Video klip yang tertera boleh dianggap sebagai pembukaan kepada dunia pemikiran dan kesukaan hamba...
Daripada artikel Bertungkus-lumus ke Beting Beras Basah
Daripada artikel Makam Syiah Kuala... dan makam Maharajalela Abdul Rahim...
Daripada artikel Masjid lama misteri, makam Sultan Abdul Malik dan kubur Birch
-------------------------
-------------------------
Segala yang dipaparkan menggambarkan pemikiran penulis yang turut terserap di dalam setiap penulisan buku dan artikel. Lihat Cara-cara mendapatkan buku tulisan Merah Silu @ Radzi Sapiee. Di atas adalah satu klip video selama hampir setengah jam yang merupakan demo pilot episode yang mahu digunakan untuk mencadangkan satu siri pengembaraan menyusuri sejarah Melayu Islam sekeliling Nusantara untuk siaran televisyen. Entah mengapa ia menemui masalah. Kemudian penulis diberitahu konsepnya diciplak sebuah stesyen televisyen. Lihat Kembara Sejarah Islam Nusantara : The original material...
Ini adalah klip video ulasan buku ketujuh saya "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" berserta temuramah yang dibuat siaran langsung di Selamat Pagi Malaysia, RTM1. Lihat Siaran langsung ulasan buku "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" dan temu ramah di Selamat Pagi Malaysia.
Penulis juga pernah diminta membuat pembentangan mengenai siri buku "Berpetualang ke Aceh" di Masjid Sultan Salahuddin iaitu masjid negeri Selangor di Shah Alam. Lihat Buku "Berpetualang" dan himpunan ulamak Nusantara yang diketuai ulamak Aceh
-------------------------
Siri novel "Berpetualang ke Aceh" boleh didapati dalam bentuk e-book. Masuk http://www.e-sentral.com/, klik kategori novel am dan taip perkataan "Aceh" pada kotak carian. Atau terus klik Buku 1,Buku 2 dan Buku 3.
Gambar ketika menghadiri satu majlis ilmu, diambil oleh sebuah akhbar harian. Lihat Menghiasi Kosmo Alam Melayu...
Penerbitan trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" juga membawa penulis untuk terlibat dengan banyak majlis ilmu. Rujuk kumpulan links artikel di bawah tajuk "Siri Refleksi Sejarah", pada bahagian paling bawah kiri blogspot, . Penulis juga agak aktif dalam aktiviti-aktiviti kedaulatan Melayu dan Islam, dapat menganjurkan majlis-majlis sendiri di merata Semenanjung Malaysia membawa ke luar negara di Aceh. Lihat blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).
Ketika menulis perenggan ini 4 Mei 2015 penulis sedang berusaha untuk mengembangkan isi 3 buku dalam siri "Berpetualang ke Aceh" menjadi 6 buku yang akan membentuk siri baru dipanggil "Siri Pengembaraan Merah Silu". Sebuah syarikat penerbitan telah bersetuju untuk menerbitkan siri lama itu kembali dalam bentuk yang lebih segar - Setiap buku asal dipecah menjadi 2 buku baru yang ditambah maklumat, gambar dan peta berwarna-warni.Pertengahan September 2015 buku pertama siri baru pun selamat diterbitkan. Seminggu lebih kemudian penulis berpeluang bercakap tentangnya secara siaran langsung dalam televisyen lalu membawa wakil penerbit bersama. Lihat video di bawah :-
Awal tahun 2015 turut menyaksikan penulis diambil menjadi penyelidik dan hos satu siri dokumentari yang dipanggil "Daulah Melayu". Projek 13 episod sepanjang sejam setiap satu ini mahu mengenengahkan formula untuk mengembalikan kekuatan bangsa Melayu. Insyaallah projek iakan membawa penulis untuk mengembara ke merata di Malaysia dan Indonesia juga ke beberapa negara dan tempat di Eropah termasuk ke kota London, tempat penulis mengambil ijazah matematik 1991-1995. Siri dokumentari ini dijangka siap untuk tayangan televisyen dalam tempoh 2 tahun.
Pada 13 Mei 2023 buku ke 13 + 1 penulis (pertama setelah yang ke-13 terbit tahun 2019 lalu mula memberikan tumpuan pada pengajian pascasiswazah di ISTAC iaitu Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam di Bukit Tunku, Kuala Lumpur), Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin & Orang Kaya Arsyad telah dilancarkan oleh sejarawan ulung negara, Profesor Emeritus Datuk Dr Abdullah Zakaria Ghazali di rumah penulis. Lihat Majlis pelancaran buku dan rumah terbuka raya 2023 - Melestarikan semangat perjuangan. Beliau yang bertanggungjawab memberikan kata-kata aluan dalam buku turut menjadi pembicara dalam diskusi yang diadakan di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2023 (berlangsung 26 Mei hingga 4 Jun). Lihat Bicara buku Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin di PBAKL 2023. Diskusi ini terakam dalam video atas diikuti video bawah...
Khamis, November 23, 2006
Laksamana kembali ke Perak
Selasa, November 21, 2006
Makna Mim dalam Melayu
At Sunday, November 19, 2006 5:40:50 AM, RatuKama said...
hmmm..sedar tak sedar telah jauh kita berjalan..dan pengalaman membawa kita kesini..ada satu pertanyaan dr hamba kepada tuan ..apakah MIM yang Tuan maksudkan dalam sepanjang tulisan Tuan itu?
Pertanyaan ini nampaknya timbul kerana si penanya pernah membaca postings saya dalam Forum CVT di mana setiap posting diakhiri dengan signature: Mengembalikan Mim dalam Melayu. Maka saya jawab begini:
At Sunday, November 19, 2006 9:57:30 AM, Radzi Sapiee said...
Hmm... Bab Mim tu saya pernah terangkan dalam Forum CVT.Tak apa, nanti saya cerita lagi bila dapat gerak, insyaallah dalam posting seterusnya kat sini yek...
Selepas itu saya terlupa langsung bab ini sampailah ke hari ini apabila ternampak komen ini:
At Tuesday, November 21, 2006 1:29:02 AM, RatuKama said...
orait tima kacih..ada bbrapa pertanyaan sebenarnya tp ini yg kuat ..dr sisi tuan ( dr kajian Tuan ) adakah mim yg dimaksudkan telah menepati/sampai/melengkapi/sempurna sesuai apa yg dikehendaki Allah sendiri ..maksud hamba dr proses yg telah brjln dr sejak zaman kembalinya Yang Terpuji ke sisiNya?
Saya baru hendak menjawab begini:
Hmm... Kalau saudari (ke saudara?) Ratukama dah tanya tentang Yang Terpuji, maka saudara/saudari sudah tahu le apakah yang dimaksudkan sebagai Mim...Secara umumnya, banyak anak-cucu Mim dah tak layak dibangsakan sebagai Ahlul Bait tapi masih ada yang menggenggam amanah. Yang pasti, Imam Mahdi adalah keturunan Mim... Dan tapak daulah akhir zaman besok pun disediakan anak cucu Mim.... Maka Mim tetap akan relevan dan tetap ada anak cucu Mim yang akan membawa panji-panji kebangkitan Islam walaupun ramai yang sudah lupa akan amanah dalam darah-daging mereka sendiri... Sekian!
Tetapi apabila difikirkan balik, bukankah lebih elok dikongsi beramai perbincangan ini? Maka itu saya tidak jadi mengeposkan komen itu sebaliknya buat cut and paste untuk memulakan posting ini pula. Cuma tidak ada gerak untuk menjawab persoalan ini dengan lebih teratur maka saya buat posting ini dengan cara copy and paste komen yang diberi dan selepas ini dengan mencari posting relevan yang pernah saya buat dalam Forum CVT... Tunggu sebentar...
Hmm... Bila diteliti balik, rasa tidak sesuai pula postings dalam forum dimasukkan terus ke sini kerana formatnya lain dan apa yang terjadi dalam forum adalah hasil on-going discussion... Maka itu biar saya copy and paste lebih kurang sahaja... Daripada thread bertajuk
Di manakah kekuatan bangsa Melayu dalam Forum CVT
Forumer Tarawis menyebut: Assalamualaikum... kekuatan bangsa melayu terletak pada mim... wallahu 'alam. wsm.
MerahSilu menjawab: Hmmm... Betul kata anda itu Tarawis. Mim...
Tapi adakah kita berpegang pada mim itu sekarang, Muhammad? Apakah yang dikatakan berpegang pada mim jika sesetengah pengajian mengaitkan Qarin (kembar setiap manusia yang berbangsa jin) dikatakan sebagai roh yang berjalan malah ada yang berani kata itulah Muhammad yang berada dalam diri kita?
Biar saya beri apa yang saya tahu...
Kekuatan bangsa Melayu dalam mim ini terletak kepada penerimaan Tasawuf sejati berdaulat (bukan tempias mengarut yang diamalkan dalam sesetengah perguruan) dari peribadi-peribada zat mulia Ahlul Bait yang lari dari Timur Tengah akibat pergolakan politik dan diburu Bani Umaiyah juga Bani Abbasiyah lalu diterima oleh penduduk tempatan di Nusantara (baca balik beberapa sedutan buku "Berpetualang ke Aceh" yang saya post di CVT). Maka bangsa Melayu juga mendapat berkat naungan langit atas sebab memuliakan haq keluarga Nabi yang tersirat dalam setiap salawat terhadap Nabi - Allahumasaliala Muhammad wa ala ali Muhammad.
Perhatikan, macamana sekali pun selawat, selawat shifa ke apa ke, mesti ada perkata ALI MUHAMMAD atau ALI SAIDINA MUHAMMAD... yang ditujukan kepada anak cucu zuriat Nabi...
Ini juga terkandung dalam tahyat akhir: Berkatilah keluarga Muhammad seperti mana Engkau berkati keluarga Ibrahim...
Fahamilah ini... Tunjang kekuatan Melayu yang mulai penghujung abad ke 18 banyak dirosakkan Fahaman Wahabi yang mengaku Salafi, kerana mengtahyulkan perkara-perkara yang memuliakan Zat Muhammad seperti sambutan Maulidur Rasul
Pernah tengok logo asal PEKEMBAR atau UMNO yang dibuat tahun 1946. Carilah kalau dapat...
Logo tengah masih macam sekarang, ada huruf Fa, Kaf, Mim, Ba, Ro dengan lambang keris kiri-kanan terselit...
Yang hilang bahagian luar yang di kelilingi lima nama keramat iaitu Muhammad, Ali, Fatimah, Hassan, Hussin dan perkataan "TAK KENAL MAKA TAK CINTA".
Sekarang perkataan-perkataan ini dah lama hilang. PEKEMBAR pula terus dipanggil dengan nama Mat Salehnya UMNO (United Malays National Organisation)...
Bahasa jiwa bangsa... Jadi kita ni jiwa apa? Sedangkan pertubuhan paling besar mewakili bangsa Melayu dipanggil dengan nama dalam bahasa penjajah? Apalagi nak bercerita tentang kekuatan bangsa Melayu dari mim sedangkan anak cucu mim tidak lagi dilayan?
Yang nampak nyata pulak yang pakai nama Syed, Sharifah banyak dah lupa amanah... Mengarut mengalahkan orang kebanyakan... Mana orang nak respect? Mana nak faham kekuatan mim?
Kata Selamat: punca kekuatan melayu..ialah "budi".. Bangsa yg mengenang "budi", ia akan brbahasa..Bangsa yg tiada mengenang "budi", ia tidak brtimbang rasa..
Karam Singh walia..melaporkan dari kisah2 Melayu.
Takkan Melayu hilang didunia, tapi sayang "kemelayuannya" telah mulai hilang.........
Dijawab MerahSilu begini: Budi pun betul jugak wahai cik selamat. Tetapi apakah makna budi jika boleh diungkit-ungkit? ... You scratch my back I scratch your back?
Bukankah budi yang sejati (dah macam budi suci lah pulak bunyi... maaf ye ) itu tidak mengharapkan apa-apa balasan.
Maka dalam takrif dan sifat serta hakikat budi, mesti ada IKHLAS...
Apa itu IKHLAS... Kalau nak tahu secara mendalam mesti ada pengajian Tasawuf... Dan Tasawuf yang paling murni (walaupun tidak dipanggil dengan nama Tasawuf, macam Mat Saleh cakap a rose by any other name still smells as sweet) adalah pengajian sejati yang diterima dari Nabi Muhammad SAW....
Ingat kata Nabi dalam bab IKHLAS, memberi dengan tangan kanan, tangan kiri pun tak tahu...
Baca pula Surah al-Ikhlas dan halusi maksudnya: Katakanlah Allah itu ESA, sumber SEGALA sesuatu...
Maka terkaitlah budi, "Ta" untuk Tasawuf dan "Mim" untuk Muhammad dalam hakikat Melayu...
Masalahnya, ada ke lagi Melayu macam ni? Kalau tanya orang-orang lama, dia orang kata susah nak jumpa orang yang layak dipanggil Melayu sekarang. Panggil je Melayu, kat IC pun sebut Melayu tapi hakikatnya belum layak dipanggil Melayu... Hmmm...
Kemudiannya disampuk Tarawis: mim dah kelabu kot...kalau mim tiada, apa jadi...? ladi layu kot...
Selepas beberapa komen lain, barulah MerahSilu menjawab begini: Hah Tarawis... Hang tau pasal apa "mim" boleh jadi kabur sampai hilang? Sampai Melayu jadi layu?
Sebab Melayu mudah lupa... Lupa dah kepala perkataan Melayu tu mula dengan "mim"...
Cuba balik semula pada hakikat orang Melayu dahulukala, kaji sejarah kedatangan Islam yang dibawa anak cucu Nabi ke Nusantara, letak "mim" balik sebagai kepala, sebagai pemimpin... Bukan letak kepala lutut buat ganti kepala...
Carilah "mim" yang tak kabur iaitu Ahlul Bait anak cucu nabi yang masih memegang erat syiar Islam yang syumul... Bukan Syed Al-Kohol atau Bahlul-Bait...
Bukankah Imam Mahdi itu berdarah "mim", begitu juga pemegang panji-panji hitam dari Timur dan main players akhir zaman nanti?
Sebab tu awal thread ni aku ada mention pasal original logo UMNO/ Pekembar 1946 yang ada nama Muhammad, Ali, Fatimah, Hassan, Hussin dengan perkataan "Tak kenal maka tak cinta" di keliling...
Bukan saja-saja promote Ahlul Bait atau jadi Syiah... Tapi supaya "mim" dalam Melayu timbul balik. Allahuakbar!
Allahummasoli ala Muhammad wa ala ALI MUHAMMAD!
Diharap ini sudah cukup untuk menjawab persoalan Mim... Kalau mahu tahu lebih lanjut, silakan masuk ke thread ini - Di manakah kekuatan bangsa Melayu ... Sila ya! :]
Isnin, November 20, 2006
Nur belahan jiwaku
Hmm... Entah kenapa jiwa ini terasa begitu nostalgik... Rasa mahu bermadah pun ada mengenangkan seseorang itu, seorang wanita yang terasa seperti belahan jiwa, amat memahami perjalanan hidup hamba Allah ini dalam susah dan senang, hampir sahaja dalam semua keadaan...Di kala orang lain memandang serong atau mengatakan fakir ini gila kerana selalu berbuat sesuatu di luar kelaziman umum, dialah satu-satunya manusia yang sedia memberikan sokongan tanpa dipinta. Oleh itu biarlah disajikan sedikit sedutan berkaitan daripada buku "Berpetualang ke Aceh: Mencari Diri dan Erti." Sila...
Dengan kecekapannya serta sokongan daripada empayar Aceh, Muhammad Dalik berjaya mengendalikan seluruh bekas wilayah Haru ke dalam kekuasaannya. Baginda mangkat tahun 1653 lalu digantikan oleh puteranya Tuanku Panglima Perunggit. Wilayah inipun mula dikenali sebagai Deli, mungkin mengambil sempena nama tanah asal nenek-moyang mereka di Delhi. Pemerintahnya pula dikenali sebagai Panglima Deli.
Pengaruh dan kekuasaan Aceh pula mula merosot selepas kehilangan rajanya yang terkenal sebagai penakluk agung, Sultan Iskandar Muda yang mangkat tahun 1636. Semasa zaman pemerintahan raja-raja perempuan yang bermula selepas kemangkatan pengganti Iskandar Muda, Sultan Iskandar Thani tahun 1641, satu demi satu wilayah jajahan takluk Aceh mula melepaskan diri daripada pengaruh kuasa besar itu.
Pada tahun 1669, Panglima Perunggit pun mengisytiharkan Deli merdeka dari Aceh. Tetapi baginda masih mengekalkan tradisi dengan terus memakai gelaran Panglima Deli.
Deli mula mempunyai Sultan sendiri apabila cicit Panglima Perunggit, Tuanku Amal diangkat menjadi Sultan Panglima Mangedar Alam dengan akta Sultan Siak bertanggal 8 haribulan Mac 1814. Ketika itu, pengaruh Aceh sudah jauh merosot walaupun ia masih lagi sebuah kuasa besar yang digeruni sementara Siak yang mendapat sokongan kuasa kufar Belanda mula melebarkan pengaruh ke atas beberapa bekas jajahan takluk Aceh.
Semasa zaman Tuanku Amal, Deli juga muncul sebagai salah sebuah kerajaan yang terkaya di Sumatera kerana hasil buminya yang melimpah-ruah. Dari Sultan inilah turunnya Sultan-Sultan Deli sampai sekarang.
————————
“Hah Nur. Cuba awak baca tulisan saya tentang Deli untuk buku saya mengenai Aceh,” Rasyid menyapa teman kesayangannya Nur dalam satu pertemuan sambil menyuakan print-out yang baru dibuat pagi tadi.Wanita manis itu tidak menolak. Walaupun minatnya terhadap sejarah terutama kisah raja-raja tidak sekuat minat lelaki yang bertakhta di hatinya, dia sedia menerima ‘tugasan’ itu dengan senang hati. Lagipun Nur berharap supaya Rasyid dapat berdiri kembali dengan semangat juang yang pernah dipertontonkannya dahulu, semangat untuk menyumbangkan kebolehan yang ada demi kedaulatan agama, bangsa dan negara. Semangat kental itulah yang berjaya menambat hatinya sejak 10 tahun lalu...
Gadis itu masih ingat perbualan mereka selepas beberapa hari berkenalan, ketika berehat di bawah pohon rendang di Hyde Park, London bersama dua orang kawan. Bagaimana bersemangatnya pemuda itu menyuakan idea-ideanya untuk memajukan masyarakat Malaysia supaya boleh menyaingi malah menandingi tamadun Barat. Malangnya, Rasyid telah banyak kehilangan semangat lebih-lebih lagi selepas kehilangan beberapa orang ahli keluarga yang disayanginya tahun 2002...
“Ya Allah, bangkitkanlah dirinya yang sebenar. Kembalikanlah semangatnya yang hilang. Tolonglah dia menyiapkan bukunya dan jayakanlah ia supaya dia boleh tersenyum riang, sihat dan kuat seperti aku kenalinya di London dahulu,” dia berdoa sebelum mula membaca.
Rasyid menyalakan sebatang rokok lalu membiarkan ‘Laila’ pujaannya menelaah penulisan yang diberi. Dia sengaja duduk jauh supaya tidak mengganggu perhatian wanita itu. Sambil-sambil itu anak muda ini cuba membaca mimik muka Nur yang tidak pernah jemu-jemu ditatapnya dari mula perkenalan dahulu sampailah sekarang.
“Manis,” bisik hatinya. “Patutlah ramai lelaki boleh jadi angau, jatuh cinta melihat wajahnya. Tetapi dia tetap mencari aku juga walaupun banyak halangan dihadapi daripada pelbagai pihak dan berbagai arah. Walaupun keadaan belum lagi mengizinkan kami benar-benar bersatu.”Lebih kurang 10 minit kemudian, Nur pun bersuara: “Habis dah...”
“Bagaimana, OK tak?” tanya Rasyid.
“Boleh tahan!” jawab Nur.
“Ya ke?” pemuda itu meminta kepastian.
“A’ah... Boleh tahan teruk,” dia berseloroh.
Mereka pun ketawa riang. Mata Nur melirik manja...
Tiba-tiba muka Rasyid berubah serius. Nur kenal air muka itu. Nampaknya ada sesuatu yang berat mengganggu fikirannya...
“Mengapa?” teman wanitanya itu bertanya risau
Pemuda itu senyap seketika. Dahinya mula terkerut-kerut... Sedetik, dua detik... “Saya teringat semasa di Medan dahulu,” baru dia bersuara. “Saya sedih melihat keSultanan Deli sekarang tinggal tidak lebih dari satu lambang yang sudah ketinggalan zaman. Sultannya masih ada tetapi kata orang-orang di istana, baginda sekarang tidak duduk di Deli ataupun Medan sebaliknya bertugas sebagai seorang pegawai tentera di Jakarta, kalau tidak salah saya berpangkat Kolonel. Maka seorang Sultan yang merupakan lambang tertinggi rakyat Deli kini bekerja di bawah perintah orang kebanyakan berketurunan Jawa yang dahulu sering bermusuhan dengan rakyat kerajaan-kerajaan di sebelah Sumatera.”
Rasyid berhenti lagi. Termenung jauh mengenang kembali pengalamannya. Memang mukanya nampak begitu serius, ada gaya seperti orang hendak mengamuk. Ada masanya merah padam seolah-olah tersimpan dendam yang membara menunggu masa sahaja untuk dilangsaikan. Nur pula yang risau melihat keadaan lelaki kesayangannya bagaikan gunung berapi sedia untuk meletus...
“Awak tahu tidak, Istana Maimon kebanggaan rakyat Deli dan penduduk Medan pula sudah jadi seperti muzium!” pemuda itu tiba-tiba menyambung. “Sesiapa pun boleh masuk ke sana malah duduk di atas takhta milik raja kalau sanggup membayar ongkosnya. Kerabat-kerabat diraja pula sudah jadi seperti tourist guide serta tukang kutip duit kerana di sana tidak pakai tiket tetapi sumbangan ikhlas. Ikhlas konon tetapi ada bayaran minimum... Ada pula yang menjadi peminta sedekah, tidak segan-silu menagih wang di tangga istana. Agaknya kalau istana itu boleh dijual sudah lama dijual mereka. Tetapi kalau dijual, di mana pula kerabat-kerabat diraja ini hendak merempat?” dia melahirkan rasa kesal.
Nur memandang penuh simpati. “Acid tetap passionate,” bisik hatinya. Gadis itu sedar pemuda kesayangannya itu tetap bersemangat apabila bercakap tentang perkara-perkara yang menarik perhatiannya. Perkara-perkara yang dirasakan penting dalam hidupnya, sejak kebelakangan ini kebanyakannya berkaitan dengan nasib orang Melayu dan Islam dalam zaman moden serta perjuangan akhir zaman. Hal-hal yang dirasakannya perlu diketengahkan demi memartabatkan agama, bangsa dan negara...
“Awak tahu, saya meninggalkan istana keSultanan Deli dengan rasa yang amat terkilan,” Rasyid meneruskan. “Beginikah nasib keturunan raja di sana? Mereka adalah kerabat yang dekat dengan takhta tetapi hidup menagih sumbangan ikhsan orang ramai. Sultan Deli yang sepatutnya menjadi lambang tertinggi rakyat Deli sekarang duduk di bawah perintah rakyat biasa Jawa. Simboliknya, ini bererti rakyat Deli lebih rendah tarafnya daripada orang Jawa. Saya dapat melihat bahawa Republik Indonesia ini dikuasai oleh Jawa semata yang berpusat di Jakarta. Penguasa-penguasa di wilayah-wilayah lain yang jauh berbeza etniknya juga adalah Jawa. Ataupun pemimpin pilihan mereka yang sanggup menyembah ke Jakarta.”
“Inilah hakikat yang saya lihat selama berada di Sumatera,” pemuda itu terus meluahkan kekecewaan. “ Semuanya kalau boleh hendak di‘Jawa’kan. Kalau boleh semua jalan di Sumatera hendak diberi nama seperti Jalan Sudirman (sempena nama General Sudirman), Jalan Diponegoro, Gatot Subrato dan sebagainya yang terang-terang berbau Jawa.”
“Awak fikirlah!” dia masih tidak mahu berhenti. “Sejarah tempatan pun kalau boleh hendak digelapkan semuanya, diganti pula dengan sejarah kegemilangan Jawa atau sejarah tempatan yang berkaitan dengan Jawa sebagai identiti kebanggaan Republik Indonesia.”
Rasyid berhenti sejenak. Mungkin mulutnya penat? Yang pasti dia masih lagi kelihatan merah, muka masih lagi merah padam. Mungkin dia sudah terlalu panas lalu cuba menenangkan diri pula?
“Tidak baik awak kata begitu,” Nur menegur selepas lama mendiamkan diri. Sementara ada peluang untuk berkata-kata... “Awak bercakap seperti mengutuk dan membenci orang Jawa! Macam nak cari musuh pula...”“Tidak awak,” Rasyid membela diri... “Saya bukan hendak menghina, merendahkan atau memusuhi orang-orang Jawa. Ibu saya sendiri setengah Jawa - Bapanya Bugis, ibunya Jawa. Ayah saya pula Melayu Perak campur Aceh. Saya ini kira sesuku Jawalah juga. Ada juga kena-mengena.”
“Kalau sesuku Jawa, lagi tiga suku itu kira biollah? Habis tiga suku?” wanita berdarah Arab Hadramaut itu berseloroh kemudian tertawa lembut sambil menutup mulut dengan tangannya. Sopan, manis....
Pemuda itupun tersenyum. Tahu yang temannya ini cuma mahu mengendurkan ketegangan suasana. Sedar, ada masa dirinya menjadi begitu serius sehingga boleh menakutkan orang ramai walaupun dia tidak pernah berniat begitu. Susah juga bila darah Acehnya mula ‘naik’...
“Sorrylah saya marah-marah tadi,” Rasyid meminta maaf. “Saya geram sangat melihat keadaan di Medan. Geram tengok apa yang orang Jawa sudah buat pada pusat keSultanan Deli itu, bukannya nak kutuk Jawa...”Wanita itu tunduk terdiam. Sebenarnya dadanya berdebar-debar bila lelaki idamannya menaikkan suara. Garang, penuh bertenaga... Jantungnya masih lagi berdegup kencang tetapi dia cuba menyembunyikan gelora di jiwanya dengan berseloroh. Malu jika lelaki itu tahu...
“Ala, awak bukan tidak kenal saya.” pemuda itu menyambung lalu merenung tepat ke mata Nur. “Saya mengamuk inipun kira acah aje... Bukannya betul-betul. Saja nak tengok reaksi awak...”
Gadis itu tersipu-sipu malu. Teringat semasa di London dahulu, kali pertama terjumpa di Malaysia Hall. Begitu juga renungannya. Tajam...
“Lagipun, setahu saya perkataan Jawa itu berasal daripada perkataan Jawi, iaitu satu bangsa yang dinasabkan kepada keturunan Nabi Allah Ibrahim melalui isteri ketiganya, Siti Beturah,” sambung Rasyid. ”Secara umum pula, perkataan Jawi atau bangsa Jawi itu juga merujuk kepada bangsa Melayu yang mengandungi pelbagai suku bangsa. Termasuk orang yang asalnya berketurunan Arab, Parsi, Eropah, Cina dan India tetapi menetap dan beranak-pinak di Nusantara. Maka itu, orang Melayu menulis dalam huruf Jawi, lelaki Melayu bersunat dikatakan masuk Jawi.”
Nur kurang selesa dengan keadaan lelaki kesayangannya yang masih agak serius tetapi dia terpesona dengan pengetahuan luas yang ditunjukkannya. Dalam diam-diam, gadis manis itu meminta Tuhan supaya mengurniakan lelaki itu wadah yang sesuai untuk melanjutkan perjuangannya. Dan dia sendiri meminta dirinya dikurniakan kepandaian serta kelebihan akal yang setara untuk menyokong Rasyid nanti.
Pemuda itu pula masih belum puas bercerita tentang Jawa. Katanya, jika Jawa itu bermaksud Jawi, atau bangsa Jawi dalam ertinya yang luas, dia tidak ada masalah dengan mana-mana orang Jawa. Tetapi jika yang dimaksudkan adalah keturunan Jawa Majapahit yang walaupun zahirnya beragama Islam tetapi rohaninya Hindu, sanggup menekan dan menindas umat Islam dari suku bangsa Melayu lain seperti yang banyak berlaku sekarang terutama di Aceh, maka dia mengaku memang dia anti-Jawa. Sedar tidak sedar hamba Allah yang penuh semangat keMelayuan ini telah berdiri tegak sambil menggenggamkan buku limanya di hadapan muka. Seperti panglima hendak melangkah ke medan perang pula gayanya...
Rasyid cuba mengawal kemarahan. Darah Aceh, darah perjuangan turun-temurun menegakkan syiar Islam yang mengalir kuat dalam tubuhnya tidak dapat menerima apa yang dilihatnya sebagai usaha untuk men‘Jawa’kan lalu merendahkan martabat negeri-negeri lain. Pemuda ini juga telah banyak kali terserempak dengan orang-orang Jawa yang terlalu mengagung-agunhkan suku kaum mereka terutama dalam hal kebudayaan, agama dan kerohanian sehingga memperlekehkan suku kaum lain...
Ah... Daripada terus begini menunjukkan geram di hadapan Nur, lebih elok dia mengamuk sorang-sorang... Dan sebagai seorang bekas wartawan, cara terbaik untuk melepaskan semua ini ialah dengan penulisan...
Ahad, November 19, 2006
Seni lama Melayu
Silalah bertandang... Boleh klik di sini - SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART) atau klik sahaja subjek yang sama pada bahagian kanan atas blogspot ini.
Apalagi! Mari, maju ke hadapan!
Jumaat, November 17, 2006
Susah-payah satu perjuangan
Apapun, prinsip di atas boleh dipakai jika bercakap tentang penulis yang kerjanya setakat menulis sahaja... Tidak perlu memikirkan hal lain seperti rupa-bentuk kulit buku, aktiviti promosi, pengedaran dan sebagainya. Tulislah mengikut selera pembaca seperti diarahkan syarikat penerbitan terkemuka yang mampu mewar-warkan buku anda ke seantero dunia, kemudian biarkan mereka menguruskan segalanya. Bagaimana pula keadaan penulis yang terpaksa berhempas-pulas membuat segala-galanya daripada menulis, editting, lay-out, graphic design sampai ke penerbitan dan pemasaran? Bagaimanakah keadaan sebenar seorang penulis jika dia terpaksa berbuat semua ini tanpa sokongan orang lain?
Memang ada penulis yang menerbitkan buku sendiri tanpa bergantung kepada mana-mana syarikat penerbitan yang dikenali ramai, terutama dalam bidang penulisan politik tetapi mereka selalunya mampu mengupah orang untuk menyiapkan buku itu bagi pihak mereka. Kenapa? Sebab banyak di antara mereka sebenarnya "diupah" untuk menaikkan pihak tertentu dan menjatuhkan pihak yang lain... Maka pencarian hidup mereka terjamin bukan kerana jualan buku tetapi tajaan pihak tertentu yang mahu buku yang ditulis memenuhi agenda serta mengikut hala-tuju mereka... Dan pihak yang menaja penulis sebegini secara semulajadi memang sedia memasarkan buku penulis tersebut melalui segala alat kuasa yang dimiliki kerana memang mahu isinya ditatap seramai mungkin untuk memastikan agenda mereka membentuk persepsi masyarakat umum mencapai matlamat.
Sekarang, bagaimana pula keadaan penulis yang tidak mahu langsung bersekongkol dengan pihak-pihak yang berkepentingan? Bagaimana jika anda betul-betul mahu memperjuangkan sesuatu yang anda percayai sepenuh jiwa-raga, sesuatu yang bukannya popular, menongkah arus zaman malah boleh menggugat kestabilan mereka yang berkepentingan sedangkan pihak lain mungkin tidak nampak niat baik anda malah ramai pula yang menuduh bukan-bukan? Belum dikira lagi pihak lain yang memang tidak mahu anda berjaya malah cuba menghalang usaha anda selagi boleh!
Para pembaca sekalian, siang tadi, saya digerakkan Allah SWT untuk menulis sebuah surat permohonan kepada Perpustakaan Negara tentang satu skim yang sudah sebulan saya ketahui wujud tetapi baru sekarang saya mendapat sedikit kekuatan semangat untuk cuba terlibat sama. Maka saya pun pergi ke sana untuk berjumpa dengan Ketua Pengarahnya. Sayangnya, beliau sudah keluar dari pejabat kerana ada hal lain... Nasib baiklah Personal Assistant nya sudi melayan dan memberi jaminan surat ini akan mendapat perhatian sewajarnya.
Petang itu, dalam perjalanan kembali ke rumah makcik di Ampang, hati saya tergerak pula untuk berkongsi surat ini dengan para pembaca... Niat saya, supaya semua orang boleh nampak, bukan senang mahu menjadi penulis yang betul-betul ada pegangan dan perjuangan. Sila... Baca... Fahamilah susah-payah satu perjuangan. Berat mata memandang, berat lagi bahu memikulnya...
Hmm... Ada sedikit masalah... Saya tidak tahu cara untuk attach file ke blogspot ini dan ini perlu jika saya mahu mengekalkan format surat itu seperti asalnya... Tidak mengapalah... Saya copy sahaja isi surat itu di sini. Pedulikan format, yang penting pembaca faham maksud isi... Ini dia...
Mohd Fahrulradzi b. Mohamad Sapiee,
Lot 646, Jalan 9,
Taman Ampang Utama,
68000 Ampang.
Puan Siti Zakiah Aman,
Ketua Pengarah Perpustakaan Negara Malaysia,
232, Jalan Tun Razak,
50532 Kuala Lumpur ..................... 17 November 2006
Puan,
Mohon dimasukkan ke dalam skim pembelian terus buku daripada penulis
Saya Mohd Fahrulradzi b. Mohamad Sapiee atau Radzi Sapiee difahamkan pihak Perpustakaan Negara Malaysia mempunyai skim untuk menolong penulis bebas di Malaysia supaya mampu terus berkarya dengan membuat pembelian terus buku daripada penulis. Untuk makluman, saya telah menerbitkan sebuah novel karya sendiri bertajuk “Berpetualang ke Aceh: Mencari Diri dan Erti” dengan nombor ISBN 983-42031-0-1 pada bulan Jun. Buku ini boleh didapati di kedai-kedai buku terpilih termasuk rangkaian kedai buku MPH dan Popular Bookshops. Masalahnya, saya adalah seorang penulis baru dan novel ini sedikit melawan arus kerana cuba mengenengahkan 1,200 tahun sejarah Melayu Islam yang jarang disentuh mana-mana pihak. Sedangkan pasaran lebih meminati novel-novel ringan berunsur cinta dan sebagainya.
