-----------------
Anak kelahiran Muar, Johor ini pergi ke tempat tidur lalu menyelongkar jam tangan di dalam bumbag yang ditinggalkan di sebalik sebuah tiang seri. Ait? Baru pukul 4.34 pagi. Sedangkan tadi dia terbangun jam 4, terpinga-pinga sebentar sebelum keluar rumah... Nampak pula kabus tebas begitu indah, duduk sejenak di atas batu hampar, kemudian baru ke sungai mengambil wuduk, lalu bersolat kemudian berwirid di atas sejadah. Ini semua memakan masa sekurang-kurangnya 20 minit. Jadi berapa lamakah dia sudah ‘mengembara’ tadi? Takkanlah setakat 14 minit?
“Ah… Jangan peduli semua ini…” hatinya menegur. “Aku juga yang selalu menyebut jangan terlalu berkira tentang masa. Pasrahlah menerima segala-galanya… Bukankah Tuhan boleh berbuat apa sahaja?”
Dalam keadaan anak muda ini masih lagi cuba mencerna segala yang berlaku pagi buta itu, tiba-tiba terasa bergema sepotong Ayat Al-Quran di dalam dada. Walaupun tidak pernah menghafal ayat tersebut, seketika itu juga dia dapat memahaminya, Ayat ke 55 Surah An-Nur yang bermaksud:
Allah telah menjanjikan bagi orang-orang yang beriman di antaramu, dan mengerjakan yang baik-baik, bahawa Allah akan mengangkat mereka jadi khalifah di muka bumi, sebagaimana orang-orang dahulu telah menjadi khalifah; dan Allah akan menetapkan agama mereka (Islam) yang diredhaiNya untuk mereka, dan akan mengganti ketakutan mereka dengan keamanan. Mereka menyembah Aku, dan tiada mempersekutukan Daku denga suatu juapun. Barang siapa yang kafir sesudah itu, mereka itulah orang fasik.
Seterusnya bergema pepatah Melayu lama: “Bila helang tiada, belalang pula mengaku helang” disusuli teguran: “Kamu tidak boleh membiarkan orang-orang buruk akhlak terus menipu masyarakat dan mempermainkan agama, bangsa dan negara. Kamu mesti mengembalikan yang haq!”
Secara spontan anak muda berdarah Aceh itu menganggukkan kepala. “Saya sudah faham Nek! Saya sudah faham segala-galanya dengan terang. Saya akan pikul amanah ini,” terpacul perkataan dari mulutnya.
Kali ini Rasyid telah mendapat satu pemahaman yang sangat mendalam akan makna sebenar kehidupan disertai semangat baru dan azam yang kukuh untuk menunaikan beberapa perkara yang sudah lama tertunda. Pemuda ini sudah begitu lama hidup dalam keadaan seperti menyorokkan diri di dalam selimut... Cuba tidak mengendahkan apa yang berlaku di sekeliling akibat terlalu asyik dengan dunia sendiri di samping mencari jawaban kepada segala persoalan yang membelenggu jiwa selama ini....
Ya... Dia sudah tahu apa yang patut dilakukan sekarang. Rasyid akan kembali ke pangkuan masyarakat untuk memikul beberapa cabaran, terutama amanah yang pernah disebut Nenek! Untuk meneruskan perjuangan luhur keluarga dan nenek-moyangnya demi menegakkan agama, bangsa dan negara dengan jiwa yang tenang, Insyaallah tanpa perlu berlaku keras atau melukakan sesiapa. Dan kali ini dia pasti Nur akan menempohnya bersama, sebagai permaisuri yang akan menyokong dan berada di sisinya sampai akhir nanti… Insyaallah! Allahuakbar!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan