Manakan dapat sagu kalau tidak dipecahkan ruyungnya?
Manakan dapat mutiara yang berkerlipan jika takut menyelam ke lautan dalam.
Dalam diri setiap manusia, ada seketul daging.
Jika baik ia, maka baiklah seluruh jiwa manusia itu.
Jika buruk ia, buruklah juga manusia itu...
Seketul daging itu adalah hati,
mari kita lapangkan dada dan belajar mengIKHLASkan hati.
Perjalanan seribu batu bermula dengan satu langkah.
Marilah meneroka dunia pemikiran hamba.
Silakan

Video klip yang tertera boleh dianggap sebagai pembukaan kepada dunia pemikiran dan kesukaan hamba...







-------------------------


-------------------------



Segala yang dipaparkan menggambarkan pemikiran penulis yang turut terserap di dalam setiap penulisan buku dan artikel. Lihat Cara-cara mendapatkan buku tulisan Merah Silu @ Radzi Sapiee. Di atas adalah satu klip video selama hampir setengah jam yang merupakan demo pilot episode yang mahu digunakan untuk mencadangkan satu siri pengembaraan menyusuri sejarah Melayu Islam sekeliling Nusantara untuk siaran televisyen. Entah mengapa ia menemui masalah. Kemudian penulis diberitahu konsepnya diciplak sebuah stesyen televisyen. Lihat Kembara Sejarah Islam Nusantara : The original material...



Ini adalah klip video ulasan buku ketujuh saya "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" berserta temuramah yang dibuat siaran langsung di Selamat Pagi Malaysia, RTM1. Lihat Siaran langsung ulasan buku "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" dan temu ramah di Selamat Pagi Malaysia.



Penulis juga pernah diminta membuat pembentangan mengenai siri buku "Berpetualang ke Aceh" di Masjid Sultan Salahuddin iaitu masjid negeri Selangor di Shah Alam. Lihat Buku "Berpetualang" dan himpunan ulamak Nusantara yang diketuai ulamak Aceh


-------------------------



Siri novel "Berpetualang ke Aceh" boleh didapati dalam bentuk e-book. Masuk http://www.e-sentral.com/, klik kategori novel am dan taip perkataan "Aceh" pada kotak carian. Atau terus klik Buku 1,Buku 2 dan Buku 3.





Gambar ketika menghadiri satu majlis ilmu, diambil oleh sebuah akhbar harian. Lihat Menghiasi Kosmo Alam Melayu...



Penerbitan trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" juga membawa penulis untuk terlibat dengan banyak majlis ilmu. Rujuk kumpulan links artikel di bawah tajuk "Siri Refleksi Sejarah", pada bahagian paling bawah kiri blogspot, . Penulis juga agak aktif dalam aktiviti-aktiviti kedaulatan Melayu dan Islam, dapat menganjurkan majlis-majlis sendiri di merata Semenanjung Malaysia membawa ke luar negara di Aceh. Lihat blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


Ketika menulis perenggan ini 4 Mei 2015 penulis sedang berusaha untuk mengembangkan isi 3 buku dalam siri "Berpetualang ke Aceh" menjadi 6 buku yang akan membentuk siri baru dipanggil "Siri Pengembaraan Merah Silu". Sebuah syarikat penerbitan telah bersetuju untuk menerbitkan siri lama itu kembali dalam bentuk yang lebih segar - Setiap buku asal dipecah menjadi 2 buku baru yang ditambah maklumat, gambar dan peta berwarna-warni.Pertengahan September 2015 buku pertama siri baru pun selamat diterbitkan. Seminggu lebih kemudian penulis berpeluang bercakap tentangnya secara siaran langsung dalam televisyen lalu membawa wakil penerbit bersama. Lihat video di bawah :-





Awal tahun 2015 turut menyaksikan penulis diambil menjadi penyelidik dan hos satu siri dokumentari yang dipanggil "Daulah Melayu". Projek 13 episod sepanjang sejam setiap satu ini mahu mengenengahkan formula untuk mengembalikan kekuatan bangsa Melayu. Insyaallah projek iakan membawa penulis untuk mengembara ke merata di Malaysia dan Indonesia juga ke beberapa negara dan tempat di Eropah termasuk ke kota London, tempat penulis mengambil ijazah matematik 1991-1995. Siri dokumentari ini dijangka siap untuk tayangan televisyen dalam tempoh 2 tahun.


Pada 13 Mei 2023 buku ke 13 + 1 penulis (pertama setelah yang ke-13 terbit tahun 2019 lalu mula memberikan tumpuan pada pengajian pascasiswazah di ISTAC iaitu Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam di Bukit Tunku, Kuala Lumpur), Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin & Orang Kaya Arsyad telah dilancarkan oleh sejarawan ulung negara, Profesor Emeritus Datuk Dr Abdullah Zakaria Ghazali di rumah penulis. Lihat Majlis pelancaran buku dan rumah terbuka raya 2023 - Melestarikan semangat perjuangan. Beliau yang bertanggungjawab memberikan kata-kata aluan dalam buku turut menjadi pembicara dalam diskusi yang diadakan di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2023 (berlangsung 26 Mei hingga 4 Jun). Lihat Bicara buku Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin di PBAKL 2023. Diskusi ini terakam dalam video atas diikuti video bawah...



Isnin, November 20, 2006

Nur belahan jiwaku

Hmm... Entah kenapa jiwa ini terasa begitu nostalgik... Rasa mahu bermadah pun ada mengenangkan seseorang itu, seorang wanita yang terasa seperti belahan jiwa, amat memahami perjalanan hidup hamba Allah ini dalam susah dan senang, hampir sahaja dalam semua keadaan...
Di kala orang lain memandang serong atau mengatakan fakir ini gila kerana selalu berbuat sesuatu di luar kelaziman umum, dialah satu-satunya manusia yang sedia memberikan sokongan tanpa dipinta. Oleh itu biarlah disajikan sedikit sedutan berkaitan daripada buku "Berpetualang ke Aceh: Mencari Diri dan Erti." Sila...

Dengan kecekapannya serta sokongan daripada empayar Aceh, Muhammad Dalik berjaya mengendalikan seluruh bekas wilayah Haru ke dalam kekuasaannya. Baginda mangkat tahun 1653 lalu digantikan oleh puteranya Tuanku Panglima Perunggit. Wilayah inipun mula dikenali sebagai Deli, mungkin mengambil sempena nama tanah asal nenek-moyang mereka di Delhi. Pemerintahnya pula dikenali sebagai Panglima Deli.
Pengaruh dan kekuasaan Aceh pula mula merosot selepas kehilangan rajanya yang terkenal sebagai penakluk agung, Sultan Iskandar Muda yang mangkat tahun 1636. Semasa zaman pemerintahan raja-raja perempuan yang bermula selepas kemangkatan pengganti Iskandar Muda, Sultan Iskandar Thani tahun 1641, satu demi satu wilayah jajahan takluk Aceh mula melepaskan diri daripada pengaruh kuasa besar itu.
Pada tahun 1669, Panglima Perunggit pun mengisytiharkan Deli merdeka dari Aceh. Tetapi baginda masih mengekalkan tradisi dengan terus memakai gelaran Panglima Deli.
Deli mula mempunyai Sultan sendiri apabila cicit Panglima Perunggit, Tuanku Amal diangkat menjadi Sultan Panglima Mangedar Alam dengan akta Sultan Siak bertanggal 8 haribulan Mac 1814. Ketika itu, pengaruh Aceh sudah jauh merosot walaupun ia masih lagi sebuah kuasa besar yang digeruni sementara Siak yang mendapat sokongan kuasa kufar Belanda mula melebarkan pengaruh ke atas beberapa bekas jajahan takluk Aceh.
Semasa zaman Tuanku Amal, Deli juga muncul sebagai salah sebuah kerajaan yang terkaya di Sumatera kerana hasil buminya yang melimpah-ruah. Dari Sultan inilah turunnya Sultan-Sultan Deli sampai sekarang.

————————

“Hah Nur. Cuba awak baca tulisan saya tentang Deli untuk buku saya mengenai Aceh,” Rasyid menyapa teman kesayangannya Nur dalam satu pertemuan sambil menyuakan print-out yang baru dibuat pagi tadi.Wanita manis itu tidak menolak. Walaupun minatnya terhadap sejarah terutama kisah raja-raja tidak sekuat minat lelaki yang bertakhta di hatinya, dia sedia menerima ‘tugasan’ itu dengan senang hati. Lagipun Nur berharap supaya Rasyid dapat berdiri kembali dengan semangat juang yang pernah dipertontonkannya dahulu, semangat untuk menyumbangkan kebolehan yang ada demi kedaulatan agama, bangsa dan negara. Semangat kental itulah yang berjaya menambat hatinya sejak 10 tahun lalu...
Gadis itu masih ingat perbualan mereka selepas beberapa hari berkenalan, ketika berehat di bawah pohon rendang di Hyde Park, London bersama dua orang kawan. Bagaimana bersemangatnya pemuda itu menyuakan idea-ideanya untuk memajukan masyarakat Malaysia supaya boleh menyaingi malah menandingi tamadun Barat. Malangnya, Rasyid telah banyak kehilangan semangat lebih-lebih lagi selepas kehilangan beberapa orang ahli keluarga yang disayanginya tahun 2002...
“Ya Allah, bangkitkanlah dirinya yang sebenar. Kembalikanlah semangatnya yang hilang. Tolonglah dia menyiapkan bukunya dan jayakanlah ia supaya dia boleh tersenyum riang, sihat dan kuat seperti aku kenalinya di London dahulu,” dia berdoa sebelum mula membaca.
Rasyid menyalakan sebatang rokok lalu membiarkan ‘Laila’ pujaannya menelaah penulisan yang diberi. Dia sengaja duduk jauh supaya tidak mengganggu perhatian wanita itu. Sambil-sambil itu anak muda ini cuba membaca mimik muka Nur yang tidak pernah jemu-jemu ditatapnya dari mula perkenalan dahulu sampailah sekarang.
“Manis,” bisik hatinya. “Patutlah ramai lelaki boleh jadi angau, jatuh cinta melihat wajahnya. Tetapi dia tetap mencari aku juga walaupun banyak halangan dihadapi daripada pelbagai pihak dan berbagai arah. Walaupun keadaan belum lagi mengizinkan kami benar-benar bersatu.”Lebih kurang 10 minit kemudian, Nur pun bersuara: “Habis dah...”
“Bagaimana, OK tak?” tanya Rasyid.
“Boleh tahan!” jawab Nur.
“Ya ke?” pemuda itu meminta kepastian.
“A’ah... Boleh tahan teruk,” dia berseloroh.
Mereka pun ketawa riang. Mata Nur melirik manja...
Tiba-tiba muka Rasyid berubah serius. Nur kenal air muka itu. Nampaknya ada sesuatu yang berat mengganggu fikirannya...
“Mengapa?” teman wanitanya itu bertanya risau
Pemuda itu senyap seketika. Dahinya mula terkerut-kerut... Sedetik, dua detik... “Saya teringat semasa di Medan dahulu,” baru dia bersuara. “Saya sedih melihat keSultanan Deli sekarang tinggal tidak lebih dari satu lambang yang sudah ketinggalan zaman. Sultannya masih ada tetapi kata orang-orang di istana, baginda sekarang tidak duduk di Deli ataupun Medan sebaliknya bertugas sebagai seorang pegawai tentera di Jakarta, kalau tidak salah saya berpangkat Kolonel. Maka seorang Sultan yang merupakan lambang tertinggi rakyat Deli kini bekerja di bawah perintah orang kebanyakan berketurunan Jawa yang dahulu sering bermusuhan dengan rakyat kerajaan-kerajaan di sebelah Sumatera.”
Rasyid berhenti lagi. Termenung jauh mengenang kembali pengalamannya. Memang mukanya nampak begitu serius, ada gaya seperti orang hendak mengamuk. Ada masanya merah padam seolah-olah tersimpan dendam yang membara menunggu masa sahaja untuk dilangsaikan. Nur pula yang risau melihat keadaan lelaki kesayangannya bagaikan gunung berapi sedia untuk meletus...
“Awak tahu tidak, Istana Maimon kebanggaan rakyat Deli dan penduduk Medan pula sudah jadi seperti muzium!” pemuda itu tiba-tiba menyambung. “Sesiapa pun boleh masuk ke sana malah duduk di atas takhta milik raja kalau sanggup membayar ongkosnya. Kerabat-kerabat diraja pula sudah jadi seperti tourist guide serta tukang kutip duit kerana di sana tidak pakai tiket tetapi sumbangan ikhlas. Ikhlas konon tetapi ada bayaran minimum... Ada pula yang menjadi peminta sedekah, tidak segan-silu menagih wang di tangga istana. Agaknya kalau istana itu boleh dijual sudah lama dijual mereka. Tetapi kalau dijual, di mana pula kerabat-kerabat diraja ini hendak merempat?” dia melahirkan rasa kesal.
Nur memandang penuh simpati. “Acid tetap passionate,” bisik hatinya. Gadis itu sedar pemuda kesayangannya itu tetap bersemangat apabila bercakap tentang perkara-perkara yang menarik perhatiannya. Perkara-perkara yang dirasakan penting dalam hidupnya, sejak kebelakangan ini kebanyakannya berkaitan dengan nasib orang Melayu dan Islam dalam zaman moden serta perjuangan akhir zaman. Hal-hal yang dirasakannya perlu diketengahkan demi memartabatkan agama, bangsa dan negara...
“Awak tahu, saya meninggalkan istana keSultanan Deli dengan rasa yang amat terkilan,” Rasyid meneruskan. “Beginikah nasib keturunan raja di sana? Mereka adalah kerabat yang dekat dengan takhta tetapi hidup menagih sumbangan ikhsan orang ramai. Sultan Deli yang sepatutnya menjadi lambang tertinggi rakyat Deli sekarang duduk di bawah perintah rakyat biasa Jawa. Simboliknya, ini bererti rakyat Deli lebih rendah tarafnya daripada orang Jawa. Saya dapat melihat bahawa Republik Indonesia ini dikuasai oleh Jawa semata yang berpusat di Jakarta. Penguasa-penguasa di wilayah-wilayah lain yang jauh berbeza etniknya juga adalah Jawa. Ataupun pemimpin pilihan mereka yang sanggup menyembah ke Jakarta.”
“Inilah hakikat yang saya lihat selama berada di Sumatera,” pemuda itu terus meluahkan kekecewaan. “ Semuanya kalau boleh hendak di‘Jawa’kan. Kalau boleh semua jalan di Sumatera hendak diberi nama seperti Jalan Sudirman (sempena nama General Sudirman), Jalan Diponegoro, Gatot Subrato dan sebagainya yang terang-terang berbau Jawa.”
“Awak fikirlah!” dia masih tidak mahu berhenti. “Sejarah tempatan pun kalau boleh hendak digelapkan semuanya, diganti pula dengan sejarah kegemilangan Jawa atau sejarah tempatan yang berkaitan dengan Jawa sebagai identiti kebanggaan Republik Indonesia.”
Rasyid berhenti sejenak. Mungkin mulutnya penat? Yang pasti dia masih lagi kelihatan merah, muka masih lagi merah padam. Mungkin dia sudah terlalu panas lalu cuba menenangkan diri pula?
“Tidak baik awak kata begitu,” Nur menegur selepas lama mendiamkan diri. Sementara ada peluang untuk berkata-kata... “Awak bercakap seperti mengutuk dan membenci orang Jawa! Macam nak cari musuh pula...”“Tidak awak,” Rasyid membela diri... “Saya bukan hendak menghina, merendahkan atau memusuhi orang-orang Jawa. Ibu saya sendiri setengah Jawa - Bapanya Bugis, ibunya Jawa. Ayah saya pula Melayu Perak campur Aceh. Saya ini kira sesuku Jawalah juga. Ada juga kena-mengena.”
“Kalau sesuku Jawa, lagi tiga suku itu kira biollah? Habis tiga suku?” wanita berdarah Arab Hadramaut itu berseloroh kemudian tertawa lembut sambil menutup mulut dengan tangannya. Sopan, manis....
Pemuda itupun tersenyum. Tahu yang temannya ini cuma mahu mengendurkan ketegangan suasana. Sedar, ada masa dirinya menjadi begitu serius sehingga boleh menakutkan orang ramai walaupun dia tidak pernah berniat begitu. Susah juga bila darah Acehnya mula ‘naik’...
“Sorrylah saya marah-marah tadi,” Rasyid meminta maaf. “Saya geram sangat melihat keadaan di Medan. Geram tengok apa yang orang Jawa sudah buat pada pusat keSultanan Deli itu, bukannya nak kutuk Jawa...”Wanita itu tunduk terdiam. Sebenarnya dadanya berdebar-debar bila lelaki idamannya menaikkan suara. Garang, penuh bertenaga... Jantungnya masih lagi berdegup kencang tetapi dia cuba menyembunyikan gelora di jiwanya dengan berseloroh. Malu jika lelaki itu tahu...
“Ala, awak bukan tidak kenal saya.” pemuda itu menyambung lalu merenung tepat ke mata Nur. “Saya mengamuk inipun kira acah aje... Bukannya betul-betul. Saja nak tengok reaksi awak...”
Gadis itu tersipu-sipu malu. Teringat semasa di London dahulu, kali pertama terjumpa di Malaysia Hall. Begitu juga renungannya. Tajam...
“Lagipun, setahu saya perkataan Jawa itu berasal daripada perkataan Jawi, iaitu satu bangsa yang dinasabkan kepada keturunan Nabi Allah Ibrahim melalui isteri ketiganya, Siti Beturah,” sambung Rasyid. ”Secara umum pula, perkataan Jawi atau bangsa Jawi itu juga merujuk kepada bangsa Melayu yang mengandungi pelbagai suku bangsa. Termasuk orang yang asalnya berketurunan Arab, Parsi, Eropah, Cina dan India tetapi menetap dan beranak-pinak di Nusantara. Maka itu, orang Melayu menulis dalam huruf Jawi, lelaki Melayu bersunat dikatakan masuk Jawi.”
Nur kurang selesa dengan keadaan lelaki kesayangannya yang masih agak serius tetapi dia terpesona dengan pengetahuan luas yang ditunjukkannya. Dalam diam-diam, gadis manis itu meminta Tuhan supaya mengurniakan lelaki itu wadah yang sesuai untuk melanjutkan perjuangannya. Dan dia sendiri meminta dirinya dikurniakan kepandaian serta kelebihan akal yang setara untuk menyokong Rasyid nanti.
Pemuda itu pula masih belum puas bercerita tentang Jawa. Katanya, jika Jawa itu bermaksud Jawi, atau bangsa Jawi dalam ertinya yang luas, dia tidak ada masalah dengan mana-mana orang Jawa. Tetapi jika yang dimaksudkan adalah keturunan Jawa Majapahit yang walaupun zahirnya beragama Islam tetapi rohaninya Hindu, sanggup menekan dan menindas umat Islam dari suku bangsa Melayu lain seperti yang banyak berlaku sekarang terutama di Aceh, maka dia mengaku memang dia anti-Jawa. Sedar tidak sedar hamba Allah yang penuh semangat keMelayuan ini telah berdiri tegak sambil menggenggamkan buku limanya di hadapan muka. Seperti panglima hendak melangkah ke medan perang pula gayanya...
Rasyid cuba mengawal kemarahan. Darah Aceh, darah perjuangan turun-temurun menegakkan syiar Islam yang mengalir kuat dalam tubuhnya tidak dapat menerima apa yang dilihatnya sebagai usaha untuk men‘Jawa’kan lalu merendahkan martabat negeri-negeri lain. Pemuda ini juga telah banyak kali terserempak dengan orang-orang Jawa yang terlalu mengagung-agunhkan suku kaum mereka terutama dalam hal kebudayaan, agama dan kerohanian sehingga memperlekehkan suku kaum lain...
Ah... Daripada terus begini menunjukkan geram di hadapan Nur, lebih elok dia mengamuk sorang-sorang... Dan sebagai seorang bekas wartawan, cara terbaik untuk melepaskan semua ini ialah dengan penulisan...

Tiada ulasan: