana para penyokong fahaman Wahabi serta keluarga Bani Saud telah masuk menceroboh rumah keluarganya lalu menghalau mereka keluar. Katanya, datuk saudaranya, Sharif Mekah yang terakhir pula mati ditembak di kepala. Inikah cara orang yang ingin “kembali kepada Al Quran dan Hadis”? Dengan menindas lagi anak cucu keturunan Nabi dan menidakkan hak mereka seperti yang pernah dilakukan orang-orang Bani Umaiyah, juga Bani Abbasiyah suatu masa dahulu? Berani pula menuduh para pewaris Nabi sebagai sesat untuk menghalalkan tindakan mereka merampas kuasa dengan kejam?

Seperti diketahui orang yang mengkaji, Mekah dan Madinah di bawah pemerintahan Sharif-sharif Mekah adalah pusat spiritual, pusat kerohanian seluruh umat Islam... Sepertimana Turki Uthmaniyah pernah menjadi pusat zahir sebuah empayar Islam yang menaungi ummah. Anak muda ini percaya, para Sharif yang mempunyai pertalian darah serta kerohanian dengan Rasulullah SAW itu tentu amat memahami bidang Tasawuf. Mesti mereka tahu akan maksud sebenar fahaman Martabat Tujuh yang dipelopori Ibnul Arabi walaupun mereka tidak membincangkannya secara terus terang sehingga boleh dipandang sesat oleh orang yang kurang faham... Lagipun intipati ajaran itu sebenarnya sama sahaja dengan intipati mana-mana pengajian Tasawuf sejati peringkat tinggi atau Muntahi.

Sepertimana orang tua berketurunan Aceh di Perak yang selalu menjadi rujukan Rasyid pernah menceritakan, Rasulullah SAW pernah ditanya: “Anta Ahad ya Rasulullah (Anda Yang Esa iaitu Yang Satu, Ya Rasulullah)?”

Lalu baginda memberikan sebuah jawaban yang ringkas tetapi penuh makna: “Ana Ahmad bil Amim (Aku Ahmad tanpa Mim atau huruf M)”

Dalam satu peristiwa yang serupa, Nabi Muhammad SAW juga pernah ditanya soalan yang sama maksudnya: “Anta Rabb ya Rasulullah?”
Lalu dijawab baginda. “Ana Arab bil Ain (Aku Arab tanpa Ain)”

Mereka yang faham makna sebenar Tauhid serta kaedah-kaedah mendalami hakikat keEsaan seperti muroqabah dalam Tauhid Af’al, Tauhid Asma, Tauhid Sifat dan Tauhid Zat tentu faham rahsia di sebalik jawaban-jawaban Rasulullah SAW ini. Kalau tidak faham, eloklah bertanya kepada guru yang mursyid supaya tidak salah faham, takut dihukum sesat nanti.

Seorang lagi orang tua di Perak yang sering menjadi tempat rujukan Rasyid dalam memahami rahsia agama ada menyebut bahawa fahaman “Martabat Tujuh” yang mempunyai kaitan mendalam dengan fahaman Wahdatul Wujud atau Wujudiyah ini cuma mengEsakan Allah dengan sebenar-benar keEsaan iaitu sebenar-benar Tauhid, itu sahaja… Ia bukannya fahaman baru yang dicipta kemudian (selepas Rasulullah SAW wafat) untuk memandai-mandai seperti dakwaan mereka yang kurang faham.

Orang tua bertaraf ulamak yang tidak suka dirinya diperbesar-besarkan walaupun sesetengah orang menganggapnya sebagai seorang manusia bertaraf wali ini memberitahu fahaman “Martabat Tujuh” cuba menghuraikan kaitan sebenar antara Allah SWT dengan ciptaan-ciptaannya, daripada Arash, Kursi, Loh Mahfuz sampailah ke Insan ataupun manusia. Ia cuma satu kurikulum ataupun kaedah untuk memahami bagaimana Allah Yang Satu lagi Maha Esa itu boleh menZahirkan keWujudannya ke alam ini melalui satu proses ‘penurunan’ atau tanazulat martabat wujud peringkat demi peringkat hingga menjadi alam yang nampak... Daripada Zat boleh turun ke Sifat, ke Nama-nama, ke Af’al ataupun perbuatan, kemudian ke Athar ataupun kesan. Lalu daripada perbuatan-perbuatan dan kesan-kesan kekuasaan Allah ini terbitlah makhluk yang berbagai-bagai.

Kesimpulannya, semuanya daripada Allah belaka. Fahaman ini sekadar menghuraikan tata-tertib bagaimana segala kejadian boleh tercipta. Ibarat laut yang bergelora, ada riak, ada ombak bermacam ragam... Nampak kepelbagaian muncul daripada laut yang satu. Tetapi hakikatnya yang ada cuma lautan itu jua. Tiada apa-apa yang lain berserta dengannya.

“Tapi ingat. Hakikat ini bukan boleh dilihat dengan mata zahir yang nampak kepelbagaian, berbagai warna dan bermacam ragam di sekitar,” orang tua itu memberi amaran. “Ia hanya boleh dilihat dengan mata batin yang hidup dan terang. Hanya mereka yang betul-betul sampai kepada penglihatan yang sebenar lagi haq sahaja nampak hakikat ini... Orang yang pada pandangannya, segala makhluk telah ghaib ataupun fana’.”

Orang tua itu memberi satu contoh:“Ibarat orang yang pengsan tetapi berdiri dengan mata terbuka. Mungkin ada berbagai-bagai benda di hadapannya, ada orang, ada binatang, ada bangunan, ada berbagai ragam dan warna. Tetapi dia tidak nampak semua itu. Yang dia nampak semuanya sama, tidak ada bezanya. Cuma satu keSatuan, satu keEsaan yang tidak dapat diceritakan dengan lisan. Mulut terkedu bila hendak bercerita.”

Malangnya manusia yang dapat melihat hakikat ini amatlah sedikit. Yang lain setakat mengajuk sahaja agar dianggap tinggi kerohaniannya...

“Kebanyakan orang mengaku ‘sudah sampai’ kepada Penciptanya, mengaku telah melihat Allah Yang Satu serta faham hakikat kejadian alam sedangkan perbuatan mereka adalah jauh panggang daripada api. Mereka tertipu oleh ego sendiri sehingga sanggup mengaku diri mereka itulah Yang Satu. Alam inipun dikatakan Yang Satu. Kononnya alam dan Tuhan telah bersatu... Mereka lupa Allah itu ‘Laisakamislihisyai’un, tidak boleh diserupakan dengan apa-apa pun. Lalu jatuh sesat dan zindiqlah mereka.”