Biar saya berterus-terang. Saya adalah seorang lulusan B.Sc Mathematics daripada University of London (1991-1995) dan pernah menjadi wartawan akhbar The New Straits Times (1996-2001), tetapi disebabkan satu pencarian peribadi untuk memahami salasilah keluarga, saya telah meninggalkan kerjaya dan berbagai kesenangan hidup lalu keluar merantau ke merata tempat mencari jawaban. Setelah lebih 4 tahun berbuat begitu, saya mengambil keputusan untuk menceritakan pengalaman itu dalam bentuk novel fiksyen yang membuka sejarah lama kaitan kerajaan-kerajaan lama Islam seperti keSultanan Perlak, Samudera-Pasai, Melaka, Aceh juga keSultanan Perak sampai sekarang dengan keKhalifahan Islam di Timur Tengah. Beberapa syarikat penerbitan buku telah menunjukkan minat tetapi meminta isinya dipinda menurut selera pasaran, dan tajuk buku yang didapati melalui ilham juga disuruh tukar.
Sebagai seorang yang percaya banyak sejarah Melayu sebenar telah digelapkan melalui proses social engineering serta dakyah ciptaan Barat untuk melemahkan jatidiri bangsa, saya tetap bertegas mahu mengeluarkan isi yang ditulis seadanya dan dalam bentuk yang telah dirangka. Maka itu saya mengambil keputusan mendaftarkan syarikat kecil bernama Wasilah Merah Silu Enterprise lalu membuat pinjaman wang daripada keluarga sebanyak RM18,000 untuk menerbitkan 3,000 naskah permulaan. Buku setebal 300 mukasurat dengan saiz kertas A5 ini dicetak dengan harga RM6 sebuah dan dijual dengan harga RM24.90. Pengedar pula bersetuju untuk bekerjasama dengan perjanjian akan membayar 50 peratus sahaja harga pasaran dan saya terpaksa akur.
Sekarang, terdapat 1,600 buku dalam edaran tetapi saya masih belum mendapat gambaran sebenar berapa naskahkah telah terjual, apatah lagi untuk mendapat sedikit wang hasil jualan. Cuma saya diberitahu, jualan telah bergerak elok berbanding semasa awal buku dikeluarkan tetapi tidaklah selancar jualan novel biasa di pasaran. Sebagai seorang penerbit dan penulis bebas yang kekurangan dana dan khidmat sokongan, saya tidak mampu membuat promosi selayaknya walaupun telah diberitahu melalui rangkaian Internet bahawa buku ini telah berjaya meraih golongan peminat tersendiri.
Puan, masih terdapat 1,200 naskah buku ini yang disimpan di gudang percetakan sedangkan saya telah menjual sendiri 123 naskah setakat ini secara direct-selling dan menghadiahkan 55 buah buku kepada pelbagai pihak termasuk 5 yang wajib diserahkan kepada Perpustakaan Negara. Buku ini sebenarnya adalah Jilid 1 daripada 3 bahagian “Berpetualang ke Aceh”. Buku 2 dan 3 sudah siap ditulis, buku 2 sudah 30 peratus siap diedit sendiri selain dalam proses lay-out dan masing-masing menunggu dana hasil jualan buku 1 sebelum ia dapat diterbitkan sedangkan hakikatnya, modal percetakan hasil pinjaman wang daripada keluarga pun belum dapat diperolehi balik. Oleh itu saya meminta jasa baik pihak puan supaya dapat memasukkan buku ini di bawah skim tersebut supaya saya mampu terus berkarya atau paling kurang pun dapat menyampaikan sedikit ilmu tentang sejarah kegemilangan Melayu Islam yang diperolehi melalui pelbagai siri pengembaraan serta pengalaman hidup yang ingin diturunkan melalui ketiga-tiga buku sebagai sumbangan tersendiri terhadap khazanah sastera keilmuan Melayu.
Di sini, saya hadiahkan senaskah buku “Berpetualang ke Aceh: Mencari Diri dan Erti” untuk tatapan puan. Untuk makluman, lebih kurang sebulan lepas, saya telah berjumpa Puan Musalmah di Bahagian Teknik, Tingkat 16 Perpustakaan Wisma Selborn dan beliau juga telah menerima senaskah buku supaya penilaian awal dapat dibuat.
Diharap pihak puan dapat menunaikan harapan saya ini.
Yang benar,
(Mohd. Fahrulradzi b. Mohamad Sapiee @ Radzi Sapiee)
Rabu, November 15, 2006
KeSultanan Perlak: Bermulanya sebuah cerita

Lakaran Barat tentang Bandar Aceh kurun ke 16-17 Masihi.
Semalam saya telah membuat beberapa postings di blogspot ini yang kemudian mengaitkan watak lagenda Keramat Kuala Bidor dengan KeSultanan Perlak serta pergolakan Sunni-Syiah... Sempat pula bercerita sekali tentang Nur, buah hati Muhammad Al-Aminul Rasyid iaitu watak utama dalam novel "Berpetualang ke Aceh: Mencari Diri dan Erti" yang selalu menyokongnya dalam susah dan senang. Maka di sini biarlah saya panjangkan cerita mengenai keSultanan Perlak daripada buku "Berpetualang" untuk tatapan semua. Silakan! :]
Jauh sebelum muncul keSultanan Melayu Melaka, telah wujud sebuah keSultanan Islam bernama Perlak di bumi Serambi Mekah.
Malah ketika moyang Sultan Melaka baru hendak mengenali apakah itu binatang yang bernama singa di Temasik, Perlak telah pun menjadi sebuah kuasa besar yang disegani di rantau ini.
Cuma ia dikira beraliran Syiah, berlawanan dengan fahaman Sunni atau Ahlus Sunnah Wal Jamaah. Maka itu Perlak tidak diiktiraf sejarawan sebagai kerajaan Islam tertua di Nusantara, tidak seperti Samudera Pasai yang dikatakan mendokong mazhab Shafie. Walaupun ia telah wujud 400 tahun sebelum Samudera Pasai, 600 tahun sebelum Melaka diasaskan, ia kurang diberi perhatian kecuali oleh mereka yang mengkaji lebih mendalam.
Rasyid membelek beberapa perenggan dalam buku mengenai Aceh, bumi Serambi Mekah dan hal-hal berkaitan yang sedang diusahakannya.
“Hmm… bolehlah,” bisiknya. “Biar semua orang tahu dahulu pernah wujud sebuah kerajaan Islam besar yang sudah lama bertapak di bumi Timur ini. Tidaklah asyik bercerita tentang Melaka, Melaka, Melaka aje… Kalau kerajaan lebih awal pula asyik-asyik kerajaan Sriwijaya danMajapahit, Sriwijaya, Majapahit... Naik boring aku…”
Anak muda ini mula mengkaji sejarah Perlak setelah mendapat tahu kewujudan sebuah makam lama di Perak yang dikatakan berumur hampir 1,000 tahun milik seorang insan bertaraf wali yang berasal dari sana. Sebelum itu, dia cuma pernah mendengar nama Perlak daripada cerita legenda Melayu Badang di mana orang kuat Perlak bernama Benderang telah datang ke Singapura untuk beradu kekuatan. Tetapi sejak mengenali identiti tuan-punya makam purba yang tersorok di Teluk Intan itu, pemuda yang amat sayangkan ilmu ini tidak menoleh lagi ke belakang.
Rasyid sanggup bersengkang-mata berulang-alik ke perpustakaan, keluar jauh menziarahi makam-makam lama kemudian ‘berumah-tangga’ di Internet Café tidak kira di mana jua untuk mencari jawaban. Dan sekarang dia mahu dunia tahu apa yang telah berjaya digalinya untuk perhatian...
————————
Dicatat dalam sejarah, pada awal abad ke 9 Masihi telah datang rombongan 100 orang pendakwah dari Timur Tengah berlabuh di Perlak, diketuai seseorang yang dikenali sebagai Nakhoda Khalifah. Mereka ini dikatakan telah melarikan diri daripada buruan kerajaan selepas gagal dalam percubaan menggulingkan pemerintahan Bani Abbasiyah.
Ahli rombongan ini dikatakan terdiri daripada keturunan Rasulullah SAW melalui puteri baginda Fatimah az-Zahrah dan suaminya, Saidina Ali bin Abi Talib Karamallahuwajha, juga para penyokong yang mahukan kepimpinan anak cucu Nabi. Termasuk di kalangan mereka adalah seseorang bernama Ali bin Muhammad bin Jaafar Al-Sadiq.
Ketika itu, Perlak sedang diperintah raja berketurunan Parsi, Merah Syahir Nuwi. Raja dan rakyat Perlak tertarik dengan akhlak ahli rombongan lalu menganut Islam, Rombongan itu dimuliakan dan Ali dikahwinkan dengan adik perempuan Raja Perlak yang bernama Makhdum Tansyuri.
Ada sumber menyebut nama penuh Ali ialah Ali Muktabar Muhammad bin Ad Diba’ie bin Jaafar As Siddiq. Tetapi Rasyid lebih cenderung mempercayai Ali adalah anak kepada Muhammad bin Jaafar as-Sadiq...
Apapun, Merah Syahir Nuwi mangkat sekitar 840 Masihi. Anak lelaki Ali dengan Makhdum Tansyuri pula diangkat menjadi raja baru Perlak, Sultan Alaiddin Sayyid Maulana Abdul Aziz Syah. Maka bermulalah keSultanan Islam Perlak yang akan menjangkau tempoh lebih 400 tahun.
Ali diketahui sebagai anak cucu Imam Ja’afar Al-Sadiq, seorang alim-ulamak besar berketurunan Rasulullah SAW daripada jurai Saidina Hussein yang sangat dihormati dalam sejarah Islam. Malah ulamak ini dikultuskan sebagai seorang imam maksum dalam fahaman Syiah. Yang menjadi persoalan, apakah asal-usul Merah Syahir Nuwi yang menjadi raja asal Perlak? Lebih penting lagi siapakah dia Nakhoda Khalifah?
Ada catatan lama menyebut Merah Syahir Nuwi berasal dari keturunan seorang bangsawan Parsi bernama Salman yang telah berhijrah ke bumi Serambi Mekah beberapa kurun terdahulu. Pelabuhan Perlak pula dikenali sebagai Bandar Khalifah sejak kedatangan rombongan 100 orang pendakwah itu, sempena nama ketua mereka Nakhoda Khalifah. Tetapi sebelum menyingkap siapakah Nakhoda Khalifah, eloklah kita kenal dahulu siapakah Salman yang menurunkan Merah Syahir Nuwi.
————————
Rasyid telah menghabiskan masa lebih tiga bulan menelaah berbagai sumber mengenai Perlak tetapi tidak berjaya menemui apa-apa catatan rasmi untuk menyelesaikan masalah ini. Tetapi selepas mengkaji beberapa cerita lama, dia yakin orang yang tersebut ini ialah Saidina Salman al Farisi, sahabat Nabi yang memperkenalkan teknik peperangan parit di Tanah Arab. Parit itu telah digali mengelilingi kota Madinah untuk menghalang serangan orang kafir Quraish dan sekutu mereka dalam perang Khandaq.
Menurut satu cerita, Salman telah diangkat Rasulullah SAW menjadi seorang Ahlul Bait atau ahli keluarga baginda yang mulia. Sahabat ini juga diketahui kuat mengembara sebelum memeluk Islam di tangan Nabi di Madinah. Salman dikenali ramai sebagai seorang bangsawan Parsi. Tetapi berapa ramaikah yang tahu baginda juga adalah seorang pewaris kerajaan Parsi, sebuah daripada dua kerajaan terbesar di dunia zaman itu?
“Sebab itu ada kitab-kitab lama Melayu menyebut Saidina Salman al Farisi sebagai Raja Salman,” kata Rasyid, menerangkan asal-usul kerajaan Perlak kepada beberapa orang teman yang juga meminati cerita-cerita lama. “Cuma Salman yang berasal daripada Dinasti Sasanid, keturunan Raja Nurshirwan Adil yang dikenali dalam kitab-kitab lama sebagai Raja Mashriq dan Maghrib iaitu Timur dan Barat itu tidak tertarik atau berminat kepada harta dan kekayaan mahupun kuasa dan nama.”
Sebagai seorang berdarah raja, baginda lebih berminat menimba ilmu mencari kebenaran demi memahami hakikat sebenar kehidupan. Lalu Salman sanggup meninggalkan segala kuasa dan kemewahan untuk mengembara mencari jawaban Menurut satu riwayat, bangsawan Parsi ini pernah menganut agama Zoroaster, agama utama di wilayah kelahirannya. Agama itu asalnya agama Tauhid yang mengEsakan Tuhan sebelum diseleweng unsur-unsur penyembahan api. Kemudian Salman menjadi penganut agama Nasrani ataupun Kristian yang berasal daripada ajaran Nabi Isa AS yang juga telah lari daripada landasannya yang sebenar.
Lama kemudian, barulah baginda mendengar khabar daripada beberapa orang pendita tentang kewujudan agama Hanifiah (orang-orang yang lurus) iaitu agama Tauhid Syariat Nabi Ibrahim AS. Tetapi menurut mereka, agama ini telah pupus di Parsi. Kalau hendak belajar juga, harus mencari seseorang di Tanah Arab. Itulah agama syumul yang diwarisi Nabi Muhamad SAW daripada moyangnya Nabi Ibrahim AS sebelum baginda mendapat wahyu untuk mengajar Syariat akhir zaman. Maka selepas bertahun-tahun berkelana mengkaji dan menganut pelbagai ajaran dan fahaman, Saidina Salman Al-Farisi akhirnya menemui kebenaran, selepas berjumpa Khatamul Anbiya, penutup segala Nabi, Rasulullah SAW.
Rasyid tidak pasti bilakah Salman sampai ke Perlak. Adakah sebelum atau selepas berjumpa Nabi. Kalau menurut cerita-cerita yang ditampilkan dalam buku sejarah, ada kemungkinan baginda sampai ke Perlak sebelum itu kerana keturunannya, Merah Syahir Nuwi dikatakan hanya menganut Islam selepas kedatangan rombongan Nakhoda Khalifah. Tetapi ada kemungkinan juga baginda telah sampai ke sana selepas Rasulullah SAW wafat, lebih tepat lagi selepas kemangkatan Saidina Ali yang menyaksikan Muawiyah bin Abu Sufian merampas keKhalifahan umat Islam. Maka baginda pun membawa diri jauh daripada kemungkaran yang berleluasa semasa pemerintahan Muawiyah lalu sampai ke Perlak? Wallahualam...
Perkahwinan Ali bin Muhammad bin Ja’afar al Sadiq dengan adinda Merah Syahir Nuwi merupakan pertemuan dua cabang termulia keturunan Nabi Allah Ibrahim. “Seperti kebanyakan raja-raja besar, Raja-raja Parsi juga memiliki titisan darah Iskandar Zulkarnain, penakluk agung yang menurut sesetengah sumber adalah keturunan Nabi Sulaiman,” Rasyid membuka cerita.
Nabi Sulaiman memiliki kerajaan luas yang merangkumi manusia, jin dan haiwan juga unsur-unsur alam seperti angin yang boleh diperintahkan untuk membawanya ke sana-sini. Baginda adalah anak Nabi Daud, keturunan Nabi Ishaq, anak Nabi Ibrahim dengan isteri pertamanya Siti Sarah. Imam Ja’afar al Sadiq bin Muhammad Al-Baqir bin Ali Zainal Abidin bin Saidina Hussein bin Saidina Ali Karamallahuwajha, suami Fatimah Az-Zahrah binti Nabi Muhammad SAW pula berasal daripada keturunan Nabi Ismail, anak sulung Nabi Ibrahim dengan isteri keduanya Siti Hajar. “Maka bertemulah dua nasab mulia keturunan Nabi Ibrahim menjadi Sultan-sultan Perlak..”
Pernah seorang kerabat diraja Perak dengan bangganya bercerita, dalam banyak-banyak kerabat diraja yang masih wujud hingga sekarang, kerabat Peraklah yang paling hebat. Kerana mereka berasal daripada keturunan Raja-raja Melaka yang memiliki titisan darah Raja Iskandar Zulkarnain, raja besar yang pernah memerintah hampir seluruh muka bumi lebih 2,000 tahun lalu dan kisahnya disebut dalam Surah Al-Kahfi.
Rasyid yang suka membela Aceh pun menegur: “Asal bercerita tentang raja-raja, balik-balik keluar cerita Iskandar Zulkarnain. Kamu lupakah martabat Rasulullah SAW itu lebih tinggi lagi kerana kemuliaan baginda mengatasi segala Rasul, Nabi, wali dan raja, malah segala makhluk?”
“Bukankah setiap selawat ke atas Nabi wajib disertakan dengan selawat ke atas keluarganya, merangkumi keturunannya sampai sekarang?,” dia bertanya pula. “Bukankah selawat yang dibaca selepas shahadah tahyat akhir solat memerlukan setiap orang Islam menyebut: Salam sejahtera Allah ke atas Muhammad dan keluarganya sepertimana salam sejahteraNya ke atas Ibrahim dan keluarganya? Jika bacaan doa sekali seminggu solat Jumaat meminta kesejahteraan keluarga diraja boleh membawa berkat dan daulat, inikan selawat yang dibacakan berjuta-juta malah berbillion orang ke atas Nabi dan keluarganya setiap kali solat dari zaman dahulu sampailah sekarang. Maka itu manakah lebih berdaulat? Keturunan Rasulullah SAW atau Iskandar Zulkarnain? Bagaimana pula kalau ada titisan darah kedua-duanya sekali?”
Kerabat diraja Perak itu terus terdiam, langsung tak terjawab...
Walaupun sejarah rasmi Perlak yang diperolehi Rasyid tidak menyatakan secara terang asal-usul keSultanan itu, tidak susah untuk menemukan keterangan yang mengaitkannya dengan Rasulullah SAW dan Saidina Salman Al-Farisi. Yang membuat pemuda ini bingung siapakah dia Nakhoda Khalifah? Mengapa ada panggilan Khalifah? Bukankah Khalifah tarafnya lebih tinggi daripada Sultan bahkan ia menaungi para Sultan?
Tentang siapakah itu Nakhoda Khalifah, nanti kita lihat di posting akan datang OK, Insyallah!
Hidupkan jiwa Tasawuf. Kembalikan jatidiri sebenar Melayu!
Mungkin isi artikel ini boleh menjawab persoalan di atas? Yang pasti memang ada pihak yang tidak senang dengan amalan Tasawuf yang sejati. Apa hendak dibuat? Fitnah akhir zaman semakin kuat. Golongan kaki rasuah, kaki betina dan segala macam kaki-belit sudah bermaharajalela mengaku sebagai pejuang agama, bangsa dan negara dengan kata-kata manis mereka yang disokong pengajian tinggi agama dan kepandaian membaca doa berjela sebagai penguat hujah tetapi hampa tanpa roh Islam yang syumul.
Masalahnya, tidak ramai yang nampak hakikat sebenar kecuali mereka yang mampu melihat dengan matahati jernih yang mampu menembusi segala tipu-helah... Dan selalunya orang yang mampu menembusi lakonan manusia durjana bertopengkan agama ini adalah orang yang memiliki jiwa Tasawuf. Maka itu ilmu Tasawuf cuba dihapuskan dengan akal rendah supaya helah si buruk berlagak alim dapat diteruskan... Malah pelajaran Tasawuf boleh "diolah-balik" sehingga menjadi tidak lebih daripada ilmu falsafah yang mungkin dapat memantapkan hujah para penganutnya dalam arena perdebatan ilmu tapi membutakan terus matahati.... Sehingga manusia jadi berbangga dengan kepetahan lidah sedangkan hakikat Islam yang melahirkan ketenangan langsung tidak terpancar daripada kata-kata mereka
Tak apa... Baca aje lah... Cuma aku ada edit sikit syntax error yang aku nampak dan bold kan mana-mana yang aku rasa nak bold kan...
Hujah kepada yang mengelirukan pandangan tasawuf
Dilulus terbit pada Friday, January 13 @ 21:10:33 MYT oleh TokPenghulu
ahlisufi001 menulis "Betapa ramai yang menentang amalan Tasawuf dan mengingkari mazhab-mazhab Tariqat adalah di sebabkan banyak faktor. Sebenarnya hal ini berkait rapat dengan beberapa usaha jahat untuk melemahkan umat Islam sekaligus memfitnah dan merobek agama samada dari luar mahupun dari dalam. Puncanya terlalu luas dan mungkin dapat di perkatakan sekadar kemampuan yang dapat dimanafaatkan dalam ruangan yang singkat ini.
Punca pokoknya ialah Kejahilan dan gagal memahami agama Islam secara komprehansif/ menyeluruh . Ada puak yang melihat sumber hukum Islam itu hanya satu saja iaitu Al Quraan. Lantas mereka menilai hadis semula kerana mereka ragu dengan Al Hadis walaupun hadis itu diterima pakai oleh kesepakatan Ulama sebagai sahih seperti perawi Bukhari dan muslim dllnya. Akhirnya puak ini menerbitkan hukum yang tanpa tafsiaran dari hadis maka ini adalah tertolak sama sekali MUKTAMAD. Golongan ini dikenali sebagai anti hadis. Sembahyang mereka berbeza dengan Umum, puasa dan lain-lain perkara pokok sudah berbeza akibat meninggalkan hadis.
Ada puak pula melihat sumber hukum Islam itu hanya dua saja iaitu Al Quran dan Al Hadis saja lalu menolak Ijma Ulama dan Qias. Mereka ragui kebenaran Ulama terdahulu dan sekarang lantas mereka membuat penilaian semula terhadap Ulama dan pandangan mereka akhirnya lahirlah fahaman :
1. Semua orang boleh berijtihad tanpa perlu apa-apa syarat.
2. Menilai semula Ulama hadis dan akhirnya mereka mudah meletakkan suatu hadis itu bertaraf dhaif atau maudhu bukan berdasarkan disiplin Ilmu Hadis.
3. Cepat menghukum bid’ah,sesat,kafir tanpa melihat pada disiplin agama samada ianya furu atau usuliah.
4. Menolak amalan mazhab-mazhab Islam kerana diharamkan bertaqlid kepada mana- mana mazhab.
5. Menolak amalan amalan tariqat sufi kerana ianya di anggap bid’ah dan sebagainya.
Sebenarnya puak ini adalah aliran fahaman modenisasi yang menganggap amalan umat Islam kebanyakkannya telah di resapi amalan bid’ah.
Contoh fahaman diatas adalah sebahgian dari pandangan mereka. Bagi kita yang kerdil dalam Ilmu Islam pun kadang-kala terikut-ikut dengan fahaman mereka kalau tak menyeluruh pun tapi sebahgiannya telah kita yakini. Dari sudut ini kita ikut syafie manakala sudut lain pula kita hentam tariqat? Puak ini juga tertolak kerana fahaman mereka banyak membid’ahkan umat Islam yang sunni.Sumber hukum Islam ialah 4 iaitu(mengikut turutan)
1. Al Quraan
2. Al Hadis
3. Ijma Ulama
4. Qias
Kalau kita pakai dua saja maka akan berlainanlah pandangan kita samada furu mahupun usul.Contohnya:Kalau kita faham Bid’ah itu ada dua(dhalalah-sesat dan hasanah-kebaikan) maka puak ni kata bid’ah tu satu je iaitu dhalalah(sesat).Persoalannya Sekiranya amalan tariqat ni sesat bid’ah mengapa Ulama-Ulama terdahulu menghayatinya seperti Imam Al Ghazali,Imam Al Qusyairi.Imam Junaid,Imam Wahab Syaroni,Syeikh Abdul Qadir Al Jilani dsbnya.Ulama di nusantara terdahulu yang sampai sekarang kitab mereka menjadi rujukan kita juga tidak terkecuali sebagai orang yang menghayati amalan sufi spr Syeikh Daud Al Fatani.Syeikh Ahmad Zain Al Fatani, Sy Abdus samad Al Falimbani, Tuan Tabal, dll.
Buktinya pergi ke arkib negara check kitab-kitab mereka majority keseluruhannya kitab tasawuf.Kalau nak hukum sesuatu kumpulan tariqat itu sesat pun kenalah teliti dulu bukan ikut sedap kita. Bukan tak ada yang menyeleweng sama jugalah dengan mazhab aqidah ada juga yang menyeleweng Cuma yang dikesali dihentam satu seolah-olah hujah mereka mewakili hentam semua mazhab sufi ini yang batilnya!.
Lihat dulu ilmu kita seperti yang disarankan oleh Ustaz Tengku Fauzi apakah Ilmu kita dah setaraf ke dengan Imam Syafie atau Imam Al Ghazali atau dengan Syeikh Daud Al Fatani ke atau dengan Imam Bahaudin Naqsyabandi ke?Ini kita terus hentam ulama sufi misalnya Imam Mahiyuddin Ibnu Arabi? Baru belajar Universiti Azhar dah boleh pertikai Ulama Dahulu.Tahukah kita ramai Ulama terkemuka dan muktabar membela beliau sewaktu puak-puak dangkal menghentam beliau di antaranya:
1. Imam Majduddin Al Fairuz Abadi.
2. Syeikhul Islam (di negeri Syams) Imam Sirajuddin Al makhzumi.
3. Syeikh Kamaluddin Bin Az Zamlakani (Qadhi Al Qudhah)
4. Al Hafizh Adz Dzahbi.
5. Syeikh Asy Suhrawardi
6. Imam Al Yafi’I
7. Imam Badruddin Ibnu Jamaah
8. Imam An Nawawi.
9. Ibnu Atta’illah Askandari
10. Syeikhul Islam Badruddin Al Makhzumi.
Kemudian tentang keyakinan Nur Muhammad. Ada yang kata ciptaan kaum sufi lah , bid’ah tak ada dalam Islam dan macam-macam lagi kata mereka.Sebenar nya Keyakinan tentang Nur Muhammad ini memang ada di dalam Hadis nabi s.a.w yang mana Abdur razaq telah meriwayatkan dengan sanadnya dari Jabir Bin Abdullah Al Anshari yang menutur sebagai berikut: “Aku bertanya ; ya Rasulullah beritahu aku tentang apa yang mula pertama di ciptakan Allah swt sebelum segala sesuatu.Baginda menjawab: Hai Jabir, sebelum Allah mencipta segala sesuatu Dia menciptakan nur nabimu dari NurNya..”
Sanad dari Jabir adalah shahih, tiada perubahan apa pun.Dikuatkan lagi dengan hadis yang diriwayatkan oleh Ali Bin Husain r.a yang berasal dari ayahnya(Imam Ali Bin Abu Thalib) dan dari datuknya(Nabi Muhammad s.a.w.) iaitu :“Dahulu aku adalah nur di sisi Tuhanku”.
Hadis tersebut di sebut oleh Al Hafiz Abul Hassan Ali Bin Muhammad Bin Al Qatthan di dalam Ahkamnya. Ibnu Qatthan termasuk golongan kritikus(naqqad) hadis yang terkenal dengan teknik pembahasannya dan termasuk juga sejumlah Ulama yang sangat teliti dan ketat menjaga riwayat-riwayat Hadis dan penghafalannya.Tak kurang juga Ulama-ulama yang terkenal di nusantara yang membenarkan dan menulis tentang nur Muhammad iaitu:
1. Syeikh Abdullah Arif dalam Bahr Al Lahut.
2. Syeikh Nuruddin Ar Raniri dalam Bad-I Khalqis Samawati wal Ardh
3. Syeikh Daud Al Fatani dalam Muswaddah.
4. Syeikh Nawawi Bentan dalam Bughyan al awam dll.
5. Syeikh Basri Al Manzalawi dalam Fawaid an Nadhirah
6. Sayidi Utsman Bin Abdullah Bin Aqil ibni Yahya dalam Ad Durr al Basim..
7. Sayid Jaafar Bin Ismail al barzanji dalam Nuzhatun Nazhirin
8. Saiyid Yusuf Bin Ismail an Nahbani dalam Al Anwar Al Muhammadiah min Al Mawahib Al Laduniyyah
9. Syeikh Muhammad Bin Ismail Daudi Al Fatani dalam Kaukab ad Durri
10. Syeikh Zainal Abidin Bin Muhammad Al Fatani Dalam Kasyfil Ghaibiah
11. Syeikh Ahmad BinMuhammad Zain Al Fatani dalam Badrit Tamam
12. Syeikh Utsman Bin Syihabuddin Al Funtiani al banjari dalam Ashal KhutbahTentang Tawasul dan Rabitah.
Ramai di kalangan orang yang tidak berhati-hati dan tiada mengaji tentang ilmu Tasawuf terus menolak amalan Tawasul dan amalan rabitah.Sebenarnya kita mungkin rasa asing dalam kedua-dua amalan ini kerana kita tak memahaminya atau kerana kita tak mengaji Ilmu Tasawuf apatah lagi mengamalkannya. Ini biasa terjadi kerana kalau orang yang mengaji fardhu ain dia mesti mengaji sekurang-kurangnya 3 ilmu iaitu Ilmu Tauhid , Ilmu Feqah dan Ilmu Tasawuf tetapi bagi kebanyakkan orang sekarang mereka belajar ilmu fardhu ain hanya belajar Tauhid dan Ilmu Feqah saja tetapi mengabaikan ilmu Tasawuf kerana dianggap ilmu tasawuf bukan ilmu fardh ain .Inilah kefahaman yang silap kerana Imam Malik r.a. berkata:“Barangsiapa berfeqah saja tanpa bertasawuf maka ia fasiq dan barangsiapa yang bertasawuf tanpa berfeqah maka ia kafir zindik(penyeleweng), dan barangsiapa yang menghimpunkan antara keduanya maka jadilah ia muslim yang haqiqi”.
Kalau dalam konteks menentukan apa itu ilmu fardhu ‘ain pun tidak selari dengan ulama terdahulu macammana kita nak menentukan sesuatu itu benar atau pun salah?
Penjelasan Tawasul secara ringkas.
Tawasul atau wasilah menurut dalam pengertian bahasa ialah:“Sesuatu yang dekat kepada yang lain”.Manakala makna dari istilah hukum Islam bermaksud“Pendekatan kepada Allah Ta’ala dengan mentaati dan beribadah kepadanya, mengikut Nabi-nabi dan Rasul-RasulNya dengan semua amal yang di kasihi dan di redhai-Nya”
Ibnu Abbas menegaskan: "wasilah itu ialah pendekatan(qurbah)¨.Qatadah mentafsirkan qurbah itu ialah:"dekatkan dirimu kepada Allah Ta'ala dengan mentaati Nya dan mengerjakan amal yang di redhai Nya¡¨maka setiap perintah syara' samada yang wajib mahupun sunnat adalah tawasul atau wasilah mengikut syariat.
Dalil naqalnya ialah : Hai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah dan carilah jalan yang mendekatkan diri kepada Nya dan berjihadlah pada jalan Nya supaya kamu mendapat keberuntungan¨ (Al Maidah : 35)
Perkataan wasilah dalam ayat di atas kebanyakkan mufasirin hampir senada iaitu menuntut atau mencari pendekatan kepada Allah Taala dengan mentaati dan mengamalkan sesuatu yang di kasihi Allah Taala.Mengamalkan sesuatu amal-jalan(wasilah) yang menuju kepada kehampiran denganNya adalah bentuknya terlalu umum tetapi berdasarkan muafakat dengan Haq Ta'ala.Diantara penjelasan ahli Tafsir yang senada tadi (sama maksud) ialah:
a. Tafsir Al Khazin j.2 ms 47.
b. Tafsir Ibnu Katsir j2 ms 52-53.
c. Tafsir Fi Zhilalil Quraan j6 ms 146
d. Tafsir Al Futuhatul Ilahiyah ms 488
Manakala Tafsir :
a. Sirojul Munir (Imam Syarbaini Al Khatib)
b. Al Kasysyaf (Imam Zamakhsyari)
c. Anwarut Tanzir (Qadhi Al Baidhawi)
d. Al Kabir (Imam Fakhrur Razi) semuanya pada umumnya menyatakan wasilah atau tawasul membawa maksud:"carilah jalan supaya kamu dapat taqarrub(mendekatkan diri) kepada Allah Ta'ala¨.
Untuk kita lebih faham tentang perkara ini kita kena tahu pengertian dua perkara dan kedua- dua perkara ini mempunyai dua makna ; kedua-dua perkara ini tidak terpisah sama sekali jika terpisah maka bathil jadinya iaitu:
1. Wasilah- cara atau jalan atau alat.
2. Ghayyah- matlamat atau tujuan.
Makna pertama iaitu Allah Ta'ala memerintahkan kita berwasilah iaini mencari jalan yang diredhaiNya samada amalan wajib atau sunnat samada dengan berdoa,bershalat,bertawasul dengan asma Allah al husna , dengan berkat RasulNya atau dengan amalan sholeh atau dengan keberkatan para auliya samada cara berziarah kubur mereka, membaca mauled , atau mengadakan haul bagi mengingat sejarah perjuangan mereka di atas jalan Allah Ta'ala atau dengan mengasihi mereka iaini dengan menambat hati dengan mereka(rabithah) supaya limpah rahmatNya ke atas kita . Kesemua amalan-amalan ini dengan syarat berlandaskan syariat Allah DAN bermatlamat(ghayyah) mendekatkan diri kepada Allah iaini dengan lain perkataan Bermaksudkan Allah dan keredhaanNya jua yang di tuntut bukan lainya.
Makna Kedua iaitu Semua wasilah hanyalah wasilah jua (sabit dengan nas syara¡¦)namun yang memberi bekas hanya Allah Ta'ala.Misalnya kita berdoa atau bertawasul dengan dengan orang-orang shalih di dalam doanya atas jalan Allah Ta'ala bahawasenya kesemua doanya itu mestilah di tujukan kepada Allah Ta'ala dan bukan kepada wasilah itu sendiri secara haqiqatnya dengan I'tiqad yang putus bahawa Allah jua lah yang menentukan dan memaqbulkan segala doaersoalan yang selalu dibangkitkan ialah bolehkah kita mendekatkan diri dengan Allah Ta'ala (bertaqarrub) dengan wasilah atau bertawasul dengan orang yang telah mati atau meninggal dunia?.
Persoalan inilah yang menjadi perselisihan di antara orang yang keliru atau tak memahami hakikat wasilah. Sebenarnya dalil yang mengatakan boleh kita berwasilahkan dengan orang yang telah meninggal dunia boleh di lihat dalam beberapa sudut asalkan caranya dibenarkan oleh syara’ dan I'tiqad kita benar iaini beri'tiqad yang memberi bekas hanya Allah Ta'ala.
Sudut Pertama: Apakah orang yang mati itu bererti dianya sudah lenyap atau ghaib samasekali?Ada pendapat yang mengatakan minta tolong dengan orang yang sudah mati adalah sia-sia kerana orang yang sudah mati itu sudah lenyap(tiada) dan tiada boleh buat apa-apa ?Benarkah pendapat ini?
Sebenarnya orang yang sudah mati itu bukan bermakna mereka telah lenyap atau hancur sama sekali tetapi mereka itu hidup semacam kita. Cuma mereka telah berpindah alam iaini dari alam dunia yang fana ke alam barzakh atau alam arwah(ruh).Dalil firmanNya:“Dan jangan kamu mengatakan terhadap orang-orangyang gugur di jalan Allah(bahawa mereka itu ) mati bahkan (sebenarnya) mereka itu hidup tetapi kamu tidak menyedarinya(melihatnya)”. (Al Baqarah :157
Sudut Kedua : Apakah terputus hubungan secara total diantara orang yang hidup dengan orang yang telah mati ?Ada pendapat mengatakan bahawa orang yang hidup terputus hubungannya dengan orang yang mati jadi bagaimana mereka(arwah) boleh menolong orang yang hidup bersandarkan hadis nabi s.a.w.:Apabila anak adam telah mati maka putuslah segala amalnya kecuali tiga perkara iaitu : sedekah jariah , ilmu yang bermanafaat baginya dan anak yang shaleh yang mendoakan orang tuanya¡¨. (Riwayat : Bukhari)
Sebenarnya hadis ini menerangkan kepada kita bahawa orang yang meninggal dunia segala amal taklifiahnya telah terputus (maknanya sudah tiada lagi sesuatu amalan yang di pertanggungjawab oleh syara' ke atasnya dan tertutup segala manafaat sebab tiada lagi amalan yang boleh dilakukan ) kecuali tiga macam amal tadi tetapi hadis ini bukan menekankan bahawa tiada hubungkait langsung dengan orang yang hidup, bukan begitu!Kerana kita masih ada kait dengan para arwah dan ini boleh dilihat dalam dua hubungan iaitu:
a. Hubungan yang hidup dengan si mati.
Sebenarnya bukti orang hidup boleh memberi manafaat dengan para arwah ialah misalnya kita membayar hutang si mati maka beban mereka di sana akan terangkat insya'allah.atau menghadiah kan bacaan Qulhuallah 11 kali atau membaca yassin lalu di niatkan hadiah kepada si mati maka insya'allah dapat manafaat pada simati tersebut.
b. Hubungan yang mati dengan si hidup.
Bagi para arwah khusus ibu bapa kita dan orang-orang yang sholeh bahawa mereka akan menolong kita dengan mendoakan untuk kita dan kesejahteraan kita.Misalnya dalam surah At Taubah ayat 106 bermaksud: "Dan katakanlah (hai Muhammad):Hendaklah kalian berbuat.Allah dan RasulNya serta kaum mukminin akan melihat perbuatan kalian¨.
Ibnu Katsir menerangkan bahawa setiap amal perbuatan orang-orang yang masih hidup diperlihatkan kepada sanak-keluarga dan kaum kerabat yang telah meninggal dunia.Ia mengenengahkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud At Thayalisi ,berasal dari Jabir r.a. bahawasenya Rasulullah s.a.w. bersabda: "Amal perbuatan kalian akan diperlihatkan kepada sanak -keluarga dan kaum kerabat. Jika amal kalian itu baik mereka menyambutnyadengan gembira. Jika sebaliknya, mereka berdoa: 'Ya Allah , berilah mereka ilham agar berbuat baik dan taat kepadaMu'¨
Sudut Ketiga : Apakah orang yang telah mati itu(ruh) boleh menolong?Jawab kita boleh dan harus.Kerana ini pernah terjadi di zaman semasa dan selepas wafat nabi s.a.w. dan banyak contoh-contohnya misalnya... Di antara bukti yang jelas bagaimana orang-orang mati khususnya para nabi dan para auliya yang telah mati di mana ruh mereka dapat menolong orang yang hidup ialah sepertimana di waktu Rasulullah s.a.w mi'raj ke langit; di mana baginda Rasulullah s.a.w. telah berjumpa dengan ruh Nabi Adam a.s. dan ruh Nabi Ibrahim a.s. pada langit pertama dan kedua seterusnya nabi Adam dan nabi Ibrahim mendoakan kepada Allah Ta'ala supaya diberkati dan di bahagiakan Nabi Muhammad s.a.w. dan ummatnya.
Keterangan ini bersandarkan pada hadis Ibnu Abbas yang di rawikan oleh Bukhari.Sedangkan mereka telah pun wafat.Kemudian terdapat beberapa peristiwa memohon pertolongan dengan nabi s.a.w. setelah beliau wafat iaitu:
Peristiwa pertama :Berkata Muhammad bin Al Munkadir:Seorang lelaki yang akan pergi berjihad , menaruh wang sebanyak 80 dinar di samping ayahku , sebagai amanat, dan ia berkata kepadanya(ayahku): "Jika engkau memerlukan wang ini maka gunakanlah".
Kebetulan terjadi kenaikan harga di mana-mana maka ayahku menggunakan wang tersebut. Akhirnya ketika pemilik wang itu dating untuk mendapatkan wang simpanannya semula maka ayahku meminta dia datang pada keesokan harinya.Malam itu ayahku pergi ke masjid, duduk dan berdoa kepada makam dan mimbar Rasul. Ia terus dalam keadaan istighasah(memohon pertolongan) sampai hampir subuh. Ketika itu , dalam kegelapan masjid, muncul seseorang dan berkata: "Ambil lah ini, wahai Abu Muhammad,seraya memeberiken kepadanya sebuah kantung yang berisi 80 dinar.
Peristiwa kedua:Abu Bakar Ibn al Muqirri berkata: "Saya dan Thabrani serta Abu Syeikh merasa sangat lapar.Ketika kami berada disamping makam Nabi s.a.w. Pada malam itu , di sisi makam rasul s.a.w. aku berkata: "Wahai Rasulullah , kami lapar". Tidak lama kemudian , terdengar ketukan di pintu masjid dan masuklah seorang lelaki dari golongan Alawi bersama dua orang pemuda.Setiap orang dari mereka membawa kerajang yang penuh dengan makanan. Setelah kami selesai makan , orang Alawi itu berkata : "Aku melihat Rasulullah s.a.w. dalam mimpiku dan beliau memerintahkan aku membawakan makanan untuk kamu semua".
Peristiwa Ketiga:Ibn Jallad berkata:Aku memasuki kota Madinah dalam keadaan sangat miskin dan kekurangan. Lalu aku datang ke maqam Rasulullah s.a.w. dan berkata: "Wahai Rasulullah , aku ini tetamu mu, kemudian aku tidur. Dalam tidur itu aku mimpi melihat Rasulullah memberikan sepotong roti kepadaku.
Peristiwa Keempat:Berkata As Sayyid Ja’far bin Hassan Al Barzanji Al Madani dalam kitabnya “Jaliah Al Karbi Biashabi Sayedil ‘Ajam Wal ‘Arabi yang disebut juga oleh Al Hamawi dalam kitabnya Nataiju Al Irtihal Was Safari Fil Akhbar Al Qarni Al Hadi Al Asyar dalam perkara terjemah Al Jami’ Bainas Syariah Wal Haqiqah As Syeikh Ahmad bin Muhammad Ad Dimayati yang mahsyur dengan panggilan Ibnu Abdul Dhani Al Banna yang mati di Madinah Munawwarah dalam bulan Muharram tahun 1116 hijrah katanya:“Dalam suatu musim haji , saya bersama-sama ibu saya telah menunaikan fardhu haji.Tahun itu adalah tahun kemarau.Bersama saya ialah dua ekor unta yang telah saya beli di Mesir.Dengan menaiki dua ekor binatang inilah kami menyempurnakan haji kami.
Setelah selesai menyempurnakan haji , kami ziarah pula Madinah tetapi kedua-dua ekor unta kami telah mati di sana, sedang kami tiada punya wang untuk membeli ganti atau pun menyewanya kepada orang lain(supaya kami dapat pulang semula ke Mesir).Benar-benar hal ini sudah tidak ada harapan lagi.Lalu saya pun pergi kepada guru kami Safyuddin Al Qasyasyi. Saya beritahu kepada beliau keadaan yang berlaku dan menambah :”Sesungguhnya saya berazam hendak duduk di Madinah ini hanyalah buat sementara waktu saja , kerana masih penat dalam perjalanan, sehinggalah Allah memudahkan saya (untuk pulang).
Safyuddin Al Qasyassyi mendiamkan diri , kemudian berkata kepada saya :”Awak pergilah ,masa ini juga , ke kuburan Saidina Hamzah bin Abdul Muttalib , bapa saudara Saidina Muhammad s.a.w. Baca sedikit ayat Al Quraan dan terangkan keadaan diri awak dari awal hingga akhir sebagaimana telah awak ceritakan kepada saya ,dan awak berdiri di atas kubur yang mulia itu!”
Maka saya pun buat apa yang disuruh. Dengan bergegas saya pun pergi dan pada masa itu ialah pagi-pagi lagi.Saya baca sedikit ayat Al Qura’an dan saya terangkan keadaan diri saya seperti yang di suruh oleh guru kami.Dan(lepas itu) saya balik semula sebelum Zuhur. Saya masuk ke tempat suci ‘BabulRahmah’ saya berwudhu’ dan masuk ke dalam masjid. Rupa-rupanya ibu saya sudah sedia ada dalam masjid.
Beliau berkata kepada saya: “Di sana ada seorang lelaki bertanyakan tentang kau, pergilah kepadanya”. Saya bertanya kepada ibu saya: “Di mana dia?Ibu saya menjawab “Engkau tengok di sudut paling hujung masjid ini”.
Maka saya pun pergi , saya nampak seorang lelaki berjanggut putih. Tiba-tiba katanya pada saya: “Selamat datang wahai Syeikh Ahmad”. Saya cium tangannya dan kali ini ia bertanya: “Hendak balik Mesir kah ?” Saya menjawab : “wahai tuan !Dengan siapa kah boleh saya balik ?”Lalu katanya : “Mari ikut saya , saya akan tumpangkan awak kepada seseorang”.
Maka saya pun mengikutnya, sehinggalah kami sampai ke tempat yang bernama ‘Al Munakhah’ iaitu tempat jamaah haji Mesir tinggal di Madinah.Setelah memberi salam kepada pemilik khemah , lalu pemilik itu bangun sambil mencium tangannya dengan cara yang sangat hurmat, katanya kepada orang itu: “Tujuan saya supaya dapat tuan membawa Syeikh Ahmad dan ibunya menumpang bersama -sama tuan ke Mesir…” Kemudian ia menyambung lagi : “Berapa tuan kira ke atasnya ?”(upah atau tambang kerana membawa Syeikh Ahmad dan ibunya).Menjawab pemilik khemah : “Terpulanglah kepada tuan”.
Katanya : “Baiklah ,begini dan begini ….”Demikianlah apabila persetujuan di capai , lalu berkatalah ia kepada saya : “Bangun! Pergilah bawa ibu dan barang-barang awak!”.Saya pun bangun serta melakukan apa -apa yang disuruhnya, sedang ia masih duduk bersama pemilik khemah. Sebelum itu , oleh pemilik khemah, saya telah di syaratkan membayar baki sewa setelah sampai di Mesir kelak.
Semua itu di persetujui dan berikutnya , ia membaca surah Al Fatihah serta menasihatkan saya tentang kebajikan. Ia bangun dan saya mengikutnya. Setelah sampai di mesjid, ia berkata kepada saya : “Masuk awak dulu saya kemudian”.
Saya pun masuk dan menunggunya. Hingga selesai sembahyang ,saya belum melihatnya. Puas berulang-ulang saya mencarinya tetapi tidak berjumpa.Lalu saya balik semula kepada pemilik khemah bertanyakan tentang orang yang membawa saya tadi : “Siapa dia yang sebenarnya dan dimana tempat tinggalnya ?”.
Pemilik khemah memberitahu saya bahawa ia sendiri tidak mengetahui dan bahkan tidak pernah kenal sebelum ini.“akan tetapi” , pemilik khemah itu menyambung keterangannya kemudian: “ketika ia masuk, satu macam perasaan gerun dan takut muncul dalam diri saya , yang belum pernah berlaku seumpama itu dalam umur saya”.
Maka kemudian , saya ulangi lagi mencarinya tetapi tetap tidak berhasil. Lalu pergilah saya kepada guru saya tadi, As Syeikh Safyuddin Ahmad Al Qasyasya. Saya terangkan kepada beliau segala kejadian ini. Katanya mengulas : “Ini ialah ruh Saidina Hamzah r.a. yang menjelma kepada mu”.
Sudut Keempat : Adakah minta tolong pada ruh simati yang sholeh itu boleh menyebabkan seseorang itu menjadi musyrik(melakukan syirik terhadap Allah Ta¡¦ala) ?Jawabnya :TIDAK. Kerana pada kita dalam mazhab Ahlus Sunnah Wal Jamaah berpendapat bahawa segala permintaan kita (doa) kita adalah ditujukan secara haqiqatnya kepada Allah Ta'ala dan yang dapat memunafaatkan sesuatu atau memudharatkan sesuatu hanya Allah tidak pada yang lainnya samada makhluk hidup mahu pun makhluk mati(atau ruh), tidak ada bezanya yang beza cuma secara fizikali saja pada haqiqatnya tetap sama .
Misalnya:Kita minta tolong dengan orang yang hidup supaya memenuhi hajat kita tentu tidak syirik kerana walaupun pada lahirnya nampak seseorang yang menolong kita tetapi pada haqiqatnya Allah Lah yang memenuhi hajat kita. Cuma orang itu sebagai wasitah(perantara saja) bagi memenuhi hajat kita itu.Begitu jugalah kalau kita bertawasul atau minta tolong pada ruh orang sholeh supaya di doakan kita atau memohon berkat darinya kita tetap beri'tiqad bahawa ruh si mati itu tiada dapat memberi bekas terhadap hajat atau doa kita dan yang memberi bekas hanya Allah Ta'ala.Cuma ruh-ruh orang sholeh ini menjadi wasitah(perantara) sebab doa atau hajat kita di maqbul oleh Allah Ta'ala.
Dalam hal ini Mufti Sayyid Zaini Dahlan Mufti Mekah bermazhab Syafie (pada masa dulu) berkata: "..Dalam soal tawasul ini antara nabi dan nabi-nabi lain , rasul-rasul , wali-wali dan orang sholeh , tidak ada perbezaan hidup atau mati kerana mereka tidak mencipta sesuatu juga , mereka tidakberkuasa sama sekali , hanya berkat mereka di ambil kerana mereka kekasih Allah ; mencipta dan mengadakan hanya milik Allah , Tunggal dan tiada bersekutu.
Orang yang membezakan antara orang yang hidup dengan orang yang mati, maka orang itu mengi'tiqadkan bahawa orang hidup bias mencipta dan orang yang mati tidak bias lagi. Kita berkeyakinan dan beri'tiqad bahawa yang menjadikan tiap-tiap sesuatu adalah Allah dan Allah itu menjadi kita dan menjadikan pekerjaan kita¡¨.
Adapun ramai Ulama besar mengamalkan amalan tawasul di antaranya :
1. Syeikh Ahmad Khatib Minagkabau
2. Syeikh Sayid Bakfi Syata (pengarang kitab I'anatut Talibin)
3. At Tarabulusi (pengarang kitab Tauhid yang terkenal iaitu Husunul Hamidiyah)
4. Syeikh Abdul Aziz Al Hakim.
5. Syeikh Ibrahim Musa Parabek (pengarang kitab Hidayatus Sibyan)
6. Imam Ramli (pengarang kitab Nihayatul Muhtaj mazhab Syafie)
7. Syekhul Islam Ibrahim Al Baijuri (pengarang kitab Kifayatul Awam)
8. Abdur Rauf Al Manawi (pengarang kitab Faidhul Qadir Al Jamius Saghir)
9. Syeikh Zainal Abidin bin Muhammad Al Fatani (pengarang kitab Aqidatul Najin)
10. Syeikh Nawawi Bentan
11. Imam Barzanji
12. dll.
Kalau ramai Ulama besar beramal mestilah ianya boleh dan sangat baik dilakukan dengan jalan yang betul. Tak akan pula Ulama-Ulama yang terkenal dan di akui ini akan mengajar atau mengamalkan sesuatu yang menyesatkan.Siapa nak pergi tempah ke neraka di jauhkan Allah Ta'ala.Tapi kalau masih ada puak yang tak percayakan Ulama itu saya angkat tangan..Tak guna berhujjah jika sumber istimbat hukum sudah menyeleweng!!
Ada pulak puak yang terkeliru berhujjah dengan katanya : "Mengapa kita perlu ikut ulama sedangkan ulama tidak ma'sum adalah lebih baik kita ikut Hadis nabi kerana hadis nabi itu sudah jelas(nyata) dan ma'sum dari melakukan kesilapan ?
¨Pandangan ini lagi mengelirukan kita ! Memanglah hadis itu ma'sum dan ulama tidak ma'sum tapi bukan kah setiap hadis nabi itu mesti di huraikan mengikut pandangan ulama? Dan tidakkah Allah Ta'ala menganjurkan supaya bertanya pada mereka yang tahu(ulama) jika kamu tidak tahu ?
Bahkan nabi sendiri bersabda : "Ulama itu adalah pewaris nabi-nabi¨.(Dirawikan oleh Abu Daud,At Tarmidzi dll dr Abid Darda). Tiba-tiba datang satu puak ni tak mahu pakai tafsiran ulama kalau begitu nak suruh kita tafsir hadis tu sendiri-sendiri alamat rosaklah agama. Bila agama di tafsir oleh orang jahil akan rosaklah ummat dan porak poranda lah dunia ni nanti. Sebab itulah ada satu puak tolak mazhab kerana alasan mereka bahawa mazhab itu ciptaan Ulama.Di zaman Rasulullah s.a.w. mana ada mazhab kata mereka.
Memanglah di zaman Rasulullah s.a.w. tidak ada mazhab bahkan tiada ilmu feqah(yg tersusun macam sekarang), Ilmu Tauhid,Ilmu Tasawuf,Ilmu tajwid,Ilmu Tafsir dan sebagainya kerana di zaman Rasulullah s.a.w. semuanya terangkum sekali. Apabila sahabat ada satu-satu masalah terus boleh tanya Rasulullah s.a.w. dan terus dapat jawapannya tapi sekarang sementalahan Rasulullah s.a.w. telah meninggalkan kita sudah sekian lama bagaimana kita nak mengetahui satu-satu hukum jika kita berdepan dengan berbagai masalah yang serba canggih hari ini bukankah Ulama lah tempat rujuk kita ?
Bolehkah kalau kita jumpa satu-satu ayat Al Qur'an atau Al Hadis maka kita tafsir ikut akal kita sendiri tanpa merujuk (atau mengetahui) pada ilmu-ilmu alatnya seperti Bahasa Arab ,Asbabun Nuzulnya , Ilmu Mustalah Hadis , Usul Tafsir dan sebagainya ? Sudah tentu tidak maka itu sebabnya kita di wajibkan bertaqlid(mengikuti) pada mana-mana pada salah satu mazhab feqah dalam Islam supaya selamat kita dari arus mentafsir Al Quraan dan Sunnah nabi s.a.w. ikut nafsu kita sendiri! Kadang kala situasi akan menjadi pelik jika ada orang berhujjah dengan bertanyakan apa hadis ini hadis shahih ke dhaif ? Al Maklumlah sekarang ni kebanyakkan orang sudah pandai menilai..
Cuma sayangnya bila kita tanya dia balik, berapa ribu hadis yang telah awak tahu dan hafal dalam menilai sesuatu hadis ? Disiplin macamanakah nak untuk mengetahui ketogeri satu-satu hadis itu ? Sudahkah anda pelajari ilmu alatnya ? Kalau semua persoalan tidak dapat di jawab maka kembali lah kepada Ulama - Ulama mazhab dan ulama-ulama muktabar yang berkepercayaan dari dulu dan sekarang. Kerana peranan mereka lah dengan menyusun ayat-ayat Al Qur'an dan Al hadis serta mengkaji sedalam-dalamnya berdasarkan ilmu-ilmu alat dan ilmiah serta sikap yang terlalu berhati-hati timbul lah di depan mata kita dengan mudah (bagi kita yang bertaraf awam) kitab-kitab Ilmu Tauhid, Kitab Ilmu Feqah, Kitab Ilmu Tasawuf Kitab Tafsir dan sebagainya.
Tetapi setengah dari sikap puak baru yang keliru kadangkala sampai dituduh ulama terdahulu tak belajar hadis atau cetek dalam ilmu mustalah hadis kerana banyak mengeluarkan hadis-hadis yang bertaraf dhaif dalam kitab mereka!(peristiwa ini memang benar-benar terjadi).Bila kita ukur dari segi ilmunya atau akhlaknya orang yang bercakap macam itu tadi air kaki Ulama terdahulu pun tak ada jika nak di bandingkan ilmu mereka , wara mereka , adab dan akhlaq serta tawadhu mereka bahkan sikap berhati-hatinya mereka terhadap satu-satu hukum yang nak di keluarkan kerana terlebih takut mereka itu akan Allah Ta'ala. Inilah sikap Ulama terdahulu seperti Imam-imam mazhab,Imam Ghazali r.h .Imam Mahiyuddin Abdul Qadir Al Jilani , kedua-dua Ibnu Hajar,Imam Sayuti, Imam Abu hassan Asy'ari, Imam Abu Mansur Al Maturidi , Syeikh Daud Al Fatani dan banyak lagi yang se aliran dengan mereka yang tergolong dalam mazhab Ahlus Sunnah Wal Jamaah.
Apa yang di takuti ialah kita menjadi puak modenis secara disedari atau pun tidak yang menjadi penilai hadis ikut acuan mentality musuh-musuh Islam sepertimana yang di ulas oleh Wan Muhammad Ali dalam bukunya Islam dan Fitnah Modenisasi Ms 92 (terbitan Pustaka Syuhada cetakan tahun 2000)dengan katanya : "Sebahgian kaum modenis menerima hadis , di samping Quraan untuk menjadi panduan hidup mereka. Tetapi mereka memilih -milih di antara hadis itu : mana yang bercanggah dengan cara hidup mereka atau kecenderungan-kecenderungan mereka, menyelewengkan maksudnya atau mereka pejamkan mata terhadapnya atau mereka tolak saja mentah-mentah sebagai hadis maudhu' ataupun sekurang-kurangnya dhaif.
Di antara hadis-hadis yang paling tidak disukai oleh kaum modenis umumnya ialah hadis-hadis yang menyatakan tentang kecelaan dunia , kecelaan hidup bermewah-mewah , keutamaan hidup miskin dan fakir dan larangan bertasyabuh iaitu menyerupai atau meniru-niru kaum kafir. Mereka menggolongkan hadis-hadis yang mereka tidak sukai itu sebagai maudhu atau sebagai dhaif bukan secara ilmiah dan dasar ikhlas tetapi atas dorongan hawa nafsu saja.
Ada pula kaum modenis yang membuat kajian terhadap hadis dan sunnah , mencuba menayangkan mentality moden mereka yang bersifat agnostic atau ragu-ragu terhadap Allah itu , ke atas para rawi tertentu membuat hadis atau membuat kebohongan , padahal para rawi itu telah di akui oleh para ahli hadis sebagai orang yang bersifat adil dan bertaqwa dan hidup dalam suasana sentiasa takut akan kemurkaan Allah.
Kemudian terdapat pula percubaan di kalangan kaum modenis terutamanuya murid-murid orientalis , untuk menganalisa hadis dengan menggunakan kaedah-kaedah "higher Criticism" seperti yang telah disebutkan tadi. Mereka di pengaruhi antara lainnya oleh orientalis Yahudi Ignaz Goldziher dan Joseph Schacht dan orientalis Kristian seperti Sir Hamilton A.R. Gibb¡¨.



