Manakan dapat sagu kalau tidak dipecahkan ruyungnya?
Manakan dapat mutiara yang berkerlipan jika takut menyelam ke lautan dalam.
Dalam diri setiap manusia, ada seketul daging.
Jika baik ia, maka baiklah seluruh jiwa manusia itu.
Jika buruk ia, buruklah juga manusia itu...
Seketul daging itu adalah hati,
mari kita lapangkan dada dan belajar mengIKHLASkan hati.
Perjalanan seribu batu bermula dengan satu langkah.
Marilah meneroka dunia pemikiran hamba.
Silakan

Video klip yang tertera boleh dianggap sebagai pembukaan kepada dunia pemikiran dan kesukaan hamba...







-------------------------


-------------------------



Segala yang dipaparkan menggambarkan pemikiran penulis yang turut terserap di dalam setiap penulisan buku dan artikel. Lihat Cara-cara mendapatkan buku tulisan Merah Silu @ Radzi Sapiee. Di atas adalah satu klip video selama hampir setengah jam yang merupakan demo pilot episode yang mahu digunakan untuk mencadangkan satu siri pengembaraan menyusuri sejarah Melayu Islam sekeliling Nusantara untuk siaran televisyen. Entah mengapa ia menemui masalah. Kemudian penulis diberitahu konsepnya diciplak sebuah stesyen televisyen. Lihat Kembara Sejarah Islam Nusantara : The original material...



Ini adalah klip video ulasan buku ketujuh saya "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" berserta temuramah yang dibuat siaran langsung di Selamat Pagi Malaysia, RTM1. Lihat Siaran langsung ulasan buku "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" dan temu ramah di Selamat Pagi Malaysia.



Penulis juga pernah diminta membuat pembentangan mengenai siri buku "Berpetualang ke Aceh" di Masjid Sultan Salahuddin iaitu masjid negeri Selangor di Shah Alam. Lihat Buku "Berpetualang" dan himpunan ulamak Nusantara yang diketuai ulamak Aceh


-------------------------



Siri novel "Berpetualang ke Aceh" boleh didapati dalam bentuk e-book. Masuk http://www.e-sentral.com/, klik kategori novel am dan taip perkataan "Aceh" pada kotak carian. Atau terus klik Buku 1,Buku 2 dan Buku 3.





Gambar ketika menghadiri satu majlis ilmu, diambil oleh sebuah akhbar harian. Lihat Menghiasi Kosmo Alam Melayu...



Penerbitan trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" juga membawa penulis untuk terlibat dengan banyak majlis ilmu. Rujuk kumpulan links artikel di bawah tajuk "Siri Refleksi Sejarah", pada bahagian paling bawah kiri blogspot, . Penulis juga agak aktif dalam aktiviti-aktiviti kedaulatan Melayu dan Islam, dapat menganjurkan majlis-majlis sendiri di merata Semenanjung Malaysia membawa ke luar negara di Aceh. Lihat blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


Ketika menulis perenggan ini 4 Mei 2015 penulis sedang berusaha untuk mengembangkan isi 3 buku dalam siri "Berpetualang ke Aceh" menjadi 6 buku yang akan membentuk siri baru dipanggil "Siri Pengembaraan Merah Silu". Sebuah syarikat penerbitan telah bersetuju untuk menerbitkan siri lama itu kembali dalam bentuk yang lebih segar - Setiap buku asal dipecah menjadi 2 buku baru yang ditambah maklumat, gambar dan peta berwarna-warni.Pertengahan September 2015 buku pertama siri baru pun selamat diterbitkan. Seminggu lebih kemudian penulis berpeluang bercakap tentangnya secara siaran langsung dalam televisyen lalu membawa wakil penerbit bersama. Lihat video di bawah :-





Awal tahun 2015 turut menyaksikan penulis diambil menjadi penyelidik dan hos satu siri dokumentari yang dipanggil "Daulah Melayu". Projek 13 episod sepanjang sejam setiap satu ini mahu mengenengahkan formula untuk mengembalikan kekuatan bangsa Melayu. Insyaallah projek iakan membawa penulis untuk mengembara ke merata di Malaysia dan Indonesia juga ke beberapa negara dan tempat di Eropah termasuk ke kota London, tempat penulis mengambil ijazah matematik 1991-1995. Siri dokumentari ini dijangka siap untuk tayangan televisyen dalam tempoh 2 tahun.