Pening juga Rasyid memikirkan semua ini. Rasanya dia dapat memahami apa yang cuba disampaikan. Apapun, orang tua itu mengingatkan, orang yang betul-betul memahami Martabat Tujuh tidak akan meremehkan Syariat lalu meninggalkan Solat. Tidak seperti orang-orang sesat tetapi mengaku sudah ‘sampai’ kepada Allah yang mendakwa tidak perlu lagi bersolat kerana sudah kenal siapa itu Allah, siapa itu dirinya sendiri. Kononnya mereka sentiasa berada dalam keadaan bersolat, solat 24 jam ataupun solatun da’imun, solat yang berkekalan sedangkan hakikatnya mereka cuma malas bersolat lalu ingin mencari berbagai-bagai alasan.

“Inilah orang-orang yang perasan sudah tinggi pencapaian kerohanian lalu lupa adab hamba kepada Yang Maha Pencipta,” kata orang tua itu. “Kerana merasakan dirinya dengan Tuhan itu sama, mereka sanggup menghalalkan perbuatan songsang seperti minum arak, membunuh, menipu dan berzina atas alasan semuanya adalah perbuatan Allah jua!”

Orang-orang sebegini memang layak dihukum kerana merosakkan akidah awam. Merekalah yang menyebabkan fahaman Martabat Tujuh serta Wahdatul Wujud ataupun Wujudiyah dilabelkan sesat.

“Tetapi itu tidak bermakna mereka patut terus dihukum bunuh,” katanya merujuk kepada apa yang pernah berlaku di Aceh dahulu. “Mereka perlu ditarbiyah terlebih dahulu atau diasingkan daripada orang ramai.”

Maka itu Nuruddin yang dikatakan cukup tinggi pengajian Tasawufnya patut lebih memahami dan tidak terus menghukum Sheikh Hamzah Fansuri, Sheikh Shamsuddin Pasai serta para pengikutnya sebagai sesat apalagi menghalalkan pembunuhan mereka. Apakah orang yang dianggap ulamak besar ini tidak mempunyai sifat pemaaf? Atau dia sebenarnya gila kuasa dan sadistic, seronok melihat para pengikut lawannya dibunuh dan fahaman itu dihapuskan langsung daripada bumi Aceh?

(Hmm... Aku yakin Nuruddin ini ada kepentingan peribadi yang tersendiri. Sebab itu dia beriya-iya benar mahukan para pengikut Martabat Tujuh serta fahaman Wahdatul wujud dihukum bunuh... Tetapi bagaimana mahu diutarakan ini ya? Ya Allah! Berikan aku petunjuk. Berikan aku kalam lancar yang dapat menerangkan duduk letak perkara ini dengan jelas supaya terungkai segala sebab-musabab... Sebab musabab yang akan menyebabkan Aceh jatuh daripada dalam sebelum ia jatuh dari luar pula... Satu kejatuhan yang akan menyebabkan umat Islam di bumi Melayu ini hilang sebuah kuasa besar yang mampu membelanya lalu terjajah pula!)

Mereka yang mengaku ‘neutral’ iaitu berada di pihak berkecuali (atau kurang nampak apa yang tersirat di sebalik pertembungan Nuruddin dengan Hamzah Fansuri serta Shamsuddin Pasai dan para pengikut mereka?) menganggap apa yang berlaku di Aceh itu tidak lebih daripada satu pertembungan fahaman ataupun ideologi antara dua pihak. Pada mereka, perbezaan fahaman Wahdatul Wujud yang mengEsakan segala sesuatu di dalam Allah dengan Wahdatul Shuhud yang dikatakan melihat Allah dan alam sebagai dua perkara yang berbeza adalah pertembungan dua sudut pandangan sahaja... Sepertimana sederet rumah teres kelihatan seperti satu rumah jika dipandang daripada sisi tetapi nampak terang memiliki banyak pintu jika dipandang dari hadapan pula!

Ada di antara mereka mengibaratkan pertembungan itu seperti perbezaan mazhab dalam menafsirkan sesuatu perkara, satu menyebut batal air sembahyang apabila bersentuh suami isteri, satu lagi tidak. Masing-masing ada nas-nas dan hadis tersendiri untuk menyokong kefahaman mereka. Maka itu, kedua-dua pihak boleh dikatakan benar dalam penilaian masing-masing. Dalam konteks ini, pertembungan dua pihak di Aceh itu boleh dikatakan sebagai satu pertembungan yang tidak dapat dielakkan kerana perbezaan interpretasi sahaja. Cuma telah diTakdirkan ia menjadi begitu kalut sehingga beribu orang dijatuhkan hukuman bunuh... Sementara kitab-kitab Sheikh Hamzah Fansuri dan Sheikh Shamsuddin Pasai dibakar di hadapan Masjid Baitul Rahman. Semuanya sekadar mangsa keadaan. Tiada pihak yang harus dipersalahkan...

(Boleh ke dimulakan perkara dengan penerangan sebegini? Ah... Rumit sungguh hendak menyatakan apa yang terbuku di hati...)

Nuruddin diketahui mempunyai kefahaman yang jitu tentang ilmu Tasawuf termasuk fahaman Martabat Tujuh sekurang-kurangnya dari segi falsafah. Ulamak dari Gujerat ini telah mengarang tidak kurang daripada 25 kitab agama Islam semasa di Aceh dan dia telah mengemukakan alasan-alasan yang agak bernas untuk menolak fahaman Wujudiyah.

Nuruddin juga dikatakan seorang Sheikh atau mahaguru dalam Tariqat Rifaiyah yang diasaskan Sheikh Ahmad Rifai 1181 Masihi. Malah ada yang menyebut beliau berasal daripada anak cucu keturunan Rasulullah SAW, daripada keluarga Al Aidrus. Apa yang menjadi persoalan, adakah dia betul-betul jujur hendak memperbetulkan akidah orang Aceh atau hamba Allah ini sebenarnya mempunyai motif-motif lain?

Perkara ini pernah ditimbulkan beberapa pengkaji sejarah dan alim ulamak serta golongan intelektual seperti Professor Naguib Al-Attas, penulis buku The Mysticism of Hamzah Fansuri yang melihat ada sesuatu yang tidak kena tentang tindakan Nuruddin mengeluarkan fatwa mengharamkan ajaran Hamzah Fansuri dan menghukumnya sesat. Sepertimana seorang ulamak boleh sahaja arif dalam segala ilmu agama tetapi menggunakan kebolehan dan kelebihannya untuk menjual ayat-ayat Quran demi mendapatkan harta, pangkat, pengaruh dan kepercayaan orang ramai, mungkin fatwa itu sebenarnya mempunyai motif-motif materialistik dan keduniaan semata-mata? Rasyid melihat ada tanda-tanda menunjukkan Nuruddin ingin menentukan hala-tuju pemerintahan Aceh di samping menaikkan nama sendiri sebagai seorang ulamak serta penulis serta pemikir besar alam Melayu.Nuruddin seolah-olah mahu menjadikan kerajaan itu sebuah Banana Republic yang boleh diperintahnya secara mutlak dengan Sultan Iskandar Thani sebagai boneka yang akan menurut segala fatwanya sementara semua lawan mahu dihapuskannya. Seperti kata pepatah Melayu lama: Bila helang tiada, belalang pula mengaku helang.

