Manakan dapat sagu kalau tidak dipecahkan ruyungnya?
Manakan dapat mutiara yang berkerlipan jika takut menyelam ke lautan dalam.
Dalam diri setiap manusia, ada seketul daging.
Jika baik ia, maka baiklah seluruh jiwa manusia itu.
Jika buruk ia, buruklah juga manusia itu...
Seketul daging itu adalah hati,
mari kita lapangkan dada dan belajar mengIKHLASkan hati.
Perjalanan seribu batu bermula dengan satu langkah.
Marilah meneroka dunia pemikiran hamba.
Silakan

Video klip yang tertera boleh dianggap sebagai pembukaan kepada dunia pemikiran dan kesukaan hamba...







-------------------------


-------------------------



Segala yang dipaparkan menggambarkan pemikiran penulis yang turut terserap di dalam setiap penulisan buku dan artikel. Lihat Cara-cara mendapatkan buku tulisan Merah Silu @ Radzi Sapiee. Di atas adalah satu klip video selama hampir setengah jam yang merupakan demo pilot episode yang mahu digunakan untuk mencadangkan satu siri pengembaraan menyusuri sejarah Melayu Islam sekeliling Nusantara untuk siaran televisyen. Entah mengapa ia menemui masalah. Kemudian penulis diberitahu konsepnya diciplak sebuah stesyen televisyen. Lihat Kembara Sejarah Islam Nusantara : The original material...



Ini adalah klip video ulasan buku ketujuh saya "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" berserta temuramah yang dibuat siaran langsung di Selamat Pagi Malaysia, RTM1. Lihat Siaran langsung ulasan buku "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" dan temu ramah di Selamat Pagi Malaysia.



Penulis juga pernah diminta membuat pembentangan mengenai siri buku "Berpetualang ke Aceh" di Masjid Sultan Salahuddin iaitu masjid negeri Selangor di Shah Alam. Lihat Buku "Berpetualang" dan himpunan ulamak Nusantara yang diketuai ulamak Aceh


-------------------------



Siri novel "Berpetualang ke Aceh" boleh didapati dalam bentuk e-book. Masuk http://www.e-sentral.com/, klik kategori novel am dan taip perkataan "Aceh" pada kotak carian. Atau terus klik Buku 1,Buku 2 dan Buku 3.





Gambar ketika menghadiri satu majlis ilmu, diambil oleh sebuah akhbar harian. Lihat Menghiasi Kosmo Alam Melayu...



Penerbitan trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" juga membawa penulis untuk terlibat dengan banyak majlis ilmu. Rujuk kumpulan links artikel di bawah tajuk "Siri Refleksi Sejarah", pada bahagian paling bawah kiri blogspot, . Penulis juga agak aktif dalam aktiviti-aktiviti kedaulatan Melayu dan Islam, dapat menganjurkan majlis-majlis sendiri di merata Semenanjung Malaysia membawa ke luar negara di Aceh. Lihat blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


Ketika menulis perenggan ini 4 Mei 2015 penulis sedang berusaha untuk mengembangkan isi 3 buku dalam siri "Berpetualang ke Aceh" menjadi 6 buku yang akan membentuk siri baru dipanggil "Siri Pengembaraan Merah Silu". Sebuah syarikat penerbitan telah bersetuju untuk menerbitkan siri lama itu kembali dalam bentuk yang lebih segar - Setiap buku asal dipecah menjadi 2 buku baru yang ditambah maklumat, gambar dan peta berwarna-warni.Pertengahan September 2015 buku pertama siri baru pun selamat diterbitkan. Seminggu lebih kemudian penulis berpeluang bercakap tentangnya secara siaran langsung dalam televisyen lalu membawa wakil penerbit bersama. Lihat video di bawah :-





Awal tahun 2015 turut menyaksikan penulis diambil menjadi penyelidik dan hos satu siri dokumentari yang dipanggil "Daulah Melayu". Projek 13 episod sepanjang sejam setiap satu ini mahu mengenengahkan formula untuk mengembalikan kekuatan bangsa Melayu. Insyaallah projek iakan membawa penulis untuk mengembara ke merata di Malaysia dan Indonesia juga ke beberapa negara dan tempat di Eropah termasuk ke kota London, tempat penulis mengambil ijazah matematik 1991-1995. Siri dokumentari ini dijangka siap untuk tayangan televisyen dalam tempoh 2 tahun.


Pada 13 Mei 2023 buku ke 13 + 1 penulis (pertama setelah yang ke-13 terbit tahun 2019 lalu mula memberikan tumpuan pada pengajian pascasiswazah di ISTAC iaitu Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam di Bukit Tunku, Kuala Lumpur), Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin & Orang Kaya Arsyad telah dilancarkan oleh sejarawan ulung negara, Profesor Emeritus Datuk Dr Abdullah Zakaria Ghazali di rumah penulis. Lihat Majlis pelancaran buku dan rumah terbuka raya 2023 - Melestarikan semangat perjuangan. Beliau yang bertanggungjawab memberikan kata-kata aluan dalam buku turut menjadi pembicara dalam diskusi yang diadakan di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2023 (berlangsung 26 Mei hingga 4 Jun). Lihat Bicara buku Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin di PBAKL 2023. Diskusi ini terakam dalam video atas diikuti video bawah...



Jumaat, Januari 22, 2010

Buku Inggeris Ahlul Bait Raja-raja Melayu dan faktor 131 juga 313





Maha suci Allah yang mengatur segala-galanya dengan penuh hikmah. Baru pagi tadi saya tersedar senaskah buku Inggeris bertajuk "Ahlul Bait (Family) of Rasulullah SAW & Malay Sultanates) hasil kerja penterjemahan saya telah sampai ke rumah, rasanya sejak hari Rabu. Seperti disebut dalam artikel Pengembaraan Al-Rasyid ke selatan : Kerajaan Johor Lama, waris Empayar Melaka? yang baru disiapkan lebih awal tadi beberapa hari kebelakangan ini saya tiada di rumah kerana bapa mertua baru meninggal dunia. Jadi baru Khamis siang tadi saya mula kembali kepada aturcara harian biasa...

Adapun buku yang baru terbit ini ialah hasil penat lelah saya tahun lepas menterjemahkan teks asal daripada buku "Ahlul Bait (keluarga) Rasulullah SAW dan Raja-raja Melayu" karangan Tun Suzana Othman dan suaminya Hj Muzaffar Mohamad dalam tempoh enam bulan. Selebihnya ia diproses kembali oleh pihak mereka. Kecuali sedikit penambahan beberapa mukasurat termasuk kata-kata aluan dan gambarajah serta gambar-gambar, isinya rata-rata sama dengan apa yang saya buat. Jadi tidak keterlaluan untuk mengatakan ini juga adalah buku saya...

Bayangkan menterjemahkan lebih 400 mukasurat buku dengan 150,000 perkataan berkenaan perkara begitu serius seperti peranan Ahlul Bait dan Raja-raja Melayu dalam menangani keadaan dunia yang sedang dicatur kuasa Yahudi Zionis. Maka itu ada masanya saya terasa begitu penat dan gelisah sehingga terkeluar kata-kata kurang enak dalam artikel Buku Ahlul Bait yang membuat saya pening, rindukan anak dan hal-hal lain... yang dibuat Mei 2009.

Kini apa yang diusahakan sudah pun menjadi buku yang boleh dilihat dan ditelaah orang, rasanya akan masuk ke kedai-kedai buku dalam masa terdekat jika tidak pun sudah berada di rak-rak. Yang menarik saya menerima senaskah buku pada ketika siri cerita "Pengembaraan Al-Rasyid ke selatan" hendak masuk ke bab berkenaan kerajaan Johor Lama. Ini kerana sebahagian besar Raja-raja Melayu yang dikaitkan dengan Ahlul Bait dalam buku ini adalah keturunan Tun Habib, Bendahara kerajaan Johor Lama ketika ia berpusat di Kota Tinggi 300 tahun lalu.

Lagi satu yang menyentak fikiran adalah jumlah mukasurat bernombor iaitu 444. Pada mukasurat 444 itu pula terdapat biodata ringkas diri saya sebagai penterjemah buku. Rasanya mereka yang selalu mengikuti penulisan di blogspot ini tentu tahu betapa nombor 131 memiliki makna tertentu buat diri ini. Nombor 313 pula diketahui umum sebagai angka jumlah tentera Badar, jumlah tentera Thalut melawat Jalut juga jumlah para Rasul. Pada saya, nombor 131 melambangkan "home sweet home", rumahku syurgaku iaitu hasrat peribadi untuk merasai kehidupan bahagia berkeluarga sedangkan 313 ialah nombor yang melambangkan perjuangan membela yang hak untuk satu golongan terpilih.

Adapun 131 dicampur 313 adalah 444. Gabungan hasrat peribadi dengan perjuangan ini menjadi cukup kerana 444 juga membawa kepada 4+4+4 bersamaan 12 iaitu jumlah bulan dalam satu tahun. Kebetulan pada mukasurat 131 buku yang boleh dikira buku terbaru saya ini terdapat carta salasilah ringkas keturunan Wali Songo yang bersambung dengan Rasulullah SAW melalui satu watak Ahlul Bait bernama Sayid Hussein Jamadil Kubra. Pada mukasurat ke 313 pula terdapat gambar Yang di Pertuan Agung sekarang iaitu Sultan Mizan Zainal Abidin.

Tahukan anda bahawa baginda adalah Yang di Pertuan Agung Malaysia yang 13? Perhatikan, nombor 13 terdapat dalam kedua-duanya 131 dan 313 sedangkan 13 juga boleh membentuk 1+3 iaitu 4. Apakah ada maksud yang tersirat?

Apapun saya telah membuat sebuah artikel baru bertajuk My 5th book is out! Ahlul Bait (Family) of Rasulullah SAW and the Malay Sultanates... di blogspot BERPETUALANG KE ACEH . Pada artikel itu terdapat sinopsis dalam bahasa Inggeris seperti yang terdapat pada kulit belakang buku. Sekian, selamat malam! :]

Khamis, Januari 21, 2010

Pengembaraan Al-Rasyid ke selatan : Kerajaan Johor Lama, waris Empayar Melaka?

Manusia merancang namun Allah jua menentukan. Sepatutnya artikel seterusnya dalam siri "Pengembaraan Al-Rasyid ke selatan" ini sudah dibuat paling lewat pun Isnin lalu. Sebaliknya awal pagi Isnin saya dan isteri mendapat perkhabaran bahawa bapa mertua sedang nazak memaksa kami untuk berkejar ke kampung.

Alhamdulillah, sekurang-kurangnya kami sempat berada bersama ketika beliau meninggal dunia pagi sekitar jam 7.30. Lalu 3 hari berikutnya kami terus berada di kampung untuk bersama keluarga menolong dan menghadiri majlis tahlil arwah selama 3 malam berturut. Siang tadi kami terjelupuk kepenatan. Sekarang, setelah berjaya menyiapkan beberapa artikel sokongan di blogspots saya yang lain barulah penceritaan dapat disambung kembali daripada artikel Pengembaraan Al-Rasyid ke selatan : Menyusuri kembali jalan ke Teluk Ramunia dan Tanjung Pengelih . Mari!



Kami meninggalkan Sungai Rengit dan sekitarnya selepas jam 5 petang lalu terus berkejar menghala ke bandar Kota Tinggi...


Dari Sungai Rengit untuk ke Kota Tinggi sendiri menelan hampir 70 km, satu jarak yang cukup jauh melalui jalan bukan lebuhraya sedangkan kami berharap dapat sampai ke sana sebelum Maghrib. Namun ada satu tempat lain yang harus dilawati terlebih dahulu...



Letaknya lebih 10 km daripada jalan besar...



Disebabkan pentingnya tempat ini dalam sejarah ia harus dilawati juga walaupun ini mungkin menyebabkan kami sampai ke Kota Tinggi lewat nanti...


Apakah tempat penting ini? Apakah papan-papan tanda dalam gambar sebelumnya cukup untuk menjawab? Tak mengapalah, biar diberitahu. Tempat ini ialah Kampung Johor Lama, diambil daripada nama satu tempat yang telah wujud lebih dahulu iaitu Johor Lama. Untuk pengetahuan Johor Lama ialah pusat Empayar Johor-Riau. Selepas kejatuhan Kota Melaka ke tangan Portugis tahun 1511 Masihi, Sultan Mahmud Melaka telah berpindah-randah dari satu tempat ke satu tempat kerana terus dikejar musuh.

Baginda akhirnya mangkat di Kampar, Sumatra. Seorang anaknya dinaikkan sebagai pengganti bergelar Sultan Alauddin Riayat Shah, juga dikenali sebagai Sultan Alauddin Riayat Shah II kerana Melaka pernah memiliki seorang Sultan dengan nama yang sama. Sultan Alauddin II inilah yang kemudian membuka pusat pemerintahan baru di Johor Lama, di satu tebing Sungai Johor yang amat luas itu. Maka baginda dikira sebagai pemerintah pertama Empayar Johor-Riau walaupun ada yang menyebut Sultan Mahmudlah pemerintah empayar itu yang pertama kerana sempat merajainya walaupun baginda memerintah dari luar negeri Johor.




Sambil itu terlihat masjid ini, Masjid Kampung Johor Lama. Sebuah artikel bertajuk Masjid (Mosque of) Kampung Johor Lama... telah dibuat di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART) .


Suasana di sini terasa begitu tenang sehingga Al-Rasyid pun suka. Mungkin kerana ia dibina di atas tapak masjid lama yang telah wujud semasa Johor Lama dibuka 500 tahun lalu? Untuk melihat gambar-gambar bekas kota di Johor Lama berserta cerita, masuk ke artikel Kota Johor Lama (Johor old fort). Untuk melihat gambar-gambar sekitar Sungai Johor lihat artikel The immensely wide Johor river - Views from Kampung Johor Lama... , The immensely wide Johor river - Views from the jetty at Johor Lama... dan The immensely wide Johor river - Views from Teluk Sengat... di blogspot BERPETUALANG KE ACEH.


Sekali lagi sukacita dimaklumkan bahawa Kota Johor Lama (Johor old fort) adalah artikel yang ke 313 di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART) . Sebab itu ia dibuat lebih awal iaitu pada 13 Januari atau 13/1/2009. Nampaknya ada sebab kenapa cerita tentang kota ini menjadi yang 313 di blogspot tersebut. Puas melihat Kota Johor Lama dan sekitarnya baru kami terus ke bandar Kota Tinggi, satu komponen terpenting dalam Empayar Johor-Riau.


Dalam perjalanan boleh ditemui simpang masuk ke Seluyut juga Panchor yang juga pernah menjadi pusat Empayar Johor-Riau. Namun cukuplah lawatan ke Kampung Johor Lama untuk meliputi segala warisan yang perlu. Masa terlalu suntuk untuk melawat ke Seluyut dan Panchor, masing-masing juga agak jauh daripada jalan besar. Cukuplah lawatan ke Johor Lama sebagai pusat terawal empayar. Biar pula bandar Kota Tinggi 'memenuhi' apa-apa perkara yang 'terlopong'... kerana di situlah seterusnya Empayar Johor-Riau berpusat untuk beberapa lama...


Kami sampai ke pinggiran bandar Kota Tinggi sejurus sebelum masuk waktu Maghrib...



... terus menuju ke makam Bendahara Tun Habib Abdul Majid yang mana keturunannyalah yang merajai Empayar Johor-Riau selepas tahun 1699. Lalu keturunan ini terus menjadi raja-raja bagi pecahan-pecahan jajahan takluk empayar yang bakal membentuk negeri-negeri Pahang dan Johor moden juga negeri Terengganu seperti kita kenali hari ini. Lihat artikel Lawatan terbaru ke makam Tun Habib (Latest visit to the tomb of Tun Habib) .



Kami juga sempat melawat lagi makam Sultan Mahmud Mangkat Dijulang, pemerintah terakhir Empayar Johor-Riau dari keturunan Raja-raja Melaka. Seperti di Makam Tun Habib, saya sahaja masuk ke dalam, isteri dan anak menunggu di dalam kereta...



Kali ini saya dapat mencari sebuah makam yang dikatakan tempat tertanamnya kucing bertanduk peliharaan kesayangan Sultan Mahmud! Dalam lawatan sebelumnya merangkap lawatan pertama saya ke sini yang dibuat penghujung tahun 2007 saya tidak menemuinya. Rupa-rupanya saya terlupa untuk melihat bahagian belakang bangunan makam.

Biar dimaklumkan bahawa Empayar Johor-Riau itu sendiri turut disebut sebagai Johor Lama. Ini sebagai bandingan kepada Johor moden yang diketahui kini yang mana sempadannya cuma terbentuk selepas terpecahnya Empayar Johor-Riau kepada beberapa negeri dengan pemerintahan sendiri bermula dengan Perjanjian Inggeris-Belanda tahun 1824.



Seterusnya kami singgah di jeti Pengkalan Kota, di hujung jalan di mana terletaknya Makam Sultan Mahmud Mangkat Dijulang...


Di seberang sana ada sebuah makam lain yang ingin dilawati nanti...



Sebelum itu kami singgah dahulu di Makam Tauhid yang terletak tidak jauh daripada Makam Sultan Mahmud. Dalam lawatan ke Kota Tinggi penghujung 2007 saya ada lalu di sekitarnya tetapi tidak sedar akan kewujudannya. Lihat artikel Makam Tauhid (The Tauhid tomb) .



Kemudian baru kami menyeberang sungai melalui jambatan tengah bandar untuk mencari satu makam yang letaknya kira-kira setentang dengan jeti Pengkalan Kota tadi, makam Cik Siti seorang rupawan dahulukala.


Cik Siti ini turut dikenali sebagai Cik Siti Jalang kerana pernah mengahwini 99 orang lelaki yang mana ke semuanya meninggal dunia selepas malam pertama bersama. Cuma lelaki ke 100 sahaja yang dapat bertahan menjadi suami. Namun saya tidak berjaya mencari makam beliau dalam kegelapan malam. Dahlah saya tidak tahu kedudukan sebenarnya, torch-light pun tak bawa. wooo...

Kalau ikutkan mahu sahaja saya terus mencari walaupun keadaan di situ agak menakutkan. Tetapi setelah beberapa lama berjalan meredah semak dengan gangguan salakan anjing-anjing berdekatan apalagi memikirkan isteri dan anak kecil terus menunggu dalam kereta di satu tempat yang sunyi, saya terpaksa mengalah. Mungkin lain kali akan saya temui, mungkin dalam satu lawatan di siang hari?



Tempat seterusnya yang ingin diziarahi adalah makam Laksamana Bentan. Seperti Makam Tun Habib dan Makam Sultan Mahmud Mangkat Dijulang saya tiada masalah untuk mencarinya kerana pernah sampai penghujung 2007.



Oh. Ketika itu sudah masuk malam Khamis sedangkan Jumaat nanti sudah Hari Raya Korban Aidil Adha. Jadi cukuplah makam ini sebagai penutup perjalanan di Kota Tinggi. Ada lagi beberapa tempat lain di Johor yang perlu dilawati sebelum kembali ke Muar.

Kepada sesiapa yang tertanya-tanya kenapa tajuk kecil artikel ini diletakkan tanda soal, kenapa "Kerajaan Johor Lama, waris empayar Melaka?", biar diterangkan. Memang dari segi pewarisan jajahan takluk, kerajaan Johor Lama atau Empayar Johor-Riau itu pewaris Empayar Melaka. Tetapi dari segi kedaulatan raja-raja, rasanya keSultanan Perak lebih layak dikira sebagai pewaris kerana raja-rajanya adalah berketurunan anak Sultan Mahmud Melaka yang lebih tua lagi beribukan darah gahara (ibu berdarah raja) iaitu Sultan Muzaffar Shah I Perak yang beribukan Puteri Onang Kening anak Raja Kelantan. Sultan Alauddin Riayat Shah II yang membuka kota Johor Lama pula beribukan Tun Fatimah anak Bendahara.

Seterusnya Empayar Johor-Riau selepas kemangkatan Sultan Mahmud Mangkat Dijulang diperintah oleh raja-raja dari keturunan Bendahara Tun Habib, Perak pula terus diperintah darah daging keturunan Raja-raja Melaka. Dari segi peranan memartabatkan Melayu dan Islam pula, keSultanan Aceh nampaknya lebih mewarisi dan menghayati peranan Melaka berjihad menentang kuasa-kuasa kufar yang mendatang. Yang menarik, seorang anak Sultan Perak pernah merajai Aceh. Dan Perak terus memiliki raja-raja berketurunan Sultan Melaka hingga kini. Sekian! :]


Jumaat, Januari 15, 2010

Pengembaraan Al-Rasyid ke selatan : Menyusuri kembali jalan ke Teluk Ramunia dan Tanjung Pengelih

Assalamualaikum semua. Rabu lalu saya telah menutup artikel Pengembaraan Al-Rasyid ke selatan : Masjid Sultan, Fort Canning dan deja vu Tanjung Katong di waktu malam... dengan cerita apa yang berlaku setelah cuba mencari perairan Tanjung Katong di Singapura waktu malam. Kami pun terfikir untuk bermalam di negara pulau itu memandangkan kami meninggalkan Tanjung Katong pun sudah hampir tengah malam. Lagipun bapa saudara yang rumahnya kami tumpang bermalam di Pulai selepas meninggalkan Johor Baru (lihat balik artikel Pengembaraan Al-Rasyid ke selatan : Singa yang pura-pura, Makam Habib Nuh dan kisah Radin Mas Ayu...) telah berpesan agar kami bermalam di salah satu rumah 18 orang adik-beradiknya yang berada di Singapura...


Sebaliknya kami bermalam di tempat lain yang letaknya lebih 80 km keluar dari Singapura. Malah sebenarnya kami telah berjalan lebih 150 km untuk ke tempat ini. Kerana satu, kami tersesat jalan lagi ketika mahu meninggalkan Tanjung Katong dan bandaraya Singapura. Kedua, setelah meninggalkan Singapura pula kami tersilap mengambil sebuah lebuhraya baru. Lalu terpaksa mengharunginya sehingga ke penghujung sebelum dapat berpatah-balik ke tempat asal kami memasukinya untuk menyambung kembali perjalanan yang patut.



Akibatnya kami bukan sahaja telah membazirkan masa, perjalanan juga petrol untuk 50 km. Ini belum dikira masa yang habis tersesat di Singapura. Lalu kami sampai ke tempat bermalam selepas jam 3 pagi!



Di manakah tempat kami bermalam ini? Cubalah teka dahulu. Tempatnya memang terkenal dengan pantainya yang panjang dan air laut biru yang mengujakan sedangkan hotel-hotelnya pula memang mahal dan agak mewah. Kalau tidak kerana jasa baik saudara Merbawi, 'tokeh' besar pusat peranginan yang kami kenal kerana selalu melayari blogspot ini, rasanya kami tidak akan menginap di sini. Terimakasih Merbawi kerana memudahkan perjalanan kami...



Seterusnya kami menghala ke selatan untuk menyusuri balik satu perjalanan yang pernah saya buat 12 tahun lalu. Ternampak simpang ke Tanjung Belungkor, teringat pesanan Merbawi bahawa di sebuah bukit di tanjung itulah sebenarnya terletak makam Si Bongkok dari Tanjung Puteri yang terkenal itu. Malah tambahnya, menurut cerita tempatan, Tanjung Puteri yang dimaksudkan bukanlah di Johor Baru tetapi di situ. Rujuk balik artikel Pengembaraan Al-Rasyid ke selatan : Pusara si Bongkok, Tanjung Puteri....

Perjalanan diteruskan walaupun hujan semakin lebat...



Nasib baik tidak lama kemudian hari kembali terang.



OK. Pada awal cerita saya memberitahu ada memikirkan untuk bermalam di Singapura. Jadi kenapa tidak melakukannya? Kenapa pula pergi pusat peranginan malam-malam buta 80 km jauh dari Singapura? Sebenarnya bukan apa. Saya cuma memikirkan masa yang singkat sahaja. Ketika meninggalkan Singapura selepas tengah malam sudah pun masuk hari Rabu. Ada banyak lagi tempat yang ingin kami singgah atau lalui sedangkan esoknya Khamis malam Jumaat kami mesti kembali ke Muar untuk bersedia menyambut Hari Raya Aidil Adha.



Antara tempat yang ingin kami lihat ialah Teluk Ramunia, kiranya di sudut bawah kanan atau paling tenggara di Semenanjung Malaysia. Apa ada di sini? Saya teringat matapelajaran Geografi atau Ilmu Alam di sekolah dahulu, rasanya sukatan Tingkatan Tiga. Dalam buku teksnya ada menyebut Teluk Ramunia adalah satu-satunya pusat perlombongan bauksit di Malaysia, satu bahan yang amat diperlukan untuk membuat aluminium. Lihat pada bukit-bukit kecil merah yang sudah ditarah. Itulah tanah-tanah yang mengandungi bauksit.



Kali pertama dan terakhir saya pernah mengambil jalan di sini ialah 12 tahun lalu, ketika mengembara seorang diri menaiki motosikal besar tahun 1997. Di Teluk Ramunia juga boleh kelihatan banyak kapal berlabuh di luar pantai. Kelihatannya mereka sekadar menunggu giliran untuk memasuki pelabuhan di Singapura. Tetapi satu sumber memberitahu, kapal-kapal ini sebenarnya membuang sisa-sisa toksik yang berbahaya ke perairan Malaysia. Sedangkan ia adalah kapal-kapal yang ada kaitan dengan pulau tempat singa berpura-pura....



Untuk pengetahuan juga Teluk Ramunia ini kedudukannya cuma sekitar 15 km sahaja ke Pulau Batu Putih. Namun Singapura yang terletak 40 km dari situ pula yang dapat menuntut pulau itu lalu meluaskan sempadan perairan mereka. Agak-agaknya sebab apa yek?



Dari Teluk Ramunia kami terus menghala barat ke Sungai Rengit.



Apakah yang istimewa tentang Sungai Rengit? Saya pun tak tahu. Tapi melihat pada patung di dataran tengah pekannya mungkin ada udang gergasi di sini? Kalau dah ada udang gergasi, tak mustahil raksasa Godzila juga ada menyorok di satu ceruk berdekatan agaknya. Heh! :]



Perjalanan menyusuri kembali pengembaraan 12 tahun lalu diteruskan dengan pergi ke Tanjung Pengelih, tempat paling hujung mengikut jalanraya yang ada. Bezanya dahulu saya berjalan seorang diri menaiki motosikal besar, kali ini bertiga bersama isteri dan anak kecil kami Al-Rasyid lebih selesa menaiki kereta...


Dari Tanjung Pengelih ada perkhidmatan feri terus ke Pulau Batam di Indonesia. Terfikir juga mahu ke sana kalau tidak kerana kesuntukan masa. Hmm... mungkin satu hari nanti. Dari Pulau Batam yang terletak di dalam Kepulauan Riau boleh pergi ke Bintan. Kemudian boleh ke Pulau Penyengat di mana terdapat makam-makam keluarga Yamtuan Muda Riau terutama Raja Haji, pahlawan Bugis tersohor abad ke 18 Masihi.





Ada sesuatu yang menarik perhatian saya tentang bukit kecil di sebelah jeti. Rasanya ada kena-mengena dengan perjalanan raja dan pahlawan dahulukala...



Puas melihat Tanjung Pengelih kami pun berkejar ke bandar Kota Tinggi lebih 60 km daripada persimpangan yang ditunjukkan dalam gambar ini. Untuk pengetahuan semua tempat yang dilawati kali ini terletak di dalam daerahnya. Ada beberapa lagi tempat di Kota Tinggi yang diharapkan dapat dilawati sebelum masuk waktu malam sedangkan ketika sampai di persimpangan pun sudah jam 5 petang!


Oh. Sudahkan anda dapat meneka di manakah kami sekeluarga bermalam seperti disebut awal tadi? Belum pasti? Tak mengapa. Lihat artikel-artikel yang dibuat di blogspot BERPETUALANG KE ACEH siang tadi...


Desaru from one of its best resort

Sungai Rengit of Kota Tinggi, the southern-most point of east Johor

Tanjung Pengelih, an entry-point to the Indonesian island of Batam...



Rabu, Januari 13, 2010

Pengembaraan Al-Rasyid ke selatan : Masjid Sultan, Fort Canning dan deja vu Tanjung Katong di waktu malam...


Seterusnya kami pergi ke Masjid Sultan di Kampung Gelam dan sampai ketika masuk waktu Maghrib...


Sudahlah tadi kami asyik tersilap jalan berpusing-pusing di tengah kotaraya Singapura... maklumlah cuba mencari tempat-tempat tanpa peta, sekadar berpandukan ingatan sehingga bila dah dekat beberapa kali terpaksa keluar dari sesuatu kawasan semata-mata kerana tidak mengenali yang manakah jalan sehala yang mana bukan. Bila dah sampai ke masjid pula timbul masalah hendak mencari tempat meletakkan kereta. Dah berpusing-pusing lagi masuk ke ceruk entah ke mana. Akhirnya dapat juga satu kotak letak kereta kosong yang cukup dekat dengan masjid. Letaknya di hadapan sebuah kedai yang tertulis nama Qodariyah Travel. Ada apa-apa makna ke?


Oleh kerana kami sudah sangat lapar dan amat kepenatan, kami makan dahulu di sebuah restoran Islam betul-betul di hadapan masjid. Kemudian baru masuk untuk bersolat, isteri yang belum cukup syarat menunggu di luar menjaga anak, saya pula menjamakkan Maghrib dan Isyak. Lihat artikel Masjid (Mosque of) Sultan, Kampung Gelam di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART) .


Kemudian kami berjalan di sekitar, dalam satu kawasan yang dikenali sebagai Kampung Gelam, dahulunya penempatan utama orang Melayu di Singapura kerana sang Sultan bersemayam di sini...

  Al-Rasyid "berposing" di hadapan sebuah kedai apa entah, muzium kecil ke hapa. Disebabkan ada robot le kasi enter frame...

  Pemandangan Masjid Sultan daripada kawasan kedai-kedai yang kini menjadi tempat pelancongan...

  Ini pula adalah Istana Kampung Gelam, tempat bersemayamnya Sultan Hussain Shah daripada Dinasti Bendahara yang memerintah empayar Johor-Riau setelah kemangkatan Sultan Mahmud Mangkat Dijulang tahun 1699. Baginda bersemayam di Kampung Gelam sejurus sebelum Singapura diambil-alih sepenuhnya oleh Inggeris. Semasa zaman baginda memerintahlah empayar itu terbahagi dua akibat Perjanjian Inggeris-Belanda tahun 1824...

  Kini istana telah dijadikan satu muzium nostalgia pemerintahan Melayu di Singapura. Namun walaupun orang Melayu di sini telah menjadi minoriti yang tersepit oleh kepentingan kaum Cina, saya tetap berbangga melihat mereka rajin mengimarahkan masjid-masjid dan tahu menghormati makam-makam ulamak dan para wali seperti Habib Nuh.

  Seterusnya kami pergi ke Bukit Fort Canning yang kalau tak salah ingatan saya juga disebut sebagai bukit larangan. Sekali lagi saya terpaksa berpusing-pusing mencari jalan masuk walhal letaknya memang di tengah-tengah bandaraya...

  Kalau nak tahu di bukit inilah dahulu terletaknya pusat pemerintahan kerajaan Melayu Singapura lama sebelum munculnya keSultanan Melaka sekitar tahun 1400an gitu. Tetapi sekarang yang ia lebih dipenuhi kesan-kesan peninggalan penjajah sejak muncul si celaka Stamford Raffles yang disebut dalam buku sejarah sebagai orang yang menemukan dan membuka Singapura. Kepala hotak dia! Singapura telah dibuka oleh orang Melayu sejak lebih 700 tahun lalu. Tetapi biasalah, orang lebih percayakan sejarah versi Omputih walaupun mereka secara rata cuma sampai ke rantau ini sekitar 300 tahun lalu...

  Nasib baik ada makam ini, makam Sultan Iskandar Shah berhampiran puncak sebagai warisan masa lampau. Saya pun tak pasti apakah Iskandar Shah ini yang membuka Melaka ataupun ia Iskandar yang lebih dahulu memerintah Singapura. Lalu tidak dapat dinafikan orang Melayu memang pernah merajai Singapura beratus-ratus tahun dahulu. Namun melalui pembacaan sejarah Fort Canning yang dibuat ketika sampai ke sini siang hari tahun 2006 (lihat artikel kompilasi Mengenang lawatan spontan ke Singapura 2006...), ini cuba diperkecilkan juga dengan menyatakan Singapura sebagai satu jajahan takluk kecil kerajaan Ming Cina.

  Dari Bukit Fort Canning boleh kelihatan cahaya gemerlapan bandaraya. Lihat artikel Singapura city at night... yang baru dibuat di BERPETUALANG KE ACEH tadi. Oh, kenapa ia juga disebut sebagai bukit larangan? Kerana seluruh puncak teratasnya telah dipagar-tutup di mana orang awam dilarang memasukinya. Zahirnya ia tempat terlarang kerana ada tangki air besar untuk kegunaan penduduk. Maka orang awam dilarang memasukinya kerana takut sabotaj agaknya. Batinnya pula... hmm. Saya rasa di puncak itulah letaknya istana dengan pusat pemerintahan kerajaan Melayu Singapura dahulukala. Apakah mereka takut ia dibuka kembali mungkin secara batin? Yalah... mengikut ilmu Feng Shui orang Cina pun, kita mampu mengubah keadaan sesuatu bangsa dengan memposisikan diri dan menguasai sesuatu tempat strategik yang aliran chi nya atau tenaga semulajadinya kuat.

  Isteri saya pula teringin sangat hendak melihat perairan Tanjung Katong yang terkenal dalam lirik lagu... "Di Tanjung Katong, airnya biru...". Saya pun cuba menunaikan hajatnya. Pusing punya pusing yang jumpa cuma bangunan pejabat, kedai, kompleks membeli-belah dan rumah pangsa. Rupa-rupanya perairan Tanjung Katong sudah lama ditambak menjadi daratan. Saya pun mencari kawasan laut paling dekat. Di sinilah saya pertama kali deja vu dalam pengembaraan Al-Rasyid ke selatan ini...

  Deja vu terus berlaku sambil saya berjalan melihat sekitar meninggalkan isteri dan anak yang menunggu sahaja dalam kereta. Ketika itu sudah hampir tengah malam, biarlah mereka berehat. Rasanya adalah juga 10-15 minit saya 'mengulangi kembali pengalaman lalu' walhal inilah kali pertama saya sampai ke sini. Nampaknya ada sesuatu yang perlu dirungkai tentang tempat ini nanti. Tak mengapalah. Kita tunggu dulu ilham itu datang dengan sendiri! Nota: Oleh kerana hari ini Al-Rasyid baru masuk umur 3 bulan iaitu pada 13 haribulan Januari, saya pun mencukupkan jumlah artikel di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART) menjadi 313. Seharusnya artikel bertajuk Kota Johor Lama (Johor old fort) yang menjadi artikel ke 313 itu cuma dibuat 4 hari lagi. Tapi biasalah... saya mengambil peluang mengikut alamat-alamat yang ada makna tersendiri...