Pada 13 Mei 2023 buku ke 13 + 1 penulis (pertama setelah yang ke-13 terbit tahun 2019 lalu mula memberikan tumpuan pada pengajian pascasiswazah di ISTAC iaitu Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam di Bukit Tunku, Kuala Lumpur), Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin & Orang Kaya Arsyad telah dilancarkan oleh sejarawan ulung negara, Profesor Emeritus Datuk Dr Abdullah Zakaria Ghazali di rumah penulis. Lihat Majlis pelancaran buku dan rumah terbuka raya 2023 - Melestarikan semangat perjuangan. Beliau yang bertanggungjawab memberikan kata-kata aluan dalam buku turut menjadi pembicara dalam diskusi yang diadakan di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2023 (berlangsung 26 Mei hingga 4 Jun). Lihat Bicara buku Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin di PBAKL 2023. Diskusi ini terakam dalam video atas diikuti video bawah...



Rabu, November 20, 2019

Negara Kota Yang Hilang - Satu tajuk yang menyuburkan imaginasi umum

Menyambung gerak penulisan berkenaan daripada artikel Berceloteh tentang bermalam di ISTAC sebelum menyusuri kaitan Parsi dalam sejarah Islam China yang dipersembahkan dari masjid ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam) selepas jam 6 petang semalam. Artikel baru ini dimulakan jam 4.30 petang di bahagian lain ISTAC sementara menunggu satu syarahan bermula jam 5.


Dalam Berceloteh tentang bermalam di ISTAC sebelum menyusuri kaitan Parsi dalam sejarah Islam China ada disebut bahawa pada malam sebelumnya Selasa malam Rabu saya telah menginap di masjid untuk memudahkan mengikuti dua majlis ilmu pada siang Rabu semalam. Artikel mula ditulis di masjid selepas menunaikan solat Subuh. Di celah-celah itu saya menyemak laluan untuk ke tempat majlis pertama iaitu Muzium Negara. Harapan saya dapat menyiapkan artikel sebelum bertolak ke sana.


Harapan itu ternyata meleset. Pada jam 7.47 ia baru sepertiga ditulis sedangkan saya sudah terasa penat lalu perlu melelapkan mata. Bangun jam 8.30  baru bersiap, mandi dan sebagainya lalu mengorak langkah ke muzium 5 km perjalanan. Jarak itu tidaklah jauh sangat tetapi perlu meredah kesesakan orang masuk kerja.


Jam 9.25 sampai ke muzium lalu pergi auditorium melalui jalan belakang bagi kakitangan dan urusan khas.


Saya dapat menggunakan laluan kerana isteri telah memberitahu pihak muzium bahawa saya akan menjual buku lalu diberikan meja...


Inilah poster majlis. Dinyatakan bahawa ia dijadualkan bermula jam 9. 


Tengok-tengok ketika selesai mengangkat buku dari kereta lalu diatur ke atas meja jam 9.33 majlis masih belum bermula. Alhamdulillah ada masa untuk bersarapan pagi di cafeteria muzium. Apabila kembali ke auditorium jam 9.53 majlis baru sahaja beberapa minit bermula.


Kelihatan ketua pengarah Jabatan Muzium Malaysia (JMM) Datuk Kamarul Baharin bin A. Kasim sedang memberikan ucapan pembukaan. Satu perkara menarik disebut adalah bagaimana tajuk majlis iaitu "Negara Kota Yang Hilang" atau bahasa Inggerisnya "The Lost Kingdoms" tidak disenangi pihak luar. Ini kerana pihak tersebut (atau pihak-pihak... saya tahu sekurang-kurangnya 3 buah negara di Asia Tenggara yang terpalit dalam hal ini) merupakan pihak yang sebenarnya berasal daripada luar, bukan penduduk asal tetapi membina sejarah baru menurut mereka atas tamadun sebelumnya. Pihak ini lebih sukakan tajuk "The Ancient Kingdoms" (Kerajaan-kerajaan Silam) kerana "The Lost Kingdoms" membayangkan usaha menggali kembali sejarah yang sudah ditutup.


Jam 10.12 para panelis mengambil tempat. Mereka ialah (daripada kiri) :-


1. Dr Nasha bin Rodziadi Khaw daripada Universiti Sains Malaysia

2. Pak Budi Istiawan daripada Kementerian Pendidikan dan Kebudayaan Indonesia

3. Dr Yunus bin Sauman daripada Universiti Pendidikan Sultan Idris


Kelihatan paling kanan adalah Encik Nasrulamiazam bin Mohd Nasir, pengarah Muzium Adat. Untuk pengetahuan ia adalah salah satu daripada lebih 20 muzium di bawah JMM.


Selepas semua ahli panel diperkenalkan panelis pertama iaitu Dr Nasha naik ke podium jam 10.15. Beliau membawa tajuk "Kedah Tua Berdasarkan Prasasti Kepingan Leiden Besar : Satu Tinjauan Semula"


Diberikan latar belakang Kedah Tua berdasarkan catatan-catatan luar diikuti penemuan-penemuan arkeologi di Sungai Batu. Rasanya ramai sudah tahu bagaimana telah ditemui tapak peleburan besi dengan segala macam tinggalan alatan dan bahan berkenaan didapati telah wujud sejak zaman Sebelum Masihi. Ini adalah berdasarkan pentarikhan makmal menurut kaedah tertentu. Beberapa pentarikhan telah dilakukan membawa kepada sejarah Kedah Tua diputar semakin lama semakin jauh ke belakang. Terbaru didapati ia sudah wujud selewatnya pada abad ke-8 Sebelum Masihi.


Masalahnya tidak ditemui catatan begitu lama dan seterusnya yang jelas tentang Kedah Tua. Menurut Nasha paling sahih adalah prasasti (tulisan pada batu atau objek keras seperti besi) oleh kerajaan Chola di selatan India.


Disebutlah tentang kepentingan India (atau benua Hindi) terhadap Kedah Tua. Kedatangan pedagang-pedagang India ke pelabuhan Kedah seperti tercatat dalam beberapa teks menunjukkan ini.


Menurut Nasha, rekod India telah menyebut nama Kedah walau dengan sebutan lain (Kadaram dan sebagainya) sejak apa yang dipanggil sebagai Zaman Sanggam. Ini merujuk pada tempoh masa Sebelum Masihi hingga 2 Masihi di India.


Pun begitu beliau melihat rekod jelas cuma ada pada zaman kemuncak kerajaan Chola abad ke-11 Masihi.



Salah satunya ada pada apa yang dipanggil sebagai Prasasti Kepingan Leiden Besar.


Disebutlah latar belakang Prasasti yang katanya ditulis atau dikeluarkan pada tahun 1006 Masihi.


Ia melibatkan kerajaan Melayu Srivijaya yang sedang menguasai hampir seluruh Alam Melayu ketika itu.


Prasasti in ditulis sebahagiannya dalam bahasa Sanskrit, sebahagian lagi dalam bahasa Tamil. Nampaknya yang berbahasa Sanskrit itu untuk bacaan golongan pentadbir, orang atasan dan sebagainya. Yang bahasa Tamil untuk rakyat biasa.


Prasasti itu merupakan tulisan pada kepingan-kepingan logam yang dikepilkan bersama. Lebih kurang beginilah tulisan dialih ke dalam komputer.


Beberapa tingkat proses perlu dilakukan supaya dapat dibaca umum...





Yang menarik perhatian adalah bagaimana ia menunjukkan kedudukan Maharaja Srivijaya dan hubungan dengan Kedah Tua. Untuk pengetahuan Kedah adalah satu daripada 3 pusat pentadbiran dan pelabuhan terpenting di Srivijaya. Ini menunjukkan kepentingannya pada masa itu. Ia juga menunjukkan kedudukan Maharaja Srivijaya sebagai setaraf dengan Maharaja Chola, bukan bawahannya. Dikatakan Chola adalah kerajaan paling berkuasa di India ketika itu. Jajahan takluknya sampai ke pantai Barat Afrika dan beberapa bahagian Lautan Hindi.


Jam 11 sampai giliran panelis kedua, Pak Budi untuk berkongsi ilmu. Beliau memilih untuk bercakap terus daripada tempat duduk membawa tajuk "Dari Dharmmasraya ke Surawasa".






Ia merujuk kepada kerajaan Dharmmasraya yang pernah wujud dan berpusat di wilayah Sumatera Barat.








Dua orang puteri kerajaan Dharmmasraya pernah dibawa ke Pulau Jawa lalu dikahwinkan dengan bangsawan kerajaan Majapahit. Seorang melahirkan anak dikenali sebagai Adiyatvarman. Orang ini dikenali sebagai pendiri kerajaan bernama Melayu atau Melayupura. Pak Budi mahu mengatakan pusatnya adalah di suatu tempat bernama Surawasa. Alhamdulillah saya pernah sampai. Lihat artikel Jejak kerajaan lama tengah Sumatera - Sekitar Pagaruyung lagi sebelum ke Pariangan dan lain tempat yang ditulis hampir 3 tahun lalu.


Jam 11.22 sampai giliran Dr Yunus untuk bercakap. Beliau juga memilih untuk membentang dari tempat duduk... 


Tajuk yang dibawa iaitu "Politi di Borneo yang Dilupakan" ada kelainan kerana merujuk pada satu wilayah yang jarang disentuh.


Selepas memberikan definisi politi sebagai satu entiti politik yang disokong sejumlah manusia (ia boleh jadi suatu negeri, boleh jadi negara, boleh jadi suatu wilayah kecil asal ada suatu struktur pemerintahan atau pentadbiran yang tersusun) disebutlah beberapa politi yang pernah wujud di Borneo.


Pengkhusuan diberikan terhadap "Tuaran" satu wilayah yang masih wujud kini sebagai daerah tidak jauh dari Kota Kinabalu. Diceritakan Tuaran pernah memiliki kedudukan penting sebagai satu wilayah dalam kerajaan Brunei (nama pulau Borneo berasal daripada nama Brunei kerana dahulu pernah menjadi kerajaan paling besar dan penting di pulau besar itu). Malah menurut Yunus dipercayai kerajaan Brunei pernah berpusat di Tuaran buat suatu tempoh waktu.


Ditunjukkan bahawa Tuaran ada disebut oleh oleh beberapa penulis Arab lama dahulu...








Cukuplah berkongsi setakat ini. Saya sedang kepenatan selepas mengikuti syarahan petang tadi hingga jam 7.10. Sebelum syarahan bermula sedikit lewat jam 5.20 saya cuma sempat menulis sedikit sahaja. Selepas menunaikan solat Maghrib penulisan disambung kembali hingga siap dalam keadaan lapar belum makan malam. Isteri pula berpesan jangan makan di luar. Nasi dan lauk masih banyak di rumah. Selamat malam dan wassalam. :]


----------------------


Nota tambahan : Bahagian berikut ditambah pada petang Khamis 21 November. Asalnya ia mahu disertakan semalam tetapi dah tak larat dah sebab malam semakin lewat dan saya sudah kelaparan. Artikel perlu dipersembahkan di ISTAC setelah mencapai tahap yang cukup memuaskan. Selesai itu baru rasa boleh balik ke rumah lalu makan (sampai rumah pun dekat jam 10 malam) walaupun artikel sebenarnya kurang lengkap. Berikut adalah pelengkapnya...


Artikel yang dipersembahkan malam semalam sudah cukup siap daripada segi perkongsian ilmu. Tetapi tidak daripada segi hal 'sisi' yang sebenarnya sangat penting dalam penceritaan. Hal sisi ini adalah tentang munculnya ramai rakan-rakan aktivis dalam dunia persilatan dan busana tradisional Melayu ke majlis. Kelihatan dalam gambar saya duduk berbusana lengkap di hadapan.


Boleh kelihatan terserlah orang lain pun ada berbusana tradisional Melayu penuh, bersampin, berkeris dan bertanjak. Kalau setakat saya sahaja tu biasalah. Ini kalau tak salah ada lebih 30 orang laki-laki dan perempuan berpakaian begitu.


Ia berlaku atas inisiatif isteri saya mewar-warkan kepada rakan-rakan aktivis setelah kami menerima undangan terus daripada pihak muzium. Ingatkan cuma 5 orang sahaja akan memberikan nama untuk datang. Sampai tarikh majlis tengok-tengok ada 30 nama mendaftar. Ada pula menyatakan mahu datang secara walk-in...


Kedatangan kami amat dialu-alukan oleh pihak muzium. Bermula dengan acara ke-18 HIKMAH yang dianjurkan oleh pihak saya 3 tahun sudah ada hubungan antara aktivisi silat dan busana dengan muzium. Lihat artikel Acara kelapan belas HIKMAH di Muzium Negara, Kuala Lumpur 22 Oktober 2016 di blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH). Cuma jarang mereka mahu mengikut wacana ilmu seperti halnya pada majlis ini apa lagi pada pagi Selasa, hari orang bekerja. 


Biasanya yang ramai-ramai ini cuma suka hadir pada majlis-majlis yang ada pertunjukan silat. Sedikit sahaja yang sanggup duduk lama dalam dewan untuk mengikuti majlis ilmu yang bersifat akademik dan pemikiran. Kali ini begitu ramai muncul turut serta tanpa perlu dipujuk. Yang perlu cuma ditunjukkan poster acara dan bagaimana kedatangan kami dialu-alukan oleh pihak muzium.


Sebetulnya saya ada dimaklumkan oleh seorang pemegang tinggi jawatan satu persatuan gabungan silat bahawa memang mereka sedang berusaha untuk menggalakkan ahli pergi ke majlis-majlis ilmu sebegini. Takkan hendak bersilat memanjang aje kerjanya? Hadirlah pula ke acara-acara yang menambahkan ilmu pengetahuan dan boleh mencambahkan pemikiran. Kebetulan tajuk majlis iaitu "Negara Kota Yang Hilang" boleh menyuburkan imaginasi semua. Saya diberitahu itulah antara sebab ramai aktivis silat dan busana muncul kali ini. Kredit kepada tuan Zainuddin Ahmad atau Pak Lang untuk gambar-gambar. Beliau yang sudah berumur lebih 60 tahun cukup rajin hadir ke majlis-majlis yang ada kawan-kawan persilatan dan busana lalu mengambil gambar.



Selasa, November 19, 2019

Berceloteh tentang bermalam di ISTAC sebelum menyusuri kaitan Parsi dalam sejarah Islam China

Salam siang Selasa 19 November 2019 (19/11/19) bersamaan 22 Rabiulawal 1441 Hijriah. Entah buat kali ke berapa kini sekali lagi saya menulis dari masjid ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam". Biarlah berceloteh dahulu...


Semalam petang Isnin 18 November 2019 saya bergegas lagi ke ISTAC 40 km dari rumah selepas menghantar anak-anak ke sekolah agama jam 2.30.


Ini adalah perkara biasa sejak menyambung pelajaran pada peringkat pasca-siswazah di ISTAC bermula awal September 2018 iaitu lebih setahun lalu.  Kini sudah muncul satu kebiasaan baru.


Kelihatan dalam gambar ada retak kecil pada cermin kereta. Untuk makluman gambar diambil pada jam 2.53 petang beberapa minit selepas mengisi minyak kereta di perhentian jejantas Sungai Buloh. Keretakan berlaku 2-3 minit sebelum singgah di perhentian. Hendak dijadikan cerita saya sedang memandu di lorong tengah. Tiba-tiba ada kereta memotong di lorong kanan. Selepas memotong ada batu kecil terlempar laju kena cermin lalu jadilah retak.


Kalau ikutkan memang terasa ralat. Untuk pengetahuan cermin baru ditukar tak sampai setahun dengan kos ratusan Ringgit akibat kereta perlu melepasi pemeriksaan PUSPAKOM selepas bertukar ke enjin turbo. Tengok-tengok dah kena retak. Walhal ia ditukar kerana dahulu pun ada keretakan akibat terkena batu. Kalau tak kerana pemeriksaan masih boleh dipakai walau tak berapa cantik rupa. 

Tak mengapalah, saya menyedapkan hati. Anggaplah ini sebagai ganti demi mengelakkan daripada musibah yang lagi besar. Dah berapa jauh saya mengembara dengan kereta ini juga dengan sebuah kereta lain dan motosikal besar kesayangan. Dah berapa jauh juga mengembara ke sana ke mari baik secara bersendirian mahupun dengan isteri dan anak-anak. Allah SWT bagi selamat dan sihat walau dalam keadaan mencabar lagi membahayakan. Syukur alhamdulillah. 

Kini saya pergi ke ISTAC bukan sekadar untuk mengikuti syarahan. Saya ingin bermalam sekali, satu kebiasaan yang kalau tak salah ingatan bermula penghujung Jun 2019 merangkap penghujung bulan Syawal bagi tahun 1440 Hijrah.


Saya sebut tak salah ingatan kerana menghadapi masalah untuk mengesan bilakah tarikh tepat bermula kebiasaan menginap di masjid ISTAC. Yang ingat pertama kali adalah pada penghujung Ramadhan tahun lepas iaitu awal Jun 2018. Ketika itu saya belum lagi bergelar pelajar ISTAC. Tetapi sudah membiasakan diri menghadiri syarahan... 

Kemudian saya beriktikaf lagi di masjid ISTAC pada penghujung Ramadhan tahun ini bersamaan penghujung Mei membawa ke awal Jun. Namun saya tak menganggap ia sebagai kebiasaan kerana beriktikaf pada hujung bulan Ramadhan adalah sesuatu perkara yang dilakukan ramai orang Islam. Ramai pelajar ISTAC juga pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM - Ia adalah badan yang menaungi ISTAC) melakukannya di masjid ISTAC. Yang hendak dikesan bilakah tarikh tepat saya mula bermalam di masjid ISTAC semata-mata untuk mengikuti syarahan. Dan ini dilakukan secara bersendirian, tiada orang menemankan.


Ini dilakukan apabila ada syarahan mahu diikuti sekurang-kurangnya 2 hari berturut-turut. Daripada balik ke rumah selepas suatu syarahan petang kemudian esok berkejar lagi dari rumah untuk mengikuti syarahan pagi lebih baik bermalam sahaja di masjid. Pergi balik rumah dah makan jarak 80 km (40 km pergi 40 km balik dari ISTAC). Duit minyak dan tol dalam RM20-30 sekali keluar. Ambil masa lagi, kena lalu kesesakan jalan raya lagi. 

Pada saya lebih elok menginap di masjid daripada berkejar pergi balik. Selain daripada itu memang sudah menjadi tabiat suka bermalam di masjid apabila keluar mengembara. Dan lagi ini masjid ISTAC. Walau dalam keadaan tidur sekali pun jasad saya dekat dengan gedung ilmu. Alhamdulillah, isteri sangat memahami dan redha apa lagi kami memang suka keluar bermusafir anak beranak. Dia tahu ada masanya saya ingin keluar bermusafir berseorangan.


Yang membuat saya ingin berceloteh tentang hal tersebut kali ini adalah apabila menyedari semalam adalah kali ke-3 saya berbuat begini dalam bulan November. Jumaat malam Sabtu akan datang ini pun akan bermalam lagi kerana ada syarahan malam mahu dihadiri diikuti majlis ilmu pagi Sabtu. Rasanya dah lebih 6 kali setakat ini saya bermalam di ISTAC untuk mengikuti majlis ilmu. Malam tadi saya menginap kerana ada syarahan petang Isnin seperti ditunjukkan dalam gambar. Pagi Selasa mahu mengikuti majlis ilmu di Muzium Negara sebelum kembali ke ISTAC untuk satu lagi majlis sebelah petang.


Sekarang barulah terasa puas berceloteh tentang bermalam di ISTAC. Bolehlah tumpuan diberikan pada majlis atau syarahan petang semalam. Tajuk yang kelihatan pada poster boleh diterjemahkan sebagai "Islam China : Kaitan Parsi". Pensyarah atau lebih tepat pembicara (kerana pensyarah sering dikaitkan dengan suatu jawatan tetap bersyarah) adalah Encik Ali Sabeghi, kaunselor kebudayaan bagi Kedutaan Iran di Kuala Lumpur.


Kelihatan dalam gambar orangnya di tengah. Apabila melihat nama pada poster beberapa hari lalu terus saya tahu bahawa ini adalah salah satu syarahan yang boleh dikatakan dibuat secara ad hoc mengambil kesempatan atas suatu kelapangan yang muncul bagi seseorang yang berpengetahuan  berkongsi ilmu di ISTAC. Saya tahu ini kerana hadir pada majlis di mana Ali kelihatan pertama kali memperkenalkan diri kepada ISTAC. Berlangsung pada 3 Oktober ia adalah tentang Islam di Cina. Lihat  Islam di China - Menetapkan Dinasti Ming sebagai kerajaan beragama Islam abad ke-15 hingga ke-17?.

Ketika sesi soal jawab beliau telah memperkenalkan diri sebagai ahli Kedutaan Iran lalu memberikan pandangan panjang lebar tentang perkara berdasarkan pengetahuan beliau. Hal ini membuat Sheikhul Quliyyah ISTAC, Profesor Ulung Datuk Dr Osman Bakar memberitahu khalayak ada baiknya diadakan sesi khas perkongsian ilmu daripada Ali.   Itu cerita sebulan setengah lalu, semalam Ali pun bersyarah. Sudah menjadi kebiasaan atau boleh dikatakan keistimewaan di ISTAC tiba-tiba boleh muncul suatu majlis ilmu tak dirancang. 

Keadaan ini ibarat hari ni bagi cadangan lusa dah jadi majlis. Ini bergantung pada kelapangan dan ruang juga pembicara/pensyarah yang dicadangkan berserta topik. Sudah beberapa kali berlaku seseorang ahli akademik dari luar datang ke Kuala Lumpur untuk tujuan lain. ISTAC dapat tahu lalu terus hubungi dan ajak berikan syarahan.  Setelah mendapat persetujuan dan komitmen terus keluar poster dengan tajuk itu ini. Tahu tahu je dah jadi majlis...


Apapun disebabkan bertolak selepas menghantar anak-anak ke sekolah agama jam 2.30 saya sampai lewat ke ISTAC. Majlis sendiri dijadualkan bermula jam 2.30. Tapi tak semestinya ia bermula pada waktu itu kerana ada ketikanya perlu menunggu cukup ramai hadirin muncul baru dimulakan. 

Selalunya majlis dimulakan dengan pengenalan. Ini biasa memakan masa sehingga 15 minit. Ketika saya sampai ke ruang majlis lalu mengambil gambar atas sudah jam 3.13 petang Ali baru hendak menghabiskan perkongsian tentang Islam dan penganutnya pada zaman Dinasti Tang dan Song di China. Ini merujuk pada tempoh masa 618 hingga 1279 Masihi. 

Dalam sejarah orang Islam pertama datang berdakwah ke China adalah Saad bin Abi Waqqas tahun 651 Masihi. Saya tidak sempat mendengar hal ini disebut oleh Ali tetapi percaya tentu ia disentuh kerana merupakan satu titik penting dalam sejarah Islam di China. Dinyatakan dalam slaid bahawa pada zaman inilah satu rangkaian masjid dibina, pendakwah-pendakwah Islam dari Iran (Parsi) dan Asia Tengah dihantar. Mereka mengekalkan identiti dan budaya sendiri tanpa mencampuri urusan masyarakat China. Mereka tidak campur tangan dalam hal-hal politik, keagamaan, sosial dan budaya tempatan tetapi mempengaruhi istana dan keluarga-keluarga Cina yang berpengaruh secara bertahap.


Masuk zaman Dinasti Yuan (1279–1368) orang Islam di China yang datang dari Timur Tengah mendapat kedudukan-kedudukan tinggi. Menurut Ali kebanyakan daripada mereka adalah orang Parsi. Kalau tidak berbangsa Parsi pun kerana mungkin orang Turk (bangsa Turki, bukan negara Turki seperti dikenali sekarang), orang Tajik dan sebagainya mereka diketahui berbudaya Parsi kerana sejarah ketamadunan tingginya lama mempengaruhi. Untuk makluman dinasti tersebut didirikan oleh orang Monggol yang menakluki Cina, bukan etnik berbangsa Cina. Oleh itu mereka lebih percaya pada orang Islam sebagai pentadbir dan wakil. 

Kata Ali ini adalah puncak penyebaran Islam di China. Orang Islam memiliki kehadiran kuat dalam hal ehwal negara dan struktur pemerintahan Dinasti Yuan. Bahasa Parsi berkembang sebagai satu bahasa yang sangat berpengaruh. Daripada 12 negeri yang membentuk negara China 6 memiliki pemerintah beragama Islam.


Masuk zaman Dinasti Ming (1368–1644) berlaku perubahan besar. Islam masih diterima tetapi disuruh berikan citarasa tempatan. Jika dahulu orang Islam dari luar boleh mengekalkan identiti asal Arab/Parsi/Timur Tengah dan berurusan dalam bahasa mereka tanpa perlu tahu bahasa, budaya dan adat istiadat Cina pada zaman Dinasti Ming mereka disuruh melebur kalau mahu terus menetap di Cina. Mereka boleh tetap mengikut ajaran Islam tetapi harus memakai identiti keCinaan. Mereka harus bertutur dalam bahasa Cina, memakai pakaian Cina dan memiliki nama-nama Cina selain nama Islam.


Islam mula diajar dalam bahasa Cina. Prinsip-prinsipnya diberikan kefahaman menurut konsep dan terma yang ada dalam ajaran Confucianisma ikutan kebanyakan orang Cina. Namun orang Islam terus memegang kedudukan-kedudukan penting dalam kerajaan. Untuk pengetahuan (tambahan saya ini) pada zaman awal Dinasti Ming inilah muncul Laksamana Cheng Ho. Beliau terkenal dalam sejarah dunia memimpin armada 300 buah kapal dengan 30,000 anak kapal melawat pelabuhan-pelabuhan penting di Alam Melayu termasuk Melaka awal abad ke-15 Masihi. Beliau dan ramai anak kapal utama diketahui beragama Islam malah pernah membawa armada hingga ke Tanah Arab bagi menunaikan ibadah haji.


Keadaan menjadi teruk bagi orang Islam apabila naik Dinasti Qing mengalahkan Dinasti Ming lalu memerintah China 1644–1911. Kata Ali semasa itu berlaku tragedi paling buruk umat Islam dibunuh  beramai-ramai. Walhal seperti Dinasti Yuan yang berbangsa Mongol mereka juga bukan berbangsa asal etnik China. Mereka berbangsa Manchu (dari kawasan antara Mongolia dan Korea sekarang). Kata Ali etnik Han yang merupakan majoriti orang China pun memandang tinggi orang Islam. Hal ini menyebabkan Dinasti Qing Manchu bahkan lagi membenci orang Islam.


Ada lagi beberapa slaid yang dipanjangkan penceritaan. Antaranya wujud orang Islam China yang lari ke Asia Tenggara termasuk Tanah Melayu akibat penindasan Dinasti Qing. Tetapi cukuplah penceritaan. Pada ketika ayat ini ditulis sudah jam 5.20 petang sedangkan artikel dimulakan selepas solat Subuh tadi. 

Masuk jam 7.47 pagi ia didapati masih jauh daripada siap sedangkan saya sudah terasa penat lalu perlu melelapkan mata sebentar. Bangun jam 8.30 bersiap-siap untuk pergi ke majlis di muzium yang dijadualkan bermula jam 9. Selesai itu saya kembali ke ISTAC untuk majlis seterusnya yang dijadualkan bermula jam 2.30. Saya sampai jam 1.48 lalu masuk ke masjid untuk menunaikan solat. Selepas itu sambung lagi penulisan tetapi dapat sedikit sahaja. Jam 2.45 bergerak ke ruang majlis, jam 5.10 baru ada kelapangan untuk menyiapkan artikel di masjid. Cukup.