Apabila segala lawan sudah berjaya dihapuskan, pegangan Wahdatul Wujud mereka dipadamkan sementara beribu kitab berkaitan terutama karangan Sheikh Hamzah Fansuri dan Sheikh Shamsuddin Pasai dibakar di hadapan Masjid Baitul Rahman, dapatlah dia mengangkat dirinya sendiri sebagai juara serta ‘penyelamat’ Aceh. Lalu apa hendak dihairankan jika namanya nanti diabadikan sebagai seorang daripada empat ulamak terbesar Aceh? Sedangkan kebanyakan kitab yang tinggal zaman itu adalah kitab-kitab karangannya belaka. Kitab mana pula yang dapat mencabarnya?

Rasyid teringat apa yang pernah berlaku dahulu ketika masih berkhidmat sebagai seorang wartawan akhbar berbahasa Inggeris terkemuka di ibukota. Tersebutlah kisah seorang hamba Allah, bekas ahli politik yang pernah menjadi salah seorang manusia paling berkuasa di Malaysia, manusia yang pernah mengangkat diri sendiri sebagai the best Prime Minister Malaysia never had, Perdana Menteri terbaik yang Malaysia tidak pernah berpeluang memilikinya. Begitulah penilaiannya terhadap dirinya. Siapa pula yang dapat menyanggah apabila dia memegang kuasa?

Atas sebab-sebab tertentu, orang ini pernah terbuang daripada persada politik negara tetapi setelah lama hidup di dalam twilight zone, dia telah diberi peluang untuk memegang sebuah jawatan tertinggi dalam syarikat akhbar ini, sebuah jawatan yang sangat tinggi daripada segi organisasi syarikat tetapi tidak mempunyai kuasa langsung dalam dunia kewartawanan yang ditentukan oleh sidang pengarang. Semasa itu, akhbar ini baru sahaja mengalami krisis tertentu yang menyebabkan ketua pengarang tertinggi ditamatkan perkhidmatannya. Lalu hala-tuju akhbar mula ditentukan empat orang penasihat yang baru dilantik, terdiri daripada empat nama besar dunia kewartawanan yang sangat disegani ramai.

Entah kenapa, mungkin kerana berjaya mempengaruhi pemerintah tertinggi negara ketika itu, selepas setahun “bermain-main” di belakang tabir, hamba Allah alias the best Prime Minister ini dikurniakan jawatan tertinggi sidang pengarang. Orang mengantuk disorongkan bantal, kucing disuakan ikan… Jika dari segi politik, dia sudah lama “ketinggalan bas”, tidak memilik apa-apa lagi peluang untuk menjadi PM waima untuk bermimpi meletakkan kaki di kerusi paling empuk Putrajaya sekali pun, kini manusia ini telah berjaya mendapatkan kedudukan kewartawanan tertinggi yang dikira paling prestij di tanah-air memberikannya peluang untuk mencorakkan suasana politik tanah-air melalui jalan lain pula…

Seperti cerita Nuruddin di Aceh dahulukala, rancangannya memegang kuasa tidak akan dapat dilakukan sepenuhnya jika ada manusia lain yang boleh menentukan hala-tuju berita atau menulis lebih baik di dalam ruangan-ruangan pojok yang berpengaruh. Maka misi pertamanya setelah mendapat kuasa hampir mutlak adalah menamatkan perkhidmatan empat orang penasihat ternama yang pernah menjadi lagenda dunia kewartawanan... Ini dilaksanakannya dengan “penuh takzim” lagi ‘berhemah’. Lalu para penasihat inipun dikeluarkan atas alasan entah apa-apa...

‘Prime Minister’ yang tidak ubah seperti seorang Nuruddin moden ini juga telah menamatkan ruangan pojok bekas pengarang tertinggi dahulu yang sudah berpuluh tahun mewarnai akhbar itu. Sepertimana kitab-kitab Hamzah Fansuri dan Shamsuddin Pasai dibakar di hadapan Masjid Baitur-Rahman, begitu juga dilakukannya terhadap ruangan pojok seorang pengarang lain yang baru beberapa bulan bertapak kembali di sebuah akhbar nasional berbahasa Melayu yang juga dikuasai syarikat yang sama.Hasilnya, tidak ada wartawan lain mampu menandingi ‘keunggulannya’ dalam menganalisa peristiwa semasa serta mengemukakan pendapat-pendapat yang mampu mempengaruhi hala-tuju pemerintahan negara.

Kedua-dua ruangan pojok utama akhbar berbahasa Inggeris serta akhbar berbahasa Melayu yang seiring dengannya berkemampuan tinggi untuk membentuk public opinion atau pendapat orang-ramai kerana memiliki ramai pembaca golongan atasan. Malah ia mampu menjana halatuju polisi pentadbiran Parlimen dan jemaah Menteri! Nuruddin moden inipun mula mewarnai buah pemikirannya dengan pengalaman lama bergaul dengan berbagai pemimpin utama dunia juga zaman persekolahannya di sebuah sekolah berasrama penuh yang dikira paling elit di Malaysia.

Peluang menentukan segala isi cerita digunakan untuk menaikkan profail diri sendiri dalam dunia sosial elit the rich and famous dan jetsetting life. Ini membolehkannya terus bergaul dengan pemimpin politik dan perniagaan tertinggi malah pihak istana dan para raja! Orang luar terutama masyarakat pembaca yang tidak mengetahui permainan ala Machiavelli matlamat menghalalkan cara mengkaguminya sebagai sebagai seorang pemikir hebat yang ikhlas berjuang untuk menaikkan taraf agama, bangsa dan negara, juga seorang elit luarbiasa. Permainan wayangnya begitu licik sehingga apabila hala-tuju pemerintahan negara menunjukkan tanda-tanda lebih menjurus kepada penghayatan agama, hamba Allah ini mula menggunakan gambar dirinya berlatar-belakangkan masjid di dalam ruangan-ruangan pojoknya malah sudah pandai mengutarakan ayat-ayat Al-Quran dan Hadis pula!

Apa yang mereka tidak tahu, dia telah banyak menggunakan duit syarikat untuk menampung kehidupan elit yang merangkumi sesi minum happy hours di kelab-kelab ekskusif. Malah mengikut kata sesetengah wartawan, hamba Allah ini boleh pula membelanja kawan-kawan minum arak yang termahal dalam majlis syarikat! Tetapi siapa pula boleh membuka tembelangnya? Maklumlah, the best prime minister Malaysia never had!

Tersebut pula kisah seorang lagi bekas ahli politik yang juga pernah menjadi seorang manusia paling berkuasa tanah-air. Oleh kerana skop kerja Rasyid sebagai wartawan seringkali menemukannya dengan wajah-wajah terkemuka negara termasuk the Prime Minister that Malaysia actually have, Perdana Menteri yang Malaysia memang miliki, tidak dapat tidak, satu hari nanti dia akan bertembung juga dengan bekas ahli politik yang suatu masa dahulu memang sudah begitu hampir menjadi Perdana Menteri. Lalu mereka pernah dua tiga kali terserempak dan bertegur-sapa…

Kebetulan pemuda ini termasuk di dalam golongan manusia yang tidak hairan, gugup apalagi gementar berhadapan manusia-manusia sebegini... Dia sudah banyak kali duduk bersila di atas lantai dengan sekadar memakai seluar cerut dan t-shirt di hadapan Perdana Menteri tetapi masih boleh lagi bertukar kata-kata dengannya tanpa rasa rendah diri mahupun segan-silu. Di kala mereka yang memakai full-suit lengkap segalanya untuk kelihatan lebih berwibawa pun boleh terdiam hilang suara, Rasyid tetap yakin dengan diri sendiri. Maka dia tidak teruja apabila bekas ahli politik yang pernah (malah masih) dikagumi ramai dan pernah menjadi mentor ramai nama-nama besar ini datang duduk di sebelahnya bertanyakan khabar...

Ketika itu, Rasyid baru sahaja selesai menemu-ramah seorang personaliti terkenal berkenaan sukan berkuda sedangkan hamba Allah ini pula berada di meja bersebelahan. Mereka pun bertukar-tukar cerita... Cerita punya cerita, terkeluarlah kisah the best Prime Minister yang ketika itu baru sekitar dua bulan menaiki takhta dunia kewartawanan.

Mendengarkan ini, the almost Prime Minister (memang dia hampir menjadi seorang Perdana Menteri sebelum hilang kedudukannya) di sebelah pun berkata (dalam Bahasa Inggeris): “Oh… Dia rupanya. Kalau begitu kamu kirim-salam padanya. Katakan, tidak usah penat-penat menulis, ruangan pojoknya itu lebih elok diberi kepada kamu sahaja.”

Pemuda itu tahu ini cuma satu gurauan sahaja. Rasyid biasa bertegur-sapa dengan bekas ahli politik yang seorang lagi terutama ketika menghisap rokok di koridor pejabat lalu kembali tanpa rasa risau untuk menyampaikan pesanan ini. Apabila terserempak dengannya, dia memberitahu yang dia baru sahaja berjumpa dengan the almost prime minister...

“Dia kirim-salam kat you!” kata Rasyid selamba.

Hamba Allah yang seorang lagi ini tersenyum.“Tunggu sekejap,” katanya untuk menyelesaikan sesuatu.”Nanti I datang...”

Lima minit kemudian, baru dia bertanya: “Hah… Apa katanya?”

Sekali lagi pemuda ini dengan selambanya (dalam Bahasa Inggeris) memberikan pesanan tanpa diedit : “Dia cakap Tan Sri tidak usah penat-penat menulis, ruangan pojok Tan Sri lebih elok diberikan pada saya.”

Rasyid bercakap dalam nada gurauan. Tak sangka pula the best Prime Minister ini sensitif lalu ‘meletup’. Dia membesarkan suara dengan marah sehingga hampir setengah pejabat penuh wartawan boleh mendengar dengan terang. Cuma Rasyid sahaja yang terus buat muka selamba...

“Orang itu, orang itu ya (bercakap tentang the almost Prime Minister). Ah… Dia pandai bercakap sahaja. Aku boleh beri dia ruang menulis seberapa banyak yang dia mahu. Tetapi aku tahu dia tidak pandai menulis!”

Rupa-rupanya, peristiwa itu telah membuatkan hamba Allah ini menjadi “lebih teliti” terhadap pemuda itu. Ini nampaknya dilakukan secara senyap... Mereka masih lagi bertegur-sapa seperti biasa apabila terserempak, belum ada tanda-tanda bahawa ada pihak yang menyimpan hati. Maka Rasyid meneruskan kehidupan biasa tanpa memikirkannya.

Seingatnya, cuma ada satu sahaja peristiwa menunjukkan the best Prime Minister Malaysia never had ini telah mula curiga terhadap diri dan latar-belakang Rasyid... Apabila dia secara terang-terangan tetapi dalam nada bergurau memberitahu beberapa orang pengarang kanan akhbar sambil menudingkan jari ke arah anak muda ini : “Watch out for this guy, he is … (tidak boleh disebut nama)’ alter ego!” Makna zahirnya berjaga-jagalah… Budak ini adalah bayang-bayang bekas ahli politik sangat berpengaruh yang dimaksudkan. Siapa lagi kalau bukan the almost Prime Minister... Mungkin kerana menyedari pemuda ini mempunyai ramai kenalan yang bukan calang-calang orang walaupun dia cuma seorang wartawan biasa?

Rasyid yang sedang berdiri di sebelah tersenyum sahaja. Begitu juga pengarang-pengarang kanan yang telah lima tahun mengenalinya.Tetapi di sebalik kata-kata itu mungkin tersirat makna lebih mendalam yang menyatakan anak muda ini juga mempunyai cita-cita politik yang tinggi... Mungkin dia adalah anak didik ahli politik tersebut di samping menjadi “mata, telinga dan mulutnya”. Ini tidak mustahil kerana pengarang tertinggi akhbar yang pernah menjadi seorang pemimpin pelajar itu pernah menyimpan cita-cita besar untuk menguasai dunia politik sejak zaman sekolah lagi. Malah dia pernah mengaku memasuki bidang kewartawanan ketika muda sebagai langkah mendekati ahli-ahli politik berpengaruh.

Memang dunia kewartawanan boleh digunakan sebagai stepping stone atau batu loncatan untuk cepat naik dalam dunia politik. Ia memberikan ruang untuk seseorang itu dikenali golongan pemerintah lebih-lebih lagi jika orang itu petah berkata-kata serta berkeyakinan tinggi. Maklumlah, sudah menjadi lumrah kehidupan biasa seseorang pemberita untuk membuat liputan majlis-majlis eksklusif yang cuma dihadiri orang-orang tertentu. Tidak lama kemudian, hamba Allah ini ‘diangkat’ oleh pemerintah negara paling berkuasa zamannya untuk menjadi wakil urusannya.

Kepercayaan serta jawatan yang diberi telah menyebabkan dia sendiri menjadi salah seorang manusia paling berkuasa di Malaysia, seorang gatekeeper atau penjaga pintu keluar-masuk paling utama ke persada kekuasaan. Ini memberikannya pengaruh tidak terhingga... Maka itu tidak mustahil jika dia menduga, Rasyid juga mempunyai niat yang sama? Jika the best Prime Minister mampu melakukannya, mengapa tidak pemuda ini?

Peristiwa gurauan Rasyid yang menyebabkan the best Prime Minister naik angin itu mungkin boleh dianggap kecil.... Tetapi ia mempunyai makna tersirat yang lebih mendalam apabila seseorang itu tahu, bekas ahli politik ini pernah malah mungkin masih lagi bermusuh dengan bekas ahli politik seorang lagi yang dikatakan rapat dengan pemuda itu. Ini sebenarnya sudah sangat ternyata, terang lagi bersuluh apabila hamba Allah ini melatah setelah anak muda kelahiran Muar, Johor ini menyampaikan pesanan bekas ahli politik itu yang seolah-olah menyindir dia tidak pandai menulis. Lalu dalam keadaan seorang Nuruddin moden mahu menggenggam sebuah institusi yang amat berpengaruh demi menghidupkan kembali cita-cita politiknya sendiri, kali ini lebih kepada menjadi kingmaker yang boleh menentukan siapakah yang bakal memegang teraju pemerintahan negara melalui pengaruh besarnya ke atas media massa, apakah dia cuma akan membiarkan Rasyid terus mengembangkan karier di akhbar itu?

Apakah the best prime minister sanggup membiarkan seorang pemuda cerdas yang diketahui mempunyai kenalan-kenalan yang sangat berpengaruh di persada politik tanahair terus menjadi duri dalam daging? Atau pemuda ini harus dihambat keluar sepertimana para penganut Wahdatul Wujud dan Martabat Tujuh yang dipelopori Sheikh Hamzah Fansuri di Aceh mesti dihapuskan demi “kesejahteraan negara”?

————————————

Rasyid mengaku memang suatu masa dahulu dia pernah menyimpan cita-cita tinggi untuk menceburkan diri ke dalam dunia politik demi menjadi manusia paling berkuasa. Ini bermula ketika berumur 18 tahun... Entah-kenapa, tidak dapat dipastikan apakah sebab sebenarnya, tiba-tiba timbul hasrat ‘gila’ untuk menerbitkan sebuah negara bertamadun tinggi yang rakyatnya sangat sayangkan ilmu, tidak suka kepada perkara remeh-temeh... Satu negara ideal yang dibayangkannya lebih kurang seperti Andalusia di Sepanyol semasa zaman Sheikh Ibnul Arabi 800 tahun dahulu.

Kebetulan pula pemuda ini mula mengenali dunia Tasawuf dalam usia yang sama, selepas membaca syair-syair serta lain-lain karya Wali besar Aceh, Sheikh Hamzah Fansuri yang ada dinukilkan di dalam buku “The Mysticism of Hamzah Fansuri.” tulisan Professor Syed Naguib Al-Attas. Dan kebetulan juga fahaman Wahdatul Wujud yang dipelopori ulamak Melayu ini memang berasal daripada ajaran Ibnul Arabi. Tetapi Rasyid cuma tahu kaitan antara Hamzah Fansuri dengan Ibnul Arabi lebih 12 tahun kemudian. Semasa itu, barulah pemuda ini sedar, negara bertamadun yang diimpi-impikannya pernah wujud di bumi Serambi Mekah 700 tahun lalu, melalui kerajaan Samudera-Pasai yang diasaskan Sultan Malikus Salih.

Apakah yang menyebabkan dia begitu bersemangat mahu menerbitkan negara sebegini ketika berumur 18 tahun sedangkan ketika itu anak muda ini belum pernah terbaca apa-apa cerita mengenainya? Sedangkan dia cuma mengenali kewujudan tamadun Andalusia pun melalui pembacaan lebih dua tahun kemudian... Apakah mungkin ia berkaitan dengan darah Aceh yang mengalir di dalam batang-tubuhnya? Satu fakta yang cuma diketahuinya ketika berumur 33 tahun, lebih 15 tahun nanti?

Apapun, Rasyid menyedari negara seperti ini tidak akan dapat diwujudkan tanpa kuasa dan pengaruh. Maka itulah, dia pernah bercita-cita untuk menceburi dunia politik demi mendapatkan kuasa dan pengaruh yang diperlukan untuk menggapai cita-cita itu. Masalahnya, anak muda ini mempunyai sedikit sikap anti-establishment, tidak suka kepada institusi-institusi sedia ada… Walaupun dia mempunyai pengaruh yang kuat ke atas rakan sebaya kerana sifatnya yang outspoken, berani berkata-kata, cerdas malah dikenali sebagai seorang genius sejak zaman sekolah rendah, pemuda itu tidak pernah menganggotai apa-apa persatuan pelajar. Dia lebih senang menjadi seorang pelajar popular yang dikenali ramai... Atau menurut kata-kata seorang pensyarah dahulu, suka jadi infamous, terkenal kerana nakal!

Selain mengetuai pasukan pengakap di sekolah rendah dan menengah sebelum keluar tanpa sebab, Rasyid tidak berminat untuk berkecimpung di dalam mana-mana persatuan berdaftar dan apa bentuk organisasi. Tetapi dia sedia melawan naluri anarchy ini jika itulah yang diperlukan untuk menerbitkan negara bertamadun tinggi yang menjadi cita-cita ‘gilanya’.

Malangnya, anak muda ini mula terasa jijik terhadap dunia politik apabila melihat beberapa rakan lama sanggup mengorbankan prinsip ideal yang lalu untuk memasuki parti-parti politik dengan tujuan bersifat material. Dia meluat melihat gelagat mereka sanggup menggunakan kelebihan sebagai pelajar insitusi luar negara yang sering diwar-warkan sebagai bakal pemimpin negara menyimpan cita-cita yang padanya amat keji... Cita-cita untuk mendapatkan peluang perniagaan malah merembatnya daripada orang lain yang kurang mempunyai saluran dan kedudukan, juga meraih durian runtuh pink-slip, saham 30 persen Bumiputera yang diagih melalui projek pengswastaan agensi-agensi kerajaan dan penubuhan syarikat-syarikat baru oleh para pelabur luar di Malaysia awal tahun 90.

Rasyid rasa hendak termuntah melihat mereka yang pandai menggunakan kata-kata memukau khalayak ramai dengan niat yang kononnya murni, untuk memperjuangkan agama, bangsa dan negara... Mengaku ikhlas serta memiliki rasa kasih-sayang sejati sedangkan mereka cuma memperdagangkan ayat-ayat Quran dan Hadis-hadis Nabi...

Orang-orang ini amat ghairah untuk mengetuai parti-parti politik atau cawangan-cawangannya malah sanggup merampas kuasa persatuan pelajar, kononnya kerana orang ramai memerlukan khidmat mereka. Chis! Bohong semata... Mereka sebenarnya ingin meraut kuasa dan keuntungan wang ringgit demi memuaskan ego menjadi manusia hebat sentiasa. Lalu sanggup memperkudakan badan-badan ini sebagai power base, pengkalan untuk memantapkan pengaruh dan membentuk public opinion supaya boleh meningkat naik sehingga menjadi Perdana Menteri suatu hari nanti.

Rasyid menjadi semakin disilussioned, tidak tahu arah hala-tuju kehidupannya apabila melihat dunia semakin dikuasai orang-orang buruk. Tidak disangka, cita-citanya untuk menerbitkan sebuah negara bertamadun tinggi masih boleh dicapai tanpa menceburkan diri ke dalam dunia politik yang dianggapnya najis... Melalui satu saluran baru pula…

—————————

“Betullah cakap kamu Rasyid,” kata Nasri setelah membaca sedikit tulisan pemuda itu yang mempersoalkan motif Nuruddin berada di Aceh.“Memang Nuruddin ada tujuan tersembunyi. Lihat kitab Bustanus Salatin atau Taman Raja-raja yang dikatakan ditulis Nuruddin atas arahan Sultan Iskandar Thani. Ia memberi pujian yang berlebihan terhadap Sultan. Dalam Bab II Fasal 13 yang menceritakan sejarah Aceh, 46 daripada 52 halaman telah digunakan untuk mengagung-agungkan Iskandar Thani. Beberapa banyak halaman pula telah digunakan untuk menceritakan tentang pembuatan, perarakan dan istiadat tegak batu nisan Iskandar Thani yang mangkat semasa zamannya? Adakah ini semua perlu diceritakan kepada khalayak ramai atau Nuruddin hendak menyatakan kesetiaannya terhadap balu Sultan yang menaiki takhta selepas itu?” dia menyoal pula.

Nizam yang telah menelaah Bustanus Salatin dua hari sebelum pertemuan mereka memotong dengan menyatakan Fasal 12 kitab itu pula dikarang untuk memuji Iskandar Thani daripada sudut lain... Dengan menceritakan sejarah dan asal usul keSultanan Melaka yang mana satu cabangnya telah menerbitkan keSultanan lama Pahang lalu membawa kepada cerita Iskandar Thani semasa kecil, seorang anak Raja Pahang.

“Maka ‘kelebihan’ yang ada pada Iskandar Thani sehingga boleh dibuat anak angkat Iskandar Muda kemudian jadi menantunya, kemudian diangkat pula menjadi Sultan Aceh telah diceritakan Nuruddin dengan mendakwa bahawa Iskandar Muda menakluki negeri Pahang (tahun 1617 ketika Iskandar Thani berumur 7 tahun) adalah kerana ‘Allah hendak melakukan iradatNya kepada seorang hambaNya seperti Allah hendak mengurniakan kerajaan Mesir kepada Nabi Yusuf yang tinggal di Kan’an.’ Nampak sangat ada unsur-unsur bodek,” katanya meluat...

“Mungkin Nuruddin cuba mencontohi gaya penulisan Hikayat Aceh yang amat mengagung-agungkan Iskandar Muda?” Azlan, kawan Nizam yang baru kali kedua menyertai ‘panel’ ini masuk mencelah pula.

“Tidak juga,” jawab Rasyid yang selalu menyokong Aceh dan Sultan-sultannya. “Pada pengamatan aku, cerita dalam Hikayat Aceh memang setimpal dengan ketokohan, kewibawaan serta bakat semulajadi Iskandar Muda. Baginda memang seorang prodigy, seorang manusia pilihan yang mempunyai bakat semulajadi luarbiasa. Ini nampak nyata sejak kanak-kanak lagi... Melalui kebolehannya memimpin kanak-kanak lain dalam strategi peperangan walaupun ia cuma permainan olok-olok sahaja.”

“Fikirkan dengan teliti!” pemuda itu meneruskan hujah. “Sejak sebelum berumur 12 tahun lagi Iskandar Muda sudah pandai menunggang kuda dan gajah, dapat mengalahkan orang yang jauh lebih dewasa dan lebih berpengalaman. Ketokohannya ini terbukti apabila khidmatnya diperlukan untuk menangani penceroboh negara iaitu penjajah kufar Portugis walaupun baginda belum pun mencapai umur 18 tahun ketika itu!”

“Adakah ini berkenaan cerita Iskandar Muda dipenjarakan kerana dituduh cuba merampas takhta Aceh daripada bapa saudaranya, Sultan Muda yang kurang berwibawa,” Nasri menyelit pula.

“Betullah itu,” jawab Rasyid. “Akhirnya baginda terpaksa dilepaskan juga untuk mematahkan serangan Portugis. Tugas ini berjaya dilakukan Iskandar Muda pada usia yang sebegitu muda dan pada tahun yang sama, selepas kemangkatan Sultan Muda, baginda menaiki takhta untuk memulakan apa yang diakui semua masyarakat Aceh malah pemerhati sejarah Nusantara seluruh dunia sebagai zaman kegemilangan Aceh.”

Sejarah rasmi yang diakui mencatatkan, pada zaman pemerintahan Sultan Iskandar Muda lah Aceh berjaya menakluki hampir seluruh Nusantara. Perbincangan ilmu terutama mengenai agama Islam pula berkembang pesat sementara kesusasteraan Melayu mencapai satu tahap di mana Aceh diakui sebagai tempat bermulanya kemajuan penulisan bahasa Melayu oleh para sasterawan juga para pengkaji Bahasa Melayu.

Kitab-kitab yang muncul masa itu tidak terkira banyaknya. Ini termasuk hasil penulisan Sheikh Hamzah Fansuri dan Sheikh Shamsuddin Pasai. Maka itu, tidak hairanlah jika Hikayat Aceh menceritakan perkembangan hidup baginda dari tahun ke tahun sejak berumur tiga tahun lagi... Pada umur 18 tahun, ketika kebanyakan lelaki baru hendak mengenali erti kedewasaan, baginda telah menunjukkan kebolehan serta keupayaan semulajadi yang akan mengangkat dirinya menjadi seorang penakluk besar.

Maka itu juga jalan hidupnya dihuraikan sebegitu rupa. “Ibarat menceritakan kisah seorang prodigy, ” dia mengemukakan pendapat. “Selalunya mereka telah menunjukkan bakat luar biasa sejak kecil lagi... Sepertimana pemain muzik dan komposer terkenal Wolfgang Amadeus Mozart berjaya mengkagumkan pihak istana Vienna dengan bakatnya bermain violin dan piano dengan begitu lancar malah menggubah komposisi classical yang mampu melangkaui kehebatan irama ciptaan komposer diraja Salieri yang jauh lebih berpengalaman walhal Mozart masih budak lagi.”

“Bandingkan semua ini dengan ‘pencapaian’ Iskandar Thani,” Rasyid bertanya pula. “Eh... apakah pencapaiannya?” tiba-tiba anak muda ini bertanya lagi dengan gaya loyar buruk. Sudah gaharu cendana pula…

“Kamu nampaknya tidak suka kepada Sultan Iskandar Thani,” Azlan menegurnya. “Kalau ia pun, janganlah terlalu emosional!”

“Yalah!” jawab Rasyid dengan nada marah bercampur kecewa. “Pada zamannya banyak jajahan takluk Aceh mula melepaskan diri. Beribu orang pula dibunuh kerana menganut fahaman Wujudiah yang sudah menjadi pegangan rakyat Aceh dan para rajanya sejak dahulu lagi sementara karya-karya berharga Sheikh Hamzah dan Shamsuddin dibakar dan dimusnahkan di hadapan Masjid Baitul Rahman. Apakah ini patut dibanggakan?”

“Hmm… Kata-kata kamu itu betul juga,” produser gameshow itu memberi jalan. “Tetapi cuba kamu lihat daripada sudut positif pula. Baginda juga ada sumbangannya. Sultan Iskandar Thani lembut hati, tidak bersikap keras seperti Iskandar Muda. Baginda bertindak bijak dengan tidak mengamalkan dasar perluasan kuasa seperti bapa mertuanya sebaliknya telah melepaskan negeri-negeri yang pernah ditakluki Iskandar Muda dengan menjalinkan hubungan diplomatik secara lembut lalu menggunakan kuasa pemerintahannya dengan adil dan memperkemaskan hukum agama yang telah diperkenalkan oleh Iskandar Muda. Lagipun bukankah kitab Bustanus Salatin menyebut baginda berjaya membersihkan Aceh daripada fahaman yang sesat lagi bida’ah?” dia bertanya pula.

“Sesat? Bida’ah?” Rasyid mula panas. “Kalau tak faham mengaku sahajalah tak faham! Jangan menuduh orang lain sesat, apa lagi mengambil nyawa dengan sewenang-wenangnya. Pada aku, tidak ada apa-apa kejayaan pernah dicapai Iskandar Thani selain meneruskan pemerintahan yang diberikan kepadanya... Tidak ada kehebatan boleh dibanggakan untuk menonjolkannya sebagai seorang Sultan Aceh yang patut dikenang sepanjang zaman kecuali menjadi pengganti Iskandar Muda. Itu sahaja!”

Nasri, Nizam dan Azlan merenung muka masing-masing. Nampaknya rakan mereka telah mula naik angin… Biarlah dia melepaskan geram...

“OK. Katakanlah si Iskandar Thani ini memang benar-benar hebat. Tak tahulah di manakah kehebatannya tetapi katakanlah memang dia hebat...” Rasyid meneruskan. “Mungkin kerana dia telah menjalankan hubungan diplomatik yang lebih lembut dengan negeri-negeri Melayu lain berbanding era Iskandar Muda yang dikatakan seorang penakluk kuku besi.”

“Maka terbit pula satu persoalan: Bagaimana atau kenapakah seorang manusia yang diakui sebagai seorang ulamak, seorang Mufti dan Qadi Malikul Adil kerajaan Aceh yang sepatutnya menjadi ulamak yang terbaik dalam kerajaan boleh melampau dalam memuji rajanya? Apalagi jika ini keluar daripada seorang ulamak yang dianggap sebagai satu daripada empat ulamak utama Aceh zaman-berzaman! Adakah ini sifat seorang ulamak?” katanya merujuk kepada Nuruddin Al-Raniri yang dianggapnya bertanggungjawab melemahkan Aceh daripada dalam.

“Aku tidak hairan jika seorang pujangga, penyair mahupun sasterawan memuji-muji raja dengan melampau... Sehingga satu bab mengenai sejarah Sultan-Sultan Aceh hampir dipenuhi puji-pujian ini. Itu memang sifat orang sastera yang kata-katanya sering berbunga-bunga melampaui realiti. Tetapi daripada seorang ulamak? Sesiapa sahaja yang pernah membaca tulisan Nuruddin mengenai Iskandar Thani dalam kitab Bustanus Salatin boleh nampak puji-pujiannya itu sudah sampai ke tahap ‘membodek’, sudah melampaui batas! Apalagi bila Iskandar Thani sebenarnya tidak pernah mencapai apa-apa kejayaan yang layak diwar-warkan.”

Rasyid berhenti sebentar . Baru mendapat ‘ilham’ agaknya...

“Entah-entah nama Iskandar Thani itupun si Nuruddin ini yang beri tidak?” dia bertanya dengan nada sinis sehingga keningnya ternaik-naik. “Untuk menggambarkan ‘kebesarannya’ sebagai Sultan Aceh yang terhebat selepas Sultan Iskandar Muda? Kerana perkataan Thani itu bermakna ‘kedua’, daripada perkataan Arab ‘Isnin’ ataupun ‘Isnaini’? Atau mungkin nama Iskandar, satu nama besar yang sering dikaitkan dengan Raja Iskandar Zulkarnain yang pernah memerintah dunia itu sendiri ‘diberi’ oleh pembodek besar bernama Nuruddin al-Raniri ini kerana sepanjang keSultanan Aceh yang meliputi 700 tahun sejarah dan menerbitkan lebih 50 orang Sultan, cuma mereka berdua sahaja yang memakai nama ini. Pelik juga sedangkan ada lagi Sultan-sultan Aceh lain yang lebih hebat seperti Sayyid al-Mukammil dan Ali Mughayat Shah!”

Melihatkan Rasyid semakin panas, Nasri pun bergegas ke dapur lalu kembali dengan dua kotak besar pizza Domino perasa seafood bersama sebotol besar Pepsi. “Kita minum dulu!” dia mengubah topik dengan gaya kanak-kanak dalam iklan susu. Rakan-rakan turut mengajuk sama...

———————————

Memang Rasyid cukup marah apabila mengenangkan apa yang telah berlaku di Aceh semasa Nuruddin mempunyai pengaruh. Pada pemuda itu, tulisan Nuruddin dalam Bustanus Salatin yang menyatakan penaklukan Sultan Iskandar Muda ke atas Pahang, tanah tumpah darah asal Iskandar Thani adalah kerana “Allah hendak melakukan iradatNya kepada seorang hambaNya seperti Allah hendak mengurniakan kerajaan Mesir kepada Nabi Yusuf yang tinggal di Kan’an” adalah satu bentuk sanjungan yang melampaui batas. Apakah Iskandar Thani itu layak disamakan dengan Nabi Yusuf yang berjaya menyelamatkan Mesir daripada kebuluran kerana tafsiran Nabi Allah itu yang tepat terhadap mimpi Raja Mesir yang melihat tujuh sapi gemuk dimakan tujuh sapi kurus? Rasanya tidak...

Pada Rasyid apa yang sebenarnya telah dicapai Iskandar Thani untuk melayakkannya dipuji sebegitu tinggi oleh Nuruddin sehingga 46 daripada 52 halaman mengenai sejarah Aceh yang ada di dalam kitab Bustanus Salatin digunakan untuk mengagung-agungkan Iskandar Thani adalah menjayakan agenda Nuruddin sendiri untuk muncul sebagai ulamak dan sasterawan terkemuka Aceh zaman itu. Di kala kitab-kitab Hamzah Fansuri dan Shamsuddin Pasai serta hasil kerja mereka yang sealiran sudah hancur dimusnahkan sementara para pendokong fahaman Wujudiyah dibunuh dan bakinya hilang ketakutan atau menyepikan diri, karya-karya Nuruddin pula muncul mengambil tempat utama untuk menaikkan namanya di persada keilmuan Aceh. Bukan itu sahaja... Karya-karyanya muncul mendadak mendapat nama di seluruh bumi Melayu memandangkan Aceh telah pun diakui sebagai sebagai pusat kesusateraan serta keilmuan terunggul di bumi Timur sejak zaman pemerintahan Sultan Iskandar Muda!

Cengkamannya terhadap Istana Aceh pula menjadi semakin kuat dengan hilangnya orang-orang yang boleh menggugat kedudukannya. Walaupun perkara ini tidak disentuh kebanyakan pengulas sejarah Aceh, ia disedari oleh sesetengah ilmuwan moden... Sebab itu, Rasyid pernah terbaca, tidak ingat di mana, ada para pengkaji sejarah dan peminat sastera yang percaya bahawa Bustanus Salatin atau Taman Raja-raja ditulis semata-mata untuk mengampu Iskandar Thani... Ini dilakukan di samping cuba menandingi sebuah lagi kitab ketatanegaraan yang telah terlebih dahulu mendapat tempat di hati masyarakat dan Istana Aceh iaitu kitab Tajus Salatin atau Mahkota Raja-raja yang dikarang oleh seseorang yang cuma dikenali sebagai Bukhari al Jauhari, sekitar 1603 Masihi.

Para pengkaji ini juga menyebut, Bustanus Salatin yang mengandungi begitu banyak unsur ‘pembodekan’ yang nyata tidak berjaya menandingi pengaruh Tajus Salatin yang dikatakan adalah saduran daripada kitab-kitab ketatanegaraan Parsi. Apa yang disentuh kitab karangan Nuruddin telah lebih dahulu diketengahkan Bukhari al Jauhari dengan lebih petah dan berkesan. Lagipun kitab Tajus Salatin jauh lebih jujur isinya dalam menganjurkan raja-raja dan para kerabat mereka terutama bakal pemerintah supaya mematuhi amalan-amalan tertentu... Semuanya untuk membentuk pemimpin berwibawa yang disayangi rakyat, bukan setakat alat untuk menunjukkan kepandaian (kononnya!) lalu mengangkat seorang raja…

(Ah... Geramnya Rasyid memikirkan apa yang berlaku...)

Well, anyhow, I’m sorry Mr. Nuruddin. As far as I’m concerned, despite what others might say about you, to me you sought to destroy the integrity of the country of my forefathers by trying to undermind the core faith that had made it such a great nation. For that, you deserve my sincerest condemnation… You can go to .... (terpaksa dipadamkan kerana perkataan yang ingin diluahkan ternyata amat kasar sekali!)

4 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Salam. Sebaik nya, kalau ingin mengatakan Hamzah dan Shamsuddin dengan faham wahdatulujud nya betul, belajar dulu...kalau ingin mengatakan nuruddin dengan faham nya salah, juga belajar dulu...lepas tu tanya rasa dan diri!

Radzi Sapiee berkata...

Wassalam. Perkara sudah ditimbang-tara dengan mendalam dan itulah yang saya rasa. Bab ilmu Wahdatul Wujud itu benar atau tidak adalah satu hal... perlu dilihat juga faktor politik semasa, apakah ada kepentingan2 tersembunyi sedang memainkan peranan. Kalau betulpun fahaman Hamzah dan Shamsuddin tidak betul, ada cara lebih baik memperbaiki keadaan, bukan dengan fatwa yang menghalalkan darah sesama Islam.

Pendekkata cara Nuruddin menangani perkara ini boleh dipersoalkan. Orang2 seperti Prof Sayid Naguib Al-Attas dan Ustaz Wan Saghir pun pernah menganalisa apa yang berlaku lalu berpendapat memang tidak patut Nuruddin berbuat apa yang sudah dibuat di Aceh. Cuma saya sahaja yang mungkin melangkah lebih jauh dengan menyebut dalam buku bahawa Nuruddin telah memperalatkan keadaan untuk menonjolkan ketokohan diri sendiri dan ini akhirnya membawa kepada kejatuhan Aceh dari dalam.

Tanpa Nama berkata...

Betul cakap anon 12:01. Perbuatan mengatakan nuruddin memperalatkan keadaan dan menonjol kepada ketokohan diri sendiri, lebih merupakan anggapan sendiri, yg sebabnya perlu dianalisa dalam diri sendiri.

Tidak mungkin ada org yg boleh tau apa yg tersirat didalam hati seperti yg diperkatakan untuk menonjol ketokohan.

Malah perbuatan memburuk2an dan membuat pelbagai tuduhan di kala org itu tiada utk mempertahankan diri, dilihat sebagai perbuatan yg tidak mulia atau disandarkan dari hati yg tidak bersih dan kurang ilmu.

eddy632 berkata...

Bab kata engku sang nila utama,
payung dah bersedia, perahu pun juga....
hanya menanti hujan turun....